KUALA LUMPUR – Enam individu, termasuk dua pengarah syarikat pelaburan jongkong emas Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion, dua tahun lepas.
KIRA VALUE EMAS KALKULATOR EMAS, AR-RAHNU, PAJAK GADAI
Kira DisiniBagi pertuduhan pengubahan wang haram, Datuk Philip Lim Jit Meng, 56, Datuk Tan Liang Keat, 41, Lim Kah Heng, 42, Datuk Ng Poh Weng, 63, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 61, dan Datuk Chin Wai Leong, 37, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki, memindah, menerima dan memperoleh wang berjumlah RM1.5 bilion menerusi hasil aktiviti haram.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Kuchai Maju 1, Dynasty 2, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara Jan 2011 dan Dis 2012 mengikut subsesyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
SIMPLE GOLD TESTING KIT USING ACID TEST TO CHECK GOLD PURITY
Uji Emas AndaSementara itu, dua syarikat iaitu GMSB dan Success Attitude Sdn Bhd, turut didakwa atas pertuduhan sama, masing-masing dengan 222 dan lapan pertuduhan di tempat dan masa yang sama.
Philip, yang merupakan pengarah GMSB dan Success Attitude, berdepan 246 pertuduhan; Tan, pengarah GMSB (226 pertuduhan); Lim, pengurus besar syarikat (16 pertuduhan) manakala Ng, Marcus dan Chin, penasihat perniagaan syarikat itu, masing-masing berdepan 155, 17 dan 23 pertuduhan.
Sementara itu, syarikat GMSB, Philip, Tan, Lim dan Ng mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara 10 Januari 2011 hingga 1 Oktober 2012.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan RM1 juta dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan BAFIA.
Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes.
Di mahkamah berasingan, GSMB, Philip dan Tan turut mengaku tidak bersalah membuat penyataan palsu dalam iklan di laman sesawang www.gennevaworld.com.my berhubung penjualan emas berlandaskan syariah.
Bagi pertuduhan ini, mereka yang merupakan orang kena saman, didakwa melakukan kesalahan itu di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 16 Februari dan 1 Oktober 2012.
Mereka didakwa mengikut Sesyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(b) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Rihaida Rafie membenarkan Philip dan Tan masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Okt untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Mardziatul Nisa Ahamad Kabir dan Aida Mastura Mohamed Aman manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam A.S.Dhaliwal dan J.Kuldeep Kumar. – Bernama