Polis Tumpaskan Sindiket Cuci Emas Tipu

KEPALA BATAS: Polis menumpaskan sindiket penipuan mencuci barang kemas yang bertindak menghakis emas mangsa dengan menggunakan sejenis bahan kimia selepas menahan dua lelaki warga China dan seorang wanita tempatan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Siasatan Jenayah Komersil sejak sebulan lepas, pihaknya berjaya mengesan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun berkenaan di terminal tambang murah di Sepang, Selangor.

“Ketika ditahan mereka mahu ke China dan dipercayai untuk menjual emas yang telah dicuri.

Bersama mereka ketika itu kita turut merampas beberapa ketulan emas dan barangan kemas bernilai lebih RM70,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Raub, Pahang dipercayai tempat sindiket terbabit beroperasi sejak dua tahun lepas dengan menipu orang ramai di seluruh negara.

“Di rumah berkenaan kita merampas beberapa lagi barang kemas pelbagai bentuk, peralatan membuat atau membentuk emas, tiub gas dan tong gas serta wang tunai.

Selain itu, polis turut menemui beberapa bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghakis emas,” katanya.

Lans Koperal Rompak Kedai Emas Dipenjara 9 Tahun


Dua ‘perompak’ yang dijatuhi hukuman kelmarin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

“Hukuman penjara lebih lama diberikan kepada tertuduh kedua (Azizan) kerana sebagai polis, dia sepatutnya menjaga dan melindungi orang awam, tetapi bertindak sebaliknya apabila turut sama-sama melakukan jenayah.”

Demikian hujah Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa ketika menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Manakala rakannya seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, kelmarin.

Azizan Shaari, 30, dari Cawangan Bengkel Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, manakala rakannya Jeffridin Manan, 33, dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah melakukan rompakan menggunakan senjata api jenis revolver di sebuah kedai emas di Marang, kira-kira dua tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak barang kemas bernilai RM35,000 milik Fong Swee Heng, 50, dan semasa melakukan rompakan itu menggunakan sepucuk senjata api revolver dan satu tukul besi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 28 November 2011.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohamad Nazri di hadapan Hakim Mohd Yazid, manakala Jeffridin dan Azizan masing-masing diwakili peguam, Osman Bakar dan Bernard.

Terdahulu dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kejadian rompakan yang berlaku sebaik saja kedai dibuka pada waktu siang dan di tempat awam dengan tertuduh menutup muka.

Katanya lagi, ia satu rompakan dirancang secara teratur dan paling penting rompakan itu menggunakan senjata api iaitu pistol menyebabkan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal.

5 lelaki bersenjata pistol rompak kedai emas

MUAR 19 Mac – Sekumpulan lima penjenayah mengambil masa hanya empat minit untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Pekan Bukit Pasir, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu, kesemua suspek yang memakai topeng serta bersenjatakan dua pucuk pistol meluru masuk ke dalam kedai tersebut sebelum memecahkan cermin pameran kedai emas tersebut.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, berusia dalam lingkungan 40-an berkata, ketika kejadian, hanya terdapat anak pemilik kedai tersebut dan tiada pelanggan di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, dia sedang minum di sebuah kedai kopi berhadapan kedai itu selepas mengambil barangan kemas, melihat kesemua perompak itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kedai.

“Semasa kejadian, seorang suspek menunggu dalam kereta, seorang lagi menunggu di depan kedai manakala tiga yang lain meluru masuk dan merompak kedai terbabit dengan bersenjatakan dua pistol.

“Melihat keadaan itu, anak tauke kedai emas berkenaan melarikan diri mengikut pintu belakang. Tidak dapat dipastikan bangsa apa, tetapi kulit perompak itu agak gelap,” katanya semasa ditemui di tempat kejadian. – UTUSAN

Rompak : Pemilik kedai emas kerugian RM1.5 juta

KOTA BHARU 19 Mac – Hanya dengan membuka dinding papan lapis dan menahannya menggunakan penyapu buruk, beberapa perompak dengan mudah berjaya memasuki sebuah premis menjual berlian dan batu permata lalu melarikan kesemua barang berharga itu yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

Ketiadaan sistem keselamatan di premis berkenaan di Arked Uda di sini termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan bangunan kedai yang usang, ternyata digunakan sepenuhnya oleh perompak berkenaan untuk merompak kedai tersebut, dipercayai malam tadi.

Pemilik kedai berkenaan, Rogayah Awang Teh, 70, ketika ditemui berkata, dia hanya menyedari premisnya dirompak ketika hendak memulakan perniagaan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

“Saya terkejut apabila tengok dalam kedai berselerak dan semua barang berlian dan batu permata hilang termasuk yang diletakkan di dalam peti besi.

“Mereka masuk ikut dinding dari kedai sebelah yang sudah lama tutup. Saya sudah lama berniaga di sini tetapi tidak pernah berlaku perkara macam ini, ini pertama kali,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Simbah Asid Halang Perompak Barang Kemas

MELAKA : Seorang pekerja kedai emas bertindak nekad apabila menyimbah asid ke atas seorang daripada empat penjenayah bersenjata yang merompak premis berkenaan di Taman Seri Duyong Seksyen 2, di sini, kira-kira 11.30 pagi ini.

Tindakan berani pekerja itu mengakibatkan seorang daripada penjenayah itu cedera manakala seorang lagi melepaskan tembakan sebelum keempat-empat mereka melarikan diri dengan menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC.

Difahamkan, dalam kejadian itu, empat penjenayah berkenaan hanya mengambil kira-kira lima minit untuk merompak sejumlah barangan kemas yang dipamerkan sebelum melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika kejadian terdapat dua pelanggan wanita di premis berkenaan selain pekerja kedai terbabit.

“Keempat-empat suspek dianggarkan berusia bawah 30-an memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke premis ini dengan membawa empat tukul besi dan satu senjata api.”Mereka mengarahkan pelanggan keluar dari premis itu sebelum memecahkan cermin pameran dan menggeledah barang kemas di dalamnya,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama seorang pekerja kedai itu menyimbah asid yang digunakan untuk mencuci barang kemas ke atas seorang daripada suspek. – Metro

Bekas CEO Kerugian RM1 Juta

SHAH ALAM – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat serta isteri kehilangan barang-barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta apabila rumah teres dua tingkat mereka di Seksyen 4, di sini dipecah masuk, petang semalam.

Kejadian itu berlaku ketika Othman Ismail, 63, isterinya, Rohani Abdul Ghani, 54, pergi ke majlis kenduri kahwin di Klang kira-kira jam 2.30 petang.

Anak dan menantu mereka yang tinggal di rumah teres bersebelahan juga tiada di rumah ketika itu.

Othman berkata, sebaik sahaja mereka pulang kira-kira jam 5 petang, isteri beliau mendapati pakaian dan barang-barang lain di bilik tidur utama dalam keadaan berselerak.

Mereka terus memeriksa bilik-bilik lain dan dapati almari-almari digeledah dan pakaian berselerak di lantai.

Mereka terkejut mendapati banyak barang kemas, semuanya bernilai kira-kira RM1 juta lesap.

Antara yang hilang ialah cincin yang berharga kira-kira RM70,000 sebentuk, seutas jam bernilai kira-kira RM30,000 dan barang-barang emas serta berlian.

Rohani menganggarkan nilai barang-barang kemasnya yang lesap sekitar RM800,000.

Barang-barang kemas milik anak-anak mereka yang hilang belum dapat dipastikan.

Penjenayah dipercayai memasuki rumah itu dengan mengumpil selak pintu belakang rumah anak mereka, sebelum memasuki rumah mereka.

Rohani berkata, mereka biasanya membawa barang-barang kemas bersama apabila balik ke kampung di pantai timur.

“Sebelum keluar tadi pun saya teringat mengenai barang-barang kemas itu, tetapi tidak membawa sekali kerana menyangka kami tidak keluar lama,” kata Rohani.

Mereka membuat laporan di balai polis di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob memberitahu, kes tersebut masih dalam siasatan. – SinarHarian

Bekas Pekerja Syarikat Barang Kemas Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR 12 Mac – Seorang bekas pekerja syarikat pembuatan barangan kemas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan batu permata berlian milik syarikat itu dua tahun lepas.

Hew Sok Chan, 28, yang ketika itu penolong pengurus bahagian perkhidmatan produk syarikat Tomei Gold and Jewellery Manufacturing Sdn. Bhd., didakwa melakukan pecah amanah melibatkan 5,776 biji berlian asli bernilai RM695,794.18 dengan menyalahgunakannya untuk kegunaan sendiri.

Hew didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Tomei Consolidated Bhd., beralamat di Projek Jaya Industrial Estate, Batu 6, Jalan Klang Lama, di sini pada 6 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda.

Hew juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memalsukan akaun majikannya dalam rekod Item Adjustment Listing dengan niat hendak mengubah sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM657,587.22.

Bagi pertuduhan itu, Hew didakwa mengikut Seksyen 474(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne ak Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam S. Prakash memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya itu menanggung ibu dan adik-beradiknya.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Dia membayar jaminan itu. – BERNAMA

Kedai Emas Disamun 3 Lelaki

Anggota polis sedang menjalankan siasatan selepas kejadian samun di Jalan Tok Hakim semalam.

KOTA BHARU – Sebuah kedai emas disamun tiga lelaki yang memakai topi keledar dengan bersenjatakan kapak dan parang di jalan Tok Hakim di sini petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang itu menyebabkan pemilik premis terbabit mengalami kerugian kira-kira RM 200,000.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek terbabit masuk ke dalam kedai emas berkenaan tanpa membuka topi keledar lalu terus memecahkan meja kaca yang mempamerkan beberapa utas rantai dan barang kemas dengan menggunakan senjata tajam yang dibawa.

“Dipercayai ketiga-tiga suspek berbangsa Melayu, melakukan rompakan terbabit tidak lebih dari lima minit dan terus melarikan diri dengan barangan kemas yang dirompak.

“Suspek berkenaan, turut meninggalkan sebilah kapak di dalam kedai emas itu, namun sempat meloloskan diri dengan parang yang turut digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.

Azham berkata, gerakan memburu ketiga-tiga suspek kini giat dijalankan bagi mengesan mereka yang masih bebas.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan terhadap kes ini memandangkan ketika kejadian itu, terdapat lima pekerja di dalam kedai berkenaan yang diarahkan berdiam diri ketika rompakan berlaku.

“Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata,” katanya.

Sementara itu menurut saksi kejadian yang bekerja di kedai permainan video berhampiran kedai emas berkenaan, Sarah Nik Mod, 20, dia melihat kelibat ketiga-tiga suspek meninggalkan motosikal di lorong sempit berhampiran kedai tempat dia bekerja.

“Mereka berjalan betul-betul di hadapan kedai ini dengan membawa sebilah parang dan kapak dan saya terkejut melihat kedaaan itu, lalu mendiamkan diri.

“Apa yang saya nampak, kelakuan mereka memang mencurigakan dan kelibat mereka memang jelas dalam rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai ini,” katanya.

Kelentong ‘Datuk’ Lombong Emas

Kuala Lumpur: Berbekalkan gelaran ‘Datuk’ dan mengaku memiliki sebuah lombong emas di Kelantan, seorang lelaki berusia 50-an memperdaya lebih 500 orang membabitkan jumlah pelaburan lebih RM10 juta.

Difahamkan, syarikat berkenaan mula beroperasi Ogos lalu dengan menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi antara 1.5 dan tiga peratus sehari daripada nilai pelaburan dan keuntungan itu mula dibayar seminggu selepas pelaburan dibuat.

Janji manis bayaran keuntungan itu membuatkan pelabur terpedaya hingga sanggup melabur antara RM3,500 hingga RM50,000. Seorang mangsa, Farid Salahuddin, 51, berkata, dia tertarik menyertai pelaburan emas itu selepas ditawarkan keuntungan yang tinggi setiap hari sebelum membentuk rangkaiannya dengan menarik ahli dalam kalangan saudara-mara dan rakan.

Katanya, pada awal penubuhan syarikat itu, dia mendapat keuntungan pelaburan beberapa ribu, namun selepas dua bulan bermula November lalu, syarikat itu tidak lagi membayar keuntungan.

“Pemilik syarikat itu licik dengan mendakwa memiliki lombong emas di Kelantan dan menunjukkan gambar proses perlombongan yang dilakukan pekerja mereka.

“Selepas berfikir panjang, saya membentuk rangkaian dan menarik kira-kira 500 pelabur dengan jumlah pelaburan RM7 juta, namun tidak mendapat keuntungan dan wang modal itu lesap,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Farid berkata, ramai ahli di bawah rangkaiannya langsung tidak mendapat untung dan mereka kini menuntut bayarannya.

Beliau berkata, dia membuat laporan kerana mahu menuntut kembali wang modal miliknya dan pelabur lain.

Seorang lagi pelabur dikenali sebagai Shila, 30, yang mempunyai kira-kira 100 ahli di bawah rangkaiannya berkata, dia dan rakannya mengalami kerugian kira-kira RM3 juta selepas memasukkan wang pelaburan itu ke dalam akaun syarikat dan ‘Datuk’ terbabit.

Katanya, dia kini tertekan selepas orang bawahannya menuduh dia menggunakan wang pelaburan itu, padahal dia sudah memasukkan semua wang yang dikumpul itu dalam akaun syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

: Berita Terkini Online

Emas Hilang Ditemui Semula

Gombak: Sebahagian barang kemas dianggarkan bernilai RM40,000 daripada nilai keseluruhan RM250,000 yang disamun dua lelaki di sebuah kedai emas di Jalan 11, Selayang Baru, di sini, 18 Februari lalu ditemui semula.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, dua lelaki berkenaan yang memakai topi keledar bersenjatakan sebilah parang dan tukul memecahkan cermin kaca pameran sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, hasil siasatan, sebahagian barang kemas itu dijumpai semula bersama motosikal berkuasa tinggi, dua topi keledar, vest dan resit pajak gadai sehari selepas kejadian itu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.

“Polis turut menahan sembilan orang termasuk dua wanita berusia 17 hingga 29 tahun dan setakat ini, tiga suspek dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

“Malah hasil siasatan mendapati kebanyakan barang kemas itu digadai di kawasan sekitar Gombak dan Sentul dan polis kini mengesan di mana ia berada berdasarkan penemuan resit itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, semalam.

– www.hmetro.com.my