Suri Rumah Rugi RM20,000 Akibat Pukau

Suri rumah rugi RM20,000 akibat pukauBatu yang diberi suspek kepada mangsa yang dikatakan boleh mengubati gigitan serangga.

 

BANDAR TUN RAZAK – Seorang suri rumah di Felda Keratong 3, dekat sini kerugian hampir RM20,000 dan mendakwa dirinya seperti dipukau selepas bertemu seorang lelaki yang bertanyakan lokasi sebuah rumah ketika pulang dari pasar malam, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya berkata, mangsa berusia 45 tahun itu disapa suspek yang bertanyakan lokasi rumah dalam loghat Sabah namun mangsa memaklumkan dia tidak tahu lokasi rumah berkenaan.

“Kemudian, datang pula seorang lelaki dari arah belakang mangsa yang dipercayai rakan suspek mencelah dan mengatakan dia tahu lokasi rumah tersebut.

“Suspek mengucapkan terima kasih kepada mangsa dan seterusnya memberi batu merah kepada mangsa dan juga lelaki yang membantunya itu sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Menurutnya, suspek terus beredar dengan berjalan kaki manakala lelaki dipercayai rakan suspek itu bertanya kepada mangsa mengenai kegunaan batu tersebut namun mangsa menjawab tidak tahu.

“Mereka berdua mengejar suspek untuk mendapatkan maklumat mengenai batu tersebut dan suspek memaklumkan batu itu boleh dibuat ubat seperti penawar gigitan serangga.

“Suspek turut memaklumkan batu itu perlu dibungkus dengan kain putih dan jika tiada, gantikan dengan wang kertas seringgit,” katanya.

Johari berkata, lebih mengejutkan, mangsa turut menanggalkan barang kemas yang dipakainya seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin dengan sendiri selepas diberitahu suspek bahawa pemegang batu tersebut tidak boleh memakai barang kemas.

“Selepas mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakainya, suspek meminta mangsa memasukkannya ke dalam sampul surat putih milik suspek.

“Suspek menutup sampul surat putih tersebut dan terus memasukkannya ke dalam beg duit milik mangsa tetapi apabila sampai di rumah dan selesai solat, mangsa membuka sampul tersebut namun yang ada hanyalah batu,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut menasihati kaum wanita berhati-hati ketika didatangi individu tidak dikenali yang bertanyakan arah atau sesuatu kerana sindiket penipuan begini memang menyasarkan golongan wanita.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Kes Penipuan.

Nasib Membeli & Memiliki Emas Curi

pajak-gadai

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lima pertuduhan memiliki pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM6,000, awal bulan ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Amin Abrahim, 52, dari Kota Kinabalu, Sabah didakwa memiliki seutas rantai leher bersama loket emas bernilai RM1,500 kepunyaan pemandu peribadi Bahrin Kassim, 48, dan seutas gelang tangan dan gelang kaki bernilai RM2,000 milik Nuruldhia Hana Delisha yang berusia setahun tujuh bulan.

Dia juga berdepan dengan pertuduhan ketiga dan keempat iaitu memiliki seutas rantai leher emas bernilai RM800 kepunyaan jurujual Badrul Sham Jebah, 41, dan satu loket emas bernilai RM700 milik Abdul Bahrul Uni, 33.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh, yang diwakili peguam V. Kamalai, didakwa memiliki seutas rantai leher bersama loket emas bernilai RM1,000 milik jururawat Hasniza Zainal Abidin, 33.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di lobi sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang di sini pada 7 malam, 1 Dis lepas, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Majistret Nurul’ain Abdul Rahim menetapkan 6 Jan depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.  – Bernama

Ibu bapa latih tiga anak mencuri

KUALA LUMPUR: Modus operandi mereka ialah memotong rantai leher atau gelang tangan bayi atau kanak-kanak yang didukung di pesta atau karnival.

Menurut laporan Harian Metro, tiga remaja berusia 13, 16 dan 17 tahun ini dilatih oleh ibu bapa mereka sendiri untuk mencuri di karnival atau pesta ketika cuti sekolah sejak setahun lalu.

Ibu bapa ketiga-tiga remaja terbabit disahkan mempunyai rekod jenayah lampau di mana bapa berusia 52 tahun yang mengetuai kumpulan terbabit memiliki lima rekod dan isterinya berusia 43 tahun memiliki satu rekod jenayah.

Memetik Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh sebagai berkata kepada Harian Metro, maklumat diterima pada 30 November lalu yang aktif meragut di Karnival Jom Heboh di Bukit Jalil pada hari berkenaan.

Ketika ditahan, ketua kumpulan terbabit bertindak menyembunyikan semua barang kemas di dalam kasutnya.

Ekoran penahanan keluarga terbabit, polis antaranya telah merampas enam loket emas, 12 rantai emas, tiga gelang tangan emas, sepasang subang emas serta 10 resit jual beli dan gadai barang kemas.

Padah Jual Cincin Tipu

AYER KEROH – Seorang bekas pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memperdaya dua peniaga emas dengan menjual cincin emas yang sebenarnya adalah perak.

Tertuduh, P Sangkar, 40, dari Nilai, Negeri Sembilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Sangkar didakwa memperdaya Fong Kai Wah, 52, untuk menyerahkan wang RM2,400 bagi sebentuk cincin berwarna keemasan adalah emas tulen, sedangkan ia diperbuat daripada perak disaluti emas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Gold Money Trading, Jalan Bendahara kira-kira jam 1 petang pada 24 September 2013.

Sangkar turut didakwa atas kesalahan sama terhadap Chan Weng Kent, 43, di sebuah kedai emas lain di Jalan Bendahara kira-kira jam 1 petang pada 25 September 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Muhammad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Sangkar yang mempunyai penyakit kencing manis meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana dia perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua, selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Disember depan bagi lantikan peguam.

Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama

3 Ditembak Selepas Samun Emas RM1.8 Juta

FotoAnggota polis memeriksa tempat kejadian selepas berjaya menembak mati penjenayah di persimpangan lampu isyarat berhampiran Tanah Perkuburan Islam Meru Raya dekat Jelapang, Ipoh.

Ipoh: Sekumpulan penjenayah tidak sempat menikmati hasil rompakan dari sebuah kedai emas di Meru Raya, dekat sini semalam, apabila tiga daripada mereka mati ditembak polis.

Sebelum kejadian berbalas tembakan kira-kira jam 11.05 pagi itu, kumpulan empat lelaki berkenaan yang memakai topeng ski dan bersenjatakan pistol, menyamun barangan kemas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dari kedai berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Meru Bestari B5.

 Rakaman CCTV di kedai emas berkenaan menunjukkan jenayah yang hanya mengambil masa kira-kira tiga minit itu, dilakukan tiga lelaki.
 Dua daripada mereka menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin ruang pameran barangan kemas, seorang bersenjatakan pistol mengancam lima pekerja kedai itu manakala seorang lagi dipercayai menunggu di kereta.

Terima laporan

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis menerima laporan mengenai jenayah itu jam 10.50 pagi sebelum pasukan Ops Cantas mengesan PROTON Waja biru dinaiki suspek di persimpangan lampu isyarat Lebuh Meru Raya, kira-kira tiga kilometer dari lokasi rompakan.

“Ketika dikejar, kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Seorang suspek kemudian keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang terpaksa membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri. Polis berjaya menumpaskan tiga suspek, namun seorang melarikan diri ke dalam kebun sawit berhampiran,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis yang memeriksa kenderaan suspek kemudian menemui sepucuk pistol jenis ‘Star’ buatan Sepanyol 7.62mm kaliber, tiga peluru .32mm, dua kelongsong peluru, sebilah parang, dua telefon bimbit, tujuh dulang bersama barangan kemas dan dua topeng muka.

Temui senjata api

“Mayat tiga lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai cedera di kaki, sama ada terseliuh atau terkena tembakan ketika cuba melarikan diri, sedang diburu dan dipercayai masih bersembunyi di kawasan berdekatan.

“Polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson model SW9S bersama tiga peluru 9mm dalam kebun sawit berdekatan lokasi kejadian, dipercayai milik suspek yang melarikan diri,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat termasuk mengesan identiti suspek bagi mengenal pasti sama ada mereka terbabit dalam mana-mana pertubuhan haram atau memiliki rekod jenayah, namun siasatan awal mendapati kereta dinaiki mereka dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang, 3 Oktober lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

 

Sumber – Berita Harian

Empat pegawai Genneva Gold Dihadapkan Dengan 900 pertuduhan!

genneva-gold

Empat pegawai atasan syarikat perniagaan perdagangan emas Genneva Gold hari ini dihadapkan ke mahkamah dengan 900 pertuduhan dibacakan kepada mereka, dipercayai memecahkan rekod pertuduhan terbanyak di negara ini.

Mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Dua bekas Pengarah syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd itu ialah Datuk Philip Lim Jit Meng dan Datuk Tan Liang Keat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan membuat kenyataan palsu dalam iklan syarikat berkenaan dengan mengatakan bahawa pelaburan emas dengan syarikat berkenaan mengikut undang-undang Syariah.

Mahkamah memerintahkan kes itu disebut semula pada 28 Oktober depan dengan kedua-dua mereka RM20,000 setiap seorang. Mereka kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Sesyen lain untuk menghadapi pertuduhan lain pula.

Di Mahkamah Sesyen yang lain, Lim, Tan dan Datuk Lim Hah Heng dan Datuk Ng Poh Weng didakwa dengan enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah melalui satu skim perlaburan emas di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Keempat-empat mereka menghadapi dua pertuduhan setiap seorang di bawah akta itu. Mereka juga dijangkakan akan menghadapi 915 tuduhan pengubahan wang haram. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10 Januari 2011 higga 1 Oktober 2012.

Pada 1 dan 5 Oktober 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa syarikat pelabur emas bersama anggota polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap syarikat Genneva Malaysia, Pageantry Gold, Ceasar Gold dan Worldwide Far East Berhad.

Selain itu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

      Pada 1 Ogos 2012 pula, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang ke atas syarikat Genneva Malaysia oleh tiga wakil persatuan Pegawai Kerja Mohd Mustaffa Hamzah dan juga Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.
      Mohd Mustaffa atau lebih dikenali dengan Abang Muss berkata PPIM kesal dengan tindakan syarikat Genneva yang mengaku menjalankan urusniaga mengikut hukum syari’ah seperti dinyatakan di laman web mereka.
      Menurut beliau, laporan polis dibuat untuk menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap syarikat Genneva Malaysia yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan berkenaan.
      Syarikat berkenaan turut didakwa mengambil deposit sebanyak RM5 juta tanpa kebenaran dari Bank Negara Malaysia. Lebih perit lagi, pelabur yang terlibat dalam urus niaga Genneva ini didakwa terdiri daripada orang kenamaan, syarikat dan yayasan serta tidak diketahui punca pendapatan mereka.
      Butiran terperinci mengenai kesemua 900 pertuduhan berkenaan masih belum diperolehi, laporan lanjut bakal menyusul tidak lama lagi.

Sumber: Mynewshub

Dua Pengarah Genneva dibicara di Mahkamah, kes kerugian RM5.5 bilion

Genneva regional director Datuk Joseph Kow at the branch office in Gelugor

KUALA LUMPUR – Enam individu, termasuk dua pengarah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Datuk Philip Lim Jit Meng, 56, Datuk Tan Liang Keat, 41, Lim Kah Heng, 42, Datuk Ng Poh Weng, 63, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 61, dan Datuk Chin Wai Leong, 37, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki, memindah, menerima dan memperoleh wang berjumlah RM1.5 bilion menerusi hasil aktiviti haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara Jan 2011 dan Dis 2012 mengikut subsesyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua syarikat iaitu GMSB dan Success Attitude Sdn Bhd, turut didakwa atas pertuduhan sama, masing-masing dengan 222 dan lapan pertuduhan di tempat dan masa yang sama.

Philip, yang merupakan pengarah GMSB dan Success Attitude, berdepan 246 pertuduhan; Tan, pengarah GMSB (226 pertuduhan); Lim, pengurus besar syarikat (16 pertuduhan) manakala Ng, Marcus dan Chin, penasihat perniagaan syarikat itu, masing-masing berdepan 155, 17 dan 23 pertuduhan.

Sementara itu, syarikat GMSB, Philip, Tan, Lim dan Ng mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara 10 Januari 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan RM1 juta dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan BAFIA.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes.

Di mahkamah berasingan, GSMB, Philip dan Tan turut mengaku tidak bersalah membuat penyataan palsu dalam iklan di laman sesawang www.gennevaworld.com.my berhubung penjualan emas berlandaskan syariah.

Bagi pertuduhan ini, mereka yang merupakan orang kena saman, didakwa melakukan kesalahan itu di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 16 Februari dan 1 Oktober 2012.

Mereka didakwa mengikut Sesyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(b) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan Philip dan Tan masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Okt untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Mardziatul Nisa Ahamad Kabir dan Aida Mastura Mohamed Aman manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam A.S.Dhaliwal dan J.Kuldeep Kumar. – Bernama

Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut Emas

 

 

 

Pelik ,  Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut  Emas | Seorang lelaki warganegara British, Hok Kuen Chow ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini kerana cuba menyeludup enam janin yang telah dipanggang dan bersalut emas ke Taiwan . Lelaki  yang dilahirkan di Hong Kong  ini mengaku kepada pihak polis, dia memang berniat untuk menjual janin-janin ini ke Taiwan. 

Hok Kuen Chow dilaporkan telah membeli janin ini dengan harga US $ 6.500 dari “agen” yang tidak disebut namanya. Dan dia dijangka akan menjualnya kembali di Taiwan dengan harga lebih tinggi iaitu enam kali ganda.

Menurut laporan dari pihak polis, para pelanggan Hok Kuen Chow di Taiwan menggunakan janin-janin ini untuk sebuah ritual ilmu hitam yang di percayai boleh membawa keuntungan besar dalam perniagaan

Pemilik kedai emas cedera ditembak

KUALA LUMPUR – Pemilik kedai emas Abdul Razak Jewellers di Jalan Lebuh Ampang di sini cedera parah terkena tembakan ketika cuba menghalang percubaan merompak kedainya hari ini.

Abdul Rasul Abd Razak, 58, cedera di bahagian perut dan bahu akibat terkena dua das tembakan dilepaskan seorang daripada empat suspek yang cuba merompak kedainya dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu.

Menghuraikan insiden itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian, empat pekerja sedang bersiap-siap untuk memulakan operasi sebelum dua lelaki bertopi keledar penuh dan berjaket hitam meluru masuk premis berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak melompat masuk ke ruang kerja pekerja manakala seorang lagi berdiri di ruang pelanggan.

Mangsa yang keluar dari pejabatnya untuk cuba menghalang tindakan penjenayah tersebut telah bergelut dengan dua suspek itu.

Ketika pergelutan itu, dua lagi rakan penyamun yang ketika itu berada di luar kedai dan bersedia dengan motosikal meluru masuk ke kedai dan melepaskan beberapa das tembakan, lalu mengenai bahu dan perut mangsa.

“Akibat panik, kesemua suspek melarikan diri dengan dua motosikal tanpa sempat melarikan apa-apa,” katanya, sambil menambah tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug ditemui di lokasi kejadian dan polis percaya suspek bersenjatakan dua pucuk pistol.

Katanya telah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar kedai itu. – Bernama