Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar Fardhu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Walaupun menurut Akta Pajak Gadai 1972, had maksimum caj faedah bulanan adalah sebanyak 2.5 peratus, namun secara realitinya, jumlah yang dikenakan ialah sekitar tiga hingga empat peratus sebulan.
Skim Ar-Rahnu ini memberikan kemudahan alternatif kepada kemudahan pin-jaman yang sedia ada di samping memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah. Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran yang di-namakan ‘marhun’.
Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Secara ringkasnya, sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka ‘marhun’itu tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut. Tujuan ‘marhun’ ini ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban pembayaran semula yang tinggi, sebaliknya jalan penyelesaian terbaik telahpun dipersetujui.
Bagi hutang tadi pula, skim ini melaksanakan prinsip Al-Qardhul Hasan (bantuan ihsan), iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam. Sementara prinsip Al-Wadiah pula ialah akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut.
Atas dasar Al-Wadiah inilah, skim ini akan mengenakan bayaran upah simpan selamat (safe custody fee) ke atas barang gadaian tadi. Secara ringkasnya, skim ini tidak akan mengenakan faedah kepada pinjaman tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan dengan selamat ke atas barang gadaian. Menurut perspektif Islam, skim ini memenuhi ciri-ciri berikut: Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam. Ianya berkonsepkan fardhu kifayah; iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.
Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak. Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam. Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha; menyimpan barang gadaian tersebut dengan baik. Transaksi perniagaan yang lebih telus; bersandarkan kepada harga semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas). Sementara dari perspektif pergerakan badan koperasi pula,
Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini memenuhi ciri-ciri berikut :
- Mempelbagaikan aktiviti perniagaan, yang mana ianya boleh mendatangkan pulangan yang baik ke atas pelaburan yang dibuat oleh koperasi.
- Mengurangkan risiko hutang tidak berbayar (NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin.
- Memecahkan monopoli pajak gadai konvensional yang biasanya membebankan para penggadai yang memerlukan wang.
- Memberi pilihan pinjaman yang bebas riba’ kepada semua anggota koperasi khasnya dan umat Islam, amnya.
- Membantu mereka yang terdesak atau memerlukan dengan memberikan pinjaman yang lebih mudah urusan transaksinya.
- Meningkatkan keperibadian yang baik kepada pengusahanya; dari segi sifat amanah, jujur, telus, kemahiran dalam keilmuan dan pengurusan dan sebagainya.
Konsep, Rukun Dan Ciri-Ciri Perlaksanaan Konsep: Berlandas dan berpandukan kepada hukum Syariah iaitu :
- Ar-Rahnu: mekanisma di mana sesuatu barang yang berharga dijadikan sandaran ke atas hutang.Tidak ada unsur riba’ ke atas pinjaman tetapi hanya upah menjaga barang cagaran sahaja dikenakan.
- Al-Qardhul Hasan: pinjaman ihsan yang diberikan adalah bebas dari unsur riba’atau faedah.
- Al-Wadiah: akad untuk menjaga keselamatan barang yang dicagar.
Rukun: Rukun Ar-Rahnu terbahagi kepada:
- Penggadai: orang yang menggadai/orang yang berhutang.
- Penerima Gadaian: pemegang gadaian/pemberi pinjaman.
- Barang Gadaian : barang yang berharga yang terletak di bawah simpanan penerima gadaian.
- Tanggungan Gadaian: jumlah yang terhutang.
- Sighah/Perjanjian: perjanjian berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.