Kedai Emas Disamun 3 Lelaki

Anggota polis sedang menjalankan siasatan selepas kejadian samun di Jalan Tok Hakim semalam.

KOTA BHARU – Sebuah kedai emas disamun tiga lelaki yang memakai topi keledar dengan bersenjatakan kapak dan parang di jalan Tok Hakim di sini petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang itu menyebabkan pemilik premis terbabit mengalami kerugian kira-kira RM 200,000.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek terbabit masuk ke dalam kedai emas berkenaan tanpa membuka topi keledar lalu terus memecahkan meja kaca yang mempamerkan beberapa utas rantai dan barang kemas dengan menggunakan senjata tajam yang dibawa.

“Dipercayai ketiga-tiga suspek berbangsa Melayu, melakukan rompakan terbabit tidak lebih dari lima minit dan terus melarikan diri dengan barangan kemas yang dirompak.

“Suspek berkenaan, turut meninggalkan sebilah kapak di dalam kedai emas itu, namun sempat meloloskan diri dengan parang yang turut digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.

Azham berkata, gerakan memburu ketiga-tiga suspek kini giat dijalankan bagi mengesan mereka yang masih bebas.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan terhadap kes ini memandangkan ketika kejadian itu, terdapat lima pekerja di dalam kedai berkenaan yang diarahkan berdiam diri ketika rompakan berlaku.

“Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata,” katanya.

Sementara itu menurut saksi kejadian yang bekerja di kedai permainan video berhampiran kedai emas berkenaan, Sarah Nik Mod, 20, dia melihat kelibat ketiga-tiga suspek meninggalkan motosikal di lorong sempit berhampiran kedai tempat dia bekerja.

“Mereka berjalan betul-betul di hadapan kedai ini dengan membawa sebilah parang dan kapak dan saya terkejut melihat kedaaan itu, lalu mendiamkan diri.

“Apa yang saya nampak, kelakuan mereka memang mencurigakan dan kelibat mereka memang jelas dalam rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai ini,” katanya.

Skim Pelaburan Emas Haram

KOTA KINABALU: Polis di sini kelmarin akan meningkatkan pemantauan bagi menangani skim pelaburan haram menggunakan emas di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Superitendan Saiman Kasran berkata kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan itu.

Beliau, dalam pada itu, tidak menafikan Sabah turut terkena tempias kegiatan skim berkenaan dan berdasarkan rekod setakat ini, seramai 12 individu telah melaporkan kepada polis dan mendakwa kerugian RM603,998.53.

“Setakat ini, kita hanya menerima laporan daripada 12 individu yang mendakwa kerugian lebih RM600,000 setelah melakukan pelaburan emas di sebuah syarikat yang berpengkalan Semenanjung Malaysia di negeri ini.

“Namun begitu, kita hanya bertindak melaporkan serta menghantar dokumen kepada BNM sahaja dan setakat ini, polis masih belum melakukan sebarang serbuan ke atas mana-mana syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan emas haram di Sabah,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Saiman turut menyarankan kepada orang ramai untuk mengelak daripada terikut-ikut dengan skim-skim yang mampu mendatangkan keuntungan dalam masa singkat bagi mengelak diperdayakan.

“Kita menasihatkan kepada masyarakat untuk mengawal kehendak mereka daripada terlibat dengan kegiatan seperti ini dan sekiranya hendak melaburkan wang mereka, polis menasihatkan agar ikutilah saluran yang betul serta sah seperti bank-bank yang sedia ada.

“Polis juga meminta kepada ramai untuk lebih peka dengan perkembangan semasa baik dari sudut pemberitahuan di akhbar ataupun di kaca televisyen mengenai skim-skim seperti ini bagi mengelakkan menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu kenyataan daripada BNM mengenai serbuan dan penyitaan wang tunai daripada empat syarikat di ibu negara baru-baru ini.

Di dalam kenyataan itu menyaksikan penyitaan serta rampasan berupa 142.7 kilogram emas dan RM101.92 juta dalam akaun bank serta tunai daripada empat syarikat yang terbabit dalam skim pelaburan haram menggunakan emas.

Jumlah itu dinyatakan dalam kenyataan BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pelabur Skim Pelaburan Emas Genneva Minta Kerajaan Selesai Masalah Mereka

KUCHING: Kira-kira 200 pelabur Skim Pelaburan Emas Genneva meng-adakan perhimpunan aman di luar bangunan Bank Negara Malaysia (BNN) di sini, meminta kerajaan bertindak segera menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Pelabur-pelabur terbabit men-dakwa pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk melakukan siasatan mengenai kesahihan operasi Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Menurut jurucakap kumpulan berkenaan yang mewakili pelabur Sarawak, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata sudah lima bulan berlalu selepas syarikat itu (Genneva Malaysia Sdn Bhd) diserbu tetapi masih tiada perkembangan terkini mengenai perkara itu.

“Kami mahu Bank Negara menyiapkan siasatan secepat mungkin kerana kami mahu tahu perkara sebenar yang berlaku. Kami benar-benar bimbang,” katanya ketika ditemui ketika melakukan perhimpunan aman itu sekali gus menye-rahkan memorandum kepada gabenor BNM.

“Kami berharap hasil siasatan dapat dikeluarkan tanpa berlengah lagi, dengan itu kami boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan kerugian yang kami hadapi,” katanya sambil mendedahkan kira-kira 10,000 orang di seluruh Sarawak terjejas selepas akaun mereka dibekukan.

Rata-rata daripada mereka kata-nya, bergantung sepenuhnya kepada pelaburan tersebut untuk menambah pendapatan serta menyara keluarga dan menampung perbelanjaan per-ubatan, pinjaman dan yuran pengajian anak-anak di universiti.

Kumpulan itu diketuai Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen menyerahkan memorandum itu kepada pegawai BNM di sini.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, berkata siasatan mengenai kes itu boleh dipercepatkan dengan hanya memeriksa rekod-rekod transaksi akaun Genneva.

“Sudah lima bulan siasatan dilakukan tetapi masih belum ada keputusan menyebabkan mangsa (pelabur) me-nunggu tanpa jawapan sehingga menyebabkan mereka cemas.

“Mereka (pelabur) hanya mahu tahu sama ada syarikat itu melanggar undang-undang atau sebaliknya.

“Jika tidak ada (melanggar undang-undang), akaun mereka tidak seharusnya dibekukan,” tambahnya.

Sekiranya siasatan membuktikan Genneva beroperasi secara haram, Chong berkata pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah menipu.

“Kerajaan dan Bank Negara seharusnya mempercepatkan siasatan ke-rana sekarang sudah lima bulan berlalu. Sudah tiba masanya untuk me-reka mengumumkan keputusannya,” ujar beliau lagi.

Perkembangan terkini mengenai perkara itu tiga bulan lalu dan menurut jurucakap kumpulan itu lagi, Genneva Gold akan mengeluarkan surat kepada mereka bagi memaklumkan perkembangan terkini.

Sementara itu dalam satu kenya-taan dikeluarkan BNM awal Disember 2012, siasatan awal perakauan mendedahkan kerugian besar dialami syarikat itu tahun lepas. Syarikat itu menanggung liabiliti melebihi 10 kali ganda daripada asetnya.

Kenyataan itu turut menyebut jualan emas kira-kira 20 peratus hingga 25 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran, dengan bayaran pulangan kira-kira dua hingga tiga pe-ratus sebulan kepada pelanggan dan belian balik emas daripada pelanggan pada harga belian asal bukan usaha mapan.

Awas! Penipuan Kewangan Melibatkan Pelaburan Emas

Salam, saya ingin memetik daripada majalah Ringgit keluaran bersama Gabungan Persatuan-persatuan pengguna Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai agar hanya melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa.

Anda dinasihatkan agar lebih berhati-hati serta meneliti kesan-kesan buruk sebelum menyertai mana-mana skim yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang singkat.

Ramai pelabur yang telah tertipu dan menjadi mangsa akibat keliru dengan tawaran-tawaran lumayan yang dijanjikan oleh penganjur kerana ingin menjadi “Cepat Kaya”.

Sejak kebelakangan ini, jenis skim cepat kaya yang kerap dilaporkan ialah Skim Pelaburan Emas. Pada kebiasaannya, pengendali menjalankan skim pelaburan emas dengan menggunakan syarikat perniagaan atau syarikat sendirian berhad (syarikat).

Syarikat memberikan jaminan pembelian balik (buy back guarantee) atas setiap skim pelaburan emas yang dijalankan. Jaminan pembelian balik tersebut mengakibatkan skim pelaburan emas yang dijalankan mempunyai elemen-elemen pengambilan deposit haram yang melanggar peruntukan dalam Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Trend Harga Menurun – Emas & Matawang Euro

Sejak September tahun lepas hingga kini, keadaan harga emas dalam trend menurun. Tertinggi di bulan September lepas adalah US 1795, kini dalam keadaan paras terendah iaitu US 1554,++.

Sesiapa yang ingin membuat pelaburan dalam jangka panjang, tentunya waktu ini adalah sesuai untuk memerhati pasaran semasa dan melabur dalam harga yang terbaik.

Tapi perlu diingatkan, harga pada January 2011 adalah sekitar US 1307 sahaja. Dan September 2011, paras tertinggi mencecah US 1902.++.

Bagi peminat matawang Euro, hari ini tertinggi hanya lah 1.3072 dalam keadaan menjunam. Tertinggi tahun ini adalah 1.3710.

Trend masa ini masih lagi menurun dan menjunam ke 1.2966 minggu lepas, 1hb Mac 2013.

Bagi peniaga matawang, waktu ini adalah sesuai untuk mengutip mata-mata pelaburan jangka panjang.

Sekian, selamat berurus niaga.

Kelentong ‘Datuk’ Lombong Emas

Kuala Lumpur: Berbekalkan gelaran ‘Datuk’ dan mengaku memiliki sebuah lombong emas di Kelantan, seorang lelaki berusia 50-an memperdaya lebih 500 orang membabitkan jumlah pelaburan lebih RM10 juta.

Difahamkan, syarikat berkenaan mula beroperasi Ogos lalu dengan menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi antara 1.5 dan tiga peratus sehari daripada nilai pelaburan dan keuntungan itu mula dibayar seminggu selepas pelaburan dibuat.

Janji manis bayaran keuntungan itu membuatkan pelabur terpedaya hingga sanggup melabur antara RM3,500 hingga RM50,000. Seorang mangsa, Farid Salahuddin, 51, berkata, dia tertarik menyertai pelaburan emas itu selepas ditawarkan keuntungan yang tinggi setiap hari sebelum membentuk rangkaiannya dengan menarik ahli dalam kalangan saudara-mara dan rakan.

Katanya, pada awal penubuhan syarikat itu, dia mendapat keuntungan pelaburan beberapa ribu, namun selepas dua bulan bermula November lalu, syarikat itu tidak lagi membayar keuntungan.

“Pemilik syarikat itu licik dengan mendakwa memiliki lombong emas di Kelantan dan menunjukkan gambar proses perlombongan yang dilakukan pekerja mereka.

“Selepas berfikir panjang, saya membentuk rangkaian dan menarik kira-kira 500 pelabur dengan jumlah pelaburan RM7 juta, namun tidak mendapat keuntungan dan wang modal itu lesap,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Farid berkata, ramai ahli di bawah rangkaiannya langsung tidak mendapat untung dan mereka kini menuntut bayarannya.

Beliau berkata, dia membuat laporan kerana mahu menuntut kembali wang modal miliknya dan pelabur lain.

Seorang lagi pelabur dikenali sebagai Shila, 30, yang mempunyai kira-kira 100 ahli di bawah rangkaiannya berkata, dia dan rakannya mengalami kerugian kira-kira RM3 juta selepas memasukkan wang pelaburan itu ke dalam akaun syarikat dan ‘Datuk’ terbabit.

Katanya, dia kini tertekan selepas orang bawahannya menuduh dia menggunakan wang pelaburan itu, padahal dia sudah memasukkan semua wang yang dikumpul itu dalam akaun syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

: Berita Terkini Online

Emas Hilang Ditemui Semula

Gombak: Sebahagian barang kemas dianggarkan bernilai RM40,000 daripada nilai keseluruhan RM250,000 yang disamun dua lelaki di sebuah kedai emas di Jalan 11, Selayang Baru, di sini, 18 Februari lalu ditemui semula.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, dua lelaki berkenaan yang memakai topi keledar bersenjatakan sebilah parang dan tukul memecahkan cermin kaca pameran sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, hasil siasatan, sebahagian barang kemas itu dijumpai semula bersama motosikal berkuasa tinggi, dua topi keledar, vest dan resit pajak gadai sehari selepas kejadian itu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.

“Polis turut menahan sembilan orang termasuk dua wanita berusia 17 hingga 29 tahun dan setakat ini, tiga suspek dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

“Malah hasil siasatan mendapati kebanyakan barang kemas itu digadai di kawasan sekitar Gombak dan Sentul dan polis kini mengesan di mana ia berada berdasarkan penemuan resit itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, semalam.

– www.hmetro.com.my

30 Minit Amah Lesap RM25,000

Petaling Jaya: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM25,000 selepas barang kemas serta wang tunai sebanyak RM3,000 miliknya dilarikan pembantu rumah yang hanya ditinggalkan selama 30 minit dalam kejadian di Kampung Tunku, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dikatakan keluar dari rumahnya sebelum kembali setengah jam kemudian apabila mendapati pembantu rumah warga Sri Lanka terbabit sudah tiada.

Menurut sumber, mangsa yang cuba mencari pembantu rumahnya yang berusia 31 tahun itu kemudian terkejut selepas melihat biliknya berselerak sebelum mendapati laci tempat menyimpan barangan kemas seberat kira-kira sembilan kilogram (kg) turut digeledah.

“Selepas memeriksa laci berkenaan, mangsa mendapati semua barangan kemas bernilai lebih RM20,000 miliknya berserta wang tunai sebanyak RM3,000 lesap,” katanya.

– www.hmetro.com.my

Rugi RM50,000 Ditipu Skim Pelaburan Emas

BATU PAHAT – Seorang pembekal bahan binaan kerugian RM50,000 setelah terperdaya dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan menerusi laman Internet oleh sebuah syarikat beralamat di Klang, Selangor.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat syarikat berkenaan, apabila tertarik dengan tawaran keuntungan 15 peratus yang dijanjikan.

Menurutnya, selepas melihat sendiri pejabat syarikat berkenaan dan diterangkan keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa bersetuju untuk melabur menerusi skim pelaburan emas itu dan mendepositkan RM50,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.

“Mangsa yakin untuk melabur dalam skim itu berikutan syarikat terbabit turut menyediakan dokumen perjanjian untuk ditandatangani, selain berjanji akan menghantar dokumen perjanjian berkenaan selepas selesai menguruskannya.

“Bagaimanapun, selepas dua bulan, syarikat terbabit masih gagal menyerahkan dokumen perjanjian itu. Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan namun tidak berhasil.

“Malah keuntungan yang dijanjikan selepas sebulan melabur tidak diterimanya. Mangsa yang menge­syaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, walaupun mangsa membuat laporan polis pada 31 Januari lalu, pihaknya masih memburu suspek utama kes berkenaan.

“Polis juga berjaya menangkap dan mendakwa pemilik akaun yang menerima wang RM50,000 yang dideposit mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kini mencari seorang wanita, Rimaliza Mustafa, 28, yang beralamat terakhir di Kuantan, Pahang, untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mengenali Rimaliza supaya dapat menghubungi pihak polis,” katanya.

Kedai Emas Rugi RM20,000 Akibat Disamun

SENAWANG – Dua perompak lelaki hanya mengambil masa kira-kira tiga minit bagi melarikan barang kemas bernilai RM20,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah premis di Taman Seremban Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan menaiki sebuah motosikal dan meletakkannya di hadapan premis sebelum melulu masuk ke kedai.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika kejadian berlaku, pemilik kedai dan seorang anaknya berada di dalam premis.

“Kedua-dua suspek yang memakai topi keledar itu telah bertindak memecahkan cermin pameran barangan kemas dengan senjata tukul besi.

“Selepas mengaut beberapa barang kemas, kedua-dua suspek terus keluar dan melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan premis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, premis yang dijalankan sebuah keluarga itu tidak mempunyai pengawal keselamatan dan tidak memasang kamera litar tertutup.

“Ketika kejadian, tiada pekerja dan pelanggan berada di dalam premis dan kedua-dua mangsa tidak dicederakan suspek.

“Siasatan sedang dijalankan dan kita akan mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

Saiful Azly berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 397 dan 395 Kanun Keseksaan. – SinarHarian