Lombong Emas Terbaharu Sektor Hartanah

SEBANYAK 16 buah syarikat hartanah swasta terkemuka telah melabur sebanyak RM20 bilion dalam tempoh tiga tahun di sesebuah kawasan merupakan sesuatu yang sangat luar biasa dan jarang berlaku.

Apakah kelebihan kawasan berkenaan hingga semua syarikat berkenaan sanggup mengambil risiko dengan melakukan pembangunan hartanah secara serentak? Apakah tidak berlaku gelembung hartanah.

Untuk menarik pelaburan swasta bukan mudah kerana mereka sangat mementingkan aspek keuntungan dan berdasarkan tindakan mereka, jelas sekali kawasan berkenaan mempunyai prospek yang tinggi pada masa depan.

Kawasan yang dimaksudkan adalah Cyberjaya. Bandar berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) yang sudah berusia 15 tahun dan semakin hampir mencapai tempoh matangnya.

Pemaju utamanya, Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSB) baru-baru ini telah berkongsi mengenai pelan pembangunan fasa tinga (2012-2016) dan fasa terakhir (2016-2020) dengan Utusan Malaysia.

Perancangan pembangunan yang ditunjangi tokoh hartanah terkenal Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar cukup mantap dan tersusun rapi sehingga meyakinkan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Orang ramai mungkin tidak mengetahui prospek kawasan ini secara dekat tetapi anda boleh jadikan tindak tanduk awal pemaju hartanah di sesebuah kawasan sebagai petunjuk apa yang akan berlaku tidak lama lagi.

Tinjauan sekitar Cyberjaya baru-baru ini mendapati banyak kren-kren pembinaan tumbuh merata-rata di kawasan berkenaan dan ini menjadi bukti apa yang dicanangkan oleh SHSB bukan omong kosong.

Nama syarikat yang terpapar pada papan tanda projek di kawasan berkenaan bukan calang-calang antaranya adalah SP Setia, Kumpulan Emkay, UEM Land, Mah Sing dan Glomac.

Berdasarkan reputasi syarikat seperti ini, hampir mustahil untuk mereka gagal melaksanakan projek hartanah yang dikendalikan.

Persoalan di sini, adakah berbaloi untuk kita melabur di Cyberjaya? Adakah projek ini bakal menjadi ‘gajah putih’ atau berhadapan dengan gelembung hartanah pada masa depan?

Mari kita dekati perancangan SHSB, sebelum membuat sebarang spekulasi. Fasa tiga Cyberjaya menyasarkan untuk menggandakan penduduk kepada 100,000 dengan tambahan lebih 25,000 buah rumah, tujuh juta kaki persegi ruang pejabat dan 1,200 buah kedai berbanding sekarang.

Tidak ketinggalan pembinaan tiga buah sekolah dan tiga buah institut pengajian tinggi.

Bagaimana infrastruktur ini mampu dipenuhi penduduk? Di sini, fasa empat Cyberjaya akan memainkan peranannya dengan sasaran menarik kehadiran syarikat berimpak tinggi seperti syarikat multinasional (MNC) melabur di sini.

Dengan baki 1,000 ekar tanah untuk fasa empat, dijangkakan mampu mewujudkan 67,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu menjelang 2020.

Pada ketika itu, anda dapat melihat berapa prospek pelaburan hartanah di Cyberjaya. Bandar yang dipenuhi syarikat MNC dan golongan profesional dengan pendapatan tinggi.

Menurut perunding hartanah, nilai hartanah di Cyberjaya dijangka meningkat berlipat kali ganda berbanding RM80 sekaki persegi ketika ini.

Anda boleh membuat perkiraan pelaburan sekarang dan jangan lupa setiap hari yang berlalu akan mengurangkan margin keuntungan masa depan anda. – Utusan

Tiga Dulang Rantai Emas RM200,000 Dilarikan

KUALA LUMPUR — Dua lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan tiga dulang mengandungi rantai emas bernilai kira-kira RM200,000 dalam kejadian menyamun sebuah kedai emas yang terletak di hadapan Balai Polis Selayang Baru dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian samun pukul 10.15 pagi itu, dua suspek menerpa masuk ke dalam kedai emas berkenaan dengan bersenjatakan parang dan tukul di mana tukul itu digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran.

Pemilik kedai yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Su berkata, ketika kejadian tiada pelanggan di dalam premis dan suaminya keluar untuk minum.

“Ketika kejadian dua penyamun itu masuk dan terus memecahkan cermin ruang pameran mengunakan tukul lalu mengambil tiga dulang mengandungi rantai emas dan terus melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Ex5 yang diletakkan di lorong belakang kedai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memakai helmet dan vest berwarna hijau dan oren.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Pemeriksaan kita di tempat kejadian telah menemui tukul yang digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran. Premis itu tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kami boleh memperoleh rakaman CCTV dari kedai berdekatan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, individu yang berada di premis berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ia merupakan kali pertama premis berkenaan disamun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. — BERNAMA

Permintaan Emas Turun 12 Peratus Di India

NEW DELHI, 14 Feb (Bernama) – Permintaan emas di India turun 12 peratus tahun lepas kepada 864.2 tan metrik berbanding 986.3 tan metrik pada 2011 susulan langkah mengehadkan import emas dan kenaikan mendadak harga domestik, kata World Gold Council.

Tahun lepas merupakan tahun yang mencatatkan prestasi bercampur-campur bagi pasaran terbesar emas itu. Pasaran tersebut kukuh pada suku akhir dengan jumlah permintaan sebanyak 261.9 tan metrik, peningkatan 41 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2011.

“Permintaan barang kemas dan pelaburan mencecah paras tertingginya bagi enam suku. Permintaan bagi barang kemas meningkat 35 peratus tahun ke tahun mencecah 153 tan metrik dan permintaan runcit kukuh membawa kepada 108.9 tan metrik belian pelaburan,” kata majlis itu dalam laporan Gold Demand Trend yang dikeluarkan hari ini.

Di India, prospek peningkatan duti yang berkuat kuasa pada Januari 2013 mungkin membantu belian kukuh dalam suku akhir bagi mengatasi jangkaan peningkatan harga.

Sementara itu permintaan di China tidak berubah tahun ke tahun, mencerminkan kesan kelembapan ekonomi. Bagaimanapun, bagi suku keempat, jumlah permintaan naik satu peratus berbanding suku sebelumnya kepada 202.5 tan metrik.

“China dan India kekal sebagai kuasa emas dunia meskipun keadaan ekonomi domestik yang mencabar,” kata Pengarah Urusan World Gold Council, Marcus Grubb. – BERNAMA

Negara Paling Banyak Membeli Emas & Menyimpan Emas ?

Negara Mana Yang Paling Banyak Membeli Emas?? Bukan Amerika Syarikat.

Majlis Emas Dunia telah mengeluarkan senarai terbaru pemegang emas terbesar di dunia. Tetapi negara manakah yang paling banyak membeli dalam dekad yang lalu? Jawapannya mungkin akan mengejutkan anda!

No 3 : Turkey – 243.5 tan metrik
Cukup untuk membina sebuah Statue of Liberty daripada emas

No 2 : China – 454.1 tan metrik
Cukup untuk membina 2 Statue of Liberty daripada emas

No 1 : Russia – 570.1 tan metrik
Cukup untuk membina 3 Statue of Liberty daripada emas

Note : 1 tan metrik = 1000kg.

Rekod Simpanan Emas 2012
WORLD OFFICIAL GOLD HOLDINGS
International Financial Statistics, August 2012*

Negara Malaysia dan Asia Tenggara

ini pula rekod tahun sebelumnya (Tahun 2011)

Boleh lah lihat bertambah atau berkurang rangking kita ..

: emasmaster.com

Sistem Penggera Gagal Cubaan Samun Kedai Emas


Kuala Lumpur: Satu cubaan samun kedai emas di Jalan Sentul, di sini, gagal akibat sistem penggera keselamatan di premis itu berbunyi selepas mengesan pencerobohan, kelmarin.

Suspek dipercayai lebih dua orang, dipercayai memanjat balkoni di belakang premis kedai tiga tingkat itu sebelum cuba masuk ke dalam kedai dengan menebuk siling kedai emas terbabit yang terletak di tingkat bawah.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi disedari pemilik kedai emas yang bercuti Tahun Baru Cina selepas menerima notis dihantar ke telefon bimbitnya daripada sistem penggera di kedainya mengenai pencerobohan itu sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata sistem penggera keselamatan di kedai emas terbabit berbunyi selepas suspek cuba membuka pintu dalam kedai itu.

Tebuk siling

Selepas menebuk lubang di siling, suspek masuk ke dalam belakang kedai emas dan ketika memecah masuk pintu ke bahagian ruang pameran barang kemas di bahagian depan kedai, sistem penggera berbunyi.

Kami percaya suspek panik apabila penggera itu berbunyi dan melarikan diri. Siasatan menemui pelbagai peralatan untuk memecah masuk kedai yang ditinggalkan suspek, katanya di sini, semalam.

Kerajaan Persekutuan Perlu Guna Saham Emas Benarkan Selangor ambilalih Syabas

SHAH ALAM: Sebagai pemegang saham emas(golden share) Kerajaan Persekutuan diminta menggunakan kuasanya bagi membolehkan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) menerima tawaran harga Kerajaan Negeri bagi mengambil alih operasi pengurusan bekalan air di Selangor.

Langkah ini sekaligus mempercepatkan penyelesaian penyusunan semula industri air demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya mereka enggan berbuat demikian, Kerajaan Negeri akan membawa Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wsia 2006).

Beliau menegaskan, ini bukanlah pengambil alihan biasa syarikat komersil sebaliknya melibatkan perjanjian antara tiga pihak iaitu Syabas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

“Urusniaga tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco.

Ketika mengulas berkaitan soal harga yang ditawarkan sama ada lebih tinggi atau rendah berbanding sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan perkara berkenaan disifatkan sensitif dan sulit.

Beliau menambah, dokumen tawaran akan dihantar kepada syarikat konsesi pada minggu depan.

Usaha pengambil alihan ini susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa Kerajaan Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur semula industri tersbut.

Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Negeri kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui.

Tempoh 14 hari tersebut bermula pada 4 Februari dan akan akan tamat minggu depan.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri akan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah-langkah yang akan dilakukakan selepas pengambilalihan perkhidmatan air ini dalam ‘Forum Air Untuk Rakyat’ yang akan diadakan selama 10 hari bermula 18 Februari sehingga 28 Februari di seluruh negeri.

Antara jurucakap yang terlibat adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin.

“Kita akan iklankan tarikh dan tempat forum air ini akan diadakan di beberapa akhbar utama untuk memudahkan rakyat merancang dan membuat persediaan awal.

“Kita berharap rakyat dapat menggunakan forum air sebagai platform untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini berhubung isu air di Selangor dan Lembah Klang,” ujar beliau lagi.

Harga Emas Menjelang Pilihan Raya

Harga emas yang ditutup rendah di AS pada hari rabu mengakibatkan ramai yang bimbang kemana halatuju harga emas. Pelabur emas atau perak baik fizikal mahupun spot gold mereka masih mengharapkan kenaikan pada tahun ini harga yang melepasi harga yang tertinggi tahun lepas.

April tahun lepas emas terakhir diniagakan sehingga $ 4,20 pada $ 1,677.70 auns. Emas Spot terakhir yang dipetik sehingga $ 4.00 $ 1,677.75. Mac Comex perak terakhir diniagakan turun $ 0,06 pada $ 31,815 auns.

Akan ada beberapa yang gembira, berita pasaran yang ketara pada hari Khamis iaitu hari ini, apabila Europe Central Bank bermesyuarat pada hari ini, termasuk sidang akhbar oleh ketua ECB Mario Draghi. ECB dijangka untuk mengurangkan kadar faedah yang masih tidak berubah, tetapi Draghi berkata “mungkin hujung hujahnya pada perubahan dasar monetari pada sidang media”. perkembangan ekonomi cina dijangka pesat pada minggu ini, sehingga rapat yang di adakan minggu lepas meneliti keputusan mesyuarat ECB dan data yang datang daripada China.

Dalam berita saham semalam, pasaran pembuatan Jerman telah dilaporkan sehingga 0.8% pada bulan Disember tahun lepas, ianya lebih baik daripada yang dijangkakan dan yang dinyatakan oleh ekonomi terbesar di Kesatuan Eropah telah bertukar sudut ke arah yang stabil. Secara umumnya, EU data ekonomi telah menjadi lebih yakin daripada tidak yakin baru-baru ini. Walau bagaimanapun, kadar hasil bon Itali dan Sepanyol merangkak lebih tinggi Rabu, yang menandakan kegelisahan pelabur segar mengenai kedua-dua negara EU masih bermasalah dan masalah politik mereka.

Malaysia adalah salah satu negara Asia yang tengah berkembang pesat dalam industri pembuatan mahupun pengeluar. saham semasa HKL akhir-akhir ini semakin lemah merundum,begitu juga dengan harga emas. Ini mungkin faktor pilihan raya yang semakin dekat. Sesebuah negara yang dalam proses pemilihan selalunya ekonomi negara tersebut sedikit merundum. ini yang terjadi dimalaysia

Harga Purata Emas Naik 27 % Setahun

KUALA LUMPUR – Peluang melabur dalam bentuk simpanan emas tidak harus dilepaskan memandangkan ia mencatat kenaikan harga purata sebanyak 27 peratus setahun dan bakal menggandakan nilai harta pelabur.

Penasihat korporat Serambi Emas Sdn. Bhd. (Serambi Emas), Datuk Salleh Majid berkata, ini merupakan salah salah portfolio pelaburan yang menguntungkan khususnya bagi masyarakat Melayu yang masih ketinggalan daripada aspek memiliki aset kekayaan.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) itu menjelaskan, cara belian emas yang menguntungkan ialah dengan menggunakan kemudahan Ar-Rahnu.

Menurutnya, kaedah itu dapat mengelakkan daripada sebarang kecurian atau unsur-unsur penipuan memandangkan ketulenan emas itu disahkan oleh pihak ketiga.

RM100,000 Barang Kemas & RM14,000 Wang Tunai Lesap

DUNGUN – Niat pasangan suami isteri untuk menghadiahkan hasil jualan tanah kepada anak-anak mereka hancur apabila wang tunai RM14,000 yang dilsimpan di bawah tilam di rumah mereka dekat sini dikebas dalam kejadian pecah rumah, pagi kelmarin.

Turut dicuri ialah barang-barang kemas, termasuk gelang dan cincin emas yang semuanya bernilai kira-kira RM100,000.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Semek Abdul Rahman, 65, dan suaminya, Ismail Mohd, 70, yang menjaja sayur menggunakan van bergerak, keluar membeli barang di pasar Dungun.

Semek berkata, kes pecah rumah itu disedari seorang cucunya, Amin Mohd Khir, 17, yang tidur selepas pulang dari tempat kerja. Amin menghubungi bapanya setelah melihat barang-barang dalam rumah mereka berada dalam keadaan berselerak sebaik terjaga daripada tidur.

Menurut Semek, sebelum itu, dia meninggalkan rumah bersama suaminya selepas solat Subuh kira-kira jam 6.15 pagi dan ketika itu difahamkan barang kemas miliknya masih tersimpan rapi dalam laci. Wang tunai RM14,000 disimpan di bawah tilam, tempat tidur suaminya.

Selepas mendapat berita mengejutkan itu, Semek terus pulang ke rumah dan melakukan pemeriksaan.

“Wang tunai RM14,000 hasil jualan tanah pusaka suami dan barang kemas milik saya yang disimpan dalam laci lesap. Terdapat kesan umpil pada tingkap belakang,” katanya.

Tambahnya, barang kemas termasuk beberapa gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM100,000 disimpannya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kami bercadang untuk membahagikan wang itu kepada anak-anak yang bakal pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti, jadi kami tidak masukkan ke dalam akaun bank.

“Tak sangka pula ia akan diambil pencuri,” kata Semek.

Semek membuat laporan di Balai Polis Paka dan polis sedang menyiasat kes tersebut. -SinarHarian

Empat Penjenayah Larikan 11 Dulang Barang Kemas Di Seremban

SEREMBAN: Empat lelaki bersenjatakan beberapa pucuk pistol bertindak nekad merompak sebuah kedai emas dan melarikan 11 dulang barangan kemas dalam satu kejadian di Taman Senawang Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penjenayah berkenaan terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan ke udara di hadapan premis terbabit menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
“Penjenayah yang memakai topeng muka kemudiannya memecahkan cermin pameran barangan kemas dan mengambil 11 dulang barangan kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pemilik premis berada di kedainya bersama dua lagi pekerja dan mereka tidak diapa-apakan.

Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan, katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Alang, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di sebuah kedai berhampiran sebelum melihat empat lelaki bertopeng menaiki dua buah motosikal berhenti di depan kedai emas berkenaan.

Katanya, dua lelaki yang membawa kapak dan tukul besi meluru masuk ke kedai emas manakala dua lagi lelaki berkawal di tengah jalan di hadapan premis sambil seorang daripada mereka memegang dua pucuk pistol.
“Kerana curiga saya menghampiri kedai berkenaan dan terkejut selepas lelaki yang memegang dua pucuk pistol itu secara tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan ke udara sambil menjerit ‘lari…lari’.

“Lelaki itu turut menghala pistolnya ke arah orang ramai dan kenderaan yang lalu-lalang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, penjenayah terbabit berada di situ selama kira-kira tiga minit sebelum beredar dengan dua beg berisi barangan kemas. – BERNAMA