Usahawan Emas Gunung Afghanistan

PELOMBONG di Afghanistan mula menggunakan peralatan moden untuk melombong dan mendulang emas.

SELEPAS memanjat lereng gunung yang curam di utara Afghanistan, Morad Ali membongkokkan badannya lalu menyentuh beberapa ketul batu berwarna merah yang ada di tebing gunung itu.

“Terdapat emas di sini,” pintasnya.

Morad merupakan penduduk tempatan yang menggunakan pahat untuk mengeluarkan sejumlah kecil emas dari perkampungan Qara Zaghan yang terletak di pinggir pergunungan Hindu Kush.

Kini, terdapat laluan tanah menghala ke kawasan berkenaan untuk membolehkan golongan profesional dalam bidang mineral menjalankan kajian.

Mereka membuat kajian secara terperinci mengenai jenis-jenis mineral yang boleh memberi keuntungan kepada Afghanistan.

“Saya mula bekerja dalam bidang perlombongan ketika berumur 12 tahun. Kebiasaannya, kami akan menemui serpihan emas atau kami sendiri menghancurkan batu dan mendulang untuk mendapatkan butiran halus emas,” kata Morad yang kini berusia 30 tahun.

Pengetahuan Morad dalam bidang perlombongan secara tradisional merupakan aset yang berharga kepada syarikat Afghan Gold Minerals (AGM).

Ancaman Taliban

Syarikat berkenaan telah mendapat lesen untuk menjalankan kerja-kerja menggali emas di Qara Zaghan pada tahun 2011.

“Kami mengetahui tentang emas ini daripada penduduk setempat. Berdasarkan kajian, kami mendapati kehadiran emas di kawasan itu menunjukkan potensi yang baik.

“Jadi, kami perlu menjalankan kajian lebih lanjut,” kata seorang ahli geologi dari utara Afrika, Dusko Ljubojevic.

Begitupun, kebanyakan ahli perniagaan menghadapi cabaran yang besar di Afghanistan kerana kehadiran emas di atas puncak itu menarik perhatian pelbagai pihak.

Malah, pelombong terdedah kepada risiko serangan Taliban dan kumpulan-kumpulan penjenayah.

DUA pelombong menjalankan kerja-kerja menggali emas sambil diberikan kawalan ketat bagi mengelakkan serangan penjenayah.

Sehubungan itu, syarikat AGM terpaksa menggunakan kereta perisai dan membawa senjata api ketika menyusur ke wilayah Baghlan yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Syarikat AGM dimiliki oleh seorang usahawan Afghanistan, Sadat Nadari, 36, yang turut mengendalikan rangkaian pasar raya dan syarikat insurans.

Dalam pada itu, beliau juga melabur dalam bidang pembinaan, telekomunikasi dan pengedaran bahan api.

Sadat merupakan seorang usahawan yang berjaya selain mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dari luar negara. Dia boleh tinggal di negara lain, namun Sadat masih sayangkan tanah airnya.

“Saya akan tinggal dan bekerja di Afghanistan, malah akan menjalankan kerja-kerja perlombongan di sini.

“Lagipun, sektor perlombongan boleh membawa perubahan kepada negara ini. Kami berada di peringkat penerokaan emas di Qara Zaghan, jadi kami mahu mencari simpanan emas secara komersial untuk menjana pendapatan kerajaan Afghanistan,” jelasnya.

AGM ditubuhkan selepas Sadat bertemu secara kebetulan dengan tokoh pelaburan yang juga pengerusi firma kewangan terkemuka JP Morgan, Ian Hannam di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul.

Lesen lombong emas

“Saya memberitahu Hannam bahawa saya memiliki sebuah lombong emas kecil dan reaksi muka beliau berubah,” katanya sambil ketawa kecil.

JP Morgan mewujudkan sebuah konsortium pelabur untuk mengambil alih 49 peratus pemilikan AGM serta enam lesen perlombongan emas yang lain di seluruh Afghanistan.

SAMPEL batu dari lombong emas dihancurkan untuk menentukan kandungan emas.

Dalam pada itu, AS yang menjalankan kajian di Afghanistan pada tahun 2006 mendapati negara itu memiliki simpanan tembaga dan besi yang bernilai AS$1 trilion (RM3.08 trilion).

Hakikatnya, kekayaan itu menawarkan sedikit harapan kepada negara tersebut yang musnah ekoran peperangan.

“Afghanistan berada di kawasan yang bernilai tinggi, jika kita tidak meneroka galian itu, ia hanya sia-sia. Sebab itulah kita memerlukan rakan kongsi antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan modal,” kata Sadat.

Malah, pihak pemerintah Afghanistan juga berharap perlombongan emas itu dijadikan sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan.

Justeru, undang-undang perlombongan baharu akan diluluskan tidak lama lagi bagi menggalakkan pelaburan.

Sementara itu, seorang profesor dalam industri perlombongan di Kabul, Amir Mohammad Mosazai berkata, perlombongan emas membantu meningkatkan taraf ekonomi Afghanistan seperti minyak di negara-negara Arab.

“Namun, perniagaan ini sangat mahal dan negara memerlukan kawalan keselamatan yang ketat,” ujarnya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/

Gudang EMAS Terbesar Di Dunia

Federal Reserve Bank of New York terletak di New York, 33 Liberty Steet, Manhattan, New York, Amerika Syarikat. Bank ini di buka pada tarikh 16 November 1914 dan tempat inilah anda boleh melihat emas yang banyaknya yang tidak akan pernah anda lihat seumur umur anda kerana disinilah terdapat vault (ruang penyimpanan) emas terbesar di dunia.

Di vault ini dianggarkan terdapat 10% daripada rizab emas di dunia atau sekitar 5000 metric tons emas deposit, yang bernilai USD $270 b.

Rizab emas ditempat ini bukan hanya berasal dari Amerika Syarikat tetapi sebahagian adalah merupakan simpanan dari 36 negara yang lain, yang mempercayai penyimpanannya di The Fed Bank of New York.
Tidak sembarangan orang dapat memasukinya apalagi mendokumentasikan tentang apa yang ada di dalam vault tersebut.

Jadi berbahagialah anda yang dapat melihat vault penyimpanan emas terbesar di dunia tersebut. Walaupun hanya melihat, tapi menambah pengetahuan kita.

Kebaikan Menyimpan EMAS

5 SEBAB UTAMA KENAPA KITA PERLU MEMILIKI/MENYIMPAN EMAS :

 

1. EMAS IALAH KEKAYAAN YANG SEBENAR
Emas menjadi pilihan manusia sebagai penyimpan kekayaan. Sejarah penggunaan emas sebagai wang boleh dilihat 6000 tahun yang lalu. Orang-orang Mesir telah menggunakan jongkong emas yang di cop nama firaun sebagai wang. Manusia memilih emas sebagai penyimpan kekayaan kerana:

1. Warna kuning keemasan yang sangat menarik dan tidak akan pudar selamanya.
2. Emas tidak boleh dibinasakan.
3. Tahan lasak.
4. Mudah dibahagikan kepada unit yang kecil tanpa menjejaskan nilainya.
5. Ia sukar diperoleh.

Pada zaman silam, emas digunakan sebagai simbol kekayaan. Sesiapa yang memiliki emas maka ia dianggap kaya. Jika kita memiliki banyak emas pada zaman ini. Kita juga dianggap kaya. Selain itu juga emas tidak boleh dibinasakan. Sesuatu benda yang menjadi penyimpan kekayaan mestilah mempunyai sifat tidak boleh dibinasakan. Sebab itu kereta, haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak boleh menjadi penyimpan kekayaan. Ini kerana di dalam jangka masa panjang kesemua benda tersebut akan binasa.Sesuatu benda yang boleh dibinasakan dengan mudah tidak boleh menjadi penyimpan kekayaan yang terunggul.

Emas sifatnya berbeza dengan benda lain.. ia tidak boleh dibinasakan. Emas akan tetap bernilai walaupun ianya patah, penyek, calar dan bengkok asalkan ianya emas ia tetap bernilai.

 

2. HARGA EMAS SENTIASA MENINGKAT DALAM JANGKA MASA PANJANG
Harga emas akan meningkat dalam jangka masa panjang. Cuba kita ingat kembali pernahkah datuk nenek ataupun emak kita sendiri yang pesan bahawa belilah emas sebab kalau beli emas kamu xkan rugi. Kita buat xendah pun sebab kita berjiwa muda.. kita lebih gemarkan membeli barangan untuk bergaya. Beli pakaian yang berjenama, kereta yang sporty, joli belanja awek dan sebagainya. Sebenarnya kita telah silap.. kita membuat pelaburan yang silap. Itu tidak akan menjadi aset kepada kita. Kita perlu membezakan antara aset dan liabiliti. Pengetahuan yang mendalam mengenai aset dan liabiliti, insyaAllah kita akan melalui financial freedom yang diidam-idamkan selama ini. Perbezaan antara aset dan liabiliti akan saya buat pada posting yang lain, panjang lebar jugak penerangannya. Di sini saya sertakan graf kenaikan harga emas sejak 10 tahun yang lepas.

Jadi jelaskan bahawa emas adalah salah satu pelaburan yang menguntungkan dalam jangka masa panjang. Beli emas simpan… bila terdesak nak pakai duit baru jual. Nanti kita akan terkejut bila nak jual balik sebab nilainya dah jauh lebih tinggi berbanding masa kita beli dulu.

 

3. NILAI WANG KERTAS SEMAKIN JATUH DALAM JANGKA MASA PANJANG
Wang kertas (fiat money) adalah duit yang tiada nilai pada asalnya. Ia hanya berharga RM0.10 sen untuk kos membuatnya. Tetapi yang membuatkan ianya bernilai adalah kerana ia telah dijamin oleh pihak pemerintah (dalam konteks Malaysia, ianya dijamin oleh Kerajaan Malaysia). Jika tidak ianya tiada nilai dan hanyalah kertas semata-mata.

Wang kertas akan susut nilainya dalam jangka masa panjang. Ia adalah disebabkan wang kertas dikikis oleh kadar inflasi yang pada setiap tahun. Sebagai contoh, pada zaman persekolahan saya dahulu 18 tahun lepas 20 sen boleh membeli sepinggan nasi lemak. 10 sen boleh membeli segelas air sirap tetapi sekarang nasi lemak paling kurang berharga RM 1.50 (yang tiada lauk apa-apa kecuali sambal dan ¼ telur sahaja) dan air sirap pun berharga RM 1.00 segelas. Kadar susut nilai wang ringgit Malaysia hampir mencecah 700% selama 18 tahun.

Berbeza dengan nilai emas. Nilai emas hampir sama sejak zaman Rasulullah hinggalah sekarang. Pada zaman Nabi 1 Dinar (4.25g emas ketulenan 916) boleh membeli seekor kambing dan pada hari ini juga emas 1 Dinar boleh membeli seekor kambing (harga 1 dinar pada hari ini 1 Januari 2010 adalah lebih kurang RM 540).

 

4. ASET YANG TERUNGGUL
Salah satu keistimewaan emas ialah ia dianggap bernilai oleh seluruh umat manusia. Ia juga merupakan aset yang paling mudah ditukarkan kepada wang kertas. Tidak ada aset lain yang boleh menandingi kecairan emas. Ia bukan sahaja boleh dicairkan di Malaysia tetapi boleh dicairkan di seluruh dunia.

Orang kemboja datang ke Malaysia dengan membawa emas. Emas itu sangat senang untuk dicairkan berbanding dengan mata wangnya sendiri. Sekarang ni kita tengok orang Kemboja ramai yang dah kaya-kaya padahal masa datang dulu xde duit pun. Sebabnya emas yang dibawa tu boleh dicairkan diseluruh dunia. Boleh dapat duit balik untuk buat modal bisnes.

 

5.TIDAK BOLEH DIMANIPULASI
Salah satu keistimewaan emas ialah ia sukar diperoleh dan tidak boleh dicipta. Justeru itu ia tidak boleh dimanipulasikan. Kuantitinya tidak boleh ditambah dengan mudah. Ini menyebabkan emas sentiasa bernilai. Ini berbeza sekali dengan wang kertas. Ia boleh dicetak sesuka hati oleh pemerintah. Jika jumlah cetakan terlalu tinggi, maka nilainya akan menurun. Kenaikan harga barang yang menggila akan berlaku. Ia dipanggil hyperinflasi. Jika nilai wang kertas jatuh dengan teruk, wang kertas tersebut akan terus ditolak oleh rakyat. Sejarah telah membuktikan sistem wang kertas akan gagal. Terdapat banyak bukti kegagalan wang kertas di dalam sejarah tamadun manusia.

Di antara kisah kegagalan wang kertas yang pernah berlaku adalah:
1. Kerajaan Perancis –tahun 1715
2. Republik Weimer Jerman – 1922-1923
3. Hungary 1945-1946
4. Chile 1971-1981
5. Peru 1988-1991
6. Angola 1991 – 1999
7. Yugoslavia 1992-1995
8. Belarus 1994-2002
9. Kerajaan Mexico – pada tahun 1994
10. Kerajaan Argentina – pada tahun 2001
11. Zimbabwe 2000-2009

Jadi berdasarkan kepada fakta di atas jelaslah bahawa emas adalah salah satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Terpulanglah kepada kita untuk meneroka khazanah alam yang sangat bernilai ini untuk kebaikan kita bersama.

Akhir kata peganglah sabda Nabi SAW :

“Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah DINAR (EMAS) dan DIRHAM (PERAK)[untuk digunakan]” – Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal.

10 Lombong Emas Terbesar Di Dunia

Salah satu cara bagi mendapatkan emas ialah melalui kaedah perlombongan. Kita tidak tahu bila dan di mana lokasi pertama emas pertama dilombong tetapi para sejarawan mengatakan bahawa emas mula dilombong sekitar 7000 tahun yang lalu.

Lombong emas terbesar di dunia mengikut kepada pengeluaran tahunan masing-masing.
Selamat membaca !

 

10. Lombong Boddington (Australia)

Lombong ini dibuka semula pada Februari 2010. Lombong Emas Boddington menghasilkan 23,045 kg emas pada tahun 2011. Ia merupakan salah sebuah lombong emas yang terbesar di Australia dan juga dunia. Dalam setahun lombong ini juga menghasilkan puluhan ribu kilogram tembaga. Lombong ini dimiliki oleh Normandy Mining, Acacia Resources and Newcreast Mining.

 

9. Lagunas Norte (Peru)

Lagunas Norte terletak di utara Peru dan dimiliki oleh Barrick Gold Corp. Ianya juga merupakan lombong emas kedua terbesar di Peru. Lagunas Norte menghasilkan 25,188 kg emas pada tahun 2010. Syarikat pengusaha lombong ini sedang giat mengembangkan lagi projek perlombongan di tapak ini yang mana akan meningkatkan lagi jumlah pengeluaran sehingga ke tahun 2016. Lombong ini dipercayai mempunyai jumlah emas sebanyak 205,283 kg.

 

8. West Wits (Afrika Selatan)

Operasi perlombongan emas di West Wits dipercayai merupakan operasi perlombongan terdalam buat masa ini. Western Wits terdiri daripada 3 lombong utama iaitu Mponeng, Savuka dan lombong Tautone yang merupakan lombong paling dalam di dunia. Pada tahun 2011, Western Wits menghasilkan 24,634 kg emas di mana 7,589 kg daripadanya dihasilkan daripada lombong Tautone. Keseluruhan Western Wits yang terdiri daripada tiga lombong emas adalah dimiliki oleh AngloGold Ashanti.

 

7. The Super Pit (Australia)

Lombong emas The Super Pit merupakan tarikan utama pelancongan di Kalgoorlie, Barat Australia. Lombong emas ini merupakan lombong emas ‘lubang terbuka’ yang terbesar di Australia seperti yang dapat kita lihat pada gambar di atas. Ia menghasilkan 21,461 kg emas pada tahun 2009. Lombong ini dimiliki oleh Kalgoorlie Consolidated Gold Mine Pty Ltd., iaitu syarikat yang 50% dimiliki oleh Barrick Gold Corp. dan 50% lagi dipegang oleh Newmont Mining Corporation.

 

6. Vaal River (Afrika Selatan)

Ia merupakan operasi perlombongan emas di bawah tanah yang dimiliki oleh AngloGold Ashanti. Ia terdiri daripada beberapa lombong emas bawah tanah antaranya ialah Great Noligwa, Kopanang dan lombong Moab Khotsong. Ia menghasilkan 25,847 kg emas pada tahun 2011 dan rizab keseluruhan Great Noligwa yang terbukti adalah sebanyak 37,324 kg emas manakala lombong Kopanang memiliki rizab yang terbukti sebanyak 311,035 kg emas.

 

5. Veladero (Argentina)

Lombong emas Veladero merupakan lombong emas ‘lubang terbuka’ yang terbesar di Argentina. Ianya juga dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Pada tahun 2009, Veladero menghasilkan 19,000 kg emas dan ia mempunyai output sebanyak 27,993 kg emas pada tahun lalu. Veladero mempunyai rizab emas yang terbukti sebanyak 373,242 kg emas.

 

4. Goldstrike (Amerika Syarikat)

Goldstrike terletak di Nevada, Amerika Syarikat dan dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Goldstrike terdiri daripada tiga lombong emas – satu lubang terbuka iaitu lombong Betze-Post dan dua lagi lombong emas bawah tanah iaitu lombong Meikle dan Rodeo. Dicampur penghasilan ketiga-tiga lombong emas ini pada 2011 menghasilkan output sebanyak 33,840 kg emas. Rizab keseluruhan Goldstrike yang terbukti adalah sebanyak 379,462 kg emas.

 

3. Yanacocha (Peru)

Lombong emas Yanacocha merupakan lombong emas yang terbesar di Amerika Selatan. Yanacocha terdiri daripada lima lombong emas ‘lubang terbuka’. Ia menghasilkan emas sebanyak 40,217 kg pada tahun 2011. Lombong emas ini dimiliki oleh Newmont Mining Corporation, Beunaventura Group dan IFC.

 

2. Cortez (Amerika Syarikat)

Lombong emas Cortez terdiri daripada beberapa siri lombong emas lubang terbuka dan juga lombong-lombong emas bawah tanah. Ia merupakan lombong emas kedua terbesar di dunia dan yang terbesar di Amerika Utara berdasarkan kepada saiz dan jumlah pengeluarannya. Pada tahun 2011 sahaja ia menghasilkan 44,198 kg emas dan memiliki rizab emas yang terbukti sebanyak 451,000 kg emas. Ianya juga dimiliki oleh Barrick Gold Corporation. Untuk pengetahuan anda, lombong emas Cortez juga merupakan antara lombong emas tertua yang masih beroperasi. Ia mula beroperasi pada tahun 1862.

 

1. Grasberg (Indonesia)

Lombong emas Grasberg merupakan lombong emas terbesar di dunia! Bukan setakat itu sahaja, malah Grasberg juga merupakan lombong tembaga ketiga terbesar berdasarkan kepada saiz dan juga pengeluarannya. 60% pemilikannya dimiliki oleh syarikat Freeport-McMoran Copper & Gold Inc. manakala baki selebihnya dimiliki oleh Rio Tinto. Ia menghasilkan 44,913 kg emas sekaligus menjadikan pengeluaran yang terbesar untuk tahun 2011. Apa yang lebih menarik, lombong Grasberg ini memberikan kepada kira-kira 20,000 orang peluang pekerjaan.

Panduan Pelaburan Emas Tahun 2013

Disini saya ingin berkongsi Laporan Panduan Pelaburan Emas Tahun 2013 (Gold Investing Guide 2013)

Laporan ini ditulis di dalam bahasa Inggeris dan sangat membantu jika anda ingin mengetahui hala tuju pelaburan emas untuk tahun 2013 dan seterusnya.

Anda boleh download laporan ini disini:

Klik sini untuk download (klik)

Secara ringkasnya:

1. Majoriti penganalisis daripada bank terkemuka seperti Bank Of America, Goldman Sachs, Barclay Capital, BNB Paribas dan UBS menjangkakan harga emas akan meningkat antara USD1800/Oz ke USD1900/Oz

2. Prestasi harga emas tahun 2012 diterangkan secara panjang lebar (mukasurat 3)

3. Krisis zon Euro dijangka akan menjadi pemangkin kenaikan harga emas

4. Masalah Amerika Syarikat – Beban hutang yang meningkat, cetakan wang dan kadar faedah yang rendah akan mendorong harga emas naik (mukasurat 4)

5. Pembelian emas oleh bank-bank pusat di seluruh dunia akan memainkan peranan di dalam kenaikan harga emas. Ini kerana kebanyakan bank pust di seluruh dunia ingin memperbagaikan rizab mereka selain dari US Dollar yang dilihat tidak stabil.

Faktor-faktor yang terhampir yang boleh memberikan kesan positif terhadap harga emas adalah:

1. Masalah Geopolitik – Masalah ketidakstabilan politik yang berlaku di Timur Tengah, Iran, Afghanistan, Pakistan, Syria boleh menyebabkan harga minyak naik mendadak. Apabila harga minya naik mendadak, biasanya harga emas turut serta naik.

2. Peningkatan permintaan penghantaran emas fizikal di COMEX (Comodity Futures Exchange) boleh menyebabkan kekurangan bekalan emas fizikal. Ini boleh menyebabkan peningkatan harga emas fizikal.

3. Emas dikenali sebagai aset selamat. Ia mengekalkan nilainya semasa krisis kewangan tahun 2009 dan telah menunjukkan peningkatan harga sehingga tahun 2012. Pada masa ini, pelabur-pelabur menunjukkan keresahan terhadap pasaran bon dan hutang negara. Di dalam kitaran pelaburan, apa yang mungkin berlaku ialah pasaran bon akan jatuh menyebabkan pelabur lari kepada emas dan perak.

Apa Itu Emas? #

Sifat Emas

Emas merupakan logam berwarna kuning berkilauan yang perlu dilombong kerana ia tidak boleh dicipta. Namun begitu, emas juga boleh berwarna seperti delima atau hitam apabila dibahagi dengan halus. Warna emas adalah disebabkan oleh frekuensi plasmon emas yang terletak pada julat penglihatan, mengakibatkan warna merah dan kuning dipantulkan sementara warna biru diserap.

Emas juga mudah ditempa dan dimulurkan sehingga apabila 1 gram emas yang ditempa boleh menjadi satu kerajang bersaiz satu meter panjang dan satu meter lebar atau 1 auns kepada 300 kaki2. Oleh sebab itu, emas biasanya dipadukan atau dialoikan dengan logam lain seperti perak (argentum) dan tembaga (kuprum) untuk menjadikan lebih keras. Emas yang dialoikan ini biasanya dibentuk untuk dijadikan emas hiasan (barangan kemas) atau duit syiling kerana sifatnya akan menjadi lebih keras dan membolehkan emas ini dibawa dan dipegang tanpa risau ia akan bengkok atau terhakis.

Tambahan lagi, emas juga merupakan pengalir elektrik yang baik. Sifat ini menjadikan emas muncul sebagai logam industri penting pada akhir abad ke 20. Emas digunakan dalam pembuatan lapisan nipis elektroplat pada permukaan penyambung elektrik yang biasanya didapati dalam litar barang-barang elektronik seperti komputer dan alat telekomunikasi. Oleh sebab itu, terdapat segelintir daripada kita yang giat mengumpul emas yang terdapat pada perkakasan elektronik lama dan rosak.

Ketulenan Emas

Karat adalah ukuran ketulenan emas dalam aloi. Setiap karat mewakili nisbah ketulenan 1 / 24, yang menunjukkan berapa banyak bahagian-bahagian daripada 24 adalah tulen. Oleh itu, 24 karat emas adalah tulen, manakala 18 karat emas ¾ emas dan ¼ aloi (Dictionary of international trade: handbook of the global trade community by Edward G. Hinkelman).

Berikut adalah beberapa contoh yang biasa digunakan:

24-karat = 0,995-0,000 tulen emas

22-karat =0,916 tulen emas

18-karat = 0,750 tulen emas

14-karat = 0,583 tulen emas

10-karat = 0,4167 tulen emas

Ukuran Berat Emas

Secara amnya, emas diperdagangkan dengan menggunakan unit ukuran ‘Troy Ounce’ yang telah diterima pakai oleh Mint AS untuk mengawal selia sistem mata wang pada tahun 1828. Berikut memberikan penukaran anggaran antara berat tradisional dan metrik.

Sejarah Emas

Emas telah digunakan sejak daripada zaman dahulu, seawal zaman pra-sejarah lagi. Emas juga telah dilaporkan dalam beberapa dokumen-dokumen lama yang menyatakan emas digunakan sebagai barang hiasan.

Selain digunakan sebagai hiasan, emas telah lama dianggap sebagai logam yang paling berharga, dan nilainya telah digunakan sebagai piawai untuk banyak matawang dalam sejarah. Emas telah digunakan sebagai simbol ketulenan, nilai tinggi, kedaulatan, dan lebih-lebih lagi peranan yang mengaitkan sifat-sifat tersebut.

Nilai Emas

Seperti logam-logam bernilai yang lain, emas dinilai dengan berat troy dan apabila ia dialoi dengan logam yang lain perkataan karat digunakan untuk menunjukkan kuantiti emas yang hadir, 24 karat adalah emas tulen. Sejarah menunjukkan bahawa emas pernah digunakan untuk menyokong matawang dalam sistem yang digelar piawaian emas di mana satu unit matawang adalah bersamaan dengan beberapa jumlah berat emas. Dalam sistem ini, kerajaan dan bank pusat cuba untuk mengawal harga emas dengan meletakkan nilai yang mereka ingin tukarkan dengan matawang.

Untuk sekian lamanya nilai emas diletakkan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada harga $20.67 per troy auns, namun pada tahun 1934 nilai ini ditetapkan pada harga $35.00 per troy auns. Disebabkan krisis emas pada Mac 17 1968, satu skim peletakan harga dua peringkat diperkenalkan di mana emas masih lagi digunakan untuk menguruskan akaun antarabangsa pada nilai lama iaitu $35.00 per troy auns ($1.13/g) tetapi harga emas dalam pasaran persendirian dibenarkan untuk turun-naik. Pada 1975 sistem dua peringkat ini diabaikan apabila harga emas dibenarkan untuk turun-naik. Semenjak 1968 harga emas pada pasaran terbuka telah turun-naik dengan luasnya, dengan rekod tertinggi $850/oz ($27,300/kg) pada 21 Januari 1980, sehinggalah ke rekod terendah $252.90/oz ($8,131/kg) pada 21 Jun 1999 (Tetapan London). Harga emas telah meningkat ke $500/oz pada penghujung 2005, oleh sebab susut nilai dolar Amerika dan inflasi akibat kenaikan kos tenaga.

Oleh kerana kegunaannya sebagai stor simpanan nilai, pemilikan emas persendirian kadang kala dihadkan atau diharamkan. Di dalam Amerika Syarikat, pemilikan emas secara persendirian kecuali sebagai bahan kemas atau pengumpulan duit syiling diharamkan dari tahun 1933 ke tahun 1975.

Sebagai pelaburan ketara, emas kadang kala dipegang sebagai sebahagian daripada portfolio kerana pada jangka masa yang panjang emas telahpun memiliki sejarah yang lama dalam pengekalan nilainya. Emas menjadi semakin menarik di saat-saat keyakinan rendah dan semasa hiperinflasi kerana emas mengekalkan nilainya walaupun apabila wang hampa menjadi tidak bernilai.

Cara Mengetahui Tanah Yang Mengandungi Ketulan Emas

Suatu ketika dahulu, pernah terjadi seorang lelaki yang berusaha mencari emas di sebuah terowong menemui ajalnya apabila terowong tersebut runtuh. Lebih menyayat hati, mayatnya tidak dapat dikeluarkan atas faktor keselamatan pegawai bertugas. Ini yang orang ramai sedang mencari. Emas. Harganya sentiasa meningkat, jika turun pun sedikit. Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup mencari emas biarpun terpaksa bertarung nyawa. Di bawah ini tentang cara mengetahui tanah yang mengandungi ketulan emas.

Ciri-ciri Tanah Mengandungi Emas

1) Tanah yang mengandung mineral sulfida yang tinggi. (berbau seperti belerang)
2) Wujudnyanya mata air panas di sekitar kawasan tersebut.
3) Sekitarnya ada gunung berapi yang sudah lama ada.
4) Ada aliran sungai di kawasan berhampiran.
5) Mempunyai lapisan tanah lempung yang tebal.
6) Terdapat batuan putih berurat emas (urat kaca atau batuan kaca lutsinar)

Ciri-ciri di atas hanyalah untuk pengesanan awal sahaja, untuk memastikan kewujudan emas sebenar, ujian merkuri dan ujian-ujian lain masih perlu dilaksanakan.

7 Kelebihan Pelaburan Emas vs Tanah

1. Emas mudah dibeli. Asal ada duit extra boleh beli. Untuk tanah, sebelum beli kena check status samada betul milik pemilik, tidak dicagar di bank dan tiada masalah perebutan dikalangan pemilik, lepas tuh kena buat Sales and purchase agreement. Jika harga tanah mahal, kena buat loan, kena ada deposit dan lain-lain. Leceh kan?

2. Emas mudah dibahagikan. Kalau kita ada 100 gram emas, kita mudah jer bahagikan samada tukar kepada 20 gram x 5 bahagian. Tanah kalau nak bahagikan mmg proses nya rumit. Kalau tanah tu kecik lagi susah nak pecah. Last2 sorang dapat bahagian yang terlalu kecil, nak buat rumah pun tak lepas.

3. Emas mudah dicairkan. Boleh jual dimana2 kedai emas atau di Hargaemas . Tanah ambil masa untuk dijual sebagaimana proses diatas perlu diambil oleh pembeli. Kadangkala mengambil masa bertahun-tahun menunggu pembeli dgn harga yang dipersetujui kedua pihak. Jika memerlukan wang segera terpaksa jual dengan harga rendah yang kadangkala merugikan penjual.

4. Emas tidak perlu penyelengaraan. Tanah perlu ada sempadan, perlu bayar cukai tanah setiap tahun. Masalah pencerobohan, masalah banjir, ternakan masuk ke kawasan tanah dan pelbagai masalah lain.

5. Emas kenaikan harga tinggi setiap tahun 20-30%. Kenaikan tanah bergantung kepada lokasi, paling rendah kenaikan 5% sahaja. Lokasi strategik, harga tanah pun mahal. Tidak semua orang mampu membeli tanah di lokasi strategik.

6. Emas boleh digadaikan dengan mudah, asalkan berat dan ketulenan tepat. Tanah juga boleh dicagar, tetapi prosesnya agak panjang dan rumit. Tanah tersebut perlu dinilai oleh jurunilai panel bank, kemudian perlu mohon dari bank dan pemohon mempunyai keupayaan pembayaran balik dengan bukti pendapatan tetap.

7. Emas tiada siapa boleh tahu berapa banyak emas kita miliki. Tanah mudah untuk diketahui pemilikan tanah kita termasuk rekod oleh Jabatan Tanah, rekod pembayaran cukai tanah dan setiap penjualan tanah dikenakan pelbagai cukai oleh kerajaan.

taukeyemassarawak

Barang Kemas Bersejarah

Jika anda memiliki barangan kemas terutama di kalangan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang sekitar 1700, ia simbol kekayaan atau status individu.

Tidak hairanlah, ada sanggup menyewa atau meminjam barangan kemas dari kedai emas untuk dipakai pada majlis keramaian.

Itu gambaran mengenai penggunaan emas di kalangan masyarakat Jawi Peranakan iaitu etnik hasil perkahwinan campur antara wanita Melayu dengan lelaki India, Arab, Benggali, Punjabi atau Acheh.

Menghargai budaya dan mengekalkan warisan masyarakat itu, Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib, mengambil langkah membuka Galeri Warisan Habib di Lebuh Pitt, Georgetown.

Galeri itu menempatkan lebih 1,000 koleksi bara­ngan kemas Jawi Peranakan serta Baba dan Nyonya yang dikumpul bapanya, pengasas Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif di bangunan warisan berusia lebih 100 tahun yang juga bangunan asal kedai Habib Jewels di negara ini.

Galeri yang menelan kos membaik pulih RM1 juta itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Februari tahun lalu dan kini dibuka setiap hari kecuali Ahad antara jam 9 pagi sehingga 6 petang.

Ketika melangkah ke tingkat atas bangunan berkenaan, alunan muzik klasik P Ramlee dimainkan bagi mewujudkan latar belakang suasana sambil mata ‘dijamu’ keindahan bara­ngan kemas dan perabot lama.

Kata suami kepada Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin itu, galeri berkenaan dibuka bagi membuka mata masyarakat khususnya golo­ngan muda kegemilangan emas lama yang mempunyai keunikan serta nilai sejarahnya tersendiri.

Mengenai barangan kemas di galeri itu, Meer Sadiq berkata, ia adalah barangan yang dikumpulkan bapanya sejak 70 tahun lalu melalui kenalan luar negara, pusat lelongan barangan dan kedai emas sebelum membuka kedai Habib Jewels yang menggunakan nama MA Habib Mohamed.

Beliau berkata, bara­ngan kemas yang dibeli dengan harga serendah RM50 ketika itu, kini nilainya mencecah jutaan ringgit dan menjadi buruan peminat emas kerana seni rekaannya yang halus yang kebanyakannya bermotifkan flora.

“Barangan kemas yang dipamerkan di galeri ini adalah seperti rantai, subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, pencucuk sanggul, tali pinggang, butang baju dan lengan, kerongsang baju selain syiling emas, mangkuk emas, tepak sireh, jam dan gunting.

“Paling unik ialah kerongsang berbentuk bunga lawang, butang baju tradisional dari syiling emas, gelang kaki berusia 200 tahun, cincin berbentuk buah kana dan kapal terbang serta perabot seperti meja solek, bidai dan almari antik.

“Selain barangan kemas bagi tujuan pameran, kami turut menjualnya dan harga bergantung kepada jenis dan berat barangan kemas itu,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Menurutnya, barangan kemas lama itu kini menjadi buruan penggemar fesyen kerana ia amat menarik apabila dipadankan dengan pakaian tradisional seperti kebaya atau baju kurung.

“Lihat saja barangan kemas seperti yang dipakai dalam filem P Ramlee seperti Antara Dua Darjat dan Ibu Mentuaku, yang mana pelakonnya mengenakan kebaya dengan padanan kerongsang dan ia kini menjadi ikutan,” katanya.

Selain terus mengumpul barangan kemas, Meer Sadik berusaha mendapatkan beberapa barangan lama bagi melengkapkan galerinya seperti peta bertulisan lama Perancis, yang kini mengambil masa untuk diterjemahkan.

“Bangunan galeri warisan ini mung­kin yang terakhir milik Jawi Peranakan di negeri ini, justeru saya berharap menjadikan Galeri Warisan Habib ini tumpuan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, bagi arkitek yang bertanggungjawab dalam ‘menghidupkan’ semula warisan itu, Laurence Loh berkata dia menerima tawaran kumpulan Habib kerana kagum dengan nilai sejarah dan warisan di Pulau Pinang.

Arkitek yang memenangi anugerah Pemuliharaan Warisan Budaya pada 2000 di UNESCO Asia-Pacific Heritage bagi Projek Paling Hebat dalam membangunkan semula Cheong Fatt Tze Mansion, Lebuh Leith itu berkata dia menyokong usaha Meer Sadik memelihara warisan keluarganya.

“Ramai menganggap bangunan yang menggunakan kayu bersifat sementara dan akan rosak ditelan masa namun de­ngan usaha pemuliharaan ini, ia menjadi permulaan yang baik bagi mencipta kesedaran kepada masyarakat mengenai kepenti­ngan mengekalkan bangunan warisan,” katanya.

Katanya, dia mempu­nyai pelbagai perancangan memulihkan projek warisan pada masa depan bagi memastikan nilai warisan tapak tidak hilang ditelan masa.

Fakta Galeri Warisan Habib

Dibuka: Februari 2012
Masa lawatan: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Ahad
Masuk: Percuma
Alamat: No 111, Lebuh Pitt, Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang

iPad Bersalut Emas 24 Karat Untuk Penghuni Burj Al Arab

Satu–satunya hotel bertaraf tujuh bintang Burj Al Arab, Dubai mengumumkan bahawa mereka akan membekalkan setiap tetamunya dengan iPad bersalut emas 24 karat sepanjang tempoh menginap di hotel tersebut sebagai sebahagian daripada virtual concierge.

Hotel ini sememangnya terkenal sebagai sebuah hotel yang menawarkan “kemewahan” seiring dengan falsafah mereka iaitu “stay different“.

iPad bersalut emas 24 karat ini telah direka dan disediakan khusus oleh Gold & Co, London dan ianya eksklusif untuk Burj Al Arab.

Selain daripada iPad bersalut emas 24 karat ini, Hotel Burj Al Arab turut menyediakan iMac di setiap bilik hotel mereka. Sekiranya berhasrat untuk menginap di Burj Al Arab, pastikan anda betul – betul “kaya” memandangkan kos menginap di hotel tersebut adalah sekitar £985 semalaman dan mencecah £12,339 untuk Royal Suite.

P/S : iPad mesti dipulangkan semasa “check-out“.