Fakta Ringkas Beli & Simpan Emas

1. Emas merupakan simpanan/pelaburan yang amat baik untuk jangkamasa sederhana dan panjang. Ini kerana nilai emas sentiasa meningkat dalam jangkamasa panjang.

2. Mengambil contoh harga untuk 1 Oz (31.10 gram) syiling Kijang Emas pada 18 Julai 2001 ialah RM1082.00 dan pada 17 Jun 2008 – harganya ialah RM3048.00 !!! Ini adalah kenaikan harga sebanyak 181.70% dalam masa 7 tahun atau purata kenaikan 25.95% setahun!!

3. Seterusnya lihat pula pada graf emas dunia (dalam tempoh 10 tahun), Pada Jun 1998, harga emas adalah 300 USD per Oz (RM30.86/gram), manakala pada Jun 2008, harga emas mencecah 890 USD per Oz (RM91.50/gram). Oleh itu, ini bermakna kenaikan adalah 284% dalam 10 tahun bersamaan 28.4% setahun!

4. Berbanding terus kekal dalam simpanan tunai, nilai akan kekal sama untuk sebarang tempoh masa. Namun, nilai ini akan makin terhakis dari masa ke semasa dek kenaikan inflasi.

5. Tambahan lagi, fakta yang orang sering terlepas pandang ialah emas juga merupakan salah satu aset sama seperti aset hartanah dan perumahan. Berbanding aset hartanah dan perumahan, aset emas merupakan aset mampu milik kerana harga untuk mendapatkan aset ini adalah lebih kecil.

KESIMPULAN
Jika benar kita mempunyai sejumlah tunai yang memang kita rancang menyimpan untuk satu jangka masa (lebih daripada 2 tahun), tindakan lebih bernas adalah dengan menukarkannya kepada simpanan emas. Menyimpan emas akan mencegah susut nilai tunai selain menjadi penebat kepada inflasi yang sedang berlaku sekarang.

publicgoldperak.com

Apa Itu Emas? #

Sifat Emas

Emas merupakan logam berwarna kuning berkilauan yang perlu dilombong kerana ia tidak boleh dicipta. Namun begitu, emas juga boleh berwarna seperti delima atau hitam apabila dibahagi dengan halus. Warna emas adalah disebabkan oleh frekuensi plasmon emas yang terletak pada julat penglihatan, mengakibatkan warna merah dan kuning dipantulkan sementara warna biru diserap.

Emas juga mudah ditempa dan dimulurkan sehingga apabila 1 gram emas yang ditempa boleh menjadi satu kerajang bersaiz satu meter panjang dan satu meter lebar atau 1 auns kepada 300 kaki2. Oleh sebab itu, emas biasanya dipadukan atau dialoikan dengan logam lain seperti perak (argentum) dan tembaga (kuprum) untuk menjadikan lebih keras. Emas yang dialoikan ini biasanya dibentuk untuk dijadikan emas hiasan (barangan kemas) atau duit syiling kerana sifatnya akan menjadi lebih keras dan membolehkan emas ini dibawa dan dipegang tanpa risau ia akan bengkok atau terhakis.

Tambahan lagi, emas juga merupakan pengalir elektrik yang baik. Sifat ini menjadikan emas muncul sebagai logam industri penting pada akhir abad ke 20. Emas digunakan dalam pembuatan lapisan nipis elektroplat pada permukaan penyambung elektrik yang biasanya didapati dalam litar barang-barang elektronik seperti komputer dan alat telekomunikasi. Oleh sebab itu, terdapat segelintir daripada kita yang giat mengumpul emas yang terdapat pada perkakasan elektronik lama dan rosak.

Ketulenan Emas

Karat adalah ukuran ketulenan emas dalam aloi. Setiap karat mewakili nisbah ketulenan 1 / 24, yang menunjukkan berapa banyak bahagian-bahagian daripada 24 adalah tulen. Oleh itu, 24 karat emas adalah tulen, manakala 18 karat emas ¾ emas dan ¼ aloi (Dictionary of international trade: handbook of the global trade community by Edward G. Hinkelman).

Berikut adalah beberapa contoh yang biasa digunakan:

24-karat = 0,995-0,000 tulen emas

22-karat =0,916 tulen emas

18-karat = 0,750 tulen emas

14-karat = 0,583 tulen emas

10-karat = 0,4167 tulen emas

Ukuran Berat Emas

Secara amnya, emas diperdagangkan dengan menggunakan unit ukuran ‘Troy Ounce’ yang telah diterima pakai oleh Mint AS untuk mengawal selia sistem mata wang pada tahun 1828. Berikut memberikan penukaran anggaran antara berat tradisional dan metrik.

Sejarah Emas

Emas telah digunakan sejak daripada zaman dahulu, seawal zaman pra-sejarah lagi. Emas juga telah dilaporkan dalam beberapa dokumen-dokumen lama yang menyatakan emas digunakan sebagai barang hiasan.

Selain digunakan sebagai hiasan, emas telah lama dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah. Emas telah digunakan sebagai simbol ketulenan, nilai tinggi, kedaulatan, dan lebih-lebih lagi peranan yang mengaitkan sifat-sifat tersebut.

Nilai Emas

Seperti logam-logam bernilai yang lain, emas dinilai dengan berat troy dan apabila ia dialoi dengan logam yang lain perkataan karat digunakan untuk menunjukkan kuantiti emas yang hadir, 24 karat adalah emas tulen. Sejarah menunjukkan bahawa emas pernah digunakan untuk menyokong matawang dalam sistem yang digelar piawaian emas di mana satu unit matawang adalah bersamaan dengan beberapa jumlah berat emas. Dalam sistem ini, kerajaan dan bank pusat cuba untuk mengawal harga emas dengan meletakkan nilai yang mereka ingin tukarkan dengan matawang.

Untuk sekian lamanya nilai emas diletakkan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada harga $20.67 per troy auns, namun pada tahun 1934 nilai ini ditetapkan pada harga $35.00 per troy auns. Disebabkan krisis emas pada Mac 17 1968, satu skim peletakan harga dua peringkat diperkenalkan di mana emas masih lagi digunakan untuk menguruskan akaun antarabangsa pada nilai lama iaitu $35.00 per troy auns ($1.13/g) tetapi harga emas dalam pasaran persendirian dibenarkan untuk turun-naik. Pada 1975 sistem dua peringkat ini diabaikan apabila harga emas dibenarkan untuk turun-naik. Semenjak 1968 harga emas pada pasaran terbuka telah turun-naik dengan luasnya, dengan rekod tertinggi $850/oz ($27,300/kg) pada 21 Januari 1980, sehinggalah ke rekod terendah $252.90/oz ($8,131/kg) pada 21 Jun 1999 (Tetapan London). Harga emas telah meningkat ke $500/oz pada penghujung 2005, oleh sebab susut nilai dolar Amerika dan inflasi akibat kenaikan kos tenaga.

Oleh kerana kegunaannya sebagai stor simpanan nilai, pemilikan emas persendirian kadang kala dihadkan atau diharamkan. Di dalam Amerika Syarikat, pemilikan emas secara persendirian kecuali sebagai bahan kemas atau pengumpulan duit syiling diharamkan dari tahun 1933 ke tahun 1975.

Sebagai pelaburan ketara, emas kadang kala dipegang sebagai sebahagian daripada portfolio kerana pada jangka masa yang panjang emas telahpun memiliki sejarah yang lama dalam pengekalan nilainya. Emas menjadi semakin menarik di saat-saat keyakinan rendah dan semasa hiperinflasi kerana emas mengekalkan nilainya walaupun apabila wang hampa menjadi tidak bernilai.

Elak Ditipu Beli Emas

Memiliki barangan perhiasan emas menjadi perkara wajib bagi kaum wanita, malah ia seolah-olah satu kebanggaan buat golongan itu apabila mereka mampu membeli barangan kemas yang mahal dengan rekaan menawan.

Namun kadang-kala ada yang kerugian akibat tertipu apabila membeli barangan emas tidak tulen atau kadar kandungan emas kurang daripada dinyatakan, daripada penjual barangan kemas tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd (Habib), Mohd Zaruddin Mahmud, memberikan beberapa tip kepada pembeli supaya mereka lebih berhati-hati dalam urusan pembelian barangan emas dan mengelak daripada ditipu hingga boleh menyebabkan kerugian wang.

Menurutnya, perkara yang perlu diambil berat adalah membeli barangan emas daripada ejen jualan sah, kedai emas dan syarikat yang mempunyai reputasi dan rekod jual beli emas yang baik.

PELANGGAN bersesak di dalam Habib di Ampang untuk membeli barangan kemas.

Ada orang beli terus daripada ejen yang tidak bertauliah dan tidak tahu sumber barangan kemas itu dari mana, menyebabkan masalah boleh timbul dan tidak dapat dirujuk kepada pengeluar emas itu.

“Pelanggan juga perlu periksa dan lihat kandungan emas dalam barangan kemas, apakah ia sama seperti didakwa penjual, kerana ada kalanya mereka mendakwa emas 916 tetapi bila diperiksa, kandungan emasnya kurang daripada itu.

“Di Habib kami ada alat untuk mengukur dan menunjukkan kandungan emas kepada pelanggan supaya mereka dapat lihat sendiri kandungan emas yang ada.

“Barangan kemas tidak boleh dinilai dengan cara melihat berdasarkan fizikalnya saja. Ini kerana emas 916 boleh datang dalam bermacam warna, tidak semestinya kuning berkilau,” katanya.

Warna emas 916 boleh berubah mengikut jenis kandungan logam yang dicampur di dalamnya tetapi jumlah emasnya ialah 91.6 peratus mana kala emas 999 hanya mempunyai satu warna iaitu kuning kerana ia tulen.

Selain itu, pembeli perlu meminta resit pembelian dan lihat sama ada tertulis kandungan emas misalnya 916 atau 999. Ia penting kerana dapat memastikan emas itu mempunyai kandungan seperti yang didakwa.

Mohd Zaruddin berkata, bagi mereka yang mahu membeli jongkong emas, perlulah memastikan ia disertakan dengan sijilnya sekali bagi memudahkan urusan jualan balik.

Menurutnya, jongkong emas yang paling terkenal dan diterima di seluruh dunia adalah Pamp Swisse yang didatangkan bersama sijil. Namun katanya, biarpun mempunyai sijil, kandungan emas yang ada tetap perlu diperiksa.

“Jika pembeli tidak kisah untuk memeriksa kandungan emas, mereka akan rugi kerana kedai lain tidak mahu menerimanya dan tidak boleh patah semula ke kedai yang menjualnya.

“Di Habib kami menerima semua jenis emas yang dibeli mengikut kandungan emas dalam satu-satu barang. Jika pelanggan nak tukar dengan emas lain atau menjual untuk tunai juga kami terima,” katanya.

Habib yang sudah aktif dalam perniagaan barangan kemas sejak 56 tahun lalu kini mempunyai 30 cawangan di seluruh Malaysia, malah kualiti emas yang dikeluarkan diterima di seluruh dunia.

Malah ketika harga emas turun mendadak baru-baru ini, Habib diserbu selama dua minggu oleh pelanggan yang mahu mendapatkan pelbagai jenis barangan emas, sebaik pintu kedai dibuka untuk urusan jual beli.

Katanya, penurunan harga emas dijangka tidak lama dan ia berlaku disebabkan spekulasi yang dibuat di pasaran emas. Dia percaya harga emas akan meningkat kembali tidak lama lagi.

“Sebenarnya permintaan emas di seluruh dunia sentiasa tinggi dan emas yang ada tidak cukup untuk menampung permintaan itu. Orang ramai sekarang juga mempunyai pengetahuan dalam harga emas dan disebabkan itu, mereka mengambil kesempatan harga rendah untuk membeli barangan emas kerana mereka tahu harga akan naik semula.

“Kini wanita gemar membeli barangan kemas 916 kerana mahu memakai pelaburan mereka. Bank juga mempunyai rizab dalam bentuk jongkong emas membuatkan harga emas pasti akan naik semula,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zaruddin berkata, harga emas dan harga upah tukang emas bagi barangan keluaran Habib adalah sangat kompetitif di pasaran, kerana pihaknya mempunyai prinsip dan kepercayaan kepada perkongsian keuntungan bersama pelanggan.

Ada penjual jongkong emas menetapkan syarat kepada pelanggan bahawa sekiranya plastik yang memegang jongkong dibuka, harganya akan jatuh sehingga 25 peratus namun Mohd Zaruddin menepis syarat berkenaan dan mengatakan ia sebagai anggapan yang salah.

“Harga emas tidak akan terjejas hanya kerana sarung plastiknya dibuka kerana ia perlu diukur mengikut kandungan emas. Bagi saya penjual emas perlu jujur dan mungkin mereka tidak yakin dengan berurus niaga,” katanya.

Selain itu, Mohd Zaruddin turut berkongsi tip penjagaan barangan kemas supaya ia sentiasa berkeadaan cantik dan warnanya tidak terjejas iaitu mengelak barangan emas daripada terkena bahan seperti asid, alkohol atau minyak wangi.

Dia menasihatkan supaya barangan kemas dibuka ketika hendak mandi dan dipakai kembali selepas sudah bersiap dan memakai haruman, bagi mengelak warnanya pudar.

“Bagaimanapun, emas yang pudar juga tidak merosakkan nilainya kerana apa yang penting ialah kandungan emasnya. Jika hendak hantar cuci juga tidak ada masalah. Namun jika ia dihantar untuk digilap, ia akan mempengaruhi sedikit beratnya tetapi tidak besar.

“Jika beratnya berubah banyak selepas digilap, maka ada sesuatu masalah dalam proses menggilap yang dilakukan itu. Di Habib, jika ada tompokan pada barang kemas atau ia putus, ia tetap tidak menjejaskan harga kerana kami beli ikut kandungan emas yang ada,” katanya. -mymetro

Cara Mengetahui Tanah Yang Mengandungi Ketulan Emas

Suatu ketika dahulu, pernah terjadi seorang lelaki yang berusaha mencari emas di sebuah terowong menemui ajalnya apabila terowong tersebut runtuh. Lebih menyayat hati, mayatnya tidak dapat dikeluarkan atas faktor keselamatan pegawai bertugas. Ini yang orang ramai sedang mencari. Emas. Harganya sentiasa meningkat, jika turun pun sedikit. Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup mencari emas biarpun terpaksa bertarung nyawa. Di bawah ini tentang cara mengetahui tanah yang mengandungi ketulan emas.

Ciri-ciri Tanah Mengandungi Emas

1) Tanah yang mengandung mineral sulfida yang tinggi. (berbau seperti belerang)
2) Wujudnyanya mata air panas di sekitar kawasan tersebut.
3) Sekitarnya ada gunung berapi yang sudah lama ada.
4) Ada aliran sungai di kawasan berhampiran.
5) Mempunyai lapisan tanah lempung yang tebal.
6) Terdapat batuan putih berurat emas (urat kaca atau batuan kaca lutsinar)

Ciri-ciri di atas hanyalah untuk pengesanan awal sahaja, untuk memastikan kewujudan emas sebenar, ujian merkuri dan ujian-ujian lain masih perlu dilaksanakan.

7 Kelebihan Pelaburan Emas vs Tanah

1. Emas mudah dibeli. Asal ada duit extra boleh beli. Untuk tanah, sebelum beli kena check status samada betul milik pemilik, tidak dicagar di bank dan tiada masalah perebutan dikalangan pemilik, lepas tuh kena buat Sales and purchase agreement. Jika harga tanah mahal, kena buat loan, kena ada deposit dan lain-lain. Leceh kan?

2. Emas mudah dibahagikan. Kalau kita ada 100 gram emas, kita mudah jer bahagikan samada tukar kepada 20 gram x 5 bahagian. Tanah kalau nak bahagikan mmg proses nya rumit. Kalau tanah tu kecik lagi susah nak pecah. Last2 sorang dapat bahagian yang terlalu kecil, nak buat rumah pun tak lepas.

3. Emas mudah dicairkan. Boleh jual dimana2 kedai emas atau di Hargaemas . Tanah ambil masa untuk dijual sebagaimana proses diatas perlu diambil oleh pembeli. Kadangkala mengambil masa bertahun-tahun menunggu pembeli dgn harga yang dipersetujui kedua pihak. Jika memerlukan wang segera terpaksa jual dengan harga rendah yang kadangkala merugikan penjual.

4. Emas tidak perlu penyelengaraan. Tanah perlu ada sempadan, perlu bayar cukai tanah setiap tahun. Masalah pencerobohan, masalah banjir, ternakan masuk ke kawasan tanah dan pelbagai masalah lain.

5. Emas kenaikan harga tinggi setiap tahun 20-30%. Kenaikan tanah bergantung kepada lokasi, paling rendah kenaikan 5% sahaja. Lokasi strategik, harga tanah pun mahal. Tidak semua orang mampu membeli tanah di lokasi strategik.

6. Emas boleh digadaikan dengan mudah, asalkan berat dan ketulenan tepat. Tanah juga boleh dicagar, tetapi prosesnya agak panjang dan rumit. Tanah tersebut perlu dinilai oleh jurunilai panel bank, kemudian perlu mohon dari bank dan pemohon mempunyai keupayaan pembayaran balik dengan bukti pendapatan tetap.

7. Emas tiada siapa boleh tahu berapa banyak emas kita miliki. Tanah mudah untuk diketahui pemilikan tanah kita termasuk rekod oleh Jabatan Tanah, rekod pembayaran cukai tanah dan setiap penjualan tanah dikenakan pelbagai cukai oleh kerajaan.

taukeyemassarawak

Cara Mengira Susut Nilai EMAS #

Apa Yang Perlu Anda Tahu:

Sekiranya anda nak trade-in @ cash kan emas anda, perkara paling penting yang harus anda tahu:-

  • Jumlah berat emas anda (Supaya bila kedai timbang anda boleh pastikan timbangan tu betul)
  • Harga semasa @ harga jual kedai yang anda nak trade-in /jual emas anda
  • Berapa susutnilai yg dikenakan. (Sila tanya kedai..penting nanti anda boleh kira betul @ tak nilainya)
  • Kalau ada resit pembelian terdahulu lagi bagus. (Sbb ada detail jenis emas & berat emas yg anda beli dulu).

Macam Mana Nak Kira??
Mudah sahaja!! Okey andaikan berat emas anda 20 gram ye.
Berat emas : 20 gram
Jenis emas : 916
Harga jual semasa kedai : RM 195/gram (Retail price pd Oktober 2012)
Susutnilai kedai : 20% ( depend pd kedai susutnilai setiap kedai ada yg berbeza)

Dengan info yg kita ada di atas, apalagi..anda tekanlah juga kalkulator kat kedai tu, dan kira sama tak value yg anda kira dgn kedai kira. Ok jom kita kira..saya buat contoh dgn dua harga semasa yg berbeza.

Kedai A : Harga jual RM 195 & Susut Nilai 20%
Nilai Emas semasa =(20grm x RM 195) = RM 3900
Jumlah susut nilai = (20grm x RM 195) x 20% =RM 780
Nilai Emas Anda = 3900 – 780 = RM 3120 (Inilah nilai emas anda)

Kedai B : Harga jual RM 175 & Susut Nilai 15%
Nilai Emas semasa =(20grm x RM 175) = RM 3500
Jumlah susut nilai = (20grm x RM 175) x 15% =RM525
Nilai Emas Anda = 3500 – 525 = RM 2975 (Inilah nilai emas anda)
**biasanya kadar susut nilai tradein 15~25% dan cash 30~35%..sila rujuk kedai

Penting Untuk Anda!!!
Berdasarkan pengiraan di atas, anda mesti lagi teruja dgn harga yang ditawarkan oleh kedai A kan. Nanti dulu..penting untuk anda tahu…bila anda bercadang nak trade-in emas anda jangan sekadar tengok nilai RM yang ditawarkan tapi..YG PENTING berapa jumlah gram emas baru yang anda dapat nanti. Anda sepatutnya pilih kedai yg dapat menawarkan jumlah gram tertinggi pada anda. Kalau saya..saya pilih kedai B. Macam mana pula nak kira..berapa jumlah gram emas baru yang sepatutnya anda boleh dapat??

Berapa Gram Emas Baru Anda Boleh Dapat
Berdasarkan pengiraan saya, selepas ditolak jumlah susutnilai, Nilai emas anda di kedai A, RM3120 manakala kedai B, RM2975. Ok jom kira berapa gram emas baru yg anda boleh dapat sekiranya anda tak bercadang nak tambah ape2 duit lagi. Andaikan emas baru yang anda pilih kos upah nya adalah RM100. Kos upah ini anda perlu tolak dari nilai emas terlebih dahulu utk mendapatkan jumlah gram emas baru anda.

Kedai A–> RM3120 dan Harga Jual RM 195
Nilai setelah tolak kos upah- 3120-100 = 3020
Jumlah gram emas baru = 3020/195 = 15.49 gram (Nilai emas bahagi dgn harga jual kedai)

Kedai B–> RM2975 dan Harga Jual RM 175
Nilai setelah tolak kos upah- 2975-100 =2875
Jumlah gram emas baru = 2875/175 = 16.43 gram (Nilai emas bahagi dgn harga jual kedai)

Bagaimana??
Anda faham tak maksud saya. Pertamanya..emas anda yg 20 grm tu..dah susut beberapa gram la kan. Keduanya, wlwpun nilai emas di kedai B lebih rendah berbanding kedai A, tapi kedai B anda boleh dapat jumlah gram yg lebih banyak dari kedai A..betul tak?. Ketiga..kos upah juga memainkan peranan dlm menentukan jumlah gram anda. Kos upah sesuatu kedai adalah berbeza. Kadang2 design sama tapi kos upah ada yg mahal ada yg murah. Lg murah kos upah..lagi byk jumlah gram emas baru yg anda boleh dapat. Kalu kos upah lg mahal..maka sikit la jumlah gram yg anda dapat sebab nilai emas tu nak cover kos upah emas yg baru tu..betul tak.

Bagaimana kalau emas baru anda lagi berat gramnya?
Katakan emas baru yg anda pilih lagi berat dari jumlah gram yg sepatutnya anda dapat, berapa pula nilai yg anda kena top up? Jom kira..andaikan emas baru yang anda pilih beratnya 19 gram dan kos upah RM 100

Kedai A–> RM3120 dan Harga Jual RM 195
Nilai Emas Baru – (19grm x 195)+ 100 = RM3805
Jumlah Nilai kena Topup – 3805-3120 = RM685

Kedai B–> RM2975 dan Harga Jual RM 175
Nilai Emas Baru – (19grm x 175)+ 100 = RM3425
Jumlah Nilai kena Topup – 3425-2975 = RM450

Macam mana? Faham…maknanya anda kena byr lebih utk gram yang sama di kedai A berbanding kedai B sebab harga jual semasa di kedai A adalah tinggi dari harga kedai B.

Macam mana pula kalau nak tukar dengan cash
Kalau anda berhasrat nak cash kan emas anda…biasanya susut nilai yg dikenakan adalah tinggi berbanding susut nilai trade in…kenapa?? Saya pun tak tau kenapa kedai buat rules camtu. Cara nak kira sama je macam nak kira nilai susut nilai dekat entri Part 1 cuma tukar peratus susut nilai tu je. Bagi saya kalau anda nak cash kan emas anda survey la dulu pada mana2 tempat @ individu yg boleh offer harga tertinggi utk emas anda

Kesimpulan
Pendapat 10 sen saya..kalau anda bercadang nak tukar emas lama anda pada yang baru, anda harus ingat..jangan pandang nilai dalam RM saje ye..tapi berapa gram emas baru yang anda boleh dapat @ anda kena lihat berapa gram emas lama anda tu hilang. Kalau rajin cari la tempat yg offer susut nilai yg terendah. Sama juga kalau nak cash kan emas anda..cari lah plak yg offer harga tertinggi tapi kalau anda bercadang nak tambah gram emas anda…cari lah yang boleh offer harga terendah…pilihan di tangan anda..so..renung2kan dan selamat beramal…okehyy..

duniaemaskini.blogspot.com

Perlombongan Emas Tradisional Melayu di Aceh

Semasa mengunjungi kota Tapak Tuan di Aceh Selatan dua minggu sebelum pilihan raya lepas saya sempat singgah di sebuah perkampungan yang kini menjadi sebutan ramai kerana kawasan itu kaya dengan bahan galian (mineral) terutamanya emas, biji besi, kuprom dan lain-lain. Kampung dimaksudkan itu ialah Sawang.

Kiri kanan adalah bangsal kilang emas di Sawang.

Sawang terletak kira-kira 30 km dari bandar Tapak Tuan yang dikenali dengan Kota Singa. Adapun ia disebut Tapak Tuan sempena dengan seorang pertapa yang alim. Nama pertapa itu tidak diketahui. Kesan tapak kakinya ada tertinggal di atas sebongkah batu di sebuah telok di pantai Aceh Selatan, maka itu bandar itu dinamakan “Tapak Tuan”. Saya percaya kesan tapak kaki itu adalah replika atau pun bukan yang original

Penemuan emas di Sawang sejak beberapa tahun lalu. Tepatnya selepas Aceh dilanda bencana tsunami 2004. Ia menjadi tumpuan penduduk Aceh bukan saja dari Aceh Selatan tetapi sampai dari Bandar Aceh atau Aceh Besar juga. Bahkan mereka yang datang mencari rezeki di daerah Sawang, nun jauh dari Jawa Timur yang bertindak sebagai penggali. Orang Jawa terkenal dengan kepakaran dan berani untuk melakukan kerja-kerja pengerudian di bawah tanah hingga sampai 60 hingga 100 meter ke dalam.

Hari ini kerja menggali dan membawa turun bongkah batu dari gunung atau memproses emas dari ketulan batu batan merupakan kerja utama penduduk di daerah berkenaan di samping kerja-kerja kampung lain, bertukang rumah, nelayan ataupun bersawah padi dan menanam sayur-sayuran.

Proses menghancurkan batu

Boleh dikatakan hampir seluruh penduduk daerah itu terlibat dengan kerja atau industri berkenaan. Masing-masing terlibat mengikut kepakaran dan kebolehan masing-masing. Dari menggali emas di sebuah kawasan terletak di lembah gunung Sawang itu, membawa turun sampailah kepada mengayak atau mengasingkan emas dari selut dan pasir di kilang-kilang yang terletak di kaki gunung sejauh 5 km.

Khabarnya kehidupan penduduk kampung berkenaan dan kampung berdekatan berubah wajah dan roma sejak penemuan bahan paling bernilai itu. Penemuan logam itu memberi sumber pendapatan baru kepada penduduk setempat.

Menyaksikan industri berkenaan dilakukan secara total tradisional mengasyikkan. Sekaligus ia menggambarkan bahawa masyarakat Aceh masih jauh ketinggalan dan masih hidup seca tradisi tetapi mereka mahir mengenainya. Semua mereka yang terlibat dengan kerja menggali sampai ke mengayak adalah kaum lelaki. Inilah keistimewaan orang Aceh mereka tidak menggalak kaum perempuan berkerja di luar rumah kecuali bertani.

Sekali pandang kegiatan penduduk di situ tidak ubah seperti kumpulan semut yang berkerja dalam satu kumpulan besar menguruskan kehidupan mereka secata tersusun dan semuljadi. Di kiri kanan jalan memasuki ke perkampungan itu sepanjang kira-kira 20 km dari jalan besar, terlihat oleh kita rumah-rumah kecil alias bangsal yang ditempatkan kilang memproses atau mengasingkan emas. Keadaanya persis seperti sebuah pekan cowboy yang sibuk dengan kenderaan motosikal yang menjadi kenderaan utama memunggah bongkah-bongkah batu ke kilang pemecah.


Salah satu mesin penggiling batu.

Bangsal itu didirikan di sepanjang jalan. Di sebelah kanan masuk ke kampung itu ia di dirikan di atas sepanjang tebing sungai Sawang. Kejerinihan air sungai ini mendamaikan. Mengikut hitungan rambang saya lebih 100 buah rumah atau bangsal yang dibina dengan kayu dan beratapkan daun nipah. Di setiap bangsal itu ada sebuah mesin untuk mengasingkan tanah, batu-batan dari emas.

Proses mengasingkan serbuk emas dari batu dan pasir ringkas saja. Mulanya batu-batu yang dibawah turun diketuk agarnya pecah kemudian digiling dengan mesin yang mempunyai empat atau lima roller.  Habuk gilingan akan dialirkan menerusi satu saluran untuk dimendapkan ke dalam air yang bercampur dengan selut. Selut yang mengandungi serbuk emas itu akan disaring menggunakan kain atau penapis.


Bentuk serbuk emas yang sudah disebatikan.

Melihat rupa bentuk atau teknik mesin itu ia adalah made in Sawang, 100% ertinya mereka mencipta sendiri mesin pengasing berkenaan. Mesin itu menunjukkan daya kreatif dan inovatif masyarakat Aceh yang suka mencipta barang-barang berkaitan mesin untuk kegunaan sendiri. Selepas diasing debu-debu yang sudah dihancurkan akan disaring dan mendapkan ke dalam air kemudian serbu emas itu, yang merupakan bintik-bitik dipadukan dengan raksa.

Itu kegiatan di bawah bukit, tetapi berlainan pula kegiatan menggali dan menggerudi ketulan batu emas di lembah gunung Sawang yang terletak kira-kira 5 atau 6 km dari kawasan pemerosesan (kilang). Di atas bukit Sawang dan lembahnya kedapatan ratusan lubang yang ditutupi dengan khemah biru. Kerja-kerja menggali emas ini sungguh mengkagumkan dan ia merbahaya. Lubang seluas 4 kaki pesegi digali atau memuatkan seorang untuk turun ke bawah. Kedalamannya mencecah sehingga 60 meter hingga 100 meter dalamnya. Menurut maklumat pernah berlaku kemalangan jiwa di dalam lubang berkenaan.


Bentuk jalan untuk naik ke gunung Sawang.

Untuk naik ke puncak gunung Sawang saja sudah meletihkan. Kita akan berjalan atau menaiki motorsikal yang dibawa secara lasak sejauh kira-kira 2 km. Untuk naik dan turun memerlukan masa kira-kira 1 jam setengah.

Sepanjang jalan menuju ke gunung itu berliku-liku dan di tengahnya berlorong macam laluan gajah atau kerbau. Hanya pemandu yang cekap saja dapat menunggang motorsikal dijalanan berkenaan. Terdapat ratusan motor yang naik turun untuk mengambil bongkah dan membawa turun ke bangsal penghancur. Laluan itu menjadi seolah-olah trek perlumbaan motorsikal lasak.

Di bawah khemah inilah lubang untuk turun ke bawah.

Mereka yang bekerja membawa bongkah batu dan pasir ke bawah itu kebanyakan penduduk tempatan terdiri dari kaum remaja. Ada juga yang datang dari luar Aceh Selatan. Setiap buah motorsikal akan membawa lima hingga tujuh bongkah dengan kadar upah satu bongkah atau satu guni RM1.50

Mereka mula berkerja dari seawal pagi jam 8:00 pagi hinggalah ke waktu senja dan ada kalanya membawa ke malam tanpa ada rihat. Mereka bekerja tujuh hari seminggu. Ditanya pendapatan pemunggah bongkah atau guni batu ini seharian mereka akan memperolehi di antara RM20 hingga RM30.


Lubang yang hanya muat seorang untuk turun ke bawah.

Manakala pendapatan bagi sehari untuk satu kilang sekitar 1 mayan emas, atau sekitar RM100 hingga RM150. Emas-emas yang sudah ditepukan dengan raksa akan dijual. Pengilang tidak perlu membawa emas ke bandar kerana sudah ada taukeh-taukeh yang datang membeli di kilang, atau mereka sudah menempah awal-awal.

Menurut satu sumber kapasiti emas yang terdapat di gunung Sawang dan disepanjang lembahnya dianggar 30 kilometer tidak terhitung. Masih kedapatan kira-kira 300,000 ekar kawasan yang masih belum terusik dan dipercayai kawasan ini mempunyai kepadatan emas yang tinggi.

Tidak anihlah kalau Tapak Tuan kini sedanag menjadi tumpuan para taukeh emas di beberapa negara jira termasuk Cina dan Malaysia. Pelabur asing juga sudah mulai meninjau ke situ dan sekiranya tidak ada apa-apa aral melintang Tapk Tuan akan menjadi pusat pelombongan emas terbesar di Aceh dalam sedikit masa lagi. [wm.kl.8:50 pm 17/05/13]

pautan: http://msomelayu.blogspot.com/2013/05/meninjau-emas-di-tapak-tuan-aceh-selatan.html

Barang Kemas Bersejarah

Jika anda memiliki barangan kemas terutama di kalangan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang sekitar 1700, ia simbol kekayaan atau status individu.

Tidak hairanlah, ada sanggup menyewa atau meminjam barangan kemas dari kedai emas untuk dipakai pada majlis keramaian.

Itu gambaran mengenai penggunaan emas di kalangan masyarakat Jawi Peranakan iaitu etnik hasil perkahwinan campur antara wanita Melayu dengan lelaki India, Arab, Benggali, Punjabi atau Acheh.

Menghargai budaya dan mengekalkan warisan masyarakat itu, Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib, mengambil langkah membuka Galeri Warisan Habib di Lebuh Pitt, Georgetown.

Galeri itu menempatkan lebih 1,000 koleksi bara­ngan kemas Jawi Peranakan serta Baba dan Nyonya yang dikumpul bapanya, pengasas Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif di bangunan warisan berusia lebih 100 tahun yang juga bangunan asal kedai Habib Jewels di negara ini.

Galeri yang menelan kos membaik pulih RM1 juta itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Februari tahun lalu dan kini dibuka setiap hari kecuali Ahad antara jam 9 pagi sehingga 6 petang.

Ketika melangkah ke tingkat atas bangunan berkenaan, alunan muzik klasik P Ramlee dimainkan bagi mewujudkan latar belakang suasana sambil mata ‘dijamu’ keindahan bara­ngan kemas dan perabot lama.

Kata suami kepada Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin itu, galeri berkenaan dibuka bagi membuka mata masyarakat khususnya golo­ngan muda kegemilangan emas lama yang mempunyai keunikan serta nilai sejarahnya tersendiri.

Mengenai barangan kemas di galeri itu, Meer Sadiq berkata, ia adalah barangan yang dikumpulkan bapanya sejak 70 tahun lalu melalui kenalan luar negara, pusat lelongan barangan dan kedai emas sebelum membuka kedai Habib Jewels yang menggunakan nama MA Habib Mohamed.

Beliau berkata, bara­ngan kemas yang dibeli dengan harga serendah RM50 ketika itu, kini nilainya mencecah jutaan ringgit dan menjadi buruan peminat emas kerana seni rekaannya yang halus yang kebanyakannya bermotifkan flora.

“Barangan kemas yang dipamerkan di galeri ini adalah seperti rantai, subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, pencucuk sanggul, tali pinggang, butang baju dan lengan, kerongsang baju selain syiling emas, mangkuk emas, tepak sireh, jam dan gunting.

“Paling unik ialah kerongsang berbentuk bunga lawang, butang baju tradisional dari syiling emas, gelang kaki berusia 200 tahun, cincin berbentuk buah kana dan kapal terbang serta perabot seperti meja solek, bidai dan almari antik.

“Selain barangan kemas bagi tujuan pameran, kami turut menjualnya dan harga bergantung kepada jenis dan berat barangan kemas itu,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Menurutnya, barangan kemas lama itu kini menjadi buruan penggemar fesyen kerana ia amat menarik apabila dipadankan dengan pakaian tradisional seperti kebaya atau baju kurung.

“Lihat saja barangan kemas seperti yang dipakai dalam filem P Ramlee seperti Antara Dua Darjat dan Ibu Mentuaku, yang mana pelakonnya mengenakan kebaya dengan padanan kerongsang dan ia kini menjadi ikutan,” katanya.

Selain terus mengumpul barangan kemas, Meer Sadik berusaha mendapatkan beberapa barangan lama bagi melengkapkan galerinya seperti peta bertulisan lama Perancis, yang kini mengambil masa untuk diterjemahkan.

“Bangunan galeri warisan ini mung­kin yang terakhir milik Jawi Peranakan di negeri ini, justeru saya berharap menjadikan Galeri Warisan Habib ini tumpuan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, bagi arkitek yang bertanggungjawab dalam ‘menghidupkan’ semula warisan itu, Laurence Loh berkata dia menerima tawaran kumpulan Habib kerana kagum dengan nilai sejarah dan warisan di Pulau Pinang.

Arkitek yang memenangi anugerah Pemuliharaan Warisan Budaya pada 2000 di UNESCO Asia-Pacific Heritage bagi Projek Paling Hebat dalam membangunkan semula Cheong Fatt Tze Mansion, Lebuh Leith itu berkata dia menyokong usaha Meer Sadik memelihara warisan keluarganya.

“Ramai menganggap bangunan yang menggunakan kayu bersifat sementara dan akan rosak ditelan masa namun de­ngan usaha pemuliharaan ini, ia menjadi permulaan yang baik bagi mencipta kesedaran kepada masyarakat mengenai kepenti­ngan mengekalkan bangunan warisan,” katanya.

Katanya, dia mempu­nyai pelbagai perancangan memulihkan projek warisan pada masa depan bagi memastikan nilai warisan tapak tidak hilang ditelan masa.

Fakta Galeri Warisan Habib

Dibuka: Februari 2012
Masa lawatan: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Ahad
Masuk: Percuma
Alamat: No 111, Lebuh Pitt, Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang

iPad Bersalut Emas 24 Karat Untuk Penghuni Burj Al Arab

Satu–satunya hotel bertaraf tujuh bintang Burj Al Arab, Dubai mengumumkan bahawa mereka akan membekalkan setiap tetamunya dengan iPad bersalut emas 24 karat sepanjang tempoh menginap di hotel tersebut sebagai sebahagian daripada virtual concierge.

Hotel ini sememangnya terkenal sebagai sebuah hotel yang menawarkan “kemewahan” seiring dengan falsafah mereka iaitu “stay different“.

iPad bersalut emas 24 karat ini telah direka dan disediakan khusus oleh Gold & Co, London dan ianya eksklusif untuk Burj Al Arab.

Selain daripada iPad bersalut emas 24 karat ini, Hotel Burj Al Arab turut menyediakan iMac di setiap bilik hotel mereka. Sekiranya berhasrat untuk menginap di Burj Al Arab, pastikan anda betul – betul “kaya” memandangkan kos menginap di hotel tersebut adalah sekitar £985 semalaman dan mencecah £12,339 untuk Royal Suite.

P/S : iPad mesti dipulangkan semasa “check-out“.

Kesemua Mayat Tragedi Lombong Emas Ditemui

TIMIKA – Pasukan penyelamat berjaya menemui baki tujuh lagi mayat dari terowong sebuah lombong di timur Indonesia yang runtuh, kata pihak pengurusan lombong dari Amerika Syarikat yang memiliki lombong berkenaan hari ini.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut kepada 28 orang.

Firma Freeport-McMoRan cawangan Indonesia dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat menemui dan mengenalpasti mayat pekerja terakhir pagi ini.

Firma tersebut turut mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung.

Seramai 38 pekerja terperangkap pada kejadian yang berlaku pada 14 Mei lalu dalam terowong lombong Grasberg yang merupakan antara lombong emas dan kuprum terbesar di dunia.

Seramai 10 pekerja berjaya diselamatkan hidup-hidup susulan nahas itu pada Selasa lepas. – AFP