Warga Emas 100 Tahun Disamun

 

MARANG – Seorang wanita warga emas berusia hampir 100 tahun bukan sahaja berdepan detik cemas malah mukanya ditutup dengan kain dua lelaki tidak dikenali yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kijing, di sini.

Tidak cukup dengan itu, dua suspek yang memecah masuk rumah warga emas malang itu melarikan tiga utas gelang tangan seberat 70 gram dianggarkan berharga hampir RM10,000 yang dipakai mangsa di sebelah tangan kirinya.

Dalam kejadian itu, Halimah Mamat, yang mengalami masalah pendengaran dan penglihatan mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenalinya ketika berada dalam bilik tidurnya antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi kelmarin.

“Tok tak ingat pukul berapa mereka masuk dalam rumah ini, masa itu tok ada dalam bilik. Mereka tutup muka tok dengan kain dan lari lepas itu. Apabila tok bangun pagi, baru tok sedar tiga (utas) gelang yang tok pakai hilang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Halimah menghubungi cucunya, Ruhayati Abd Ghani, 45, yang tinggal di Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi memaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan selanjutnya, termasuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Sementara itu, cucu Halimah, Ruhayati berkata, dia menerima panggilan itu kira-kira jam 10.30 pagi, kemudiannya bergegas ke rumah neneknya di Kampung Kijing, di sini untuk mengetahui keadaan sebenar yang menimpa neneknya itu.

“Setiba di rumah itu saya kemudiannya membuat pemeriksaan namun mendapati tiada apa-apa kesan rumah itu telah dipecah masuk dan kemudiannya ke Balai Polis Marang untuk membuat aduan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.Bagaimanapun, katanya, dia percaya dua suspek itu masuk melalui pintu hadapan rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan meminta orang ramai membantu pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan kediaman kerana penglibatan masyarakat sebagai perantara kepada polis mampu mencegah kegiatan jenayah. “Orang ramai bukan saja dapat membantu dalam mencegah kejadian jenayah, malah mereka ialah sumber kepada pihak polis dalam menyalurkan maklumat.

“Pasukan polis juga sentiasa mengukuhkan hubungan baik dengan orang ramai untuk menjalinkan persefahaman bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka khususnya yang menetap di daerah ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Peniaga Emas Ditembak di Pandan Indah

Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaan beliau berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada pukul 8.45 pagi.

“Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu,” katanya kepada Bernama di ibu negara hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.

Amiruddin berkata Wong, yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilapor stabil.

Kes tembak hari ini adalah yang keempat dalam tempoh lima hari minggu ini.

Isnin lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

Pada 29 Julai juga seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam di sini.

Rabu lepas pula, pemandu van kilang N Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak.

Empat Lelaki Bersenjata Guna Lori Simen Rompak Kedai Emas

Empat lelaki bersenjatakan pistol menjadikan lori simen sebagai ‘alat’ untuk mengaburi perbuatan mereka merompak sebuah kedai emas di Jalan PJS 2/16A, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, tiga daripada lelaki itu melarikan tujuh dulang emas bernilai kira-kira RM300,000 daripada rak pameran.

Menurut pekerja kedai emas terbabit yang enggani dikenali, seorang lelaki lagi menunggu di dalam lori dipercayai sebagai pemerhati keadaan sambil menunggu rakannya selesai merompak.

Beliau berkata, rompakan itu yang mengambil masa beberapa minit, tidak disedari orang ramai kerana perompak meletakkan lori simen di hadapan kedai emas itu.

Katanya, kumpulan penjenayah itu tiba-tiba meluru masuk dan terus mengacukan pistol ke arahnya dan dua pekerja lain.

“Kami terkejut dan terpaksa berdiam diri. Kami biarkan sahaja perompak memecahkan cermin rak pameran barang kemas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kumpulan penjenayah itu menggunakan parang dan penukul besi untuk memecahkan cermin rak pameran sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

“Siasatan awal menunjukkan premis tidak mempunyai pengawal keselamatan tetapi dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Arjunaidi berkata, dua penjenayah itu dapat melarikan diri menggunakan motosikal manakala dua lagi menaiki lori simen itu. – Bernama, 26 Julai, 2013 .

Di Rompak Ditepi Jalan

 

 

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon mengundang padah apabila menjadi mangsa samun empat lelaki di Jinjang di sini, kelmarin menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun yang sedang memandu kereta berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang mengetuk cermin tingkap kenderaannya dengan hulu parang.

Menurut sumber, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mangsa tidak sempat melarikan diri apabila pintu keretanya dibuka suspek yang meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan kemudian merayu dilepaskan tetapi tidak diendahkan suspek yang terus merampas telefon bimbitnya.

“Ketika kejadian itu, datang sebuah lagi motosikal dinaiki dua lelaki yang terus membuka pintu penumpang depan dan merampas beg kecil berisi wang tunai milik syarikat serta merentap rantai leher emas dipakai mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik merampas barangan mangsa, suspek terus melarikan diri tanpa mencederakannya.

“Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang,” katanya.

 

Sumber : Harian Metro

Suspek Rompak Kedai Emas Temerloh Lolos Diri Guna Kargo

TEMERLOH: Polis tidak menolak kemungkinan enam lelaki yang merompak barang kemas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dua hari lepas, turut menggunakan lori kargo bagi meloloskan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, suspek yang menaiki kereta jenis Honda Accord dan Toyota Camry selepas merompak kedai emas berkenaan memecut kenderaan menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Menurut saksi, kedua-dua buah kereta dinaiki enam perompak itu dikatakan merempuh kayu halangan di Tol Temerloh dan menghala ke Kuala Lumpur.

“Polis tidak menolak kemungkinan kereta itu dinaikkan ke dalam lori kargo yang menunggu mereka di kawasan rehat dan rawat di LPT menghala ke Karak,” katanya di sini, Sabtu.

Beliau bekata polis turut menemui lapan dulang kosong yang dibuang ditepi jalan, kira-kira 2km dari bandar Mentakab.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu penjenayah berkenaan mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan 24 dulang barangan kemas.

“Polis percaya rompakan itu dilakukan secara terancang dan melibatkan beberapa individu lain,” kata Zundin.

Semasa rompakan, pemilik kedai dan beberapa pekerjanya, baru tiba di kedai emas berkenaan untuk memulakan perniagaan sebelum diserbu empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Beliau berkata polis Temerloh dengan kerjasama polis dari negeri bersempadanan dengan Pahang kini memperhebatkan gerakan memburu kesemua suspek. – BERNAMA

Peniaga Emas Dirompak RM500,000

SUNGAI BULOH – Hanya dalam tempoh lima minit, sebuah kedai emas di Paya Jaras, di sini kerugian hampir setengah juta ringgit dalam kejadian rompakan bersenjata, petang kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa sedang melayan pelanggan, sepasang suami isteri. Seorang penjenayah menyerbu kedai tersebut dan mengacukan senapang kepada mangsa dan pelanggan itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, penjenayah yang menutup muka dengan kain itu mengarahkan mangsa memasukkan barang kemas ke dalam beg galas. “Mangsa menyerahkan lapan dulang emas kepada suspek, sebelum suspek melarikan diri setelah mendengar jeritan rakannya yang berada di luar premis itu,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lagi rakan suspek yang menaiki dua buah motosikal Yamaha 123 warna hitam dan merah menunggu di luar premis berkenaan.

“Siasatan juga mendapati premis berkenaan tiada kamera litar tertutup (CCTV), namun seorang saksi memberitahu ternampak dua suspek berkenaan yang memakai topi keledar berada di luar premis itu,” katanya. Junaidi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti 17 kesan cap jari di lokasi kejadian.

“Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Enam Lelaki Rompak Barang Kemas RM3.2 Juta

TEMERLOH – Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini.

Katanya kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

“Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri.

“Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi,” katanya. – Bernama

Peragut Dipukul

Kuantan: Seorang daripada dua lelaki yang cuba merentap rantai leher emas seorang wanita dibelasah suami mangsa sejurus suspek terjatuh dari motosikalnya dalam kejadian di Jalan Wong Ah Jang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.05 pagi itu, seorang lagi rakan peragut bagaimanapun sempat melarikan diri, meninggalkan motosikal. Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu berjalan seorang diri untuk ke tempat kerjanya di sebuah syarikat percetakan sebelum diekori dua lelaki bermotosikal.

Timbalan Ketua Polis Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata ketika menghampiri mangsa, seorang daripada peragut merentap rantai leher wanita itu yang kemudian terus menjerit meminta tolong.

“Suami mangsa yang juga bekerja di syarikat sama berhampiran tempat kejadian mendengar jeritan itu sebelum bersama rakan sekerjanya menyergah dua peragut terbabit. Ia menyebabkan motosikal dinaiki suspek hilang kawalan dan terjatuh sebelum seorang daripada penjenayah itu diberkas orang awam.

“Tangan serta kaki suspek kemudian diikat dengan tali dan dia dibelasah orang ramai hingga cedera,” katanya sambil menambah, suspek berusia 22 tahun berasal dari FELDA Ulu Jempol, Maran, mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek. -Berita Harian

Penyamun Putih Mata Barang Kemas Jatuh Atas Lantai

Alor Gajah: Tiga penjenayah bersenjata yang menyamun sebuah kedai emas di Pulau Sebang di sini semalam, berputih mata apabila dulang berisi emas bernilai puluhan ribu ringgit berterabur ketika mereka cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, tiga suspek bertopeng berusia 20 hingga 30-an itu dikatakan hanya sempat melarikan daripada emas berkenaan bernilai kira-kira RM5,000 dengan menaiki kereta.
Difahamkan, kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran kawasan terbabit dan berhenti berhampiran premis sebelum dua daripada suspek memasuki kedai terbabit.

Dulang jatuh ke lantai

Menurut sumber, ketika kejadian, seorang daripada suspek mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan dua dulang berisi cincin emas dikeluarkan dari almari kaca.

“Bagaimanapun, ketika mengangkatnya untuk memasukkan barang kemas ke dalam sebuah beg, dulang berkenaan terjatuh ke lantai dan menyebabkan suspek menggelabah lalu hanya sempat membawa lari sebahagian kecil barang emas.

“Mereka dilihat menaiki kenderaan sama menuju pekan Alor Gajah. Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Sebang sejurus kejadian,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian samun berkenaan yang dipercayai menggunakan pistol mainan.

“Mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang juga pemilik kedai emas itu dan beberapa pekerjanya tidak dicederakan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. BH

Banyak Kedai Emas Abai Aspek Keselamatan

KOTA BHARU Julai – Masih banyak kedai emas di negeri ini yang mengabaikan aspek keselamatan di premis perniagaan mereka dengan tidak mematuhi spesifikasi disarankan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sesebuah kedai emas itu perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, palang besi dan sebagainya bagi memastikan premis berkenaan selamat.

Beliau berkata, pengabaian aspek keselamatan tersebut secara secara tidak langsung membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah rompakan ke atas premis perniagaan berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kebanyakan premis aspek pencegahan dan keselamatannya sering terdedah kepada jenayah dan situasi ini membabitkan premis perniagaan di luar Kota Bharu.

“Bagaimanapun ada juga pemilik kedai emas yang telah 90 peratus mengikut spesifikasi aspek pencegahan dan keselamatan namun jumlahnya masih rendah.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan semua pemilik kedai emas di negeri ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan. Ia sangat penting bagi memastikan premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Cawangan Kedai Natika Gold and Diamond di Bazar Buluh Kubu hari ini.

sumber :  http://ww3.utusan.com.my