HSBC Dituduh Memanipulasi Harga Silver Dunia

hsbc-gold

Bank HSBC, Deutsche Bank dan Nova Scotia Bank kini didakwa cuba menipu harga pasaran silver dunia.

Menurut J Scott Nicholson, pelabur yang  memfailkan tuntutan saman di Amerika Syarikat, bank-bank tersebut menyalahgunakan kedudukan mereka yang sepatutnya bertindak mengawal paras harga perak dunia  tetapi bertindak bertentangan apabila cuba memanipulasi harga perak dunia untuk meraih keuntungan yang tidak sah daripada dagangan.

Ini telah menjejaskan pelabur-pelabur dunia yang lain dalam pelaburan perak  yang bernilai kira-kira $5 trilion dollar, ramai pelabur membuat keputusan pelaburan mereka berdasarkan penanda aras yang ditentukan oleh bank-bank berikut tanpa sedar penanda aras tersebut telah dimanipulasikan.

Dengan memfailkan saman itu, Nicholson mendakwa bank-bank tersebut melanggar undang-undang antitrust dan Akta Bursa Komoditi, dan beliau berharap untuk mewakili golongan pelabur yang telah membeli kontrak hadapan perak sejak 1 Januari 2007  “Mereka terlalu berahsia ini menyebabkan pasaran harga perak boleh dimanipulasi “katanya.

gold-fixing-hsbc

“Defendan mempunyai modal yang kukuh dan peranan utama yang membolehkan mereka  mengawal harga perak fizikal dan pelaburan perak lainnya  dalam pasaran sebelum dihebahkan kepada umum, ini membolehkan mereka meraih keuntungan besar, dan tidak sah.”

Jurucakap Bank of Nova Scotia memberitahu Bloomberg mereka akan mempertahankan diri dalam tuntutan saman tersebut manakala HSBC dan Deutsche Bank belum memberi sebarang komen.

barclay-gold-fixing

Tuntutan ini adalah yang terbaru dalam beberapa siri saman pelabur komoditi logam terhadap bank. Ketiga-tiga bank sebelum ini telah pun dibawa ke mahkamah lebih awal kerana bertindak diluar undang-undang dalam menetapkan harga emas di pasaran dunia, Barclays Bank telah pun didenda sebanyak £ 26 juta oleh pengawal selia UK pada awal tahun ini selepas salah seorang pelabur mereka didapati cuba untuk menetapkan harga logam emas di pasaran.

Bag Clutch Emas Berharga Setengah Juta

clutch-emas

Seorang pereka British, Christopher Shellis telah mereka satu beg clutch yang harganya mencecah setengah juta iaitu RM576,137 ($180,000)!

Clutch yang merupakan beg aksesori, sering digayakan pada majlis makan malam ataupun majlis anugerah yang dihadiri selebriti-selebriti sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Clutch berukuran 7 kali 5 inci itu mempunyai berat mencecah setengah kilogram disebabkan penggunaan material mewah 345 berlian yang dijahit pada beg yang menggunakan emas 18 karat.

Shellis dan pasukannya mengambil masa selama 100 jam untuk menghasilkan clutch ‘masterpiece’ itu yang mengambil inspirasi daripada pagar Istana Buckingham, United Kingdom. – 

clutch1-bag

Pemikir Terawal Ar-Rahnu Cuma Sekolah Pondok

ulamak-arrahnuSEPANJANG khidmatnya sebagai mustasyar di Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Sheikh Ustaz Dr Muhammad Uthman El-Muhammady menunjukkan komitmen yang cukup tinggi.

Walaupun usia mencecah tujuh abad, beliau tetap bersemangat dan selalu hadir mesyuarat, sama-sama berbincang aktiviti dan matlamat YPPM.

Beliau sering mengemukakan idea bernas dan pandangan tajam. Terkenal dengan jubah, serban serta janggut dan rambutnya yang berinai. Beliau juga terbabit dengan penerbitan program TV untuk promosi YPPM, termasuk pelancarannya pada 8 November 2012 lalu.

Seorang intelek unggul berjiwa pondok, beliau banyak menulis dan berkongsi ilmu mengenai pondok, selain menjalankan pengajaran kitab seperti Risalah al-Qusyairiyyah dan Kanzu’l Minan ‘ala Hikam Abi Madyan (terjemahan Sheikh Daud al-Fatoni) secara talaqqi di madrasah tasaufnya, yang menggabung teori ilmu dan kitab thurath.

Di universiti, beliau ajar subjek pemikiran, falsafah dan teori politik Islam. Dari segi integriti keilmuan, beliau mengikut tradisi ulama hebat seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Juwaini, Sheikh Abdul Samad al-Palembani, Sheikh Arsyad al-Banjari, Sheikh Muhamad al-Nafis, Sheikh Nawawi al-Bantan, Sheikh Yusuf Makasar dan Shah Wali’ullah al-Dihlawi.

Beliau amat menghormati kewibawaan ulama terdahulu, justeru tidak membina gagasan sendiri atau struktur pemikiran baharu. Beliau menolak falsafah atau tafsiran yang individualistik, liberalis dan subjektif kerana berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang menghormati autoriti dan hierarki keagamaan. Atas prinsip ini, Sheikh Dr Uthman mempertahan institusi fatwa.

Tegasnya, keaslian dan kejituan ilmu sudah termaktub dalam pemikiran ASWJ sejak lima abad lalu. Apa yang perlu dibuat ialah menggali dan memahami hikmah dalam kitab thurath bagi menghadapi kehidupan beragama dan mengatasi serangan pelbagai fahaman baharu, termasuk pasca modenisme, pasca strukturalisme, liberalisme, pluralisme, egalitarianism, libertarianisme, sapere aude dan ajaran sesat.

Menurutnya, golongan yang hanya bersandarkan fikiran dan akal bebas, sama ada atas nama reformasi, progresif Barat, hak asasi manusia atau masyarakat madani adalah manusia berbudaya koboi yang tiada adab dan akhlak.

Beliau menegaskan tidak ada kebebasan mutlak dalam Islam. Kebebasan yang diberi kepada manusia bersifat relatif bukan mutlak. Ia tertakluk kepada syariat dan peraturan agama, qada dan qadar serta kehendak ALLAH.

Sheikh Dr Uthman bukan saja mahir membaca, memahami dan menghurai kitab kuning, malah faham bahasa Arab klasik. Kerana itu beliau boleh baca kitab asal karya al-Qusyairi, al-Muhasibi, al-Asyaari, al-Baqillani, Ibn Arabi, Ibn Farid, Ibnu Sina, Fakhrudin al-Razi, Suhrawardi Maqtul dan al-Sakandari.

Ketokohannya termasuk menguasai falsafah Greco-Alexandrio, falsafah moden dan pasca moden (Russell, Descartes, Kant, James, Deridda, Foucault, Lyotard, Nietsche, Marx) dan falsafah transcendentalisme-perenialisme (Schuon, Corbin, Nasr, Smith, Coomaraswamy, Huston).

Keupayaan ini membolehkannya melawan hujah dan serangan pemikiran asing seperti karyanya yang menjawab dan mematahkan falsafah agama John Hick. Sepanjang hidupnya, Sheikh Dr Uthman menghasilkan tiga buku, menterjemah empat buku dan berpuluhan kertas kerja yang dicetak semula dalam beberapa buku. Ketika menghembus nafas terakhir pada 25 Mac 2013, Dr Muhammad sedang menyiapkan buku baharu yang ditulisnya.

Pemikiran dan pencapaian Sheikh Dr Uthman boleh dibaca dengan lebih terperinci dalam buku Muhammad Uthman El-Muhammady: Inteligensia Muslim Kontemporari karangan Ismail Mina Ahmad (Muafakat, Kuala Lumpur, 2014).
Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia1

Antara perkara menarik ialah pendedahan bahawa Sheikh Dr Uthman adalah orang terawal yang bercakap mengenai sistem kewangan syariah dan mencadangkan penubuhan Ar-Rahnu, yang kini dilaksanakan.

Sedar tak sedar, sudah hampir setahun setengah Sheikh Dr Uthman meninggalkan kita. Semangat, disiplin ilmu, keintelektualan dan sumbangan beliau terus dihargai dan menjadi dorongan semua staf di YPPM untuk memberi khidmat lebih cemerlang kepada usaha pembangunan pondok di negara ini.

Gelang Emas Antara Sumbangan ke Gaza

emas-gaza

PETALING JAYA: Tidak hanya terbatas kepada wang ringgit serta barangan keperluan asas dan perubatan, Aman Palestin turut menerima sumbangan berbentuk barang kemas bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Pangarah Medianya, Anas Abdul Wahab berkata, pertubuhan bukan kerajaan itu pernah mengumpul hasil sumbangan barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin emas.

“Terbaharu, menerusi kutipan derma amal di lokasi tumpuan orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pihak Aman Palestin turut menerima sumbangan berupa cincin dan gelang emas.

“Selalunya sumbangan sebegini banyak diterima melalui kaunter cawangan dari seluruh negara,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

“Rakyat Malaysia begitu prihatin dengan penderitaan di Gaza. Justeru kami terbuka dan menerima apa sahaja sumbangan orang ramai.

“Bagaimanapun sumbangan dalam bentuk wang ringgit lebih mudah diuruskan untuk di salurkan ke sana,” katanya.

Jelas Anas, pada Jumaat lalu Aman Palestin menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Gaza bernilai RM1.6 juta.

Menurutnya Aman Palestin dijangka menghantar misi perubatan ke Gaza pada bersama lima doktor terlatih.

“InsyaAllah kita akan berada di sana selama sepuluh hari. Turut bakal mengikut Aman Palestin ke sana ialah wakil agensi media,” katanya.

Media melaporkan sehingga kini lebih 1700 nyata terkorban manakala beratus-ratus yang lain tercedera dalam serangan Israel di Gaza yang masuk hari ke dua puluh tujuh.

Harga Emas Pasaran Turun Sebelum Cuti Raya

promosi-raya-bersama-emas

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini berikutan kurangnya sokongan belian. Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Low Cheng Yang berkata kontrak emas
ditutup pada paras terendah dalam tempoh lima minggu dengan mengalami dua sesi kerugian berturut-turut.

Dagangan yang tidak banyak berubah dalam kontrak hadapan emas tempatan adalah terhad disebabkan pemulihan penanda aras niaga hadapan Bursa Komoditi New York (COMEX) berikutan ketidaktentuan politik di Ukraine selepas pakatan kerajaan Kiev yang mentadbir, tumbang,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, Julai 2014, Ogos 2014, September 2014, dan Oktober 2014 susut 10 mata setiap satu, masing-masing kepada RM132.35 segram, RM132.60 segram, RM132.75 segram dan RM133.25 segram.

Kepentingan terbuka merosot kepada 5,164 kontrak daripada 5,360 pada Khamis manakala jumlah dagangan susut kepada 83 lot bernilai RM1.097 juta daripada 275 lot berjumlah RM3.652 juta sebelumnya.

Harga emas fizikal turun sebanyak RM0.38 sen kepada RM127.65 segram berbanding RM128.03 segram pada Khamis.
— BERNAMA

Jongkong Emas Dikebas ‘Polis’

bhp-gas

Kuala Lumpur, 24 Julai : Seorang ahli perniagaan tidak hanya diculik dan dipaksa menyerahkan dua jongkong emas, malah turut dicampak penjenayah di kawasan tanah perkuburan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 44 tahun dilarikan dua penjenayah yang menyamar anggota polis ketika mangsa berada di stesen minyak di Jalan Loke Yew.

Sumber polis berkata, mangsa yang berhenti untuk mengisi minyak mendakwa dihampiri dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, dua lelaki itu mengacukan parang pada leher mangsa sebelum menariknya masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan itu.

“Ketika berada di dalam tawanan suspek, mata mangsa ditutup dengan kain hitam sebelum suspek memeriksa seluruh badan mangsa.

“Suspek seolah-olah mengetahui mangsa menyimpan barang berharga apabila menemui dua jongkong emas yang disimpan di dalam poket seluar mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian merampas emas dan wang tunai milik mangsa yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

“Mangsa yang ketakutan hanya berdiam diri dan akur dengan arahan suspek.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan tanah perkuburan Cina di Sungai Besi sebelum mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya kerugian emas seberat kira-kira 300 gram dan tidak cedera.

“Dia kemudian meminta bantuan orang awam sebelum membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menjejaki suspek.-HM

Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

sindiket-emas-palsu

KUALA LUMPUR 25 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.

Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkanemas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.

Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.

Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

“Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.

“Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.

“Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

“Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, semalam,” katanya lagi.

Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.

Pembeli Emas Beraya di Lokap – Beli Emas Curi

beraya-lokapPAKA – Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila menerima ‘kunjungan’ tiga penjenayah bertopeng sebelum berjaya melarikan barangan berharga miliknya dalam satu kejadian pecah rumah dekat sini, minggu lalu.

Namun, tindakan bijak jiran mangsa yang mencatat nombor plat kenderaan dinaiki suspek selepas mengesyaki kehadiran kenderaan mencurigakan itu, sebelum memaklumkan kepada polis berjaya membawa kepada penahanan tiga remaja yang terlibat melakukan jenayah terancang tersebut.

Sebaik menerima laporan kes pecah rumah di Jalan Santong kira-kira jam 10 malam itu, polis yang bertindak berdasarkan nombor plat Perodua Myvi dinaiki suspek ketika melakukan jenayah tersebut terus melancarkan operasi khas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, hasil siasatan polis mendapati kereta yang digunakan suspek adalah kereta sewa.

Menurutnya, kesemua suspek berjaya ditahan di Kemaman ketika ingin menghantar kereta berkenaan.

“Hasil siasatan, suspek yang menutup muka serta mengacukan parang kepada pengadu ketika melakukan jenayah itu dikatakan sudah menjual barang kemas yang dirompak kepada seorang peniaga emas di Kuantan, selain barangan elektrik hasil rompakan kepada seorang lagi rakan subahatnya,” katanya.

Menurut Ahmad, susulan penahanan dua rakan kepada kumpulan penjenayah terbabit, polis berjaya merampas emas yang sudah dilebur selain televisyen, telefon bimbit serta komputer riba milik mangsa.

“Dua rakan suspek yang membeli barang curi itu kini ditahan dan didakwa di mahkamah. Manakala, tiga suspek yang terbabit dalam jenayah samun berkumpulan itu juga didakwa mengikut Seksyen 396/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

emas-rompak-curi-paka
Ahmad (kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas daripada penjenayah bertopeng yang melakukan rompakan di Jalan Santong.

Emas Naik Seketika kesan MH17

image

Harga emas mengalami kenaikan sedikit pada pagi jumaat kesan dari krisis kapal terbang MH17 pesawat Malaysia yang dipercayai ditembak jatuh di sempadan Ukrain-Russia yang mengorbankan hampir 298 anak kapal dan penumpang.

image

Pada awal pagi emas dagangan di New York Comex meningkat naik kepada RM5125/tael berbanding khamis dibawah parah 5075 sepanjang minggu. Bagaimanapun kenaikan harga emas hanya bersifat sementara apabila harga emas mula menyusut pada petang jumaat sebelum ditutup pada indeks 5085.

image

Harga emas sepanjang minggu ketiga Ramadhan mengalami penurunan yang ketara, krisis perang di Israel-Palestin yang melonjakkan harga emas sebelum INI keparas lebih 5200 tidak memberi kesan kekal kepada harga emas,

image

Pelabur cepat menjual pegangan emas mereka untuk mendapatkan keuntungan singkat menyebabkan emas tidak dapat kekal lama diatas paras 5200

PATI Sembunyi Duit, Emas Berlonggok Longgok

image

Tiga pekerja ladang warga Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Negeri ditepi perhentian tol di Senawang di sini, kelmarin kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Lebih mengejutkan, hasil daripada penahanan ketiga-tiga warga Pakistan yang berumur lingkungan 40-an itu, turut membawa kepada penemuan barang kemas seberat 83 gram dan sejumlah wang tunai RM2,500, yang disembunyikan di dalam seluar dalam dua daripada tiga lelaki tersebut ketika pemeriksaan pada anggota badan dilakukan.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara kebetulan ke atas kesemua mereka kira-kira  2 petang, kelmarin, selepas mereka dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, mereka yang bekerja di Shah Alam didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pihak berkuasa.

“Oleh demikian, kita membawa mereka ke pejabat untuk pemeriksaan lebih lanjut dengan turut membuat pemeriksaan pada anggota badan sebelum menemui barang kemas dan wang tunai yang telah disembunyikan di dalam seluar dalam dua daripada tiga lelaki tersebut,” katanya.

Katanya, daripada soal siasat selepas penemuan barang kemas dan wang tunai tersebut, mereka dipercayai baharu sahaja pulang dari membeli barang kemas di Kuala Pilah sebelum singgah di Senawang.

“Tindakan suspek ketika ditahan kelmarin amat meragukan bagaimanapun, mereka telahpun ditahan dan akan  dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut di bawah Sekyen 6 (1)(c) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 kerana tiada  dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.