Syarat-Syarat Pelaburan Emas

 

Keputusan:

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

 

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

 

Harga Belian (al-Thaman)

 

1. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

 

Barang Belian (al-Muthman)

 

2. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

 

3. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

 

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

 

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

 

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

 

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.

 

Sighah

 

5. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

 

6. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

 

7. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

 

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

 

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

 

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

 

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

 

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

 

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

 

Syarat Pertama: Taqabudh

 

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

 

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

 

a. Pembayaran secara tunai

b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)

c. Pembayaran secara cek peribadi

d. Pembayaran secara kad debit

e. Pembayaran secara kad kredit

f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

 

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

 

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

 

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

 

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.

b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

 

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

 

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

 

Syarat Kedua: Secara Lani

 

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

 

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

 

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

 

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

 

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

 

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

 

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

 

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

 

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

 

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

 

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

 

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

 

Akad Dan Unsur Sampingan

 

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

 

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

 

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

 

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

 

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

 

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak

 

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/parameter-pelaburan-emas

Pelabur Diingatkan Elak Riba Dalam Urus Niaga Emas

KEGHAIRAHAN orang ramai melabur dalam beberapa skim pelaburan emas amat membimbangkan pakar ekonomi Islam berikutan pendedahan wujudnya syarikat yang melanggar peraturan dan terlibat dalam pengubahan wang yang dilarang serta mengelakkan cukai.

Namun apa yang lebih menimbulkan kebimbangan pakar ekonomi itu adalah sikap kurang berhati-hati pelabur Muslim dalam menyertai skim pelaburan emas sehingga membuat mereka terjebak dengan urus niaga yang bertentangan dengan tuntutan syariah dan sekali gus melibatkan riba.

Ini didedahkan pensyarah Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr A.M. Hafizi, yang memberitahu satu seminar bahawa jual beli emas menjadi haram dan terbatal jika emas berkenaan tidak lagi dimiliki oleh syarikat atau bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam satu urus niaga berasingan.

Menukil kata-kata beliau: “Berikutan itu, membuka akaun pelaburan emas seperti ini menjadi haram dan terbatal kerana syarikat atau bank telah menjual sesuatu yang bukan lagi menjadi miliknya dan wujud riba memandangkan tidak ada elemen taqabud fil majlis iaitu tiada penawaran dan penerimaan.

“Sebarang penangguhan seperti ini akan membawa kepada Riba’an-Nasiah. Pokoknya, pelabur harus memastikan emas yang hendak dijual oleh bank sudah pun berada dalam pemilikannya.”

Peraturan dan syarat ketat mengikut Islam itu ditegaskan oleh Dr Hafizi dalam kertas kerja bertajuk Pelaburan Emas dan Aplikasi Semasa: Satu Kajian Kes di Malaysia.

Ia dibentangkan di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Malaysia 2012 anjuran UKM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Kewangan Islam dan Pengurusan Harta, baru-baru ini.

Kalangan pelabur emas menjadi gempar apabila pegawai empat agensi kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia menyerbu pejabat syarikat jual beli emas Genneva Gold diikuti dengan Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd di Kuala Lumpur.

Turut terjejas dalam semua serbuan itu adalah ramai pelabur Muslim.

Dr Hafizi menjelaskan, daripada perspektif Islam, urus niaga emas menjadi halal dan sah apabila dua syarat telah dipenuhi iaitu pihak penjual benar-benar memiliki emas yang dijualnya ketika penjualan.

Bank juga mengeluarkan bukti pembelian dalam bentuk emas atau sijil kepada pelanggan lantas pelanggan mendapat haknya untuk menjual emas berkenaan.

Satu lagi syarat adalah cara pembayarannya iaitu ia mestilah halal, kata beliau.

Pembayaran dibuat oleh pelanggan mestilah dalam bentuk sama ada tunai, dipotong langsung daripada akaun bank, kad kredit atau debit perbankan Islam atau cek tempatan.

Sebarang pembayaran bagi pembelian emas menggunakan cek antarabangsa atau kad kredit Islam yang memerlukan lebih tiga hari untuk ditunaikan adalah dilarang menurut Majlis Antarabangsa Akademi Fikah.

Jangka masa tiga hari dikira sebagai jumlah maksimum bagi penyelesaian pembayaran berdasarkan dasar urf bagi menjamin syarat di mengikut taqabul fil hal dicapai. Ia adalah satu fatwa yang diputuskan oleh mazhab Maliki dan majoriti ulama fikah sedunia termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.

Tidak kurang penting adalah pelabur akaun emas wajib membayar zakat apabila haulnya cukup atau mencapai nisab 85 gram emas.

Dr Hafizi juga turut mengingatkan pelabur agar lebih berhati-hati dan meneliti risiko berkaitan dengan pelaburan emas sebelum menyertai sebarang skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Ketika menekankan perlunya sikap berhati-hati, Dr Hafizi menasihatkan pelabur supaya menyelidik latar belakang syarikat dan sama ada urusan jual beli emasnya sah di segi undang-undang selain ia diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa.

Sebagai contoh, pelabur perlu memeriksa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung pendaftaran dan kegiatan perniagaannya.

Pelabur juga patut tahu rekod kewangan syarikat berkenaan termasuk kemampuannya membayar keuntungan pelaburan pelanggannya.

Semua maklumat, kata beliau, boleh didapati daripada SSM atau daripada syarikat berkenaan.

Pelabur juga perlu mengetahui urus niaga emas syarikat terlibat seperti sumber pembelian emasnya, perbadanan yang mengesahkan ketulenan emas dan bagaimana syarikat berkenaan menjana keuntungan daripada perniagaannya.

Pelabur seharusnya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan jika mereka ada bukti emas yang dibeli rendah mutunya.

Dr Hafizi juga memberitahu, kajian mendapati hanya urus niaga emas yang ditawarkan Kuwait Finance House (KFH-i) diluluskan syariah.

Lagi dua bank, Maybank dan Citibank, didapati masih berasaskan konvensional dan tidak memenuhi tuntutan syariah, mungkin kerana hakikat pelabur mereka tidak boleh mengeluarkan deposit akaun simpanan emas dalam bentuk fizikal.

SUMBER : Google

 

Cubaan Rompak Kedai Emas Gagal

IPOH – Sekumpulan perompak berputih mata apabila mereka dikejutkan bunyi penggera kecemasan di sebuah kedai emas di Jalan Silibin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi, sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada lima lelaki menggunakan kereta dan motosikal sebelum memasuki kedai terbabit dengan memakai topi kaledar muka penuh bagi mengelakkan wajah mereka dicam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, perompak yang menaiki motosikal  bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi.

“Kejadian berlaku ketika kedai terbabit baru mula beroperasi dan pada ketika itu hanya  ada beberapa pelanggan sahaja di dalam kedai.

“Kejadian hanya berlaku dalam tempoh tidak sampai dua minit dan perompak tidak  sempat mengambil apa-apa walaupun mereka cuba memecahkan pintu pejabat kerana penggera telah dibunyikan pekerja kedai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Chang Keong menambah, empat suspek melarikan diri menaiki kereta yang menunggu di luar kedai dan dua lagi menggunakan motosikal.

“Suspek menaiki kenderaan jenis Naza Citra berwarna hitam dengan nombor pendaftaran palsu serta motosikal dengan nombor pendaftaran yang masih kita semak statusnya.

“Pengawal keselamatan mengalami kecederaan akibat dipukul dengan tukul besi namun tiada kemalangan jiwa.

Kes ini disiasat Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi berkata, kejadian tersebut adalah kali ketiga membabitkan kedai sama sepanjang 22 tahun dia berniaga di situ.

Saksi tersebut yang juga pemilik kedai dobi, Khairul Rofandi Jaafar, 49, berkata, dia terkejut mendengar jeritan di premis tersebut.

“Ketika saya keluar, saya melihat pengawal keselamatan di kedai emas terbabit terlantar di lantai dan saya cuba untuk membantu namun salah seorang perompak mengacukan pistol kepada saya.

“Bila mereka acu pistol saya masuk semula ke kedai dan sejurus kemudian saya dengar penggera dibunyikan serta kemudiannya perompak melarikan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku kejadian samun di kedai yang sama sepanjang beliau menjalankan perniagaan di situ. -Sinar

Pijak Mangsa Sebelum Melarikan Barang Kemas

MARANG – Tidak berperikemanusiaan.

Itu gambaran yang sesuai diberikan kepada seorang penjenayah yang menyamun seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Jalan Mengkudu di Kampung Pak Madah, Bukit Payung di sini, kelmarin.

Penjenayah terbabit bukan sahaja menyamun rantai leher malah mengugut wanita malang itu dengan menggunakan senjata tajam termasuk memijak mangsa apabila mangsa enggan menyerahkan dua utas gelang yang dipakai kepada penjenayah itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Si Romah Hassan, 57, berada di luar rumah milik adiknya itu untuk memberikan kucing peliharaan mereka makan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang rumah itu.

Adik mangsa, Mohd Ludin Hassan, 48, berkata, kakaknya yang terkejut dengan kejadian itu tidak sempat berbuat apa-apa, sebaliknya terpaksa menyerahkan barang kemas dipakai dan segera masuk semula ke dalam rumah dalam keadaan ketakutan.

“Penjenayah terbabit bukan sahaja melarikan rantai leher dan dua utas gelang tangan yang dipakai tetapi turut memijak kakak saya menyebabkan dia mengalami kecederaan pada badan dan perlu menerima rawatan susulan akibat kejadian itu.

“Dia (kakak) mengalami kerugian kira-kira RM70,000 apabila rantai leher dalam anggaran bernilai RM30,000 termasuk dua utas gelang tangan dipakai bernilai kira-kira RM20,000 setiap satu itu dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Harga Emas Dunia Dan Malaysia

Harga Emas di pasaran antarabangsa didagangkan dalam matawang US Dollar, dengan berat asas dagangannya “Troy per oz”.
Troy per oz adalah unit untuk semua jenis logam berharga (precious metal), dimana untuk setiap 1 Troy per oz bersamaan 31.1gram.

1 Troy per oz = 31.1gram
Sebagai contoh,
jika harga emas di pasaran antarabangsa $1623 per oz, bermakna harga emas ketika ini adala 1,623 Us Dollar untuk setiap 1 Troy auns.
Untuk mendapatkan harga dalam RM bagi setiap gram, pengiraannya seperti berikut:

1. Dapatkan harganya untuk setiap gram dahulu, caranya adalah;
Harga Sekarang ÷ Berat 1 troy oz dalam gram = Harga 1 gram emas dalam USD.
$1,601.05 ÷ 31.1 = $51.48

2. Kira kadar pertukaran harga 1 gram emas dalam matawang Dollar tadi kepada RM, caranya;

$51.48 x RM3.1310 = RM161.18  (Harga 1 gram emas di pasaran antarabangsa).
Untuk makluman, harga yang diatas adalah harga asas dagangan atau dikenali sebagai “Harga Spot”, dan ianya tidak merangkumi kos-kos sampingan yang terlibat bagi menghasilkan emas dalam bentuk fizikal.
Kemudian, mereka memprosesnya menjadi Emas berbentuk Gold Bar dengan kos yang terlibat untuk semua proses dari awal sehingga siap untuk setiap gram adalah sekitar RM13.00 bersamaan pertambahan kos sebanyak 8% dari harga kos asal bahan mentah. Kos tambahan ini juga dikenali sebaga “Kos Premium”.

Bermakna, mereka akan menjual emas itu kepada pelanggan pada harga:

Harga Spot + 8% ( kos premium)
RM161.80 + RM13.00 = RM174.80 segram

*Biasanya di kedai emas, mereka mengenakan tambahan sehingga 25% sebagai kos premium mereka, membuatkan harga jualannya lebih tinggi.

Tetapi bila mereka membeli semula dari pelanggan, mereka hanya akan mengambilkira harga asal barang mentah sahaja iaitu harga Spot Price, menyebabkan untuk semua beliam balik emas yang dijualnya akan dikenakan potongan harga atau susut nilai sehingga 25% juga.

SUMBER : Google

Dolar & Euro Tidak Stabil, Permintaan Emas Mungkin Naik


SINGAPURA – Permintaan untuk emas mungkin akan meningkat dengan dunia kini bergerak ke arah sistem rizab pelbagai mata wang berikutan ketidakpastian kestabilan dolar dan euro, demikian menurut analisis aset pegawai utama yang diadakan oleh bank-bank pusat dan dana kedaulatan di sini.

Ini adalah rumusan analisis sistem monetari dunia oleh Forum Institusi Monetari dan Kewangan Rasmi (OMFIF) dalam satu laporan yang diadakan oleh Majlis Emas Dunia, iaitu badan pembangunan pasaran industri emas.

Dirangsang oleh kehendak China untuk meningkatkan pengaruh kewangannya, renminbi China mungkin muncul secara berperingkat sebagai mata wang antarabangsa tulen dengan Beijing mengurangkan hadnya ke atas penggunaan transaksi dan pelaburan keluar negara.

Dalam tempoh akan datang berhubung ketidakpastian dan transisi antara mata wang rizab yang berbeza, para pengurus aset bank pusat rasmi seluruh dunia mungkin meningkatkan minat masing-masing terhadap emas ekoran keraguan mengenai kekuatan keseluruhan pengaturan monetari global, kata laporan itu.

Laporan OMFIF itu meninjau kepastian pengurusan aset berhubung pengagihan kuasa ekonomi global. – Bernama

Pelabur Emas Mangsa Tipu Minta Bantuan

Putrajaya: Jawatankuasa Bertindak Pelabur Bestino memohon jasa baik kerajaan bagi membantu mangsa penipuan skim pelaburan emas itu mendapatkan kembali RM411 juta yang dilaburkan.

Jurucakapnya, K Kunasekaran, berkata mereka sudah bersabar lebih tiga tahun supaya Bestino Golden House Sdn Bhd dan Bestino Group Bhd (Bestino) mengotakan janji memulangkan wang pelaburan tetapi masih kecewa.

“Justeru, kami minta campur tangan kerajaan untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin kerana tidak puas hati dan tidak lagi mempercayai syarikat pelaburan itu sering memberikan pelbagai alasan.

“Kami sudah menyerahkan segala dokumen yang diminta Datuk Ravin Ponniah (Pegawai Khas kepada Perdana Menteri) dan berharap satu lagi perjumpaan dapat diadakan dalam bulan ini.

“Seboleh-bolehnya kami berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Pejabat Perdana Menteri di sini semalam, selepas bertemu Ravin.

Kunasekaran berkata, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 6,764 mangsa skim pelaburan itu diminta menyerahkan sijil pegangan saham masing-masing bagi membantu siasatan, tetapi pihaknya sudah mengumpul dan menyerahkan 15 peratus daripada sijil pelaburan berkenaan. bH.

Polis Rampas Senjata Disaluti Emas , Berlian

Seorang anggota polis menunjukkan selaras senjata api AK-47 bersalut emas yang dihiasi batu berlian dan zamrud di Ciudad Jardin de Choloma pada Sabtu lalu.

 TEGUCIGALPA, Honduras – Pihak berkuasa merampas selaras senjata api AK-47 yang disaluti emas, batu berlian dan zamrud, kata seorang pendakwa raya kelmarin.

Senjata itu merupakan antara barang yang dirampas di sebuah ladang dekat Ciudad Jardin de Choloma di utara bandar raya ini.

Menurut pendakwa raya itu, Marlen Banegas, senjata tersebut dipercayai milik kumpulan penyeludupan dadah Zetas di Mexico.

Senjata itu dianggarkan berharga AS$50,000 (RM152,114). – AFP

Apex Terima Hadiah Kahwin Dinar Emas Dari Nik Aziz

KOTA BHARU : Selain gembira menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat pada majlis bertandang yang diadakan 5 Januari 2013, penjaga gol Kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex, 24, turut berasa terharu apabila pemimpin Kelantan ini memberikan hadiah istimewa buatnya.

Malah, Apex menganggap hadiah berupa wang dinar mas itu sebagai sesuatu yang sukar diterima orang lain. Apatah lagi bila hadiah tersebut diterimanya sendiri dari tangan Nik Aziz.

“Syukur Alhamdulillah, sungguhpun Nik Aziz tidak jadi menikahkan saya tempoh hari,disebabkan kesibukan jadual, namun saya amat gembira kerana dia sempat meluangkan masa seketika untuk hadir ke majlis bertandang hari ini.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Tidak lupa juga kepada Presiden Kafa iaitu Tan Sri Annuar Musa yang sempat hadir walaupun pada masa itu, dia sepatutnya sudah bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perlawanan ATM menentang Kelantan pada sebelah malam.

“Saya juga terharu dengan hadiah pemberian tetamu yang hadir. Saya sama sekali tidak menyangka begitu banyak hadiah yang saya terima. Saya menganggap ini sebagai sokongan secara menerus kepada saya sebagai penjaga gol Kelantan dan Malaysia. Tidak lupa juga kepada cikgu sekolah saya yang sanggup hadir dari Johor dengan memberikan piala istimewa buat saya,” katanya kepada murai.com.my.

Disamping gembira menerima lambakan hadiah dari tetamu yang hadir, Apex juga sangat berbangga apabila peminatnya tetap menyokong walaupun dia sering dicemuh dengan pelbagai kontroversi.

“Terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga saya. Tanpa mereka saya tidak sampai ke tahap ini. Malah, merekalah kekuatan saya untuk terus senyum. Majlis pada hari ini pun tidak mampu terlaksana tanpa sokongan dari ayah dan bonda saya. Saya juga berterima kasih kepada keluarga mentua saya kerana memahami keadaan saya.

“Mewakili keluarga, saya meminta maaf seandainya majlis pada hari itu ada terkurang. Kami sudah mengadakan majlis tersebut sebaik mungkin demi menghargai dan meraikan hari gembira saya bersama peminat,” jelasnya.

Difahamkan, pada hari tersebut, pihak keluarga Apex terpaksa dua kali masak menu untuk jemputan kerana kedatangan jemputan diluar jangkaan. Bagaimanapun, keluarga Apex gembira dan menerima kunjungan tersebut dengan senyuman tanpa henti.

– www.murai.com.my

Pelabur Saham Emas Masih Belum Terima Dividen Pada Disember


BEBERAPA pelabur saham emas dalam syarikat Virgin Gold Mining Corporation (VGMC) masih belum menerima dividen yang dijanjikan pada bulan lalu.

Mereka juga dimaklumkan baru-baru ini bahawa rancangan syarikat itu disenaraikan di sebuah bursa saham pada tahun ini akan ditangguhkan kepada 2014.

Pada Oktober lalu, Berita Harian melaporkan beberapa pelabur yang mempersoalkan kesahihan firma berpangkalan di Panama itu apabila ia menghentikan bayaran dividen sejak September lalu, atas sebab “membuat penyusunan semula sebagai persiapan untuk disenaraikan di sebuah bursa saham”.

Menurut VGMC, semua pelaburan dipindahkan ke sebuah dana baru bagi tujuan IPO dan mereka yang ingin meneruskan pelaburan dalam dana baru itu akan menerima semula dividen mereka pada 1 Disember lalu. Dividen ini akan dimasukkan dalam akaun online VGMC, namun ia dilaburkan semula ke dana baru itu. Pelabur tidak akan dapat mengeluarkan dividen tersebut.

Sumber-sumber terbaru Ekoniaga menyatakan seorang pelabur membuat aduan polis terhadap firma itu namun tiada butiran lanjut mengenainya.

Salah seorang pelabur yang belum menerima sebarang dividen pada bulan lalu adalah personaliti media terkenal, Encik Fahmi Rais, yang melabur $7,000 dalam firma itu. Beliau terus hampa dengan VGMC yang sering bertukar-tukar rancangan.

“Ia mendakwa telus dengan pelaburnya tetapi saya tidak melihat ketelusan itu kerana sehingga sekarang nampaknya dividen yang dijanjikan pun tidak kelihatan apabila saya periksa akaun online VGMC.

“Kami juga diberitahu bahawa rancangan IPO akan dilaksanakan pada 2014 dan bukan 2013 sebagaimana yang diumumkan sebelum ini. Nampaknya kami kena tunggu setahun lagi untuk mengetahui perkembangan pelaburan kami,” ujarnya.

Walaupun dapat melihat nilai saham emas yang melonjak di laman web VGMC, katanya, “ini hanya nilai kertas yang tidak bermakna” selagi beliau tidak dapat mengeluarkan wang pelaburannya.

VGMC melantik sebuah firma pengurusan dana, Asia Gold Mining Asset Corporation (Agmac), menguruskan dana saham emas tersebut.

Dana saham emas itu juga ditukarkan kepada opsyen dan pelabur diberi pilihan sama ada mengekalkannya sebagai opsyen atau menukarkan kepada saham biasa.

Jika kekal sebagai opsyen, para pelabur diberitahu bahawa mereka boleh mendapatkan semula wang tunai mereka setelah firma itu berjaya disenaraikan. Bagaimanapun jangka waktu mendapatkan wang tunai itu masih menjadi tanda tanya para pelabur.

Seorang pelabur yang dikenali sebagai Encik Zam terkejut dengan perubahan mendadak itu.

“Sudahlah kita tidak menerima dividen pada Disember lalu tetapi sekarang mereka merumitkan lagi keadaan dengan perubahan ini.

“Seperti pelabur lain, saya juga keliru dengan perubahan ini, namun pada tahap ini kami tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mengikut sahaja,” ujar pedagang yang melaburkan sebanyak $10,000.

Bagi pasangan pelabur suami isteri yang melabur $50,000, mereka hanya menantikan maklumat terkini daripada teman pelabur yang menarik mereka ke dalam skim itu.

“Kami hanya menerima dividen sekali sahaja selepas itu senyap sahaja dan kami pun tertanya-tanya sehingga hari ini. Kami hanya dapat menunggu firma itu tawarkan IPO tetapi sampai bila? Kami memang harap mendapat semula wang kami,” kata isteri pelabur itu.

Apabila ditanya tentang rasa kurang senang pelabur itu, salah seorang pelabur terawal VGMC, Hajah Norati Abdul Jalil, berkata menerusi SMS bahawa beliau tidak mempunyai komen selanjutnya.

“Kini VGMC dalam proses IPO dan ini akan mengambil masa 12 hingga 15 bulan. Mereka yang tidak puas hati harus membaca pengumuman terkini dan mendapat maklumat daripada teman pelabur yang menarik mereka,” katanya.

Hajah Norati, bagaimanapun, masih menegaskan “semua pelaburan mereka sudah dilaburkan semula dan akan menerima semua wang selepas penyenaraian VGMC”.

Seramai 8,000 pelabur setempat melabur dalam VGMC yang berada di bawah senarai amaran pelabur di beberapa negara termasuk Singapura.

Berdasarkan jumlah minimum 2,000 saham yang perlu dilabur dan harga satu saham sekitar AS$1.7 ($2.10), ini bermakna jumlah pelaburan minimum yang sudah dipindahkan kepada firma itu boleh mencapai $33.6 juta.