Zakat Emas & Perak

Zakat Emas dan Perak
Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang.

Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

Dalil Wajib Zakat
Firman Allah s.w.t:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”
(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.
(Hadis riwayat Abu Hurairah)

Kaedah Kiraan Zakat Emas dan Perak

1. Emas Perhiasan Wanita
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Mungkin anda boleh mencari kadar uruf bagi negeri lain.

Contoh:
(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)

1000 gram x RM140 = RM139000 x 2.5% = RM3500

2. Emas Yang Disimpan
Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang,jongkong emas, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram

Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%

100 gram x RM140 = RM14000 x 2.5% = RM350

3.Perak
Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih

Contoh:
1000 gram perak x RM3(segram) x 2.5% = RM75

———————————————————————————————
Zakat ialah cara untuk kita bersihkan harta kita, zakat juga boleh dibayar dengan menggunakan dinar dan dirham. Rukun Islam yang ke-4 ialah mengeluarkan zakat, berzakatlah anda, jangan terasa rugi apabila anda mengeluarkan zakat. Rezeki datang dari Allah Yang Esa, dan berada dimana. carilah!

Hanya Kerana Pin Rambut Emas Meiktila Bergolak

KONFLIK antara penganut Buddha dan umat Islam di Myanmar meletus lagi. Kali ini bukan di Sitwe, wilayah Rakhine tetapi di pekan Meiktila (juga ditulis Meikhtila). Pekan tersebut terletak hanya kira-kira 160 kilometer (km) dari Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Jarak antara Sitwe (tempat meletusnya konflik Rakhine dan Rohingya) dengan Meiktila lebih kurang 700 km. Dua pekan ini dipisahkan oleh Banjaran Arakan Yoma dan perjalanan di antara dua tempat ini boleh mencecah belasan jam.

Demografi dan topografi kedua-dua tempat itu juga amat berbeza. Rakhine merupakan kawasan pesisir pantai, berbeza dengan Meiktila yang terletak dalam wilayah Mandalay iaitu di kawasan tengah Myanmar yang digelar ‘jantung Myanmar’.

Dari segi penduduknya, etnik Rakhine merupakan penduduk majoriti di wilayah Rakhine selain terdapat jumlah etnik Rohingya yang signifikan. Di Meiktila pula, penduduknya rata-rata terdiri daripada etnik Bamar yang juga merupakan kaum majoriti di Myanmar.

Persoalannya bagaimana konflik antara penganut agama Buddha dengan Islam mampu mengharungi Banjaran Arakan Yoma dan merebak dari Sitwe ke Meiktila? Timbul juga tanda tanya yang sememangnya menarik perhatian – adakah antara insiden di kedua-dua tempat itu saling berkait?

Konflik di Meiktila dicetuskan oleh perkara yang amat remeh iaitu apabila satu pasangan beragama Buddha ingin menjual pin rambut emas dengan harga RM496 kepada seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam. Selepas tawar-menawar, masing-masing bersetuju dengan harga RM372.

Peniaga emas itu bagaimanapun meninggalkan kedai sebentar pergi ke tempat lain untuk mengenal pasti kualiti pin rambut emas itu. Pergaduhan tercetus apabila peniaga tersebut pulang dan mahu mengurangkan harga belian dengan mendakwa pin rambut itu telah rosak.

Masing-masing bertelagah mengenai siapa yang merosakkan pin rambut itu. Akhirnya, peniaga emas berkenaan bertindak melontar pin rambut tersebut. Lelaki yang ingin menjual pin itu pula mendakwa dirinya telah dipukul oleh pembantu-pembantu kedai yang lain.

Akibat pertelagahan tersebut, sebuah masjid dan banyak kedai dibakar. Belasan orang termasuk seorang sami Buddha dipercayai terkorban manakala ratusan polis mengepung Meiktila. Perintah berkurung dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan konflik merebak.

Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Meiktila hanya sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Meiktila mencipta nama di peringkat global kerana di Tasik Meiktila itulah, pemenang hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan suaminya, Dr. Michael Aris berbulan madu.

Selain itu, Meiktila juga merupakan pusat transit pengangkutan bas bagi dua destinasi pelancongan terkemuka di Myanmar iaitu Tasik Inle di negeri Shan dan Kompleks Arkeologi Bagan. Banyak pelancong asing dari Tasik Inle dan Bagan akan singgah di Meiktila untuk menjamu kauk swe jaw (mi goreng Myanmar) sambil minum la peik ye (teh tarik Myanmar) sebelum meneruskan perjalanan ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Namun konflik pin rambut emas menjadikan Meiktila seperti zon perang dengan penduduknya menyembunyikan diri di dalam rumah dan hidup ketakutan. Pasar Meiktila yang sebelum ini meriah dengan suara tawar-menawar dipenuhi polis yang berkawal.

Yang pasti api permusuhan antara penganut Buddha dan Islam yang bermula dari Sitwe telah merebak sehingga Meiktila.

Walaupun keadaan di Sitwe sedikit sebanyak pulih kepada normal namun hati penduduk di situ dan seluruh Myanmar masih belum ditenangkan, tidak kira mereka yang beragama Buddha atau pun Islam.

Legasi sejarah perkauman yang masih menghantui rakyat Myanmar sekali lagi dibangkitkan. Generasi muda melalui buku-buku sejarah tahu bagaimana tanah pusaka nenek moyang mereka tergadai kerana berhutang dengan ceti-ceti dari India termasuk yang beragama Islam.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai penduduk Islam di Myanmar mempunyai legasi dengan India yang boleh dikesan sejak penjajahan British atau lebih awal. Istilah Myanmar Muslim digunakan untuk menggelar kumpulan penduduk ini selain membezakan mereka dengan etnik Rohingya.

Fenomena fobia terhadap Islam pernah mencetuskan pelbagai rusuhan sebelum dan selepas penjajahan British, malahan selepas kemerdekaan. Keadaan itu mendesak banyak umat Islam yang berasal dari India melarikan diri.

Banyak penduduk Myanmar melihat etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Kemarahan mereka terhadap etnik tersebut sebenarnya berjangkit kepada umat Islam secara umumnya.

Dalam kalangan umat Islam pula, mereka secara automatik percaya bahawa etnik Rohingya telah ditindas habis-habisan melalui tindakan balas dendam besar-besaran etnik Rakhine.

Kepercayaan ini bukan disebabkan mereka mempunyai hubungan dengan Rohingya tetapi kerana persepsi bahawa penganut Islam sebagai orang yang tertindas.

Sebab itu hanya kerana pin rambut emas, ia boleh mencetuskan tragedi yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

Kejadian itu menggambar betapa rapuhnya hubungan orang Islam dengan Buddha di Myanmar. Ia turut menggambarkan rasa tidak puas hati penduduk beragama Buddha di Meiktila yang kebanyakannya petani terhadap peniaga beragama Islam. Maka dalam keadaan tertentu, senario itu mungkin boleh digambarkan sebagai konflik antara kelas yang didorong oleh perbezaan agama.

Perkembangan di Meiktila boleh dijadikan isyarat bahawa konflik penganut Buddha dengan Islam di Myanmar tidak lagi bersifat setempat atau terhad di negeri Rakhine. Konflik seumpama itu boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Yangon sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dengan serta-merta.

Simbol pusat bandar Yangon ialah Pagoda Sule yang dikatakan berusia 2,000 tahun di tengah-tengah kesibukan sebuah bulatan jalan raya. Menariknya, pagoda Buddha itu dikelilingi oleh gereja Kristian dan masjid Sunni yang bersejarah.

Oleh sebab keunikan itu, pengunjung yang berjalan kaki di pusat bandar Myanmar kadang-kala boleh mendengar nyanyian lagu penganut kristian, bacaan doa penganut Buddha dan laungan azan pada masa yang hampir sama.

Suasana tersebut melambangkan walaupun Myanmar diduduki secara majoriti oleh penganut Buddha tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Myanmar dan setiap penduduk negara itu mempertahankan keharmonian yang sedang dinikmati. -Utusan

Harapan Temui Pelombong Emas Tertimbus di Tibet Semakin Pudar

BEIJING: Harapan pasukan pencari dan penyelamat China untuk mengesan 82 lagi mangsa tanah runtuh yang berlaku di kawasan perlombongan emas di sebuah kawasan pergunungan Tibet semalam, kini semakin pudar.

Seramai 3,500 anggota pasukan penyelamat serta 300 kelengkapan jentera menyertai gerakan mencari dan menyelamat itu, sambil ada yang hanya menggunakan tangan kosong untuk mencari mangsa tertimbus selain berdepan salji tebal dan ancaman penyakit.

Menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua, seramai 82 pelombong masih terperangkap setelah seorang mangsa ditemui semalam, iaitu hampir 36 jam selepas kejadian tanah runtuh besar yang menimbus pekerja lombong emas di Lhasa di daerah Maizhokunggar, pada jam 6 pagi Jumaat.

“Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang tertimbus, tetapi sehingga kini belum dapat mengesan lokasi mereka,” kata Wu Yingjie, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Autonomi Wilayah Tibet Parti-Komunis China. – AFP