Adakah Emas Masih Pelaburan Yang Baik?

KUALA LUMPUR: Emas tidak pernah hilang seri sebagai komoditi pelaburan paling terjamin tidak kira pada kaunter dagangan mahupun di kalangan pelabur emas fizikal.
Meskipun begitu, dagangan logam berharga itu kini berdepan risiko dilanda kerugian tahunan pertama kalinya dalam sejarah 13 tahun sekiranya corak dagangan lemahnya ketika ini berterusan.

Adakah ini merupakan petunjuk bahawa emas semakin hilang tarikannya sebagai lubuk pelaburan selamat atau adakah trend menurun ini dipacu oleh faktor lebih positif seperti peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekonomi global?

Kali terakhir dagangan emas menyaksikan kerugian tahunannya adalah pada tahun 2000 yang kemudian diikuti dengan sentimen bullish di pasaran pada tahun berikutnya.

Kejutan terbaru pula berlaku pada 15 April lalu apabila harga emas jatuh secara mendadak dengan merekodkan keruntuhan harga terbesar sejak 1993.

Ini sekaligus membawa kepada kemerosotan tinggi suku kedua tahun ini dengan kerugian mencecah rekod 44.7 bilion dolar, satu corak dagangan yang telah menggemparkan pasaran termasuk pelabur veteran.

Menurut penganalisis pelaburan Philip Futures yang berpangkalan di Singapura, Joyce Liew, sentimen di kalangan pelabur ketika ini banyak dipacu oleh keyakinan terhadap kemantapan ekonomi Amerika Syarikat.

Beliau pada masa sama kurang optimis dengan prestasi dagangan emas sepanjang tahun ini dan menjangkakan harga emas mungkin mencecah paras sokongan rendah 1107 seaun.

Meskipun begitu, rekod data yang dikumpulkan oleh Bloomberg membayangkan pasaran dagangan emas masih mempunyai harapan untuk melantun semula pada separuh tahun kedua tahun ini melihat kepada corak dagangannya sejak 1981.

Berdasarkan rekod,dari tahun 1981 sehingga 2000 ,dagangan emas bagi tempoh separuh tahun kedua biasanya lebih optimis dengan keuntungan purata sebanyak 1.3%.

Ini berbanding separuh tahun pertama yang biasanya mencatatkan kerugian purata sebanyak 3.9% bagi tempoh sama.

Jangkaan ini turut disokong oleh beberapa pemerhati pasaran yang optimis kemerosotan harga emas ketika ini adalah berikutan lambakan tawaran emas di pasaran bagi menyokong matawang dolar.

Justeru, Professor Abdul Halim dari Universiti Multimedia Melaka percaya kedudukan emas sebagai instrumen pelaburan jangka panjang terjamin tidak akan tergugat.

Pemerhati pasaran berpendapat pelabur kini perlu mengikuti rapat perkembangan di pasaran utama antaranya amerika syarikat untuk mendapatkan petunjuk.

Joyce Liew berkata antaranya perlu peka terhadap perkembangan mesyuarat Pesuruhjaya Persekutuan Pasaran Terbuka (FMOC) pada Julai dan September ini.

Harga emas dijangka akan melalui beberapa pusingkan kemerosotan lagi sekiranya keputusan bank pusat Amerika untuk menarik balik usaha rangsangan dicatitkan secara rasmi di dalam minit mesyuarat tersebut.

Manakala, untuk pasaran kembali ke paras bullish pula, dua perkara utama dinjangka akan melonjakkan harga emas iaitu jika ia mencapai paras rendah atau kadar inflasi di Amerika meningkat.

Tambah Joyce lagi, pelabur emas yang mahu melepaskan pegangan di tangan boleh menanam modal di dalam instrumen lain seperti sektor hartanah.

Dari aspek pelabur emas fizikal pula, kemerosotan harga emas telah melonjakan sentimen positif di pasaran dengan ketara dalam tempoh singkat.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold Datuk Louis Ng ,yang syarikatnya terlibat di dalam penjualan jongkong dan syiling emas fizikal, jualan syarikatnya telah meningkat.

Tambah Louis lagi, kos pelaburan emas fizikal yang lebih rendah ini juga menjadi faktor penggalak kepada pelabur kali pertama untuk belajar menanam modal.

Menurut Professor Abdul Halim Abdul Hamid pula, pembelian agresif emas fizikal akan turut disumbang faktor bermusim seperti ketibaan Hari Raya Aidilfitiri.

Permintaan untuk emas dalam bentuk barangan perhiasan juga dijangka menarik ramai pembeli dengan kemudahan ditawarkan banyak gedung emas yang membenarkan emas dijual kembali pada harga menarik.

Cerenna Manickam
http://www.astroawani.com/news/author/cerenna-manickam?cp

Siapakah Rakyat Malaysia Yang Beli Kapal Bersalut Emas RM13 Bilion?

Siapakah Rakyat Malaysia Yang Beli Kapal Bersalut Emas RM13 Bilion? | Jika dahulu, gelaran pemilik kapal mewah termahal dunia disandang oleh Roma Abramovich yang mana merupakan pemilik kelab bola sepak gergasi dunia Chelsea, kini dikatakan jatuh ke tangan seorang rakyat Malaysia pula. Siapakah beliau sebenarnya? Kita sebenarnya mengenali beliau kerana beliau antara yang terkaya di Malaysia terutama dalam menjalankan perniagaan gula. Siapa yang tidak kenal dengan Tan Sri Robert Kuok. Kapal yang ditempah khas ini dikatakan bernilai RM13 bililon. Fuh memang sangat mahal .

 

 

Tan Sri Robert Kuok, beliau merupakan Billionair Malaysia yang mempunyai kekayaan bernilai antara RM37.2 billion.

Raja Gula Asia ini telah menggemparkan banyak pihak apabila membeli sebuah kapal mewah bernilai RM13.38 billion.

Kapal berkenaan yang 10 kali ganda lebih mahal daripada kapal peribadi paling mahal didunia sebelum ini milik Roma Abramovich (Pemilik Kelab Chelsea) kini merupakan kapal mewah termahal dunia.

Keseluruhan badan kapal History Supreme dari dasarnya sehingga ke bahagian dek termasuk ruang makanan, rel dan sauh disalut emas padu.

Bilik tidur utamanya dihias mewah dengan menggunakan logam platinum dan menampilkan dinding bertatahkan sejumlah batu meteor serta artifak prasejarah seperti tulang dinosaur ganas, T-Rex.

Kapal History Supreme merupakan hasil kerja tangan pembuat hiasan emas terkenal dari Liverpool,Stuart Hughes yang mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkannya.

 

Di Rompak Ditepi Jalan

 

 

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon mengundang padah apabila menjadi mangsa samun empat lelaki di Jinjang di sini, kelmarin menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun yang sedang memandu kereta berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang mengetuk cermin tingkap kenderaannya dengan hulu parang.

Menurut sumber, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mangsa tidak sempat melarikan diri apabila pintu keretanya dibuka suspek yang meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan kemudian merayu dilepaskan tetapi tidak diendahkan suspek yang terus merampas telefon bimbitnya.

“Ketika kejadian itu, datang sebuah lagi motosikal dinaiki dua lelaki yang terus membuka pintu penumpang depan dan merampas beg kecil berisi wang tunai milik syarikat serta merentap rantai leher emas dipakai mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik merampas barangan mangsa, suspek terus melarikan diri tanpa mencederakannya.

“Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang,” katanya.

 

Sumber : Harian Metro

Suspek Rompak Kedai Emas Temerloh Lolos Diri Guna Kargo

TEMERLOH: Polis tidak menolak kemungkinan enam lelaki yang merompak barang kemas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dua hari lepas, turut menggunakan lori kargo bagi meloloskan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, suspek yang menaiki kereta jenis Honda Accord dan Toyota Camry selepas merompak kedai emas berkenaan memecut kenderaan menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Menurut saksi, kedua-dua buah kereta dinaiki enam perompak itu dikatakan merempuh kayu halangan di Tol Temerloh dan menghala ke Kuala Lumpur.

“Polis tidak menolak kemungkinan kereta itu dinaikkan ke dalam lori kargo yang menunggu mereka di kawasan rehat dan rawat di LPT menghala ke Karak,” katanya di sini, Sabtu.

Beliau bekata polis turut menemui lapan dulang kosong yang dibuang ditepi jalan, kira-kira 2km dari bandar Mentakab.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu penjenayah berkenaan mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan 24 dulang barangan kemas.

“Polis percaya rompakan itu dilakukan secara terancang dan melibatkan beberapa individu lain,” kata Zundin.

Semasa rompakan, pemilik kedai dan beberapa pekerjanya, baru tiba di kedai emas berkenaan untuk memulakan perniagaan sebelum diserbu empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Beliau berkata polis Temerloh dengan kerjasama polis dari negeri bersempadanan dengan Pahang kini memperhebatkan gerakan memburu kesemua suspek. – BERNAMA

Peniaga Emas Dirompak RM500,000

SUNGAI BULOH – Hanya dalam tempoh lima minit, sebuah kedai emas di Paya Jaras, di sini kerugian hampir setengah juta ringgit dalam kejadian rompakan bersenjata, petang kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa sedang melayan pelanggan, sepasang suami isteri. Seorang penjenayah menyerbu kedai tersebut dan mengacukan senapang kepada mangsa dan pelanggan itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, penjenayah yang menutup muka dengan kain itu mengarahkan mangsa memasukkan barang kemas ke dalam beg galas. “Mangsa menyerahkan lapan dulang emas kepada suspek, sebelum suspek melarikan diri setelah mendengar jeritan rakannya yang berada di luar premis itu,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lagi rakan suspek yang menaiki dua buah motosikal Yamaha 123 warna hitam dan merah menunggu di luar premis berkenaan.

“Siasatan juga mendapati premis berkenaan tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun seorang saksi memberitahu ternampak dua suspek berkenaan yang memakai topi keledar berada di luar premis itu,” katanya. Junaidi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti 17 kesan cap jari di lokasi kejadian.

“Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Enam Lelaki Rompak Barang Kemas RM3.2 Juta

TEMERLOH – Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini.

Katanya kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

“Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri.

“Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi,” katanya. – Bernama

Peragut Dipukul

Kuantan: Seorang daripada dua lelaki yang cuba merentap rantai leher emas seorang wanita dibelasah suami mangsa sejurus suspek terjatuh dari motosikalnya dalam kejadian di Jalan Wong Ah Jang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.05 pagi itu, seorang lagi rakan peragut bagaimanapun sempat melarikan diri, meninggalkan motosikal. Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu berjalan seorang diri untuk ke tempat kerjanya di sebuah syarikat percetakan sebelum diekori dua lelaki bermotosikal.

Timbalan Ketua Polis Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata ketika menghampiri mangsa, seorang daripada peragut merentap rantai leher wanita itu yang kemudian terus menjerit meminta tolong.

“Suami mangsa yang juga bekerja di syarikat sama berhampiran tempat kejadian mendengar jeritan itu sebelum bersama rakan sekerjanya menyergah dua peragut terbabit. Ia menyebabkan motosikal dinaiki suspek hilang kawalan dan terjatuh sebelum seorang daripada penjenayah itu diberkas orang awam.

“Tangan serta kaki suspek kemudian diikat dengan tali dan dia dibelasah orang ramai hingga cedera,” katanya sambil menambah, suspek berusia 22 tahun berasal dari FELDA Ulu Jempol, Maran, mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek. -Berita Harian

PUBLIC GOLD Lancar Produk Baru

Syarikat public gold telah melancarkan produk jongkong emas terbaru iaitu bungamas sebagai koleksi simpanan dan emas pelaburan bermotifkan ciri tradisional melayu.

Syarikat Public Gold memperkenalkan produk baru iaitu siri BungaMas. Produk ini merupakan jongkong emas atau gold bar 50 gram berdasarkan motif traditional melayu dengan ketulenan emas 999.9 sesuai untuk simpanan,koleksi,hadiah,mas kawin dan sebagai emas pelaburan.

Produk BungaMas ini telah diukir dengan tulisan Jawi yang anggun di permukaan hadapan jongkong emas. Terdapat juga corak Songket yang unik dicetak di belakang produk ini untuk meningkatkan lagi keistimewaannya. Songket adalah satu tenunan tangan kain, sama ada dalam sutera atau kapas halus yang bercorak dengan benang emas atau perak yang menonjolkan latar belakang kain untuk mewujudkan kesan berkilauan. Ia amat terkenal di Malaysia, Brunei dan Indonesia terutama di kalangan masyarakat Melayu untuk menggambarkan kemewahannya.

Produk BungaMas paling sesuai untuk diberikan sebagai hadiah sempena ulang tahun perkahwinan, hari jadi serta perayaan-perayaan yang penting. BungaMas juga sesuai diberi kepada orang yang disayangi sebagai tanda penghargaan serta untuk tujuan koleksi emas dan pengawal harta kekayaan di masa hadapan.

Spread atau susut nilai bungamas adalah lebih tinggi sedikit berbanding gold bar 50g biasa kerana seni pembuatan yang halus dan dicipta untuk kecantikan dan dikhususkan sebagai emas koleksi atau hadiah.

Spread harga emas bagi bungamas adalah RM7239-RM6768=RM471 bahagi RM7239=0.065 darab 100 iaitu 6.5%. spread harga emas bungamas 6.5% adalah rendah dan dikategorikan sebagai emas pelaburan.

Harga emas terkini adalah murah dan amat sesuai untuk membeli emas untuk pelaburan dan sekaligus memberikan hadiah untuk yang tersayang di musim perayaan. Adalah lebih baik memberikan hadiah emas yang akan meningkat harganya daripada memberikan hadiah barangan yang turun harganya seperti handset dan sebagainya.

Penyamun Putih Mata Barang Kemas Jatuh Atas Lantai

Alor Gajah: Tiga penjenayah bersenjata yang menyamun sebuah kedai emas di Pulau Sebang di sini semalam, berputih mata apabila dulang berisi emas bernilai puluhan ribu ringgit berterabur ketika mereka cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, tiga suspek bertopeng berusia 20 hingga 30-an itu dikatakan hanya sempat melarikan daripada emas berkenaan bernilai kira-kira RM5,000 dengan menaiki kereta.
Difahamkan, kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran kawasan terbabit dan berhenti berhampiran premis sebelum dua daripada suspek memasuki kedai terbabit.

Dulang jatuh ke lantai

Menurut sumber, ketika kejadian, seorang daripada suspek mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan dua dulang berisi cincin emas dikeluarkan dari almari kaca.

“Bagaimanapun, ketika mengangkatnya untuk memasukkan barang kemas ke dalam sebuah beg, dulang berkenaan terjatuh ke lantai dan menyebabkan suspek menggelabah lalu hanya sempat membawa lari sebahagian kecil barang emas.

“Mereka dilihat menaiki kenderaan sama menuju pekan Alor Gajah. Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Sebang sejurus kejadian,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian samun berkenaan yang dipercayai menggunakan pistol mainan.

“Mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang juga pemilik kedai emas itu dan beberapa pekerjanya tidak dicederakan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. BH

Emas 350g untuk Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR,Julai (Bernama) — Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini selama lapan malam berakhir Sabtu malam dengan peserta Indonesia Dasrizal Marah Nainin muncul sebagai johan qari.
Bagi bahagian qariah, ia dimenangi peserta Maghribi, Hajar Boussaq.

Naib johan qari pula dimenangi peserta dari Iran, Mohammad Mashmoul sementara peserta Malaysia, Anuar Hasin menduduki tempat ketiga.

Sementara Hanimzah Jalaluddin dari Malaysia muncul naib johan bahagian qariah dan peserta Thailand, Natita Manasiya menduduki tempat ketiga.

Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Dasrizal yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangannya itu sebagai anugerah daripada Allah S.W.T di atas usahanya selama ini selain dorongan daripada keluarganya.

“Tak ada kata lain yang bisa diungkap atas kemenangan ini yang bukan mengambil masa yang sekejap, dan saya bersyukur menjadi peserta antara yang terbaik,” kata pensyarah di Maahad Tinggi Agama Islam Indonesia ini.

Hajar Boussaq, 23, pula menyifatkan pengiktirafan sebagai johan qariah sebagai batu loncatan untuk beliau mengembangkan pengetahun serta kemahirannya dalam bacaan ayat suci Al-Quran.

“Saya tujukan kemenangan ini kepada kerajaan Malik Mohammed ke-VI selain bersyukur kerana menjadi juara dalam pertandingan yang mencabar di peringkat antarabangsa ini,” kata pelajaran jurusan Pengajian Islam di Universiti Hamzah II, menerusi terjemahan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khalid Osman.

Hanimzah pula berazam untuk terus memperbaiki mutu bacaannya yang diakuinya masih mempunyai kelemahan.

“Segala usaha saya tidak sia-sia dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini,” kata penjawat JAKIM ini.

Seramai 43 peserta lain turut menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

Para juri berpendapat setiap peserta telah memperdengarkan mutu bacaan yang amat baik serta lancar dengan memelihara hukum tajwid.

Seramai 15 juri dari 10 negara antaranya Jordan, Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan setiap peserta.

Tilawah yang bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ bermula sejak 29 Jun lepas disertai 59 peserta terdiri daripada 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara termsuk Sudan, Timor Leste, Mesir, Maldives, Sri Lanka serta Mauritius.

– BERNAMA