6 Penjenayah Bersenjata Rompak Kedai Emas Dalam Masa 5 Minit

Seorang pemilik kedai emas kerugian RM350,000 ringgit setelah kedainya menjadi sasaran enam lelaki bersenjatakan pistol.

Kejadian berlaku di Jalan Masjid India, di ibu negara siang tadi.

Rompakan tidak sampai lima minit itu, berlaku jam 10 pagi tadi ketika kedai baru dibuka.

Perompak datang menaiki tiga buah motosikal.

Sebaik tiba, lima daripada enam perompak menyerbu masuk dan memecahkan cermin pameran barang kemas.

Sebaik dipecahkan, tujuh dulang barang kemas dilarikan.

Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Pemeriksaan pasukan forensik menemui kesan tapak kasut dan cap jari.

Video rompakan dan siasatan polis klik sini TV9

Polis percaya, salah seorang daripada suspek menggunakan pistol palsu.

Kamera litar tertutup CCTV di dalam premis gagal merakamkan kejadian itu kerana rosak.

Ugut Remaja Minta Emas

London: Seorang gadis yang diperas ugut menyerahkan barang kemas bernilai lebih £15,000 (RM73,911) milik ibunya kepada seorang lelaki bagi menghalangnya mendedahkan rakaman seksnya di Facebook.

Aamir Khan, 20, memberitahu gadis berusia 16 tahun itu bahawa dia secara sulit merakamkan perbuatan mereka di dalam keretanya.

Aamir kemudian meminta gadis itu menyerahkan wang dan emas kepadanya dan mengancam untuk memuatnaik rakaman itu di Facebook serta menghantar salinan kepada ibu bapa mangsa.

Mangsa yang ketakutan mengambil barang kemas, termasuk tinggalan nenek moyangnya yang mungkin tidak boleh diganti dan menyerahkan kepada Aamir menerusi tingkap bilik tidurnya beberapa kali.

Mahkamah di Leicester diberitahu, gadis itu begitu malu hingga menimbang melarikan diri dari rumah dan membunuh diri, Aamir dari Spinney Hills, Leicester, mengaku memeras ugut dan dijatuhi hukuman menjalani tahanan remaja selama tiga tahun tujuh bulan.

Hakim Michael Pert QC menyifatkan tindakan Aamir sebagai kejam dan pengkhianatan yang sinis.

“Kamu lakukan perbuatan itu pada 2009 ketika kamu berusia 18 tahun dan dia 16 tahun. Kamu berasal dari latar belakang yang sama yang kegiatan seks di kalangan remaja belasan tahun mempunyai kesan lebih buruk berbanding jika ia berlaku dalam masyarakat lain. “Kamu membuat beberapa tuntutan selama beberapa minggu, secara sinis dan kejam. Dia sudah pastinya malu dengan gambar yang akan dimuatnaik ke Facebook dan diketahui ibu bapanya. Kamu perlu dihukum. “Orang ramai perlu sedar jenayah memalukan ini dan bagaimana anggota masyarakat melihatnya dengan jijik.

Hakim itu juga berkata, Aamir hanya mengaku kesalahannya selepas begitu lama iaitu ketika hari perbicaraan. “Anda berharap untuk terlepas daripada kesalahan ini dan tidak mengaku bersalah hingga ke saat akhir. Ia menyebabkan mangsa mengalami kesengsaraan lebih teruk selepas apa yang telah dicakapkan di mahkamah dan kemudian digelar pembohong,” kata Hakim Michael.

Pendakwa raya, Jonathan Eley berkata, selepas mengadakan seks dengan mangsa, dia menurunkan gadis itu dari keretanya sambil berkata: “Bagus Blackberry kerana mempunyai kamera.” Beberapa minit kemudian dia menelefon mangsa dan berkata, dia merakamkan adegan yang berlaku. – The Sun

Kedai Emas Kerugian RM400,000 Dirompak Enam Suspek Bersenjata Parang

BENTONG: Sebuah kedai emas di Jalan Besar, Karak di sini hari ini kerugian RM400,000 selepas dirompak enam suspek bertopeng dan bersenjata parang.

Dalam kejadian 8.55 pagi itu, kesemua suspek terbabit menyerbu premis berkenaan ketika pemiliknya baru saja membuka kedai.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohamad Mansor Mohd Nor, berkata kejadian itu berlaku semasa pemiliknya, seorang lelaki berumur 30an, membuka kedainya seperti biasa apabila tiba-tiba enam suspek terbabit meluru masuk ke premis berkenaan.

Suspek bertindak mengacukan parang ke arah mangsa sebelum melarikan 13 buah dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM400,000, katanya kepada di sini, hari ini.

Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan di hadapan premis itu, katanya.

Polis sedang memburu kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA

: www.bharian.com.my/

Tiga Wanita Rugi RM35,000

Alor Setar: Tiga wanita mendakwa kerugian sebanyak RM35,000 selepas barang kemas yang dilaburkan dalam skim pelaburan emas sebuah syarikat jualan langsung terkenal gagal ditebus semula seperti dijanjikan.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamilah, mendakwa didatangi seorang ejen syarikat itu, ‘Siti’ berusia 40-an pada 12 Oktober tahun lalu untuk memperkenalkan pelaburan emas ketika berada di rumah ibunya di Kodiang.
Terima untung pada bulan pertama

Katanya, ejen wanita itu mendakwa syarikat jualan langsung itu memperkenalkan pelaburan emas selama dua bulan dan akan mendapat pulangan lumayan.

“Dia memberitahu saya akan menerima keuntungan sebanyak RM600 pada bulan pertama dan barangan emas yang saya laburkan itu akan dipulangkan semula pada bulan kedua.

“Saya terus bersetuju menyertai skim pelaburan itu dan menyerahkan seutas rantai tangan emas milik ibu serta rantai leher milik saya dianggarkan bernilai RM6,000 kepada Siti dengan harapan mampu memberi pulangan seperti diharapkan,” katanya di sini, kelmarin.

Jamilah kemudian menandatangani borang sebagai persetujuan cagaran barang kemas kepada syarikat itu.

Lelaki Cuba Rompak Kedai Emas Ditembak Mati

KOTA BHARU: Seorang lelaki bersenjatakan pisau mati ditembak polis dalam cubaan merompak bersama seorang lagi rakannya di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini, Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian 11.15 pagi itu, suspek berumur 32 tahun yang berasal dari Kampung Gabus, Tok Uban, Pasir Mas, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di paha kiri.

“Cubaan merompak oleh dua suspek lelaki bersenjatakan pisau dan pistol itu disedari tiga anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata rentetan itu, seorang daripada anggota polis tersebut memperkenalkan diri sebelum suspek yang bersenjatakan pisau bertindak melarikan diri ke belakang bangunan kedai berkenaan.

Menurutnya, polis melepaskan tembakan amaran ke udara supaya suspek berhenti, namun suspek bertindak menyerang anggota polis sebelum ditembak di bahagian kaki.

“Selepas ditembak, suspek berusaha melarikan diri kira-kira 15 meter daritempat tembakan dilepaskan sebelum rebah. Dua anggota lain (polis) kemudian sampai dan membantu mengikat paha suspek dengan kain untuk memberhentikan pendarahan, ” katanya.

Jalaluddin berkata, pihak ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia akibat pendarahan.

“Seorang lagi suspek yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan diri dan polis kini menjalankan operasi mengesan penjenayah itu,” katanya menambah polis akan mendapatkan gambar suspek melalui rakaman kamera litar tertutup.

– BERNAMA

Penyamun Acu Pistol Di Kepala Pemborong Emas

Mangsa dikatakan meletakkan kenderaannya di kawasan ini sebelum didatangi empat individu yang melakukan samun.

IPOH – Suasana tenang di sebuah restoran di Jalan Jalan Bijih Timah, Pekan Lama, di sini, semalam bertukar cemas apabila didatangi empat individu yang bertindak mengacukan pistol kepada salah seorang pelanggan restoran berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua daripada empat lelaki berkenaan dikatakan menyerbu restoran itu sebelum mendekati seorang lelaki sedang minum yang dipercayai pemborong emas.

Sumber memaklumkan, kumpulan lelaki berkenaan mengacukan pistol ke kepala mangsa dan meminta mangsa menyerahkan kunci kereta yang diletakkan di hadapan restoran itu.

Mangsa yang enggan menyerahkan kunci berkenaan terpaksa akur apabila penjenayah berkenaan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan bahagian belakang pistol.

“Suspek kemudiannya bertindak membuka bonet kereta mangsa dan membawa lari beg yang berisi wang tunai dan barang kemas.

“Dua daripada mereka dipercayai datang ke restoran berkenaan menggunakan motosikal, namun melarikan diri menggunakan kereta berikutan penemuan motosikal di Kampung Palong,” katanya.

Siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran motosikal mendapati, ianya nombor pendaftaran palsu, kerugian dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan penemuan motosikal berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali memaklumkan, dua lelaki mengeluarkan tiga beg yang dipercayai terdapat sejumlah emas sebelum melarikan diri bersama dua lagi penjenayah yang menunggu di luar.

“Pada masa itu saya sedang sibuk dan terkejut secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke kedai dan menyerang seorang pelanggan saya.

“Salah seorang daripadanya mengeluarkan pistol dan mengacu kepada mangsa hingga mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari,” katanya.

Saksi kejadian, N Sitiavani, 32, berkata, insiden itu nyata mengejutkan ramai orang termasuk dirinya yang baru sahaja berniaga di restoran berkenaan empat hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang sibuk menyediakan makanan kepada pelanggan dan keadaan menjadi cemas apabila orang ramai menjerit setelah melihat lelaki itu mengeluarkan pistol.

“Saya terperanjat apabila orang ramai bertempiaran lari dan ketika saya menoleh saya nampak penjenayah sedang mengacukan pistol ke kepala mangsa dan saya juga bertindak melarikan diri selepas panik dengan situasi berkenaan.

“Saya hanya mampu melihat dari jauh, rompakan itu dilakukan dalam tempoh tak sampai lima minit sebelum keempat-empat penjenayah berkenaan melarikan diri bersama beg berisi barang kemas,” katanya lagi. SH

Curi Emas IBU : Lelaki Dihukum Penjara 8 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini selepas mengaku bersalah mencuri rantai emas dan loket milik ibunya, April lepas.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki memerintahkan Muhammad Kamal Maniandy, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 9 April lalu selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah pada Selasa.

Tertuduh didakwa mencuri seutas rantai emas bersama loket yang kesemuanya bernilai RM2,500 milik N. Navamani Devi di rumah No.114E, Indian Settlement, Jalan 13, Batu Caves, Gombak di sini pada 6 petang 7 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 7 April lepas, ibunya mendapati rantai emas dan loket yang disimpan di dalam almari telah hilang.

Wanita itu mengesyaki anaknya mencuri selepas menjumpai dua resit deposit wang masuk bernilai RM1,400 ke dalam akaun tertuduh yang kemudiannya mengaku mengambil barang kemas itu dan menjualnya di sebuah kedai pajak gadai di Taman Sri Selayang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-BERNAMA

Tauke Rugi RM17,000 Kedai Emas Dirompak, Polis Cedera

ALOR SETAR – Seorang pegawai polis yang sedang bercuti tetap melaksanakan tugasnya menjaga keselamatan awam dengan berusaha menghalang dua perompak yang memecah masuk sebuah kedai emas di Alor Janggus di sini petang kelmarin.

Sungguhpun begitu, beliau cedera di tangan kanan apabila terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang perompak sebelum melarikan diri.

Ketika insiden itu, Ketua Polis Balai Senai, Johor, Inspektor Zuwairi Ramli sedang bercuti dan dalam perjalanan ke Alor Setar bersama keluarga.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, ketika sampai di pekan Alor Janggus, pegawai polis itu ternampak dua lelaki keluar dari sebuah kedai emas sambil memegang satu tukul besi dan beg tangan.

“Inspektor Zuwairi mengesyaki berlaku rompakan di kedai itu segera memberhentikan keretanya untuk menangkap suspek. Secara tiba-tiba, seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan dan mengenai tangan kanannya,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Mereka kemudian melepaskan satu lagi tembakan ke udara sebelum merampas kenderaan yang dirempuh itu untuk melarikan diri. Kereta itu dijumpai semula di Taman Anggerik berdekatan sebuah pasar raya di sini, kira-kira jam 6 petang.

“Kita mendapat panggilan telefon daripada seorang pekerja di Plaza Tol Alor Setar Utara yang melihat lelaki yang mencurigakan di tandas.

“Kita menjumpai satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr, satu magazin dan sebutir peluru 9 milimeter dalam tandas itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama dengan sebutir peluru yang dijumpai.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada pistol itu ada kaitan dengan rompakan kedai emas atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Mengenai anggota polis yang terkena tembakan, Ahmad beliau berkata, Zuwairi mengalami kecederaan pada tapak tangan sebelah kanan.

“Beliau hanya cedera di tapak tangan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Pegawai polis itu ketika ini masih bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya di sini,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai emas terbabit, Thoo Ah Fatt, 55, berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku terlalu pantas dan boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Sewaktu kejadian, saya berada di ruang niaga. Tiba-tiba dua lelaki memberhentikan motosikal dan terus berlari ke arah kedai saya sambil mengacukan pistol.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa, hanya boleh lari selamatkan diri di belakang kedai. Seorang daripadanya kemudian memecahkan cermin tempat barangan kemas menggunakan tukul besi sebelum melarikan pelbagai barangan kemas,” katanya.

Menurutnya, sewaktu suspek cuba melarikan diri, seorang anggota polis yang secara kebetulan lalu di hadapan kedai emas memberhentikan kereta dan memperkenalkan diri selepas melihat tindakan suspek yang mencurigakan.

“Terkejut dengan kehadiran anggota polis itu, seorang suspek melepaskan satu das tembakan dan mengenai tangan anggota polis itu,” katanya yang kerugian kira-kira RM17,000 akibat kejadian itu. SinarHarian

Inspektor Cuba Halang Rompakan Cedera Ditembak

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang sedang bercuti di kampungnya, cedera ketika cuba menggagalkan rompakan di sebuah kedai emas di Batu 4, Jalan Kuala Sungai di Alor Setar semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, dua lelaki yang memakai topi keledar muka penuh bersenjatakan sepucuk pistol dan sebatang besi melepaskan tembakan sehingga mencederakan pegawai polis itu ketika suspek bergegas melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Beliau berkata mangsa yang bertugas di Johor kebetulan lalu di kawasan kedai emas berkenaan dan menyaksikan kejadian rompakan yang menyebabkan kerugian lebih RM18,000 itu.

“Anggota (polis) itu perkenalkan dirinya sebelum seorang suspek bertindak keluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan.

“Anggota itu cedera di tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebagai pesakit luar dan dilaporkan stabil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kedah di Alor Setar malam tadi.

Ahmad berkata motosikal yang ditunggang suspek kemudian terbabas dan melanggar sebuah kereta kira-kira 150 meter dari tempat kejadian dan seorang daripada mereka melepaskan satu tembakan ke udara sebelum bertindak merampas kenderaan yang dirempuh itu.

Beliau berkata kereta itu kemudian ditemui di Taman Anggerik pada kira-kira 6.25 petang.

Polis menerima maklumat orang awam yang melihat lelaki mencurigakan keluar dari tandas di plaza tol Alor Setar Utara, Jalan Langgar di Alor Setar, katanya.

Ahmad berkata hasil siasatan mendapati satu beg kecil berisi sepucuk pistol jenis Styr Satu Magazin dan sebutir peluru 9 milimeter diletak dalam tandas itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kelongsong peluru yang dilepaskan suspek kes rompakan kedai emas itu sama, dan kita akan menyiasat sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan atau tidak,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, seorang saksi, Nurliza Ali, 20, yang juga pekerja kedai emas berkata dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ meluru ke dalam kedai sebelum mengacu pistol ke arahnya serta meminta beliau diam dan tidak melawan.

Nurliza berkata ketika itu, hanya beliau berada di bahagian depan kedai manakala majikannya yang berusia 51 tahun bersama dua anak berusia 23 dan 11 tahun di pejabat yang terletak di belakang kedai.

“Dia (suspek) suruh saya duduk, dan saya pun duduk bertinggung sebab takut.

Lepas tu, seorang lelaki yang pegang batang besi dibalut kain pecahkan cermin pameran dan ambil pelbagai gelang, cincin emas dan perak, termasuk emas tiruan, secara tergesa-gesa.

“Lepas penggera berbunyi, mereka lari menuju ke arah Alor Janggus dan sayapun berlari mendapatkan majikan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Anak sulung pemilik kedai emas, Thoo Chee Cheng, 23, pula berkata beliau keluar dari pejabat dan menekan butang penggera selepas terdengar bunyi bising di luar dan ternampak kelibat dua lelaki bersenjata.

Beliau berkata sebelum ini, kedai emas yang beroperasi sejak 23 tahun lepas itu tidak pernah dirompak.
– Bernama

Warga Emas Ditipu Hampir RM22,000

KUCHING: Seorang warga emas dari Kampung Sileng Melayu, Lundu mengalami kerugian hampir RM22,000 setelah terpedaya dengan tipu muslihat tiga individu.

Dalam insiden sekitar jam 9 pagi Sabtu itu, pesara berumur 73 tahun berkenaan didatangi suspek-suspek yang terdiri daripada seorang wanita di pasar Lundu yang menawarkan pertolongan kepada mangsa untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Bau.

Mangsa yang bersetuju dengan tawaran tersebut memasuki kereta kumpulan itu namun setibanya di Hospital Bau, suspek menyuruh mangsa mengambil gambar bagi berurusan di pejabat JKM.

Mangsa turut diarahkan untuk menanggalkan kesemua barang kemas sebelum disuruh masuk ke dalam hospital untuk mengambil gambar.

Bagaimanapun, mangsa akhinya menyedari dirinya ditipu tetapi kesemua individu terbabit telah lari meninggalkan mangsa.

Antara barangan yang dilarikan adalah beberapa utas rantai, cincin, gelang, wang tunai dan jumlah kerugian hampir RM22,000.

Mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang lelaki dari Sri Aman ditahan di Batu Tujuh, Kota Sentosa, malam kelmarin kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu.

Polis mendekati lelaki yang dalam keadaan mencurigakan itu sekitar jam 10.30 malam dan tidak menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri ketika diminta.

Hasil pemeriksaan ke atas badan lelaki berkenaan menjumpai sebuah anak kunci.

Suspek kemudiannya diminta membawa pihak polis ke motosikal tersebut dan pemeriksaan pada nombor enjin mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.

Motosikal serta anak kunci tersebut dirampas untuk siasatan dan lelaki berkenaan dibawa ke balai bagi membantu siasatan. theborneopost.com