Untung Suku Kedua POH KONG Turun Kepada RM12.3 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Keuntungan pracukai Poh Kong Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari, 2013 turun kepada RM12.3 juta berbanding RM17.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehannya juga turun kepada RM197.9 juta berbanding RM202.4 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan sesaham asas syarikat itu turun kepada 2.22 sen berbanding 3.03 sen, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Peruncit barang-barang kemas itu berkata kerugian keuntungan pracukai pada sukuan semasa sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan perolehan dan turun naik harga emas yang menghasilkan margin keuntungan yang kecil daripada perolehan emas.

Kerugian perolehan Poh Kong juga disumbangkan oleh kejatuhan permintaan produk pelaburan emas seperti kepingan emas dan wafer pada sukuan yang dikaji.

Bagi tahun kewangan semasa, kumpulan itu berkata ia akan terus memacu untuk membina agihan pasaran dengan meningkatkan dan membezakan tawaran produknya kepada segmen pasaran yang disasarkan.

Katanya Poh Kong sedang menilai secara aktif pelbagai prakarsa dan peluang untuk menarik pelanggan baharu melalui pengenalan reka bentuk produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan pelanggan. – BERNAMA

Risiko Si Pelebur Emas

MELIHAT kedai emas berderetan di bahu jalan, terlintas di fikiran tentu saja mengenai penjualan emas siap berbentuk rantai, anting-anting, cincin mahupun gelang. Namun, pernahkah anda terfikir mengenai bentuk asal emas itu atau bagaimana proses perhiasan yang menjadi igauan setiap wanita itu, dijalankan?

Daripada seketul emas berbentuk bar, jongkong atau apa sahaja material asasnya, ia pasti melalui satu proses sehingga terbentuk menjadi ukiran yang sangat cantik dan tidak jemu mata memandang.

Bagi Mohd Uzi Che Hussin, 32, jika orang lain memilih menjalankan perniagaan menjual emas siap, dia memilih untuk menjalankan perniagaan membeli dan melebur emas.

Dua kerja satu masa

Menceritakan pembabitan awal dalam dunia peleburan emas, Uzi berkata, ia bermula secara tidak sengaja ketika dia berumur 23 tahun.

Pada masa itu, dia bekerja di bahagian membuat pastri sebuah pasar raya. Pada masa sama, dia membuat kerja tambahan untuk menambah duit poket, iaitu menggantung kain rentang dan poster dengan upah RM50 untuk 1,000 keping poster.

“Gaji kerja pasar raya ketika itu cuma RM700. Duduk kat Kuala Lumpur mana cukup. Jadi saya buat kerja lain. Kebetulan waktu itu poster yang saya tampal berkaitan iklan jual beli emas terpakai.

“Dari situ saya terfikir, kenapa aku tak gantung poster bisnes sendiri,” katanya yang seterusnya memulakan langkah menampal poster bisnes sendiri dan mengedar risalah dari rumah ke rumah.

Menimba pengalaman daripada seorang tauke berbangsa Melayu, Uzi akhirnya berkeyakinan membuka kedai sendiri dengan memilih Puchong sebagai tapak mula perniagaan.

Kenal emas dengan bau

“Saya hanya belajar cara melebur emas melalui pemerhatian. Walaupun sedar ilmu belum penuh di dada dan hanya tengok cara tauke buat, saya tak ada masalah untuk belajar dengan cepat.

“Dengan modal simpanan sendiri, saya buka kedai,” katanya, yang turut memiliki dua lagi kedai UnA Enterprise di Shah Alam dan Sandakan, Sabah.

Kerjaya sebagai pelebur emas, meskipun berisiko namun, memberi kepuasan yang tidak terhingga buat Uzi apatah lagi melalui perniagaan ini dia mampu mengenal pasti ketulenan emas walau hanya dengan menghidu objek itu.

Anak jati Tanah Merah, Kelantan ini berkata, perkara penting dalam bidang melebur emas ini adalah bijak meneliti.

“Jika anda betul-betul berminat mahu menceburi bidang ini, belajar bagaimana mengenal emas. Pandang sahaja kita dah boleh tahu ia jenis apa. Jenis emas yang paling tinggi kualitinya adalah 999.

“Namun, emas yang popular dalam kalangan pembeli pada masa kini adalah 916, iaitu emas 22 karat. Nama atau kategori emas itu melambangkan peratusan emas atau ketulenan sesuatu emas. Contoh 916 bermaksud 91.6 peratus emas,” katanya.

Jangan hidu asap

Sewaktu penulis dibawa ke ruang belakang kedai Uzi, kelihatan beberapa peralatan untuk melebur emas tersusun elok di ruang separa besar bangunan kedai itu.

Uzi mengenakan pakaian lengkap termasuk ‘goggles’ dan topeng penutup hidung sebelum membuat demonstrasi melebur emas kepada penulis dan jurugambar.

Menurut Uzi, perkara paling berisiko dalam kerjaya ini adalah ketika memanaskan emas dalam bahan kimia tertentu yang dimasak di atas dapur. Tidak sampai setengah minit emas dipanaskan, kelihatan asap berwarna oren pekat berkepul-kepul keluar diiringi bau yang amat menusuk hidung.

“Sebab itu kena pakai goggles (sebagai pelindung mata). Bau asap ini terlalu perit sampaikan boleh sakit dada kalau tidak berhati-hati,” katanya sekadar berdemo sambil segera menutup api dapur.

Uzi membeli emas terpakai daripada orang ramai, sebelum emas berbentuk rantai, gelang, cincin mahu pun anting-anting itu dilebur semula dan dibentuk menjadi bar. Bar emas itu kemudian akan dijual semula di kilang sebelum dibentuk dan dijual semula kepada pembeli.

Ditanya mengenai pembuatan emas siap, Uzi menjelaskan untuk membentuk emas mengikut kehendak pelanggan, dia perlu memiliki acuan berkaitan. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai acuan itu yang kebanyakannya dimiliki syarikat tertentu atas alasan tertentu. – sinarharian

Skim Pelaburan Emas : SPRM gagal peroleh perintah tahan reman 4 lelaki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal memperoleh perintah tahanan reman terhadap empat lelaki, termasuk seorang bekas Pengarah Bank Negara, berhubung siasatan kes membabitkan sebuah syarikat skim pelaburan emas.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply menolak permohonan bagi perintah tahanan reman selama 10 hari itu, yang dipohon mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, selepas memutuskan alasan yang dikemuka pegawai penyiasat tidak kukuh.

Sehubungan itu, SPRM hanya boleh menahan suspek sehingga 7 malam ini untuk siasatan.

Tiga suspek dipercayai merupakan pengarah syarikat skim pelaburan emas berkenaan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan merasuah seorang pegawai bank negara sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu. – Bernama

5 lelaki bersenjata pistol rompak kedai emas

MUAR 19 Mac – Sekumpulan lima penjenayah mengambil masa hanya empat minit untuk melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Pekan Bukit Pasir, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu, kesemua suspek yang memakai topeng serta bersenjatakan dua pucuk pistol meluru masuk ke dalam kedai tersebut sebelum memecahkan cermin pameran kedai emas tersebut.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, berusia dalam lingkungan 40-an berkata, ketika kejadian, hanya terdapat anak pemilik kedai tersebut dan tiada pelanggan di dalam premis berkenaan.

Menurutnya, dia sedang minum di sebuah kedai kopi berhadapan kedai itu selepas mengambil barangan kemas, melihat kesemua perompak itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kedai.

“Semasa kejadian, seorang suspek menunggu dalam kereta, seorang lagi menunggu di depan kedai manakala tiga yang lain meluru masuk dan merompak kedai terbabit dengan bersenjatakan dua pistol.

“Melihat keadaan itu, anak tauke kedai emas berkenaan melarikan diri mengikut pintu belakang. Tidak dapat dipastikan bangsa apa, tetapi kulit perompak itu agak gelap,” katanya semasa ditemui di tempat kejadian. – UTUSAN

Rompak : Pemilik kedai emas kerugian RM1.5 juta

KOTA BHARU 19 Mac – Hanya dengan membuka dinding papan lapis dan menahannya menggunakan penyapu buruk, beberapa perompak dengan mudah berjaya memasuki sebuah premis menjual berlian dan batu permata lalu melarikan kesemua barang berharga itu yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

Ketiadaan sistem keselamatan di premis berkenaan di Arked Uda di sini termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan bangunan kedai yang usang, ternyata digunakan sepenuhnya oleh perompak berkenaan untuk merompak kedai tersebut, dipercayai malam tadi.

Pemilik kedai berkenaan, Rogayah Awang Teh, 70, ketika ditemui berkata, dia hanya menyedari premisnya dirompak ketika hendak memulakan perniagaan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

“Saya terkejut apabila tengok dalam kedai berselerak dan semua barang berlian dan batu permata hilang termasuk yang diletakkan di dalam peti besi.

“Mereka masuk ikut dinding dari kedai sebelah yang sudah lama tutup. Saya sudah lama berniaga di sini tetapi tidak pernah berlaku perkara macam ini, ini pertama kali,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN

Dinar Emas Mampu Atasi Krisis Ekonomi

Penggunaan dinar emas dan dirham perak diyakini mampu menjadi penyelesaian kepada krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang.

Ketua Jabatan Kewangan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, penggunaan wang kertas sebenarnya memudahkan serta menggalakkan spekulasi dan manipulasi mata wang kerana ia tidak memiliki nilai seperti dinar emas.

“Sebenarnya penggunaan dinar emas dan dirham perak dalam perniagaan bukan sesuatu yang baru kepada dunia kerana ia digunakan sejak zaman dahulu lagi.

“Ini kerana dinar emas dan dirham perak merupakan wang sebenar yang merangkumi prinsip keadilan, ekonomi dan kestabilan serta mapan. Ia bukan sahaja baik untuk negara Islam tetapi juga kepada semua negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi forum bertajuk ‘Emas dan Perak-Mata Wang Baru Dalam Perdagangan dan Pelaburan’ pada Forum Halal Sedunia (WHF) 2012.

Ahamed Kameel berkata, masalah sistem kewangan sekarang adalah jumlah wang kertas yang dicetak sebenarnya lebih banyak berbanding pertumbuhan ekonomi sebenar dunia.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku inflasi dan krisis ekonomi yang bukan sahaja memberi kesan kepada negara, tetapi juga kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu Pengasas World Islamic Mint, Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo pula menegaskan, sudah sampai masanya umat Islam kembali kepada penggunaan sistem kewangan sebenar dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak seperti yang dituntut dalam Islam.

“Saya yakin jika diberi pilihan, 99 peratus penduduk dunia akan memilih untuk menggunakan mata wang emas dan perak kerana ia lebih bernilai berbanding kertas.

“Sekiranya semua negara Islam bersatu dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam setiap urus niaga, ekonomi umat Islam akan menjadi lebih kukuh serta tidak lagi mudah dimanipulasi,” katanya.

Umar turut mempersoalkan sesetengah negara Islam yang terlalu takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam melaksanakan sistem kewangan berasaskan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaga negara masing-masing.

“Sampai bila kita mahu terus ditipu oleh mereka yang sekarang membeli emas, minyak dan gas daripada negara Islam dengan hanya menggunakan kertas-kertas tidak bernilai,” tegasnya.

Simbah Asid Halang Perompak Barang Kemas

MELAKA : Seorang pekerja kedai emas bertindak nekad apabila menyimbah asid ke atas seorang daripada empat penjenayah bersenjata yang merompak premis berkenaan di Taman Seri Duyong Seksyen 2, di sini, kira-kira 11.30 pagi ini.

Tindakan berani pekerja itu mengakibatkan seorang daripada penjenayah itu cedera manakala seorang lagi melepaskan tembakan sebelum keempat-empat mereka melarikan diri dengan menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC.

Difahamkan, dalam kejadian itu, empat penjenayah berkenaan hanya mengambil kira-kira lima minit untuk merompak sejumlah barangan kemas yang dipamerkan sebelum melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika kejadian terdapat dua pelanggan wanita di premis berkenaan selain pekerja kedai terbabit.

“Keempat-empat suspek dianggarkan berusia bawah 30-an memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke premis ini dengan membawa empat tukul besi dan satu senjata api.”Mereka mengarahkan pelanggan keluar dari premis itu sebelum memecahkan cermin pameran dan menggeledah barang kemas di dalamnya,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama seorang pekerja kedai itu menyimbah asid yang digunakan untuk mencuci barang kemas ke atas seorang daripada suspek. – Metro

Lady Gaga Guna Kerusi Roda Bersalut Emas

LOS ANGELES – Diva pop Lady Gaga nyata tidak mensia-siakan kekayaannya apabila menggunakan sebuah kerusi roda bersalut emas.

Penyanyi lagu Poker Face berusia 26 tahun itu menggunakan kerusi roda emas 24 karat itu selepas menjalani pembedahan pinggul.

Kerusi roda itu dilengkapi tempat duduk kulit dan kanopi mudah alih, juga daripada kulit serta boleh diturunkan jika penyanyi itu ingin baring.

Gaga meminta Ken Borochov dari syarikat pembuat barang berjenama Modekai untuk menghasilkan kerusi roda unik itu.

“Saya gembira dapat mencipta apa yang saya gelar ‘The Chariot’ – kerusi roda sesuai untuk seorang permaisuri,” kata Borochov.

Gaga menjalani pembedahan bulan lalu untuk merawat pinggulnya yang cedera, menyebabkan dia membatalkan konsert jelajahan dunianya.- The Sun

Bekas CEO Kerugian RM1 Juta

SHAH ALAM – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat serta isteri kehilangan barang-barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta apabila rumah teres dua tingkat mereka di Seksyen 4, di sini dipecah masuk, petang semalam.

Kejadian itu berlaku ketika Othman Ismail, 63, isterinya, Rohani Abdul Ghani, 54, pergi ke majlis kenduri kahwin di Klang kira-kira jam 2.30 petang.

Anak dan menantu mereka yang tinggal di rumah teres bersebelahan juga tiada di rumah ketika itu.

Othman berkata, sebaik sahaja mereka pulang kira-kira jam 5 petang, isteri beliau mendapati pakaian dan barang-barang lain di bilik tidur utama dalam keadaan berselerak.

Mereka terus memeriksa bilik-bilik lain dan dapati almari-almari digeledah dan pakaian berselerak di lantai.

Mereka terkejut mendapati banyak barang kemas, semuanya bernilai kira-kira RM1 juta lesap.

Antara yang hilang ialah cincin yang berharga kira-kira RM70,000 sebentuk, seutas jam bernilai kira-kira RM30,000 dan barang-barang emas serta berlian.

Rohani menganggarkan nilai barang-barang kemasnya yang lesap sekitar RM800,000.

Barang-barang kemas milik anak-anak mereka yang hilang belum dapat dipastikan.

Penjenayah dipercayai memasuki rumah itu dengan mengumpil selak pintu belakang rumah anak mereka, sebelum memasuki rumah mereka.

Rohani berkata, mereka biasanya membawa barang-barang kemas bersama apabila balik ke kampung di pantai timur.

“Sebelum keluar tadi pun saya teringat mengenai barang-barang kemas itu, tetapi tidak membawa sekali kerana menyangka kami tidak keluar lama,” kata Rohani.

Mereka membuat laporan di balai polis di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob memberitahu, kes tersebut masih dalam siasatan. – SinarHarian

Bekas Pekerja Syarikat Barang Kemas Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR 12 Mac – Seorang bekas pekerja syarikat pembuatan barangan kemas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan batu permata berlian milik syarikat itu dua tahun lepas.

Hew Sok Chan, 28, yang ketika itu penolong pengurus bahagian perkhidmatan produk syarikat Tomei Gold and Jewellery Manufacturing Sdn. Bhd., didakwa melakukan pecah amanah melibatkan 5,776 biji berlian asli bernilai RM695,794.18 dengan menyalahgunakannya untuk kegunaan sendiri.

Hew didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Tomei Consolidated Bhd., beralamat di Projek Jaya Industrial Estate, Batu 6, Jalan Klang Lama, di sini pada 6 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat, dan boleh dikenakan denda.

Hew juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memalsukan akaun majikannya dalam rekod Item Adjustment Listing dengan niat hendak mengubah sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM657,587.22.

Bagi pertuduhan itu, Hew didakwa mengikut Seksyen 474(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne ak Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam S. Prakash memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya itu menanggung ibu dan adik-beradiknya.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Dia membayar jaminan itu. – BERNAMA