Harga Emas – Wikipedia

Emas Sebagai Matawang

Dari pelbagai jenis logam berharga, emas sangat popular dikalangan pelabur untuk menjadi salah satu aset didalam pelaburan mereka. Pelabur biasanya membeli emas sebagai penampang kejatuhan matawang, menampang kenaikan inflasi dan juga sebagai penampang kepada kejatuhan nilai aset-aset yang lain contohnya nilai hartanah, simpanan aset asing atau kejatuhan pasaran saham.

Nilai intrisic emas bukan hanya kerana ia logam, atau sebagai bahan pembuatan industri atau kerana ia boleh dimakan atau juga sebagai tempat untuk berlindung ketika hujan. Tetapi emas mempunyai sifat yang lebih unik iaitu ia adalah “Matawang!” Emas adalah matawang yang tetap sejak berabad-abad lalu kerana sifatnya yang lengkap untuk menjadi “matawang”, sifat ini tidak pada pada semua logam atau jisim lain didunia.

Contohnya, air dan makanan memang lebih penting untuk survival berbanding emas tetapi selepas keperluan asas ini cukup, masyarakat memerlukan suatu cara untuk mendapatkan keperluan yang lain, contohnya seorang petani ingin mendapatkan ikan di laut, Petani tidak mungkin dapat mencuri masa untuk kelaut, bagaimana pula nelayan ingin mendapatkan beras. Memang sukar untuk membayangkan jika sistem barter masih diamalkan hari ini. Berapa banyak beras perlu dibawa untuk menukar seekor lembu, atau lori, atau iphone. Atau berapa banyak bahagian perlu dipotong dari lembu untuk membeli tutti frutti. Jadi satu “jisim” diperlukan untuk memudahkan urusniaga dan jisim itu seharusnya mempunyai nilai yang sama di semua tempat dan kawasan.

Dalam sejarah tamadunan manusia, bangsa zaman mesolitik, neolitik menggunakan kulit kerang, logam bercop dan pelbagai lagi ukiran untuk dijadikan matawang, tetapi sistem tersebut gagal kerana jisim tersebut mudah ditemui dan dicipta. Menggunakan kulit kerang sebagai matawang bakal menjadikan penternak kerang bertambah kaya berbanding petani yang tidak mempunyai kerang begitu juga pengukir batu akan menjadi lebih kaya sekiranya setiap batu yang diukirnya lebih bernilai dari seekor lembu. Tamadun manusia sejak ribuan tahun mencuba dan mencari jisim yang mempunyai nilai yang tetap dan tidak boleh dicipta akhirnya menemui sejenis logam disebut emas sekitar 3000SM tahun sebelum masihi di Mesir.

Tamadunan manusia dapat membuktikan nilai emas akan kekal sebagai matawang, akan kekal berharga dan akan kekal laku untuk diniagakan, seperti mana ilmu tamadun membuktikan sehingga hari ini, hanya kuda boleh diternak dan kuda belang tidak. Hukum ini akan kekal sehingga ribuan tahun akan datang.

Faktor Emas Sebagai Matawang

  • Ia mesti tahan lama, tidak mudah terurai, tidak reput, tidak terbang dan tidak berkarat etc
  • Ia mesti mudah untuk disimpan dan dibawa. Walaupun emas berat, emas sangat padu dan boleh disimpan dengan selamat dalam pelbagai bentuk muka bumi, ia juga mudah dibawa kerana nilainya yang tinggi walaupun amaunnya kecil
  • Ia mesti boleh dipecah kepada saiz-saiz yang kecil untuk memudahkan urusniaga kecil. emas boleh ditempa menjadi senipis syiling atau sebesar bata. membuatkan ia mudah untuk digunakan semasa jual beli walaupun urusniaga yang kecil.
  • Ia mestilah “jarang” dan tidak boleh dicipta kerana jika ada pihak yang boleh mencipta emas untuk menampung perbelanjaan mereka, maka akan ada berbilion-bilion tan emas didunia dan ini mengakibatkan nilai emas jatuh.

Harga Emas

Emas telah digunakan dari zaman dahulu lagi sebagai matawang dan juga sebagai logam relatif kepada nilai wang kertas sehingga hari ini. Negara-negara di eropah menggunakan simpanan emas mereka sebagai kadar tukaran asing sebelum ia dibekukan apabila krisis kewangan berlaku ketika perang dunia pertama. Selepas perang dunia kedua, Sistem Bretton Woods diperkenalkan di Amerika dengan menambat setiap US$35 dollar bernilai 1 troy ounce emas. Sistem tersebut digunapakai sehingga tahun 1971, apabila kerajaan Amerika Syarikat membekukan sistem tukaran duit kepada emas dan hanya menggunakan wang kertas sebagai pertukaran. Matawang terakhir yang menghentikan tambatan pada emas adalah Swiss Franc pada tahun 2000.

Sejak 1919, penanda aras yang utama digunakan untuk menentukan harga emas adalah dari London Gold Fixing, harga emas ditentukan melalui perbincangan telefon antara 5 firma emas terbesar di London Bullion Market 2 kali setiap hari. Sehingga hari ini, emas didagangkan setiap hari mengikut spot-price yang dikembangkan dari harga dagangan emas dari setiap kaunter dagangan di seluruh dunia (code XAU).

Pada Mac 2008, harga emas melebihi US$1000 per ounce sebelum harga emas mengalami kejatuhan sementara kepada US$712.30 per ounce pada bulan November. Harga emas mula naik kembali pada Februari 2009. Pada Oktober 2009, harga emas sekali lagi memecah rekod tertinggi pada harga US$1226. Rekod tertinggi kenaikan harga emas adalah pada Ogos 2011, ketika itu harga emas mencecah US$1908 pada harga dagangan London Gold Fixing.
Malaysia menggunakan indeks emas Chan Haik Long (CHL), yang diperolehi dari panggilan telefon kepada pelebur emas, index emas CHL tertinggi yang dicatatkan adalah 6990 pada Ogos 2011 (index CHL dikembangkan dari tukaran matawang USD kepada MYR dan juga per tahil emas) rujuk Harga Emas Malaysia

Faktor Perubahan Harga Emas

Seperti komoditi-komoditi lain, harga emas bersandarkan kepada bekalan dan permintaan (supply & demand) dan juga spekulasi harga emas. Emas berbeza berbanding komoditi lain kerana permintaan untuk emas adalah sebagai pelaburan dan simpanan bukan untuk digunakan dalam industri kilang atau pembuatan. Kebanyakan emas yang telah digali beribu tahun dahulu masih lagi wujud dalam bentuk asal emas, seperti barang kemas yang telah dipakai, boleh dileburkan kembali dan menjadi emas dalam bentuk yang lain. Pada akhir tahun 2006, dianggarkan 158,000 tan emas telah digali atau jika dikumpulkan ia setebal kubik 20.2 meter pergi. (66 kaki).

Oleh kerana masih banyak lagi emas didalam simpanan, harga emas hanya berubah disebabkan kenaikan permintaan berbanding kadar pengeluaran emas di lombong. Menurut World Gold Council, sejak beberapa tahun lalu, pengeluaran emas telah merosot kepada 2,500 tan emas setahun, kira-kira 2000 tan disalurkan untuk industri barangan kemas, pergigian, bullion stock dan 500 tan lagi adalah untuk pelaburan dan kepada dana-dana tukaran matawang.

Bank Pusat

Bank Pusat (Bank Negara) dan International Monetary Fund (IMF) memainkan peranan penting dalam menentukan harga emas. Pada lewat 2004, Bank Pusat dan Badan Rasmi tersebut memiliki 19 peratus dari jumlah emas yang telah dikorek dari muka bumi. Perjanjian 10 tahun Washington (WAG) yang bertarikh September 1999, menyekat jual-beli emas kepada kesatuan (Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Australia, IMF) kepada kurang dari 500 tan setahun. Sejak itu, Bank-Bank Eropah seperti Bank of England dan Swiss National Bank adalah adalah pemain utama dalam jual beli emas dunia. Pada 2009, Perjanjian WAG dilanjutkan untuk tempoh masa 5 tahun lagi, dan had jualan dikecilkan kepada 400 tan setahun.

Walaupun Bank-Bank negara tidak akan mengumumkan pembelian mereka sebelum jual-beli, beberapa Negara seperti Russia telah menunjukkan minat mereka untuk meningkatkan bilangan simpanan emas negara sejak tahun 2005. Pada awal 2006, Bank Negara China yang hanya memiliki 1.3% simpanan emas mengumumkan mereka akan mencari jalan untuk meningkatkan pulangan mereka dengan simpanan emas. Pemerhati pelaburan melihat pengumuman tersebut adalah isyarat China akan mengubah beberapa pegangan ekuiti mereka kepada emas. India merupakan antara negara paling untung dengan kenaikan harga emas yang tinggi sejak 2008, pembelian 200 tan emas oleh india pada september 2009 telah meninggikan lagi harga emas.

Pandangan harga emas berkait rapat dengan kadar faedah biasa diterima secara umum, kerana setiap kenaikan kadar faedah, akan merendahkan minat untuk membeli emas, dan apabila kadar faedah turun, harga emas juga akan naik. Disebabkan itu harga emas dikaitkan dengan dasar kewangan Bank Pusat, samada untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah. Contohnya, jika pasaran saham menunjukkan isyarat inflasi yang bakal berpanjangan, bank pusat akan menaikkan kadar faedah untuk mengimbangkan kenaikan harga emas bagi memadamkan kemungkinan inflasi. Contoh bertentangan dapat dilihat apabila Bank Eropah menaikkan kadar faedah mereka pada April 2011, kali pertama sejak 2008, harga emas yang sebelum ini naik tinggi mula beransur perlahan dan mendatar, untuk beberapa ketika, bagaimanapun ini hanya dapat menghalang kenaikan untuk sementara waktu kerana harga emas naik mencapai puncak lebih tinggi pada masa akan datang. Contoh juga di India pada Ogos 2011 dimana kadar faedah yang tertinggi di India ketika itu menyebabkan harga emas mencapat harga tertinggi.

Pelindung Nilai kepada ketegangan kewangan.

Emas seperti logam bernilai yang lain sering kali digunakan sebagai pelindundung nilai kepada inflasi, deflasi dan penurunan matawang. Joe Foster, pengurus dana Vaneck International Gold Fund yang berpangkalan di New York, menerangkan pada September 2010.

Matawang bagi negara-negara utama, termasuk USD, berada dalam tekanan pasaran disebabkan perbelanjaan defisit negara. Semakin banyak wang dollar dicetak ke dalam ekonomi sekarang nilai matawang dollar akan semakin kurang bernilai.

Sekiranya pulangan dari bon, ekuiti dan hartanah tidak lagi dapat menangani jumlah risiko dan inflasi maka permintaan untuk pembeli emas dan komoditi-komoditi lain akan turut meningkat.
Permintaan untuk pembuatan barang kemas.

Barang kemas merangkumi hampir 2/3 dari permintaan pasaran. Negara India adalah pengguna terbesar barangan kemas sekurang-kurangnya 27% permintaan barangan kemas didunia adalah dari India diikuti China dan Amerika.
Selain barangan kemas, emas turut penting dalam sektor perubatan dan industri maju kerana emas mempunyai sifat konduksi haba dan elektrik yang baik selain dari ia tidak berkarat dan tidak terurai dengan sebarang bentuk bakteria.
Dewasa ini, perniagaan emas terpakai, emas lama, telah menjadi multi-bilion industri.

Faktor Singkat Harga Emas

Harga emas juga turut terkesan dengan pelbagai lagi mekanisme, seperti jualan tiba-tiba amaun yang besar, terutama melibatkan firma bullion yang besar. Pemerhati pasaran emas menjelaskan, harga emas biasanya akan terjejas apabila dagangan di Stock Exchange New York bermula, perang, rampasan kuasa, tragedi dunia dan Kecemasan berlaku dalam suatu negara.

Ini dapat dilihat sepanjang 2011, apabila harga emas turun ketika Arab Spring, dan naik selepas beberapa minggu, seperti ketika rampasan kuasa di Libya dan mesir. Tragedi Tsunami di jepun pada Mac 2011 turut merendahkan harga emas sebelum naik kembali 2 minggu seterusnya.

Ketika berlaku peperangan, ramai yang akan bimbang dengan aset mereka yang akan dibekukan dan matawang tidak bernilai, mereka akan membeli emas yang mana sentiasa boleh digunakan untuk membeli makanan, transport. Disebabkan itu, ketika peperangan, permintaan untuk emas akan naik.

Cincin RM24 Juta Bukan Untuk Rosmah

Tukang emas yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Jacob & Co akhirnya tampil menyokong penjelasan isteri perdana menteri Rosmah Mansor bahawa cincin kontroversi RM24 juta yang dibawa masuk ke negara ini bukan bawah namanya atau dibeli olehnya.

Dalam sebuah wawancara video, Pengarah Barang Kemas Jacob & Co Philip Nassimi (kiri) berkata, “Natural Fancy Blue Grade Cushion Diamond Ring” 30.11 karat itu sebenarnya untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev, ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang bertunang dengan anak Rosmah, Nooryana Najwan.

“Ia dibawa untuk pameran dan penelitian sahaja, bukan untuk dijual – untuk perhatian Maira Nazarbayev, (yang berada) bawah jagaan Madam Rosmah Mansor

“Oleh kerana Maira Nazarbayev menjadi tamu di kediaman perdana menteri, barangan itu dihantar dengan keadaan begitu.

“Alasan kenapa dalam House Airway Bill, disebut nama Madam Rosmah Mansor, kerana untuk menghantar barangan berharga ke Malaysia – Kuala Lumpur – ia perlu dihantar bawah jagaan rakyat tempatan Malaysia dan bukannya warga asing,” katanya.

Beliau menjelaskan, House Airway Bill merupakan dokumen biasa untuk menghantar barangan berharga AS ke dalam atau luar negara.

Polis Tumpaskan Sindiket Cuci Emas Tipu

KEPALA BATAS: Polis menumpaskan sindiket penipuan mencuci barang kemas yang bertindak menghakis emas mangsa dengan menggunakan sejenis bahan kimia selepas menahan dua lelaki warga China dan seorang wanita tempatan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Siasatan Jenayah Komersil sejak sebulan lepas, pihaknya berjaya mengesan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun berkenaan di terminal tambang murah di Sepang, Selangor.

“Ketika ditahan mereka mahu ke China dan dipercayai untuk menjual emas yang telah dicuri.

Bersama mereka ketika itu kita turut merampas beberapa ketulan emas dan barangan kemas bernilai lebih RM70,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Raub, Pahang dipercayai tempat sindiket terbabit beroperasi sejak dua tahun lepas dengan menipu orang ramai di seluruh negara.

“Di rumah berkenaan kita merampas beberapa lagi barang kemas pelbagai bentuk, peralatan membuat atau membentuk emas, tiub gas dan tong gas serta wang tunai.

Selain itu, polis turut menemui beberapa bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghakis emas,” katanya.

Set Barang Kemas RM150,000 ABPBH

Ampang: Penaja emas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, Habib Jewels Sdn Bhd, memperkenalkan set barang kemas bernilai RM150,000 yang bakal menjadi milik Bintang Paling Popular di bilik pamerannya di sini, semalam.

Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, dipilih menggayakan set perhiasan berkenaan yang merangkumi subang, rantai, cincin dan gelang tangan.
Selain Elly, dua selebriti lain yang turut memperagakan barang kemas Habib semalam ialah Anzalna Nasir dan Aishah Sinclair.

Barang kemas yang direka khas itu diperbuat daripada gabungan moganite, berlian dan batu permata, serta dicipta mengikut reka bentuk unik dan tersendiri.

Jika sebelum ini Habib menghadiahkan kerongsang untuk pemenang kategori itu, namun kali ini mereka menggantikannya dengan gelang tangan potongan kelopak bunga.

Perkenal barang kemas

Majlis memperkenalkan hadiah utama itu dihadiri Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Sadik Habib dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Selain hadiah utama, majlis petang itu turut memperkenalkan barangan kemas yang bakal digayakan pengacara, penyampai trofi, artis persembahan serta selebriti terpilih.

Pada malam kemuncak nanti, pengacaranya, Fara Fauzana, bakal menggayakan cincin bernilai RM10 juta, yang juga aksesori paling mahal pada acara yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 7 April ini.

12 Jongkong Emas Bernilai RM17.86 Juta Ditemui Di Dalam Kereta

ROM – Polis Itali semalam menyatakan pihaknya menemui beberapa jongkong emas yang bernilai AS$5.8 juta (RM17.86 juta) yang disembunyikan di dalam sebuah kereta.

Ketika kejadian, kereta tersebut dalam perjalanan ke Switzerland.

Polis menahan kereta berkenaan ketika melakukan pemeriksaan harian.

Ketika kereta tersebut ditahan, isteri pemandu kereta berkenaan dan anak-anaknya berada dalam keadaan gementar.

Anggota-anggota polis kemudian menemui dua ruang yang tersembunyi di bawah kereta itu.

Sebanyak 12 jongkong emas kemudian ditemui yang dibungkus dengan surat khabar lama.

Pemandu kereta yang berusia 53 tahun itu merupakan seorang penduduk Itali yang tinggal di Switzerland.

Dia dan pasangannya itu disoal siasat di sebuah balai polis ekoran penemuan tersebut.

Pemandu itu dikenakan dakwaan melakukan penggubahan wang haram dan jongkong emas tersebut dirampas. – AFP

Lans Koperal Rompak Kedai Emas Dipenjara 9 Tahun


Dua ‘perompak’ yang dijatuhi hukuman kelmarin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

“Hukuman penjara lebih lama diberikan kepada tertuduh kedua (Azizan) kerana sebagai polis, dia sepatutnya menjaga dan melindungi orang awam, tetapi bertindak sebaliknya apabila turut sama-sama melakukan jenayah.”

Demikian hujah Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Manakala rakannya seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Azizan Shaari, 30, dari Cawangan Bengkel Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, manakala rakannya Jeffridin Manan, 33, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api jenis revolver di sebuah kedai emas di Marang, kira-kira dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak barang kemas bernilai RM35,000 milik Fong Swee Heng, 50, dan semasa melakukan rompakan itu menggunakan sepucuk senjata api revolver dan satu tukul besi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 28 November 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Mohd Yazid, manakala Jeffridin dan Azizan masing-masing diwakili peguam, Osman Bakar dan Bernard.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kejadian rompakan yang berlaku sebaik saja kedai dibuka pada waktu siang dan di tempat awam dengan tertuduh menutup muka.

Katanya lagi, ia satu rompakan dirancang secara teratur dan paling penting rompakan itu menggunakan senjata api iaitu pistol menyebabkan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal.

Zakat Emas & Perak

Zakat Emas dan Perak
Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.

Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

Dalil Wajib Zakat
Firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”
(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah)

Kaedah Kiraan Zakat Emas dan Perak

1. Emas Perhiasan Wanita
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Mungkin anda boleh mencari kadar uruf bagi negeri lain.

Contoh:
(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)

1000 gram x RM140 = RM139000 x 2.5% = RM3500

2. Emas Yang Disimpan
Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang,jongkong emas, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram

Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%

100 gram x RM140 = RM14000 x 2.5% = RM350

3.Perak
Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih

Contoh:
1000 gram perak x RM3(segram) x 2.5% = RM75

———————————————————————————————
Zakat ialah cara untuk kita bersihkan harta kita, zakat juga boleh dibayar dengan menggunakan dinar dan dirham. Rukun Islam yang ke-4 ialah mengeluarkan zakat, berzakatlah anda, jangan terasa rugi apabila anda mengeluarkan zakat. Rezeki datang dari Allah Yang Esa, dan berada dimana. carilah!

Hanya Kerana Pin Rambut Emas Meiktila Bergolak

KONFLIK antara penganut Buddha dan umat Islam di Myanmar meletus lagi. Kali ini bukan di Sitwe, wilayah Rakhine tetapi di pekan Meiktila (juga ditulis Meikhtila). Pekan tersebut terletak hanya kira-kira 160 kilometer (km) dari Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Jarak antara Sitwe (tempat meletusnya konflik Rakhine dan Rohingya) dengan Meiktila lebih kurang 700 km. Dua pekan ini dipisahkan oleh Banjaran Arakan Yoma dan perjalanan di antara dua tempat ini boleh mencecah belasan jam.

Demografi dan topografi kedua-dua tempat itu juga amat berbeza. Rakhine merupakan kawasan pesisir pantai, berbeza dengan Meiktila yang terletak dalam wilayah Mandalay iaitu di kawasan tengah Myanmar yang digelar ‘jantung Myanmar’.

Dari segi penduduknya, etnik Rakhine merupakan penduduk majoriti di wilayah Rakhine selain terdapat jumlah etnik Rohingya yang signifikan. Di Meiktila pula, penduduknya rata-rata terdiri daripada etnik Bamar yang juga merupakan kaum majoriti di Myanmar.

Persoalannya bagaimana konflik antara penganut agama Buddha dengan Islam mampu mengharungi Banjaran Arakan Yoma dan merebak dari Sitwe ke Meiktila? Timbul juga tanda tanya yang sememangnya menarik perhatian – adakah antara insiden di kedua-dua tempat itu saling berkait?

Konflik di Meiktila dicetuskan oleh perkara yang amat remeh iaitu apabila satu pasangan beragama Buddha ingin menjual pin rambut emas dengan harga RM496 kepada seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam. Selepas tawar-menawar, masing-masing bersetuju dengan harga RM372.

Peniaga emas itu bagaimanapun meninggalkan kedai sebentar pergi ke tempat lain untuk mengenal pasti kualiti pin rambut emas itu. Pergaduhan tercetus apabila peniaga tersebut pulang dan mahu mengurangkan harga belian dengan mendakwa pin rambut itu telah rosak.

Masing-masing bertelagah mengenai siapa yang merosakkan pin rambut itu. Akhirnya, peniaga emas berkenaan bertindak melontar pin rambut tersebut. Lelaki yang ingin menjual pin itu pula mendakwa dirinya telah dipukul oleh pembantu-pembantu kedai yang lain.

Akibat pertelagahan tersebut, sebuah masjid dan banyak kedai dibakar. Belasan orang termasuk seorang sami Buddha dipercayai terkorban manakala ratusan polis mengepung Meiktila. Perintah berkurung dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan konflik merebak.

Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Meiktila hanya sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Meiktila mencipta nama di peringkat global kerana di Tasik Meiktila itulah, pemenang hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan suaminya, Dr. Michael Aris berbulan madu.

Selain itu, Meiktila juga merupakan pusat transit pengangkutan bas bagi dua destinasi pelancongan terkemuka di Myanmar iaitu Tasik Inle di negeri Shan dan Kompleks Arkeologi Bagan. Banyak pelancong asing dari Tasik Inle dan Bagan akan singgah di Meiktila untuk menjamu kauk swe jaw (mi goreng Myanmar) sambil minum la peik ye (teh tarik Myanmar) sebelum meneruskan perjalanan ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Namun konflik pin rambut emas menjadikan Meiktila seperti zon perang dengan penduduknya menyembunyikan diri di dalam rumah dan hidup ketakutan. Pasar Meiktila yang sebelum ini meriah dengan suara tawar-menawar dipenuhi polis yang berkawal.

Yang pasti api permusuhan antara penganut Buddha dan Islam yang bermula dari Sitwe telah merebak sehingga Meiktila.

Walaupun keadaan di Sitwe sedikit sebanyak pulih kepada normal namun hati penduduk di situ dan seluruh Myanmar masih belum ditenangkan, tidak kira mereka yang beragama Buddha atau pun Islam.

Legasi sejarah perkauman yang masih menghantui rakyat Myanmar sekali lagi dibangkitkan. Generasi muda melalui buku-buku sejarah tahu bagaimana tanah pusaka nenek moyang mereka tergadai kerana berhutang dengan ceti-ceti dari India termasuk yang beragama Islam.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai penduduk Islam di Myanmar mempunyai legasi dengan India yang boleh dikesan sejak penjajahan British atau lebih awal. Istilah Myanmar Muslim digunakan untuk menggelar kumpulan penduduk ini selain membezakan mereka dengan etnik Rohingya.

Fenomena fobia terhadap Islam pernah mencetuskan pelbagai rusuhan sebelum dan selepas penjajahan British, malahan selepas kemerdekaan. Keadaan itu mendesak banyak umat Islam yang berasal dari India melarikan diri.

Banyak penduduk Myanmar melihat etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Kemarahan mereka terhadap etnik tersebut sebenarnya berjangkit kepada umat Islam secara umumnya.

Dalam kalangan umat Islam pula, mereka secara automatik percaya bahawa etnik Rohingya telah ditindas habis-habisan melalui tindakan balas dendam besar-besaran etnik Rakhine.

Kepercayaan ini bukan disebabkan mereka mempunyai hubungan dengan Rohingya tetapi kerana persepsi bahawa penganut Islam sebagai orang yang tertindas.

Sebab itu hanya kerana pin rambut emas, ia boleh mencetuskan tragedi yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

Kejadian itu menggambar betapa rapuhnya hubungan orang Islam dengan Buddha di Myanmar. Ia turut menggambarkan rasa tidak puas hati penduduk beragama Buddha di Meiktila yang kebanyakannya petani terhadap peniaga beragama Islam. Maka dalam keadaan tertentu, senario itu mungkin boleh digambarkan sebagai konflik antara kelas yang didorong oleh perbezaan agama.

Perkembangan di Meiktila boleh dijadikan isyarat bahawa konflik penganut Buddha dengan Islam di Myanmar tidak lagi bersifat setempat atau terhad di negeri Rakhine. Konflik seumpama itu boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Yangon sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dengan serta-merta.

Simbol pusat bandar Yangon ialah Pagoda Sule yang dikatakan berusia 2,000 tahun di tengah-tengah kesibukan sebuah bulatan jalan raya. Menariknya, pagoda Buddha itu dikelilingi oleh gereja Kristian dan masjid Sunni yang bersejarah.

Oleh sebab keunikan itu, pengunjung yang berjalan kaki di pusat bandar Myanmar kadang-kala boleh mendengar nyanyian lagu penganut kristian, bacaan doa penganut Buddha dan laungan azan pada masa yang hampir sama.

Suasana tersebut melambangkan walaupun Myanmar diduduki secara majoriti oleh penganut Buddha tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Myanmar dan setiap penduduk negara itu mempertahankan keharmonian yang sedang dinikmati. -Utusan

Harapan Temui Pelombong Emas Tertimbus di Tibet Semakin Pudar

BEIJING: Harapan pasukan pencari dan penyelamat China untuk mengesan 82 lagi mangsa tanah runtuh yang berlaku di kawasan perlombongan emas di sebuah kawasan pergunungan Tibet semalam, kini semakin pudar.

Seramai 3,500 anggota pasukan penyelamat serta 300 kelengkapan jentera menyertai gerakan mencari dan menyelamat itu, sambil ada yang hanya menggunakan tangan kosong untuk mencari mangsa tertimbus selain berdepan salji tebal dan ancaman penyakit.

Menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua, seramai 82 pelombong masih terperangkap setelah seorang mangsa ditemui semalam, iaitu hampir 36 jam selepas kejadian tanah runtuh besar yang menimbus pekerja lombong emas di Lhasa di daerah Maizhokunggar, pada jam 6 pagi Jumaat.

“Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus, tetapi sehingga kini belum dapat mengesan lokasi mereka,” kata Wu Yingjie, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Autonomi Wilayah Tibet Parti-Komunis China. – AFP