Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama

Emas hampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan

Emas diniagakan dalam jajaran sempit semalam, berlegar menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga bulan di tengah-tengah peningkatan pengaliran keluar dana pelaburan berkaitan emas.

Situasi semasa itu turut diburukkan lagi dengan laporan bahawa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai beberapa kemajuan ke arah menyelesaikan kebuntuan masalah bajet negara itu.

Harga emas, komoditi yang kebiasaannya dianggap paling selamat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, kini dilihat gagal meningkat walaupun perbalahan mengenai kebuntuan fiskal di AS berlarutan sebelum ini.

goldcore_bloomberg_chart1_07-10-13

 

Harga komoditi itu menyusut kira-kira empat peratus di bawah paras AS$1,300 seauns sejak kerajaan AS mengisytiharkan penutupan sementara sebahagian daripada operasinya, bermula 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan analisis sejarah, kita boleh menjangkakan harga emas bakal meningkat dalam tempoh minggu di mana kerajaan AS berdepan dengan kebuntuan masalah fiskalnya,” kata penganalisis di Nomura Securities Sydney, Amber MacKinnon.

“Sekiranya situasi itu benar-benar berlaku, emas akan berada dalam corak pegangan (peningkatan pembelian).

“Peningkatan harga komoditi itu juga boleh berlaku jika berlakunya penurunan (kredit) kewangan AS,” katanya.

MacKinnon berkata, sebelum ini, semasa perdebatan masalah fiskal AS untuk meningkatkan had siling hutang negara itu pada 2011 – yang mana penyelesaiannya hanya dicapai pada minit terakhir – harga emas tidak bertindak balas dengan ketara sehinggalah selepas Standard & Poor menurunkan penarafan kredit AS.

Harga komoditi itu akhirnya mencecah paras tertingginya iaitu AS$1,920 seauns pada September tahun itu.

“Nampaknya, emas tidak meningkat dalam tempoh masa AS mengalami masalah ketegangan politik (dan harga emas dijangka meningkat semula) sehinggalah selepas peristiwa itu tamat,” kata MacKinnon.

Harga rujukan emas meningkat sehingga 0.02 peratus kepada AS$1,273.10 seauns pada 0317 GMT, selepas berlakunya rentetan penurunan selama empat hari dalam sesi sebelumnya.

SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia (ETF), berkata pegangan emasnya susut 1.85 tan kepada 889.13 tan pada Isnin lalu, untuk mencecah tahap terendah dalam tempoh empat tahun.

Situasi ini sekali gus mencerminkan menurunnya keyakinan dalam kalangan pelabur.

Skim: Pengarah dan Bekas Pengarah Genneva Dibebas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepas serta membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan Liew Chee Wah, 59, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan K.Selva Kumaran manakala Liew oleh Keppy Wong.

Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir kemudian memaklumkan mahkamah pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Beliau juga memohon pelaksanaan keputusan berhubung emas dan wang syarikat Genneva Sdn Bhd (GSB) yang sebelum ini dibekukan, ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Mahkamah akan mendengar permohonan itu esok.

Dalam penghakimannya, Rozana memutuskan syarikat itu tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.

Beliau berkata keterangan pembelaan dan bukti yang dikemuka menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaannya wujud dan bukan rekaan semata-mata.

Katanya, pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli semula atau ‘buy-back guarantee’ (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.

Bagaimanapun, Rozana berkata mahkamah berpendapat diskaun atau rebet dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.

Beliau berkata GSB, melalui BBG, memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menjual semula emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.

“Bukti keterangan ini menampakkan corak perniagaan GSB menjalankan aktiviti perniagaan jual beli emas sepertimana yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing, dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

“Transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan di dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam, dan bukan daripada hasil aktiviti haram,” kata Rozana.

Bagi pengubahan wang haram, Ng berdepan 93 pertuduhan, Yee 40 pertuduhan, Chin 61 pertuduhan manakala Liew 30.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memfailkan notis rayuan berhubung kes Genneva Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen hari ini

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata Kamar Peguam Negara telah bersetuju BNM memfailkan notis rayuan.

Kamar Peguam Negara dan BNM tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Genneva Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya daripada pertuduhan pada hari ini

BNM juga akan memohon supaya aset syarikat terus disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sementara menantikan keputusan rayuan. Genneva telah dikenakan pertuduhan pada Oktober 2010

Syarikat ini telah disiasat susulan terdapatnya aduan daripada orang ramai.

Siasatan kini telah selesai dan laporannya akan diserahkan kepada Kamar Peguam Negara.

Genneva Sdn Bhd ialah entiti berasingan daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) yang disiasat secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.

– Bernama

Analisis Harga Emas – Potensi Kenaikan Spjg 3 Tahun

Analisis Fundamental


Baru-baru ini sebaik sahaja pengumuman mengenai pelaksanaan Quantitative Easing untuk kali yang ketiga (QE 3), Para pelabur di pasaran Wall Street dilaporkan bertindak menjual pegangan saham mereka kerana tindakan itu menyebabkan Wang Dollar ditambah cetak sekaligus bakal mengakibatkan kenaikan kadar inflasi atau penyusutan kuasa beli sebarang transaksi yang menggunakan matawang USD.
Kenaikan kadar inflasi bermakna akan berlakunya kenaikan harga barangan, sekaligus akan menyebabkan berlakunya kelembapan sistem ekonomi kerana pengguna akan berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan mereka.

Lalu Pelaburan dalam saham agak kurang menguntungkan kerana perniagaan syarikat yang disenaraikan dalam bursa akan menerima kesan buruk dari tindakan pengguna yang mengurangkan perbelanjaan tadi.
Disebabkan kuasa beli dollar semakin menyusut, para pengguna tidak mahu membuat simpanan dalam bentuk tunai, dan mereka memilih simpanan dalam bentuk aset yang mudah cair iaitu “Precious Metal” dan pilihan utama mereka adalah Emas dan Perak.
Situasi ini akan menyebabkan kenaikan permintaan keatas kedua-dua komoditi ini dan ianya telah dijangka oleh para pelabur yang melepaskan atau menjual belian saham mereka sebelum ini, lalu para pelabur ini akan segera membuat pelaburan baru dalam sektor pelaburan komoditi iaitu Emas dan Perak tetapi dalam bentuk ETF atau Exchange Traded Fund (paper and silver gold).
Perubahan tindakan ini telah menyebabkan lonjakan harga emas dan perak secara mendadak dan dijangka berterusan sehingga tahun 2015 kerana QE3 akan berlangsung spanjang tempoh ini.
Perhatikan Impak Quantitative Easing 1, 2 dan impak awal QE3 kepada harga Emas.
Dan seperti yang kita sedia maklum, corak pergerakan harga emas pada tahun ini adalah menyamai corak pergerakannya pada tahun 2008 disebabkan situasi krisis ekonomi yang melanda pada ketika itu dan juga tindakan Federal Reserve menanganinya melalui Program QE 1 dan QE 2.

Perhatikan dibawah ini, Hampir serupa dengan corak pergerakan harga yang diatasnya kan? jadi jika mengambilkira posisi harga Emas sekarang yang menyamai posisi harganya pada hujung tahun 2008, adakah paras harga sekarang sudah cukup tinggi? Mungkin anda perlu mempertimbangkannya semula kerana pada saya harganya amat berpotensi untuk lebih tinggi lagi pada tahun 2015 nanti, iaitu 3 tahun dari sekarang sama sebagaimana kenaikannya bermula pada tahun 2009 hingga 2011 iaitu sama seperti graf harga yang diatasnya juga.

Analisis Teknikal

Sepanjang 3 tahun bermula dari QE 1 dijalankan sehingga berakhirnya QE 2, harga emas telah melonjak naik sekitar 180%, dan sekiranya peratus kenaikan yang sama berlaku kepada harga emas ketika ini iaitu selepas ia berjaya melepasi paras harga tertingginya sekitar $1925/oz, maka destinasi harga emas seterusnya adalah sekitar $5,000/oz dan angka tersebut sememangnya angka yang sering disebut-sebut oleh pakar ekonomi di seluruh dunia dan ternyata ia sangat realistik.
Mengapa saya begitu optimis dengan potensi kenaikan yang berterusan bagi tempoh selama 3 tahun yang akan datang?
Diantaran sebab utama adalah kerana Program QE 3 akan berjalan sepanjang tempoh tersebut, dan seperti yang kita perhatikan kesan dari QE 1 dan QE 2, harga emas terus naik dan naik selama tempoh program itu dijalankan.
Dan yang dibawah ini adalah Trend pergerakan yang akan dilalui oleh harga Emas sepanjang tempoh 3 tahun ini, dan paras harga yang paling hampir untuk dicapai adalah sekitar $2200-$2300/oz sekurang-kurangnya menjelang pertengahan tahun 2013.
Semoga anda tidak lagi mengabaikan peluang berpotensi ini sepertimana peluang-peluang yang saya kongsikan sebelum ini ya..!
Saya adalah seorang Pelabur Emas dan Perak fizikal sepenuh masa sejak 3 tahun yang lalu, dan bidang ini adalah skop kepakaran saya dimana saya sendiri memberikan tumpuan sepenuhnya setiap masa, jadi penelitian saya mengenai risiko dan sebarang kemungkinan yang mungkin wujud adalah berkali ganda lebih tinggi berbanding pelabur yang menjadikan pelaburannya sebagai sumber sampingan dan bukan profession utamanya.
Secara mudahnya, Analisis Fundamental berperanan memberikan gambaran mengenai andaian situasi ekonomi semasa pada masa hadapan berdasarkan data dan dasar ekonomi semasa, ia sekaligus membantu untuk memberikan jangkaan mengenai halatuju pergerakan harga Emas pada masa yang akan datang dalam tempoh waktu yang lebih panjang.
Manakala Analisis Teknikal pula untuk membantu anda menjangka paras-paras harga yang berpotensi dicapai hasil analisa Fundamental sebelumnya, sebagai contoh jika Analisis Fundamental memberikan gambaran positif mengenai kenaikan harga emas, Analisis Teknikal pula berperanan menentukan kenaikan yang dijangkakan itu sehingga ke paras harga berapa? jika ia turun seketika sehingga ke paras harga berapa? dan yang seumpamanya. Justeru, Analisis Teknikal memerlukan kepada data prestasi lampau pergerakan harganya yang akan digunakan sebagai paras-paras harga Sokongan (Support) dan Rintangan (Resistance).
Kesimpulannya,
Analisis Fundamental Harga Emas –
Mendorong berlakunya peningkatan “Demand” sekaligus menyokong kenaikan harga – POSITIF
Analisis Teknikal Harga Emas –
Menunjukkan Trend pergerakan menaik dan selaras dengan jangkaan Analisis Fundamental – POSITIF
Bermakna, tiada sebarang faktor yang menghalang untuk harga emas terus naik, naik dan naik, bermakna, pada kebanyakan masa anda akan sering melihat kekerapan pergerakan harga emas menaik, berbanding pergerakannya menurun. Jadi apakah langkah yang perlu anda lakukan seterusnya?

link asal:  http://kiniemas.blogspot.com/

test

awang adek genneva emas

35,000 Terlibat Genneva, Pelaburan RM10 Billion

awang adek genneva emasKUALA LUMPUR – Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

“Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

“(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari  ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

“Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya  rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama

Kenyataan Firma Pelaburan Emas Sedang Direkodkan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil kenyataan daripada pihak yang terbabit selepas mereka memulakan penyiasatan secara besar-besaran terhadap beberapa firma pelaburan emas.

Bank Negara berkata agensi yang berkaitan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pengarah, pengurus kanan firma, ejen-ejen dan pelabur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bank pusat itu menambah bahawa analisis terperinci dan menyeluruh sedang dijalankan ke atas aset dan liabiliti syarikat yang terlibat.

“Pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat yang terlibat juga diarahkan supaya mengisytiharkan harta mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk pasangan masing-masing dan proksi mereka,” katanya.

Awal bulan ini, BNM bersama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Sehari selepas itu, tiga lagi firma pelaburan emas turut diserbu atas kesalahan yang sama mereka adalah, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

“Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan.

“Orang ramai dinasihati supaya menyemak dengan agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjur, orang ramai diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM di talian 1-300-88-5465.