Tips Untuk Mengesan Emas Palsu

Kenapa anda perlu tahu?
1. Menjual atau menggadai emas palsu merupakan satu kesalahan dan anda boleh didakwa
2. Menipu pembeli adalah berdosa

Okey, tips yg mudah untuk mereka yg ingin menjual atau membeli barang kemas, supaya anda tidak tertipu dan tidak didakwa.

1. Pakai barang kemas tersebut sekurang-kurangnya satu hari, jika anda dapat mengesan sebarang tanda pada kulit anda atau perubahan kaler maka emas tersebut mungkin palsu.

2. Dengan lembut, cocokkan jarum pada emas tersebut, jika jarum tersebut tidak patah, maka emas anda mungkin tulen kerana emas bersifat lembut.

3. Letakkan barang kemas anda hampir kepada magnet, emas yg tulen tidak mempunyai sebarang sifat magnetic. Tips ini sesuai untuk emas yg besar/tebal seperti jongkong emas atau (platinum), jika anda lihat barang kemas tersebut melekat pada magnet tersebut, maka ia adalah palsu.

4. Jika barang anda berupa rantai atau gelang yg boleh diputar, dengan lembut dan perlahan cuba pulas barang kemas tersebut. Ia seakan boleh diputar tetapi jangan gunakan tenaga yg banyak kerana ia boleh putus. Cuma rasakan sahaja, ia keras atau lembut (tidak berkesan kepada emas 14 karat ke bawah)

5. Tengok pada cangkuk atau penyambung emas, kebiasaanya setiap emas akan ditanda kualitinya seperti 916, 750 atau apa saja. Selain itu, oleh kerana emas biasanya dijual oleh tauke-tauke cina ada beberapa gambarajah seperti orang berlari, bentuk rumah, dan sebagainya adalah tanda kualiti emas tersebut samada paun, 916 atau emas lama.

6. Jika ada tanda seperti GP(Gold Platted), atau ZGP (Zhulian) maka ia adalah emas celup. Lagi banyak tanda pada cangkuk atau penyambung emas, maka lagi besar kemungkinannya ia adalah palsu.

7. Jika anda tidak sayng barang kemas anda, anda boleh cuba toreh kepada batu hitam berkali-kali dan anda boleh tengok samada warna emas ataupun warna putih kesilveran yg terhasil. Hanya dua logam menghasilkan torehan berwarna kuning iaitu emas dan tembaga. Emas putih pun menghasilkan torehan berwarna kuning.

8. Ada juga barang kemas palsu yg terbentuk bulat dan sukar untuk diputar (penipu emas pun arif tentang emas palsu) maka tiada cara lain, anda perlu bawa sendiri emas anda dan berjumpa dengan mereka yg lebih arif.

9. Emas tidak mempunyai bau, gosok barang kemas anda pada seluar jeans yg anda pakai (dockers pun boleh) sehingga panas dan cuba bau. Jika ia adalah besi atau apa sahaja anda boleh bau seakan ferum (bau besi,bau ikan).

10. Jika ia jongkong yg ditulis berat pada sisinya, sila pergi timbang kerana kebiasaanya jongkong palsu tidak mempunyai berat yg tertera kerana pembuat emas palsu cenderung menggunakan bekas bentuk emas tulen tetapi menggunakan logam yg lain. Emas adalah logam yg paling padu, maka tiada logam lain yg mempunyai berat sama seperti emas dalam saiz yg sama.

11. Jika anda menonton filem koboi, mereka menggigit emas untuk mengesahkan ketulenannya. Ia mungkin sedikit fiction tetapi mungkin juga benar kerana emas tulen bersifat lembut. Anda boleh cuba gigit, ada sedikit rasa lembut dan tidak keras seperti menggigit ekzos kereta (tapi kami tidak akan bertanggungjawab jika gigi anda patah ye..hehehe)

12. Bagi mereka yg bersifat sentimental, ada sedikit perasaan berbeza ketika menyentuh emas palsu atau emas tulen.

Seterusnya, kami ingin share berkenaan jongkong emas, ia mungkin penting untuk mereka yg ingin memilikinya. Risiko jika terbeli jongkong emas palsu sangat besar dan anda mungkin bankrup.
Jongkong emas yg dijual di Malaysia terdiri daripada beberapa jenis. Di antaranya:

1.   PAMP Suisse
PAMP ini adalah singkatan bagi (Produits Artistiques Metaux Precieux)(artistic, precious metals products). PAMP yg berpengkalan di Switzealand merupakan syarikat yg terkemuka dunia dalam menulenkan logam berharga. PAMP Suisse pula ada 2 jenis iaitu PAMP Suisse dengan Sijil Ketulenan Merah dan Lady Fortuna.

                                                    PAMP Suisse 100gms Gold Bar
                                                                          Lady Fortuna

2.   Poh Kong Bunga Raya (dijual di Poh Kong)

                                                          10 gram Bunga Raya Gold Bar

3.   Kinebar (Dijual oleh UOB

                                                              Kinebar 1 Ounce Gold Bar

4.   Kijang Emas (Syiling) dikeluarkan oleh Bank Negara

                                                         Syiling kijang Emas RM200

5. Dinar Emas Kelantan (syiling), Dinarkel

Berikut adalah jongkong emas/emas putih/platinum palsu yg dijual di pasaran Malaysia
                                                           Platinum Palsu bergambar Suharto
                        Logam Mulia(LM) Platinum atau emas,lambang kuda,tapak kuda,kuda terbang
                                                contoh Logam Mulia palsu yg biasa dijumpai

Ini rupa sebenar emas Logam Mulia

http://tamisgoldc.blogspot.com/2012/01/tips-untuk-mengesan-emas-palsu-disini.html

Emas & Perak : Antara Khabar & Realiti

Baru-baru ini ada seorang client bertanyakan kepada saya, kenapa saya kelihatan skeptikal dengan emas. Saya bukan skeptikal dengan emas kerana saya bencikan emas, saya sendiri pernah melabur di dalam perak dan mendapat keuntungan 25% dalam masa 6 bulan. Tetapi saya selalu mengatakan harga emas akan jatuh, kerana secara fakta dan fundamental, memang logiknya ianya akan jatuh.

Sejak tahun 2008, harga emas dan perak melonjak naik. Kenaikan harga emas ini bukan sahaja menarik perhatian para pelabur, malahan ianya juga menarik perhatian orang awam untuk turut melabur di dalam emas. Berita-berita dan fakta-fakta berkaitan emas dan perak tersebar luas. Dengan ayat-ayat seperti “emas pasti akan naik dalam jangka masa panjang” atau “harga emas masih belum mencapai ‘historical price’” dan yang sewaktu dengannya.

Namun tahun ini merupakan tahun dukacita bagi kebanyakan yang masih memegang emas dan perak. Emas sudah jatuh harganya sebanyak 27% daripada harga pada bulan September tahun lepas…. Kenapa?

 

Punca Kenaikan

Punca utama kenaikan harga emas yang mendadak sejak tahun 2007 bermula apabila economist dan international investors mulai sedar bahawa ekonomi US sudah mula mengalami masalah. Apabila ekonomi US mengalami masalah, yang turut bermaksud currency US akan semakin kurang nilainya, para economist dan investor akan mula membeli emas.

Ini kerana currency di seluruh dunia adalah di dasarkan ke atas ekonomi dan currency US. Maka jika ekonomi dan currency US mengalami kejatuhan, maka seluruh dunia akan jatuh dan inflasi akan berlaku di seluruh dunia. Saham di seluruh dunia akan jatuh, banyak syarikat akan bankrap. Pada ketika itu tidak ada apa yang dapat melindungi nilai duit kita, melainkan barang yang tahan lama dan sentiasa berharga, yang harganya akan naik selari dengan inflasi yang berlaku, emas.

Atas sangkaan ekonomi dan currency US akan jatuh, serta inflasi yang tinggi akan berlaku di seluruh dunia, maka para investor membeli emas. Kemudian seperti domino, apabila harga emas naik begitu tinggi ketika inflasi berlaku di seluruh dunia pada tahun 2008, perkara itu menarik perhatian orang awam.

Kesannya, keluarlah khabar-khabar angin bahawa sistem duit kertas ini akan hancur, kertas-kertas tersebut akan hanya menjadi kertas yang tidak bernilai, kita perlu kembali kepada sistem emas dan perak, pelaburan di dalam emas adalah pelaburan yang tidak akan rugi, dan sebagainya.

Penglibatan orang awam ke dalam pelaburan emas dan perak menaikkan lagi harga emas secara mendadak, sehinggalah harga emas naik hampir 3 kali ganda daripada harganya pada tahun 2007.

Tindakan bank negara US (Federal Reserve, Fed) untuk menjalankan Quantitative Easing (QE), iaitu ‘mencetak duit’ secara elektronik dan menggunakannya untuk tujuan-tujuan tertentu meningkatkan lagi spekulasi bahawa currency US akan jatuh dan hiper inflasi akan berlaku.

 

Adakah Betul?

Adakah sangkaan economist dan investor bahawa ekonomi US akan jatuh dan inflasi akan berlaku di seluruh dunia itu betul?

Ya betul, ekonomi US mengalami kemunduran untuk beberapa tahun, dan inflasi berlaku di seluruh dunia pada tahun 2008.

Namun, hiper inflasi tidak berlaku. Duit kertas masih lagi bernilai dan dari tahun ke tahun, ekonomi dan currency US semakin pulih. Selari dengan itu saham di seluruh dunia juga semakin pulih dan meningkat dengan baik.

 

Adakah betul harga emas pasti naik dalam jangka masa panjang?

Ya dan tidak, jika jangka masa yang dimaksudkan adalah dalam 10 tahun, maka tidak semestinya. Sebaliknya jika jangka masa yang dimaksudkan adalah 50 tahun, maka ianya pasti akan naik. Tetapi ianya bukanlah kerana ‘emas’ itu sendiri, tetapi kerana inflasi yang berlaku. Pada 50 tahun dahulu sebungkus nasi lemak berharga 5 sen dan kini sudah berharga RM1.50. Samalah dengan emas, selepas 50 tahun pasti harganya akan naik dengan agak banyak. Tetapi nilainya boleh jadi sama saja tidak berubah.

Kenapa saya mengatakan dalam masa jangka 10 tahun pun tidak ada jaminan harga emas akan naik, bolehlah dilihat daripada graf di atas. Fenomena kenaikan harga emas yang mendadak pernah berlaku pada tahun 1980, tetapi apakah harganya 10 tahun kemudian? Hanya lebih kurang separuh daripada harganya pada tahun 1980.

 

Mungkinkah Harga Emas Akan Naik Semula Dalam Jangka Masa Pendek?

Saya berikan beberapa fakta untuk menjawab soalan ini:

1) Sejak tahun 2009, saham di US (S&P 500) telah naik secara berterusan daripada 700 kepada 1,600 pada hari ini.

2) Pada tahun 2007, unemployment di US berada pada paras 5%, ianya naik sehingga hampir 10% pada hujung 2009 dan kini sudah jatuh kepada 7.6%

3) Inflasi US berada pada tahap 2% pada tahun 2007, mencecah hampir 6% pada akhir tahun 2008 dan kini berada pada tahap 2%

4) Pada tahun 2008, kenaikan GDP di US berada pada 2.7%, jatuh pada paras -3.5% pada tahun 2009 dan kini sudah naik kpd 2.2% pada tahun 2012.

5) QE 3 akan diramalkan akan berakhir pada tahun hadapan.

Rasa-rasanya:

1) Adakah ekonomi US akan semakin runtuh?

2) Adakah currency US akan semakin jatuh?

3) Adakah hiper inflasi akan berlaku?

4) Adakah duit kertas akan bertukar menjadi kertas-kertas yang tidak bernilai?

5) Antara memegang sesuatu yang tidak memberi pulangan tahunan (emas), dan sesuatu yang setiap tahun akan memberi pulangan (saham), dan kedua-duanya pasti akan naik harganya sejajar dengan inflasi, yang manakah lebih berbaloi dipegang?

Terdapat kemungkinan harga emas akan naik dan turun dalam jangka masa yang pendek, namun kenaikannya tidak akan mencapai kenaikan yang dulu dan lebih disebabkan spekulasi oleh sesetengah pihak, bukanlah atas dasar fundamental yang menjadikan harga emas mula-mula naik dahulu.

 

Cadangan:

Cadangan saya kepada yang masih memegang emas dan perak, untuk menjual emas dan perak tersebut, terima hakikat kerugian dan mula melaburkan semula duit tersebut di dalam pelaburan yang lain terutamanya saham.

Anda mempunyai pilihan untuk memegang duit tersebut untuk 10 tahun lebih, mengharapkan akan berlaku sekali lagi masalah ekonomi dan harga emas akan melonjak naik semula. Namun persoalannya, adakah ianya akan berlaku, dan dalam jangka masa 10 tahun itu, hakikatnya anda boleh mendapat pulangan 100-300% jika anda melabur di dalam saham dari sekarang.

Pilihan di tangan anda.

dari : Izzuddin Yussof
http://izzuddinwealth.my/?p=130

Enam Lelaki Rompak Barang Kemas RM3.2 Juta

TEMERLOH – Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini.

Katanya kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

“Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri.

“Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi,” katanya. – Bernama

Jenis Emas di Malaysia

Emas begitu sinonim dengan wanita sebagai perhiasan diri. Kepentingan emas berubah mengikut zaman. Jika dahulu emas dianggap sebagai status kehidupan seseorang namun hari ini emas dijadikan sebagai simbol kemegahan peribadi dan penampan kepada kekayaan seseorang individu.

Jika anda berjalan-jalan di kedai emas sekitar Carpenter Street anda pastinya ada sudah biasa melihat gred-gred emas yang dijual di kedai emas tersebut. Bagi seorang pelabur adalah lebih baik menjadikan pengetahuan berkaitan jenis emas ini sebagai nilai tambah supaya mudah bagi kita membantu “potential buyer” kita.

Contoh yang mudah adakah cincin yang kita pakai mahupun isteri kita ditandakan 916, 950, 14K atau 18K? Apakah perbezaannya? Untuk pengetahuan anda nombor menunjukan peratus kandungan emas tulen dan K mewakili karat, 1 karat bersamaan 200 mg, Semakin tinggi nombor karat, bermakna semakin tinggi kandungan emas dalam perhiasan emas anda.

Standard Emas Malaysia

999 – 24K
950 – 23K
916 – 22K
875 – 21K
835 – 20K
750 – 18K
585 – 14K
375 – 9K

Mengapa Emas perlu di Campur Dengan Logam Lain?

Emas tulen sifatnya amat lembut dan tidak sesuai untuk kegunaan harian maka ia perlu dicampur dengan logam lain supaya tahan lasak dan lebih keras.Menambahkan logam lain sebagai campuran “metallurgists” membolehkan anda menukar warna emas.

Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Menambahkan tembaga menghasilkan warna mawar atau merah muda.

Jadi, Apa yang Harus Anda Beli?

Emas tumpat (Solid gold) adalah tahan lama, ia merupakan pilihan yang terbaik untuk perhiasan anda. Jenis salutan atau saduran yang mungkin menyebabkan reaksi alergi atau alahan.

Jika anda mempunyai alergi terhadap nikel atau logam lain, pilihlah yang mempunyai kandungan emas, seperti emas 18K atau 22k.

Emas tumpat senantiasa mempunyai nilai samaada belian, jualan atau gadaian. Walau bagaimanapun ianya tetap bergantung kepada kemampuan kewangan anda.

 

 

Sumber asal : Dunia Emas
: www.ilmudinaremas.com/2012/10/jenis-emas-di-malaysia.html

Baru Nak Melabur Emas? Elakkan 10 Kesilapan

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian…

Artikel hari ini berkisar kepada kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan oleh pelabur-pelabur emas. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk memberi panduan kepada pembaca sekalian berkaitan pelaburan emas.Ada diantara kita malu hendak bertanya….tapi ingatlah malu bertanya sesat jalan, malu bertanya berkaitan emas rugi jawabnya.

1. Melabur tanpa ilmu atau ikut-ikutan.
Ilmu yang betul menyelamatkan kita dalam banyak pekara seperti kerugian mahupun penipuan. Jangan melabur emas kerana mengikut kawan atau nak jaga hati kawan. Belilah atau baca sebuah buku sekurang-kurangnya untuk mengetahui asas pelaburan emas. Baca melalui blog-blog pelaburan emas seperti blog saya ini dan lebih mudah lagi bertanya kepada saya atau dealar yang anda rasa sesuai. Semakin banyak anda membaca,semakin meningkatlah kefahaman anda berkaitan emas.

2. Membeli barang kemas sebagai pelaburan.
Walaupun harga emas meningkat dalam jangka masa panjang. Barang perhiasan bukanlah pelaburan yang menguntungkan kecuali Public Jewelries. Ini kerana barang perhiasan melibatkan faktor upah tukang (workmanship costs) dan faktor spread yang mudah dimanipulasi oleh peniaga emas.

3. Melabur bukan emas fizikal.
Sekarang terdapat pelbagai jenis pelaburan emas seperti buku simpanan emas , skim pelaburan dan lain-lain yang ditawarkan oleh pihak bank mahupun syarikat-syarikat pengeluar emas. Sebaik-baik pelaburan emas ialah pelaburan yang melibatkan emas fizikal. Emas yang boleh dipegang dan dilihat. Apabila emas tersebut disimpan oleh kita sama ada simpanan sendiri atau dalam peti safe deposit, kita mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas emas yang kita simpan.

4. Membeli bar emas dan syiling emas di kedai emas.
Anda memikirkan simpan dalam bentuk bar mahupun syiling emas lebih baik kerana bukan barang perhiasan. Namun sekiranya anda ingin memaksimakan keuntungan ia bukanlah belian yang baik kerana banyak syarat-syarat seperti tidak boleh dibuka plastik,tidak boleh calar dan sebagainya yang dikenakan oleh kedai emas.Sekiranya melanggar syarat ini ia akan dikira sebagai emas terpakai dan susut nilainya 20% hingga 25%. Banyak tu.

5. Membeli emas lelongan bank
Membeli emas lelongan bank juga bukanlah pilihan terbaik kerana tempoh bertenang anda lebih panjang.Tempoh bertenang ini ibarat masa menunggu sebelum anda mendapat semula keuntungan dari pembelian anda. Kebiasaannya barangan lelong melibatkan barang perhiasan dan puratanya murah 10% dari harga pasaran. Harus diingat bukan semua emas lelong berada dalam keadaan yang baik. Tambahan pula nilai spreadnya boleh mencecah 25%

6. Melabur emas secara jangka pendek.
Membeli emas dengan harapan dapat keuntungan jangka pendek iaitu menggunakan wang yang bakal digunakan dalam masa terdekat. Contohnya beli emas dengan wang yang hendak digunakan dalam tempoh 2 bulan dari sekarang.Ingat..percaturan yang salah mengakibatkan kerugian kerana emas merupakan pelaburan jangka panjang dan sederhana.Anda harus memikirkan faktor spread sebelum melabur emas.

7. Melabur emas guna kaedah Ar-rahnu.
Jangan mempraktikkan kaedah ini sekiranya tidak cukup ilmu. Anda hanya boleh mencagarkan emas anda hanya untuk pusingan modal perniagaan atau membuat sesuatu pelaburan yang telah dipastikan keuntunganya serta keuntungan yang diperolehi melebihi kos simpan emas anda. Kaedah Ar-Rahnu agak popular satu masa dahulu , kesannya sehingga hampir kesemua bank tidak menerima bar emas mahupun syiling emas sekarang. Tujuan Ar-Rahnu sebenarnya untuk membantu golongan susah untuk memperolehi pinjaman bercagar dan bukannya untuk mengaut untung mudah.

8. Menunggu masa paling sesuai untuk melabur.
Dalam dunia pelaburan emas hampir tiada istilah masa terbaik membeli emas. Jika anda bertanya kepada saya,masa terbaik membeli emas ialah apabila anda mempunyai wang yang cukup untuk membeli. Alasan terbaik yang saya boleh bagitau ialah, harga emas semakin meningkat dari tahun ke tahun dan faktor penurunan harga emas hanyalah bersifat sementara.

9. Membeli emas yang murah tanpa mengkaji faktor lain.
Membeli emas yang murah memang mengembirakan tapi jangan lupa sekiranya anda menjual semula pasti harga ambil pun murah kerana emas mempunyai pelabagai jenis dan karat.Walaupun harga emas Public Gold bukan murah tetapi beberapa faktor lain perlu diambil kira oleh pelabur seperti spread yang rendah, pemintaan yang tinggi, kredibiliti pengeluar,syarat belian semula yang mudah dan ketulenan emas serta beberapa perkhidmatan nilai tambah yang lain.

10. Pinjam duit untuk melabur.
Melabur emas seharusnya dilakukan dengan duit lebihan belanja bulanan anda dan bukannya pinjaman. Sekiranya anda perlu untuk membuat pinjaman bank anda perlu benar-benar fokus untuk menjalankan perniagaan anda ini. Anda hendaklah mempertimbangkan segala kos nyata dan tersembunyi di sebalik pinjaman anda untuk mengelakkan anda hanya balik modal bahkan lebih teruk lagi mengalami kerugian akibat pinjaman anda tadi.Pastikan duit yang anda pinjam itu digunakan sepenuhnya untuk membeli emas dan disiplin diri yang tinggi.

Diharap artikel kali ini dapat membantu anda sebanyak sedikit. Pada pandangan saya,carilah ilmu emas itu sebanyak mungkin, kerana pernah satu pepatah menyatakan sekiranya anda rasa semakin anda membaca dan mencari ilmu semakin banyak pekara anda tidak tahu , ilmu yang anda pelajari itu betul.Sekiranya anda merasakan ilmu yang anda pelajari itu mencukupi maksudnya adalah sebaliknya.

: www.ilmudinaremas.com/search/label/Asas%20Pelaburan%20Emas

Bila Masa Terbaik Membeli Emas ?

Ramai di antara pembeli emas dan pelabur emas yang baru tertanya-tanya bilakah masa terbaik untuk membeli emas. Pelbagai versi yang didengari berkaitan masa terbaik membeli emas ini. Sebagai dealer saya cuma memberi galakan dan panduan kepada anda bila masa terbaik membeli emas.

Jawapannya mudah saja belilah ketika ada duit di tangan anda.

Mengapa?

Kita tidak akan bertemu dengan ‘perfect wave’ bila mula-mula melabur emas. Adakalanya bila harga emas rendah, kita kekurangan wang dan apabila kita mempunyai wang yang banyak harga emas pula mencacak naik.

Tiada siapa boleh mengetahui dengan tepat kenaikan dan penurunan harga emas walaupun menggunakan perisian yang canggih. Oleh itu ia digelar ramalan atau “prediction”.

Jangan kecewa, ingatlah pelaburan emas ialah pelaburan jangka sederhana dan panjang. Sekiranya anda seorang pelabur yang inginkan keuntungan segera dan dalam jangkamasa pendek pelaburan emas bukanlah pilihan yang sesuai. Terdapat pelbagai pelaburan lain yang menarik dan dipakejkan bersama risiko tertentu.

Cuma diingatkan pulangan yang lumayan mungkin memberikan anda risiko yang amat tinggi. Jangan sudah terkena baru anda menyesal kerana pengalaman itu amat menyakitkan.

Untuk merasai pengalaman pelaburan emas, belilah emas pertama anda walaupun sekeping dinar. Perhatikan pegerakan harga emas bagi tempoh setahun, tambahkan ilmu emas anda dan buatlah keputusan anda.

: www.ilmudinaremas.com/search/label/Asas%20Pelaburan%20Emas

Penyamun Putih Mata Barang Kemas Jatuh Atas Lantai

Alor Gajah: Tiga penjenayah bersenjata yang menyamun sebuah kedai emas di Pulau Sebang di sini semalam, berputih mata apabila dulang berisi emas bernilai puluhan ribu ringgit berterabur ketika mereka cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, tiga suspek bertopeng berusia 20 hingga 30-an itu dikatakan hanya sempat melarikan daripada emas berkenaan bernilai kira-kira RM5,000 dengan menaiki kereta.
Difahamkan, kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran kawasan terbabit dan berhenti berhampiran premis sebelum dua daripada suspek memasuki kedai terbabit.

Dulang jatuh ke lantai

Menurut sumber, ketika kejadian, seorang daripada suspek mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan dua dulang berisi cincin emas dikeluarkan dari almari kaca.

“Bagaimanapun, ketika mengangkatnya untuk memasukkan barang kemas ke dalam sebuah beg, dulang berkenaan terjatuh ke lantai dan menyebabkan suspek menggelabah lalu hanya sempat membawa lari sebahagian kecil barang emas.

“Mereka dilihat menaiki kenderaan sama menuju pekan Alor Gajah. Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Sebang sejurus kejadian,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian samun berkenaan yang dipercayai menggunakan pistol mainan.

“Mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang juga pemilik kedai emas itu dan beberapa pekerjanya tidak dicederakan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. BH

Di Sebalik Kejatuhan Harga Emas

Kejatuhan harga emas terus mendapat perhatian pengulas dan ahli ekonomi. Sebelum ini, ahli ekonomi, Nouriel Robini meramalkan harga emas terus jatuh, menuju ke arah AS$1000 pada tahun 2015.

Yang terbaharu, Daniel Gross yang menulis dalam Newsweek bahawa emas hilang kilauannya. Satu demi satu tonggak yang mendasari tesis pelaburan emas, hujah beliau, dipukul jatuh. Ekonomi global perlahan, yang bermakna inflasi masih terkawal. Krisis di Eropah, walaupun masih dapat diselesaikan, dalam keadaan terurus. Dan Bernanke (Ben Bernanke) pada bulan lalu memberikan isyarat bahawa Rizab Persekutuan akan mula mengurangkan usaha rangsangannya segera. Berdentum. Harga spot emas jatuh di bawah AS$1300, kejatuhan kira-kira satu pertiga daripada harga puncak.

Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi, iaitu Kenneth Rogoff menjelaskan bahawa harga emas pada Julai 2003, kira-kira AS$350 per auns, meningkat hari ini kerana setiap orang berasa yakin bahawa harganya terus naik esok. Para doktor dan doktor gigi, tambah Rogoff , mula menjual saham dan membeli syiling emas. Permintaan terhadap barang kemas emas di India dan China meningkat. Bank-bank pusat pasaran sedang muncul mempelbagaikan dolar kepada emas.

Rogoff yang pada Oktober 2010 pernah menulis mengapa harga emas meningkat 300 peratus, emas dipegang dahulu dan sekarang, bukan untuk tujuan spekulatif, sebaliknya emas merupakan lindung nilai. “Jika anda merupakan pelabur nilai bersih tinggi, atau dana kekayaan kedaulatan,” tulis Rogoff, “memang wajar untuk memegang peratusan kecil aset dalam emas sebagai lindung nilai terhadap peristiwa yang melampau.”

Keruntuhan harga emas baru-baru ini, menurut Rogoff, tidak benar-benar mengubah keadaan untuk melabur dalam emas. Harga emas dengan mudah jatuh di bawah AS$1000, tetapi kemudian, mungkin meningkat semula. Sementara itu, para penggubal dasar sepatutnya berhati-hati dalam mentafsirkan kejatuhan harga emas sebagai keyakinan dalam prestasi mereka.

oleh : ZULKIFLI SALLEH
zulkifli-salleh.blogspot.com/

Emas 350g untuk Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR,Julai (Bernama) — Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini selama lapan malam berakhir Sabtu malam dengan peserta Indonesia Dasrizal Marah Nainin muncul sebagai johan qari.
Bagi bahagian qariah, ia dimenangi peserta Maghribi, Hajar Boussaq.

Naib johan qari pula dimenangi peserta dari Iran, Mohammad Mashmoul sementara peserta Malaysia, Anuar Hasin menduduki tempat ketiga.

Sementara Hanimzah Jalaluddin dari Malaysia muncul naib johan bahagian qariah dan peserta Thailand, Natita Manasiya menduduki tempat ketiga.

Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Dasrizal yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangannya itu sebagai anugerah daripada Allah S.W.T di atas usahanya selama ini selain dorongan daripada keluarganya.

“Tak ada kata lain yang bisa diungkap atas kemenangan ini yang bukan mengambil masa yang sekejap, dan saya bersyukur menjadi peserta antara yang terbaik,” kata pensyarah di Maahad Tinggi Agama Islam Indonesia ini.

Hajar Boussaq, 23, pula menyifatkan pengiktirafan sebagai johan qariah sebagai batu loncatan untuk beliau mengembangkan pengetahun serta kemahirannya dalam bacaan ayat suci Al-Quran.

“Saya tujukan kemenangan ini kepada kerajaan Malik Mohammed ke-VI selain bersyukur kerana menjadi juara dalam pertandingan yang mencabar di peringkat antarabangsa ini,” kata pelajaran jurusan Pengajian Islam di Universiti Hamzah II, menerusi terjemahan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khalid Osman.

Hanimzah pula berazam untuk terus memperbaiki mutu bacaannya yang diakuinya masih mempunyai kelemahan.

“Segala usaha saya tidak sia-sia dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini,” kata penjawat JAKIM ini.

Seramai 43 peserta lain turut menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

Para juri berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan mutu bacaan yang amat baik serta lancar dengan memelihara hukum tajwid.

Seramai 15 juri dari 10 negara antaranya Jordan, Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan setiap peserta.

Tilawah yang bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ bermula sejak 29 Jun lepas disertai 59 peserta terdiri daripada 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara termsuk Sudan, Timor Leste, Mesir, Maldives, Sri Lanka serta Mauritius.

– BERNAMA

Banyak Kedai Emas Abai Aspek Keselamatan

KOTA BHARU Julai – Masih banyak kedai emas di negeri ini yang mengabaikan aspek keselamatan di premis perniagaan mereka dengan tidak mematuhi spesifikasi disarankan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sesebuah kedai emas itu perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, palang besi dan sebagainya bagi memastikan premis berkenaan selamat.

Beliau berkata, pengabaian aspek keselamatan tersebut secara secara tidak langsung membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah rompakan ke atas premis perniagaan berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kebanyakan premis aspek pencegahan dan keselamatannya sering terdedah kepada jenayah dan situasi ini membabitkan premis perniagaan di luar Kota Bharu.

“Bagaimanapun ada juga pemilik kedai emas yang telah 90 peratus mengikut spesifikasi aspek pencegahan dan keselamatan namun jumlahnya masih rendah.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan semua pemilik kedai emas di negeri ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan. Ia sangat penting bagi memastikan premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Cawangan Kedai Natika Gold and Diamond di Bazar Buluh Kubu hari ini.

sumber :  http://ww3.utusan.com.my