Bank Negara Mohon Gantung Perintah Pelepasan Harta Pengarah Genneva

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggantung pelaksanaan perintah pelepasan harta tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti kesemua hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari BNM, Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili pembelaan.

Dalam penghakimannya Rozana berkata beliau menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah bagi membenarkan penggantungan pelaksanaan perintah itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan.

Pada 16 Mei lalu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Ketiga-tiga pengarah itu, Ng Poh Weng, 63, berdepan 93 pertuduhan, Marcus Yee Yuen Seng, 61, pula menghadapi 40 pertuduhan manakala Chin Wai Leong, 37, berdepan 61 pertuduhan dan seorang bekas pengarahnya Liew Chee Wah, 59, menghadapi 30 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff manakala Liew diwakili peguam Keppy Wong. — Bernama

Aset Syarikat Pelaburan Emas, Genneva Kekal Beku

KUALA LUMPUR 21 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan aset milik syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB) kekal dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga selesai rayuan kes terhadap beberapa pengarah syarikat itu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah keputusan mahkamah pada minggu lalu.

Tertuduh-tertuduh terdiri daripada tiga pengarah GSB iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan seorang bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Pada 16 Mei lalu, Rozana melepas dan membebaskan mereka daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan lebih RM100 juta.

Beliau memutuskan demikian selepas mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehari selepas itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Rozana membenarkan permohonan pendakwaan untuk penggantungan perintah tersebut dengan menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili oleh pegawai pendakwa dari BNM, Alvin Ong dan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong sementara S.I. Rajah hadir sebagai peguam pemerhati mewakili tiga pelabur.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama. Utusan

3 Ketul Emas 1.6Kg Milik Lembaga Wakaf Hindu P.Pinang Hilang

PULAU PINANG 20 Mei – Jika sebelum ini wang dari tabung Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hilang, kini badan itu diselubungi ‘misteri’ lagi.

Kali ini melibatkan kehilangan tiga ketul emas seberat 1.6 kilogram bernilai keseluruhan RM250,000 yang disimpan di pejabat lembaga berkenaan sejak Disember lalu tetapi hanya didedahkan hari ini.

Setiausaha PHEB, P. Selva berkata, kejadian itu disedari selepas beliau membuat semakan inventori di pejabatnya yang terletak di tingkat 30, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 26 Disember lalu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada sekitar pukul 9.30 malam pada hari berkenaan, saya mendapati ada keraguan mengenai jumlah ketulan emas yang disimpan berbanding dalam rekod,” katanya di sini hari ini.

Menurut Selva, beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada Jumaat lalu selepas bermesyuarat dengan Pengerusi PHEB yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan ahli-ahli lain.

Ditanya mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan kes berkenaan yang berkaitan dengan kepentingan penganut agama Hindu di negeri ini, Selva memberitahu, pihaknya mahu menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu.

Kami mula menyiasat selepas kehilangan emas berkenaan sehingga penghujung April lalu namun lembaga tidak bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan,” ujarnya.

Difahamkan terdapat lebih 10 ketul emas dan barangan berharga lain yang disumbangkan pelbagai pihak disimpan di situ.

Sebelum ini, PHEB dikejutkan dengan kes kecurian wang tabung sebanyak RM10,395 dan selepas itu berlaku kes sama membabitkan nilai RM68,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Permintaan Emas Di China Cecah Rekod Tinggi Dalam Suku-1 2013

BEIJING, Mei – Penurunan ketara harga emas pada April lalu membawa kepada peningkatan permintaan di China yang mencecah rekod tinggi 60.3 bilion yuan (US$9.8 bilion) pada suku pertama 2013.

China Gold Association berkata jualan emas di negara itu meningkat 26 peratus tahun ke tahun bagi paras rekod tinggi baharu.

Semasa tempoh tiga bulan pertama tahun ini, 320.54 tan metrik emas dijual di China berbanding sejumlah 832.18 tan metrik yang dijual sepanjang tahun lepas, demikian lapor gerbang berita kewangan dan perniagaan China, Caixin Online.

Permintaan emas di China catat tempoh kemuncaknya semasa Chinese Spring Festival pada Februari, dengan barang kemas, bar dan syiling menyumbang 95 peratus daripada jumlah jualan.

“Penggunaan syiling berada di kedudukan teratas, dengan jualan meningkat 137 peratus berbanding suku pertama tahun lepas,” kata persatuan itu.-BERNAMA

Pelaburan / Simpanan Emas Semakin Diminati

Kejatuhan harga emas mendadak pada 15 April yang lalu telah menyebabkan ramai orang berpusu-pusu membeli emas. Tak kurang juga yang memborong emas sebanyak yang boleh. Siapa yang tak nak rebut peluang yang ada depan mata untuk mendapatkan emas dengan harga yang rendah, kan?. Kerana, semua orang pun tahu, emas mahal harganya.

Lihat saja graf emas diatas, dalam tempoh setahun ni. Kita boleh nampak, emas menunjukkan trend menurun!. Ya, harga emas sedang rendah sekarang ni. Sudah semestinya peminat-peminat emas merebut peluang yang ada untuk menambah koleksi emas masing-masing.

Kelebihan emas kerana ianya kalis inflasi berbanding wang kertas yang semakin lama semakin rendah nilainya. Manakala emas pula semakin meningkat harganya. Harga emas memang ada turun naiknya. Tetapi untuk jangka masa panjang, emas menunjukkan trend menaik.

Cuma sekarang ini, pada tahun 2013 ini, harga emas dalam trend menurun. Tapi, tidak mustahil harga emas boleh naik semula. Ramai orang suka menyimpan wang di dalam bank. Sedangkan wang hari demi hari semakin menyusut nilainya.

Sekarang ni, dah ramai yang mula sedar tentang kepentingan menyimpan emas dan emas fizikal menjadi pilihan! macamcool.my..

Jurujual Dipenjara, Denda Curi Rantai & Loket Guru

KUALA TERENGGANU – Seorang jurujual bukan sahaja tidak sempat merasa ‘habuan’ hasil mencuri seutas rantai dan loket emas milik seorang guru muzik, malah dia juga terpaksa meringkuk dalam penjara selama tiga bulan dan dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Azwan Zolkifli, 20, dari Puchong, Selangor, turut diperintahkan agar dikenakan tiga bulan penjara tambahan jika gagal menjelaskan denda.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas dia mengaku bersalah mencuri seutas rantai leher berserta loket emas milik Hartini Othman, di dalam makmal komputer Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, di sini, kira-kira jam 11.50 pagi, 2 April lalu.

Muhammad Azwan mengaku bersalah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum kejadian, mangsa keluar minum pagi dan meletakkan beg tangan di atas meja di dalam bilik makmal komputer di tingkat dua bangunan sekolah itu.

Bagaimanapun, lima minit kemudian, mangsa kembali semula sebelum mendapati zip beg tangannya telah terbuka dan selepas membuat pemeriksaan, dia dapati rantai leher berserta loket telah hilang.

Hasil siasatan, Muhammad Azwan yang berjaya ditangkap sebelum sempat melarikan diri itu menyorokkan barang kemas berkenaan di rak buku bersebelahan dengan pejabat sekolah.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan hasrat seorang jurujual melarikan seutas rantai dan loket bernilai RM6,000 milik seorang guru muzik tidak kesampaian apabila dia dicekup sejurus perbuatannya terbongkar, dalam kejadian di sebuah sekolah rendah di sini.

Suspek, berusia 20 tahun dipercayai telah datang ke sekolah berkenaan kononnya untuk menjual naskhah Al-Quran digital kepada guru sekolah. -Sinarharian

12 Maut Terowong Lombong Emas Terbesar Runtuh

TIMIKA – Seramai 12 pekerja disahkan mati selepas terowong sebuah lombong di timur Indonesia runtuh dengan 16 yang lain masih hilang, kata pihak pengurusan lombong dari Amerika Syarikat yang memiliki lombong berkenaan.

Perkembangan tersebut disahkan selepas lima hari kemalangan itu berlaku.

Pasukan penyelamat kelmarin mengeluarkan satu lagi mayat dan menemui enam mayat pekerja lombong tersebut tetapi masih belum dapat mengeluarkan mangsa.

Firma Freeport-McMoRan cawangan Indonesia menyatakan, 10 pekerja diselamatkan hidup-hidup susulan nahas itu pada Selasa lepas.

Lombong Grasberg itu yang terletak di pergunungan wilayah Papua merupakan antara lombong emas dan kuprum terbesar di dunia.

Terowong runtuh itu merupakan sebahagian daripada fasiliti latihan bawah tanah dan bukan kawasan perlombongan sebenar. – AFP

Cyprus Tidak Akan Jual Rizab Emas

Cyprus tidak akan menjual rizab emasnya sekiranya ia berjaya mencari alternatif lain untuk melunaskan hutangnya yang berjumlah 10 bilion Euro.

Menurut Menteri Kewangan Cyprus, ini termasuk mendapatkan sumber pinjaman dari negara zon Euro lain dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk tempoh empat tahun akan datang.

Harris Georgiades bagaimanapun berkata Cyprus mungkin perlu menjual rizab minyak aslinya untuk mengumpul dana dengan cepat.

Beliau bagaimanapun berkata perancangan rapi perlu dilakukan bagi memastikan sumber tenaga negara itu diuruskan dengan baik ketika krisis.

Harga Emas Semasa Turun – May 2013

Harga Emas Semasa turun lagi pada 17 may 2013 jumaat malam. mencecah USD1360/oz.

Penurunan harga emas mentah ini akan menjadi kan harga di kedai emas fizikal juga turun agak drastik juga.

Macam hari ni emas 999 30gram boleh didapati pada harga rm149/gram siap semua , manakala harga emas 916 boleh didapati pada harga rm145/gram .

Sangat jauh berbeza dengan harga-harga sebelum ini .

Ada sesetengah kedai emas akan jual pada harga spot iaitu rm136/gram harini. tetapi mereka akan markup pula pada upah tukang. menjadikan harga emasnya akan lebih tinggi apabila ia pindah milik kepada customer.

Namun begitu banyak kedai-kedai emas yang jual pada harga spot dengan sedikit upah kebanyakannya kehabisan stok.

Ini adalah fenomena biasa anda akan lihat di kedai-kedai emas pada ketika ini.

Orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas terdekat untuk melihat design terkini yang menambat hati lebih-lebih lagi dengan harga emas semasa yang sangat rendah ketika ini.

Emas bukan lagi untuk orang kaya tetapi untuk mereka yang sedar akan kepentingannya dan ketahanannya dalam menyimpan nilai duit kertas anda.

Ya betul, sekarang harga emas terkini turun begitu mendadak, tetapi ia tidak turun selalu… turun sikit tapi naiknya banyak kali.

Anda masih memilih meyimpan duit kertas ??? fikir-fikirkan.

Inflasi Semakin Parah Dalam Sistem Kapitalis

Laporan daripada Lloyds TSM Private Banking menyatakan bahawa harga sebuku roti pada hari ini telah meningkat daripada 0.37 pence (RM1.70) kepada 1.24 pound British (kira-kira RM5.80), manakala harga 100g kopi telah naik 176% daripada GBP0.97 (RM4.50) kepada GBP 2.68 (RM12.60).

Harga rumah telah menyaksikan kenaikan yang paling tinggi iaitu sebanyak enam kali ganda , sementara harga emas satu troy ounce (kira-kira 31.1gram) menyaksikan kenaikan sebanyak 439%. Kesemua ini berlaku dalam tempoh masa 30 tahun, daripada tahun 1982 sehingga sekarang. Ini bermakna bahawa dalam jangkamasa selama 30 tahun, nilai duit Great Britain Pound (GBP) telah mengalami penurunan sebanyak dua pertiga berbanding dahulu, dengan kata lain GBP sekarang hanya mempunyai 33% kuasa membeli jika dibandingkan dengan 30 tahun dahulu. Llyods TSB juga menjangkakan bahawa GBP100 sekarang akan mempunyai nilai yang sama seperti GBP 229 dalam masa 30 tahun yang akan datang [1].

Dari segi sejarah, sandaran matawang kepada emas telah ditamatkan apabila berakhirnya perjanjian Bretton Woods pada tahun 1971. Dari tahun 1945 sehingga 1971, 1 troy ounce emas (bersamaan 31.1 gram emas) boleh ditukarkan dengan 35 US dollar (USD35). USD pada masa itu masih bersandarkan kepada emas sebelum tahun 1971. Pada tahun 1971, Amerika Syarikat telah memansuhkan sandaran USD kepada emas lalu USD telah menjadi fiat currency atau matawang kertas yang tidak disandarkan kepada emas. Selepas tahun 1971, banyak matawang di negara-negara lain di dunia telah menjadi floating currency (matawang terapung) kerana tidak lagi disandarkan kepada USD yang asal (sebelum 1971) dan juga emas. Nilai matawang bergantung kepada turun-naik harga jual-beli pasaran di Foreign Exchange market (Forex) atau pasaran matawang. Terdapat juga matawang beberapa negara yang mana kadarnya diikat dengan USD. Keadaan sebegini (floating currency) telah menjadikan matawang terdedah kepada serangan penyangak matawang (currency speculators) sepertimana yang pernah berlaku kepada negara-negara Asia Tenggara dan juga Timur Jauh seperti Korea dan Jepun. Ini telah menyebabkan Malaysia bertindak mengikat kadar ringgitnya pada ketika itu menjadi 3.80 untuk tukaran USD1.00 bagi mengurangkan penurunan nilai ringgit di pasaran antarabangsa. Argentina yang mengalami krisis matawang pada tahun 1999-2002 juga telah mengambil langkah yang sama iaitu mengikat matawang peso menjadi tetap untuk mengurangkan penurunan nilai matawang tersebut.

Ramai ahli ekonomi (walaupun tidak kesemuanya), masing-masing bersetuju bahawa kadar inflasi termasuk inflasi tegar (hyperinflation) adalah disebabkan oleh kadar pertambahan matawang untuk mengimbangi kadar pertambahan ekonomi. Apabila kadar permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka harga barangan tersebut juga bertambah. Jadi bank pusat akan mencetak lebih banyak matawang untuk mengimbangi kenaikan harga dan bank pusat boleh berbuat demikian sekiranya matawang tersebut tidak bersandar kepada emas. Akan tetapi, dengan berbuat demikian, setiap unit matawang yang dicetak akan mengalami penyusutan nilai. Kuasa membeli setiap matawang akan menjadi berkurangan di mana kuantiti barang yang dibeli dengan setiap unit matawang menjadi berkurangan. Jadi inflasi juga bermakna kadar pertambahan matawang menjadi lebih besar jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Secara umumnya, ahli ekonomi merujuk inflasi sebagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan walaupun ia juga dikenali sebagai penurunan nilai matawang.

Sekiranya matawang negara adalah bersandar kepada emas, walaupun jika berlaku kenaikan permintaan terhadap barangan, bank pusat tidak boleh mencetak tambahan matawang. Mencetak pertambahan matawang akan menjadikan sebahagian daripada jumlah matawang adalah tidak lagi bersandarkan kepada emas. Bank pusat hanya boleh mencetak tambahan matawang jika sekiranya bank pusat telah mendapat tambahan emas dalam stok simpanan emasnya di mana jumlah setiap unit matawang yang dicetak mestilah sama nilainya dengan jumlah emas yang ada dalam stok simpanan bank pusat.

Secara aliran ringkasnya:
Apabila permintaan terhadap barangan bertambah → Berlaku kenaikan harga barangan → Bank pusat mencetak lebih banyak matawang → Nilai matawang menyusut → Inflasi berlaku dan meningkat → Berlaku krisis ekonomi.
Musibah yang berlaku ini adalah ibarat kesan domino. Ia bukan sahaja menghancurkan sistem ekonomi negara, malah ia juga meranapkan seluruh ekonomi dunia yang berurusan dengannya.

Emas adalah suatu logam yang mana jumlahnya adalah tetap di muka bumi. Ia bukan seperti mawatang kertas fiat yang boleh dicetak sewenang-wenangnya oleh bank pusat. Emas yang baru tidak boleh dicipta oleh ahli sains daripada mana-mana bahan lain seperti besi, tembaga dan sebagainya. Sekiranya permintaan terhadap sesuatu barangan itu bertambah, maka ia juga akan menyebabkan permintaan terhadap emas juga bertambah. Dengan kata lain, satu unit emas akan mempunyai nilai yang bertambah berbanding dahulu dan satu unit emas akan mempunyai kuasa membeli yang bertambah berbanding dahulu. Itulah sebabnya apabila harga rumah naik sehingga enam kali ganda, harga emas juga naik mencecah 440% [1]. Walaupun banyak kekayaan telah dijana pada hari ini berbanding 30 tahun yang lalu, tetapi kos kehidupan masih bertambah dan kuasa membeli matawang kertas menjadi semakin berkurangan.

Menurut Lawrence H. White, seorang Profesor Sejarah Ekonomi, ia mengatakan bahawa sistem ekonomi yang bersandar kepada emas jarang mengalami inflasi melebihi 2% setahun [2]. Manakala Peter Bernholz pula berkata bahawa kadar inflasi yang sangat besar telah berlaku pada kurun ke-20 di negara-negara di mana sandaran kepada wang logam (emas) telah ditamatkan [3].

Dalam Daulah Islamiyyah, sistem matawang adalah bersandar kepada dinar dan dirham (emas dan perak) di mana 1 dinar adalah bersamaan dengan 4.25 gram emas dan 1 dirham adalah bersamaan dengan 2.975 gram perak. Melalui matawang ini yang berjalan bersama-sama sistem ekonomi Islam yang kaffah, Daulah Khilafah terdahulu telah berjaya memberi 1001 kesejahteraan kepada seluruh masyarakat baik dalam negara mahupun di serata dunia, serta berupaya mendominasi sistem ekonomi dunia agar tunduk kepada kehendak hukum syarak.

Rasulullah saw telah pun memberi khabar bahawa sistem matawang fiat yang digunakan pada hari ini bakal menghadapi satu zaman di mana ia tidak lagi mempunyai nilai sama sekali untuk digunakan oleh manusia. Pada waktu itu, hanya matawang yang bersandarkan emas dan perak iaitu dinar dan dirham sahaja yang dapat menyelamatkan umat Islam secara khususnya, dan umat manusia secara umumnya daripada bencana inflasi yang sedang menghampiri kemuncaknya akibat daripada perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Daripada Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, “ Akan tiba satu zaman di mana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia, maka simpanlah dinar dan dirham (yakni emas dan perak)”. [Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal].

Wallahua’lam.

Rujukan:
[1] uk.finance.yahoo.com
[2] econlib.org/library/Enc/Inflation.html
[3] Bernholz, Peter. Monetary Regimes and Inflation. Cheltenham, U.K.: Edward Elgar, 2003.