CIMB ISLAMIC BANK RANCANGKAN PERNIAGAAN AR RAHNU DI MALAYSIA,CIMB Islamic Bank merancang melancarkan perniagaan Ar Rahnu di Malaysia pada separuh kedua tahun ini susulan kejayaan peniagaan yang serupa di Indonesia menerusi CIMB Niaga Syariah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Badlisyah Abdul Ghani.
“Kami berjaya dalam perniagaan Ar Rahnu di Indonesia, dan sudah sampai masanya untuk kami menawarkan perniagaan itu di sini. Kami sudah memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia dan sebaik kami sudah memuktamadkan kerangka kerjanya, kami akan melancarkan produk itu, dan besar kemungkinan bermula di Pantai Timur.”
“Saiz pasaran Malaysia besar dan kami yakin ada banyak peluang untuk kami meskikan kami agak lewat memulakannya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.
Walaupun beliau agak berhati-hati terhadap 2012, Badlisyah menjangkakan CIMB Islamic Bank dan keseluruhan francais kumpulan perbankan Islam, akan melalui tahun yang baik.
“Saya yakin namun berhati-hati terhadap 2012, berikutan apa yang berlaku di dunia, selain kerangka kerja kawal aturan yang ketat serta deman pilihan raya di dalam negara, namun saya percaya kami akan mencatat prestasi yang baik tahun ini, lebih baik berbanding 2011.”
“Kami memberi tumpuan terhadap meluaskan CASA (Akaun Simpanan Akaun Semasa)dan berharap untuk mencatat pertumbuhan dua angka dalam asas deposit dan pembiayaan,” katanya.
Prestasi CIMB Islamic dalam pelaburan Islam sangat baik dan meneraju kedudukan sukuk global sekali lagi pada 2012 dan memperkukuh kedudukannya sebagai bank Islam kedua terbesar dari segi aset di Malaysia dan Asean.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, CIMB Islamic Bank mencatatkan satu lagi tahun yang mencatatkan rekod, merekodkan keuntungan sebelum zakat sebanyak RM447 juta, kira-kira sembilan peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan.
Beliau berkata aset bank itu meningkat 24.7 peratus kepada RM28.4 bilion manakala akaun kewangan berkembang 28.9 peratus kepada RM29.2 bilion, membabitkan 15 peratus daripada jumlah pembiayaan kumpulan dan 13 peratus daripada keseluruhan aset pembiayaan industri kewangan Islam.
Di peringkat kumpulan, Badlisyah berkata jumlah perolehan meningkat menerusi operasi perbankan Islam merentas Kumpulan CIMB berjumlah RM1.47 bilion, perolehan Islam terbesar yang dijana sejak kumpulan itu mewujudkan francais “CIMB Islamic” pada 2002.
Beliau berkata operasi Malaysia menyumbang lebih daripada 89 peratus daripada jumlah perolehan perbankan Islam kumpulan, dengan Indonesia dan Singapura masing-masing menyumbang kira-kira tujuh peratus dan satu peratus.
“Kami yakin ada banyak potensi besar yang menguntungkan di Indonesia, dan kami berharap meningkatkan sumbangannya terhadap keseluruhan perniagaan kepada 10 peratus atau lebih pada 2012. Ideanya ialah mewujudkan perniagaan Islam serantau yang selari dengan perniagaan konvensional CIMB Group,” kata Badlisyah.