RM200,000 Lesap Dalam Tiga Minit

SEREMBAN – Dua penjenayah mengambil masa hanya kira-kira tiga minit untuk melarikan lima dulang barangan kemas bernilai hampir RM200,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dua lelaki yang memakai topi keledar telah menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, ketika kejadian hanya dua pekerja wanita berada di dalam kedai itu.

“Salah seorang perompak itu mengacukan pistol ke arah kedua-dua pekerja berkenaan dan mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri.

“Suspek cuba memecahkan kaca ruang pameran yang menempatkan barang kemas dengan mengetuknya menggunakan pistol tetapi gagal. Mereka kemudian mengarahkan pekerja terbabit memasukkan lima dulang emas ke dalam sebuah beg,” katanya di sini semalam.

8,000 Pelabur Genneva Malaysia Belum Dapat Emas

SHAH ALAM – Bank Negara mendedahkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn Bhd masih belum menerima emas mereka dengan jumlah berat melebihi 4,000 kilogram (kg) walaupun telah menyelesaikan bayaran.

Dalam satu kenyataan semalam, Bank Negara berkata, terdapat juga pelabur yang telah menyerahkan emas mereka berjumlah lebih RM80 juta kepada syarikat tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai.

“Perakaunan forensik awal telah mendedahkan kerugian besar yang dialami oleh syarikat itu pada tahun 2012. Syarikat mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

“Menjual emas pada kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan kira-kira dua hingga tiga peratus setiap bulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga belian awal bukan merupakan satu usaha yang mampan,” kata kenyataan dari Bank Negara.

Ia juga menyatakan bahawa aliran tunai bagi syarikat itu untuk mengekalkan operasinya bergantung sepenuhnya kepada jumlah yang dikumpulkan daripada pelanggan baru.

Genneva, telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2 Oktober lalu.

Tiga hari kemudian, pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas premis perhiasan Emas Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd yang disyaki terlibat dengan pengambilan deposit haram, pengubahan wang haram pengelakan cukai dan dan keterangan palsu.

Menurut kenyataan itu, wang Genneva sebanyak RM99.8 juta telah dibekukan dan 126kg emas disita, di mana pihak bank berkata, ia diperlukan untuk siasatan dan hanya akan diuruskan mengikut perintah mahkamah. Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web Bank Negara untuk maklumat lanjut.

Syarikat Pengendali Skim Emas Gagal Urus Rekod

KUALA LUMPUR – Susulan serbuan dan penyiasatan terhadap empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan mendapati sesetengah daripada syarikat yang terbabit tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia, berkata hasil penyiasatan ke atas empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, mendapati sesetengah daripada syarikat gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan yang baik dan tepat.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan yang berbeza-beza. Mereka juga gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Bagi perniagaan, terutamanya yang melibatkan bilangan pelabur dan jumlah wang yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan kewangan sebenar syarikat,” kata agensi-agensi tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, rekod yang disita menunjukkan sebahagian besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan mereka tetapi masih belum menerima emas yang dibeli, sebelum serbuan tersebut dibuat.  Dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas  tersebut telah melebihi lima bulan.  Jumlah emas yang disita daripada semua syarikat semasa serbuan ialah kira-kira 142.7 kilogram, manakala wang dalam akaun bank dan wang tunai berjumlah RM101.92 juta.

Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran yang dialami oleh para pelabur yang terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut. Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain.

Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan

Maklumat lanjut berhubung dengan penyiasatan ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Kenyataan bersama oleh:

Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia

1 Juta Emas Dilarikan Dalam Rompakan Kedai Emas

KUALA LUMPUR – Sekumpulan perompak memasuki sebuah kedai emas dengan menebuk dinding belakang premis itu sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam satu kejadian di Jalan Genting Klang di sini Sabtu lepas.

Kejadian dipercayai berlaku pada 9 malam dan hanya disedari seorang pekerja kedai emas itu pada 8 malam keesokan harinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata kumpulan suspek itu dipercayai mempunyai kepakaran menggunakan peralatan memecah dinding serta peti kebal, selain telah lama memerhatikan premis berkenaan.

“Dipercayai mereka menggunakan gas acetylene untuk melembutkan peti kebal sebelum memecahkannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan kejadian di premis yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam itu menyaksikan tiga peti besi berisi barang kemas ditebuk suspek.

Othman berkata kumpulan penjenayah itu turut memotong wayar sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan bagi mengelak wajah mereka dikenal pasti.

Seorang pekerja sebuah kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata kumpulan perompak itu juga bertindak mengalihkan pandangan CCTV di belakang premis tempat dia bekerja ketika kejadian.

Tinjauan Bernama mendapati lubang berukuran badan manusia ditebuk di dinding belakang kedai emas itu manakala gril di dalamnya dipatahkan dan terdapat kesan tebuk pada dinding nipis untuk masuk ke tempat barang kemas disimpan. – Bernama

Porsche Berwarna Emas dicuri di Showroom

KUALA LUMPUR  : Kereta Porsche Panamera bernilai kira-kira RM900,000 yang dicuri dari sebuah bilik pameran di Jalan Bukit Bintang pada 11 Okt lepas, ditemui semula berdekatan sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini, hari ini.

Porsche Panamera 4
Ianya ditinggalkan di tempat letak kereta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan jarak lokasi dari tempat kereta itu disamun hanya kira-kira 24 kilometer sahaja. Ketika ditemui, Porsche tersebut memakai nombor pendaftaran palsu, WGU 123.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kereta Porsche berwarna emas itu ditemui dalam keadaan baik pada 12 tengah hari.
“Kereta mewah itu kini diletakkan di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian itu, kereta Porsche berkenaan dilarikan pada kira-kira 9 pagi oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa dengan seorang petugas di bilik pameran itu.
Lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudian naik ke tingkat satu premis dan menggeledah meja untuk mencari kunci kereta berkenaan sebelum melarikan kereta itu.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan pada keesokannya di Klang dan tempoh reman lelaki itu dilanjutkan setelah penemuan Porsche itu.
Polis juga masih mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, yang alamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana dekat sini untuk membantu siasatan.

Curi Emas : 21 Kuil di Perak Dipecah Masuk

IPOH: Sebanyak 21 buah kuil Hindu di beberapa daerah di negeri ini telah dipecah masuk dan emas di bawah patung berhala kuil terlibat didapati hilang. Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata kejadian itu dipercayai dilakukan oleh satu sindiket sejak tiga minggu lepas.

“Polis menerima 21 laporan berhubung kes tersebut membabitkan beberapa kuil Hindu di Selama, Kuala Kangsar dan Sungai Siput,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini. Katanya kejadian itu berlaku pada waktu malam dan hanya disedari penjaga kuil pada waktu pagi keesokan hari. Bagaimanapun, katanya jumlah kerugian masih belum diketahui.

Mohd Shukri menjelaskan bahawa kes tersebut tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau keagamaan dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah. Sehubungan itu, beliau meminta penjaga kuil supaya bekerjasama dengan polis yang melakukan rondaan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang menyiasat laporan berhubung beberapa papan iklan yang memaparkan wajah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sekitar Manjung yang disimbah cat merah, semalam.

Katanya polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 47 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Polis masih menjalankan siasatan dan belum ada tangkapan dibuat. Mereka yang terlibat melakukan perkara itu tidak akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.

geneva emas pelabur bunuh diri

Pelabur Geneva cuba bunuh diri -Kosmo

geneva emas pelabur bunuh diri
MUHD. KHAIRUN (kiri) bersama sekumpulan pelabur emas syarikat Genneva Malaysia yang menyerahkan bantahan kepadanya untuk disampaikan kepada BNM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan membunuh diri, tidak mampu membiayai kos rawatan dialisis buah pinggang antara sebahagian kisah sedih yang dihadapi 60,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia).

Masalah itu timbul selepas operasi syarikat tersebut digantung sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu kerana Genneva disyaki mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Wakil perunding dan pembeli emas Genneva Malaysia, Al Jaz- zura Khan berkata, pelabur menghadapi masalah itu kerana mereka hilang pendapatan.

Ikuti perbincangan di forum: http://hrg.ms/SRRBgV

Ditipu skim pelaburan emas RM50,000.00

BATU PAHAT – Seorang pembekal bahan binaan kerugian RM50,000 setelah terperdaya dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan menerusi laman Internet oleh sebuah syarikat beralamat di Klang, Selangor.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat syarikat berkenaan, apabila tertarik dengan tawaran keuntungan 15 peratus yang dijanjikan.

Menurutnya, selepas melihat sendiri pejabat syarikat berkenaan dan diterangkan keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa bersetuju untuk melabur menerusi skim pelaburan emas itu dan mendepositkan RM50,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.

“Mangsa yakin untuk melabur dalam skim itu berikutan syarikat terbabit turut menyediakan dokumen perjanjian untuk ditandatangani, selain berjanji akan menghantar dokumen perjanjian berkenaan selepas selesai menguruskannya.

“Bagaimanapun, selepas dua bulan, syarikat terbabit masih gagal menyerahkan dokumen perjanjian itu. Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan namun tidak berhasil.

“Malah keuntungan yang dijanjikan selepas sebulan melabur tidak diterimanya. Mangsa yang menge­syaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, walaupun mangsa membuat laporan polis pada 31 Januari lalu, pihaknya masih memburu suspek utama kes berkenaan.

“Polis juga berjaya menangkap dan mendakwa pemilik akaun yang menerima wang RM50,000 yang dideposit mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kini mencari seorang wanita, Rimaliza Mustafa, 28, yang beralamat terakhir di Kuantan, Pahang, untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mengenali Rimaliza supaya dapat menghubungi pihak polis,” katanya.

loket-emas-palsu

Kerugian loket emas palsu mencapai 80 juta

loket-emas-palsu
Oleh kerana ingin mendapat upah sebanyak RM150 untuk setiap surat, Khairul fahmi sanggup membiarkan satu syarikat ’emas’ menggunakan namanya untuk memajak ’emas’ didalam ar-rahnu. Kononnya sekadar untuk pajak sahaja dan syarikat akan tebus balik, dia tidak sedar bahawa namanya dipergunakan oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab itu untuk mengaut keuntungan lumayan. Akhirnya, fahmi sendiri terjerat dan terpaksa membayar balik hutang bernilai ratusan ribu ringgit di bank dan berkemungkinan diblacklist dari financial institution.

Bagaimana syarikat ’emas’ ini mengaut keuntungan? beberapa bulan yang lalu, ketika orang ramai rancak memajak emas di bank-bank, ar-rahnu, kedai pajak express, tauke yang tidak bertanggung jawab ini mendapat idea untuk mencampurkan tungsten kedalam emas dan usaha ‘kotor’ mereka berjaya mengeksploitasi kelemahan mesin density meter yang digunakan. Akhirnya sejumlah besar emas kini yang berada di pasaran adalah campuran tungsten dan emas. Bukan sahaja loket, ada beberapa juga barang lain dengan peratusan emas cuma 30% sahaja tetapi mendapat bacaan tinggi di density meter.

Modus operandi mereka adalah mencari penganggur, mereka yang tidak bekerja dan menawarkan upah untuk setiap emas yang dipajak menggunakan nama mereka. Mangsa pada mulanya akan diterangkan tujuan hanyalah sekadar menggunakan nama mereka untuk pajakan, dan emas itu sebagai guarantee untuk syarikat tebus balik, jadi siapa yang kisah kalau setakat guna nama kan, lagi-lagi dapat upah lumayan. Maka beratus dan beribulah pemuda yang membantu tauke memajak emas2 palsu ke seluruh financial institution, maklumat terkini mengatakan nilainya kini hampir 80 juta, bukan sedikit.

Mereka yang bekerjasama dengan tauke ini pun bukan calang-calang orangnya, ada tu berguru dengan mentor jutawan negara, dengan semangat motivasi yang tinggi dan jiwa yang berkobar-kobar itu, mereka mengerahkan seluruh unit marketing untuk bekerja all-out mengaut keuntungan besar ini, mungkin paling besar berbanding syarikat yang lain.

Kami selalu ingat pesanan tok guru emas dulu, jika internet yang baru berusia belasan tahun pun penuh penipuan scam, swisscash dan berbagai lagi, apatah lagi dengan perniagaan emas yang dah wujud ratusan ribuan tahun dalam sejarah manusia. Ini baru satu syarikat, malah ada banyak lagi syarikat diluar sana yang sedang menanti signal untuk cabut. Maka nasihat kami berhati-hati dalam perniagaan emas, malah kami sendiri pun selalu tertipu dengan emas2 palsu ini. Wallahualam….

Tebuk dinding kedai, barang kemas RM30,000 lesap

Tebuk dinding kedai, barang kemas RM30,000 lesap

 

Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: May 23, 2012

TUMPAT – Sebuah kedai emas di Wakaf Bharu, di sini, dipecah masuk oleh perompak serta melarikan barang kemas bernilai RM30,000 selepas dindingnya ditebuk, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu disedari oleh pemiliknya, Che Zali Che Ahmad, 45, kira-kira jam 9.30 pagi ketika ingin membuka kedai tersebut.

“Ketika saya datang untuk membuka kedai emas tiada apa-apa yang mencurigakan. Namun selepas diberitahu pemilik kedai baiki motosikal di sebelah kedai saya bahawa kedai saya dipecah masuk, saya terus bergegas masuk ke dalam kedai untuk memeriksanya.

“Saya memang terkejut apabila mendapati ada kesan tebukan di dinding dan beberapa bentuk cincin lesap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi memberitahu, kejadian pecah masuk kedai emas itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi kelmarin.

“Perompak masuk melalui kedai baiki motosikal dengan memotong mangga kedai tersebut sebelum menebuk dinding untuk masuk ke kedai emas yang berada di lot tengah bersebelahan kedai motosikal tersebut,” katanya.

Katanya, kedai motosikal dan kedai emas mangsa berdekatan dengan Pasar Wakaf Bharu itu hanya dipisahkan oleh papan nipis dan perompak pecah masuk ke kedai emas itu selepas menebuk dinding nipis itu.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian RM30,000 apabila beberapa bentuk cincin perak dan emas dilarikan perompak.

“Barang emas di dalam peti besi tidak diusiknya kerana berkunci. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.