Kerugian Pelaburan Emas Sepanjang 2012

2012 ini adalah tahun yang cukup suram untuk pelaburan dan perniagaan emas, bukan sahaja kerana kejatuhan pasaran emas tetapi juga krisis-krisis skim pelaburan yang merugikan ramai pihak dan  syarikat emas sendiri. Laporan akhbar menyiarkan lebih dari 20 syarikat emas diserbu pihak berkuasa dan beratus lagi disenarai hitam Security Commision (SC), anggaran kasar kerugian yang dialami  warga Malaysia berkemungkinan melebihi RM15 bilion sepanjang tahun ini.

 

Antara kerugian-kerugian terbesar dicatatkan didalam dunia pelaburan emas sepanjang tahun 2012.

1. Krisis Bestino Golden House (Kerugian dianggarkan RM411 Juta, 7000 Individu terlibat)

Syarikat pelaburan emas Bestino mula beroperasi sekitar tahun 2008 dengan skim pembelian jongkong emas bernilai RM10,000 – RM50,000 dan juga terbitan 400 juta saham tanpa kelulusan SC. Skim pelaburan Bestino ini menjanjikan pulangan dividen sebanyak 36% setahun menarik minat 6740 orang ramai untuk melabur,
Operasi pelaburan Bestino mula mengalami masalah apabila disiasat Security Commision pada awal tahun 2011 apabila Empat pengarah syarikat Bestino didakwa di Mahkamah Ipoh atas kesalahan pengubahanan wang haram dan menyebabkan aset mereka dibekukan. Pada awal tahun 2012, syarikat tidak dapat membayar dividen 3% bulanan kepada pelabur menyebabkan pelabur memberi tekanan untuk memulangkan kembali capital mereka. Pada pertengahan 2012, pengarah syarikat berjanji untuk mencairkan ‘aset’ mereka di luar negara yang bernilai hampir ‘400 juta’ untuk tujuan membayar balik modal pelabur tetapi membatalkan kembali kerana bimbang wang yang dibawa masuk akan dibekukan semula Bank Negara. Krisis antara syarikat dan pelabur masih berlanjutan dan belum dapat diselesaikan sehingga ke hari ini.

2. Penipuan emas (tungsten) di dalam Ar-Rahnu. (Kerugian RM80 juta, ratusan terlibat)

Pada April 2012, seorang pemilik kedai emas membuat laporan polis mendakwa diperdayakan pihak Pajak Gadai Ar-Rahnu di sebuah bank di Bandar Ipoh, mangsa yang membeli kira-kira 2kilogram emas dari pelanggan mendakwa emas yang dibeli sebenarnya campuran tungsten-emas dan disahkan pusat peleburan emas. Ekoran laporan yang dibuat, pihak bank terbabit memeriksa seluruh cawangannya di Malaysia dan menemui kira-kira ratusan emas palsu yang bernilai hampir RM80 juta didalam akaun emas Ar-Rahnu. Sindiket yang melakukan penipuan ini masih dibawah siasaran serta turut melibatkan pihak dalaman bank itu sendiri.

3. Pelaburan emas 999 padu dan Jongkong Emas 999.9 (Kerugian lebih RM2billion, >20,000 terlibat)

Pelaburan emas 999 melibatkan lebih ramai pelabur berbangsa melayu bermula sekitar awal 2010 menggunakan Jongkong Emas Pamp Suisse 999.9 dan juga emas padu 999, skim pelaburan ini tidak diuruskan mana-mana syarikat dan lebih berbentuk perniagaan jual beli emas, Pada tahun 2011 harga emas naik ke kemuncaknya pada bulan September, kenaikan harga emas yang tinggi ini menarik minat beribu pelabur baru untuk membeli emas. Dari spekulasi Bank-bank utama di Malaysia berkenaan kenaikan harga hingga mencecah RM400/gram dalam tempoh masa singkat, mendorong ramai pelabur menukar portfolio mereka kepada emas.
Tetapi sayangnya, walaupun spekulasi berterusan dari broker dan penganalisis pasaran, harga emas hanya mampu bertahan beberapa bulan sebelum jatuh teruk pada awal 2012 ekoran kejatuhan ekonomi eropah, ramai pelabur yang membeli ketika harga puncak tersebut terpaksa menanggung kos simpan emas atau menerima risiko emas mereka akan dilelong apabila tamat tempoh waktu simpanan. Akhirnya pelabur terpaksa mengeluarkan emas dan menyimpannya sendiri dan ramai juga yang terpaksa menjual emas mereka untuk mengelak terus membayar upah simpan.

4. Pelaburan Emas Genneva (Kerugian lebih RM10bilion, >50,000 terlibat)

Pelaburan emas ini diuruskan oleh Genneva Malaysia Sdn Bhd , sebuah syarikat berpangkalan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur melibatkan ramai pelabur VVIP dan pelabur berbangsa cina. Didalam bentuk pelaburan ini , Genneva menjanjikan pelabur pulangan dividen (2%) setiap bulan dalam bentuk hibah selagi emas disimpan pelanggan dalam tempoh 6 bulan, selepas tamat 6 bulan pelabur boleh menjual emas semula kepada Genneva dengan harga belian dahulu, ataupun membeli semula dan terus menikmati pulangan hibah 2% setiap bulan.
Pada bulan Oktober 2012, pihak berkuasa Malaysia dan Singapura menyerbu pusat operasi Geneva Malaysia Sdn Bhd dan Geneva Pte Ltd dan merampas kira-kira 200kg emas dan wang tunai yang belum diserahkan kepada pelabur.
Oleh kerana pelaburan emas Genneva melibatkan amaun yang besar, kes emas Genneva beberapa kali kedengaran di sidang parlimen dan tekanan berterusan kepada Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia yang terlibat dalam operasi keatas syarikat.. Kes emas Genneva masih didalam siasatan dan kerugian yang dicatatkan merupakan terbesar dalam pelaburan emas Malaysia tahun ini.

Rujukan dari Malaysiainsider, utusan,hmetro, NS

http://usratisejahtera-jewel.blogspot.com/

Ahli perniagaan tidak percaya Genneva alami kerugian besar

SIBU: Seorang ahli perniagaan tempatan tidak percaya bahawa Genneva Malaysia Sdn Bhd mengalami kerugian seperti yang didakwa oleh Bank Negara.

Ahli perniagaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ling berkata, kenyataan bahawa Genneva mengalami kerugian besar  dengan liabiliti melebihi 10 kali asetnya sukar untuk diterima.

“Saya tidak percaya bahawa itu adalah benar, saya percaya bahawa syarikat itu membuat keuntungan dan saya mengesyaki terdapat pengaruh politik di sebalik ini,” tegasnya.

Menurut beliau, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan rungutan dan pandangan mengenai Genneva.

Ling berkata, beliau menerima panggilan telefon sebulan lalu memintanya untuk bertenang mengenai isu berkenaan.

Beliau mendakwa pemanggil terbabit memberitahu satu syarikat akan mengambil alih Genneva dan mesyuarat akan diadakan bersama pelanggan.

Rundingan itu, menurut Ling, akan diadakan di Kuching pada bulan ini bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Bagaimanapun, saya masih belum diberitahu tentang tarikh mesyuarat,” katanya.

Beliau juga berkata, terdapat ramai perunding dan pelanggan Genneva tidak berpuas hati dengan Bank Negara.

Sementara itu, Genneva telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2 Oktober lalu.

Ia berikutan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam penggubahan wang haram selain ‘deposit-taking offences.’

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/12/06/ahli-perniagaan-tidak-percaya-genneva-alami-kerugian-besar/#ixzz2EFiXypgu

RM200,000 Lesap Dalam Tiga Minit

SEREMBAN – Dua penjenayah mengambil masa hanya kira-kira tiga minit untuk melarikan lima dulang barangan kemas bernilai hampir RM200,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dua lelaki yang memakai topi keledar telah menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, ketika kejadian hanya dua pekerja wanita berada di dalam kedai itu.

“Salah seorang perompak itu mengacukan pistol ke arah kedua-dua pekerja berkenaan dan mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri.

“Suspek cuba memecahkan kaca ruang pameran yang menempatkan barang kemas dengan mengetuknya menggunakan pistol tetapi gagal. Mereka kemudian mengarahkan pekerja terbabit memasukkan lima dulang emas ke dalam sebuah beg,” katanya di sini semalam.

Peguam Percuma Bantu Pelabur Emas Genneva

Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno menyediakan 10 peguam kepada 8,000 pelabur, yang membuat pelaburan emas mereka melalui Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), untuk menuntut kembali pelaburan mereka daripada syarikat terbabit.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu secara percuma dan meminta pelabur terbabit tampil memberikan keterangan mereka.

Beliau berkata 8,000 pelabur itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang telah membayar duit kepada syarikat itu tetapi belum mendapat emas dan mereka yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi belum menerima bayaran.

“Kita akan membuat tuntutan kepada syarikat terbabit dan bukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah tindakan sivil agar para pelabur dapat menerima pelaburan mereka dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai Unit Siasatan Khas BNM, semalam.

Laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Mengenai pertemuan beliau dengan BNM, Khairun berkata beliau diberitahu siasatan pihak berkuasa berjalan dengan lancar dan menafikan ada orang kenamaan yang cuba mengganggu siasatan itu.

– Bernama

Terengganu Ke Separuh Akhir Piala Emas

KUALA TERENGGANU — Terengganu melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala Emas Raja-raja apabila menundukkan Pahang 5-0 dalam perlawanan peringkat suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam..

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Kuantan Sabtu lepas, Terengganu kalah 1-2 kepada Pahang.

Tiga pemain skuad Liga Malaysia, T-Team memperkuatkan pasukan Piala Emas Terengganu malam ini iaitu Mohd Badrul Hisyam Morris, Mohd Nur Alif Zainal Abidin dan Mohd Syuhiran Zainal.

Terengganu bermain dengan baik dan barisan penyerangnya yang terdiri daripada Mohd Hasrulsyawal Hamid dan Mohd Sharin Supian sering memecah benteng pertahanan Pahang.

Mohd Hasrulsyawal mengejutkan Pahang menerusi jaringan pertama Terengganu untuk membangkitkan semangat juang pada minit ke-28.

Muhd Fakhrurazi Musa, pemain sayap kiri menyumbangkan gol kedua Terengganu (minit ke-32) dan diikuti gol ketiga oleh Mohd Badrul Hisyam Morris minit ke-33 dan sebelum Mohd Hasrulsyawal menjaringkan gol keempat dan gol kedua peribadi (minit ke-36).

Semangat Pahang tidak luntur walaupun ketinggalan 0-4 dan mereka terus memberi saingan tetapi gagal memperoleh gol sehingga babak pertama tamat.

Babak kedua menyaksikan Terengganu terus memperkukuhkan kedudukan apabila pemain gantian Muhd Zulhanizam Shafine menjaringkan gol kelima untuk menambah derita Pahang. – BERNAMA

Emas RM65j Belum Diserah Kepada Pelabur

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd yang diserbu Oktober lalu, belum menyerahkan 4,000 kilogram emas bernilai RM64.94 juta kepada lebih 8,000 pelaburnya.

Selain itu, pelabur yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai berjumlah lebih RM80 juta.

Jumlah itu dikesan selepas siasatan dijalankan ke atas dokumentasi yang disita dalam serbuan premis syarikat itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, semalam, berkata agensi penguat kuasa menerima banyak rayuan daripada pihak yang terbabit dengan syarikat berkenaan.

“Mereka meminta BNM melepaskan wang yang dibekukan sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita seberat 126 kg yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

“Wang dan emas itu dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah,” kata kenyataan itu di sini.

Sebelum ini, angka awal yang dikeluarkan BNM memaklumkan emas disita iaitu sebanyak 142.7kg dan wang yang dibekukan dalam akaun bank serta wang tunai berjumlah RM101.92 juta adalah merujuk kepada semua empat syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas termasuk Genneva Malaysia.
Kenyataan itu juga menjelaskan, laporan awal perakaunan forensik menunjukkan kerugian besar dialami syarikat terbabit tahun ini dengan memiliki tanggungan melebihi 10 kali aset syarikat.

Operasi sebenar syarikat itu adalah menjual emas pada kadar kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga asal belian emas bukan sesuatu yang dapat dikekalkan, katanya.

BNM berkata, dalam keadaan itu, aliran tunai membolehkan syarikat meneruskan operasinya.

Sehubungan itu, BNM menasihatkan orang ramai merujuk kepada sesawangnya untuk maklumat berkaitan perkembangan terkini siasatan kes berkenaan.

sumber : Berita Harian

8,000 Pelabur Genneva Malaysia Belum Dapat Emas

SHAH ALAM – Bank Negara mendedahkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn Bhd masih belum menerima emas mereka dengan jumlah berat melebihi 4,000 kilogram (kg) walaupun telah menyelesaikan bayaran.

Dalam satu kenyataan semalam, Bank Negara berkata, terdapat juga pelabur yang telah menyerahkan emas mereka berjumlah lebih RM80 juta kepada syarikat tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai.

“Perakaunan forensik awal telah mendedahkan kerugian besar yang dialami oleh syarikat itu pada tahun 2012. Syarikat mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

“Menjual emas pada kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan kira-kira dua hingga tiga peratus setiap bulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga belian awal bukan merupakan satu usaha yang mampan,” kata kenyataan dari Bank Negara.

Ia juga menyatakan bahawa aliran tunai bagi syarikat itu untuk mengekalkan operasinya bergantung sepenuhnya kepada jumlah yang dikumpulkan daripada pelanggan baru.

Genneva, telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2 Oktober lalu.

Tiga hari kemudian, pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas premis perhiasan Emas Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd yang disyaki terlibat dengan pengambilan deposit haram, pengubahan wang haram pengelakan cukai dan dan keterangan palsu.

Menurut kenyataan itu, wang Genneva sebanyak RM99.8 juta telah dibekukan dan 126kg emas disita, di mana pihak bank berkata, ia diperlukan untuk siasatan dan hanya akan diuruskan mengikut perintah mahkamah. Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web Bank Negara untuk maklumat lanjut.

Syarikat Pengendali Skim Emas Gagal Urus Rekod

KUALA LUMPUR – Susulan serbuan dan penyiasatan terhadap empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan mendapati sesetengah daripada syarikat yang terbabit tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia, berkata hasil penyiasatan ke atas empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, mendapati sesetengah daripada syarikat gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan yang baik dan tepat.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan yang berbeza-beza. Mereka juga gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Bagi perniagaan, terutamanya yang melibatkan bilangan pelabur dan jumlah wang yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan kewangan sebenar syarikat,” kata agensi-agensi tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, rekod yang disita menunjukkan sebahagian besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan mereka tetapi masih belum menerima emas yang dibeli, sebelum serbuan tersebut dibuat.  Dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas  tersebut telah melebihi lima bulan.  Jumlah emas yang disita daripada semua syarikat semasa serbuan ialah kira-kira 142.7 kilogram, manakala wang dalam akaun bank dan wang tunai berjumlah RM101.92 juta.

Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran yang dialami oleh para pelabur yang terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut. Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain.

Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan

Maklumat lanjut berhubung dengan penyiasatan ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Kenyataan bersama oleh:

Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia

awang adek genneva emas

35,000 Terlibat Genneva, Pelaburan RM10 Billion

awang adek genneva emasKUALA LUMPUR – Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

“Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

“(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari  ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

“Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya  rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama

zambry emas perak

Lombong Emas Ditemui di Perak

zambry emas perakIPOH – Perak yang dulunya kaya dengan bijih timah, kini dikejutkan dengan penemuan di beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk emas. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan di negeri ini yang memiliki deposit emas yang berdaya maju.

Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains menjalankan kajian terperinci berhubung penemuan tersebut. Menurutnya, satu laporan penuh perlu dibentangkan bagi memastikan kawasan yang dimaksudkan benar-benar berpotensi untuk dikomersialkan ataupun sebaliknya.

“Kita nak tengok juga sama ada kawasan itu ada banyak atau sedikit sahaja longgokkan emas dan kawasan itu kita telah pun kenal pasti, tapi saya tidak boleh dedahkan kepada umum, takut timbul pula masalah lain kelak. “Setakat ini, kita serahkan jabatan berkaitan menjalankan kajian potensi itu dahulu dan kita tengok hasilnya nanti,” katanya di sini, semalam. Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Datuk Dr Mah Hang Soon serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Pada Ogos 2009 lalu di Teluk Intan, Zambry dalam kenyataannya turut mengandaikan Perak mungkin muncul sebagai negeri pengeluar emas terbesar di negara ini berikutan kajian mendapati beberapa kawasan di negeri ini memiliki logam berharga berkenaan. Katanya, Kerajaan Negeri akan mengorak langkah setapak lagi untuk mengadakan kegiatan perlombongan emas bagi menggantikan industri lombong bijih timah yang menjadi kebanggaan Perak sejak beberapa dekad lalu.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan perbincangan bagi melakukan rombakan semula kategori bahan mineral, galian dan logam yang terdapat di Perak. “Kita lihat setiap bahan itu perlu diperhalusi dan dikategorikan mengikut spesifikasinya yang betul bagi mendapat pulangan sebenar mengikut harga pasaran.

“Dulu kita guna istilah yang terlalu umum iaitu galian, sama ada bijih timah, pasir, batu atau bahan lain seperti emas, sedangkan ia berbeza royalti dan premiumnya. “Justeru itu, kita rasa perlu diperhalusi serta dikategorikan mengikut kesesuaian tertentu dengan menukarkan istilah utamanya daripada galian kepada mineral,” katanya.

Menurutnya, ia juga bagi mengelakkan pelbagai masalah dihadapi dari segi bayaran premium daripada pengusaha terlibat.