Al Rajhi Komited Tingkat 30% Transaksi Jualan Emas

Kuala Lumpur: Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd (Al Rajhi), komited untuk mencapai peningkatan transaksi jualan produk emas yang diperkenalkan dua tahun lalu pada kadar 30 peratus berbanding RM100 juta yang dicatatkan sebelum ini.

Pengarah Bahagian Perbankan Runcitnya Mohd Khalil Alkhushairi berkata, menerusi produk Real Gold Real Value, pihaknya menyasarkan peningkatan transaksi jualan emas di Al Rajhi secara konservatif tahun ini berbanding 2012.

Beliau berkata, Al Rajhi memperkenalkan produk itu berikutan emas boleh diguna pakai sebagai pelindung nilai dan juga diiktiraf untuk medium tukaran serta mata wang terutama ketika ketidakstabilan politik dan ekonomi.

“Sambutan produk emas di Al Rajhi Bank amat memuaskan dan ia bukan saja mendapat sambutan di kalangan masyarakat Malaysia, malah juga dari warga asing.

“Kami yakin dengan permintaan terhadap jongkong emas yang semakin berkembang ini, secara tidak langsung dapat menambah keuntungan kompetitif dan pertumbuhan positif bank,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, produk emas juga sejajar dengan strategi pemerolehan Perbankan Premium di Al Rajhi dan kelebihan yang ditampilkan adalah menerusi penekanan dalam ketelusan aspek syariah.

Mohd Khalil berkata, pelanggan emas Al Rajhi juga tidak dikenakan kos tersembunyi mahupun faedah riba. Malah, transaksi jual beli produk emas berlandaskan syarikat syariah yang paling dititik beratkan oleh Al Rajhi Bank.

“Setiap transaksi jual beli emas di Al Rajhi mesti dilakukan secara serentak di mana pelabur akan menerima emas fizikal pada masa sama ketika membuat pembayaran dan produk emas yang ditawarkan tersedia bagi memenuhi pelbagai kehendak serta gaya hidup semua lapisan masyarakat dari serendah 10 gram ke satu kilogram,” katanya.

Sempena pelancaran inisiatif ‘Hijrah Bersama Al Rajhi’, pelanggan yang membeli emas fizikal berpeluang memenangi pakej haji dan pelbagai lagi hadiah menarik. Kempen bermula April hingga 31 Disember ini akan menjadikan pembelian emas fizikal lebih berbaloi kepada pelanggan. HMetro

Curi Emas IBU : Lelaki Dihukum Penjara 8 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini selepas mengaku bersalah mencuri rantai emas dan loket milik ibunya, April lepas.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki memerintahkan Muhammad Kamal Maniandy, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 9 April lalu selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah pada Selasa.

Tertuduh didakwa mencuri seutas rantai emas bersama loket yang kesemuanya bernilai RM2,500 milik N. Navamani Devi di rumah No.114E, Indian Settlement, Jalan 13, Batu Caves, Gombak di sini pada 6 petang 7 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 7 April lepas, ibunya mendapati rantai emas dan loket yang disimpan di dalam almari telah hilang.

Wanita itu mengesyaki anaknya mencuri selepas menjumpai dua resit deposit wang masuk bernilai RM1,400 ke dalam akaun tertuduh yang kemudiannya mengaku mengambil barang kemas itu dan menjualnya di sebuah kedai pajak gadai di Taman Sri Selayang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-BERNAMA

Ar-Rahnu-i RHB Kini Dibuka !

Ar Rahnu-i is an Islamic pawn broking service that allows gold jewellery to be used as a surety against credit. The Bank will retain the gold as collateral and charge for safekeeping service. The gold will be valued at the prevailing market price and the loan amount is up to 70% of the current market value. The safekeeping period is determined and agreed upon by both parties. At the end of the period, the loan must be paid to the Bank and the collateral reclaimed.

Ar Rahnu-i is currently available at the following branches:

RHB Islamic Bank Kubang Kerian branch, Kota Bahru, Kelantan
RHB Islamic Bank Kuala Terengganu branch, Terengganu
RHB Islamic Bank Bangi branch, Selangor
RHB Islamic Bank Sungai Petani branch, Kedah and
RHB Islamic Bank Laman Seri branch, Shah Alam, Selangor

Tauke Rugi RM17,000 Kedai Emas Dirompak, Polis Cedera

ALOR SETAR – Seorang pegawai polis yang sedang bercuti tetap melaksanakan tugasnya menjaga keselamatan awam dengan berusaha menghalang dua perompak yang memecah masuk sebuah kedai emas di Alor Janggus di sini petang kelmarin.

Sungguhpun begitu, beliau cedera di tangan kanan apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang perompak sebelum melarikan diri.

Ketika insiden itu, Ketua Polis Balai Senai, Johor, Inspektor Zuwairi Ramli sedang bercuti dan dalam perjalanan ke Alor Setar bersama keluarga.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ketika sampai di pekan Alor Janggus, pegawai polis itu ternampak dua lelaki keluar dari sebuah kedai emas sambil memegang satu tukul besi dan beg tangan.

“Inspektor Zuwairi mengesyaki berlaku rompakan di kedai itu segera memberhentikan keretanya untuk menangkap suspek. Secara tiba-tiba, seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan dan mengenai tangan kanannya,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Mereka kemudian melepaskan satu lagi tembakan ke udara sebelum merampas kenderaan yang dirempuh itu untuk melarikan diri. Kereta itu dijumpai semula di Taman Anggerik berdekatan sebuah pasar raya di sini, kira-kira jam 6 petang.

“Kita mendapat panggilan telefon daripada seorang pekerja di Plaza Tol Alor Setar Utara yang melihat lelaki yang mencurigakan di tandas.

“Kita menjumpai satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr, satu magazin dan sebutir peluru 9 milimeter dalam tandas itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama dengan sebutir peluru yang dijumpai.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada pistol itu ada kaitan dengan rompakan kedai emas atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Mengenai anggota polis yang terkena tembakan, Ahmad beliau berkata, Zuwairi mengalami kecederaan pada tapak tangan sebelah kanan.

“Beliau hanya cedera di tapak tangan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Pegawai polis itu ketika ini masih bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya di sini,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai emas terbabit, Thoo Ah Fatt, 55, berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku terlalu pantas dan boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Sewaktu kejadian, saya berada di ruang niaga. Tiba-tiba dua lelaki memberhentikan motosikal dan terus berlari ke arah kedai saya sambil mengacukan pistol.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya boleh lari selamatkan diri di belakang kedai. Seorang daripadanya kemudian memecahkan cermin tempat barangan kemas menggunakan tukul besi sebelum melarikan pelbagai barangan kemas,” katanya.

Menurutnya, sewaktu suspek cuba melarikan diri, seorang anggota polis yang secara kebetulan lalu di hadapan kedai emas memberhentikan kereta dan memperkenalkan diri selepas melihat tindakan suspek yang mencurigakan.

“Terkejut dengan kehadiran anggota polis itu, seorang suspek melepaskan satu das tembakan dan mengenai tangan anggota polis itu,” katanya yang kerugian kira-kira RM17,000 akibat kejadian itu. SinarHarian

Inspektor Cuba Halang Rompakan Cedera Ditembak

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang bercuti di kampungnya, cedera ketika cuba menggagalkan rompakan di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di Alor Setar semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, dua lelaki yang memakai topi keledar muka penuh bersenjatakan sepucuk pistol dan sebatang besi melepaskan tembakan sehingga mencederakan pegawai polis itu ketika suspek bergegas melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Beliau berkata mangsa yang bertugas di Johor kebetulan lalu di kawasan kedai emas berkenaan dan menyaksikan kejadian rompakan yang menyebabkan kerugian lebih RM18,000 itu.

“Anggota (polis) itu perkenalkan dirinya sebelum seorang suspek bertindak keluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan.

“Anggota itu cedera di tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebagai pesakit luar dan dilaporkan stabil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kedah di Alor Setar malam tadi.

Ahmad berkata motosikal yang ditunggang suspek kemudian terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 150 meter dari tempat kejadian dan seorang daripada mereka melepaskan satu tembakan ke udara sebelum bertindak merampas kenderaan yang dirempuh itu.

Beliau berkata kereta itu kemudian ditemui di Taman Anggerik pada kira-kira 6.25 petang.

Polis menerima maklumat orang awam yang melihat lelaki mencurigakan keluar dari tandas di plaza tol Alor Setar Utara, Jalan Langgar di Alor Setar, katanya.

Ahmad berkata hasil siasatan mendapati satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr Satu Magazin dan sebutir peluru 9 milimeter diletak dalam tandas itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama, dan kita akan menyiasat sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan atau tidak,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, seorang saksi, Nurliza Ali, 20, yang juga pekerja kedai emas berkata dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ meluru ke dalam kedai sebelum mengacu pistol ke arahnya serta meminta beliau diam dan tidak melawan.

Nurliza berkata ketika itu, hanya beliau berada di bahagian depan kedai manakala majikannya yang berusia 51 tahun bersama dua anak berusia 23 dan 11 tahun di pejabat yang terletak di belakang kedai.

“Dia (suspek) suruh saya duduk, dan saya pun duduk bertinggung sebab takut.

Lepas tu, seorang lelaki yang pegang batang besi dibalut kain pecahkan cermin pameran dan ambil pelbagai gelang, cincin emas dan perak, termasuk emas tiruan, secara tergesa-gesa.

“Lepas penggera berbunyi, mereka lari menuju ke arah Alor Janggus dan sayapun berlari mendapatkan majikan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Anak sulung pemilik kedai emas, Thoo Chee Cheng, 23, pula berkata beliau keluar dari pejabat dan menekan butang penggera selepas terdengar bunyi bising di luar dan ternampak kelibat dua lelaki bersenjata.

Beliau berkata sebelum ini, kedai emas yang beroperasi sejak 23 tahun lepas itu tidak pernah dirompak.
– Bernama

Warga Emas Ditipu Hampir RM22,000

KUCHING: Seorang warga emas dari Kampung Sileng Melayu, Lundu mengalami kerugian hampir RM22,000 setelah terpedaya dengan tipu muslihat tiga individu.

Dalam insiden sekitar jam 9 pagi Sabtu itu, pesara berumur 73 tahun berkenaan didatangi suspek-suspek yang terdiri daripada seorang wanita di pasar Lundu yang menawarkan pertolongan kepada mangsa untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Bau.

Mangsa yang bersetuju dengan tawaran tersebut memasuki kereta kumpulan itu namun setibanya di Hospital Bau, suspek menyuruh mangsa mengambil gambar bagi berurusan di pejabat JKM.

Mangsa turut diarahkan untuk menanggalkan kesemua barang kemas sebelum disuruh masuk ke dalam hospital untuk mengambil gambar.

Bagaimanapun, mangsa akhinya menyedari dirinya ditipu tetapi kesemua individu terbabit telah lari meninggalkan mangsa.

Antara barangan yang dilarikan adalah beberapa utas rantai, cincin, gelang, wang tunai dan jumlah kerugian hampir RM22,000.

Mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lelaki dari Sri Aman ditahan di Batu Tujuh, Kota Sentosa, malam kelmarin kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu.

Polis mendekati lelaki yang dalam keadaan mencurigakan itu sekitar jam 10.30 malam dan tidak menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri ketika diminta.

Hasil pemeriksaan ke atas badan lelaki berkenaan menjumpai sebuah anak kunci.

Suspek kemudiannya diminta membawa pihak polis ke motosikal tersebut dan pemeriksaan pada nombor enjin mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.

Motosikal serta anak kunci tersebut dirampas untuk siasatan dan lelaki berkenaan dibawa ke balai bagi membantu siasatan. theborneopost.com

Elak Ditipu Beli Emas

Memiliki barangan perhiasan emas menjadi perkara wajib bagi kaum wanita, malah ia seolah-olah satu kebanggaan buat golongan itu apabila mereka mampu membeli barangan kemas yang mahal dengan rekaan menawan.

Namun kadang-kala ada yang kerugian akibat tertipu apabila membeli barangan emas tidak tulen atau kadar kandungan emas kurang daripada dinyatakan, daripada penjual barangan kemas tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd (Habib), Mohd Zaruddin Mahmud, memberikan beberapa tip kepada pembeli supaya mereka lebih berhati-hati dalam urusan pembelian barangan emas dan mengelak daripada ditipu hingga boleh menyebabkan kerugian wang.

Menurutnya, perkara yang perlu diambil berat adalah membeli barangan emas daripada ejen jualan sah, kedai emas dan syarikat yang mempunyai reputasi dan rekod jual beli emas yang baik.

PELANGGAN bersesak di dalam Habib di Ampang untuk membeli barangan kemas.

Ada orang beli terus daripada ejen yang tidak bertauliah dan tidak tahu sumber barangan kemas itu dari mana, menyebabkan masalah boleh timbul dan tidak dapat dirujuk kepada pengeluar emas itu.

“Pelanggan juga perlu periksa dan lihat kandungan emas dalam barangan kemas, apakah ia sama seperti didakwa penjual, kerana ada kalanya mereka mendakwa emas 916 tetapi bila diperiksa, kandungan emasnya kurang daripada itu.

“Di Habib kami ada alat untuk mengukur dan menunjukkan kandungan emas kepada pelanggan supaya mereka dapat lihat sendiri kandungan emas yang ada.

“Barangan kemas tidak boleh dinilai dengan cara melihat berdasarkan fizikalnya saja. Ini kerana emas 916 boleh datang dalam bermacam warna, tidak semestinya kuning berkilau,” katanya.

Warna emas 916 boleh berubah mengikut jenis kandungan logam yang dicampur di dalamnya tetapi jumlah emasnya ialah 91.6 peratus mana kala emas 999 hanya mempunyai satu warna iaitu kuning kerana ia tulen.

Selain itu, pembeli perlu meminta resit pembelian dan lihat sama ada tertulis kandungan emas misalnya 916 atau 999. Ia penting kerana dapat memastikan emas itu mempunyai kandungan seperti yang didakwa.

Mohd Zaruddin berkata, bagi mereka yang mahu membeli jongkong emas, perlulah memastikan ia disertakan dengan sijilnya sekali bagi memudahkan urusan jualan balik.

Menurutnya, jongkong emas yang paling terkenal dan diterima di seluruh dunia adalah Pamp Swisse yang didatangkan bersama sijil. Namun katanya, biarpun mempunyai sijil, kandungan emas yang ada tetap perlu diperiksa.

“Jika pembeli tidak kisah untuk memeriksa kandungan emas, mereka akan rugi kerana kedai lain tidak mahu menerimanya dan tidak boleh patah semula ke kedai yang menjualnya.

“Di Habib kami menerima semua jenis emas yang dibeli mengikut kandungan emas dalam satu-satu barang. Jika pelanggan nak tukar dengan emas lain atau menjual untuk tunai juga kami terima,” katanya.

Habib yang sudah aktif dalam perniagaan barangan kemas sejak 56 tahun lalu kini mempunyai 30 cawangan di seluruh Malaysia, malah kualiti emas yang dikeluarkan diterima di seluruh dunia.

Malah ketika harga emas turun mendadak baru-baru ini, Habib diserbu selama dua minggu oleh pelanggan yang mahu mendapatkan pelbagai jenis barangan emas, sebaik pintu kedai dibuka untuk urusan jual beli.

Katanya, penurunan harga emas dijangka tidak lama dan ia berlaku disebabkan spekulasi yang dibuat di pasaran emas. Dia percaya harga emas akan meningkat kembali tidak lama lagi.

“Sebenarnya permintaan emas di seluruh dunia sentiasa tinggi dan emas yang ada tidak cukup untuk menampung permintaan itu. Orang ramai sekarang juga mempunyai pengetahuan dalam harga emas dan disebabkan itu, mereka mengambil kesempatan harga rendah untuk membeli barangan emas kerana mereka tahu harga akan naik semula.

“Kini wanita gemar membeli barangan kemas 916 kerana mahu memakai pelaburan mereka. Bank juga mempunyai rizab dalam bentuk jongkong emas membuatkan harga emas pasti akan naik semula,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zaruddin berkata, harga emas dan harga upah tukang emas bagi barangan keluaran Habib adalah sangat kompetitif di pasaran, kerana pihaknya mempunyai prinsip dan kepercayaan kepada perkongsian keuntungan bersama pelanggan.

Ada penjual jongkong emas menetapkan syarat kepada pelanggan bahawa sekiranya plastik yang memegang jongkong dibuka, harganya akan jatuh sehingga 25 peratus namun Mohd Zaruddin menepis syarat berkenaan dan mengatakan ia sebagai anggapan yang salah.

“Harga emas tidak akan terjejas hanya kerana sarung plastiknya dibuka kerana ia perlu diukur mengikut kandungan emas. Bagi saya penjual emas perlu jujur dan mungkin mereka tidak yakin dengan berurus niaga,” katanya.

Selain itu, Mohd Zaruddin turut berkongsi tip penjagaan barangan kemas supaya ia sentiasa berkeadaan cantik dan warnanya tidak terjejas iaitu mengelak barangan emas daripada terkena bahan seperti asid, alkohol atau minyak wangi.

Dia menasihatkan supaya barangan kemas dibuka ketika hendak mandi dan dipakai kembali selepas sudah bersiap dan memakai haruman, bagi mengelak warnanya pudar.

“Bagaimanapun, emas yang pudar juga tidak merosakkan nilainya kerana apa yang penting ialah kandungan emasnya. Jika hendak hantar cuci juga tidak ada masalah. Namun jika ia dihantar untuk digilap, ia akan mempengaruhi sedikit beratnya tetapi tidak besar.

“Jika beratnya berubah banyak selepas digilap, maka ada sesuatu masalah dalam proses menggilap yang dilakukan itu. Di Habib, jika ada tompokan pada barang kemas atau ia putus, ia tetap tidak menjejaskan harga kerana kami beli ikut kandungan emas yang ada,” katanya. -mymetro

Barang Kemas Bersejarah

Jika anda memiliki barangan kemas terutama di kalangan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang sekitar 1700, ia simbol kekayaan atau status individu.

Tidak hairanlah, ada sanggup menyewa atau meminjam barangan kemas dari kedai emas untuk dipakai pada majlis keramaian.

Itu gambaran mengenai penggunaan emas di kalangan masyarakat Jawi Peranakan iaitu etnik hasil perkahwinan campur antara wanita Melayu dengan lelaki India, Arab, Benggali, Punjabi atau Acheh.

Menghargai budaya dan mengekalkan warisan masyarakat itu, Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib, mengambil langkah membuka Galeri Warisan Habib di Lebuh Pitt, Georgetown.

Galeri itu menempatkan lebih 1,000 koleksi bara­ngan kemas Jawi Peranakan serta Baba dan Nyonya yang dikumpul bapanya, pengasas Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif di bangunan warisan berusia lebih 100 tahun yang juga bangunan asal kedai Habib Jewels di negara ini.

Galeri yang menelan kos membaik pulih RM1 juta itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Februari tahun lalu dan kini dibuka setiap hari kecuali Ahad antara jam 9 pagi sehingga 6 petang.

Ketika melangkah ke tingkat atas bangunan berkenaan, alunan muzik klasik P Ramlee dimainkan bagi mewujudkan latar belakang suasana sambil mata ‘dijamu’ keindahan bara­ngan kemas dan perabot lama.

Kata suami kepada Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin itu, galeri berkenaan dibuka bagi membuka mata masyarakat khususnya golo­ngan muda kegemilangan emas lama yang mempunyai keunikan serta nilai sejarahnya tersendiri.

Mengenai barangan kemas di galeri itu, Meer Sadiq berkata, ia adalah barangan yang dikumpulkan bapanya sejak 70 tahun lalu melalui kenalan luar negara, pusat lelongan barangan dan kedai emas sebelum membuka kedai Habib Jewels yang menggunakan nama MA Habib Mohamed.

Beliau berkata, bara­ngan kemas yang dibeli dengan harga serendah RM50 ketika itu, kini nilainya mencecah jutaan ringgit dan menjadi buruan peminat emas kerana seni rekaannya yang halus yang kebanyakannya bermotifkan flora.

“Barangan kemas yang dipamerkan di galeri ini adalah seperti rantai, subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, pencucuk sanggul, tali pinggang, butang baju dan lengan, kerongsang baju selain syiling emas, mangkuk emas, tepak sireh, jam dan gunting.

“Paling unik ialah kerongsang berbentuk bunga lawang, butang baju tradisional dari syiling emas, gelang kaki berusia 200 tahun, cincin berbentuk buah kana dan kapal terbang serta perabot seperti meja solek, bidai dan almari antik.

“Selain barangan kemas bagi tujuan pameran, kami turut menjualnya dan harga bergantung kepada jenis dan berat barangan kemas itu,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Menurutnya, barangan kemas lama itu kini menjadi buruan penggemar fesyen kerana ia amat menarik apabila dipadankan dengan pakaian tradisional seperti kebaya atau baju kurung.

“Lihat saja barangan kemas seperti yang dipakai dalam filem P Ramlee seperti Antara Dua Darjat dan Ibu Mentuaku, yang mana pelakonnya mengenakan kebaya dengan padanan kerongsang dan ia kini menjadi ikutan,” katanya.

Selain terus mengumpul barangan kemas, Meer Sadik berusaha mendapatkan beberapa barangan lama bagi melengkapkan galerinya seperti peta bertulisan lama Perancis, yang kini mengambil masa untuk diterjemahkan.

“Bangunan galeri warisan ini mung­kin yang terakhir milik Jawi Peranakan di negeri ini, justeru saya berharap menjadikan Galeri Warisan Habib ini tumpuan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, bagi arkitek yang bertanggungjawab dalam ‘menghidupkan’ semula warisan itu, Laurence Loh berkata dia menerima tawaran kumpulan Habib kerana kagum dengan nilai sejarah dan warisan di Pulau Pinang.

Arkitek yang memenangi anugerah Pemuliharaan Warisan Budaya pada 2000 di UNESCO Asia-Pacific Heritage bagi Projek Paling Hebat dalam membangunkan semula Cheong Fatt Tze Mansion, Lebuh Leith itu berkata dia menyokong usaha Meer Sadik memelihara warisan keluarganya.

“Ramai menganggap bangunan yang menggunakan kayu bersifat sementara dan akan rosak ditelan masa namun de­ngan usaha pemuliharaan ini, ia menjadi permulaan yang baik bagi mencipta kesedaran kepada masyarakat mengenai kepenti­ngan mengekalkan bangunan warisan,” katanya.

Katanya, dia mempu­nyai pelbagai perancangan memulihkan projek warisan pada masa depan bagi memastikan nilai warisan tapak tidak hilang ditelan masa.

Fakta Galeri Warisan Habib

Dibuka: Februari 2012
Masa lawatan: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Ahad
Masuk: Percuma
Alamat: No 111, Lebuh Pitt, Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang

iPad Bersalut Emas 24 Karat Untuk Penghuni Burj Al Arab

Satu–satunya hotel bertaraf tujuh bintang Burj Al Arab, Dubai mengumumkan bahawa mereka akan membekalkan setiap tetamunya dengan iPad bersalut emas 24 karat sepanjang tempoh menginap di hotel tersebut sebagai sebahagian daripada virtual concierge.

Hotel ini sememangnya terkenal sebagai sebuah hotel yang menawarkan “kemewahan” seiring dengan falsafah mereka iaitu “stay different“.

iPad bersalut emas 24 karat ini telah direka dan disediakan khusus oleh Gold & Co, London dan ianya eksklusif untuk Burj Al Arab.

Selain daripada iPad bersalut emas 24 karat ini, Hotel Burj Al Arab turut menyediakan iMac di setiap bilik hotel mereka. Sekiranya berhasrat untuk menginap di Burj Al Arab, pastikan anda betul – betul “kaya” memandangkan kos menginap di hotel tersebut adalah sekitar £985 semalaman dan mencecah £12,339 untuk Royal Suite.

P/S : iPad mesti dipulangkan semasa “check-out“.

Kesemua Mayat Tragedi Lombong Emas Ditemui

TIMIKA – Pasukan penyelamat berjaya menemui baki tujuh lagi mayat dari terowong sebuah lombong di timur Indonesia yang runtuh, kata pihak pengurusan lombong dari Amerika Syarikat yang memiliki lombong berkenaan hari ini.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut kepada 28 orang.

Firma Freeport-McMoRan cawangan Indonesia dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat menemui dan mengenalpasti mayat pekerja terakhir pagi ini.

Firma tersebut turut mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung.

Seramai 38 pekerja terperangkap pada kejadian yang berlaku pada 14 Mei lalu dalam terowong lombong Grasberg yang merupakan antara lombong emas dan kuprum terbesar di dunia.

Seramai 10 pekerja berjaya diselamatkan hidup-hidup susulan nahas itu pada Selasa lepas. – AFP