Ar-Rahnu Pos Jangka Tiada GST Untuk Pelaburan Emas

ar-rahnu-pos

Ar-Rahnu Pos Sdn Bhd menjangka kerajaan untuk mengecualikan cukai keatas  pelaburan logam berharga (IPM, Investment Precious Metal)  daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Naib Presiden Kanan Abd Razak Mohd A Kadir berkata syarikat itu, bersama-sama dengan bank-bank yang menjual emas sebagai satu pelaburan, pemborong, dan peruncit, baru-baru ini bertemu dengan kerajaan bagi memmbincangkan pengecualian GST untuk emas pelaburan seperti jongkong emas dan dinar emas.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata jika cukai  enam peratus dikenakan ke atas emas, pelanggan akan melarikan diri ke Singapura, yang tidak mengenakan cukai ke atas logam yang berharga.

Pos Ar Rahnu mensasarkan asas pelanggannya meningkat kepada 96,000 pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2015 daripada 48,000 pada masa ini, pada permintaan yang tinggi di pasaran tempatan terutama di Sabah yang, dengan empat cawangan, menyumbang 10 peratus kepada keuntungan syarikat.

Sehingga 31 Mac 2014, Pos Ar Rahnu telah mengeluarkan RM283 juta pinjaman kepada pelanggan.

Ia mempunyai 75 cawangan di pejabat pos terpilih dan berunding dengan peserta industri untuk mengembangkan perkhidmatannya untuk menjual barang kemas.

Pelaburan Emas : Anggota Tentera Didakwa

tentera-emas

AYER KEROH – Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung pelaburan saham yang tidak wujud membabitkan sejumlah hampir RM12,000.

Tertuduh, Muhammad Abu Handzalah Mohd Pandi, 28, dari Segamat, Johor membuat pengakuan selepas mengangguk faham tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Muhammad yang didakwa menawarkan pelaburan saham emas tidak wujud telah memperdayakan Noor Affandi Abdul Mohssin, 41, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM11,800.

Dia yang menerima wang RM1,700, RM1,700 dan RM8,400 secara berasingan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Taming Sari 1, Sungai Udang, dekat sini, pada Januari, Februari dan Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ahsraf Abd Hamid ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan,

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya wang jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan bekerja dia yang sebagai anggota tentera dan masih berkhidmat perlu menanggung dua anak.

“Selain salah seorang anak baru lahir, saya dan pengadu sudah berbincang dan pengadu bersedia untuk menarik kes ini dan kami akan menyelesaikan di luar mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar rayuan tersebut, Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan beliau turut menetapkan kes disebut semula pada 2 Oktober depan.

5 Tanda Pelaburan Emas Itu Ponzi Scheme

Laman facebook Polis Diraja Malaysia hari ini mengemaskini status mereka dengan video terbaru dari Bank Negara Malaysia berkenaan pelaburan berbentuk ponzi skim, sejak akhir ini kami sering juga terdengar mengenai pelaburan emas yang dianjurkan oleh beberapa pihak, tetapi bagaimana pelaburan itu memberi keuntungan tidak ketahui lebih lanjut.

polis-ponzi-emas

Bagaimanapu disini kami share beberapa tanda ringkas jika pelaburan emas tersebut sebenarnya bukan pelaburan tetapi cuma skim ponzi lebih parah lagi jika pihak menggunakan istilah-istilah agama untuk menghalalkan skim mereka.

Sedang pelabur seperti anda tercari-cari peluang pelaburan, penganjur skim pelaburan palsu emas juga sedang giat mencari pelabur seperti anda

ponzi-call

Skim pelaburan ponzi selalunya menggambarkan bahawa skim mereka adalah peluang pelaburan yang menguntungkan, malah berkali ganda lebih untung dari pelaburan biasa seperti ASB, Unit Amanah atau pasaran saham sekalipun, jadi jika 5 tanda ini wujud dalam pelaburan emas anda, maka berwaspadalah dan bersedia untuk keluar dengan segera sebelum ia roboh. antara tanda-tanya adalah

ponzi-vs-asb-ua

1. Skim ini menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan kecil tanpa sebarang risiko.

Dalam keadaan harga emas yang telah menjunam jatuh sejak 2011, adalah suatu yang mustahil untuk anda mendapat keuntungan tinggi dengan hanya melabur didalam emas semata-mata untuk jangka masa panjang, malah emas sendiri tidak lari dari risiko kerana harga emas sering berubah mengikut demand dan sell seluruh dunia. Walaupun untuk untung dalam jangka masa singkat mungkin boleh, tetapi tiada jaminan  bahawa pelabur akan dijamin untung untuk tempoh 7,14 atau 21 hari, itu bunyinya tidak kena, kerana volatility harga emas sangat tinggi

2. Ahli dijanjikan komisyen apabila membawa rakan atau ahli keluarga untuk melabur

Biasanya pelaburan emas menjanjikan komisyen pergram emas yang dijual pada ahli baru atau mungkin juga berapa percent komisyen dari pelaburan baru, cara ini tidak salah kerana kebanyakan sistem marketing juga memberikan komisyen kepada referral, malah unit amanah, ASB, dan juga pasaran saham juga menawarkan pelbagai insentif kepada konsultan, remisier atau apa sahaja istilah mereka gunakan ia tetap juga komisyen

ponzi-wang-pendahuluan2

3. Skim ini selalunya memerlukan bayaran pendahuluan.

Dalam perniagaan atau pelaburan emas adalah memang menjadi kebiasaan untuk penjual meminta deposit samada 10% atau 50% sebelum barang diproses atau dijual untuk ‘lock harga’ , tetapi menjadi luar biasa jika penjual meminta 100% deposit sekiranya emas tersebut hanya akan diberi dalam tempoh masa yang lama (lebih dari 5 hari adalah lama untuk emas)

4. Syarikat mereka mendaftar tetapi perniagaan mereka tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 

Emas dan logam komoditi yang lain adalah antara perniagaan yang tidak dikawal selia oleh bank negara, jadi emas boleh dimanupulasikan oleh sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan

ponzi-pulangan-lebih-tinggi

5. Mereka menawarkan pulangan lebih tinggi jika anda tidak membawa pulang produk

Konsep ini sebenarnya telah banyak kali terjadi, banyak syarikat-syarikat yang menawarkan pelaburan emas sebelum ini telah disita oleh bank negara melibatkan kerugian berjuta malah berbilion ringgit, jika pelabur betul-betul ingin melabur, seharusnya anda memegang sendiri emas tersebut dalam bentuk fizikal tidak kira samada jongkong, coin, dinar atau barang kemas, dokumen surat akuan lawyer, surat perjanjian berstem atau sebarang kertas perjanjian sebenarnya tidak berguna lansung apabila syarikat / individu yang anda labur disita bank negara, pelabur perlu bijak untuk memegang sendiri emas atau jika menggunakan sistem Ar-Rahnu, pastikan nama anda tertera pada surat arrahnu bukannya agen atau penjual emas.

ponzi-wang-ahli-baru

Skim penipuan ponzi selalunya berfungsi mengikut sistem piramid, wang yang diterima dari ahli baru akan digunakan untuk membayar ahli sedia ada, apabila tiada ahli baru seluruh skim akan gagal.

Video yang dikongsikan oleh Bank Negara Malaysia berkenaan Pelaburan berkongsepkan Ponzi Skim

Harga Emas Pasaran Turun Sebelum Cuti Raya

promosi-raya-bersama-emas

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini berikutan kurangnya sokongan belian. Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Low Cheng Yang berkata kontrak emas
ditutup pada paras terendah dalam tempoh lima minggu dengan mengalami dua sesi kerugian berturut-turut.

Dagangan yang tidak banyak berubah dalam kontrak hadapan emas tempatan adalah terhad disebabkan pemulihan penanda aras niaga hadapan Bursa Komoditi New York (COMEX) berikutan ketidaktentuan politik di Ukraine selepas pakatan kerajaan Kiev yang mentadbir, tumbang,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, Julai 2014, Ogos 2014, September 2014, dan Oktober 2014 susut 10 mata setiap satu, masing-masing kepada RM132.35 segram, RM132.60 segram, RM132.75 segram dan RM133.25 segram.

Kepentingan terbuka merosot kepada 5,164 kontrak daripada 5,360 pada Khamis manakala jumlah dagangan susut kepada 83 lot bernilai RM1.097 juta daripada 275 lot berjumlah RM3.652 juta sebelumnya.

Harga emas fizikal turun sebanyak RM0.38 sen kepada RM127.65 segram berbanding RM128.03 segram pada Khamis.
— BERNAMA

Jongkong Emas Dikebas ‘Polis’

bhp-gas

Kuala Lumpur, 24 Julai : Seorang ahli perniagaan tidak hanya diculik dan dipaksa menyerahkan dua jongkong emas, malah turut dicampak penjenayah di kawasan tanah perkuburan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 44 tahun dilarikan dua penjenayah yang menyamar anggota polis ketika mangsa berada di stesen minyak di Jalan Loke Yew.

Sumber polis berkata, mangsa yang berhenti untuk mengisi minyak mendakwa dihampiri dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, dua lelaki itu mengacukan parang pada leher mangsa sebelum menariknya masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan itu.

“Ketika berada di dalam tawanan suspek, mata mangsa ditutup dengan kain hitam sebelum suspek memeriksa seluruh badan mangsa.

“Suspek seolah-olah mengetahui mangsa menyimpan barang berharga apabila menemui dua jongkong emas yang disimpan di dalam poket seluar mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian merampas emas dan wang tunai milik mangsa yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

“Mangsa yang ketakutan hanya berdiam diri dan akur dengan arahan suspek.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan tanah perkuburan Cina di Sungai Besi sebelum mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya kerugian emas seberat kira-kira 300 gram dan tidak cedera.

“Dia kemudian meminta bantuan orang awam sebelum membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menjejaki suspek.-HM

Tempat Pelaburan Utama jadi Pilihan Pelabur

pelaburan-emasDunia ini penuh dengan risiko. Mahu tidak mahu kena kena ambil risiko tertentu supaya kita dapat melangkah ke hadapan.

Makan nasi pun adakalanya tergigit lidah atau tercekik tulang, tapi itu bukan alasan untuk kita tidak mahu makan langsung, bukan?

Justeru, berdasarkan 4 sebab kenapa kita perlu melabur kita perlu merancang pelaburan kita dengan bijak. Berikut adalah antara senarai peluang pelaburan yang ada di hadapan tuan dan puan:

1. Produk Deposit Bank

Dahulu yang popular adalah akaun pelaburan mudharabah. Hari ini bank-bank menawarkan structured investment product pula. Perbezaan utama keduanya adalah produk berstruktur ini cuba untuk bagi pulangan lebih dari biasa dari akaun pelaburan mudharabah. Kalau biasanya dapat 3%, maka produk berstruktur cuba dapatkan 6%. Secara umumnya, produk deposit yang ditawarkan oleh bank-bank adalah produk paling selamat dan paling rendah pulangannya.

2. Hartanah

Pelaburan hartanah disukai orang kerana ia wujud secara nyata. Kebanyakan orang tidak dapat memahami konsep ‘pelaburan kertas’ dengan baik jadi hartanah merupakan satu peluang yang sangat sesuai untuk mereka. Apa pun objektif pelaburan hartanah kita, pelaburan ini kurang bersifat ‘cair’. Kalau kita perlukan duit segera, maka kita tak dapat jual hari ini dan terus dapat duit.
3. Real Estate Investment Trust (REIT)

REIT dalam erti kata lain adalah pelaburan hartanah yang sama macam pelaburan saham amanah. Bezanya, REIT hanya membeli hartanah-hartanah sahaja.

4. Saham

Pelaburan yang paling popular. Hampir semua orang di Malaysia memiliki saham sama ada secara langsung atau tidak. Ya, jika kita mencarum KWSP itu bermaksud kita telah terlibat dengan pelaburan saham. Pencen pesara kerajaan yang diuruskan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen juga terlibat dalam bursa saham.

Sehingga Jun 2011 Bursa Malaysia mengandungi 847 kaunter saham patuh Shariah yang mewakili 89% dari kesuluruhan kaunter.

5. Saham Amanah

Pelaburan saham yang dibuat dengan melantik pihak ketiga menguruskannya untuk kita. Ada pelbagai syarikat yang ada. Ada pelbagai jenis saham amanah.

Ya, setiap satu saham amanah adalah berbeza. Justeru, pelabur yang baik akan mengambil tahu dana saham amanah yang mereka beli itu sebenarnya melabur dalam saham yang bagaimana sifatnya. Kebaikan utama saham amanah adalah dengan modal yang rendah, kita sudah boleh terlibat.

6. Exchange Traded Fund (ETF)

Variasi saham amanah. Tidak begitu popular di Malaysia. Sehingga Jun 2011 cuma ada 5 kaunter ETF dan cuma 1 yang patuh Shariah.

7. Komiditi Fizikal
Pelaburan komoditi fizikal yang sedang popular ketika ini adalah emas danperak. Mudah menjadi popular kerana ia melibatkan barang yang nyata. Komoditi fizikal ini lebih kepada aktiviti bisnes justeru tidak mempunyai peraturan yang ketat seperti ‘pelaburan kertas’. Oleh yang demikian, ramai pihak mengambil kesempatan menawarkan skim penipuan.

8. Komiditi Kertas
Bahasa teknikalnya adalah commodity futures market. Di Malaysia, yang popular adalah Crude Palm Oil Futures (FCPO) kerana ia adalah produk Bursa Malaysia sendiri. Dengan teknologi yang ada, ramai yang dapat terlibat dengan commidity futures yang ditawarkan oleh Chicago Mercantile Exchange (CME) misalnya.

Potensi pulangan yang lumayan, dan potensi kerugian yang menakutkan juga. Ho ho. Pergi jauh-jauh dari terlibat dengan produk sebegini kalau KWSP beri dividen rendah pun dah marah-marah, atau pelaburan saham amanah rugi sikit dah naik ‘tension’.

9. Derivatif Selain komoditi ‘kertas’

Index futures, warrants dan options. Pasaran di Malaysia belum cukup matang, pelaburnya juga tidak begitu sophisticated. Jadi, produk sebegini juga kurang popular.

Tiada Pelaburan yang ‘Perfect’

Setiap satu produk pelaburan ada baik dan buruk. Tidak sempurna. Pasti ada untung rugi.

 

sumber: http://www.publicgoldsarawak.com/ver2/2014/05/15/9-tempat-orang-ramai-membuat-pelaburan/

 

Harga Emas April, Mei, Jun 2014 Dijangka Turun

fbmemas-24-april-2014

Kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah semalam ekoran sentimen lemah ditengah-tengah pasaran ekuiti kukuh, kata peniaga.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Thomas Yew Jia-Jong berkata petunjuk emas hadapan di New York Commodity Exchange (COMEX) menunjukkan harga emas jatuh susulan aliran keluar dana berasaskan jongkong emas hasil daripada pasaran ekuiti yang kukuh.

“Sentimen pasaran kekal lemah dengan aliran keluar an kelemahan permintaan terhadap emas, ditambah dengan data jualan rumah yang lebih baik membuktikan kedudukan ekonomi yang semakin pulih,”katanya.

Beliau menambah, harga emas mungkin boleh mengalami penyatuan hari ini ditengah-tengah permintaan lemah dan ketegangan geopolitik.

Harga emas pada April 2014, Mei 2014, Jun 2014 dan Julai 2014 mencatatkan kerugian enam takuk setiap satu kepada RM135.35, RM135.70, RM136.00 dan RM136.05 satu gram.

Harga fizikal emas turun 67 sen kepada RM130.51 segram. Sementara itu di pasaran dunia, emas stabil melebihi 2.5 bulan terendah yang dicatatkannya pada sesi sebelumnya apabila pasaran ekuiti lebih lemah dan dolar membantu melebihi paras utama.

Namun pembabitan pelabur dan pembeli runcit kekal perlahan.

Emas jatuh ke paras terendahnya sejak pertengahan Febuari pada Selasa lalu selepas AS mengumumkan data pembelian rumah yang menjangkau jangkaan, melonjakkan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi di negara itu dan menyokong pasaran saham.

Data yang kukuh memberikan sokongan terhadap jangkaan Rizab persekutuan akan meneruskan langkah pengurangan pembelian bon yang menjadi asas kepada pelan rangsangan negara itu ketika berlakunya krisis kewangan, baru-baru ini.

Prospek pelaksanaan penghentian pembelian bon itu menjadi faktor utama menyebabkan emas jatuh 28 peratus pada tahun lalu. – AGENSI

Cara Kenal Pasti Skim Cepat Kaya (emas)

Skim cepat kaya bukan perkara baru di Malaysia dan ia mula dikesan memperdaya pengguna sejak tahun 70-an lagi dengan skim pertama dikenali sebagai Pak Man Telo. Selepas lebih 30 tahun, skim seumpama ini masih terus berleluasa, dengan modus operandi yang diberi suntikan baru namun, masih mencapai tujuan sama iaitu menipu wang orang ramai.

Ketika Facebook (FB) mula mendapat tempat, muncul skim cepat kaya menggunakan medium berkenaan dengan yang paling terkenal menggunakan slogan “Login FB Dapat Duit”. Ia mendapat sambutan hangat sekitar 2010 hingga 2011, malah ia dipercayai masih bertahan sehingga kini. Modus operandinya, menawarkan pulangan apabila kita berjaya mendapatkan orang bawah atau downline yang baru.

Sekitar 2012, ketika harga emas mula memuncak, maka muncul pula skim berasaskan emas. Yang paling mencuri perhatian ialah skim emes Geneva yang kes mahkamahnya masih berjalan sehingga sekarang, selepas ia diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) pada penghujung 2012.

Melewati tahun 2013, apabila pasaran saham mula meningkat, muncul pula skim saham dan Forex yang pelik-pelik menawarkan pelbagai pulangan menggiurkan.

Genneva-Gold-Ponzi-Scheme-Madoff

123 N 123 123 N 123

Ketika kerajaan mempromosi bidang pertanian dan penternakan, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan penternakan seperti ikan arowana, penternakan lembu malah penternakan burung unta. Keadaan sama berlaku ketika industri e-book mula berkembang, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan e-book.

Walaupun muncul pelbagai skim dengan nama berbeza, namun tidak sukar untuk mengenali skim seumpama ini kerana ia mempunyai ciri yang sama iaitu menawarkan pulangan yang tinggi tanpa risiko, menjana keuntungan melalui rekrut orang baru dan tidak memiliki produk atau produk yang ada hanya bersifat kosmetik. Ciri pertama skim ini ialah menawarkan pulangan tinggi 10 peratus 15 peratus sebulan. Ia lebih tinggi daripada Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) malah lebih tinggi daripada pasaran saham indeks Bursa Malaysia.

Secara logiknya, ia boleh mencecah sehingga 120 peratus hingga 180 peratus setahun. Namun, ia mustahil untuk dicapai dengan cara melabur dan membiarkan wang beranak-pinak saja.

Ciri kedua skim ini ialah menjanjikan keuntungan melalui aktiviti merekrut orang baru, bukan melalui jualan produk. Melalui ciri ini, para pelabur dikehendaki mencari orang baru untuk melabur atau menyertai skim ditawarkan.

Setiap kemasukan orang baru akan diberikan intensif kepada orang yang memperkenalkan orang baru tadi. Ia akan berlanjutan dan berantai dari satu peringkat ke satu peringkat atau dikenali sebagai skim piramid.

Kedua-dua skim ini mempunyai persamaan iaitu menawarkan pulangan tinggi dengan kemasukan orang baru. Skim piramid adalah sebahagian daripada skim cepat kaya.

Ciri ketiga skim cepat kaya adalah tidak mempunyai sebarang produk untuk dijual, tetapi yang ada hanyalah sebagai hiasan semata-mata. Malah, jika ada produk sekalipun, ia akan dijual pada harga tidak munasabah. Sebagai contoh, jika sekotak kopi yang berharga di pasaran sekitar RM15, di dalam skim ini ia akan dijual pada harga RM80 dan disertakan senarai khasiat perubatan ajaib untuk justifikasi harga yang melampaui batas itu.

Sedangkan harga yang dibayar itu adalah untuk menampung bonus ‘orang atas’. Yang menariknya, masih ada orang yang mempercayai penipuan secara terang-terangan ini.

Mereka yang berhasrat menambah pendapatan disaran supaya berhati-hati dalam setiap skim yang diceburi. Jika ia skim pelaburan, pastikan kita semak kedudukannya melalui agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan BNM. Untuk mengetahui status halal produk pula boleh semak melalui JAKIM.

Jangan mudah terpengaruh dengan janji manis, sekalipun ia datang daripada sahabat atau saudara rapat. Mungkin mereka ikhlas untuk menawarkan kita peluang, namun sebenarnya mungkin mereka sendiri tidak sedar diri mereka sudah tertipu.

Jangan terburu-buru dengan ayat ‘tawaran terhad’ kerana percayalah bahawa peluang yang baik itu umpama bas, jika terlepas satu bas akan datang bas yang lain. Dalam hal ini, prinsip biar lambat asal selamat terpakai.

Dalam hal pelaburan, satu prinsip konservatif yang boleh diguna pakai ialah “biar tersalah tidak melabur skim yang menguntungkan, dari tersalah labur skim yang merugikan”.

Perunding Kewangan Bertauliah IFP (Islamic Financial Planner) di INFAQ Consultancy & Advisory

Skim: Pengarah dan Bekas Pengarah Genneva Dibebas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepas serta membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan Liew Chee Wah, 59, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan K.Selva Kumaran manakala Liew oleh Keppy Wong.

Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir kemudian memaklumkan mahkamah pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Beliau juga memohon pelaksanaan keputusan berhubung emas dan wang syarikat Genneva Sdn Bhd (GSB) yang sebelum ini dibekukan, ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Mahkamah akan mendengar permohonan itu esok.

Dalam penghakimannya, Rozana memutuskan syarikat itu tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.

Beliau berkata keterangan pembelaan dan bukti yang dikemuka menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaannya wujud dan bukan rekaan semata-mata.

Katanya, pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli semula atau ‘buy-back guarantee’ (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.

Bagaimanapun, Rozana berkata mahkamah berpendapat diskaun atau rebet dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.

Beliau berkata GSB, melalui BBG, memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menjual semula emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.

“Bukti keterangan ini menampakkan corak perniagaan GSB menjalankan aktiviti perniagaan jual beli emas sepertimana yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing, dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

“Transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan di dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam, dan bukan daripada hasil aktiviti haram,” kata Rozana.

Bagi pengubahan wang haram, Ng berdepan 93 pertuduhan, Yee 40 pertuduhan, Chin 61 pertuduhan manakala Liew 30.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memfailkan notis rayuan berhubung kes Genneva Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen hari ini

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata Kamar Peguam Negara telah bersetuju BNM memfailkan notis rayuan.

Kamar Peguam Negara dan BNM tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Genneva Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya daripada pertuduhan pada hari ini

BNM juga akan memohon supaya aset syarikat terus disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sementara menantikan keputusan rayuan. Genneva telah dikenakan pertuduhan pada Oktober 2010

Syarikat ini telah disiasat susulan terdapatnya aduan daripada orang ramai.

Siasatan kini telah selesai dan laporannya akan diserahkan kepada Kamar Peguam Negara.

Genneva Sdn Bhd ialah entiti berasingan daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) yang disiasat secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.

– Bernama

geneva emas pelabur bunuh diri

Pelabur Geneva cuba bunuh diri -Kosmo

geneva emas pelabur bunuh diri
MUHD. KHAIRUN (kiri) bersama sekumpulan pelabur emas syarikat Genneva Malaysia yang menyerahkan bantahan kepadanya untuk disampaikan kepada BNM di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan membunuh diri, tidak mampu membiayai kos rawatan dialisis buah pinggang antara sebahagian kisah sedih yang dihadapi 60,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia).

Masalah itu timbul selepas operasi syarikat tersebut digantung sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu kerana Genneva disyaki mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Wakil perunding dan pembeli emas Genneva Malaysia, Al Jaz- zura Khan berkata, pelabur menghadapi masalah itu kerana mereka hilang pendapatan.

Ikuti perbincangan di forum: http://hrg.ms/SRRBgV