Bahang Emas Sama Panas Dengan Kempen PRU13

KOTA BHARU – Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan, tidak melepaskan peluang membeli barang perhiasan berikutan harga emas turun sejak minggu lepas.

Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan penggemarnya, turun kepada RM380 bagi 2.7 gram, berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya.

Tinjauan Bernama mendapati seawal 9 pagi, pengunjung mula membanjiri kedai-kedai emas di sekitar bandar Kota Baharu, malah ada yang sanggup beratur sebelum waktu perniagaan bermula.

Pekerja Kedai Emas Wan Hassan Wan Omar, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd Zaki, 18, berkata orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu selepas berita harga emas turun, disiarkan akhbar.

Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata operasi kedai itu yang ditutup 5.30 petang setiap hari, kini dilanjutkan sehingga 7 malam.

“Suasana bertambah meriah pada hari minggu sebab orang datang tak putus-putus. Kalau waktu kerja orang hanya datang pada masa rehat,” katanya ketika ditemui di sini.

Antara yang menjadi pilihan pelanggan ialah rantai, gelang dan loket selain barangan kemas yang ditempah mengikut kehendak mereka.

Penggemar rantai dan gelang, Rozilawati Sallehuddin, 41, berkata beliau tidak kisah berbelanja besar untuk mendapatkan barangan kemas kerana ia tidak mudah susut nilai.

“Emas ni pelaburan. Beli banyak kemudian boleh jual bila harga dia naik semula, kadang-kadang tu sampai dua kali ganda daripada harga asal,” katanya.

Nik Mahani Nik Abdullah, 55, berkata emas Kelantan mempunyai keunikan tersendiri kerana mendakwa kualitinya lebih tinggi berbanding tempat lain.

Meminati emas sejak 30 tahun lepas, Nik Mahani berkata beliau biasanya akan membuat tinjauan harga serta mencari reka bentuk terbaharu barangan kemas sebelum membuat sebarang pembelian.

“Kalau tak jumpa yang berkenan, saya akan buat tempahan di kedai emas untuk disesuaikan dengan pergelangan tangan saya yang kecil. Walaupun mahal sedikit, tak apa, janji puas hati,” katanya.- Bernama

Beli Barang Kemas atau Beli Gold Bar Untuk Pelaburan ?

Ramai yang tertanya – tanya mana satu lagi ok, beli barang kemas atau beli gold bar untuk pelaburan ? untuk menjawab persoalan ini pertamanya kita kena lihat kelebihan dan kekurangan barang kemas sebagai pelaburan serta kelebihan dan kekurangan gold bar sebagai pelaburan.

Kelebihan Barang Kemas Sebagai Pelaburan :

  • Semestinya barang kemas di bentuk supaya nampak cantik dan sesuai untuk digayakan oleh si pemakai, jadi pelaburan melalui barang kemas memberi kepuasan kepada pembeli kerana dapat memaksimunkan penggunaan emas yang dibeli iaitu boleh dipakai dan digayakkan.
  • Barang kemas boleh dijadikan sumber mendapatkan cash segera dan sumber modal untuk perniagaan yang terbaik kerana ianya boleh digadaikan di Arrahnu untuk mendapatkan cash. Sebaiknya belilah barang kemas berketulenan 999 kerana nilainya tinggi jika dibandingkan dengan emas 916.
  • Emas dalam bentuk barang kemas mempunyai nilai sentimental value yang tinggi dan mengerat kasih sayang diantara pemberi dan penerima, menjadikan ianya akan disimpan lama bagi menghargai sentimental value tersebut dan secara tidak langsung telah menjadi pelaburan jangka panjang yang baik.
  • Sepanjang masa harga barang kemas semakin meningkat harganya, cuba imbas kemabli berapakah harga barang kemas semasa perkahwinan ibu bapa kita dahulu dan bandingkan dengan harga sekarang, barang kemas boleh dijual apabila harga meningkat.

 

Kekurangan Barang Kemas pula adalah :

  • Harga barang kemas biasanya lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga gold bar, biasanya harga dijual harga FGJAM namun ada juga yang dijual rendah daripada harga FGJAM.
  • Kos upah (workmanship) menyebabkan harga barang kemas agak tinggi berbanding gold bar, semakin cantik design semakin sukar barang kemas untuk dibentuk maka semakin tinggilah kos upahnya.
  • Disebabkan ianya adalah untuk perhiasan pengguna biasanya terpengaruh untuk membeli emas yang mempunyai batu permata yang tidak diambil kira dalam menimbang berat emas semasa barang kemas hendak dijual nanti.
  • Susut nilai barang kemas juga lebih tinggi jika dibandingkan dengan gold bar iaitu diantara 20% – 40%  kerana apabila keluar sahaja daripada kedai emas ianya  telah dikira used gold.
  • Barang kemas berfesyen juga mudah rosak (putus, bengkok, kemek) dan menjadikan nilai susutnilai semakin tinggi kerana dikira sebagai emas rosak.

 

Kelebihan Gold Bar sebagai pelaburan :

  • Harga Gold Bar biasanya lebih murah jika dibandingkan dengan harga barang kemas jadi ianya pelaburan yang baik.
  • Gold Bar lebih mudah untuk disimpan berbanding barang kemas, bentuknya yang kecil dan simple membolehkan ianya disimpan mengikut kreativiti masing-masig asalkan iannya selamat dan tidak hilang.
  • Susut nilai Gold Bar biasanya lebih rendah jika dibandingkan dengan barang kemas kerana ianya adalah emas jenis solid dan berketulenan 999 (24 K).
  • Gold Bar juga lebih tahan lasak dan tidak mudah rosak seperti barang kemas, jadi nilai nya sentiasa dapat dikekalkan tanpa perlu bimbang susut nilai tambahan kerana kerosan seperti yang wujud pada barang kemas.
  • Perbezaan jual beli (spread gold bar) juga lebih rendah iaitu sekitar 5%-8% berbanding barang kemas sekitar 10% – 30%. perbezaan yang tinggi menyebabkan pelabur lambat mendapat keuntungan.
  • Dari segi target untuk jualan semula, gold bar lebih besar marketnya kerana pembeli boleh terdiri daripada kaum lelaki dan juga perempuan, sementara barang kemas biasanya target market lebih kepada kaum wanita.

 

Kekurangan Gold Bar sebagai pelaburan :

  • Oleh kerana ianya bukanlah untuk tujuan perhiasan , pembeli tidak dapat merasai kepuasaan pemakaian sebagaimana barang kemas, ianya tidak boleh dipakai dan cuma dibeli untuk disimpan.
  • Jika dahulu Gold Bar boleh di gadai atau dipajak di arrahnu tetapi sekarang kebanyakan intitusi arrahnu tidak lagi menerima Gold Barsebagai gadaian bagi mendapatkan tunai segera. Ini meyebabkan penyimpan Gold Bar tidak boleh memanipulasi arrahnu untuk mendapat tunai segera.
  • Walaupun pada dasarnya Gold Bar mempunyai spesifikasi berat dan ketulenan yang sama namun syarikat pengeluar biasanya membeli Gold Bar keluaran syarikat lain lebih rendah daripada Gold Bar keluaran syarikat mereka sendiri, jadi pembeli perlulah menjual kembali Gold Bar mereka kepada syarikat pengeluar bagi memaksimunkan keuntungan.
  • Gold biasanya didatangkan bersama sijil ketulenan dan no siri unik yang tersendiri, kehilangan sijil ketulenan boleh menyebabkan penyusutan harga Gold bar anda atau dikenakan penalti oleh syarikat pengeluar dan ianya mengurangkan keuntungan anda.

Jadi beli barang kemas atau beli gold bar untuk palaburan adalah lebih baik ? nasihat saya adalah ianya bergantung kepada tujuan dan situasi kewangan anda, bagi pelabur biasa yang mempunyai saving yang stabil dan tidak perlu untuk mendapatkan tunai segera, membeliGold Bar sebagai pelaburan adalah yang terbaik untuk anda, sementara bagi pelabur yang kadangkala memerlukan tunai segera untuk pusingan modal membeli Barang Kemas adalah terbaik untuk anda kerana di kala memerlukan tunai segera bagi tujuan modal perniagaan anda boleh menggunakan stok barang kemas untuk di pajak di Arrahnu bagi mendapatkan tunai segera, namun harus diingat disiplin amat penting bagi memastikan barang kemas anda dapat ditebus semula setelah memperoleh keuntungan daripada perniagaan anda.

Berikut adalah tips untuk memaksimumkan keuntungan daripada Barang Kemas :

  1. Beli barang kemas pada harga yang murah, survey dulu harga dibeberapa kedai untuk mendapatkan barang kemas pada harga termurah.
  2. Pastikan anda membeli barang kemas yang kos upah (workmanship) nya terendah, sila buat survey kos upah di beberapa buah kedai sebelum membeli.
  3. Dinasihatkan beli barang kemas berketulenan 24 K (999) atau yang paling rendah 22 K (916) bagi memaksimunkan nilai pinjaman apabila di pajak nanti.
  4. Beli design jenis padu dan tebal, elakkan beli yang design berchrome, berloceng , ada batu permata , jenis hollow kerana ianya akan mengurangkan timbangan dan kemungkinan emas anda di downgrade di arrahnu.
  5. Beli barang kemas daripada kedai emas atau syarikat pengeluar yang membeli kembali barang kemas anda pada harga yang tinggi, (spread yang rendah).
  6. Kalau nak best lagi, beli sahaja barang kemas terpakai yang biasa nya lebih murah, arrahnu tidak menilai berapa harga barang kemas anda semasa di beli , baru atau terpakai, yang dinilai oleh arrahnu adalah ketulenan dan berat barang kemas tersebut.

Seni Warisan Tekstil Berhias Emas

PELBAGAI jenis tekstil Melayu di dalam pameran Tradisi dan Kesinambungan.

TELEPUK ialah nama lain yang digunakan untuk bunga teratai, namun kain telepuk mungkin agak asing bagi kebanyakan daripada kita terutamanya generasi muda. Kain telepuk ialah salah satu kain yang terhasil daripada teknik menghias kain menggunakan kertas emas.

Kegunaan kain telepuk telah lama menjadi busana diraja Kesultanan Melayu seperti yang dicatatkan di dalam Hikayat Acheh (Teuku Iskandar 1958) seperti di bawah: “Maka sultan pun memakai kain sungkit pelangi bertelapuk berpusuk rebung bertepi mas permata, berselua(r) dzardzari bertepi tenunan Istambuli dan bertali mas dandan ‘Iraki berbuah ru bepermata pudi dan berikat pinggang.”

Mengikut kajian yang dilakukan oleh pengkaji tekstil, teknik telepuk menghasilkan pakaian istiadat yang mewah dan elegan bersesuaian dengan status pemakai dan majlis yang dihadiri.

Teknik hiasan kertas emas ini bukan sahaja digunakan di alam Melayu malah ia merupakan salah satu teknik yang digunakan untuk menghias pakaian golongan atasan di wilayah-wilayah Asia yang lain seperti Jepun dan Korea terutamanya China.

Di Indonesia dan Malaysia, teknik yang digunakan mungkin terdapat sedikit perbezaan di mana, di Indonesia kain berhias emas ini dipanggil kain perada yang merujuk kepada bahan yang digunakan iaitu serbuk perada atau air emas yang digunakan untuk melukis corak yang diinginkan oleh pembuat kain.

Tetapi di Malaysia, kain telepuk menggunakan teknik mengecap. Beberapa persiapan dan bahan asas diperlukan bagi menghasilkan kain telepuk.

Dua jenis kain yang sering menjadi pilihan di dalam menghasilkan kain telepuk ialah kain kapas dan kain sutera. Kain kapas sering digunakan bagi pakaian lelaki kerana Islam melarang golongan lelaki memakai sutera.

Kain ini selalunya berwarna tetapi kosong tanpa sebarang corak. Ia kemudian akan digerus iaitu proses melicinkan kain dengan menggunakan lilin lebah dan digosok dengan kulit siput geweng sehingga permukaan kain menjadi licin dan berkilat.

Selepas permukaan kain siap digerus cap kayu dalam pelbagai corak seperti pucuk rebung, bunga pecah empat dan teluk berantai akan disapu dengan gam dan dicap di atas kain mengikut susunan atau gubahan seseorang pembuat kain.

Selepas kedudukan corak yang bergam ditentukan, sekeping kertas emas akan dilekatkan di atasnya dan dibiarkan kering. Setelah kering lebihan kertas emas yang tidak melekat akan diberus untuk mengeluarkan corak yang dikehendaki.

Corak dan susunannya di atas kain diadaptasi daripada corak dan susunan hiasan kain songket seperti bahagian badan, kaki dan kepala kain.

Bagi pakaian lelaki, corak telepuk boleh digunakan di atas destar, baju, seluar dan kain samping. Manakala bagi wanita, corak telepuk boleh digunakan pada kain tudung atau selendang, baju dan kain.

Namun begitu, penggunaan kain telepuk amat jarang ditemui pada hari ini. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kerumitan proses penghasilannya dan ini menyukarkan untuk pengeluaran yang banyak.

Kain telepuk merupakan salah satu tekstil Melayu yang sedang dipamerkan dalam Pameran Tradisi dan Kesinambungan: Tekstil bertenun dan berhias Semenanjung Tanah Melayu di Muzium Kesenian Islam Malaysia sehingga Julai ini. -Utusan

Unsur Dan Sifat Emas

Emas ialah unsur kimia dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Au (L. aurum) dan nombor atom 79. Logam ini secara asli boleh didapati dalam bentul ketulan nuget atau butir kecil dalam batuan, atau mendapan aluvial. Kadang-kadang ia juga boleh didapati dalam sebatian emas selalunya dengan tellurium. Logam emas adalah padat, lembut, berkilat, dan logam asli yang paling mudah ditempa dan mulur. Emas tulen mempunyai warna kuning terang dan dianggap menarik dan warna ini kekal tanpa mengalami pengoksidaan udara atau air.

Emas adalah logam yang dibuat syiling dan berfungsi sebagai simbol kekayaan dan penyimpan nilai sepanjang sejarah manusia. Standard emas telah menyediakan asas untuk dasar kewangan. Ia juga telah dikaitkan dengan pelbagai simbolisme dan ideologi. Secara kimia, emas merupakan logam peralihan. Jika dibandingkan dengan logam lain, emas tulen secara kimianya paling reaktif, mempunyai ketahanan terhadap asid tetapi kurang berkesan terhadap regia aqua asid campuran akua regia yang boleh melarutkan emas.

Emas juga larut dalam larutan alkali sianida yang digunakan dalam perlombongan. Emas juga larut dalam raksa (“merkuri”)] dan membentuk sebatian amalgam. Emas tidak larut dalam asid nitrik, yang boleh melarut logam perak dan logam asas dan sifat ini digunakan untuk mengesahkan kewujudan emas dalam sesuatu benda. Emas adalah logam berharga yang dicari-cari untuk syiling, barang kemas dan hasil seni lain sejak zaman dahulu lagi. Sebanyak 165,000 tan emas telah dilombong dalam sejarah manusia pada tahun 2009.[1] Ini lebih kurang sama dengan 5.3 bilion ons troy atau, dari segi isipadu ialah sekitar 8.500m³.

Penggunaan emas baru di dunia adalah sekitar 50% sebagai barang kemas, 40% pelaburan, dan 10% dalam industri. Walaupun digunakan terutamanya sebagai simpanan nilai, emas mempunyai banyak kegunaan industri moden termasuk pergigian dan elektronik. Emas digunakan kerana daya ketahanan yang baik terhadap pengakisan dan konduktor elektrik yang sangat bagus.

: www.emaskajang.net/

Hanya Kerana Pin Rambut Emas Meiktila Bergolak

KONFLIK antara penganut Buddha dan umat Islam di Myanmar meletus lagi. Kali ini bukan di Sitwe, wilayah Rakhine tetapi di pekan Meiktila (juga ditulis Meikhtila). Pekan tersebut terletak hanya kira-kira 160 kilometer (km) dari Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Jarak antara Sitwe (tempat meletusnya konflik Rakhine dan Rohingya) dengan Meiktila lebih kurang 700 km. Dua pekan ini dipisahkan oleh Banjaran Arakan Yoma dan perjalanan di antara dua tempat ini boleh mencecah belasan jam.

Demografi dan topografi kedua-dua tempat itu juga amat berbeza. Rakhine merupakan kawasan pesisir pantai, berbeza dengan Meiktila yang terletak dalam wilayah Mandalay iaitu di kawasan tengah Myanmar yang digelar ‘jantung Myanmar’.

Dari segi penduduknya, etnik Rakhine merupakan penduduk majoriti di wilayah Rakhine selain terdapat jumlah etnik Rohingya yang signifikan. Di Meiktila pula, penduduknya rata-rata terdiri daripada etnik Bamar yang juga merupakan kaum majoriti di Myanmar.

Persoalannya bagaimana konflik antara penganut agama Buddha dengan Islam mampu mengharungi Banjaran Arakan Yoma dan merebak dari Sitwe ke Meiktila? Timbul juga tanda tanya yang sememangnya menarik perhatian – adakah antara insiden di kedua-dua tempat itu saling berkait?

Konflik di Meiktila dicetuskan oleh perkara yang amat remeh iaitu apabila satu pasangan beragama Buddha ingin menjual pin rambut emas dengan harga RM496 kepada seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam. Selepas tawar-menawar, masing-masing bersetuju dengan harga RM372.

Peniaga emas itu bagaimanapun meninggalkan kedai sebentar pergi ke tempat lain untuk mengenal pasti kualiti pin rambut emas itu. Pergaduhan tercetus apabila peniaga tersebut pulang dan mahu mengurangkan harga belian dengan mendakwa pin rambut itu telah rosak.

Masing-masing bertelagah mengenai siapa yang merosakkan pin rambut itu. Akhirnya, peniaga emas berkenaan bertindak melontar pin rambut tersebut. Lelaki yang ingin menjual pin itu pula mendakwa dirinya telah dipukul oleh pembantu-pembantu kedai yang lain.

Akibat pertelagahan tersebut, sebuah masjid dan banyak kedai dibakar. Belasan orang termasuk seorang sami Buddha dipercayai terkorban manakala ratusan polis mengepung Meiktila. Perintah berkurung dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan konflik merebak.

Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Meiktila hanya sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Meiktila mencipta nama di peringkat global kerana di Tasik Meiktila itulah, pemenang hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan suaminya, Dr. Michael Aris berbulan madu.

Selain itu, Meiktila juga merupakan pusat transit pengangkutan bas bagi dua destinasi pelancongan terkemuka di Myanmar iaitu Tasik Inle di negeri Shan dan Kompleks Arkeologi Bagan. Banyak pelancong asing dari Tasik Inle dan Bagan akan singgah di Meiktila untuk menjamu kauk swe jaw (mi goreng Myanmar) sambil minum la peik ye (teh tarik Myanmar) sebelum meneruskan perjalanan ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Namun konflik pin rambut emas menjadikan Meiktila seperti zon perang dengan penduduknya menyembunyikan diri di dalam rumah dan hidup ketakutan. Pasar Meiktila yang sebelum ini meriah dengan suara tawar-menawar dipenuhi polis yang berkawal.

Yang pasti api permusuhan antara penganut Buddha dan Islam yang bermula dari Sitwe telah merebak sehingga Meiktila.

Walaupun keadaan di Sitwe sedikit sebanyak pulih kepada normal namun hati penduduk di situ dan seluruh Myanmar masih belum ditenangkan, tidak kira mereka yang beragama Buddha atau pun Islam.

Legasi sejarah perkauman yang masih menghantui rakyat Myanmar sekali lagi dibangkitkan. Generasi muda melalui buku-buku sejarah tahu bagaimana tanah pusaka nenek moyang mereka tergadai kerana berhutang dengan ceti-ceti dari India termasuk yang beragama Islam.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai penduduk Islam di Myanmar mempunyai legasi dengan India yang boleh dikesan sejak penjajahan British atau lebih awal. Istilah Myanmar Muslim digunakan untuk menggelar kumpulan penduduk ini selain membezakan mereka dengan etnik Rohingya.

Fenomena fobia terhadap Islam pernah mencetuskan pelbagai rusuhan sebelum dan selepas penjajahan British, malahan selepas kemerdekaan. Keadaan itu mendesak banyak umat Islam yang berasal dari India melarikan diri.

Banyak penduduk Myanmar melihat etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Kemarahan mereka terhadap etnik tersebut sebenarnya berjangkit kepada umat Islam secara umumnya.

Dalam kalangan umat Islam pula, mereka secara automatik percaya bahawa etnik Rohingya telah ditindas habis-habisan melalui tindakan balas dendam besar-besaran etnik Rakhine.

Kepercayaan ini bukan disebabkan mereka mempunyai hubungan dengan Rohingya tetapi kerana persepsi bahawa penganut Islam sebagai orang yang tertindas.

Sebab itu hanya kerana pin rambut emas, ia boleh mencetuskan tragedi yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

Kejadian itu menggambar betapa rapuhnya hubungan orang Islam dengan Buddha di Myanmar. Ia turut menggambarkan rasa tidak puas hati penduduk beragama Buddha di Meiktila yang kebanyakannya petani terhadap peniaga beragama Islam. Maka dalam keadaan tertentu, senario itu mungkin boleh digambarkan sebagai konflik antara kelas yang didorong oleh perbezaan agama.

Perkembangan di Meiktila boleh dijadikan isyarat bahawa konflik penganut Buddha dengan Islam di Myanmar tidak lagi bersifat setempat atau terhad di negeri Rakhine. Konflik seumpama itu boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Yangon sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dengan serta-merta.

Simbol pusat bandar Yangon ialah Pagoda Sule yang dikatakan berusia 2,000 tahun di tengah-tengah kesibukan sebuah bulatan jalan raya. Menariknya, pagoda Buddha itu dikelilingi oleh gereja Kristian dan masjid Sunni yang bersejarah.

Oleh sebab keunikan itu, pengunjung yang berjalan kaki di pusat bandar Myanmar kadang-kala boleh mendengar nyanyian lagu penganut kristian, bacaan doa penganut Buddha dan laungan azan pada masa yang hampir sama.

Suasana tersebut melambangkan walaupun Myanmar diduduki secara majoriti oleh penganut Buddha tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Myanmar dan setiap penduduk negara itu mempertahankan keharmonian yang sedang dinikmati. -Utusan

Simpanan Emas Fizikal vs Akaun Simpanan

Ramai yang suka membandingkan emas fizikal dengan akaun simpanan emas tanpa mengetahui fakta yang sebenar.

Bagaimana jika anda pergi ke sebuah restoran,tempah nasi ayam,apa yang anda dapat ialah kertas bertulis “nasi ayam” ? Best ke.

Kalau macam tu,mesti ramai yang dah kaya sebab jual kertas sahaja,dan boleh jual nasi ayam walaupun dengan harga RM1,bukan perlu wujud pun nasi ayam tersebut.

Apa kaitan cerita nasi ayam dengan emas ?Baca lebih lanjut penerangan di bawah

Soalan :

Saya nak minta pendapat,yang mana lebih baik,buat simpanan emas melalui akaun simpanan emas di bank atau emas fizikal?

Jawapan :

– Kalau nak harga murah lebih baik beli akaun simpanan emas sebab bank tak keluar kos untuk beli emas.

– Bank sediakan buku sahaja

– Bank jual murah-murah sahaja sebab emasnya tidak wujud.

Fakta tentang akaun simpanan emas :

1) Harga buku emasnya lebih murah dari harga emas sebenar kerana ia hanya ditulis di atas kertas berbanding emas sebenar yang boleh dipegang,dijual –beli,dipakai dan dipajak bila perlu.

2) Buku emas kalau hilang boleh ganti dengan buku baru.

3) Duit kita bank yang jaga dan gunakan sebagai modal bank berniaga.

4) Jika buku hilang boleh ganti dengan buku baru tapi jika duit dalam buku itu hilang bank tak ganti kerana tidak dilindungi PIDM.

5) Akaun simpanan emas (gold saving acc) Maybank/Public Bank/CIMB bank di bawah konvensional banking kerana tidak memenuhi syarat panel penasihat syariah bank.

6) Syarat untuk patuh syariah, beli emas mesti dapat emas, bukan beli emas dapat buku bank. Konvensional banking ini sebenarnya khas untuk menarik pengguna bukan islam yang takut dengan produk patuh syariah untuk beli buku emas ni. walaubagaimanapun bank tidak melarang orang Islam untuk beli produk yang tak patuh syariah ini.

ps: Sebagai umat Islam sejati,anda dinasihatkan peka dengan halal haram serta menjauhi perkara yang shubhah dan gharar.

Jika nak jaga rezeki kita dari sumber yang halal dan patuh syariah, beli emas yang boleh dapat emas fizikalnya.

Fakta simpanan emas fizikal :

1) Kita beli emas dan dapat emas di tangan.Emas itu adalah emas fizikal yang bernilai tinggi.

2) Emas itu boleh menjadi penyelamat sewaktu sesak nak pakai duit. Gadaikan emas itu di arrahnu dan kita dapat duit segera. Bila ada duit nanti kita tebus balik.

3) Jika kita perlukan duit untuk berniaga, kita boleh gadaikan juga emas itu di arrahnu untuk dapatkan tunai segera buat bisnes. Hasil untung bisnes itu buat tebus emas itu di arrahnu. Bisnes dapat, emas pun dapat balik + untung pun dapat.

4) Anda boleh simpan sendiri emas tersebut, dan jual bila bila masa jika perlu, berbanding dengan akaun simpanan emas,urusan hanya boleh dilakukan hari dan waktu bekerja sahaja.
Bagaimana jika anda tiba-tiba memerlukan tunai?

5) Dengan emas fizikal,anda mempunyai banyak pilihan tempat untuk menjual iaitu end user,pengedar,syarikat emas mahupun kedai emas. Namun akaun simpanan emas,anda tiada pilihan lain melainkan jual pada pihak bank sahaja dengan susut nilai.

6) Bagi mereka yang menyimpan sambil meniaga,mereka boleh meniaga dengan ulang proses jual-beli-restock dan mendapatkan keuntungan yang maksimum tanpa had.

Kesimpulannya ialah apa sahaja pilihan anda,buatlah pilihan yang terbaik dan boleh menenangkan jiwa anda. Umat Islam akan merasa tenang apabila beroleh hasil dari sumber yang halal dan berkat.

: www.jutawangold.com

Negara Paling Banyak Membeli Emas & Menyimpan Emas ?

Negara Mana Yang Paling Banyak Membeli Emas?? Bukan Amerika Syarikat.

Majlis Emas Dunia telah mengeluarkan senarai terbaru pemegang emas terbesar di dunia. Tetapi negara manakah yang paling banyak membeli dalam dekad yang lalu? Jawapannya mungkin akan mengejutkan anda!

No 3 : Turkey – 243.5 tan metrik
Cukup untuk membina sebuah Statue of Liberty daripada emas

No 2 : China – 454.1 tan metrik
Cukup untuk membina 2 Statue of Liberty daripada emas

No 1 : Russia – 570.1 tan metrik
Cukup untuk membina 3 Statue of Liberty daripada emas

Note : 1 tan metrik = 1000kg.

Rekod Simpanan Emas 2012
WORLD OFFICIAL GOLD HOLDINGS
International Financial Statistics, August 2012*

Negara Malaysia dan Asia Tenggara

ini pula rekod tahun sebelumnya (Tahun 2011)

Boleh lah lihat bertambah atau berkurang rangking kita ..

: emasmaster.com

Hukum Makan dan Minum Dengan Bekas Bersadur Emas


Soalan:

Assalam ustaz..saya ingin membuat pertanyaan, apakah hukumnya menggunakan pinggan mangkuk, gelas minuman yang di salutkan dengan sedikit warna seperti emas tetapi ianya bukanlah emas betul seperti yang terdapat dipasaran sekarang ini. Terima kasih.

Jawapan:

Bekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak kemudian disadurkan luarannya dengan warna keemasan (yakni bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi SAW dalam hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas.

Di dalam hadis, Nabi SAW hanya melarang bekas yang diperbuat dari emas dan perak sahaja (tanpa menyebut bekas dari bahan selain keduanya). Sabda Nabi SAW (bermaksud):

“Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.)

Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang.

Berkata Imam an-Nawawi; “Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan” (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi). Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28).

Adapun jika ia disadurkan dengan emas sebenar, hukumnya mengikut mazhab adalah seperti berikut:

Mazhab Hanafi – bekas yang disadur dengan emas dan perak harus digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas.

Mazhab Syafiie – harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.

Mazhab Hanbali – bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur itu.

Mazhab Maliki – Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah), al-Insaf (1/478, bab Sitr al-’Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).

Kesimpulanya, menurut jumhur ulamak; bekas yang disadur dengan emas; jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas, tidak haram menggunakan bekas saduran tersebut kerana emasnya telah musnah dalam logam lain, maka dihukumkan seperti tiada.

Namun jika saduran emas itu banyak di mana ia dapat dipisahkan dari bekas(melalui pelebutan atau sebagainya), haram menggunakannya kerana ia masih wujud dan menggunakan bekas itu sama sepert menggunakan bekas emas. (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah, hlm. 369).

Wallahu a’lam.

: ilmudanulamak.blogspot.com

Pelaburan Emas – Hanya Orang Kurang Bijak Tidak Bertindak

Pelaburan emas? Masih relevankah?

Kenapa masih ada yang tertanya-tanya tentang pelaburan emas? Sedangkan ia sudah jelas menjadi sebahagian daripada pelaburan yang memberikan keuntungan kepada setiap pelaburnya.

Tetapi majoriti daripada kita masih lagi teragak-agak untuk bertindak membeli sekurang-kurangnya 1 jenis emas.

Mereka lebih cenderung menggunakan duit untuk membeli sesuatu yang berlandaskan nafsu. Yang akhirnya membawa bencana kepada diri dan sia-sia.

Harga Emas Naik RM503 Untuk 1 Gram Menjelang 2020

Berikut ada satu kenyataan menarik yang diumumkan oleh Standard Chartered Bank mengenai harga emas.

Menurut satu laporan yang sahih, harga emas dijangkakan akan meningkat kepada AS$5,000 seauns. Ini bermakna harga bagi satu gram emas adalah dalam lingkungan RM503. Peningkatan harga ini dianggarkan akan berlaku pada tahun 2020.

Mengapa berlakunya peningkatan yang ketara ini?

Semuanya disebabkan oleh permintaan kukuh dari dua negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia, yakni China dan India.

Dalam masa sama, sepanjang tahun 2011, harga emas naik sebanyak 10 peratus. Malah mencecah pada paras tertinggi iaitu RM194 untuk harga 1 gram emas.

Sekali lagi, bagaimana peningkatan ini boleh berlaku?

Menurut sumber berita yang dikeluarkan Berita Harian, ia berikutan daripada kebimbangan krisis hutang yang serius di Eropah. Dalam masa sama, pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang baik.

Apakah Tindakan Kita?

“Ketika orang lain tidak melabur, maka itu adalah masa untuk kita melabur. Kerana pada waktu itu adalah masa pelaburan yang terbaik.”

Jika kita memiliki minda seorang pelabur yang kaya dan berjaya, kita memandang isu ini sebagai satu peluang keemasan. Ketika masyarakat tempatan teragak-agak atau menunggu masa terbaik untuk membeli emas, kita mengambil peluang untuk membelinya dalam kadar yang mampu.

Jika kita mempunyai simpanan wang yang membenarkan kita untuk membeli 1 jenis emas, maka usah ragu-ragu. Hubungi pengedar emas yang kita kenal sekarang.

Ia jauh lebih baik daripada membeli barangan-barangan perkakas rumah, atau gajet yang tidak memberikan kita nilai jualan balik yang lebih tinggi, dalam tempoh 3 hingga 5 tahun dari sekarang.

Tunggu Peluang atau Ambil Peluang?

Masa itu emas. Emas itu berharga. Jelas maksudnya sekarang.

Apabila kita bertindak hari ini, kita mempunyai satu peluang untuk mempunyai aset yang bernilai tinggi pada tahun 2020. Bayangkan kita membeli sekurang-kurangnya 1 gram emas pada harga RM194 hari ini.

Pada tahun 2020, ia boleh dijual pada harga RM503.

Jumlah keuntungan kita untuk 1 gram sahaja adalah RM309.

Bagaimana pula dengan mereka yang membeli lebih daripada 1 gram emas? Berapakah nilai untung yang bakal diperoleh pada tahun 2020?

Justeru itu, tanya diri kita hari ini. Adakah kita mahu mengambil peluang sekarang? Atau mahu menunggu datangnya peluang yang lebih baik esok hari? Di mana peluang itu masih kabur-kabur dan tidak menentu.

Jawapan yang terbaik untuk melabur pada emas daripada jutawan Azizi Ali,

“Beli emas apabila sudah mempunyai modal. Kerana harganya akan sentiasa meningkat. Kita tidak akan rugi besar dalam pelaburan emas.”

Jika kita sanggup untuk menyimpan RM2,100 bagi membeli iPhone 4S hari ini, yang hanya menjanjikan keseronokan sementara. Adalah lebih baik kita mengumpul sedikit wang, untuk membeli emas bagi dijadikan aset, bagi menjadi lebih kaya dan bahagia.

Sesungguhnya, nilai kekayaan itu terletak pada bagaimana kita menguruskan wang dan harta. Langkah pertama menguruskan wang adalah dengan melabur terhadap aset yang menguntungkan.

Aset itu pula… Tidak lain tidak bukan, adalah emas.

Mulakan pelaburan emas hari ini. Supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.

– http://teknikpelaburanemas.com