Pusat Sehenti Pos Bakal Monopoli Perniagaan Emas

Pos Arrahnu Sdn Bhd dijangka akan membuka pusat sehenti emas bermula Disember ini, dimana mereka bukan sahaja menerima gadaian emas arrahnu malah bakal menjadi pusat menjual & membeli emas dibawah satu bumbung.

Jika sebelum ini Pos Arrahnu cuma menyediakan servis gadaian arrahnu, penubuhan pusat sehenti diatas bermaksud Pejabat Pos kini boleh membeli dan menjual emas, selain khidmat mencuci, menilai dan peti simpan deposit.

Dengan kekuatan modal Arrahnu Pos walaupun baru setahun beroperasi, sangat tidak menjadi masalah kepada mereka untuk menjadi peneraju pasaran emas, malah mungkin dapat memonopoli perkhidmatan emas sepenuhnya. Setakat Sept 2014, dilaporkan Arrahnu pos telah mengeluarkan modal pinjaman sebanyak 283juta, dan dijangka 500 juta untuk tempoh masa 2 tahun akan datang

Abdul Razak Mohd Kadir yang  merupakan legasi Habib Jewel & Arrahnu Express (dimiliki Habib Jewel) berjaya membawa Pos Arrahnu terlalu laju dihadapan dan bakal memonopoli jual beli emas dalam negara. Jika kewujudan Pasaraya Hypermarket seperti Tesco , Ikea menutup ruang perniagaan peruncit kecilan, tidak pasti dengan kedatangan big player ini akan memberi tempias kepada peniaga emas kecil-sederhana (IKS)

abdul-razak-kadir

Artikel dari MyGazzette 

Pos Ar Rahnu Sdn. Bhd. dijangkakan mampu menjadi peneraju pasaran pajak gadai Islam dalam tempoh lima tahun akan datang disokong oleh perkhidmatan yang lebih baik serta mudah berbanding pesaing-pesaingnya.

Ketika ini, syarikat yang baharu berusia setahun lebih itu sudah mempunyai 75 cawangan di pejabat-pejabat pos di seluruh negara dan berada pada kedudukan kelima di belakang pesaing-pesaingnya yang sudah lama bertapak di dalam industri tersebut.

Naib Presiden Kanan Pos Ar Rahnu, Abd. Razak Mohd. Kadir berkata, syarikat tersebut mampu menguasai pasaran dengan lebih meluas tanpa bergantung kepada pertambahan cawangan, sebaliknya penawaran kadar pinjaman sehingga 75 peratus daripada kadar marhun, upah simpan yang rendah iaitu 75 sen bagi setiap gram sebulan, perlindungan insurans 100 peratus kepada barang gadaian serta tiada yuran atau caj tersembunyi menyebabkan lebih ramai pelanggan beralih kepada syarikat tersebut.

“Peningkatan pasaran tidak semestinya harus melalui pertambahan cawangan kerana ketika ini kami beroperasi di pejabat-pejabat pos terpilih dan untuk menambah cawangan, kita perlu sedar ada beberapa ciri yang perlu diambil kira dan tidak semua pejabat-pejabat pos tersebut sesuai untuk dijadikan kedai Ar Rahnu @ Pos.

“Ciri-ciri keselamatan sesebuah pejabat pos adalah perkara paling penting kerana ini melibatkan barangan berharga selain daripada lokasi pejabat pos di mana Ar Rahnu @ Pos lebih berminat kepada kawasan yang mempunyai penduduk Melayu dan India yang ramai kerana sasaran pasaran lebih besar di situ,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Abd. Razak yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang emas dan barangan kemas itu berkata, bagi mengukuhkan kedudukan, Ar Rahnu @ Pos turut menawarkan perkhidmatan lain selain pajak gadai antaranya perkhidmatan mencuci emas, peti keselamatan deposit serta membuat pernilaian terhadap logam berharga itu.

Pos Ar Rahnu katanya, akan membuka pusat sehenti yang berkaitan dengan emas dan barangan kemas pada Disember ini bagi memudahkan pelanggan untuk bukan sahaja melakukan pajak gadai malah turut membeli dan menjual logam berharga itu di bawah satu bumbung.

“Dengan kakitangan yang berpengalaman dalam bidang emas dan perhiasan, beliau yakin pusat sehenti itu dapat memikat hati pelanggan sekali gus mengukuhkan penguasaan pasaran syarikat tersebut.

“Jenama Pos Malaysia sendiri sudah cukup kuat untuk ‘menjual’ perkhidmatan Ar Rahnu yang kami tawarkan dan semenangnya sudah menjadi trend di dunia sekarang apabila syarikat pos tidak lagi hanya bergantung kepada pendapatan berasaskan mel.

“Maka saya rasa dengan pengembangan perniagaan Ar Rahnu yang kami jalankan ketika ini serta perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan emas dan perhiasan yang lebih baik daripada pesaing, saya yakin kami mampu mencapai kejayaan dalam masa yang lebih singkat,” katanya sambil menambah semua kakitangan di Ar Rahnu @ Pos mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun di dalam bidang emas dan perhiasan.

Ini membolehkan mereka melakukan pernilaian emas dengan lebih cepat selain mampu mengelakkan daripada ditipu oleh pelanggan yang tidak bertanggung jawab.

Tambah beliau, kepakaran petugas-petugas Ar Rahnu @ Pos membolehkan mereka menerima barangan kemas yang ditatahi permata berharga yang pada kebiasaannya tidak diterima oleh syarikat-syarikat Ar Rahnu yang lain.

Menurut Abd. Razak, kesedaran tinggi orang ramai terhadap pinjaman mudah menerusi cagaran emas secara Islam ini memberi prospek yang baik kepada perniagaan Ar Rahnu.

Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

sindiket-emas-palsu

KUALA LUMPUR 25 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.

Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkanemas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.

Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.

Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

“Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.

“Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.

“Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

“Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, semalam,” katanya lagi.

Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.

Koperasi Disaran Ceburi Bidang Jual Beli Emas

1970463_631628403569406_1982996328_n

KUALA LUMPUR 9 Mac – Koperasi-koperasi terkemuka di negara ini disaran supaya menceburi urus niaga simpanan emas bagi memperkukuhkan masa depan ekonomi ahlinya dan orang Melayu secara keseluruhannya.

Pengurus Besar Serambi Budi Sdn. Bhd., Rohaya Abu berkata, selain meraih keuntungan, penyimpanan emas dalam jangka panjang adalah sangat baik kerana ia membantu mengembangkan ekonomi ummah dan pulangan urus niaga emas adalah lebih baik berbanding dengan perniagaan lain.

“Berdasarkan analisis, harga emas menjelang tahun 2020 dijangka meningkat sehingga RM500 satu gram.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, harga emas telah mengalami kenaikan antara 300 hingga 400 peratus, ini sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup kepada pemiliknya,” katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) simpanan emas dengan Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kota Mas), di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Kota Mas, Datuk Ismail Nordin dan Presiden Serambi Budi, Amin Supian. Menerusi MoU ini Koperasi Telekom menyediakan modal sebanyak 30 peratus kepada ahli-ahli untuk memiliki simpanan emas sementara 70 peratus lagi melalui pembiayaan daripada Ar Rahnu Kota Mas.

Kota Mas mempunyai Skim Ar Rahnu sendiri manakala emas dibekalkan oleh Serambi Budi, sebuah syarikat pengeluar emas jongkong bertaraf antarabangsa,

Beliau percaya lebih banyak koperasi di negara ini akan menyertai urus niaga simpanan emas kerana usaha itu menguntungkan.

Kini Serambi Budi telah mengenal pasti kaedah mudah untuk menceburi urus niaga simpanan emas kerana kejatuhan harga emas kini merupakan masa terbaik untuk membeli logam berharga itu.

Dalam kaedah yang ditawarkan, pembeli hanya perlu menyediakan 30 peratus tunai daripada harga emas semasa.

Setelah emas tersebut disahkan ketulenan oleh Ar Rahnu, pembeli akan menerima 70 peratus tunai untuk dibayar terus kepada Serambi Budi dan akan mendapat pulangan tiga kali ganda kenaikan harga emas. Pembelian secara Ar Rahnu adalah selamat dan tiada unsur riba.

Selain menjual emas, Serambi Budi juga menyediakan panduan perkhidmatan praktikal untuk memahami Ar Rahnu adalah perniagaan kepada rakyat Malaysia serta nasihat dari pegawai yang berdaftar.

Seorang kakitangan Telekom Malaysia, Shukor Hasaan yang menyertai program simpanan emas ini berkata, akan tiba satu tempoh yang mana tiada apa pun yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia melainkan dinar (emas) dan dirham (perak).

“Saya merasa terpanggil untuk berjinak dengan pembelian dan simpanan emas. Alhamdulillah ternyata tindakan saya telah pun menghasilkan pulangan berganda. Sistem yang diperkenalkan oleh Serambi Budi adalah satu cara pembelian dan simpanan emas yang kreatif yang dapat memperkasa ekonomi bumiputera Melayu di Malaysia dan di dunia,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran zakat 2.5 peratus setahun ke atas emas yang disimpan kepada institusi zakat dapat menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan dapat dimanfaat oleh asnaf terlibat.

Katanya, kerjasama sinergi antara Kota Mas dan Serambi Budi dalam usaha pembelian dan simpanan emas ini seharusnya dimanfaatkan oleh seluruh warga bumiputera dan TM khususnya untuk mempertingkatkan tahap ekonomi mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140310/wk_04/Koperasi-disaran-ceburi-urus-niaga-simpanan-emas#ixzz2vXVUuGCF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Adakah Ar-Rahnu tidak Islamik?

ar-rahnu-islamik-najib

KRONOLOGI KES AR-RAHNU

Hamba Allah ini yang sedang dalam kesusahan dan telah menjual perniagaannya. RM30.000 dari wang hasil jualan diserahkan kepada isterinya yang kemudiannya membeli 3 utas rantai untuk dijadikan aset. Baki RM30,000 lagi dilaburkan kepada rakan niaga yang akhirnya tertipu dan lebur semuanya sekelip mata.

Tanpa pengetahuan suami, si isteri, seorang penjawat awam telah menggadaikan emas tersebut kepada Sistem Gadaian Islam sebuah bank tempatan. Hasil gadaian dilabur pula dalam satu Skim Perlaburan Emas yang ditawarkan oleh seorang lelaki yang akhirnya lesap.

Daripada nilai asal RM29,000 emas tersebut, beliau hanya diberi pinjam RM18.800, iaitu sekitar 65% sahaja. Itu tidak termasuk kos proses dan terpaksa mengisi pelbagai borang dan memberikan nama waris yang mungkin dijadikan sebagai penjamin.

Yang memeranjatkan kami, ‘Kos Faedah’ yang digelar sebagai ‘upah simpan’ ialah RM1,300 utk 6 bulan atau RM2,600 setahun, iaitu 14% setahun.

Apabila pelaburan lesap dan beliau terpaksa membayar ‘upah simpan’ seterusnya maka beliau merasakan tidak mampu. Anak yang ramai dan masih bersekolah ditambah dengan kejatuhan perniagaan suami yang juga tertipu membuatkan beliau menyerah kalah.

SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Apabila dibawa berbincang dengan pihak bank pada hujung tempoh pajakan, beliau amat terkejut kerana jika beliau tidak bayar maka emas akan dilelong. Harga semasa pula jatuh jadi lebih kurang RM21,000 sahaja.

DIBERITAHU PULA BAHAWA BANK AKAN TOLAK 20% DARI HARGA SEMASA UNTUK PROSES LELONG. SEBARANG DEFESIT LELONGAN AKAN DITUNTUT DARI BELIAU. ITU TIDAK MASUK KOS LELONGAN, GUAMAN DAN SEBAGAINYA.

Kira punya kira beliau tetap akan rugi, bahkan akan terbeban dengan defisit lelongan yang amat banyak. Jika mahu ditebus sekarang pula harus bayar juga RM1,300 dan caj tebusan bersama wang pokok RM18,800. Jumlah itu menghampiri RM21K iaitu nilai semasa emas itu.

Demi mengelakkan beban lebih berat akibat defisit hasil lelongan yang sudah pasti beliau tidak boleh bayar, dan diblacklist, akhirnya beliau tiada pilihan bahkan terpaksa menebus juga emas tersebut. Malangnya beliau tiada wang.

Semakin hari beliau semakin tertekan sedangkan kesemua anak sekolah memerlukan belanja di awal tahun. Setelah disyurokan, kami memutuskan untuk membantu menebus emas yang tiada gambaran keuntungan sama sekali itu. Ianya atas dasar melepaskan saudara asnaf kita dari cengkaman zalim RIBA atas NAMA ISLAM ini. Mudah-mudahan wang yang dilaburkan dapat dikembalikan apabila harga emas naik semula InsyaAllah. Yang penting ialah niat membebaskan sahabat kita dari penindasan yang tidak bertepi ini.

Pada hari terakhir tempoh ‘upah simpan’, kebetulan hari jumaat, beliau bawa cek kami untuk tebus emas beliau. Pihak bank kata mereka beri masa sampai isnin sambil tunggu cek clear. Bila sudah clear beliau ke bank semula lalu diminta datang semula esoknya kerana tidak sempat proses pada hari itu.

Apabila datang semula mereka minta bayar denda lewat iaitu RM7 sehari. Walhal itu kelalaian mereka. Setelah gagal bernegosiasi, akhirnya sahabat kita yang sudah amat tertekan itu minta jumpa pengurus namun pihak kaunter tidak izinkan. Beliau naik angin dan mengacah untuk lompat naik ikut kaunter jika pintu tidak dibuka untuk bertemu pengurus… MORALNYA IALAH HANYA KERANA RM7, DENDA LEWAT SEHARI YANG DISEBABKAN OLEH KELEWATAN PIHAK BANK SAMPAI BEGITU SEKALI RIGIDNYA.

ISLAM TINGGAL NAMA

Hari ini berbagai-bagai nama dan skim yang berbunyi Islamik namun hakikat perlaksanaannya tiada petunjuk yang membenarkan keIslamannya seperti mahunya Allah. Nama Islam itu sendiri membawa maksud sejahtera jika kita serah diri dan amalkan sungguh-sungguh mengikut sistemnya.

Banyak pihak telah menulis dan menyuarakan, termasuk artikel kami sebelum ini. Kini kami kongsikan terus melalui koleksi pengalaman hidup kami sendiri.

“Akan datang pada manusia suatu zaman, ketika itu Islam tidak tinggal kecuali namanya, alqur’an tidak tinggal kecuali tulisannya, masjid-masjid megah namun kosong dari petunjuk, ulamanya termasuk orang paling teruk yang berada di bawah kolong langit , karena dari meraka timbul beberapa fitnah dan akan kembali (fitnah itu) padanya.” (H.R. Baihaqi Dari Ali R.A)

“Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapak-bapak kamu mengadakannya; Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun untuknya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang PETUNJUK kepada mereka dari Tuhan mereka” – QS:53. An Najm 23

SISTEM KEWANGAN ISLAM YANG TIDAK ISLAMIK

Rasanya semua sudah tahu bahawa Islamic Finance ini hanya pada nama dan istilah Islamik yang menyokong pada urusniaga yang sebenarnya jauh lari dari konsep muamalat Islam. Dari apa yang kami sendiri alami ini, maka kami cuba membuat bacaan dan ingin kami kongsikan beberapa kepincangan dari sudut pengalaman dan pandangan qualitatif.

Memberi pinjam dari perspektif Islam perlu lebih baik demi meringankan beban si peminjam. Ada juga yang memberikan alasan seperti kalau diringankan yang meminjam pula pijak kepala. Jadi sistem perekonomian hari ini tiada lagi nilai IBADAH di dalamnya. Sekadar ingin memeras dan mengaut keuntungan semata-mata. Yang kaya bertambah kaya, yang susah akan terus merana. Kalau kita mengetahui konsep atau asas Islam itu sendiri, kita mampu membezakan sesuatu sistem itu samada ianya “ISLAM” atau pun tidak.

DI MANA TIDAK ISLAMIKNYA KES DI ATAS?

Hari ini dengan IC saja pun anda boleh dapat kad kredit yang rata-rata cajnya sekitar 1% sebulan. Faedah untuk pinjaman kereta, pinjaman peribadi, rumah juga serendah 2-4%, jarang yang melebihi 10% setahun. Ini bermakna ‘upah simpan’ (istilah menggantikan faedah riba) 14% setahun dari kes ar-Rahnu ini lebih teruk dari RIBA’ CIPTAAN DAJJAL.

Kedai Pajak Gadai Berlesen sekarang mampu meminjamkan tunai sehingga 82% daripada nilai marhun berbanding ar-Rahnu yang hanya maksima 75% (dalam kes di atas hanya 65%).

Bila anda gagal menebus, pajak gadai berlesen tidak akan menyaman anda walaupun harga emas turun kerana biasanya mereka tidak melakukan lelongan seperti bank, tetapi menjualnya secara runcit. Jika terpaksa melelong sekalipun, mereka tanggung risiko, tidak mengejar pemilik emas jika lelongan tidak mencukupi. Tidaklah jadi sudah jatuh, tertimpa tangga tercium pula tahi ayam seperti kes di atas.

Pengalaman ini menafikan ayat Allah QS 2:280 “Dan jika dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

AR-RAHNU SUDAH JADI ‘PINJAMAN’ BERCAGAR EMAS. Ia sebenarnya semacam satu pinjaman biasa yang menggunakan nama pajak gadai dan dicantikkan lagi dengan istilah Islam. Bermacam-macam borang dan penyenaraian dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau CTOS. Ini akan menjadikan anda disenarai hitam dalam sistem perbankan yang menyebabkan permohonan pinjaman anda di mana-mana bank akan dinafikan. Padahal emas itu buttertrade tunai anda, bukanlah ia pinjaman tanpa cagaran. Ramai sekali yang tertipu akibat CCRIS dan CITOS ini.

PENTINGNYA MUSYAWARAH, UTAMAKAN KEPERLUAN, BUKAN KEMAHUAN

Banyak kes yang dirujuk kepada kami menunjukkan situasi parah apabila isteri bertindak tanpa pengetahuan dan izin suami. Di situlah pentingnya budaya musyawarah dalam keluarga. Dalam contoh kes di atas juga, jelas ada unsur mengejar kemahuan, bukan keperluan. Biarlah rezeki sedikit tetapi mencukupi (berkat), daripada banyak tapi tiada keberkatannya.

Dalam satu kes, ada isteri yang mengambil pinjaman Along tanpa pengetahuan suami hanya untuk membeli peralatan rumah. Kononnya ia akan dibayar menggunakan penjimatan wang dapur. Akhirnya bil air dan letrik, , ansuran rumah tidak berbayar, belanja anak sekolah juga turut terhakis kerana membayar Along. Akibatnya rumah yang ingin dihias itu juga akhirnya terlelong.

QS: 42. Asy Syuura 38 “Dan orang-orang yang mengutamakan seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, urusan mereka dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka”..

QS 2 Albaqoroh : 278. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba jika kamu orang-orang yang beriman.

QS 2 Albaqoroh : 279. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak dianiaya.

SENGSARA DAN PENINDASAN AKIBAT RIBA

Dari kes yang dirujuk kepada kami, juga hasil pengumpulan kes dari kalangan kaum keluarga dan pengalaman sendiri, jelas mengesahkan kesan buruk dari amalan riba ini.

Selain kes di atas, terlalu banyak kes mereka yang meminjam Along, Bank dan Ceti untuk menampung bayaran pembelian aset. Sampai aset yang dibeli bahkan aset yang sedia ada terjual semuanya, masih tidak dapat melunaskan hutang riba ini. Inilah akibat dari mengikut KEHENDAK hawa nafsu dan rasa tamak. Akhirnya semua kerugian.

Ramai juga peniaga yang tidak mahu bersabar dan berpuasa apabila dilanda kesusahan, atau terlalu ghairah untuk membesarkan perniagaan lalu melibatkan diri dengan pinjaman dan riba. Akhirnya mereka mudah terkucil. Apabila ada wang pinjaman di tangan, banyaklah pertimbangan salah dan pemborosan dilakukan. Akhirnya hidup jadi haru biru, berkerja siang malam hanya untuk menjadi hamba riba dan akhirnya perniagaan jatuh.

AMALAN RIBA JADI GAMBARAN AKHIR ZAMAN,

“Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya”. – H.R. Ibnu Majah

Jelas sekali telah berakhirnya cara hidup Islam yang diajarkan nabi saw. Harta riba’ wujud di merata tempat. Itu menjadi manifestasi kejatuhan dan berakhirnya Islam. Salah seorang dari kami pernah berbincang dengan bekas mufti sebuah negeri. Beliau sendiri jelas mengatakan beliau tidak jumpa jalan keluar. Zakat terkumpul beratus juta dalam setahun namun tidak tahu kemana perginya. Kelompongan sistem ekonomi Islam ini agak sukar ditampung melainkan kita ada satu sistem yang mandiri tanpa bersekongkol dengan sistem kuffar.

Kami harap rencana ringkas ini mampu menguatkan semangat umat Islam untuk mengorak langkah. Jika kita tidak mampu mengubah sistem, jauhilah sistem itu. Berpuasalah dari mengikut kehendak nafsu.

Perkongsian Iqra’
WARGA PRIHATIN .. souce: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152525278987786