Hati-Hati Dengan Emas Palsu

Tips mudah untuk mereka yang ingin menjual atau membeli barang kemas, supaya anda tidak tertipu dan tidak didakwa. Yup, antara tips ringkas terbaik untuk mengelakkan diri daripada tertipu. Penting buat semua untuk baca sehingga habis.

1. Pakai barang kemas tersebut sekurang-kurangnya satu hari, jika anda dapat mengesan sebarang tanda pada kulit anda atau perubahan kaler maka emas tersebut mungkin palsu.

2. Dengan lembut cocokkan jarum pada emas tersebut, jika jarum tersebut tidak patah, maka emas anda mungkin tulen kerana emas bersifat lembut.

3. Letakkan barang kemas anda hampir kepada magnet, emas yang tulen tidak mempunyai sebarang sifat magnetic, tips ini sesuai untuk emas yang besar/tebal seperti jongkong emas atau (platinum), jika anda rasa barang kemas tersebut seperti melekat kepada magnet tersebut, maka ia adalah palsu.

4. Jika barang anda berupa rantai atau gelang yang boleh diputar, dengan lembut dan perlahan cuba pulas barang kemas tersebut, ia seakan boleh diputar tetapi jangan gunakan tenaga yang banyak kerana ia boleh putus. Cuma rasakan saja, ia keras atau lembut (tidak berkesan kepada emas 14 karat ke bawah)

5. Tengok pada cangkuk atau penyambung emas, kebiasannya setiap emas akan ditanda dengan kualitinya seperti 916, 750, atau apa sahaja. Selain itu, oleh kerana emas biasanya dijual oleh tauke-tauke cina, ada beberapa gambarajah (maaf saya tak dapat cari untuk sertakan disini) seperti orang berlari, bentuk rumah, dan sebagainya adalah tanda kualiti emas tersebut samada paun, 916 ataupun emas lama.

6. Jika anda tanda seperti GP, atau ZGP (Zhulian) maka ia adalah emas celup , lagi banyak tanda pada cangkuk atau penyambung emas, maka lagi besar kemungkinannya ia adalah palsu. GP stand for Gold Platted.

7. Jika anda tidak sayang pada barang kemas anda, anda boleh cuba toreh kepada batu hitam berkali-kali dan anda boleh tengok samada warna emas ataupun warna putih kesilveran yang terhasil, Hanya dua logam menghasilkan torehan berwarna kuning iaitu emas dan tembaga. Emas putih pun menghasilkan torehan berwarna kuning.

8. Ada juga barang kemas palsu yang berbentuk bulat dan sukar untuk diputar (penipu emas pun arif tentang emas palsu) maka tiada cara lain, anda perlu sendiri bawa berjumpa mereka yang lebih arif.

9. Emas tidak mempunyai bau, gosok barang kemas anda pada seluar jean anda pakai (dockers pun boleh, semua la) sehingga panas dan cuba bau, jika ia adalah besi atau apa sahaja anda boleh bau seakan ferum (bau besi, bau ikan), emas tidak mempunyai bau (saya ulang sekali lagi)

10. Jika ia jongkong yang ditulis berat pada sisinya, sila pergi timbang, kebiasaanya jongkong yang palsu tidak mempunyai berat yang tertera kerana pembuat emas palsu cenderung menggunakan bekas bentuk emas tulen tetapi menggunakan logam yang lain. Emas adalah logam yang paling padu, maka tiada logam lain yang mempunyai berat sama seperti emas dalam saiz yang sama.
Kebiasaanya jongkong yang palsu tidak mempunyai berat yang tertera kerana pembuat emas palsu cenderung menggunakan bekas bentuk emas tulen tetapi menggunakan logam yang lain. Emas adalah logam yang paling padu, maka tiada logam lain yang mempunyai berat sama seperti emas dalam saiz yang sama.

11. Jika anda pernah menonton filem koboi, mereka menggigit emas untuk mengesahkan ketulenannya, ia mungkin sedikit fiction tetapi mungkin juga benar kerana emas tulen bersifat lembut, anda boleh cuba gigit, ada sedikit rasa lembut dan tidak keras seperti menggigit ekzos kereta anda. (kami tidak bertanggungjawab jika gigi anda patah.)

12. Bagi mereka yang bersifat sentimental, ada sedikit perasaan berbeza ketika menyentuh emas palsu atau emas tulen. Saya pernah berjumpa dengan pelabur emas yang membeli jongkong emas kerana ingin merasai kenikmatan memegang dan menyimpan emas tulen. Memang ada aura.

Aset Syarikat Pelaburan Emas, Genneva Kekal Beku

KUALA LUMPUR 21 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan aset milik syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB) kekal dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga selesai rayuan kes terhadap beberapa pengarah syarikat itu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah keputusan mahkamah pada minggu lalu.

Tertuduh-tertuduh terdiri daripada tiga pengarah GSB iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan seorang bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Pada 16 Mei lalu, Rozana melepas dan membebaskan mereka daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan lebih RM100 juta.

Beliau memutuskan demikian selepas mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehari selepas itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Rozana membenarkan permohonan pendakwaan untuk penggantungan perintah tersebut dengan menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili oleh pegawai pendakwa dari BNM, Alvin Ong dan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong sementara S.I. Rajah hadir sebagai peguam pemerhati mewakili tiga pelabur.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama. Utusan

3 Ketul Emas 1.6Kg Milik Lembaga Wakaf Hindu P.Pinang Hilang

PULAU PINANG 20 Mei – Jika sebelum ini wang dari tabung Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hilang, kini badan itu diselubungi ‘misteri’ lagi.

Kali ini melibatkan kehilangan tiga ketul emas seberat 1.6 kilogram bernilai keseluruhan RM250,000 yang disimpan di pejabat lembaga berkenaan sejak Disember lalu tetapi hanya didedahkan hari ini.

Setiausaha PHEB, P. Selva berkata, kejadian itu disedari selepas beliau membuat semakan inventori di pejabatnya yang terletak di tingkat 30, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 26 Disember lalu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada sekitar pukul 9.30 malam pada hari berkenaan, saya mendapati ada keraguan mengenai jumlah ketulan emas yang disimpan berbanding dalam rekod,” katanya di sini hari ini.

Menurut Selva, beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada Jumaat lalu selepas bermesyuarat dengan Pengerusi PHEB yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan ahli-ahli lain.

Ditanya mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan kes berkenaan yang berkaitan dengan kepentingan penganut agama Hindu di negeri ini, Selva memberitahu, pihaknya mahu menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu.

Kami mula menyiasat selepas kehilangan emas berkenaan sehingga penghujung April lalu namun lembaga tidak bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan,” ujarnya.

Difahamkan terdapat lebih 10 ketul emas dan barangan berharga lain yang disumbangkan pelbagai pihak disimpan di situ.

Sebelum ini, PHEB dikejutkan dengan kes kecurian wang tabung sebanyak RM10,395 dan selepas itu berlaku kes sama membabitkan nilai RM68,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jurujual Dipenjara, Denda Curi Rantai & Loket Guru

KUALA TERENGGANU – Seorang jurujual bukan sahaja tidak sempat merasa ‘habuan’ hasil mencuri seutas rantai dan loket emas milik seorang guru muzik, malah dia juga terpaksa meringkuk dalam penjara selama tiga bulan dan dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Azwan Zolkifli, 20, dari Puchong, Selangor, turut diperintahkan agar dikenakan tiga bulan penjara tambahan jika gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas dia mengaku bersalah mencuri seutas rantai leher berserta loket emas milik Hartini Othman, di dalam makmal komputer Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, di sini, kira-kira jam 11.50 pagi, 2 April lalu.

Muhammad Azwan mengaku bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum kejadian, mangsa keluar minum pagi dan meletakkan beg tangan di atas meja di dalam bilik makmal komputer di tingkat dua bangunan sekolah itu.

Bagaimanapun, lima minit kemudian, mangsa kembali semula sebelum mendapati zip beg tangannya telah terbuka dan selepas membuat pemeriksaan, dia dapati rantai leher berserta loket telah hilang.

Hasil siasatan, Muhammad Azwan yang berjaya ditangkap sebelum sempat melarikan diri itu menyorokkan barang kemas berkenaan di rak buku bersebelahan dengan pejabat sekolah.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan hasrat seorang jurujual melarikan seutas rantai dan loket bernilai RM6,000 milik seorang guru muzik tidak kesampaian apabila dia dicekup sejurus perbuatannya terbongkar, dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di sini.

Suspek, berusia 20 tahun dipercayai telah datang ke sekolah berkenaan kononnya untuk menjual naskhah Al-Quran digital kepada guru sekolah. -Sinarharian

Skim: Pengarah dan Bekas Pengarah Genneva Dibebas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepas serta membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan Liew Chee Wah, 59, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan K.Selva Kumaran manakala Liew oleh Keppy Wong.

Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir kemudian memaklumkan mahkamah pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Beliau juga memohon pelaksanaan keputusan berhubung emas dan wang syarikat Genneva Sdn Bhd (GSB) yang sebelum ini dibekukan, ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Mahkamah akan mendengar permohonan itu esok.

Dalam penghakimannya, Rozana memutuskan syarikat itu tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.

Beliau berkata keterangan pembelaan dan bukti yang dikemuka menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaannya wujud dan bukan rekaan semata-mata.

Katanya, pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli semula atau ‘buy-back guarantee’ (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.

Bagaimanapun, Rozana berkata mahkamah berpendapat diskaun atau rebet dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.

Beliau berkata GSB, melalui BBG, memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menjual semula emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.

“Bukti keterangan ini menampakkan corak perniagaan GSB menjalankan aktiviti perniagaan jual beli emas sepertimana yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing, dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

“Transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan di dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam, dan bukan daripada hasil aktiviti haram,” kata Rozana.

Bagi pengubahan wang haram, Ng berdepan 93 pertuduhan, Yee 40 pertuduhan, Chin 61 pertuduhan manakala Liew 30.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memfailkan notis rayuan berhubung kes Genneva Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen hari ini

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata Kamar Peguam Negara telah bersetuju BNM memfailkan notis rayuan.

Kamar Peguam Negara dan BNM tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Genneva Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya daripada pertuduhan pada hari ini

BNM juga akan memohon supaya aset syarikat terus disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sementara menantikan keputusan rayuan. Genneva telah dikenakan pertuduhan pada Oktober 2010

Syarikat ini telah disiasat susulan terdapatnya aduan daripada orang ramai.

Siasatan kini telah selesai dan laporannya akan diserahkan kepada Kamar Peguam Negara.

Genneva Sdn Bhd ialah entiti berasingan daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) yang disiasat secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.

– Bernama

RM100,000 Hilang Dalam 3 Minit

Anggota forensik memeriksa sekitar kedai emas dalam kejadian rompakan di Jalan Othman, Petaling Jaya. – Foto Mior Azfar Mior Kamarulbaid

Petaling Jaya: Seorang pemilik kedai emas kerugian lebih RM100,000 dalam tempoh tiga minit selepas disamun empat penjenayah di premisnya di Jalan Othman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, empat lelaki bertopi keledar berpenutup muka, dilihat memasuki kedai emas yang baru sejam dibuka itu selepas melepaskan satu das tembakan amaran.
Enam pekerja dan seorang pelanggan yang berada dalam kedai berkenaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana dua daripada empat penjenayah dilihat bersenjatakan pistol.

Penjenayah terbabit memecahkan cermin kaunter menggunakan dua tukul besi dan kapak sebelum mengaut barang kemas dipamerkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi berkata, rompakan berlaku dalam tempoh tiga minit sebelum suspek melarikan diri menaiki dua motosikal.

“Lokasi kejadian sudah diperiksa pasukan forensik dan kita menemui beberapa bukti termasuk dua tukul besi dan sebilah kapak yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin pameran.

“Semua pekerja dan pelanggan di premis itu tidak dicederakan manakala polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, pengurus restoran berhampiran kedai emas terbabit, Ajimir Mustafa, 40, berkata beliau berada di kaunter ketika terdengar bunyi tembakan.

“Saya dan beberapa pekerja serta pelanggan lari ke belakang kedai untuk menyelamatkan diri,” katanya. -Bharian

Sindiket Tipu Beli Emas Dan Berlian Internet Tumpas

Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan internet yang kononnya menawarkan jualan barang berharga seperti emas dan berlian, dengan tertangkapnya 14 lelaki warga Afrika di Puchong, Selangor.

Tangkapan itu susulan aduan dibuat tiga mangsa dari China yang kerugian lebih tiga juta dolar Amerika.

DATUK SYED ISMAIL SYED AZIZAN / PENGARAH JSJK BUKIT AMAN
“Mangsa telah diminta memasukkan wang itu ke beberapa akaun tempatan dan setelah wang dimasukkan mereka ini, suspek ini telah pun menghilangkan diri”.

Pihaknya menerima laporan daripada polis China Disember lalu daripada tiga rakyat republik itu yang ditipu kenalan di laman sosial.

Siasatan kemudian membawa kepada serbuan di empat premis di Taman Mutiara Indah, Khamis lalu.

Semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 33 tahun itu adalah penuntut kolej di sekitar Lembah Klang.

Polis turut merampas 27 unit telefon bimbit, 12 kad ATM dan tujuh buah komputer riba.

Suri Rumah Curi Rantai Emas Dipenjara 6 Hari

Kota Bharu: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana mencuri seutas rantai emas bernilai RM900 di dalam sebuah kedai emas minggu lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad yang menjatuhkan hukuman itu selepas Nor Aini Mohd Yusoff, 21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan, memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh Nor Aini ditangkap pada 25 April 2013 dan dia boleh dikenakan tambahan hukuman penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda.

Sebelum itu, Nik Habri turut menasihatkan tertuduh supaya mengambil pengajaran terhadap kesalahan dilakukankannya.

“Saya tahu kamu bukan penjenayah tegar dan kejadian jenayah ini berlaku apabila kamu mempunyai peluang berbuat demikian.

“Kesalahan ini menyebabkan kamu rugi kerana perlu membayar denda melebihi nilai barang kemas itu selain memalukan suami dan anak. Saya harap kamu insaf,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Nor Aini didakwa mencuri seutas rantai leher emas milik Kedai Emas Seri Ayu di Jalan Temenggong di sini pada jam 11.15 pagi, 25 April 2013. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan kesalahannya.

“Saya tidak bekerja manakala suami hanya bekerja sebagai seorang buruh dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.

“Selepas direman beberapa hari saya sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan teladan kepada orang ramai. -hmetro

Penjual Emas Rugi RM96,000

HULU SELANGOR – Seorang penjual emas rugi RM96,000 apabila dirompak tiga lelaki ketika dalam perjalanan untuk berjumpa pelanggannya dekat Batang Kali di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian pukul 11.40 pagi itu berlaku apabila mangsa didatangi tiga suspek bersenjatakan parang dan pisau sebaik turun dari kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Pajero.

Katanya, turut berada dalam 4WD itu ialah seorang rakan mangsa.

“Salah seorang suspek kemudian menarik baju dan menolak mangsa hingga jatuh sebelum memijak dada dan mengacukan parang di lehernya.

“Dua lagi rakan suspek kemudian pergi ke kereta dan memegang rakannya sebelum melarikan sebuah beg galas yang mengandungi wang RM90,000 dan emas bernilai RM6,000,” katanya.

Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Wira yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurut Norel Azmi, siasatan mendapati mangsa pergi ke situ untuk menemui pelanggannya yang ingin menebus emas di sebuah premis pajak gadai.

Polis masih menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Wanita dakwa barang kemas RM50,000 arwah ibu disimpan polis hilang

KUANTAN – Seorang wanita hari ini membuat laporan polis selepas mendapati barangan kemas bernilai lebih RM50,000 milik keluarganya yang dijadikan bahan bukti dalam kes pembunuhan ibunya pada 1999 hilang dalam simpanan polis.

Tuan Rozita Tuan Kechil, 46, berkata barangan kemas itu berupa seutas rantai leher bermutiara, sepasang subang, seutas loket, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher yang didakwanya hilang selepas disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Tuan Rozita telah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam pada 15 September lalu serta menghubungi Pegawai Penyiasat kes berkenaan, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.

gambar hiasan -sindiket cuci emas

“Saya dimaklumkan pegawai terbabit telah berpindah ke tempat lain, saya gagal menghubunginya lagi. Saya hanya mahu mendapatkan semula barangan kemas milik arwah ibu saya yang dimaklumkan kepada saya yang telah hilang,” katanya dengan ditemani peguamnya Mohd Fadzli Mohd Ramly ketika membuat laporan di Balai Polis Kuantan hari ini.

“Kes sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana itu merupakan barangan kes dalam simpanan polis dan tidak sepatutnya hilang apabila dituntut semula,” katanya.

Mohd Fadzli pula berkata, kehilangan harta pusaka milik keluarga mangsa menimbulkan persoalan sama ada peti besi yang menyimpan barang kemas itu diceroboh atau sebaliknya namun berharap polis dapat menjalankan siasatan semula dengan teliti dan telus.

“Kami berharap kes ini dapat diselasaikan dengan segera dan jika tiada apa-apa maklum balas diterima, kami tidak menolak kemungkinan akan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah bagi memastikan keluarga mangsa mendapatkan semula hak mereka,” katanya.

Ibu Tuan Rozita, Nik Khazanah Wan Yaakob, 50, seorang peniaga barang kemas ditemui rentung dalam van miliknya selepas dibakar tiga penagih di Kampung Kempadang di sini pada 4 Jun 1999.

Kesemua mereka kemudiannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2001. – Bernama