Padah Jual Cincin Tipu

AYER KEROH – Seorang bekas pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memperdaya dua peniaga emas dengan menjual cincin emas yang sebenarnya adalah perak.

Tertuduh, P Sangkar, 40, dari Nilai, Negeri Sembilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Sangkar didakwa memperdaya Fong Kai Wah, 52, untuk menyerahkan wang RM2,400 bagi sebentuk cincin berwarna keemasan adalah emas tulen, sedangkan ia diperbuat daripada perak disaluti emas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Gold Money Trading, Jalan Bendahara kira-kira jam 1 petang pada 24 September 2013.

Sangkar turut didakwa atas kesalahan sama terhadap Chan Weng Kent, 43, di sebuah kedai emas lain di Jalan Bendahara kira-kira jam 1 petang pada 25 September 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari satu hingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Muhammad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Sangkar yang mempunyai penyakit kencing manis meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana dia perlu menanggung keluarga termasuk seorang anak.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua, selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Disember depan bagi lantikan peguam.

Harga Emas Mula Meningkat


Harga emas meningkat sedikit pada Jumaat lalu selepas kenaikan dua hari berturut-turut, namun turut disokong oleh jangkaan bahawa calon untuk mengetuai Rizab Persekutuan, Janet Yellen akan meneruskan dasar kewangan mudah selepas memegang jawatan berkenaan.

Kenyataan pengawal selia AS bagi suku ketiga menunjukkan firma lindung nilai terkemuka Paulson & Co mengekalkan kepentingannya dalam SPDR Gold Trust, dana dagangan bersandarkan emas yang terbesar di dunia, dan ia tutut menyokong harga, kata peniaga.

Bulion ditutup rendah minggu lalu selepas susut mendadak dalam tempoh dua minggu kerana hasil pendapatan bukan pertanian mencetuskan kebimbangan Rizab Persekutuan mungkin mengurangkan rangsangan pembelian bon seawal Disember ini.

Bgaimanapun, Yellen memberitahu Jawatankuasa Senat pada Khamis lalu bahawa rangsangan ekonomi Rizab Persekutuan akan diteruskan, menyebabkan spekulator emas membuat belian semula.

Sementara itu, kontrak niaga hadapan hadapan emas di Bursa Malaysia Derivative dijangka bergerak di tengah-tengah situasi ekonomi global yang kurang menggalakkan, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata memandangkan emas amat sensitif kepada data ekonomi, pelabur akan memantau secara dekat beberapa hasil laporan ekonomi terutama dari AS, China, zon euro dan Malaysai sebelum mengambil keputusan bergiat aktif di pasaran.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan mingguan, bulan semasa November 2013 susut RM2.20 kepada RM132.30 setiap gram sementara Disember 2013 merosot RM3.30 kepada RM132.55 segram.

Untuk minggu baru berakhir, jumlah dagangan mengukuh kepada 3,386 lot bernilai RM44.95 juta daripada 1,067 lot bernilai RM14.38 juta minggu lalu.

Jumlah kepentingan terbuka menambah kepada 6,774 kontrak daripada 3,402 kontrak sebelumnya. – AGENSI

Harga Emas Di Tahap Sederhana


Emas meneruskan kenaikan dalam sesi kedua pada Khamis selepas Naib Pengerusi Rizab Persekutan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen, yang mungkin menjadi pengerusi seterusnya bagi Rizab Persekutuan menunjukkan petanda bahawa bank pusat akan terus menyokong ekonomi menerusi program rangsangan.

Harga jatuh tinggi dalam empat sesi sehingga Selasa selepas pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan kukuh AS menaikkan kebimbangan bahawa Persekutuan akan mula mengehadkan rangsangan mulai Disember.

“Namun, dalam komen yang disediakan kepada Jawatankuasa Perbankan Senat pada Khamis, Yellen, calon Presiden Obama untuk mengepalai Persekutuan berkata, ekonomi dan pasaran buruh mencatatkan prestasi lebih rendah berbanding prestasi sebenar.

“Bersandarkan kepada apa yang dikatakan Yellen, ia tidak zahir bahawa tindakan mengehadkan rangsangan akan berlaku sehingga ekonomi stabil.

“Dolar sudah turun sedikit dan ia juga menyokong harga,” kata Pengarah Urusan Pedagang Goldsilver Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, Brian Lan.

Spot emas naik 0.2 peratus kepada AS$1,281.49 seauns menjelang 0752 GMT, selepas menyaksikan penurunan berterusan empat hari pada Rabu dengan kenaikan hampir satu peratus.

Emas AS naik sebanyak 1.6 peratus, menjejaki spot emas. Kontrak hadapan perak naik dua peratus. Indeks dolar berada pada paras rendah dalam seminggu.

Pembelian bon bulanan Persekutuan sebanyak AS$85 bilion menjadi penyokong penting harga emas beberapa tahun kebelakangani kerana ia merangsang tarikan logam itu sebagai aset lindung nilai.

Kebimbangan ekonomi semakin baik mungkin mencetuskan Persekutuan mengehadkan langkah rangsangan tidak lama lagi sudah menyebabkan harga emas turun hampir 25 peratus tahun ini.

Permintaan fizikal sudah meningkat ketika emas didagangkan di bawah AS$1,300 seauns tetapi tidak kukuh untuk memberikan harga status peringkat atas.

Pengaliran keluar SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia, bersambung semula selepas dihentikan selama dua minggu lalu.

Pegangan dana itu jatuh 2.71 tan kepada paras rendah baru sebanyak 865.71 tan pada Rabu. Ia kekal tidak berubah sepanjang November kerana ketidaktentuan berkaitan rangsangan kewangan. – REUTERS

Tawar Harga Tinggi

Kuala Lumpur: Ufun Gold Sdn Bhd (Ufun Gold) pembeli emas daripada pelabur emas menyasarkan jualan logam berkenaan bernilai RM500 juta selepas tempoh setahun beroperasi di sepuluh negara termasuk Malaysia dan mencapai RM2 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketika ini, Ufun Gold mempunyai sepuluh pasaran di Asia antaranya Thailand, Vietnam, Singapura, Brunei, Korea Selatan dan Indonesia.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Zamri Mohamad Nazir berkata, Ufun Gold menawarkan harga pembelian tinggi bagi pelabur emas fizikal yang pernah gagal sebelum ini semasa menyertai pelaburan emas.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa membantu mereka yang pernah terbabit dalam perniagaan emas dan mengalami kerugian atau mereka yang mempunyai emas fizikal tetapi tidak tahu cara menggandakan pendapatan melalui emas dimiliki.

FotoPENGARAH Pemasaran Ufun Store, Tanial Tay (dua dari kiri) bersalaman bersama Isman Nadim Isam (dua dari kanan) selepas menandatangani perjanjian antara Ufun Group dan Hijjaz sambil diperhatikan Mohd Zamri (kiri) dan Ahmad Ariffin Ahmad Rahim.

“Ufun Gold memiliki kepakaran serta profesional dalam pengurusan perniagaan ini yang mana kami menawarkan pelan perniagaan emas kepada penjual emas.
“Antara pelan perniagaan yang ditawarkan kepada pembeli ialah mereka boleh menyertai perniagaan hartanah atau menyertai kelab Ufun bagi membantu mereka yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan emas,” katanya pada majlis pelancaran Ufun Gold di sini, semalam.

Ufun Gold adalah milik bersama Kumpulan Hijjaz di bawah pengurusan Ufun Group.
Zamri berkata, matlamat perniagaan Ufun juga ingin melahirkan lebih ramai usahawan emas yang mana menerusi pembelian emas fizikal dari peniaga emas yang gagal dapat membantu mereka membangunkan semula perniagaan mereka.

 

sumber : Metro

Membeli Emas Menggunakan Duit Kutu

emas-kutu2

“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50

Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.

Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.

“Saya menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.

“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.

“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.

Dia yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan lain bermain kutu.

Katanya, permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.

“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.

“Itupun terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.

Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.

Kamariah berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.

Katanya, kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Arwah bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.

Sambil menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.

“Bermain kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.

“Lagipun, kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.

“Kami kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan ‘urusan’ me­ngutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.

Hias diri, pelaburan paling utama

SEPASANG suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.

Kini Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua cawangan francais.

Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan kemas bukan hanya sebagai perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di pasaran.

“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan diri atau untuk pelaburan.

“Jangan terkejut jika ada lelaki datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.

“Kebanyakan pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu membeli emas dalam jumlah sedemikian.

“Kebanyakan mereka adalah golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.

“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas (dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk tujuan sama.

“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.

Jika Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi perniagaan keluarga.

Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.

Menurut menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan pelaburan.

“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.

“Rata-rata masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.

“Yang menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.

Menurut pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan lebih 500 orang.

“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.

“Untuk itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran terkini.

“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati, mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai orang tempatan suka emas 916.

“Namun ada juga yang sukakan permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.

Harga emas jarang menjunam

MEMBELI emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Jika dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi.

Perkara itu diakui pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12 tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.

“Kebanyakan rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai atau menurun.

“Hakikatnya, harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia hanya sementara.

“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.

Suhaimi turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh, kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi.

“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.

Sebagai perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda.

Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia.

Ini diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama ada di segi harga atau piawaiannya.

Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.

Menurutnya, di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.

“Di Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.

“Ia penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,” katanya.

Bagaimanapun, bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu.

“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.

“Kita boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang sembarangan.

“Ada segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.

Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.

“Emas perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah muda.

“Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan.

“Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis,” katanya.

Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama

200 CCTV pantau kilang emas

kilang emasPENERBANGAN dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang mengambil masa selama 40 minit bagaikan tidak terasa. Ia mungkin disebabkan perasaan teruja untuk melawat sebuah kilang emas iaitu peluang yang jarang diperoleh.

Di dalam hati sudah membayangkan si tukang emas mengerjakan jongkong emas hingga menjadi rantai, gelang dan cincin. Apatah lagi barang kemas itu mahal harganya sekarang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas, penulis dijemput pengasas kilang dan peruncit emas Hana Gold, Datuk Hairulazwan Tamam. Hana Gold ialah sempena nama anak sulung beliau iaitu Humairah.

“Sebenarnya saya berasal dari Ampang, Selangor. Ayah saya hanya seorang pemandu teksi manakala ibu suri rumah sepenuh masa,” Hairulazwan membuka cerita ketika kereta yang dipandunya bergerak perlahan menuju ke tempat penginapan penulis di ibu negeri Pulau Mutiara itu.

“Sejak berumur lima tahun lagi saya berniaga makanan secara kecil-kecilan selain mengambil upah mencuci pinggan di kantin sekolah,” sambung Hairulazwan.

Pendidikan lelaki ini pernah terhenti pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum beliau menyambung pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah universiti di Australia beberapa tahun kemudian.

Melawat kilang Hana Gold di Jalan Sungai Pinang, George Town memberikan pengalaman yang berbeza. Seperti yang dikatakan tadi, bukan semua orang dapat memasuki tempat yang amat bernilai ini.

Kamera tersembunyi

Modal untuk membuka kilang itu sahaja sekitar RM5 juta, dan pasti ia didatangkan sekali dengan ciri-ciri keselamatan tahap tertinggi.

Hairulazwan memberitahu, aspek keselamatan itu meliputi faktor logistik, sistem dan pengurusan yang efektif.

EMAS akan dileburkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas acuan di kilang Hana Gold di Pulau Pinang.

 

“Seperti kebanyakan kilang lain, pelawat dan pekerja perlu mengambil pas lawatan di bilik pengawal. Kemudian, mereka akan melalui beberapa pintu pagar besi yang terbuka secara automatik.

“Di sini, terdapat 200 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang bagi memantau pergerakan pekerja dan keadaan di sekeliling bangunan

“CCTV pula ada yang boleh dilihat dengan mata kasar selain ada yang tersembunyi tanpa disedari pekerja. Kamera ini aktif 24 jam,” tegas beliau.

Kilang itu terletak berdekatan dengan lapangan terbang, balai polis serta beberapa buah kilang emas yang lain.

Boleh dikatakan tiada gambar yang boleh dirakam di premis ini khususnya gambar pekerja dan keseluruhan bangunan kilang dua tingkat itu.

Pekerja Hana Gold pula dikehendaki mematuhi peraturan yang agak ketat.

“Contohnya, jika pihak syarikat memberikan 200 gram emas mentah untuk diproses, barang kemas yang terhasil juga mestilah dalam lingkungan berat yang telah ditetapkan.

“Dengan kata lain, pekerja kilang emas tidak akan dapat membawa keluar walaupun 1 gram emas,” ujarnya sambil memberitahu, kebanyakan pekerja syarikat itu mempunyai pertalian kekeluargaan antara satu sama lain.

Teruja menceritakan proses penghasilan barang kemas, Hairulazwan berkata, kandungannya perlu 91.6 dan 99.0 peratus emas.

“Itu standard yang ditetapkan mengikut piawaian dunia,” katanya.

Harga semasa emas 999 (24K) ialah RM156.71 bagi 100 gram manakala emas 916 (22K) RM143.90 bagi 100 gram.

Pelakon terkenal Hollywood, Nicole Kidman pernah memakai rantai leher antara yang termahal di dunia iaitu bernilai RM4 juta. Rantai emas yang disaluti berlian 2.5 karat itu dipakai semasa dia berlakon filem Moulin Rouge pada tahun 2001.

Menurut Hairulazwan, rekaan setiap barang kemas dibuat menggunakan aplikasi komputer.

“Kemudian, pekerja kilang akan melebur kepingan-kepingan kecil emas seberat 5 kilogram (kg) menggunakan mesin khas pada suhu sekitar 1000 darjah Celcius.

“Selesai tahap itu, emas yang dilebur akan dimasukkan ke dalam bekas acuan berbentuk batang dan jongkong sebelum disejukkan menggunakan air sabun dan air paip dalam tempoh kurang seminit.

Pembelian pukal

“Kemudian, batang dan jongkong tadi dipotong dan dibentuk oleh pekerja menggunakan mesin mengikut rekaan yang diminta pelanggan,” katanya.

Kaedah lain untuk menghasilkan barang kemas ialah menggunakan replika pokok yang diperbuat daripada lilin dan tanah liat. Pokok itu kelihatan seperti bunga emas yang dijadikan ufti semasa zaman raja-raja Melayu dahulukala.

MEMILIKI aksesori emas seperti gelang, rantai dan cincin sememangnya menjadi idaman setiap wanita.

 

“Daun-daun pokok itu akan dibuat katalah dalam bentuk cincin. Biasanya ada kira-kira 100 helai bunga cincin pada sebatang pokok. Selepas itu, bunga-bunga cincin tadi disadurkan dengan emas. Setelah cincin emas terbentuk, proses seterusnya ialah menyingkirkan lilin dan tanah liat menggunakan mesin khas.

“Ini bagi memastikan emas, tembaga dan platinum sahaja yang menjadi bahan asas barang kemas berkenaan.

“Selepas dikeringkan, cincin itu selalunya akan terus berkilau,” katanya.

Menurut Hairulazwan, tiada tempoh tertentu untuk seorang tukang emas mahir menghasilkan aksesori emas kerana kebanyakan proses tersebut menggunakan peralatan moden.

Tambahnya, seramai 60 pekerjanya mendapat ilmu daripada tukang emas terdahulu.

Hairulazwan juga sempat berkongsi kisahnya menghasilkan gelang dan rantai sendiri untuk diberikan kepada isterinya pada ulang tahun kelahiran wanita itu.

“Siapa tak sayangkan isteri, hadiah itu agak kecil berbanding pengorbanannya,” ujarnya berfalsafah.

Difahamkan, Hana Gold menjual barangan kemas tersebut di 14 cawangan kedai emasnya mengikut harga semasa. Apa yang menarik, ia tidak mengenakan kos upah seperti yang diamalkan kebanyakan pengusaha kedai emas lain.

Menurut Pengarah Pemasaran Hana Gold, Nadia Yahaya, pihaknya tidak mengenakan caj upah memandang setiap kali membeli emas mentah, mereka membelinya sehingga 100 kilogram secara pukal dari pasaran dunia semasa harganya agak kompetitif.

“Jadi kos tersebut dapat diserap tanpa perlu caj tambahan ke atas pembeli,” katanya.

Bagi pemilik Hana Gold cawangan Putrajaya, Dayangku Ramlah Awang Win, 38, berniaga emas banyak kelebihannya.

“Wanita sememangnya menggemari emas. Tambahan pula, barangan kemas rekaan Hana Gold boleh dikatakan cantik-cantik tetapi berharga lebih murah. Jadi inilah masa yang sesuai untuk wanita di luar sana membeli barang kemas sama ada untuk dipakai atau dijadikan pelaburan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2kLZd6oxD
Hakcipta terpelihara

Emas Ditemui Dalam Daun Kayu Putih

Sydney: Kumpulan penyelidik di Australia menemui zarah emas tersembunyi di dalam daun pokok kayu putih, di hutan wilayah barat negara itu, penemuan dikatakan dapat membantu pelombong mencari simpanan baru logam berharga itu.

Saintis daripada Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) berkata, mereka menemui logam itu di dalam daun pokok terbabit di hutan wilayah Kalgoorlie, yang pernah menjadi lokasi rebutan emas pada akhir 1800.

 Pakar kimia Mel Lintern berkata, kajian mendapati pokok terbabit menyerap zarah emas pada kedalaman 30 meter di bawah tanah melalui akarnya.
 “Akar tunjang pokok kayu putih bertindak sebagai pam hidrolik di dalam tanah dan menyerap air mengandungi emas,” katanya.

Jadi toksik

Beliau berkata, oleh kerana zarah emas itu berkemungkinan besar menjadi toksik, sistem pohon terbabit memindahkannya ke bahagian daun dan dahan yang dapat dibuang apabila ia gugur.
Di dalam kajian yang diterbitkan jurnal Nature Communications, CSIRO berkata zarah emas di dalam daun pokok berkenaan tidak akan mencetuskan rebutan emas kerana saiznya cuma sebesar satu perlima daripada saiz rambut manusia dan hanya dapat dilihat melalui imbasan X-ray.

Penyelidik yang terbabit di dalam kajian itu menganggarkan, zarah emas daripada daun 500 pokok kayu putih diperlukan untuk menghasilkan seutas gelang tangan.

Teroka emas

Bagaimanapun mereka berkata, penemuan itu memberi peluang kepada usaha meningkatkan kaedah penerokaan mencari emas selain menjadikannya lebih canggih dan mesra alam.

“Kaitan antara tumbuhan dengan simpanan emas yang tertanam di dalam tanah boleh membantu saintis menghasilkan teknologi baru penerokaan bahan galian,” kata Lintern.

Penemuan simpanan emas baru merosot 45 peratus sejak dekad lalu, manakala harga logam itu melonjak ketika simpanannya semakin berkurangan. – AFP

Emas hampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan

Emas diniagakan dalam jajaran sempit semalam, berlegar menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan di tengah-tengah peningkatan pengaliran keluar dana pelaburan berkaitan emas.

Situasi semasa itu turut diburukkan lagi dengan laporan bahawa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai beberapa kemajuan ke arah menyelesaikan kebuntuan masalah bajet negara itu.

Harga emas, komoditi yang kebiasaannya dianggap paling selamat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, kini dilihat gagal meningkat walaupun perbalahan mengenai kebuntuan fiskal di AS berlarutan sebelum ini.

goldcore_bloomberg_chart1_07-10-13

 

Harga komoditi itu menyusut kira-kira empat peratus di bawah paras AS$1,300 seauns sejak kerajaan AS mengisytiharkan penutupan sementara sebahagian daripada operasinya, bermula 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan analisis sejarah, kita boleh menjangkakan harga emas bakal meningkat dalam tempoh minggu di mana kerajaan AS berdepan dengan kebuntuan masalah fiskalnya,” kata penganalisis di Nomura Securities Sydney, Amber MacKinnon.

“Sekiranya situasi itu benar-benar berlaku, emas akan berada dalam corak pegangan (peningkatan pembelian).

“Peningkatan harga komoditi itu juga boleh berlaku jika berlakunya penurunan (kredit) kewangan AS,” katanya.

MacKinnon berkata, sebelum ini, semasa perdebatan masalah fiskal AS untuk meningkatkan had siling hutang negara itu pada 2011 – yang mana penyelesaiannya hanya dicapai pada minit terakhir – harga emas tidak bertindak balas dengan ketara sehinggalah selepas Standard & Poor menurunkan penarafan kredit AS.

Harga komoditi itu akhirnya mencecah paras tertingginya iaitu AS$1,920 seauns pada September tahun itu.

“Nampaknya, emas tidak meningkat dalam tempoh masa AS mengalami masalah ketegangan politik (dan harga emas dijangka meningkat semula) sehinggalah selepas peristiwa itu tamat,” kata MacKinnon.

Harga rujukan emas meningkat sehingga 0.02 peratus kepada AS$1,273.10 seauns pada 0317 GMT, selepas berlakunya rentetan penurunan selama empat hari dalam sesi sebelumnya.

SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia (ETF), berkata pegangan emasnya susut 1.85 tan kepada 889.13 tan pada Isnin lalu, untuk mencecah tahap terendah dalam tempoh empat tahun.

Situasi ini sekali gus mencerminkan menurunnya keyakinan dalam kalangan pelabur.

Pengawal Keselamatan Curi Barang Kemas Ibu Di Penjara 2 Tahun

Kota Bharu: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencuri barang kemas bernilai RM45,000 milik ibunya yang sedang bersolat, dua bulan lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas Khairul Ikhsan Mohamed Hazman, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan. “Saya harap kamu insaf ketika menjalani hukuman ini di penjara,” nasihat Nik Habri yang memerintahkan hukuman berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Ogos 2013.

Mengikut pertuduhan, Khairul Ikhsan didakwa mencuri beg tangan milik ibunya mengandungi tujuh rantai leher, 12 gelang tangan, 18 bentuk cincin, empat loket, tiga kerongsang, 15 kepingan berbentuk bulat berwarna kekuningan yang keseluruhan bernilai RM45,000 di Lot 2030, Jalan Wakaf Stan, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 8 Ogos 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa mahu solat Zuhur, anaknya masuk ke dalam bilik bertanyakan buku cek ibunya yang hilang sebelum ini dan wanita itu memberitahu anaknya buku cek berkenaan belum ditemui lalu meneruskan solat manakala tertuduh menyelongkar almari dan mengeluarkan beg mengandungi barang kemas.

Selepas selesai solat, mangsa mendapati anak lelakinya keluar dari rumah bersama beg itu.

Terdahulu, tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

sumber – Metro