Gelang Emas Antara Sumbangan ke Gaza

emas-gaza

PETALING JAYA: Tidak hanya terbatas kepada wang ringgit serta barangan keperluan asas dan perubatan, Aman Palestin turut menerima sumbangan berbentuk barang kemas bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Pangarah Medianya, Anas Abdul Wahab berkata, pertubuhan bukan kerajaan itu pernah mengumpul hasil sumbangan barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin emas.

“Terbaharu, menerusi kutipan derma amal di lokasi tumpuan orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pihak Aman Palestin turut menerima sumbangan berupa cincin dan gelang emas.

“Selalunya sumbangan sebegini banyak diterima melalui kaunter cawangan dari seluruh negara,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

“Rakyat Malaysia begitu prihatin dengan penderitaan di Gaza. Justeru kami terbuka dan menerima apa sahaja sumbangan orang ramai.

“Bagaimanapun sumbangan dalam bentuk wang ringgit lebih mudah diuruskan untuk di salurkan ke sana,” katanya.

Jelas Anas, pada Jumaat lalu Aman Palestin menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Gaza bernilai RM1.6 juta.

Menurutnya Aman Palestin dijangka menghantar misi perubatan ke Gaza pada bersama lima doktor terlatih.

“InsyaAllah kita akan berada di sana selama sepuluh hari. Turut bakal mengikut Aman Palestin ke sana ialah wakil agensi media,” katanya.

Media melaporkan sehingga kini lebih 1700 nyata terkorban manakala beratus-ratus yang lain tercedera dalam serangan Israel di Gaza yang masuk hari ke dua puluh tujuh.

PATI Sembunyi Duit, Emas Berlonggok Longgok

image

Tiga pekerja ladang warga Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Negeri ditepi perhentian tol di Senawang di sini, kelmarin kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Lebih mengejutkan, hasil daripada penahanan ketiga-tiga warga Pakistan yang berumur lingkungan 40-an itu, turut membawa kepada penemuan barang kemas seberat 83 gram dan sejumlah wang tunai RM2,500, yang disembunyikan di dalam seluar dalam dua daripada tiga lelaki tersebut ketika pemeriksaan pada anggota badan dilakukan.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara kebetulan ke atas kesemua mereka kira-kira  2 petang, kelmarin, selepas mereka dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, mereka yang bekerja di Shah Alam didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pihak berkuasa.

“Oleh demikian, kita membawa mereka ke pejabat untuk pemeriksaan lebih lanjut dengan turut membuat pemeriksaan pada anggota badan sebelum menemui barang kemas dan wang tunai yang telah disembunyikan di dalam seluar dalam dua daripada tiga lelaki tersebut,” katanya.

Katanya, daripada soal siasat selepas penemuan barang kemas dan wang tunai tersebut, mereka dipercayai baharu sahaja pulang dari membeli barang kemas di Kuala Pilah sebelum singgah di Senawang.

“Tindakan suspek ketika ditahan kelmarin amat meragukan bagaimanapun, mereka telahpun ditahan dan akan  dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut di bawah Sekyen 6 (1)(c) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 kerana tiada  dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Luar Biasa – Berlian Biru ditemui di Afrika

blue-diamond

Johannesburg: Seketul berlian biru yang jarang ditemui digali dari sebuah lombong di Afrika Selatan.

South Africa Blue Diamond

Permata 29.6 karat itu ditemui Petra Diamonds dilombong Cullinan milik syarikat itu yang terletak kira-kira 46 kilometer di timur laut Pretoria. Jurucakap syarikat itu memberitahu Stesen Penyiaran Britain (BBC), batu permata berkenaan paling luar biasa pernah ditemui di Cullinan sepanjang tempoh Petra beroperasi di lombong itu. “Berlian itu ialah permata biru terang dengan kejituan, kecerahan dan tona luar biasa. “Ia berpotensi menjadi permata utama yang bernilai tinggi,” katanya. Tahun lalu, Petra menemui berlian biru 25.5 karat yang dijual pada harga £10.3 juta (RM56.6 juta).
Penemuan terbaru itu juga dijangka meraih harga yang tinggi.

blue-diamond2

Video

Rantai Emas Dalam Perut

Miami:  Seorang pencuri terjerat selepas mesin pengimbas di penjara menunjukkan terdapat dua rantai emas di dalam perutnya.

Joseph Bravo Ramos, 21, ditahan pada 11 Disember lalu sehari selepas sebuah kediaman di Safety Harbor dilaporkan dipecah masuk.

Ketika di penjara, dia diarahkan berjalan melalui mesin Imbasan SecurPass yang kemudian menunjukkan “imej gelap” di dalam perutnya, menurut Tampabay.com.

Foto
IMEJ rantai emas (dalam bulatan merah) yang kelihatan di dalam perut Ramos (gambar kecil) selepas diimbas mesin SecurPass.

Imej itu ialah dua rantai emas yang ditelan Ramos sebelum dia dihantar ke penjara.
Ramos kemudian diarah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan rantai berkenaan di sebuah hospital sebelum barang kemas terbabit dikenal pasti milik mangsa yang dirompaknya.

Ramos yang didakwa dengan tuduhan merompak turut dituduh menyembunyikan bukti fizikal barang rompakannya.

Dia kini ditahan di penjara Pinellas dengan ikat jamin AS$15,000 (RM48,767).

Mesin imbasan SecurPass yang mengimbas tubuh manusia dipasang di penjara itu Jun lalu.

Menurut jabatan polis, mesin itu boleh mengesan logam, pil, plastik, dadah dan “bahan luar biasa lain yang mungkin disembunyikan tahanan”. – AFP

Emas Itu Untuk Wanita

Emas Itu Untuk Wanita

Dari merisik, bertunang kemudian ke saat perkahwinan memerlukan penggunaan emas sebagai medium perantara hubungan lelaki dan wanita.  Ianya juga merupakan tanda sayang dari pihak lelaki ke pihak wanita, bagi semua masyarakat emas digunakan sebagai tanda bahawa wanita itu sudah dimiliki oleh si lelaki.  Bukan mudah untuk memilih barangan kemas kerana ianya bukan saja berbeza mengikut bentuk, berat malahan setiap negeri mempunyai harga tertentu untuk satu gram emas yang dijual.

Tahukah anda harga emas dipantau oleh satu persatuan yang memastikan setiap kedai yang menjual emas tidak meletakkan harga untuk satu gram emas dengan sewenang-wenangnya.  Mereka dikenali sebagai Persatuan Tukang Emas dan Permata Malaysia (Federal of Goldsmiths and Jewellers Associations of Malaysia) dan semua ahli berdaftar dengan persatuan ini perlu mematuhi harga asas yang ditetapkan oleh persatuan.

Di Malaysia, harga emas bagi sesuatu produk itu ditentukan oleh beberapa faktor seperti kadar upah, kos pengangkutan serta kandungan emas itu sendiri.  Anda mesti pernah tertanya-tanya mengapa perbezaan ini berlaku walaupun pada dasarnya mereka menggunakan harga asas emas yang sama bukan.  Disebabkan oleh faktor-faktor yang disebutkan, harga untuk setiap produk emas berbeza-beza mengikut kedai dan tempat atau negeri yang ingin dibeli.

Sebelum membeli barangan kemas terutama nya untuk pihak lelaki, untuk memastikan anda mendapat harga yang berpatutan untuk barangan kemas yang dibeli sebelum sesuatu upacara seperti merisik atau bertunang contohnya kerana  kadangkala ini merupakan kali pertama anda menjejakkan kaki ke kedai untuk membeli emas.  Ajaklah ibu atau saudara perempuan anda untuk menemani anda ke sana kerana mereka lebih mahir dengan rekabentuk atau harga emas terkini dan yang paling penting untuk sesi penawaran harga.

Terdapat beberapa tips mudah untuk anda ikuti sebelum membeli barangan kemas, bak kata pepatah alah membeli menang memakai.

  1. Emas Padat atau Tumpat

Pastikan sebelum membeli anda memilih barangan kemas yang padat dan tumpat atau dalam erti kata lain padu sebagai pilihan, ini penting kerana ia memudahkan proses penilaian ketulenan dilakukan jika anda mahu melakukan jualan balik atau pajakan. Untuk mengukur tahap ketumpatan sesuatu emas, Densimeter akan digunakan sebagai alat bacaan.  Alatan ini tidak boleh membuat bacaan yang tepat bagi barang kemas yang tidak padat atau kosong ditengahnya ataupun yang mempunyai batu permata. Barang kemas yang padat atau tumpat juga lebih kukuh dari segi strukturnya serta tahan lasak dan tidak mudah patah atau putus untuk barang kemas seperti rantai leher dan gelang tangan.

  1. Emas 999 (24k) atau 916 (22k)

Barangan kemas yang dibuat daripada kedua-dua jenis emas ini mempunyai nilai yang tinggi untuk jangka masa panjang kerana kandungan emasnya.  Emas 999 yang mempunyai kandungan emas 99.9% ini jarang dibuat kerana ianya terlalu lembut untuk direkabentuk serta mudah melekuk.  Untuk mengenali jenis emas manakah yang anda berminat untuk beli hanya periksa di bahagian belakang barang kemas tersebut kerana emas tulen akan ditempa dengan cop “999” atau “916”.  Petua : Untuk memastikan barang kemas itu tulen atau tidak, jika dibakar ia tidak meninggalkan kesan kehitaman pada permukaannya.

  1. Elakkan membeli Emas Putih

Emas putih dijual pada harga platinum, platinum merupakan logam yang paling mahal dan harganya boleh menjadi lebih mahal daripada harga emas 999 itu sendiri.  Kandungan emas dalam barangan emas putih ini adalah sebanyak 37.5% ke 75% sahaja dan selebihnya adalah campuran logam lain.  Untuk mengenalpasti emas putih ini, anda boleh melihat dibelakang barangan kemas itu akan terdapat cop samaada “750” atau “375”. Emas putih memang cantik dipandang, apatah lagi dipakai di hari bahagia anda nanti.  Cuma dari segi pelaburan atau jangka masa panjang harga emas putih akan jatuh sehingga 50% dari harga asal dan juga kualitinya.

  1. Emas bertahtakan batu permata

Setiap wanita atau bakal pengantin mengidamkan barangan kemas yang bertahtakan batu permata sebagai barangan kemas mereka.  Ini kerana rekabentuknya yang menarik dan setiap satu nya mempunyai keistimewaan sendiri. Tapi tahukah anda barangan kemas yang bertahtakan batu permata ini mempunyai nilai yang rendah untuk jualan balik.  Jarang sekali barangan kemas dari emas 916 mempunyai batu permata ini kerana emas jenis ini tidak cukup kuat untuk memegang permata.

  1. Resit belian

Untuk memastikan setiap barangan mempunyai nilai, adalah penting untuk anda menyimpan segala resit pembelian bukan hanya untuk barangan kemas ini sahaja malah barangan kegunaan lain.  Resit bukan sahaja sebagai bukti pembelian malah untuk sesuatu barangan kadangkala, ianya merupakan kad waranti.

  1. Kos upah

Sebelum membeli anda perlulah membuat perbandingan harga untuk kos upah kerana harga asas emas adalah sama dan yang membezakannya harga dari sebuah kedai ke kedai yang lain adalah kos upahnya.  Jika tiada kos upah adalah lebih baik untuk sesuatu barangan kemas itu.

Tambah 8 Ar-Rahnu@POS

Kuala Terengganu: Pos Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jumlah pengeluaran pinjaman bagi perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu@POS kepada RM500 juta menjelang tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasinya Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, ia bakal didorong menerusi penambahan lapan cawangan Ar-Rahnu@POS dalam tempoh sehingga tahun kewangan berakhir Mac 2014.

“Dengan prestasi positif yang dicatatkan bagi tempoh operasi perkhidmatan yang belum mencapai tempoh setahun, kami optimis sasaran akan dapat dicapai,” katanya pada program Media Hunt Pos Malaysia-NPC 2013 yang berakhir Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji pasaran bagi menentukan lokasi bersesuaian pembukaan kesemua cawangan terbabit.

Menurutnya, jumlah transaksi pasaran keseluruhan bagi segmen Ar-Rahnu di negara ini adalah kira-kira RM3 juta setahun.

Katanya, ia adalah bidang berpotensi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan perolehan kumpulan kerana setakat operasinya yang bermula pada Julai tahun lalu itu membawa prestasi positif kepada kewangan berakhir Mac tahun ini.

Mohd Shukrie berkata, pihaknya juga menyasarkan pegangan pasaran yang seimbang untuk kumpulan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami kini dalam usaha memperluas operasi perkhidmatan yang pelbagai. Pos Malaysia bukan saja mempunyai objektif ke arah digital dan pada masa sama tidak mahu mengenepikan transaksi yang dapat memanfaatkan orang ramai,” katanya.

Ar-Rahnu@POS adalah perkhidmatan kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Bank Muamalat yang menerima barang kemas dengan nilai emas tidak kurang daripada 75 peratus bersama kadar upah simpan daripada 60 hingga 80 sen setiap bulan untuk setiap RM100 nilai emas, bergantung kepada nilai pasaran.

Ramal 1,000kg Emas Setahun

                  Xiang Xiong (kiri) bersama Mohd Amar (tiga, kiri) melepaskan belon sebagai simbolik                                                   perasmian  kilang baharu CNMC.

TANAH MERAH – CNMC Goldmine Holding Limited (CNMC) yakin mampu mengeluarkan sehingga 1,000 kilogram (kg) emas setahun dengan pembukaan kilang keduanya di tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor, dekat sini.

Pengerusi Eksekutif CNMC, Prof Lin Xiang Xiong berkata, keyakinan itu berdasarkan kemampuan kilang baharu bernilai lebih RM10 juta itu mengeluarkan antara 50kg dan 100kg emas sebulan.

Katanya, dalam tempoh dua bulan setengah beroperasi bermula September lalu, kilang automatik menggunakan kaedah perlombongan ‘heap leach’ itu mengeluarkan lebih 250kg emas.

“Dalam tempoh dua minggu lepas sahaja, kilang ini mengeluarkan 66kg emas, jadi untuk tahun depan dan seterusnya, kami meramalkan pengeluaran antara 800kg hingga 1,000kg emas setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan kilang kedua CNMC di tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor, dekat sini, kelmarin.
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.

CNMC adalah syarikat induk CMNM Mining Group Sdn Bhd (CMNM) yang mengusahakan tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor dengan usaha sama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Menerusi usaha sama itu, kerajaan negeri dan PKINK masing-masing menerima royalti lima dan tiga peratus bagi setiap pengeluaran emas di lombong berkenaan.

Lombong emas itu pernah mencatat sejarah negeri ini apabila menghasilkan jongkong emas pertama seberat 2.975kg bernilai RM400,000 pada 22 Julai tahun lalu.

Xiang Xiong berkata, sejak mula beroperasi di lombong itu pada 2007, syarikatnya melabur lebih RM100 juta dan bercadang meningkatkan lagi jumlah pelaburan pada masa depan.

“Polisi pelaburan kami bukan sahaja untuk perkembangan ekonomi tetapi juga berkongsi tanggungjawab sosial dengan masyarakat dan kami tidak pernah berhenti menjaga kebajikan rakyat setempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, kesungguhan CNMC melabur lebih RM10 juta untuk kilang baharu itu menunjukkan keyakinan syarikat terbabit dengan potensi dan masa depan lombong emas berkenaan.

Menurutnya, pembinaan kilang baharu dengan keupayaan pengeluaran lebih tinggi itu juga diharap membolehkan CNMC membantu negeri ini menempa nama dalam peta perlombongan emas di negara ini.

“Setakat ini, kita (Kelantan) belum ada nama dalam peta pengeluaran emas kerana yang ada cuma Terengganu dan Pahang, jadi kita harap usaha CNMC ini akan jadi permulaan.

“Kita juga harap syarikat perlombongan emas lain seperti di Gua Musang dan satu lagi kawasan di Sokor juga dapat tingkatkan pengeluaran dan boleh beri hasil lebih besar kepada kerajaan negeri,” katanya.

Membeli Emas Menggunakan Duit Kutu

emas-kutu2

“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50

Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.

Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.

“Saya menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.

“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.

“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.

Dia yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan lain bermain kutu.

Katanya, permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.

“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.

“Itupun terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.

Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.

Kamariah berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.

Katanya, kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Arwah bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.

Sambil menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.

“Bermain kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.

“Lagipun, kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.

“Kami kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan ‘urusan’ me­ngutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.

Hias diri, pelaburan paling utama

SEPASANG suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.

Kini Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua cawangan francais.

Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan kemas bukan hanya sebagai perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di pasaran.

“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan diri atau untuk pelaburan.

“Jangan terkejut jika ada lelaki datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.

“Kebanyakan pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu membeli emas dalam jumlah sedemikian.

“Kebanyakan mereka adalah golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.

“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas (dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk tujuan sama.

“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.

Jika Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi perniagaan keluarga.

Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.

Menurut menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan pelaburan.

“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.

“Rata-rata masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.

“Yang menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.

Menurut pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan lebih 500 orang.

“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.

“Untuk itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran terkini.

“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati, mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai orang tempatan suka emas 916.

“Namun ada juga yang sukakan permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.

Harga emas jarang menjunam

MEMBELI emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Jika dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi.

Perkara itu diakui pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12 tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.

“Kebanyakan rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai atau menurun.

“Hakikatnya, harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia hanya sementara.

“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.

Suhaimi turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh, kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi.

“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.

Sebagai perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda.

Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia.

Ini diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama ada di segi harga atau piawaiannya.

Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.

Menurutnya, di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.

“Di Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.

“Ia penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,” katanya.

Bagaimanapun, bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu.

“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.

“Kita boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang sembarangan.

“Ada segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.

Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.

“Emas perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah muda.

“Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan.

“Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis,” katanya.

Emas Ditemui Dalam Daun Kayu Putih

Sydney: Kumpulan penyelidik di Australia menemui zarah emas tersembunyi di dalam daun pokok kayu putih, di hutan wilayah barat negara itu, penemuan dikatakan dapat membantu pelombong mencari simpanan baru logam berharga itu.

Saintis daripada Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) berkata, mereka menemui logam itu di dalam daun pokok terbabit di hutan wilayah Kalgoorlie, yang pernah menjadi lokasi rebutan emas pada akhir 1800.

 Pakar kimia Mel Lintern berkata, kajian mendapati pokok terbabit menyerap zarah emas pada kedalaman 30 meter di bawah tanah melalui akarnya.
 “Akar tunjang pokok kayu putih bertindak sebagai pam hidrolik di dalam tanah dan menyerap air mengandungi emas,” katanya.

Jadi toksik

Beliau berkata, oleh kerana zarah emas itu berkemungkinan besar menjadi toksik, sistem pohon terbabit memindahkannya ke bahagian daun dan dahan yang dapat dibuang apabila ia gugur.
Di dalam kajian yang diterbitkan jurnal Nature Communications, CSIRO berkata zarah emas di dalam daun pokok berkenaan tidak akan mencetuskan rebutan emas kerana saiznya cuma sebesar satu perlima daripada saiz rambut manusia dan hanya dapat dilihat melalui imbasan X-ray.

Penyelidik yang terbabit di dalam kajian itu menganggarkan, zarah emas daripada daun 500 pokok kayu putih diperlukan untuk menghasilkan seutas gelang tangan.

Teroka emas

Bagaimanapun mereka berkata, penemuan itu memberi peluang kepada usaha meningkatkan kaedah penerokaan mencari emas selain menjadikannya lebih canggih dan mesra alam.

“Kaitan antara tumbuhan dengan simpanan emas yang tertanam di dalam tanah boleh membantu saintis menghasilkan teknologi baru penerokaan bahan galian,” kata Lintern.

Penemuan simpanan emas baru merosot 45 peratus sejak dekad lalu, manakala harga logam itu melonjak ketika simpanannya semakin berkurangan. – AFP

Genneva: Penggangur Wanita Didakwa Terlibat Penggubahan Wang Haram Bernilai RM1.1 Juta

SHAH ALAM: Seorang penggangur wanita berusia 29 tahun merupakan individu terbaru yang didakwa terlibat dengan 19 tuduhan penggubahan wang haram bernilai RM1.1 juta yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Ng Wan Yean, anak kepada penasihat penasihat bisnes Genneva, Datuk Ng Poh Weng didakwa terlibat dengan penggubahan wang haram kerana menerima keuntungan yang tidak sah daripda Genneva Malaysia Sdn Bhd dan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun miliknya, CIMB Bank Bhd di Jalan PJU1/3F, Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya dekat sini antara 18 Julai 2011 dan 28 Ogos 2012.

Ng bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan Ng menyerahkan pasportnya.

Ng dijangka akan didakwa dengan beberapa lagi tuduhan tengah hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ayahnya, 63 tahun, adik perempuannya, 34, dan adik lelakinya Ng Yee Yaw, 32, masing-masing didakwa atas tuduhan yang sama minggu lalu di Mahkamah Sesyen di sini dan di Kuala Lumpur