Syarikat Pengendali Skim Emas Gagal Urus Rekod

KUALA LUMPUR – Susulan serbuan dan penyiasatan terhadap empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan mendapati sesetengah daripada syarikat yang terbabit tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia, berkata hasil penyiasatan ke atas empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, mendapati sesetengah daripada syarikat gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan yang baik dan tepat.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan yang berbeza-beza. Mereka juga gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Bagi perniagaan, terutamanya yang melibatkan bilangan pelabur dan jumlah wang yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan kewangan sebenar syarikat,” kata agensi-agensi tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, rekod yang disita menunjukkan sebahagian besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan mereka tetapi masih belum menerima emas yang dibeli, sebelum serbuan tersebut dibuat.  Dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas  tersebut telah melebihi lima bulan.  Jumlah emas yang disita daripada semua syarikat semasa serbuan ialah kira-kira 142.7 kilogram, manakala wang dalam akaun bank dan wang tunai berjumlah RM101.92 juta.

Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran yang dialami oleh para pelabur yang terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut. Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain.

Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan

Maklumat lanjut berhubung dengan penyiasatan ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Kenyataan bersama oleh:

Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia

pelaburan kwsp ke public mutual disekat

Sebab KWSP Gantung Dana Public Mutual

pelaburan kwsp ke public mutual disekat

Perkhidmatan Public Mutual Bhd sebagai Institusi Pengurusan Dana (IPD) digantung di bawah Pengeluaran Pelaburan Simpanan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa mulai 29 Okt, 2012.”Sehubungan dengan penggantungan tersebut, Public Mutual Bhd (Kod IPD 03) adalah tidak dibenarkan membuka akaun untuk ahli KWSP dan/atau menerima sebarang pemindahan simpanan ahli dari KWSP mulai dari 29 Okt, 2012,” demikian menurut makluman yang dipaparkan di laman sesawang agensi itu mulai semalam.

Makluman itu, bagaimana pun menyatakan bahawa IPD berkenaan masih bertanggung jawab menguruskan pelaburan simpanan ahli KWSP yang telah dipindahkan sebelum 29 Okt, 2012.

Tindakan ke atas PMB ini dilihat sebagai adalah tindakan berterusan yang diambil oleh agensi-agensi berkaitan kerajaan pusat yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) yang menyasarkan entiti-entiti perniagaan milik dan menjadi kegemaran pelaburan ……

Teruskan membaca di sumber asal: http://www.kl-today.com/2012/10/kwsp-gantung-public-mutualapa-sebab/

emas genneva kementerian kewangan

Liabiliti Syarikat Emas Genneva Melebihi Aset

emas genneva kementerian kewanganBank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.

Sementara itu, berkaitan isu Konsortium Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Awang Adek berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi jaminan untuk melakukan penstrukturan semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

“Memang (IWK) mempunyai masalah struktur. Masalahnya ialah caj kepada pengguna adalah RM2 ke RM8, tidak cukup untuk menanggung kos operasi sebenar RM23 seunit. IWK nak caj RM23, kerajaan tidak benarkan kerana rakyat bising, rakyat kata mahal,” katanya.

– Bernama

ban negara genneva

FAQ : Serbuan Syarikat Genneva Malaysia

ban negara genneva

Susulan banyak pertanyaan yang diterima oleh agensi-agensi penguat kuasa berhubung dengan tindakan yang diambil baru-baru ini terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, berikut adalah soalan lazim berserta jawapan untuk rujukan orang ramai, khususnya pihak-pihak yang terbabit.

Kenyataan bersama oleh:

Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bank Negara Malaysia

Soalan Lazim (FAQ)

S:  Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat-syarikat tersebut?

J:   Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim yang berisiko, dan juga untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Syarikat yang terbabit sedang dalam siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelakkan cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat-syarikat tersebut?

J:   Kebimbangan ini timbul kerana syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Syarikat-syarikat tersebut menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baru dilaburkan dalam skim ini.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat ini biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

S:  Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang? 

J:   Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah didapati terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan yang sah.

S:  Apakah status tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?

J:   Siasatan masih lagi berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sahaja untuk sebarang maklumat terkini kes-kes ini.

S:  Berapa lamakah tempoh siasatan?

J:   Tempoh siasatan akan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Kerjasama daripada pihak yang terbabit akan membantu proses siasatan. Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguat kuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?

J:  Berhubung dengan kes skim kewangan haram yang disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Di bawah seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang diberikan kuasa untuk membekukan apa-apa aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.

S: Apakah yang akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.  Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah.

S:  Bolehkah pelabur yang terbabit menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah. Pelabur mungkin boleh memfailkan kepada Mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat tentang sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur? 

J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, dengan memberikan jaminan bahawa jumlah pokok yang dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihati supaya merujuk kepada agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Ingatlah – sekiranya skim tersebut adalah indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar skim tersebut adalah skim palsu;
  • Berwaspada dengan skim Ponzi. Ia merupakan skim pelaburan yang berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baharu untuk membayar kepada pelabur awal atau sedia ada.  Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baharu tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah;
  • Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melabur/mendeposit wang;
  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur;
  • Hendaklah lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet;
  • Berwaspada dengan apa-apa peluang pelaburan yang tidak bertulis;
  • Jika pelaburan telah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan; dan
  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:

Sekiranya anda mengetahui skim pelaburan yang berunsurkan penipuan, anda digalakkan untuk membuat laporan polis.

Bank Negara Malaysia
22 Oktober 2012

Hanya mahkamah boleh urus emas yang dirampas

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan bagi kes-kes jenayah melibatkan skim kewangan haram menggunakan emas hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata pelabur mungkin boleh memfailkan tuntutan pihak ketiga kepada mahkamah bagi pemulangan wang atau emas mereka, namun maklumat berkenaan perkara itu akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

Kenyataan Bank Negara bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikeluarkan bagi menjawab soalan-soalan lazim orang ramai berkaitan serbuan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan kegiatan kewangan haram menggunakan emas.

Kenyataan itu menyebut aset dan emas yang dirampas semasa serbuan akan didokumenkan dengan teliti, diambil kira dan disimpan di tempat selamat.

Katanya operasi mencari dan merampas aset-aset tersebut adalah bagi mengelakkan syarikat yang disyaki daripada menyembunyikan bahan bukti; selain mengelakkannya daripada lesap dan memberi kesan buruk kepada pelabur.

Menurutnya, pada masa ini siasatan masih lagi dijalankan namun tempoh siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti dan keseriusan sesuatu kes.

“Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Siasatan ini diberi keutamaan tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, selain merujuk kepada agensi berkaitan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan kewangan tidak berlesen. – BERNAMA

Kenyataan Firma Pelaburan Emas Sedang Direkodkan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil kenyataan daripada pihak yang terbabit selepas mereka memulakan penyiasatan secara besar-besaran terhadap beberapa firma pelaburan emas.

Bank Negara berkata agensi yang berkaitan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pengarah, pengurus kanan firma, ejen-ejen dan pelabur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bank pusat itu menambah bahawa analisis terperinci dan menyeluruh sedang dijalankan ke atas aset dan liabiliti syarikat yang terlibat.

“Pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat yang terlibat juga diarahkan supaya mengisytiharkan harta mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk pasangan masing-masing dan proksi mereka,” katanya.

Awal bulan ini, BNM bersama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Sehari selepas itu, tiga lagi firma pelaburan emas turut diserbu atas kesalahan yang sama mereka adalah, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

“Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan.

“Orang ramai dinasihati supaya menyemak dengan agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjur, orang ramai diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM di talian 1-300-88-5465.

geneva emas pelabur bunuh diri

Pelabur Geneva cuba bunuh diri -Kosmo

geneva emas pelabur bunuh diri
MUHD. KHAIRUN (kiri) bersama sekumpulan pelabur emas syarikat Genneva Malaysia yang menyerahkan bantahan kepadanya untuk disampaikan kepada BNM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan membunuh diri, tidak mampu membiayai kos rawatan dialisis buah pinggang antara sebahagian kisah sedih yang dihadapi 60,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia).

Masalah itu timbul selepas operasi syarikat tersebut digantung sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu kerana Genneva disyaki mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Wakil perunding dan pembeli emas Genneva Malaysia, Al Jaz- zura Khan berkata, pelabur menghadapi masalah itu kerana mereka hilang pendapatan.

Ikuti perbincangan di forum: http://hrg.ms/SRRBgV

Ramai terpengaruh dengan SKIM PELABURAN EMAS

skim pelaburan emas

SKIM PELABURAN EMAS jual Gold Bar pada 25% lebih tinggi dari spot price.

Katakan RM 215/gm.

Katakan dia beli 100 gm maka Harga ialah Rm 21,500.Hibbah yang di janjikan ialah 2% sebulan.
Nampak memberansangkan 24 % setahun. Sebulan 2 % dapatlah Rm 430.

Setahun Rm 5,160.Maka berbondong bondonglah orang pergi bank buat pinjaman peribadi yang faedahnya antara 4-8 % setahun.
Namun mereka lupa banyak syarikat tempatan yang jual Emas Fizikal @ Gold Bar seperti GCP, Sri Ayu, Kelantan Gold, Public Gold , GSR dan lain-lain tak termasuk Pamp Suisse yang dibawa dari luar. Bank pun ada jual seperti UOB.

Sebagai contoh harga semasa Public Gold 100 gm yg setelah ditolak komisen 2 % ialah RM16,850

Jauh tak perbezaan RM 21,500 – 16,850 = RM 4,650 ( Dekat Facebook boleh dapat lagi murah – Rantai Tangan 999 di jual pada RM16,300 – RM16,500 )Itu belum lagi jikakalau beli barangan kemas yg boleh di manupulasi dalam sistem arrahnu.
Jadi pembeli tak payah dapat hibah pun dah untung serta merta Rm 4,650.

Maka persoalan macamana mereka boleh bayar hibbah 2 % sebulan tanpa ada perniagaan???

jawapannya, ANDA SENDIRI YANG MEMBAYAR HIBAH ANDA SENDIRI.Ia amat sesuai untuk mereka yang tidak tahu tempat membeli emas yang lebih murah. Pamp Suisse jauh lebih murah dan diakui sedunia. Carilah ilmu. Gunalah Pakcik Google pun boleh dapat tahu harga Gold Bar yang sesuai dengan pasaran semasa.
Kalau nak cerita bab hukum hakam halal haram memang dia orang tolak ke tepi, walaupun sudah ada e Fatwa Jakim yang khusus. Jadi saya cerita dari sudut ilmu hisab untung rugi saja lah.

link: http://www.publicgold.my/548/kenapa-ramai-terpengaruh-dengan-skim-pelaburan-emas/

Mana yang anda pilih pelaburan emas atau perniagaan emas?

 

Bila saya sebut pasal pelaburan emas ramai yang dah tau kot…Tapi bila saya sebut pasal perniagaan emas ramai yang tak tau dan jarang kita dapati orang ajar secara percuma…ilmu emas ini kalau anda nak tau sangat bermakna dan susah didapati.

Pelaburan Emas
Pelaburan emas adalah terbahagi kepada dua,iaitu pelaburan emas secara online dan pelaburan emas secara fizikal. Pelaburan emas secara online adalah seperti forex, ianya tak semudah yang kita jangkakan sebab kita kena mahir dalam perjalanan graf dan teknik-teknik yang lain.
Pelaburan emas secara fizikal anda selamat dari pada kejatuhan harga sebab emas tersebut ditangan anda sendiri, walau bagaimanapun anda boleh menunggu harga naik,simpan lama-lama pun tak mengapa kerana emas takkan susut nilainya..tapi saya sarankan anda kalau anda ingin memulakan pelaburan emas pilihlah harga yang murah, bandingkan semua harga penjual-penjual emas dan pastikan spread harga jual dan harga beli jangan terlalu jauh,maximum rm5.00 kebawah adalah senang anda mendapat keuntungan.

Perniagaan Emas
Kalau sebut pasal perniagaan emas adalah bermacam-macam cara dan bermacam-macam ragam dalam perniagaan emas,keuntungan pun begitu juga tergantung pada ilmu yang kita ada, kepakaran dalam persaingan market adalah faktor kepada kejayaan perniagaan emas,kebanyakan orang rugi dalam perniagaan emas adalah orang yang tamak yang ingin keuntungan besar, contohnya ada sebahagian yang saya jumpa harga dah naik tapi tak nk jual juga sebab dia nak tunggu lagi naik, padahal besoknya harga emas turun. Perniagaan emas adalah lebih untung dari pada pelaburan emas.

Banyak lagi yang anda kena ambil peduli atau kena belajar dalam perniagaan emas,mengenali emas tak rugi sebab anda sendiri pun membeli emas.

 

 

Beli emas dapat duit setiap bulan

“Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang. ”

Ada beberapa cara nak melabur dengan emas hari ini. Tapi sila berhati-hati, ada cara yang halal, ada cara yang tak patuh Shariah dan ada cara yang menipu atau skim cepat lingkup.

1. Emas Fizikal

Beli 25 gram emas fizikal dalam bentuk bar, syiling dan barang kemas.

Selagi mana beli secara tunai, tiada isu Shariah. Cara buat untung adalah beli harga rendah, jual harga tinggi.

Rujuk: http://www.pakdi.net/cara-membeli-emas-perak-patuh-shariah/

2. Akaun Pelaburan Emas

Beli 25 gram emas dari bank, emas fizikal tak perlu ambil. Bank simpan atau bank cuma benchmark harga emas semasa.

Yang confirm transaksinya halal cuma KFH dan Al-Rajhi Bank, selebihnya tidak.

Rujuk: http://www.pakdi.net/akaun-pelaburan-emas/

3. Emas + Ar-Rahnu

Kalau emas dah beli secara tunai dan kemudian digadaikan, ok. Patuh Shariah.

Kalau buat kombo sekaligus, maka ada isu Shariah yang pelu diperhalusi.

Rujuk: http://www.pakdi.net/hukum-pelaburan-emas-ar-rahnu/

4. Saham syarikat berhad yang berkaitan emas di Bursa Malaysia

Setahu saya hanya Poh Kong Holdings Berhad (5080) yang sahamnya dijual beli di Bursa Malaysia. Wah Chan dan Habib Jewels masih Sdn Bhd. (Kalau saya tertinggal syarikat berhad dalam industri emas yang didagangkan di Bursa, tolong beritahu saya ya dalam ruang komen) Poh Kong merupakan penjual emas dan barang kemas paling besar di Malaysia dan mempunyai lebih 100 cawangan seluruh negara.

Beli saham Poh Kong Holdings Berhad dan kita berpeluang mendapat capital gain dari harga saham dan juga dividen tahunan. Saya ulang, dividen tahunan.

5. Skim Cepat Lingkup

Caranya, beli emas dapat dividen, duit dan pulangan x% setiap bulan.

Ini skim cepat lingkup. Emas fizikal tak beri dividen. Akaun pelaburan emas pun tak beri sebarang dividen. Kalau nak dapat dividen pun kena beli saham macam syarikat Poh Kong yang tersenarai dengan Bursa Malaysia untuk tujuan tersebut, tapi itu bukan beli emas tapi beli saham.

Kalau syarikat berkaitan emas yang paling besar pun cuma berani dan mampu beri dividen tahunan sahaja, kenapa boleh ada syarikat biasa-biasa yang nak janjikan pulangan dividen setiap bulan? Ia tidak masuk akal. Syarikat sebegitu adalah musang yang sedang membela ayam.

Apa yang sebenarnya syarikat sebegini jual? Emas ke saham?

Jika emas, mana emasnya? Jika emas tiada itu sudah jadi transaksi haram.

Kalau saham pula, adakah ia tersenarai di Bursa Malaysia atau mana-mana bursa saham lain ?

Apakah operasi sebenar syarikat tersebut? Terlibat dalam jual beli emas macam Poh Kong, Habib dan Wah Chan atau cuma sedang menipu orang ramai, penjawat awam dan makcik-makcik di kampung?

Modus operandi skim cepat lingkup bermula dengan model “pelaburan” semudah skim Pak Man Telo dan Labu Peram. Kemudian disusuli skim forex, futures market, CPO, ternak lembu, rumpai laut, jala ikan, MLM dan kini pelaburan emas.

Tak percaya?

“Takkan dia tipu pula, sebab saya masih dapat duit tiap-tiap bulan Pakdi!” ujar seorang pegawai kerajaan.

Ok. Tiada masalah.

Pergi lah habiskan semua duit simpanan, duit simpanan nak pergi haji, gadai tanah, buat pinjaman bank, minta duit & paksa emak ayah, adik beradik, kawan-kawan semua masuk dan jumpa peneroka Felda dan orang kampung untuk terlibat dalam skim yang sama.

Pergi buat apa yang patut untuk terlibat dalam skim macam ni. Pergi buat untuk jadi kaya dengan jalan menipu. Teruskan mengikis duit orang lain.

Saya dah tegur dan ingatkan skim cepat lingkup sebegini melalui siri seminar, ceramah dan bengkel dan hari ini melalui blog. Saya cuma nak selamatkan diri saya, keluarga dan kalian yang mahu percaya sahaja.