Harian Metro Jamboree: Bukit Mawi bekas lombong emas Terengganu

bukit-mawi

MARANG : – Bukit Mawi di sini yang terkenal sebagai salah satu lubuk emas akan dibangunkan semula secara komersial dan bakal menjadikannya tumpuan pengeluaran logam berharga itu di negara ini.

Kerja-kerja melombong akan dilakukan oleh sebuah syarikat bumiputera, Proserv Technical Sdn. Bhd., (Proserv) di tapak seluas 32.3 hektar di Sungai Kerak dengan pengeluaran dijangkakan bernilai kira-kira RM15 juta setahun.

Prosev merupakan syarikat pembuat kapal yang berpangkalan di Teluk Panglima Garang, Selangor dimiliki Shamsudin Omar iaitu anak kelahiran Kuala Terengganu.

Shamsudin yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu berkata, pihaknya mengambil masa tiga tahun sebelum memutuskan untuk menceburi bidang perlombongan komersial setelah mendapati kawasan itu berpotensi sebagai pengeluar emas.

lubuk-mandi

Menurutnya, Proserv bekerjasama dengan sebuah lagi syarikat bumiputera, Semesta Berkat yang diberi konsesi melombong oleh anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint).

“Sebagai permulaan, kami memperuntukan kira-kira RM300,000 untuk menyediakan sistem palong bagi mengorek dan menapis tanah jenis ‘alluvial’ yang mengandungi emas,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat pembukaan lombong itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Semesta Berkat, Zakaria Ali dan Pengarah Corundum Sdn. Bhd. Chue Hang Cheong iaitu syarikat perunding bagi Proserv.

Melalui kajian usahasama dengan pakar perunding, Shamsudin percaya Bukit Mawi mempunyai hasil logam emas yang sangat menguntungkan dan hasil kajian pakar perunding mendapati Bukit Mawi berpotensi mengeluarkan logam emas lebih RM15 juta setahun.

Katanya, dengan menggunakan sistem komersial palong, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh kira-kira satu kilogram logam emas satu hari.

lubuk-mandi 3

“Dalam satu meter kubik tanah kita menjangka akan mendapat kira-kira 10 gram emas yang nilai bagi jumlah emas itu kira-kira RM600.

“Justeru kita melihat kawasan seluas 30 ekar di Bukit Mawi ini berpotensi untuk mengeluarkan kira-kira satu kilogram satu hari,” katanya Proserv mendapat pajakan melombong di bukit itu sehingga tahun 2010.

“Walaupun kita tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar nilai Bukit Mawi itu kerana sukar menjangka nilai sebenar isi perutnya, namun dengan operasi perlombongan yang secara berterusan potensi Bukit Mawi dijangka mampu memberikan keuntungan lebih RM15 juta setahun,” katanya.

lubuk-mandi-4

Shamsudin berkata, emas di Bukit Mawi merupakan dari jenis 0.99 iaitu hanya 10 peratus daripada komposisinya terdiri daripada bahan mineral lain.

Empat pegawai Genneva Gold Dihadapkan Dengan 900 pertuduhan!

genneva-gold

Empat pegawai atasan syarikat perniagaan perdagangan emas Genneva Gold hari ini dihadapkan ke mahkamah dengan 900 pertuduhan dibacakan kepada mereka, dipercayai memecahkan rekod pertuduhan terbanyak di negara ini.

Mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Dua bekas Pengarah syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd itu ialah Datuk Philip Lim Jit Meng dan Datuk Tan Liang Keat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan membuat kenyataan palsu dalam iklan syarikat berkenaan dengan mengatakan bahawa pelaburan emas dengan syarikat berkenaan mengikut undang-undang Syariah.

Mahkamah memerintahkan kes itu disebut semula pada 28 Oktober depan dengan kedua-dua mereka RM20,000 setiap seorang. Mereka kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Sesyen lain untuk menghadapi pertuduhan lain pula.

Di Mahkamah Sesyen yang lain, Lim, Tan dan Datuk Lim Hah Heng dan Datuk Ng Poh Weng didakwa dengan enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah melalui satu skim perlaburan emas di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Keempat-empat mereka menghadapi dua pertuduhan setiap seorang di bawah akta itu. Mereka juga dijangkakan akan menghadapi 915 tuduhan pengubahan wang haram. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10 Januari 2011 higga 1 Oktober 2012.

Pada 1 dan 5 Oktober 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa syarikat pelabur emas bersama anggota polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap syarikat Genneva Malaysia, Pageantry Gold, Ceasar Gold dan Worldwide Far East Berhad.

Selain itu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

      Pada 1 Ogos 2012 pula, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang ke atas syarikat Genneva Malaysia oleh tiga wakil persatuan Pegawai Kerja Mohd Mustaffa Hamzah dan juga Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.
      Mohd Mustaffa atau lebih dikenali dengan Abang Muss berkata PPIM kesal dengan tindakan syarikat Genneva yang mengaku menjalankan urusniaga mengikut hukum syari’ah seperti dinyatakan di laman web mereka.
      Menurut beliau, laporan polis dibuat untuk menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap syarikat Genneva Malaysia yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan berkenaan.
      Syarikat berkenaan turut didakwa mengambil deposit sebanyak RM5 juta tanpa kebenaran dari Bank Negara Malaysia. Lebih perit lagi, pelabur yang terlibat dalam urus niaga Genneva ini didakwa terdiri daripada orang kenamaan, syarikat dan yayasan serta tidak diketahui punca pendapatan mereka.
      Butiran terperinci mengenai kesemua 900 pertuduhan berkenaan masih belum diperolehi, laporan lanjut bakal menyusul tidak lama lagi.

Sumber: Mynewshub

Dua Pengarah Genneva dibicara di Mahkamah, kes kerugian RM5.5 bilion

Genneva regional director Datuk Joseph Kow at the branch office in Gelugor

KUALA LUMPUR – Enam individu, termasuk dua pengarah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Datuk Philip Lim Jit Meng, 56, Datuk Tan Liang Keat, 41, Lim Kah Heng, 42, Datuk Ng Poh Weng, 63, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 61, dan Datuk Chin Wai Leong, 37, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki, memindah, menerima dan memperoleh wang berjumlah RM1.5 bilion menerusi hasil aktiviti haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara Jan 2011 dan Dis 2012 mengikut subsesyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua syarikat iaitu GMSB dan Success Attitude Sdn Bhd, turut didakwa atas pertuduhan sama, masing-masing dengan 222 dan lapan pertuduhan di tempat dan masa yang sama.

Philip, yang merupakan pengarah GMSB dan Success Attitude, berdepan 246 pertuduhan; Tan, pengarah GMSB (226 pertuduhan); Lim, pengurus besar syarikat (16 pertuduhan) manakala Ng, Marcus dan Chin, penasihat perniagaan syarikat itu, masing-masing berdepan 155, 17 dan 23 pertuduhan.

Sementara itu, syarikat GMSB, Philip, Tan, Lim dan Ng mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara 10 Januari 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan RM1 juta dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan BAFIA.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes.

Di mahkamah berasingan, GSMB, Philip dan Tan turut mengaku tidak bersalah membuat penyataan palsu dalam iklan di laman sesawang www.gennevaworld.com.my berhubung penjualan emas berlandaskan syariah.

Bagi pertuduhan ini, mereka yang merupakan orang kena saman, didakwa melakukan kesalahan itu di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 16 Februari dan 1 Oktober 2012.

Mereka didakwa mengikut Sesyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(b) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan Philip dan Tan masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Okt untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Mardziatul Nisa Ahamad Kabir dan Aida Mastura Mohamed Aman manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam A.S.Dhaliwal dan J.Kuldeep Kumar. – Bernama

Seludup emas didalam dubur

Colombo: Seorang rakyat Sri Lanka berusia 50 tahun yang cuba menyeludup 600 gram emas bernilai 3 juta rupee (RM74,504) ditahan Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.

Menurut Pengarah Kastam Leslie Gamini, suspek dari Negombo itu dalam perjalanan menuju ke Mumbai untuk menaiki pesawat kira-kira jam 11.45 malam.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa mendapati tingkah lakunya mencurigakan. Kastam yang memeriksanya menemui kepingan emas disembunyikan dalam duburnya. “Suspek yang kerap membuat perjalanan ke India dibebaskan selepas membayar denda 25,000 rupee (RM620),” kata Timbalan Pengarah Kastam Deepal Siriwardana. – Agensi

Pemilik kedai emas cedera ditembak

KUALA LUMPUR – Pemilik kedai emas Abdul Razak Jewellers di Jalan Lebuh Ampang di sini cedera parah terkena tembakan ketika cuba menghalang percubaan merompak kedainya hari ini.

Abdul Rasul Abd Razak, 58, cedera di bahagian perut dan bahu akibat terkena dua das tembakan dilepaskan seorang daripada empat suspek yang cuba merompak kedainya dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu.

Menghuraikan insiden itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian, empat pekerja sedang bersiap-siap untuk memulakan operasi sebelum dua lelaki bertopi keledar penuh dan berjaket hitam meluru masuk premis berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak melompat masuk ke ruang kerja pekerja manakala seorang lagi berdiri di ruang pelanggan.

Mangsa yang keluar dari pejabatnya untuk cuba menghalang tindakan penjenayah tersebut telah bergelut dengan dua suspek itu.

Ketika pergelutan itu, dua lagi rakan penyamun yang ketika itu berada di luar kedai dan bersedia dengan motosikal meluru masuk ke kedai dan melepaskan beberapa das tembakan, lalu mengenai bahu dan perut mangsa.

“Akibat panik, kesemua suspek melarikan diri dengan dua motosikal tanpa sempat melarikan apa-apa,” katanya, sambil menambah tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug ditemui di lokasi kejadian dan polis percaya suspek bersenjatakan dua pucuk pistol.

Katanya telah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar kedai itu. – Bernama

Bahaya Pakai Emas Kepada Anak Kecil

Sekarang ni ramai yang suka bagi baby girl dorang pakai barang kemas. Comel.. kecik2 lagi kat leher yang berkilau emas.. kat lengan yang bersinar emas. Tak salah kalau ada rezeki lebih nak laburkan kat anak – anak. Tapi dalam kita menyatakan kasih sayang dari kilauan emas kat badan anak kita tu tanpa sedar kita sedang dedahkan si kecil tu pada bahaya besar. Nak tahu bahaya apa?? Jom kita baca..

Zaman sekarang zaman jenayah berleluasa.. Rompak, ragut, samun, bunuh, culik & sebagainya hari2 kita boleh dengar, baca & tengok samada kat laman sosial, tv & akhbar. Sasaran penjenayah ni tak hanya pada golongan dewasa jer.. Sekarang ni tak kira sekecil2 anak hinggalah sebesar2 bapak semua berisiko menjadi mangsa jenayah. Jenayah ragut, samun & rompak barang kemas ni bukan isu baru.. Selalu kita dengar mak2.. makcik2.. akak2.. je kena ragut & samun barang kemas.. Jarang kita dengar budak2 kecik & baby2 kena ragut rantai kat leher atau kena samun gelas emas kat lengan kan?? Kes ni kita jarang dengar tapi tak semestinya tak ada berlaku rompakkan/samun/ragut kepada kanak2. Ada.. cuma kita dengar dari mulut ke mulut tak highlight besar2 kat media massa.

Bila kita pakaikan anak2 kecil kita dengan emas yang sekarang menjadi satu benda berharga ni tanpa kita sedar kita dah dedahkan anak2 kita kepada risiko yang besar. Penjenayah ni ada kat mana mana saja.. Adik den pernah cerita anak kawan dia.. kena rompak rantai emas. Nasib baik la penyamun tu tak buat apa2 yang boleh mendatangkan bahaya kat budak tu. Cuma dia guna psykologi je nak ambil rantai emas yang budak tu pakai. Hilang emas boleh kumpul duit beli semula tapi kalau jadi apa2 kat anak.. boleh ke kumpul duit beli anak yang sama kat mana2 supermarket atau kedai runcit??

manalah tau.. tetiba kita kat tepi jalan dengan anak kecik kita nak lintas jalan.. kat leher anak berkilau2 emas.. si emak bertudung tak nampak la emas. Si peragut mesti target benda yang dia nampak jer kan?? tetiba.. dia datang rentap rantai leher anak kita, jatuh tersungkur budak tu atas jalan.. datang pulak kereta lain. Ya Allah.. minta jauhkanlah dari semua tu berlaku pada kita semua tapi pada masa yang sama kita kena la ambil langkah keselamatan. Jangan mendedahkan anak kita kepada bahaya & risiko jenayah. Biar orang pandang miskin.. Tak miskin kita dengan pandangan orang tu asalkan kita semua berada dalam zon selamat.

Pada mak bapak semua termasuk diri sendiri.. Memang bila tengok anak orang di pakaikan emas kita pun nak anak kita rasa benda yang sama. Macam tu jugak den ni.. tapi den ni kadang2 imaginasi jauh kedepan. Bila terfikir semua bahaya2 tu.. Takpe la.Biarlah anak ku kosong tak ber emas permata asalkan dia sentiasa selamat. Asalkan dia membesar dengan sihat, itulah hiasan paling cantik yang paling berharga dari seorang ibu kepada tubuh badan anaknya.

link: http://lekatlekitgurl.blogspot.com/2013/08/bahaya-pakaikan-emas-kepada-anak-anak.html

Peniaga Emas Ditembak di Pandan Indah

Seorang peniaga emas cedera terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya ketika kenderaan beliau berhenti di lampu isyarat Jalan Makmur, Pandan Indah, di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha berwarna biru menghampiri kereta Toyota Camry yang dipandu peniaga itu pada pukul 8.45 pagi.

“Seorang daripada lelaki terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah peniaga emas itu menyebabkan Wong Foo Yui, 34, cedera di bahu,” katanya kepada Bernama di ibu negara hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan cedera, Wong memandu keretanya ke Balai Polis Pandan Indah, yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, untuk mendapatkan bantuan.

Amiruddin berkata Wong, yang berasal dari Jalan Klang Lama, kini dirawat di Hospital Ampang dan keadaannya dilapor stabil.

Kes tembak hari ini adalah yang keempat dalam tempoh lima hari minggu ini.

Isnin lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi, 75, maut manakala isterinya, Chong Mei Kuen, 49, cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini.

Pada 29 Julai juga seorang lelaki cedera parah di paha kanan selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam di sini.

Rabu lepas pula, pemandu van kilang N Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di atas kiri perut dan bahagian kanan bawah pinggang di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar, Perak.

Lelaki Miskin Jual Barang Kemas Bina Taj Mahal

Taj Mahal ialah makan yang dibina oleh Shah Jehan untuk isteri ketiga beliau Mumtaz Mahal yang meninggal dunia pada tahun 1631. Di Bulandshahr, Uttar Pradesh India Faizul Hasan Kadari (77) membina sebuah replika Taj Mahal untuk arwah isteri beliau Tajammuli Begum. Faizul sudah membelanjakan GBP 10 500 (RM 50 000) untuk membina replika sebesar 5000 kaki persegi ini.

Pembinaan dimulakan Febuari 2012 tetapi terpaksa dihentikan September lalu akibat kehabisan dana. Sungguhpun begitu Faizul enggan menerima bantuan orang ramai kerana pada hemat beliau monumen cinta beliau kepada arwah isteri harus dibina menggunakan wangnya sendiri.

Faizul juga telah menjual barang kemas arwah isteri, tanah milik beliau dan wang pencen bagi menjadikan kubur isteri kelihatan seperti Taj Mahal mini. Beliau berharap Taj Mahal mini beliau dapat disiapkan sebelum beliau meninggal dunia dan beliau dapat disemadikan bersebelah kubur isteri tercinta. Sumber Blogserius

Desktop66 01 1 Lelaki Miskin Sanggup Bina Replika Taj Mahal Untuk Arwah Isteri [12 Gambar]Desktop66 02 3 Lelaki Miskin Sanggup Bina Replika Taj Mahal Untuk Arwah Isteri [12 Gambar]Desktop66 03 Lelaki Miskin Sanggup Bina Replika Taj Mahal Untuk Arwah Isteri [12 Gambar]Desktop66 04 Lelaki Miskin Sanggup Bina Replika Taj Mahal Untuk Arwah Isteri [12 Gambar]

– See more at: http://fuh.my/lelaki-miskin-sanggup-bina-replika-taj-mahal-untuk-arwah-isteri/#sthash.yNIQk9Wk.dpuf

Suspek Rompak Kedai Emas Temerloh Lolos Diri Guna Kargo

TEMERLOH: Polis tidak menolak kemungkinan enam lelaki yang merompak barang kemas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dua hari lepas, turut menggunakan lori kargo bagi meloloskan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, suspek yang menaiki kereta jenis Honda Accord dan Toyota Camry selepas merompak kedai emas berkenaan memecut kenderaan menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Menurut saksi, kedua-dua buah kereta dinaiki enam perompak itu dikatakan merempuh kayu halangan di Tol Temerloh dan menghala ke Kuala Lumpur.

“Polis tidak menolak kemungkinan kereta itu dinaikkan ke dalam lori kargo yang menunggu mereka di kawasan rehat dan rawat di LPT menghala ke Karak,” katanya di sini, Sabtu.

Beliau bekata polis turut menemui lapan dulang kosong yang dibuang ditepi jalan, kira-kira 2km dari bandar Mentakab.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu penjenayah berkenaan mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan 24 dulang barangan kemas.

“Polis percaya rompakan itu dilakukan secara terancang dan melibatkan beberapa individu lain,” kata Zundin.

Semasa rompakan, pemilik kedai dan beberapa pekerjanya, baru tiba di kedai emas berkenaan untuk memulakan perniagaan sebelum diserbu empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

Beliau berkata polis Temerloh dengan kerjasama polis dari negeri bersempadanan dengan Pahang kini memperhebatkan gerakan memburu kesemua suspek. – BERNAMA