Selamat guna emas dalam produk kecantikan?

Sejak berzaman dulu, emas digunakan sebagai barang kemas dan perhiasan lain, namun begitu tidak kurang juga yang percaya bahawa bahan yang mengandungi emas baik untuk kesihatan. Sekarang pun bahan mengandungi emas yang dikenali sebagai nanopartikel emas digunakan dengan meluas dalam produk-produk kecantikan, terutamanya dalam krim muka, kerana ia dipercayai dapat melambatkan proses penuaan, melambatkan kulit berkedut dan mampu menegangkan kulit yang agak kendur disebabkan faktor usia.

Nanopartikel emas ini sangat seni dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop sahaja. Partikel ini juga digunakan sebagai komponen dalam pelbagai barangan elektronik (termasuk komputer, telefon pintar, dsb.), bahan-bahan keperluan dalam pergigian, ubat-ubatan (terutamanya ubat suntikan atau pil bagi arthritis), dan produk kegunaan sendiri (seperti krim muka dan pewarna rambut).

Kajian terkini menunjukkan nanopartikel emas yang digunakan dalam pewarna rambut boleh diserap oleh batang rambut ke dalam bahagian korteks di tengah-tengahnya, dan boleh merosakkan rambut.

Dalam teknologi pengimejan radiologi (seperti MRI – Magnetic resonance imaging), pengdiagnosan dan rawatan kanser juga menggunakan nanopartikel emas ini.

Apakah kesan nanopartikel emas terhadap kesihatan?

1. Menyebabkan kerosakan sistemik pada manusia dengan cara menghalang pengumpulan lemak pelindung (tisu adipos) di keliling organ dalaman. Lemak pelindung ini amat perlu bagi melindungi organ dalaman di samping menjadi alas insulasi bagi melindungi organ dalaman daripada keadaan yang terlalu panas atau sejuk.

(Tisu adipos ini juga terdapat dalam tisu payudara dan sum-sum tulang kuning. Ia juga kaya dengan nutrien yang boleh digunakan oleh tubuh apabila perlu.)

2. Menyebabkan penuaan yang cepat dan kulit berkedut sebelum masanya jika terlalu banyak nanopartikel emas dalam badan.

3. Menyebabkan luka lambat sembuh.

4. Menyebabkan diabetes.

5. Mengganggu fungsi sel yang normal

Kajian menunjukkan, apabila nanopartikel emas ini memasuki sel stem tisu adipos, ia akan berkumpul di dalam sel ini tanpa boleh disingkirkan secara semulajadi, malahan ia akan terus berkumpul dan akhirnya ia akan mengganggu fungsi sel tersebut seperti pergerakan, pembahagian sel, pengecutan kolagen dan mempercepatkan luka sembuh.

6. Kesan genetik

Nanopartikel emas juga memberi kesan ke atas pengawalaturan genetik, ekspresi RNA dan ketidakbolehan sel lemak (adipocyte) menjadi matang.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, jangan gunakan produk kosmetik yang mengandungi nanopartikel emas. Sebelum membeli sesuatu produk, baca dulu label bahan-bahan ramuannya.

sumber: http://sitik.wordpress.com/2013/05/21/benarkah-emas-baik-untuk-kesihatan/

Bank Negara Mohon Gantung Perintah Pelepasan Harta Pengarah Genneva

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggantung pelaksanaan perintah pelepasan harta tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti kesemua hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari BNM, Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili pembelaan.

Dalam penghakimannya Rozana berkata beliau menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah bagi membenarkan penggantungan pelaksanaan perintah itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan.

Pada 16 Mei lalu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Ketiga-tiga pengarah itu, Ng Poh Weng, 63, berdepan 93 pertuduhan, Marcus Yee Yuen Seng, 61, pula menghadapi 40 pertuduhan manakala Chin Wai Leong, 37, berdepan 61 pertuduhan dan seorang bekas pengarahnya Liew Chee Wah, 59, menghadapi 30 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff manakala Liew diwakili peguam Keppy Wong. — Bernama

Simpan Emas Untuk Tabung Pendidikan

Bila dah kahwin bermula lah kehidupan kita membina sebuah keluarga. Daripada berdua akan jadi bertiga, berempat dan bermacam-macam lagi. Apabila sudah mempunyai cahaya mata sudah tentu sebagai ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Bagi ibu bapa yang prihatin akan menyediakan tabung pendidikan anak-anak tidak kira melalui SSPN, tabungan bulanan ASB dan lain-lain lagi. Bagi pendapatan isi rumah yang kecil boleh mendisiplinkan diri dengan membuat simpanan RM 2 sehari untuk anak-anak bermakna sebulan kita mampu menyimpan RM60. Dan setahun kira-kira RM720. Jika dihitung apabila anaknya sudah mencapai usia 18 tahun simpanan pendidikannya adalah berjumlah RM 12960.

Jika sebelum kahwin guna Dinar emas sebagai Mas Kahwin, lepas kahwin simpan emas untuk tabung pendidikan anak-anak pula. Maklumlah dah ada orang ketiga. Kalau simpanan wang kertas ditukar kepada simpanan emas jumlahnya pasti akan berlipat ganda. untungnya simpan emas kerana ia kalis kepada inflasi. Kalau simpan duit, nilai RM12960 untuk 18 tahun akan datang mungkin tak sebesar mana. Tapi bila simpan emas atleast 1 Dinar emas, kuasa belinya pada 18 tahun akan datang tetap sama dengan kuasa beli 1 Dinar hari ni, bahkan mungkin lebih. Andaian kenaikan emas 20% setahun dan 18 tahun bersamaan 360%. Banyak tu.

Katakan masa anak tu lahir kita beli 1 Dinar harga RM700. Setiap kali tahun ulang tahun hari jadinya hadiahkan 1 Dinar bermakna 18 tahun dah jadi 18 keping 1 Dinar. Selepas 18 tahun kenaikan adalah 360% yakni harga 1 Dinar pada waktu itu adalah RM2520. Ini bermakna tabung pendidikan untuk anaknya dah bernilai RM 45360.00.

Kaedah dan cara ini telah diamalkan oleh masyarkat cina sejak dahulu lagi. Bayangkan sekiranya berkemampuan buat simpanan emas 20g setahun beli pada harga RM3437. Maknanya selepas 18 tahun dah ada 18 keping 20g emas dengan kenaikan 360% berjumlah RM222717.60. Lepas duit untuk belajar, siap boleh beli kereta, dan ada baki lagi.. (itu andaian kenaikan 20% setiap tahun)

Simpanan emas sama seperti wang kertas yang disimpan di bank, Unit amanah saham dan unit trust. Dah tentu kita nak simpan lama kerana itulah jaminan kewangan masa depan dan keperluan tabung pendidikan anak-anak.

www.kakiemas.com

Aset Syarikat Pelaburan Emas, Genneva Kekal Beku

KUALA LUMPUR 21 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan aset milik syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB) kekal dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga selesai rayuan kes terhadap beberapa pengarah syarikat itu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah keputusan mahkamah pada minggu lalu.

Tertuduh-tertuduh terdiri daripada tiga pengarah GSB iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan seorang bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Pada 16 Mei lalu, Rozana melepas dan membebaskan mereka daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan lebih RM100 juta.

Beliau memutuskan demikian selepas mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehari selepas itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Rozana membenarkan permohonan pendakwaan untuk penggantungan perintah tersebut dengan menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili oleh pegawai pendakwa dari BNM, Alvin Ong dan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong sementara S.I. Rajah hadir sebagai peguam pemerhati mewakili tiga pelabur.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama. Utusan

Apa itu KOS UPAH ?

“Apakah itu kos upah emas? Kenapa perlu kos upah emas? Tak ada kos upah tak boleh ker? ”

Persoalan ini acap kali kami terima daripada pelanggan. Maka, bagi menjawab soalan-soalan tersebut, kami akan jawab seringkas mungkin supaya anda faham konsep kos upah.

Bagi setiap urusniaga pembelian produk emas, jumlah yang perlu dibayar pelanggan adalah harga emas ditambah dengan kos upah. Tapi apakah itu KOS UPAH? Kenapa perlu ada KOS UPAH? Jawapannya saya akan kongsikan di bawah.

KOS UPAH = UPAH TUKANG = KOS TUKANG
Kos upah biasanya akan dikenakan kepada pelanggan bagi setiap produk emas yang dibeli.Kos upah adalah kos yang dibayar kepada tukang emas bagi membentuk dan membuat barang kemas. Ia ditentukan mengikut kepada rekabentuk dan kadar kerumitan produk tersebut. Semakin rumit rekabentuknya, semakin tinggi kos upah. Biasanya dalam kadar RM50 – RM300. Jangan pula anda terkejut jika ada kos upah yang lebih itu. Bukan mudah untuk membuat barang kemas yang berkualiti dan cantik.
Mari kita buat sedikit kiraan:

Andai kata anda ingin membeli cincin 916 2.00 gram di atas. Soalan biasa yang anda akan tanya adalah “Berapa harga emas segram?”.

Katakan harga emas ketika itu adalah RM170/gram. Harga yang anda sangka anda akan bayar adalah:

RM 170 x 2 gram = RM 340 —>> Tapi tunggu !!
Jumlah tersebut belum ditambah kos upah. Untuk cincin seringkas ini, kadar upah mungkin menjangkau RM50. Maka, jumlah yang anda perlu bayar adalah:

RM340 + RM50 = RM390.

Harga masih mampu milik, tapi cuba kita kira, berapa harga segram untuk cincin itu setelah ditambah kos upah:

RM390 / 2 gram = RM 195 per gram!!

Maka, pastikan anda bertanyakan kos upah terlebih dahulu sebelum membayar emas yang anda beli. Lebih kecil kos upah, lebih cepat anda akan beroleh keuntungan dari nilai emas yang anda beli. -GSR

3 Ketul Emas 1.6Kg Milik Lembaga Wakaf Hindu P.Pinang Hilang

PULAU PINANG 20 Mei – Jika sebelum ini wang dari tabung Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hilang, kini badan itu diselubungi ‘misteri’ lagi.

Kali ini melibatkan kehilangan tiga ketul emas seberat 1.6 kilogram bernilai keseluruhan RM250,000 yang disimpan di pejabat lembaga berkenaan sejak Disember lalu tetapi hanya didedahkan hari ini.

Setiausaha PHEB, P. Selva berkata, kejadian itu disedari selepas beliau membuat semakan inventori di pejabatnya yang terletak di tingkat 30, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 26 Disember lalu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada sekitar pukul 9.30 malam pada hari berkenaan, saya mendapati ada keraguan mengenai jumlah ketulan emas yang disimpan berbanding dalam rekod,” katanya di sini hari ini.

Menurut Selva, beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada Jumaat lalu selepas bermesyuarat dengan Pengerusi PHEB yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan ahli-ahli lain.

Ditanya mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan kes berkenaan yang berkaitan dengan kepentingan penganut agama Hindu di negeri ini, Selva memberitahu, pihaknya mahu menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu.

Kami mula menyiasat selepas kehilangan emas berkenaan sehingga penghujung April lalu namun lembaga tidak bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan,” ujarnya.

Difahamkan terdapat lebih 10 ketul emas dan barangan berharga lain yang disumbangkan pelbagai pihak disimpan di situ.

Sebelum ini, PHEB dikejutkan dengan kes kecurian wang tabung sebanyak RM10,395 dan selepas itu berlaku kes sama membabitkan nilai RM68,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kisah Tanah & Emas

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad S.A.W. menerangkan: “Satu ketika seorang lelaki membeli sebidang tanah daripada seseorang. Kemudian si pembeli mendapati dalam tanah itu ada takar berisi emas.

Kata si pembeli: “Ambillah emas saudara ini. Saya hanya membeli tanah daripada saudara, bukan emasnya. Jawab si penjual: Saya memang sudah menjual tanah itu kepada saudara, termasuk segala isinya.”

Mereka mendapatkan keadilan daripada seorang hakim. Hakim bertanya: “Adakah saudara berdua mempunyai anak? Jawab seorang daripada mereka: Saya ada seorang anak lelaki. Jawab seorang lagi: Saya mempunyai seorang anak perempuan.

Keputusan hakim:

Hakim berkata: “Kahwinkan anak lelaki dengan anak perempuan saudara itu dan belanjakan emas itu untuk kedua-duanya. Mereka pun melakukannya.” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Permintaan Emas Di China Cecah Rekod Tinggi Dalam Suku-1 2013

BEIJING, Mei – Penurunan ketara harga emas pada April lalu membawa kepada peningkatan permintaan di China yang mencecah rekod tinggi 60.3 bilion yuan (US$9.8 bilion) pada suku pertama 2013.

China Gold Association berkata jualan emas di negara itu meningkat 26 peratus tahun ke tahun bagi paras rekod tinggi baharu.

Semasa tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 320.54 tan metrik emas dijual di China berbanding sejumlah 832.18 tan metrik yang dijual sepanjang tahun lepas, demikian lapor gerbang berita kewangan dan perniagaan China, Caixin Online.

Permintaan emas di China catat tempoh kemuncaknya semasa Chinese Spring Festival pada Februari, dengan barang kemas, bar dan syiling menyumbang 95 peratus daripada jumlah jualan.

“Penggunaan syiling berada di kedudukan teratas, dengan jualan meningkat 137 peratus berbanding suku pertama tahun lepas,” kata persatuan itu.-BERNAMA

Peluang Terbaik Untuk Anda Memiliki Aset

Harga emas yang jatuh sejak beberapa bulan ini sebenarnya adalah merupakan peluang terbaik untuk anda membeli emas bagi simpanan kekayaan untuk masa depan.

Bagi saya sebenarnya harga emas yang turun mendadak itu bukanlah satu berita buruk tetapi peluang kepada anda untuk menambah aset simpanan emas anda atau kepada pelabur yang baru ingin berjinak-jinak dengan emas inilah masanya

walaupun harga jatuh pada tahap yang rendah dalam sejarah, namun, harga emas telah mencecah harga yang tinggi sejak sekian lama.

“Menurut sumber-sumber yang dipercayai, sejak beberapa hari lepas, orang ramai dari negara-negara Asia di rantau ini telah bergegas ke kedai emas untuk membeli emas menyebabkan kebanyakan kedai emas telah kehabisan stok.

“Ini kerana mereka sedar bahawa emas ialah aset pelindung yang selamat dan berguna semasa didalam kesusahan. Kerana mereka percaya Emas adalah mata wang yang tidak boleh dimanipulasi,”

Pada 15 April lalu, harga emas telah jatuh secara mendadak mengakibatkan keruntuhan harga terbesar sejak 1993.

Kejatuhan harga Emas mungkin mengakibatkan ramai pelabur terkejut dengan trend terkini, Namun bagi saya harga Emas telah mencecah harga yang amat tinggi sejak sekian lama yang menyebabkan ramai yang tidak mampu memilikkinya

“Emas selalunya digemari di Asia. Bagi mereka, secara tradisinya, Emas dibeli sebagai hadiah untuk pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, hari lahir, ulang tahun, dan sebagainya.

“Kini harga Emas telah jatuh,dan saya yakin ini akan membuatkan lebih ramai orang mampu untuk memiliki Emas, terutama bagi pembeli baru yang ingin menyimpan emas untuk perlindungan kekayaan masa depan,
Permintaan emas telah semakin meningkat sejak tahun 2000, disebabkan oleh negara-negara membangun sedar bahawa emas boleh dijadikan kekayaan baru mereka.

Jadi kesimpulannya ini adalah masa yang terbaik untuk membeli emas kerana mengikut rekod emas tetap akan naik pada bila-bila masa ..seperti sabda Rasulullah S.A.W “akan tiba satu masa tidak akan ada benda yang paling bernilai kecuali Emas dan Perak”..

Bagaimana Nak Mulakan Simpanan Emas ?

Untuk memulakan pelaburan emas sangat mudah. Mula membeli emas. Bila? Sudah tentu sekarang. Menjelang tahun 2014, menurut satu artikel yang saya baca, harga emas akan mencecah RM202.57. 33% kenaikan daripada harga semasa. Jadi, takkan nak tunggu masa itu baru nak beli.

Kajian terhadap sejarah harga emas  dunia mendapati harga emas meningkat hampir 25% setahun. Pengetahuan ini penting diketahui bagi mereka yang ingin memulakan pelaburan mereka.

Berikut adalah saranan saya bagi memulakan pelaburan anda:

Langkah-1:
Mula membeli emas SEKARANG! Jangan hanya menunggu dan mengharapkan harga emas turun. Walaupun ketika anda membeli emas anda di kala harga tinggi tak apa. Kerana untuk jangka masa panjang harga emas akan terus meningkat.

Langkah-2:
Tukarkan wang simpanan anda kepada emas. Katakan anda membuat simpanan RM500 setiap bulan, tukarkan kepada emas berbanding menyimpan wang tersebut di dalam akaun bank.

Langkah-3:
Pastikan matlamat atau tujuan anda menyimpan emas. Contoh: Saya berhajat untuk menunaikan umrah (perbelanjaan umrah = RM5000) dalam tempoh 3 tahun. Saya hanya perlu menyimpan 4 keping 1Dinar (RM2864) selama 3 tahun dan saya boleh menunaikan umrah. Ini kerana harga emas bertambah 25% setahun. Emas yang saya miliki selepas 3 tahun bernilai RM5012. Sudah melebihi dari perbelanjaan umrah yang sepatutnya.

Langkah-4:
Mulakan belian yang pertama dalam jumlah yang besar. Dengan berbuat demikian, anda akan mula membuat keuntungan yang besar. Katakan anda membeli 100gram emas dengan harga Rm17469, dengan kadar keuntungan setahun 25%, maka emas anda akan bertambah nilai RM21837.

Jika belian yang pertama kecil, maka keuntungan anda juga kecil. Namun harus diingat..ukur baju di badan sendiri. Jangan kerana mahukan keuntungan yang cepat dan besar, anda bergolok gadai semua harta yang ada. Pelaburan emas  ini merupakan pelaburan jenis jangka masa panjang. Biar kecil permulaannya, tapi anda konsisten dalam menambah emas, anda juga akan dapat keuntungan. Lebih baik ada dari tidak ada.

diedit dari
www.emassilverborneo.com