Hukum Jual Beli Emas – Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

  • Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli. Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.
  • Berdasarkan laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
  • Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau undang-undang negara.

 

* berhati-hati dalam pelaburan *

Kenapa Genneva Diserbu BNM ?

Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya. -BERNAMA

 

Maybank Beri Ganjaran RM50,000 Seorang Kepada Dua Pelanggan

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) baru-baru ini memberi ganjaran kepada dua pelanggan, masing-masing sebanyak RM50,000 dalam  Akaun Pelaburan Emas Maybank (MGIA), yang merupakan pemenang bertuah dalam fasa pertama kempen “Path to Gold” yang berakhir pada 30 September.

Lempen itu dimulakan pada Ogos, berakhir pada Disember 2012.

Pemenang bertuah itu ialah Tung Thian Lai, 53, dan Puteri Caroline Mohamad Kamel, 20.

Ketua Perbankan Mewah dan Nilai Tinggi, Choong Wai Hong berkata fasa pertama kempen itu berjaya apabila bank merekodkan peningkatan 27 peratus deposit dan aset boleh labur, dan 32 peratus peningkatan dalam pembiayaan.

Beliau berkata kadar itu dicapai selepas mengetepikan kadar pertumbuhan biasa yang direkodkan oleh bank berkenaan di luar tempoh kempen.

“Kempen ini unik memandangkan ia membolehkan pelanggan menang dan mendaftar untuk mana-mana produk Maybank, sama ada pelaburan, simpanan atau pembiayaan.

“Hadiah emas bertujuan membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai pilihan pelaburan alternatif yang ditawarkan oleh akaun pelaburan emas Maybank.

“Kami melihat semakin ramai pelanggan beralih kepada akaun emas apabila menyedari bahawa ia menyediakan pilihan yang lebih baik bagi melindungi daripada inflasi,” katanya.

Keunikan MGIA ialah pelanggan tidak perlu menyimpan emas secara fizikal, tetapi membeli atau menjual secara mudah menggunakan kata laluan, di mana-mana cawangan Maybank di Malaysia atau menerusi Maybank2u.com.

Pelaburan dalam Akaun Pelaburan Emas Maybank disokong sepenuhnya dengan emas fizikal pada ketulenan 999.9. – Bernama

Harga Emas Mampu Cecah RM247/g Tahun 2013

Harga emas dijangka bergerak ke arah AS$2,000 seauns dalam tempoh enam bulan akan datang dengan arah aliran menaik itu dijangkakan berterusan untuk mencapai harga sasaran AS$2,500 seauns dalam tempoh setahun ini, kata Naib Presiden yang juga Pengurus Porfolio DWS Investments GmbH, Manuel Tenekedshijew.

Beliau berkata, pendorong utama kepada kenaikan harga itu termasuk kadar faedah sebenar yang tidak menarik, kebimbangan jangka panjang terhadap inflasi, kekukuhan permintaan bagi pelaburan, arah aliran terkini yang menunjukkan meningkatnya pembelian logam berharga oleh bank pusat di seluruh dunia, selain bekalan terhad. “Berdasarkan analisis kami, harga emas dijangka mencecah AS$1,800 sedikit masa lagi dengan sebarang pembetulan harga menjadi asas kepada kenaikan lanjut.
“Harga emas dijangka bakal bergerak ke arah AS$2,000 seauns dalam tempoh enam bulan akan datang dan arah aliran menaik itu dijangka berterusan untuk mencapai harga sasaran AS$2,500 seauns selepas setahun dari sekarang,” katanya sambil menambah dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, emas kebiasaannya dilihat sebagai pelaburan terbaik.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung arah aliran logam emas di Kuala Lumpur, semalam. Harga emas berlegar AS$1,760 seauns semalam.
Perkembangan ekonomi dan geopolitik semasa menyaksikan dorongan kenaikan harga pasca 2000.

Sementara itu, Pengarah Dana Runcit Bahagian Pengurusan Dana AMMB Holdings Bhd, Ng Chze How (gambar), berkata prestasi lebih baik saham syarikat berkaitan perlombongan emas berbanding pergerakan harga emas fizikal sejak sedekad lalu mendorong AMMB Holdings menambah saiz dana AmPrecious Metal tidak kurang tiga kali daripada 350 juta unit sejak dilancarkan pada 2007, kepada 600 juta unit dan terkini kepada 750 juta unit.
Beliau berkata, dana berasaskan Syariah AmPrecious Metal dilaburkan dalam saham syarikat global terbabit aktiviti berkaitan emas dan logam berharga, seperti syarikat pelombongan emas kerana statistik menunjukkan prestasi saham syarikat terbabit jauh lebih baik berbanding pergerakan harga emas fizikal sejak sedekad lalu.

-Berita Harian

 ~ usd2500/oz iaitu lebih kurang rm247/g!

Syarikat Pelaburan Emas Tiada Kaitan Jualan Langsung

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Mana-mana syarikat yang menjalankan skim pelaburan termasuk menggunakan emas tidak ada kaitan dengan perniagaan jualan langsung kerana kedua-duanya mempunyai cara pengendalian perniagaan berbeza.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak termasuk institusi perbankan tidak harus terkeliru dengan perkara itu kerana perniagaan jualan langsung tidak mengutip wang daripada pengedar mereka bagi tujuan pelaburan.

Katanya, ahli-ahlinya juga hanya mendapat komisen daripada penjualan produk yang dijalankan.

“Syarikat pelaburan tidak berdaftar dengan kementerian di bawah Akta Jualan Langsung, perniagaannya pun berbeza kerana ia memungut duit untuk tujuan pelaburan dan membayar dividen atau faedah kepada pelabur mereka.

”Sedangkan perniagaan jualan langsung hanya menjual produk, tidak memerlukan kedai atau kakitangan ramai untuk menjalankan perniagaan itu dan mereka hanya mendapat komisen daripada penjualan produk,” katanya selepas melancarkan pelan hala tuju industri jualan langsung bagi tempoh 2013 – 2020, di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pihak tertentu yang mahu bank-bank tempatan mendedahkan akaun beberapa syarikat jualan langsung yang dikatakan mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

Ia ekoran hasil serbuan Bank Negara Malaysia ke atas beberapa agensi penguatkuasa yang mendapati syarikat itu merupakan syarikat yang bermasalah dan laporan awal perakaunan menunjukkan operasi syarikat itu mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Mengenai pelan hala tuju industri itu, Ismail Sabri berkata, ia membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama 2013 – 2015, fasa kedua (2016 – 2018) dan fasa ketiga (2019 – 2020).

Katanya, pelan tersebut memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu menambah baik kualiti modal insan, mengukuhkan sistem penyampaian dan perundangan bagi pembangunan industri serta meningkatkan reputasi dan membudayakan prestasi cemerlang demi pertumbuhan industri itu.

“Jika perniagaan jualan langsung ini mempunyai ciri-ciri tiga teras utama ini, maka rakyat lebih yakin untuk menceburi industri ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 30 syarikat jualan langsung telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan pada tahun lalu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM604,604 pada tahun lalu. –UTUSAN

Laksanakan Peraturan Mengenai Perdagangan Emas – Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR – Peraturan mengenai perdagangan emas perlu dilaksanakan bagi memberi garis panduan jelas kepada pelabur dan pedagang, cadang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, terdapat banyak kekeliruan yang timbul disebabkan ketiadaan peraturan tersebut, sekali gus menyebabkan perdagangan dan pelaburan emas kurang diminati.

“Saya mempromosikan perdagangan emas untuk disimpan kerana nilai wang akan menyusut sedangkan nilai emas tidak, jadi kita perlu membeli emas kerana ia amat penting,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Riba Dunia di sini hari ini.

Mengikut peraturan Bank Negara Malaysia, bank pusat tersebut hanya bertanggungjawab terhadap perdagangan emas oleh institusi-institusi kewangan dan tertakluk kepada jenis perniagaan yang mereka jalankan.

Dr. Mahathir turut menyentuh mengenai pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva) yang digantung operasi kerana mengambil deposit haram, beliau berkata, siasatan perlu dijalankan dengan teliti sebelum sebarang tindakan diambil.

“Tidak wajar menghukum semua yang terlibat (dalam pelaburan tersebut) kerana hukuman tersebut patut dijatuhkan kepada individu yang melakukan kesalahan sahaja, saya tidak menentang tindakan kerajaan dalam hal ini tetapi saya merasakan setiap manusia berhak untuk mendapat layanan adil.

“Saya tidak tahu di mana silapnya (Genneva), siasatan teliti perlu dijalankan dahulu kerana apabila terus diharamkan, pembeli akan kerugian, mereka juga tidak dapat emas mereka semula,” ujar beliau lagi.

Mengenai dinar emas yang sering menjadi perhatian beliau sejak beliau memimpin negara, Dr. Mahathir berkata, mata wang tersebut seharusnya menjadi elemen penting dalam perdagangan antarabangsa kerana emas tidak susut nilai dan boleh menjadi sandaran sebenar.

Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan penggunaan dinar emas dalam urusniaga harian.

“Dinar emas seharusnya digunakan untuk perdagangan antarabangsa dan bukannya penggunaan domestik, tetapi di Kelantan mereka keluarkan dinar emas sendiri dan ini menyukarkan urusniaga harian,” jelasnya.

Kerugian Pelaburan Emas Sepanjang 2012

2012 ini adalah tahun yang cukup suram untuk pelaburan dan perniagaan emas, bukan sahaja kerana kejatuhan pasaran emas tetapi juga krisis-krisis skim pelaburan yang merugikan ramai pihak dan  syarikat emas sendiri. Laporan akhbar menyiarkan lebih dari 20 syarikat emas diserbu pihak berkuasa dan beratus lagi disenarai hitam Security Commision (SC), anggaran kasar kerugian yang dialami  warga Malaysia berkemungkinan melebihi RM15 bilion sepanjang tahun ini.

 

Antara kerugian-kerugian terbesar dicatatkan didalam dunia pelaburan emas sepanjang tahun 2012.

1. Krisis Bestino Golden House (Kerugian dianggarkan RM411 Juta, 7000 Individu terlibat)

Syarikat pelaburan emas Bestino mula beroperasi sekitar tahun 2008 dengan skim pembelian jongkong emas bernilai RM10,000 – RM50,000 dan juga terbitan 400 juta saham tanpa kelulusan SC. Skim pelaburan Bestino ini menjanjikan pulangan dividen sebanyak 36% setahun menarik minat 6740 orang ramai untuk melabur,
Operasi pelaburan Bestino mula mengalami masalah apabila disiasat Security Commision pada awal tahun 2011 apabila Empat pengarah syarikat Bestino didakwa di Mahkamah Ipoh atas kesalahan pengubahanan wang haram dan menyebabkan aset mereka dibekukan. Pada awal tahun 2012, syarikat tidak dapat membayar dividen 3% bulanan kepada pelabur menyebabkan pelabur memberi tekanan untuk memulangkan kembali capital mereka. Pada pertengahan 2012, pengarah syarikat berjanji untuk mencairkan ‘aset’ mereka di luar negara yang bernilai hampir ‘400 juta’ untuk tujuan membayar balik modal pelabur tetapi membatalkan kembali kerana bimbang wang yang dibawa masuk akan dibekukan semula Bank Negara. Krisis antara syarikat dan pelabur masih berlanjutan dan belum dapat diselesaikan sehingga ke hari ini.

2. Penipuan emas (tungsten) di dalam Ar-Rahnu. (Kerugian RM80 juta, ratusan terlibat)

Pada April 2012, seorang pemilik kedai emas membuat laporan polis mendakwa diperdayakan pihak Pajak Gadai Ar-Rahnu di sebuah bank di Bandar Ipoh, mangsa yang membeli kira-kira 2kilogram emas dari pelanggan mendakwa emas yang dibeli sebenarnya campuran tungsten-emas dan disahkan pusat peleburan emas. Ekoran laporan yang dibuat, pihak bank terbabit memeriksa seluruh cawangannya di Malaysia dan menemui kira-kira ratusan emas palsu yang bernilai hampir RM80 juta didalam akaun emas Ar-Rahnu. Sindiket yang melakukan penipuan ini masih dibawah siasaran serta turut melibatkan pihak dalaman bank itu sendiri.

3. Pelaburan emas 999 padu dan Jongkong Emas 999.9 (Kerugian lebih RM2billion, >20,000 terlibat)

Pelaburan emas 999 melibatkan lebih ramai pelabur berbangsa melayu bermula sekitar awal 2010 menggunakan Jongkong Emas Pamp Suisse 999.9 dan juga emas padu 999, skim pelaburan ini tidak diuruskan mana-mana syarikat dan lebih berbentuk perniagaan jual beli emas, Pada tahun 2011 harga emas naik ke kemuncaknya pada bulan September, kenaikan harga emas yang tinggi ini menarik minat beribu pelabur baru untuk membeli emas. Dari spekulasi Bank-bank utama di Malaysia berkenaan kenaikan harga hingga mencecah RM400/gram dalam tempoh masa singkat, mendorong ramai pelabur menukar portfolio mereka kepada emas.
Tetapi sayangnya, walaupun spekulasi berterusan dari broker dan penganalisis pasaran, harga emas hanya mampu bertahan beberapa bulan sebelum jatuh teruk pada awal 2012 ekoran kejatuhan ekonomi eropah, ramai pelabur yang membeli ketika harga puncak tersebut terpaksa menanggung kos simpan emas atau menerima risiko emas mereka akan dilelong apabila tamat tempoh waktu simpanan. Akhirnya pelabur terpaksa mengeluarkan emas dan menyimpannya sendiri dan ramai juga yang terpaksa menjual emas mereka untuk mengelak terus membayar upah simpan.

4. Pelaburan Emas Genneva (Kerugian lebih RM10bilion, >50,000 terlibat)

Pelaburan emas ini diuruskan oleh Genneva Malaysia Sdn Bhd , sebuah syarikat berpangkalan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur melibatkan ramai pelabur VVIP dan pelabur berbangsa cina. Didalam bentuk pelaburan ini , Genneva menjanjikan pelabur pulangan dividen (2%) setiap bulan dalam bentuk hibah selagi emas disimpan pelanggan dalam tempoh 6 bulan, selepas tamat 6 bulan pelabur boleh menjual emas semula kepada Genneva dengan harga belian dahulu, ataupun membeli semula dan terus menikmati pulangan hibah 2% setiap bulan.
Pada bulan Oktober 2012, pihak berkuasa Malaysia dan Singapura menyerbu pusat operasi Geneva Malaysia Sdn Bhd dan Geneva Pte Ltd dan merampas kira-kira 200kg emas dan wang tunai yang belum diserahkan kepada pelabur.
Oleh kerana pelaburan emas Genneva melibatkan amaun yang besar, kes emas Genneva beberapa kali kedengaran di sidang parlimen dan tekanan berterusan kepada Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia yang terlibat dalam operasi keatas syarikat.. Kes emas Genneva masih didalam siasatan dan kerugian yang dicatatkan merupakan terbesar dalam pelaburan emas Malaysia tahun ini.

Rujukan dari Malaysiainsider, utusan,hmetro, NS

http://usratisejahtera-jewel.blogspot.com/

Peguam Percuma Bantu Pelabur Emas Genneva

Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno menyediakan 10 peguam kepada 8,000 pelabur, yang membuat pelaburan emas mereka melalui Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), untuk menuntut kembali pelaburan mereka daripada syarikat terbabit.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu secara percuma dan meminta pelabur terbabit tampil memberikan keterangan mereka.

Beliau berkata 8,000 pelabur itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang telah membayar duit kepada syarikat itu tetapi belum mendapat emas dan mereka yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi belum menerima bayaran.

“Kita akan membuat tuntutan kepada syarikat terbabit dan bukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah tindakan sivil agar para pelabur dapat menerima pelaburan mereka dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai Unit Siasatan Khas BNM, semalam.

Laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Mengenai pertemuan beliau dengan BNM, Khairun berkata beliau diberitahu siasatan pihak berkuasa berjalan dengan lancar dan menafikan ada orang kenamaan yang cuba mengganggu siasatan itu.

– Bernama

Emas RM65j Belum Diserah Kepada Pelabur

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd yang diserbu Oktober lalu, belum menyerahkan 4,000 kilogram emas bernilai RM64.94 juta kepada lebih 8,000 pelaburnya.

Selain itu, pelabur yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai berjumlah lebih RM80 juta.

Jumlah itu dikesan selepas siasatan dijalankan ke atas dokumentasi yang disita dalam serbuan premis syarikat itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, semalam, berkata agensi penguat kuasa menerima banyak rayuan daripada pihak yang terbabit dengan syarikat berkenaan.

“Mereka meminta BNM melepaskan wang yang dibekukan sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita seberat 126 kg yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

“Wang dan emas itu dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah,” kata kenyataan itu di sini.

Sebelum ini, angka awal yang dikeluarkan BNM memaklumkan emas disita iaitu sebanyak 142.7kg dan wang yang dibekukan dalam akaun bank serta wang tunai berjumlah RM101.92 juta adalah merujuk kepada semua empat syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas termasuk Genneva Malaysia.
Kenyataan itu juga menjelaskan, laporan awal perakaunan forensik menunjukkan kerugian besar dialami syarikat terbabit tahun ini dengan memiliki tanggungan melebihi 10 kali aset syarikat.

Operasi sebenar syarikat itu adalah menjual emas pada kadar kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga asal belian emas bukan sesuatu yang dapat dikekalkan, katanya.

BNM berkata, dalam keadaan itu, aliran tunai membolehkan syarikat meneruskan operasinya.

Sehubungan itu, BNM menasihatkan orang ramai merujuk kepada sesawangnya untuk maklumat berkaitan perkembangan terkini siasatan kes berkenaan.

sumber : Berita Harian

8,000 Pelabur Genneva Malaysia Belum Dapat Emas

SHAH ALAM – Bank Negara mendedahkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn Bhd masih belum menerima emas mereka dengan jumlah berat melebihi 4,000 kilogram (kg) walaupun telah menyelesaikan bayaran.

Dalam satu kenyataan semalam, Bank Negara berkata, terdapat juga pelabur yang telah menyerahkan emas mereka berjumlah lebih RM80 juta kepada syarikat tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai.

“Perakaunan forensik awal telah mendedahkan kerugian besar yang dialami oleh syarikat itu pada tahun 2012. Syarikat mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

“Menjual emas pada kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan kira-kira dua hingga tiga peratus setiap bulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga belian awal bukan merupakan satu usaha yang mampan,” kata kenyataan dari Bank Negara.

Ia juga menyatakan bahawa aliran tunai bagi syarikat itu untuk mengekalkan operasinya bergantung sepenuhnya kepada jumlah yang dikumpulkan daripada pelanggan baru.

Genneva, telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2 Oktober lalu.

Tiga hari kemudian, pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas premis perhiasan Emas Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd yang disyaki terlibat dengan pengambilan deposit haram, pengubahan wang haram pengelakan cukai dan dan keterangan palsu.

Menurut kenyataan itu, wang Genneva sebanyak RM99.8 juta telah dibekukan dan 126kg emas disita, di mana pihak bank berkata, ia diperlukan untuk siasatan dan hanya akan diuruskan mengikut perintah mahkamah. Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web Bank Negara untuk maklumat lanjut.