emas genneva kementerian kewangan

Liabiliti Syarikat Emas Genneva Melebihi Aset

emas genneva kementerian kewanganBank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.

Sementara itu, berkaitan isu Konsortium Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Awang Adek berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi jaminan untuk melakukan penstrukturan semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

“Memang (IWK) mempunyai masalah struktur. Masalahnya ialah caj kepada pengguna adalah RM2 ke RM8, tidak cukup untuk menanggung kos operasi sebenar RM23 seunit. IWK nak caj RM23, kerajaan tidak benarkan kerana rakyat bising, rakyat kata mahal,” katanya.

– Bernama

Porsche Berwarna Emas dicuri di Showroom

KUALA LUMPUR  : Kereta Porsche Panamera bernilai kira-kira RM900,000 yang dicuri dari sebuah bilik pameran di Jalan Bukit Bintang pada 11 Okt lepas, ditemui semula berdekatan sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini, hari ini.

Porsche Panamera 4
Ianya ditinggalkan di tempat letak kereta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan jarak lokasi dari tempat kereta itu disamun hanya kira-kira 24 kilometer sahaja. Ketika ditemui, Porsche tersebut memakai nombor pendaftaran palsu, WGU 123.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kereta Porsche berwarna emas itu ditemui dalam keadaan baik pada 12 tengah hari.
“Kereta mewah itu kini diletakkan di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian itu, kereta Porsche berkenaan dilarikan pada kira-kira 9 pagi oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa dengan seorang petugas di bilik pameran itu.
Lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudian naik ke tingkat satu premis dan menggeledah meja untuk mencari kunci kereta berkenaan sebelum melarikan kereta itu.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan pada keesokannya di Klang dan tempoh reman lelaki itu dilanjutkan setelah penemuan Porsche itu.
Polis juga masih mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, yang alamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana dekat sini untuk membantu siasatan.
ban negara genneva

FAQ : Serbuan Syarikat Genneva Malaysia

ban negara genneva

Susulan banyak pertanyaan yang diterima oleh agensi-agensi penguat kuasa berhubung dengan tindakan yang diambil baru-baru ini terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, berikut adalah soalan lazim berserta jawapan untuk rujukan orang ramai, khususnya pihak-pihak yang terbabit.

Kenyataan bersama oleh:

Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bank Negara Malaysia

Soalan Lazim (FAQ)

S:  Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat-syarikat tersebut?

J:   Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim yang berisiko, dan juga untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Syarikat yang terbabit sedang dalam siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelakkan cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat-syarikat tersebut?

J:   Kebimbangan ini timbul kerana syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Syarikat-syarikat tersebut menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baru dilaburkan dalam skim ini.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat ini biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

S:  Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang? 

J:   Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah didapati terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan yang sah.

S:  Apakah status tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?

J:   Siasatan masih lagi berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sahaja untuk sebarang maklumat terkini kes-kes ini.

S:  Berapa lamakah tempoh siasatan?

J:   Tempoh siasatan akan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Kerjasama daripada pihak yang terbabit akan membantu proses siasatan. Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguat kuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?

J:  Berhubung dengan kes skim kewangan haram yang disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Di bawah seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang diberikan kuasa untuk membekukan apa-apa aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.

S: Apakah yang akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.  Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah.

S:  Bolehkah pelabur yang terbabit menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah. Pelabur mungkin boleh memfailkan kepada Mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat tentang sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur? 

J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, dengan memberikan jaminan bahawa jumlah pokok yang dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihati supaya merujuk kepada agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Ingatlah – sekiranya skim tersebut adalah indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar skim tersebut adalah skim palsu;
  • Berwaspada dengan skim Ponzi. Ia merupakan skim pelaburan yang berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baharu untuk membayar kepada pelabur awal atau sedia ada.  Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baharu tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah;
  • Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melabur/mendeposit wang;
  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur;
  • Hendaklah lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet;
  • Berwaspada dengan apa-apa peluang pelaburan yang tidak bertulis;
  • Jika pelaburan telah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan; dan
  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:

Sekiranya anda mengetahui skim pelaburan yang berunsurkan penipuan, anda digalakkan untuk membuat laporan polis.

Bank Negara Malaysia
22 Oktober 2012

Hanya mahkamah boleh urus emas yang dirampas

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan bagi kes-kes jenayah melibatkan skim kewangan haram menggunakan emas hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata pelabur mungkin boleh memfailkan tuntutan pihak ketiga kepada mahkamah bagi pemulangan wang atau emas mereka, namun maklumat berkenaan perkara itu akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

Kenyataan Bank Negara bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikeluarkan bagi menjawab soalan-soalan lazim orang ramai berkaitan serbuan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan kegiatan kewangan haram menggunakan emas.

Kenyataan itu menyebut aset dan emas yang dirampas semasa serbuan akan didokumenkan dengan teliti, diambil kira dan disimpan di tempat selamat.

Katanya operasi mencari dan merampas aset-aset tersebut adalah bagi mengelakkan syarikat yang disyaki daripada menyembunyikan bahan bukti; selain mengelakkannya daripada lesap dan memberi kesan buruk kepada pelabur.

Menurutnya, pada masa ini siasatan masih lagi dijalankan namun tempoh siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti dan keseriusan sesuatu kes.

“Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Siasatan ini diberi keutamaan tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, selain merujuk kepada agensi berkaitan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan kewangan tidak berlesen. – BERNAMA

Kenyataan Firma Pelaburan Emas Sedang Direkodkan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil kenyataan daripada pihak yang terbabit selepas mereka memulakan penyiasatan secara besar-besaran terhadap beberapa firma pelaburan emas.

Bank Negara berkata agensi yang berkaitan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pengarah, pengurus kanan firma, ejen-ejen dan pelabur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bank pusat itu menambah bahawa analisis terperinci dan menyeluruh sedang dijalankan ke atas aset dan liabiliti syarikat yang terlibat.

“Pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat yang terlibat juga diarahkan supaya mengisytiharkan harta mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk pasangan masing-masing dan proksi mereka,” katanya.

Awal bulan ini, BNM bersama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Sehari selepas itu, tiga lagi firma pelaburan emas turut diserbu atas kesalahan yang sama mereka adalah, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

“Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan.

“Orang ramai dinasihati supaya menyemak dengan agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjur, orang ramai diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM di talian 1-300-88-5465.

Teori konspirasi emas dan bank

klik untuk besarkan paparan imej

Salam kpd anda semua, apa yang anda baca hanya berdasarkan kepada pemahaman saya yang kurang ilmu ekonomi.

Teori konspirasi: Kalo org ramai mula berpindah pada emas (spt Kelantan) sbg tempat simpanan (reservoir), bank2 di Malaysia akan ada defisit dari segi simpanan. Oleh itu, Bank xde modal utk buat loan sbb rakyat Malaysia tak menabung di Bank tapi mmbuat simpanan emas.

Inilah dinamakan sistem kapitalis di mana keuntungan melalui hutang.Beli emas utk untung/rugi itu cerita lain. Tapi kalo semua org dah tak simpan duit kat bank, bank nak berniaga pakai duit apa??

Cth: BNM akan beri wang RM10 juta kepada Bank A dengan harapan Bank A memberi loan kpd org ramai dan dgn kadar faedah 5% setahun, keuntungan BNM ialah RM500,000 setahun.. Jika pinjaman 20 tahun (RM10 juta + RM10 juta = RM20 juta)..hehehe

Jika orang ramai beralih kepda simpanan emas, so tiada pulangan keuntungan dari pihak bank dan bank terpaksa mencetak duit fiat utk dapatkan keuntungan dan ini akan menyebabkan inflasi..

Bila berlaku inflasi akan memberi kesan kepada kenaikkan harga barang, rumah dan sebagainya.

pautan: http://www.uncangemas.net/2012/10/teori-konspirasi/

Curi Emas : 21 Kuil di Perak Dipecah Masuk

IPOH: Sebanyak 21 buah kuil Hindu di beberapa daerah di negeri ini telah dipecah masuk dan emas di bawah patung berhala kuil terlibat didapati hilang. Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata kejadian itu dipercayai dilakukan oleh satu sindiket sejak tiga minggu lepas.

“Polis menerima 21 laporan berhubung kes tersebut membabitkan beberapa kuil Hindu di Selama, Kuala Kangsar dan Sungai Siput,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini. Katanya kejadian itu berlaku pada waktu malam dan hanya disedari penjaga kuil pada waktu pagi keesokan hari. Bagaimanapun, katanya jumlah kerugian masih belum diketahui.

Mohd Shukri menjelaskan bahawa kes tersebut tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau keagamaan dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah. Sehubungan itu, beliau meminta penjaga kuil supaya bekerjasama dengan polis yang melakukan rondaan bagi memastikan penjenayah terbabit dapat diberkas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang menyiasat laporan berhubung beberapa papan iklan yang memaparkan wajah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sekitar Manjung yang disimbah cat merah, semalam.

Katanya polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 47 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Polis masih menjalankan siasatan dan belum ada tangkapan dibuat. Mereka yang terlibat melakukan perkara itu tidak akan terlepas daripada undang-undang,” katanya.

geneva emas pelabur bunuh diri

Pelabur Geneva cuba bunuh diri -Kosmo

geneva emas pelabur bunuh diri
MUHD. KHAIRUN (kiri) bersama sekumpulan pelabur emas syarikat Genneva Malaysia yang menyerahkan bantahan kepadanya untuk disampaikan kepada BNM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan membunuh diri, tidak mampu membiayai kos rawatan dialisis buah pinggang antara sebahagian kisah sedih yang dihadapi 60,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia).

Masalah itu timbul selepas operasi syarikat tersebut digantung sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu kerana Genneva disyaki mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Wakil perunding dan pembeli emas Genneva Malaysia, Al Jaz- zura Khan berkata, pelabur menghadapi masalah itu kerana mereka hilang pendapatan.

Ikuti perbincangan di forum: http://hrg.ms/SRRBgV

Ramai terpengaruh dengan SKIM PELABURAN EMAS

skim pelaburan emas

SKIM PELABURAN EMAS jual Gold Bar pada 25% lebih tinggi dari spot price.

Katakan RM 215/gm.

Katakan dia beli 100 gm maka Harga ialah Rm 21,500.Hibbah yang di janjikan ialah 2% sebulan.
Nampak memberansangkan 24 % setahun. Sebulan 2 % dapatlah Rm 430.

Setahun Rm 5,160.Maka berbondong bondonglah orang pergi bank buat pinjaman peribadi yang faedahnya antara 4-8 % setahun.
Namun mereka lupa banyak syarikat tempatan yang jual Emas Fizikal @ Gold Bar seperti GCP, Sri Ayu, Kelantan Gold, Public Gold , GSR dan lain-lain tak termasuk Pamp Suisse yang dibawa dari luar. Bank pun ada jual seperti UOB.

Sebagai contoh harga semasa Public Gold 100 gm yg setelah ditolak komisen 2 % ialah RM16,850

Jauh tak perbezaan RM 21,500 – 16,850 = RM 4,650 ( Dekat Facebook boleh dapat lagi murah – Rantai Tangan 999 di jual pada RM16,300 – RM16,500 )Itu belum lagi jikakalau beli barangan kemas yg boleh di manupulasi dalam sistem arrahnu.
Jadi pembeli tak payah dapat hibah pun dah untung serta merta Rm 4,650.

Maka persoalan macamana mereka boleh bayar hibbah 2 % sebulan tanpa ada perniagaan???

jawapannya, ANDA SENDIRI YANG MEMBAYAR HIBAH ANDA SENDIRI.Ia amat sesuai untuk mereka yang tidak tahu tempat membeli emas yang lebih murah. Pamp Suisse jauh lebih murah dan diakui sedunia. Carilah ilmu. Gunalah Pakcik Google pun boleh dapat tahu harga Gold Bar yang sesuai dengan pasaran semasa.
Kalau nak cerita bab hukum hakam halal haram memang dia orang tolak ke tepi, walaupun sudah ada e Fatwa Jakim yang khusus. Jadi saya cerita dari sudut ilmu hisab untung rugi saja lah.

link: http://www.publicgold.my/548/kenapa-ramai-terpengaruh-dengan-skim-pelaburan-emas/

Ditipu skim pelaburan emas RM50,000.00

BATU PAHAT – Seorang pembekal bahan binaan kerugian RM50,000 setelah terperdaya dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan menerusi laman Internet oleh sebuah syarikat beralamat di Klang, Selangor.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat syarikat berkenaan, apabila tertarik dengan tawaran keuntungan 15 peratus yang dijanjikan.

Menurutnya, selepas melihat sendiri pejabat syarikat berkenaan dan diterangkan keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa bersetuju untuk melabur menerusi skim pelaburan emas itu dan mendepositkan RM50,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.

“Mangsa yakin untuk melabur dalam skim itu berikutan syarikat terbabit turut menyediakan dokumen perjanjian untuk ditandatangani, selain berjanji akan menghantar dokumen perjanjian berkenaan selepas selesai menguruskannya.

“Bagaimanapun, selepas dua bulan, syarikat terbabit masih gagal menyerahkan dokumen perjanjian itu. Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan namun tidak berhasil.

“Malah keuntungan yang dijanjikan selepas sebulan melabur tidak diterimanya. Mangsa yang menge­syaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, walaupun mangsa membuat laporan polis pada 31 Januari lalu, pihaknya masih memburu suspek utama kes berkenaan.

“Polis juga berjaya menangkap dan mendakwa pemilik akaun yang menerima wang RM50,000 yang dideposit mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kini mencari seorang wanita, Rimaliza Mustafa, 28, yang beralamat terakhir di Kuantan, Pahang, untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mengenali Rimaliza supaya dapat menghubungi pihak polis,” katanya.