Ahli perniagaan tidak percaya Genneva alami kerugian besar

SIBU: Seorang ahli perniagaan tempatan tidak percaya bahawa Genneva Malaysia Sdn Bhd mengalami kerugian seperti yang didakwa oleh Bank Negara.

Ahli perniagaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ling berkata, kenyataan bahawa Genneva mengalami kerugian besar  dengan liabiliti melebihi 10 kali asetnya sukar untuk diterima.

“Saya tidak percaya bahawa itu adalah benar, saya percaya bahawa syarikat itu membuat keuntungan dan saya mengesyaki terdapat pengaruh politik di sebalik ini,” tegasnya.

Menurut beliau, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan rungutan dan pandangan mengenai Genneva.

Ling berkata, beliau menerima panggilan telefon sebulan lalu memintanya untuk bertenang mengenai isu berkenaan.

Beliau mendakwa pemanggil terbabit memberitahu satu syarikat akan mengambil alih Genneva dan mesyuarat akan diadakan bersama pelanggan.

Rundingan itu, menurut Ling, akan diadakan di Kuching pada bulan ini bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Bagaimanapun, saya masih belum diberitahu tentang tarikh mesyuarat,” katanya.

Beliau juga berkata, terdapat ramai perunding dan pelanggan Genneva tidak berpuas hati dengan Bank Negara.

Sementara itu, Genneva telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2 Oktober lalu.

Ia berikutan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam penggubahan wang haram selain ‘deposit-taking offences.’

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/12/06/ahli-perniagaan-tidak-percaya-genneva-alami-kerugian-besar/#ixzz2EFiXypgu

RM200,000 Lesap Dalam Tiga Minit

SEREMBAN – Dua penjenayah mengambil masa hanya kira-kira tiga minit untuk melarikan lima dulang barangan kemas bernilai hampir RM200,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dua lelaki yang memakai topi keledar telah menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Katanya, ketika kejadian hanya dua pekerja wanita berada di dalam kedai itu.

“Salah seorang perompak itu mengacukan pistol ke arah kedua-dua pekerja berkenaan dan mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri.

“Suspek cuba memecahkan kaca ruang pameran yang menempatkan barang kemas dengan mengetuknya menggunakan pistol tetapi gagal. Mereka kemudian mengarahkan pekerja terbabit memasukkan lima dulang emas ke dalam sebuah beg,” katanya di sini semalam.

Peguam Percuma Bantu Pelabur Emas Genneva

Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno menyediakan 10 peguam kepada 8,000 pelabur, yang membuat pelaburan emas mereka melalui Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), untuk menuntut kembali pelaburan mereka daripada syarikat terbabit.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu secara percuma dan meminta pelabur terbabit tampil memberikan keterangan mereka.

Beliau berkata 8,000 pelabur itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang telah membayar duit kepada syarikat itu tetapi belum mendapat emas dan mereka yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi belum menerima bayaran.

“Kita akan membuat tuntutan kepada syarikat terbabit dan bukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah tindakan sivil agar para pelabur dapat menerima pelaburan mereka dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai Unit Siasatan Khas BNM, semalam.

Laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Mengenai pertemuan beliau dengan BNM, Khairun berkata beliau diberitahu siasatan pihak berkuasa berjalan dengan lancar dan menafikan ada orang kenamaan yang cuba mengganggu siasatan itu.

– Bernama

Terengganu Ke Separuh Akhir Piala Emas

KUALA TERENGGANU — Terengganu melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala Emas Raja-raja apabila menundukkan Pahang 5-0 dalam perlawanan peringkat suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam..

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Kuantan Sabtu lepas, Terengganu kalah 1-2 kepada Pahang.

Tiga pemain skuad Liga Malaysia, T-Team memperkuatkan pasukan Piala Emas Terengganu malam ini iaitu Mohd Badrul Hisyam Morris, Mohd Nur Alif Zainal Abidin dan Mohd Syuhiran Zainal.

Terengganu bermain dengan baik dan barisan penyerangnya yang terdiri daripada Mohd Hasrulsyawal Hamid dan Mohd Sharin Supian sering memecah benteng pertahanan Pahang.

Mohd Hasrulsyawal mengejutkan Pahang menerusi jaringan pertama Terengganu untuk membangkitkan semangat juang pada minit ke-28.

Muhd Fakhrurazi Musa, pemain sayap kiri menyumbangkan gol kedua Terengganu (minit ke-32) dan diikuti gol ketiga oleh Mohd Badrul Hisyam Morris minit ke-33 dan sebelum Mohd Hasrulsyawal menjaringkan gol keempat dan gol kedua peribadi (minit ke-36).

Semangat Pahang tidak luntur walaupun ketinggalan 0-4 dan mereka terus memberi saingan tetapi gagal memperoleh gol sehingga babak pertama tamat.

Babak kedua menyaksikan Terengganu terus memperkukuhkan kedudukan apabila pemain gantian Muhd Zulhanizam Shafine menjaringkan gol kelima untuk menambah derita Pahang. – BERNAMA

Emas RM65j Belum Diserah Kepada Pelabur

Kuala Lumpur: Syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd yang diserbu Oktober lalu, belum menyerahkan 4,000 kilogram emas bernilai RM64.94 juta kepada lebih 8,000 pelaburnya.

Selain itu, pelabur yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai berjumlah lebih RM80 juta.

Jumlah itu dikesan selepas siasatan dijalankan ke atas dokumentasi yang disita dalam serbuan premis syarikat itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, semalam, berkata agensi penguat kuasa menerima banyak rayuan daripada pihak yang terbabit dengan syarikat berkenaan.

“Mereka meminta BNM melepaskan wang yang dibekukan sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita seberat 126 kg yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

“Wang dan emas itu dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah,” kata kenyataan itu di sini.

Sebelum ini, angka awal yang dikeluarkan BNM memaklumkan emas disita iaitu sebanyak 142.7kg dan wang yang dibekukan dalam akaun bank serta wang tunai berjumlah RM101.92 juta adalah merujuk kepada semua empat syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas termasuk Genneva Malaysia.
Kenyataan itu juga menjelaskan, laporan awal perakaunan forensik menunjukkan kerugian besar dialami syarikat terbabit tahun ini dengan memiliki tanggungan melebihi 10 kali aset syarikat.

Operasi sebenar syarikat itu adalah menjual emas pada kadar kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga asal belian emas bukan sesuatu yang dapat dikekalkan, katanya.

BNM berkata, dalam keadaan itu, aliran tunai membolehkan syarikat meneruskan operasinya.

Sehubungan itu, BNM menasihatkan orang ramai merujuk kepada sesawangnya untuk maklumat berkaitan perkembangan terkini siasatan kes berkenaan.

sumber : Berita Harian

8,000 Pelabur Genneva Malaysia Belum Dapat Emas

SHAH ALAM – Bank Negara mendedahkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn Bhd masih belum menerima emas mereka dengan jumlah berat melebihi 4,000 kilogram (kg) walaupun telah menyelesaikan bayaran.

Dalam satu kenyataan semalam, Bank Negara berkata, terdapat juga pelabur yang telah menyerahkan emas mereka berjumlah lebih RM80 juta kepada syarikat tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai.

“Perakaunan forensik awal telah mendedahkan kerugian besar yang dialami oleh syarikat itu pada tahun 2012. Syarikat mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

“Menjual emas pada kira-kira 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan kira-kira dua hingga tiga peratus setiap bulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga belian awal bukan merupakan satu usaha yang mampan,” kata kenyataan dari Bank Negara.

Ia juga menyatakan bahawa aliran tunai bagi syarikat itu untuk mengekalkan operasinya bergantung sepenuhnya kepada jumlah yang dikumpulkan daripada pelanggan baru.

Genneva, telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 2 Oktober lalu.

Tiga hari kemudian, pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas premis perhiasan Emas Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd yang disyaki terlibat dengan pengambilan deposit haram, pengubahan wang haram pengelakan cukai dan dan keterangan palsu.

Menurut kenyataan itu, wang Genneva sebanyak RM99.8 juta telah dibekukan dan 126kg emas disita, di mana pihak bank berkata, ia diperlukan untuk siasatan dan hanya akan diuruskan mengikut perintah mahkamah. Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web Bank Negara untuk maklumat lanjut.

Syarikat Pengendali Skim Emas Gagal Urus Rekod

KUALA LUMPUR – Susulan serbuan dan penyiasatan terhadap empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan mendapati sesetengah daripada syarikat yang terbabit tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia, berkata hasil penyiasatan ke atas empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, mendapati sesetengah daripada syarikat gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan yang baik dan tepat.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan yang berbeza-beza. Mereka juga gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Bagi perniagaan, terutamanya yang melibatkan bilangan pelabur dan jumlah wang yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan kewangan sebenar syarikat,” kata agensi-agensi tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, rekod yang disita menunjukkan sebahagian besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan mereka tetapi masih belum menerima emas yang dibeli, sebelum serbuan tersebut dibuat.  Dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas  tersebut telah melebihi lima bulan.  Jumlah emas yang disita daripada semua syarikat semasa serbuan ialah kira-kira 142.7 kilogram, manakala wang dalam akaun bank dan wang tunai berjumlah RM101.92 juta.

Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran yang dialami oleh para pelabur yang terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut. Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain.

Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan

Maklumat lanjut berhubung dengan penyiasatan ini akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Kenyataan bersama oleh:

Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia