Tambah 8 Ar-Rahnu@POS

Kuala Terengganu: Pos Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jumlah pengeluaran pinjaman bagi perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu@POS kepada RM500 juta menjelang tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasinya Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, ia bakal didorong menerusi penambahan lapan cawangan Ar-Rahnu@POS dalam tempoh sehingga tahun kewangan berakhir Mac 2014.

“Dengan prestasi positif yang dicatatkan bagi tempoh operasi perkhidmatan yang belum mencapai tempoh setahun, kami optimis sasaran akan dapat dicapai,” katanya pada program Media Hunt Pos Malaysia-NPC 2013 yang berakhir Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji pasaran bagi menentukan lokasi bersesuaian pembukaan kesemua cawangan terbabit.

Menurutnya, jumlah transaksi pasaran keseluruhan bagi segmen Ar-Rahnu di negara ini adalah kira-kira RM3 juta setahun.

Katanya, ia adalah bidang berpotensi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan perolehan kumpulan kerana setakat operasinya yang bermula pada Julai tahun lalu itu membawa prestasi positif kepada kewangan berakhir Mac tahun ini.

Mohd Shukrie berkata, pihaknya juga menyasarkan pegangan pasaran yang seimbang untuk kumpulan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami kini dalam usaha memperluas operasi perkhidmatan yang pelbagai. Pos Malaysia bukan saja mempunyai objektif ke arah digital dan pada masa sama tidak mahu mengenepikan transaksi yang dapat memanfaatkan orang ramai,” katanya.

Ar-Rahnu@POS adalah perkhidmatan kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Bank Muamalat yang menerima barang kemas dengan nilai emas tidak kurang daripada 75 peratus bersama kadar upah simpan daripada 60 hingga 80 sen setiap bulan untuk setiap RM100 nilai emas, bergantung kepada nilai pasaran.

Harga Emas Mula Meningkat


Harga emas meningkat sedikit pada Jumaat lalu selepas kenaikan dua hari berturut-turut, namun turut disokong oleh jangkaan bahawa calon untuk mengetuai Rizab Persekutuan, Janet Yellen akan meneruskan dasar kewangan mudah selepas memegang jawatan berkenaan.

Kenyataan pengawal selia AS bagi suku ketiga menunjukkan firma lindung nilai terkemuka Paulson & Co mengekalkan kepentingannya dalam SPDR Gold Trust, dana dagangan bersandarkan emas yang terbesar di dunia, dan ia tutut menyokong harga, kata peniaga.

Bulion ditutup rendah minggu lalu selepas susut mendadak dalam tempoh dua minggu kerana hasil pendapatan bukan pertanian mencetuskan kebimbangan Rizab Persekutuan mungkin mengurangkan rangsangan pembelian bon seawal Disember ini.

Bgaimanapun, Yellen memberitahu Jawatankuasa Senat pada Khamis lalu bahawa rangsangan ekonomi Rizab Persekutuan akan diteruskan, menyebabkan spekulator emas membuat belian semula.

Sementara itu, kontrak niaga hadapan hadapan emas di Bursa Malaysia Derivative dijangka bergerak di tengah-tengah situasi ekonomi global yang kurang menggalakkan, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata memandangkan emas amat sensitif kepada data ekonomi, pelabur akan memantau secara dekat beberapa hasil laporan ekonomi terutama dari AS, China, zon euro dan Malaysai sebelum mengambil keputusan bergiat aktif di pasaran.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan mingguan, bulan semasa November 2013 susut RM2.20 kepada RM132.30 setiap gram sementara Disember 2013 merosot RM3.30 kepada RM132.55 segram.

Untuk minggu baru berakhir, jumlah dagangan mengukuh kepada 3,386 lot bernilai RM44.95 juta daripada 1,067 lot bernilai RM14.38 juta minggu lalu.

Jumlah kepentingan terbuka menambah kepada 6,774 kontrak daripada 3,402 kontrak sebelumnya. – AGENSI

Harga Emas Di Tahap Sederhana


Emas meneruskan kenaikan dalam sesi kedua pada Khamis selepas Naib Pengerusi Rizab Persekutan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen, yang mungkin menjadi pengerusi seterusnya bagi Rizab Persekutuan menunjukkan petanda bahawa bank pusat akan terus menyokong ekonomi menerusi program rangsangan.

Harga jatuh tinggi dalam empat sesi sehingga Selasa selepas pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan kukuh AS menaikkan kebimbangan bahawa Persekutuan akan mula mengehadkan rangsangan mulai Disember.

“Namun, dalam komen yang disediakan kepada Jawatankuasa Perbankan Senat pada Khamis, Yellen, calon Presiden Obama untuk mengepalai Persekutuan berkata, ekonomi dan pasaran buruh mencatatkan prestasi lebih rendah berbanding prestasi sebenar.

“Bersandarkan kepada apa yang dikatakan Yellen, ia tidak zahir bahawa tindakan mengehadkan rangsangan akan berlaku sehingga ekonomi stabil.

“Dolar sudah turun sedikit dan ia juga menyokong harga,” kata Pengarah Urusan Pedagang Goldsilver Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, Brian Lan.

Spot emas naik 0.2 peratus kepada AS$1,281.49 seauns menjelang 0752 GMT, selepas menyaksikan penurunan berterusan empat hari pada Rabu dengan kenaikan hampir satu peratus.

Emas AS naik sebanyak 1.6 peratus, menjejaki spot emas. Kontrak hadapan perak naik dua peratus. Indeks dolar berada pada paras rendah dalam seminggu.

Pembelian bon bulanan Persekutuan sebanyak AS$85 bilion menjadi penyokong penting harga emas beberapa tahun kebelakangani kerana ia merangsang tarikan logam itu sebagai aset lindung nilai.

Kebimbangan ekonomi semakin baik mungkin mencetuskan Persekutuan mengehadkan langkah rangsangan tidak lama lagi sudah menyebabkan harga emas turun hampir 25 peratus tahun ini.

Permintaan fizikal sudah meningkat ketika emas didagangkan di bawah AS$1,300 seauns tetapi tidak kukuh untuk memberikan harga status peringkat atas.

Pengaliran keluar SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia, bersambung semula selepas dihentikan selama dua minggu lalu.

Pegangan dana itu jatuh 2.71 tan kepada paras rendah baru sebanyak 865.71 tan pada Rabu. Ia kekal tidak berubah sepanjang November kerana ketidaktentuan berkaitan rangsangan kewangan. – REUTERS

Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama

Emas hampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan

Emas diniagakan dalam jajaran sempit semalam, berlegar menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan di tengah-tengah peningkatan pengaliran keluar dana pelaburan berkaitan emas.

Situasi semasa itu turut diburukkan lagi dengan laporan bahawa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai beberapa kemajuan ke arah menyelesaikan kebuntuan masalah bajet negara itu.

Harga emas, komoditi yang kebiasaannya dianggap paling selamat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, kini dilihat gagal meningkat walaupun perbalahan mengenai kebuntuan fiskal di AS berlarutan sebelum ini.

goldcore_bloomberg_chart1_07-10-13

 

Harga komoditi itu menyusut kira-kira empat peratus di bawah paras AS$1,300 seauns sejak kerajaan AS mengisytiharkan penutupan sementara sebahagian daripada operasinya, bermula 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan analisis sejarah, kita boleh menjangkakan harga emas bakal meningkat dalam tempoh minggu di mana kerajaan AS berdepan dengan kebuntuan masalah fiskalnya,” kata penganalisis di Nomura Securities Sydney, Amber MacKinnon.

“Sekiranya situasi itu benar-benar berlaku, emas akan berada dalam corak pegangan (peningkatan pembelian).

“Peningkatan harga komoditi itu juga boleh berlaku jika berlakunya penurunan (kredit) kewangan AS,” katanya.

MacKinnon berkata, sebelum ini, semasa perdebatan masalah fiskal AS untuk meningkatkan had siling hutang negara itu pada 2011 – yang mana penyelesaiannya hanya dicapai pada minit terakhir – harga emas tidak bertindak balas dengan ketara sehinggalah selepas Standard & Poor menurunkan penarafan kredit AS.

Harga komoditi itu akhirnya mencecah paras tertingginya iaitu AS$1,920 seauns pada September tahun itu.

“Nampaknya, emas tidak meningkat dalam tempoh masa AS mengalami masalah ketegangan politik (dan harga emas dijangka meningkat semula) sehinggalah selepas peristiwa itu tamat,” kata MacKinnon.

Harga rujukan emas meningkat sehingga 0.02 peratus kepada AS$1,273.10 seauns pada 0317 GMT, selepas berlakunya rentetan penurunan selama empat hari dalam sesi sebelumnya.

SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia (ETF), berkata pegangan emasnya susut 1.85 tan kepada 889.13 tan pada Isnin lalu, untuk mencecah tahap terendah dalam tempoh empat tahun.

Situasi ini sekali gus mencerminkan menurunnya keyakinan dalam kalangan pelabur.

Genneva: Penggangur Wanita Didakwa Terlibat Penggubahan Wang Haram Bernilai RM1.1 Juta

SHAH ALAM: Seorang penggangur wanita berusia 29 tahun merupakan individu terbaru yang didakwa terlibat dengan 19 tuduhan penggubahan wang haram bernilai RM1.1 juta yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Ng Wan Yean, anak kepada penasihat penasihat bisnes Genneva, Datuk Ng Poh Weng didakwa terlibat dengan penggubahan wang haram kerana menerima keuntungan yang tidak sah daripda Genneva Malaysia Sdn Bhd dan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun miliknya, CIMB Bank Bhd di Jalan PJU1/3F, Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya dekat sini antara 18 Julai 2011 dan 28 Ogos 2012.

Ng bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan Ng menyerahkan pasportnya.

Ng dijangka akan didakwa dengan beberapa lagi tuduhan tengah hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ayahnya, 63 tahun, adik perempuannya, 34, dan adik lelakinya Ng Yee Yaw, 32, masing-masing didakwa atas tuduhan yang sama minggu lalu di Mahkamah Sesyen di sini dan di Kuala Lumpur

Saudagar Emas Didik Bakal Pelabur Di Bandar Kecil Mengenai Niaga Hadapan Emas


KUALA LUMPUR (Bernama) — Persatuan Saudagar Emas dan Permata Malaysia akan mengadakan siri jelajah dan mengendalikan seminar sebagai usaha untuk mendidik pelabur berpotensi di bandar-bandar kecil dalam perdagangan niaga hadapan emas.

Presidennya Datuk Ng Yih Pyng berkata minat terhadap perdagangan niaga hadapan emas dalam kalangan pelabur awam adalah tinggi tetapi “masih suatu yang baharu kepada mereka di luar bandar-bandar. ”

“Terdapat ramai orang di luar sana, orang-orang yang sangat berminat dalam dagangan niaga hadapan emas (di Bursa Malaysia) tetapi sudah tentu, mereka tidak biasa dengan perdagangan jenis ini,” katanya kepada Bernama di luar acara majlis pelancaran kontrak hadapan emas Bursa Malaysia Derivatif pada Khamis.

Ng berkata orang ramai biasa dengan perdagangan emas fizikal tetapi tidak biasa dengan perdagangan di atas kertas.

Pasaran niaga hadapan emas, kontrak niaga hadapan emas bersaiz kecil dalam mata wang ringgit adalah kontrak penyelesaian tunai, tanpa emas fizikal.

“Kami sudah memulakan siri jelajah penerangan untuk menarik mereka berdagang emas melalui kontrak niaga hadapan. Mendidik orang ramai termasuk anggota kami tentang kontrak ini dan memastikan mereka memahami tentang perdagangan tersebut akan mengambil masa,” katanya.

Persatuan itu juga akan mengadakan seminar untuk anggotanya yang seramai 1,600 mengenai tawaran baharu oleh pengendali bursa saham tempatan itu, kata Ng.

Beliau berkata pengenalan kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif merupakan langkah yang positif untuk industri.

Beliau berkata ia akan membolehkan peserta pasaran melindung nilai pegangan emas mereka terutamanya dalam pasaran yang tidak menentu.

“Ia juga memperkenalkan platform tambahan dan dikawal selia dengan baik untuk pelabur mempunyai pegangan dalam emas,” katanya.

Kontrak niaga hadapan logam berharga yang pertama di Malaysia itu akan memulakan perdagangan di Bursa Malaysia pada 7 Okt ini.

Kontrak dalam denominasi ringgit itu akan didagangkan dalam saiz kontrak kecil 100 gram, membolehkan pelabur berdagang dalam kuantiti yang kecil dengan itu mampu untuk dilabur.
Denominasi ringgit akan meminimumkan risiko yang dikaitkan dengan keadaan turun naik mata wang asing, dengan itu menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk berdagang emas di Bursa Malaysia.

— BERNAMA

Empat pegawai Genneva Gold Dihadapkan Dengan 900 pertuduhan!

genneva-gold

Empat pegawai atasan syarikat perniagaan perdagangan emas Genneva Gold hari ini dihadapkan ke mahkamah dengan 900 pertuduhan dibacakan kepada mereka, dipercayai memecahkan rekod pertuduhan terbanyak di negara ini.

Mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Dua bekas Pengarah syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd itu ialah Datuk Philip Lim Jit Meng dan Datuk Tan Liang Keat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan membuat kenyataan palsu dalam iklan syarikat berkenaan dengan mengatakan bahawa pelaburan emas dengan syarikat berkenaan mengikut undang-undang Syariah.

Mahkamah memerintahkan kes itu disebut semula pada 28 Oktober depan dengan kedua-dua mereka RM20,000 setiap seorang. Mereka kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Sesyen lain untuk menghadapi pertuduhan lain pula.

Di Mahkamah Sesyen yang lain, Lim, Tan dan Datuk Lim Hah Heng dan Datuk Ng Poh Weng didakwa dengan enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah melalui satu skim perlaburan emas di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Keempat-empat mereka menghadapi dua pertuduhan setiap seorang di bawah akta itu. Mereka juga dijangkakan akan menghadapi 915 tuduhan pengubahan wang haram. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10 Januari 2011 higga 1 Oktober 2012.

Pada 1 dan 5 Oktober 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa syarikat pelabur emas bersama anggota polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap syarikat Genneva Malaysia, Pageantry Gold, Ceasar Gold dan Worldwide Far East Berhad.

Selain itu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

      Pada 1 Ogos 2012 pula, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang ke atas syarikat Genneva Malaysia oleh tiga wakil persatuan Pegawai Kerja Mohd Mustaffa Hamzah dan juga Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.
      Mohd Mustaffa atau lebih dikenali dengan Abang Muss berkata PPIM kesal dengan tindakan syarikat Genneva yang mengaku menjalankan urusniaga mengikut hukum syari’ah seperti dinyatakan di laman web mereka.
      Menurut beliau, laporan polis dibuat untuk menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap syarikat Genneva Malaysia yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan berkenaan.
      Syarikat berkenaan turut didakwa mengambil deposit sebanyak RM5 juta tanpa kebenaran dari Bank Negara Malaysia. Lebih perit lagi, pelabur yang terlibat dalam urus niaga Genneva ini didakwa terdiri daripada orang kenamaan, syarikat dan yayasan serta tidak diketahui punca pendapatan mereka.
      Butiran terperinci mengenai kesemua 900 pertuduhan berkenaan masih belum diperolehi, laporan lanjut bakal menyusul tidak lama lagi.

Sumber: Mynewshub