Lans Koperal Rompak Kedai Emas Dipenjara 9 Tahun


Dua ‘perompak’ yang dijatuhi hukuman kelmarin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

“Hukuman penjara lebih lama diberikan kepada tertuduh kedua (Azizan) kerana sebagai polis, dia sepatutnya menjaga dan melindungi orang awam, tetapi bertindak sebaliknya apabila turut sama-sama melakukan jenayah.”

Demikian hujah Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Manakala rakannya seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Azizan Shaari, 30, dari Cawangan Bengkel Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, manakala rakannya Jeffridin Manan, 33, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api jenis revolver di sebuah kedai emas di Marang, kira-kira dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak barang kemas bernilai RM35,000 milik Fong Swee Heng, 50, dan semasa melakukan rompakan itu menggunakan sepucuk senjata api revolver dan satu tukul besi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 28 November 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Mohd Yazid, manakala Jeffridin dan Azizan masing-masing diwakili peguam, Osman Bakar dan Bernard.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kejadian rompakan yang berlaku sebaik saja kedai dibuka pada waktu siang dan di tempat awam dengan tertuduh menutup muka.

Katanya lagi, ia satu rompakan dirancang secara teratur dan paling penting rompakan itu menggunakan senjata api iaitu pistol menyebabkan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal.

Zakat Emas & Perak

Zakat Emas dan Perak
Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.

Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

Dalil Wajib Zakat
Firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”
(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah)

Kaedah Kiraan Zakat Emas dan Perak

1. Emas Perhiasan Wanita
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Mungkin anda boleh mencari kadar uruf bagi negeri lain.

Contoh:
(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)

1000 gram x RM140 = RM139000 x 2.5% = RM3500

2. Emas Yang Disimpan
Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang,jongkong emas, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram

Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%

100 gram x RM140 = RM14000 x 2.5% = RM350

3.Perak
Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih

Contoh:
1000 gram perak x RM3(segram) x 2.5% = RM75

———————————————————————————————
Zakat ialah cara untuk kita bersihkan harta kita, zakat juga boleh dibayar dengan menggunakan dinar dan dirham. Rukun Islam yang ke-4 ialah mengeluarkan zakat, berzakatlah anda, jangan terasa rugi apabila anda mengeluarkan zakat. Rezeki datang dari Allah Yang Esa, dan berada dimana. carilah!

Hanya Kerana Pin Rambut Emas Meiktila Bergolak

KONFLIK antara penganut Buddha dan umat Islam di Myanmar meletus lagi. Kali ini bukan di Sitwe, wilayah Rakhine tetapi di pekan Meiktila (juga ditulis Meikhtila). Pekan tersebut terletak hanya kira-kira 160 kilometer (km) dari Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Jarak antara Sitwe (tempat meletusnya konflik Rakhine dan Rohingya) dengan Meiktila lebih kurang 700 km. Dua pekan ini dipisahkan oleh Banjaran Arakan Yoma dan perjalanan di antara dua tempat ini boleh mencecah belasan jam.

Demografi dan topografi kedua-dua tempat itu juga amat berbeza. Rakhine merupakan kawasan pesisir pantai, berbeza dengan Meiktila yang terletak dalam wilayah Mandalay iaitu di kawasan tengah Myanmar yang digelar ‘jantung Myanmar’.

Dari segi penduduknya, etnik Rakhine merupakan penduduk majoriti di wilayah Rakhine selain terdapat jumlah etnik Rohingya yang signifikan. Di Meiktila pula, penduduknya rata-rata terdiri daripada etnik Bamar yang juga merupakan kaum majoriti di Myanmar.

Persoalannya bagaimana konflik antara penganut agama Buddha dengan Islam mampu mengharungi Banjaran Arakan Yoma dan merebak dari Sitwe ke Meiktila? Timbul juga tanda tanya yang sememangnya menarik perhatian – adakah antara insiden di kedua-dua tempat itu saling berkait?

Konflik di Meiktila dicetuskan oleh perkara yang amat remeh iaitu apabila satu pasangan beragama Buddha ingin menjual pin rambut emas dengan harga RM496 kepada seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam. Selepas tawar-menawar, masing-masing bersetuju dengan harga RM372.

Peniaga emas itu bagaimanapun meninggalkan kedai sebentar pergi ke tempat lain untuk mengenal pasti kualiti pin rambut emas itu. Pergaduhan tercetus apabila peniaga tersebut pulang dan mahu mengurangkan harga belian dengan mendakwa pin rambut itu telah rosak.

Masing-masing bertelagah mengenai siapa yang merosakkan pin rambut itu. Akhirnya, peniaga emas berkenaan bertindak melontar pin rambut tersebut. Lelaki yang ingin menjual pin itu pula mendakwa dirinya telah dipukul oleh pembantu-pembantu kedai yang lain.

Akibat pertelagahan tersebut, sebuah masjid dan banyak kedai dibakar. Belasan orang termasuk seorang sami Buddha dipercayai terkorban manakala ratusan polis mengepung Meiktila. Perintah berkurung dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan konflik merebak.

Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Meiktila hanya sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Meiktila mencipta nama di peringkat global kerana di Tasik Meiktila itulah, pemenang hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan suaminya, Dr. Michael Aris berbulan madu.

Selain itu, Meiktila juga merupakan pusat transit pengangkutan bas bagi dua destinasi pelancongan terkemuka di Myanmar iaitu Tasik Inle di negeri Shan dan Kompleks Arkeologi Bagan. Banyak pelancong asing dari Tasik Inle dan Bagan akan singgah di Meiktila untuk menjamu kauk swe jaw (mi goreng Myanmar) sambil minum la peik ye (teh tarik Myanmar) sebelum meneruskan perjalanan ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Namun konflik pin rambut emas menjadikan Meiktila seperti zon perang dengan penduduknya menyembunyikan diri di dalam rumah dan hidup ketakutan. Pasar Meiktila yang sebelum ini meriah dengan suara tawar-menawar dipenuhi polis yang berkawal.

Yang pasti api permusuhan antara penganut Buddha dan Islam yang bermula dari Sitwe telah merebak sehingga Meiktila.

Walaupun keadaan di Sitwe sedikit sebanyak pulih kepada normal namun hati penduduk di situ dan seluruh Myanmar masih belum ditenangkan, tidak kira mereka yang beragama Buddha atau pun Islam.

Legasi sejarah perkauman yang masih menghantui rakyat Myanmar sekali lagi dibangkitkan. Generasi muda melalui buku-buku sejarah tahu bagaimana tanah pusaka nenek moyang mereka tergadai kerana berhutang dengan ceti-ceti dari India termasuk yang beragama Islam.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai penduduk Islam di Myanmar mempunyai legasi dengan India yang boleh dikesan sejak penjajahan British atau lebih awal. Istilah Myanmar Muslim digunakan untuk menggelar kumpulan penduduk ini selain membezakan mereka dengan etnik Rohingya.

Fenomena fobia terhadap Islam pernah mencetuskan pelbagai rusuhan sebelum dan selepas penjajahan British, malahan selepas kemerdekaan. Keadaan itu mendesak banyak umat Islam yang berasal dari India melarikan diri.

Banyak penduduk Myanmar melihat etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Kemarahan mereka terhadap etnik tersebut sebenarnya berjangkit kepada umat Islam secara umumnya.

Dalam kalangan umat Islam pula, mereka secara automatik percaya bahawa etnik Rohingya telah ditindas habis-habisan melalui tindakan balas dendam besar-besaran etnik Rakhine.

Kepercayaan ini bukan disebabkan mereka mempunyai hubungan dengan Rohingya tetapi kerana persepsi bahawa penganut Islam sebagai orang yang tertindas.

Sebab itu hanya kerana pin rambut emas, ia boleh mencetuskan tragedi yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

Kejadian itu menggambar betapa rapuhnya hubungan orang Islam dengan Buddha di Myanmar. Ia turut menggambarkan rasa tidak puas hati penduduk beragama Buddha di Meiktila yang kebanyakannya petani terhadap peniaga beragama Islam. Maka dalam keadaan tertentu, senario itu mungkin boleh digambarkan sebagai konflik antara kelas yang didorong oleh perbezaan agama.

Perkembangan di Meiktila boleh dijadikan isyarat bahawa konflik penganut Buddha dengan Islam di Myanmar tidak lagi bersifat setempat atau terhad di negeri Rakhine. Konflik seumpama itu boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Yangon sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dengan serta-merta.

Simbol pusat bandar Yangon ialah Pagoda Sule yang dikatakan berusia 2,000 tahun di tengah-tengah kesibukan sebuah bulatan jalan raya. Menariknya, pagoda Buddha itu dikelilingi oleh gereja Kristian dan masjid Sunni yang bersejarah.

Oleh sebab keunikan itu, pengunjung yang berjalan kaki di pusat bandar Myanmar kadang-kala boleh mendengar nyanyian lagu penganut kristian, bacaan doa penganut Buddha dan laungan azan pada masa yang hampir sama.

Suasana tersebut melambangkan walaupun Myanmar diduduki secara majoriti oleh penganut Buddha tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Myanmar dan setiap penduduk negara itu mempertahankan keharmonian yang sedang dinikmati. -Utusan

Harapan Temui Pelombong Emas Tertimbus di Tibet Semakin Pudar

BEIJING: Harapan pasukan pencari dan penyelamat China untuk mengesan 82 lagi mangsa tanah runtuh yang berlaku di kawasan perlombongan emas di sebuah kawasan pergunungan Tibet semalam, kini semakin pudar.

Seramai 3,500 anggota pasukan penyelamat serta 300 kelengkapan jentera menyertai gerakan mencari dan menyelamat itu, sambil ada yang hanya menggunakan tangan kosong untuk mencari mangsa tertimbus selain berdepan salji tebal dan ancaman penyakit.

Menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua, seramai 82 pelombong masih terperangkap setelah seorang mangsa ditemui semalam, iaitu hampir 36 jam selepas kejadian tanah runtuh besar yang menimbus pekerja lombong emas di Lhasa di daerah Maizhokunggar, pada jam 6 pagi Jumaat.

“Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus, tetapi sehingga kini belum dapat mengesan lokasi mereka,” kata Wu Yingjie, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Autonomi Wilayah Tibet Parti-Komunis China. – AFP

Untung Suku Kedua POH KONG Turun Kepada RM12.3 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Keuntungan pracukai Poh Kong Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari, 2013 turun kepada RM12.3 juta berbanding RM17.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehannya juga turun kepada RM197.9 juta berbanding RM202.4 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan sesaham asas syarikat itu turun kepada 2.22 sen berbanding 3.03 sen, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Peruncit barang-barang kemas itu berkata kerugian keuntungan pracukai pada sukuan semasa sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan perolehan dan turun naik harga emas yang menghasilkan margin keuntungan yang kecil daripada perolehan emas.

Kerugian perolehan Poh Kong juga disumbangkan oleh kejatuhan permintaan produk pelaburan emas seperti kepingan emas dan wafer pada sukuan yang dikaji.

Bagi tahun kewangan semasa, kumpulan itu berkata ia akan terus memacu untuk membina agihan pasaran dengan meningkatkan dan membezakan tawaran produknya kepada segmen pasaran yang disasarkan.

Katanya Poh Kong sedang menilai secara aktif pelbagai prakarsa dan peluang untuk menarik pelanggan baharu melalui pengenalan reka bentuk produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan pelanggan. – BERNAMA

3 Kategori Peniaga Emas

Ada 3 kategori peniaga emas :

(1) Menjadi peniaga emas kerana hendak menjual semata-mata dan beroleh keuntungan segera

(2) Menjadi peniaga emas kerana ingin menjadi sebahagian peng”edar ” emas sambil berkongsi info mengenai sebab dan kepentingan menyimpan emas.Fokus utama ialah mendidik masyarakat tenteng kebaikan menyimpan emas,dan biasanya peniaga jenis ini tidak akan kisah jika tidak dapat menjual emas kerana yang penting info telah disampaikan.

(3) Peniaga emas yang kekurangan info, hanya menjual dan memberi info yang kurang tepat kerana malas menuntut ilmu mengenai simpanan emas atau mungkin ada ilmu tetapi malas nak menyampaikannya.

Memang menjadi peniaga emas perlu banyak kesabaran kerana orang ramai masih belum celik emas dek mentaliti yang telah dipupuk sejak kecil (diajar menabung wang kertas,syiling dari kecil dan “kejayaan bank” meyakinkan orang ramai mereka adalah institusi simpanan yang terbaik,sedangkan tidak ramai yang tahu rahsia bank yang sebenar dan bagaimana mereka buat duit dengan meniagakan wang kertas! )

Risiko Si Pelebur Emas

MELIHAT kedai emas berderetan di bahu jalan, terlintas di fikiran tentu saja mengenai penjualan emas siap berbentuk rantai, anting-anting, cincin mahupun gelang. Namun, pernahkah anda terfikir mengenai bentuk asal emas itu atau bagaimana proses perhiasan yang menjadi igauan setiap wanita itu, dijalankan?

Daripada seketul emas berbentuk bar, jongkong atau apa sahaja material asasnya, ia pasti melalui satu proses sehingga terbentuk menjadi ukiran yang sangat cantik dan tidak jemu mata memandang.

Bagi Mohd Uzi Che Hussin, 32, jika orang lain memilih menjalankan perniagaan menjual emas siap, dia memilih untuk menjalankan perniagaan membeli dan melebur emas.

Dua kerja satu masa

Menceritakan pembabitan awal dalam dunia peleburan emas, Uzi berkata, ia bermula secara tidak sengaja ketika dia berumur 23 tahun.

Pada masa itu, dia bekerja di bahagian membuat pastri sebuah pasar raya. Pada masa sama, dia membuat kerja tambahan untuk menambah duit poket, iaitu menggantung kain rentang dan poster dengan upah RM50 untuk 1,000 keping poster.

“Gaji kerja pasar raya ketika itu cuma RM700. Duduk kat Kuala Lumpur mana cukup. Jadi saya buat kerja lain. Kebetulan waktu itu poster yang saya tampal berkaitan iklan jual beli emas terpakai.

“Dari situ saya terfikir, kenapa aku tak gantung poster bisnes sendiri,” katanya yang seterusnya memulakan langkah menampal poster bisnes sendiri dan mengedar risalah dari rumah ke rumah.

Menimba pengalaman daripada seorang tauke berbangsa Melayu, Uzi akhirnya berkeyakinan membuka kedai sendiri dengan memilih Puchong sebagai tapak mula perniagaan.

Kenal emas dengan bau

“Saya hanya belajar cara melebur emas melalui pemerhatian. Walaupun sedar ilmu belum penuh di dada dan hanya tengok cara tauke buat, saya tak ada masalah untuk belajar dengan cepat.

“Dengan modal simpanan sendiri, saya buka kedai,” katanya, yang turut memiliki dua lagi kedai UnA Enterprise di Shah Alam dan Sandakan, Sabah.

Kerjaya sebagai pelebur emas, meskipun berisiko namun, memberi kepuasan yang tidak terhingga buat Uzi apatah lagi melalui perniagaan ini dia mampu mengenal pasti ketulenan emas walau hanya dengan menghidu objek itu.

Anak jati Tanah Merah, Kelantan ini berkata, perkara penting dalam bidang melebur emas ini adalah bijak meneliti.

“Jika anda betul-betul berminat mahu menceburi bidang ini, belajar bagaimana mengenal emas. Pandang sahaja kita dah boleh tahu ia jenis apa. Jenis emas yang paling tinggi kualitinya adalah 999.

“Namun, emas yang popular dalam kalangan pembeli pada masa kini adalah 916, iaitu emas 22 karat. Nama atau kategori emas itu melambangkan peratusan emas atau ketulenan sesuatu emas. Contoh 916 bermaksud 91.6 peratus emas,” katanya.

Jangan hidu asap

Sewaktu penulis dibawa ke ruang belakang kedai Uzi, kelihatan beberapa peralatan untuk melebur emas tersusun elok di ruang separa besar bangunan kedai itu.

Uzi mengenakan pakaian lengkap termasuk ‘goggles’ dan topeng penutup hidung sebelum membuat demonstrasi melebur emas kepada penulis dan jurugambar.

Menurut Uzi, perkara paling berisiko dalam kerjaya ini adalah ketika memanaskan emas dalam bahan kimia tertentu yang dimasak di atas dapur. Tidak sampai setengah minit emas dipanaskan, kelihatan asap berwarna oren pekat berkepul-kepul keluar diiringi bau yang amat menusuk hidung.

“Sebab itu kena pakai goggles (sebagai pelindung mata). Bau asap ini terlalu perit sampaikan boleh sakit dada kalau tidak berhati-hati,” katanya sekadar berdemo sambil segera menutup api dapur.

Uzi membeli emas terpakai daripada orang ramai, sebelum emas berbentuk rantai, gelang, cincin mahu pun anting-anting itu dilebur semula dan dibentuk menjadi bar. Bar emas itu kemudian akan dijual semula di kilang sebelum dibentuk dan dijual semula kepada pembeli.

Ditanya mengenai pembuatan emas siap, Uzi menjelaskan untuk membentuk emas mengikut kehendak pelanggan, dia perlu memiliki acuan berkaitan. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai acuan itu yang kebanyakannya dimiliki syarikat tertentu atas alasan tertentu. – sinarharian

Emas Menguntungkan atau Merugikan ?

Kebelakangan ini harga emas jatuh, jadi kalau anda kebetulan sangat memerlukan wang dan perlu menjual emas yang dibeli 6 bulan lepas, pasti anda akan kerugian. Lalu pengalaman rugi ini disampaikan dari mulut ke mulut, aku beli emas tak untung pun. Rugi lagi ada.

Saya selalu menekankan bahawa pelaburan emas dan perak adalah pelaburan jangka sederhana dan panjang. Tiada pelaburan yang menguntungkan dalam jangka masa pendek kecuali skim piramid yang bersifat ‘head hunting’. Skim piramid tak boleh bertahan lama, sama ada ‘crashed’ atau diserbu pihak berkuasa. Untuk melabur, pastikan wang yang dilaburkan itu tidak akan diperlukan untuk jangka masa 2-5 tahun. Supaya anda tidak terdesak. Sebelum melabur, penuhkan dulu tabung simpanan untuk perbelanjaan hidup 3-6 bulan. Kemudian baru fikirkan ke mana mahu dilaburkan wang lebihan itu. Sebelum melabur, kita perlu memahami pelaburan tersebut terlebih dahulu. Walaupun prestasi sebelum ini bukan jaminan kepada prestasi akan datang, kita masih boleh menjangkakan prestasi akan datang berdasarkan ‘past performance’.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin melabur dalam emas prestasi emas selama sebulan (Graf 1) adalah tidak bagus. Sebulan yang lalu harganya mahal, sekarang sudah menjunam. Rugi bukan?

Graf 2 juga menunjukkan trend yang sama. Harga terjun gaung! Kecewa nampaknya kerana kilauan emas nampaknya tidak seperti yang digembar-gemburkan.

Apa keputusan anda, masih mahu melabur atau beralih ke pelaburan lain?

Lihat pula graf 3, prestasi emas untuk jangka masa setahun. Masih tidak meyakinkan. Nampaknya sinaran emas hanyalah gebang kedai kopi sahaja. Betulkah? Bandingkan dengan graf 4 disebelahnya. kenapa trend tiba-tiba seperti linear sahaja? Graf 4 adalah petunjuk prestasi emas selama 10 tahun. Sepanjang 10 tahun itu, ada puncak dan ada curam. Namun trend yang tetap adalah harganya sentiasa meningkat. Adalah sukar untuk harga hari ini jatuh sehingga harga 10 tahun lepas. Nah, apa kata anda?

: deduitemasperak.blogspot.com

Skim Pelaburan Emas : SPRM gagal peroleh perintah tahan reman 4 lelaki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal memperoleh perintah tahanan reman terhadap empat lelaki, termasuk seorang bekas Pengarah Bank Negara, berhubung siasatan kes membabitkan sebuah syarikat skim pelaburan emas.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply menolak permohonan bagi perintah tahanan reman selama 10 hari itu, yang dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, selepas memutuskan alasan yang dikemuka pegawai penyiasat tidak kukuh.

Sehubungan itu, SPRM hanya boleh menahan suspek sehingga 7 malam ini untuk siasatan.

Tiga suspek dipercayai merupakan pengarah syarikat skim pelaburan emas berkenaan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan merasuah seorang pegawai bank negara sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu. – Bernama