Emas & Perak : Antara Khabar & Realiti

Baru-baru ini ada seorang client bertanyakan kepada saya, kenapa saya kelihatan skeptikal dengan emas. Saya bukan skeptikal dengan emas kerana saya bencikan emas, saya sendiri pernah melabur di dalam perak dan mendapat keuntungan 25% dalam masa 6 bulan. Tetapi saya selalu mengatakan harga emas akan jatuh, kerana secara fakta dan fundamental, memang logiknya ianya akan jatuh.

Sejak tahun 2008, harga emas dan perak melonjak naik. Kenaikan harga emas ini bukan sahaja menarik perhatian para pelabur, malahan ianya juga menarik perhatian orang awam untuk turut melabur di dalam emas. Berita-berita dan fakta-fakta berkaitan emas dan perak tersebar luas. Dengan ayat-ayat seperti “emas pasti akan naik dalam jangka masa panjang” atau “harga emas masih belum mencapai ‘historical price’” dan yang sewaktu dengannya.

Namun tahun ini merupakan tahun dukacita bagi kebanyakan yang masih memegang emas dan perak. Emas sudah jatuh harganya sebanyak 27% daripada harga pada bulan September tahun lepas…. Kenapa?

 

Punca Kenaikan

Punca utama kenaikan harga emas yang mendadak sejak tahun 2007 bermula apabila economist dan international investors mulai sedar bahawa ekonomi US sudah mula mengalami masalah. Apabila ekonomi US mengalami masalah, yang turut bermaksud currency US akan semakin kurang nilainya, para economist dan investor akan mula membeli emas.

Ini kerana currency di seluruh dunia adalah di dasarkan ke atas ekonomi dan currency US. Maka jika ekonomi dan currency US mengalami kejatuhan, maka seluruh dunia akan jatuh dan inflasi akan berlaku di seluruh dunia. Saham di seluruh dunia akan jatuh, banyak syarikat akan bankrap. Pada ketika itu tidak ada apa yang dapat melindungi nilai duit kita, melainkan barang yang tahan lama dan sentiasa berharga, yang harganya akan naik selari dengan inflasi yang berlaku, emas.

Atas sangkaan ekonomi dan currency US akan jatuh, serta inflasi yang tinggi akan berlaku di seluruh dunia, maka para investor membeli emas. Kemudian seperti domino, apabila harga emas naik begitu tinggi ketika inflasi berlaku di seluruh dunia pada tahun 2008, perkara itu menarik perhatian orang awam.

Kesannya, keluarlah khabar-khabar angin bahawa sistem duit kertas ini akan hancur, kertas-kertas tersebut akan hanya menjadi kertas yang tidak bernilai, kita perlu kembali kepada sistem emas dan perak, pelaburan di dalam emas adalah pelaburan yang tidak akan rugi, dan sebagainya.

Penglibatan orang awam ke dalam pelaburan emas dan perak menaikkan lagi harga emas secara mendadak, sehinggalah harga emas naik hampir 3 kali ganda daripada harganya pada tahun 2007.

Tindakan bank negara US (Federal Reserve, Fed) untuk menjalankan Quantitative Easing (QE), iaitu ‘mencetak duit’ secara elektronik dan menggunakannya untuk tujuan-tujuan tertentu meningkatkan lagi spekulasi bahawa currency US akan jatuh dan hiper inflasi akan berlaku.

 

Adakah Betul?

Adakah sangkaan economist dan investor bahawa ekonomi US akan jatuh dan inflasi akan berlaku di seluruh dunia itu betul?

Ya betul, ekonomi US mengalami kemunduran untuk beberapa tahun, dan inflasi berlaku di seluruh dunia pada tahun 2008.

Namun, hiper inflasi tidak berlaku. Duit kertas masih lagi bernilai dan dari tahun ke tahun, ekonomi dan currency US semakin pulih. Selari dengan itu saham di seluruh dunia juga semakin pulih dan meningkat dengan baik.

 

Adakah betul harga emas pasti naik dalam jangka masa panjang?

Ya dan tidak, jika jangka masa yang dimaksudkan adalah dalam 10 tahun, maka tidak semestinya. Sebaliknya jika jangka masa yang dimaksudkan adalah 50 tahun, maka ianya pasti akan naik. Tetapi ianya bukanlah kerana ‘emas’ itu sendiri, tetapi kerana inflasi yang berlaku. Pada 50 tahun dahulu sebungkus nasi lemak berharga 5 sen dan kini sudah berharga RM1.50. Samalah dengan emas, selepas 50 tahun pasti harganya akan naik dengan agak banyak. Tetapi nilainya boleh jadi sama saja tidak berubah.

Kenapa saya mengatakan dalam masa jangka 10 tahun pun tidak ada jaminan harga emas akan naik, bolehlah dilihat daripada graf di atas. Fenomena kenaikan harga emas yang mendadak pernah berlaku pada tahun 1980, tetapi apakah harganya 10 tahun kemudian? Hanya lebih kurang separuh daripada harganya pada tahun 1980.

 

Mungkinkah Harga Emas Akan Naik Semula Dalam Jangka Masa Pendek?

Saya berikan beberapa fakta untuk menjawab soalan ini:

1) Sejak tahun 2009, saham di US (S&P 500) telah naik secara berterusan daripada 700 kepada 1,600 pada hari ini.

2) Pada tahun 2007, unemployment di US berada pada paras 5%, ianya naik sehingga hampir 10% pada hujung 2009 dan kini sudah jatuh kepada 7.6%

3) Inflasi US berada pada tahap 2% pada tahun 2007, mencecah hampir 6% pada akhir tahun 2008 dan kini berada pada tahap 2%

4) Pada tahun 2008, kenaikan GDP di US berada pada 2.7%, jatuh pada paras -3.5% pada tahun 2009 dan kini sudah naik kpd 2.2% pada tahun 2012.

5) QE 3 akan diramalkan akan berakhir pada tahun hadapan.

Rasa-rasanya:

1) Adakah ekonomi US akan semakin runtuh?

2) Adakah currency US akan semakin jatuh?

3) Adakah hiper inflasi akan berlaku?

4) Adakah duit kertas akan bertukar menjadi kertas-kertas yang tidak bernilai?

5) Antara memegang sesuatu yang tidak memberi pulangan tahunan (emas), dan sesuatu yang setiap tahun akan memberi pulangan (saham), dan kedua-duanya pasti akan naik harganya sejajar dengan inflasi, yang manakah lebih berbaloi dipegang?

Terdapat kemungkinan harga emas akan naik dan turun dalam jangka masa yang pendek, namun kenaikannya tidak akan mencapai kenaikan yang dulu dan lebih disebabkan spekulasi oleh sesetengah pihak, bukanlah atas dasar fundamental yang menjadikan harga emas mula-mula naik dahulu.

 

Cadangan:

Cadangan saya kepada yang masih memegang emas dan perak, untuk menjual emas dan perak tersebut, terima hakikat kerugian dan mula melaburkan semula duit tersebut di dalam pelaburan yang lain terutamanya saham.

Anda mempunyai pilihan untuk memegang duit tersebut untuk 10 tahun lebih, mengharapkan akan berlaku sekali lagi masalah ekonomi dan harga emas akan melonjak naik semula. Namun persoalannya, adakah ianya akan berlaku, dan dalam jangka masa 10 tahun itu, hakikatnya anda boleh mendapat pulangan 100-300% jika anda melabur di dalam saham dari sekarang.

Pilihan di tangan anda.

dari : Izzuddin Yussof
http://izzuddinwealth.my/?p=130

Enam Lelaki Rompak Barang Kemas RM3.2 Juta

TEMERLOH – Enam lelaki bersenjatakan parang merompak barang kemas bernilai kira-kira RM3.2 juta dari sebuah kedai emas di bandar Mentakab, dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata perompak berkenaan hanya mengambil masa tiga minit melarikan barang kemas itu dalam kejadian 9.30 pagi ini.

Katanya kejadian berlaku ketika pemilik kedai dan beberapa pekerjanya baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

“Secara tiba-tiba muncul enam lelaki berkenaan antaranya bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu masuk kedai dan mengarahkan pemilik kedai supaya berdiam diri.

“Perompak-perompak tersebut mengaut barang-barang kemas di dalam cermin pameran ke dalam kampit plastik dan melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta, iaitu Honda Accord dan Toyota Camry,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zundin berkata, perompak berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah Plaza Tol Temerloh dan polis telah melancarkan gerakan memburu mereka.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Pihak polis juga percaya dua kenderaan yang digunakan perompak berkenaan adalah kenderaan curi,” katanya. – Bernama

Di Sebalik Kejatuhan Harga Emas

Kejatuhan harga emas terus mendapat perhatian pengulas dan ahli ekonomi. Sebelum ini, ahli ekonomi, Nouriel Robini meramalkan harga emas terus jatuh, menuju ke arah AS$1000 pada tahun 2015.

Yang terbaharu, Daniel Gross yang menulis dalam Newsweek bahawa emas hilang kilauannya. Satu demi satu tonggak yang mendasari tesis pelaburan emas, hujah beliau, dipukul jatuh. Ekonomi global perlahan, yang bermakna inflasi masih terkawal. Krisis di Eropah, walaupun masih dapat diselesaikan, dalam keadaan terurus. Dan Bernanke (Ben Bernanke) pada bulan lalu memberikan isyarat bahawa Rizab Persekutuan akan mula mengurangkan usaha rangsangannya segera. Berdentum. Harga spot emas jatuh di bawah AS$1300, kejatuhan kira-kira satu pertiga daripada harga puncak.

Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi, iaitu Kenneth Rogoff menjelaskan bahawa harga emas pada Julai 2003, kira-kira AS$350 per auns, meningkat hari ini kerana setiap orang berasa yakin bahawa harganya terus naik esok. Para doktor dan doktor gigi, tambah Rogoff , mula menjual saham dan membeli syiling emas. Permintaan terhadap barang kemas emas di India dan China meningkat. Bank-bank pusat pasaran sedang muncul mempelbagaikan dolar kepada emas.

Rogoff yang pada Oktober 2010 pernah menulis mengapa harga emas meningkat 300 peratus, emas dipegang dahulu dan sekarang, bukan untuk tujuan spekulatif, sebaliknya emas merupakan lindung nilai. “Jika anda merupakan pelabur nilai bersih tinggi, atau dana kekayaan kedaulatan,” tulis Rogoff, “memang wajar untuk memegang peratusan kecil aset dalam emas sebagai lindung nilai terhadap peristiwa yang melampau.”

Keruntuhan harga emas baru-baru ini, menurut Rogoff, tidak benar-benar mengubah keadaan untuk melabur dalam emas. Harga emas dengan mudah jatuh di bawah AS$1000, tetapi kemudian, mungkin meningkat semula. Sementara itu, para penggubal dasar sepatutnya berhati-hati dalam mentafsirkan kejatuhan harga emas sebagai keyakinan dalam prestasi mereka.

oleh : ZULKIFLI SALLEH
zulkifli-salleh.blogspot.com/

Tsunami Emas membadai Dunia

1) Salam sejahtera kepada semua pembaca. Sekarang ini kita menyaksikan kejutan kejatuhan harga emas yang sangat besar dalam sejarah. Ini boleh juga dianggap tsunami kepada pelabur, pedagang ,peniaga sehingga peruncit- peruncit emas. Semua pihak tertanya -tanya apakah punca kejatuhan komoditi beharga ini sehingga begitu teruk sekali dalam tempoh 50 tahun. Terakhir kejatuhan teruk pernah berlaku pada tahun 2008 ketika krisis subprime meruncing sekitar dua puluh percent lebih harga emas jatuh. Setahun kemudian harga emas terus mencanak naik hingga kemuncaknya pada bulan Ogos 2011 mencecah rekod kenaikan tertinggi dalam sejarah $1930 oz. Kemudian pada tahun 2012 harga emas turun sedikit tetapi masih tinggi dan tidak naik mencatat rekod baru.

2) Pada masa yang sama tahun 2012 menyaksikan krisis hutang di zon eropah seperti Greek, Spain dan Cyprus dan juga digembar gemburkan tentang fiscal cliff yang mana polisi hutang kewangan AS zaman Bush tamat dan satu undang2 baru akan digubal oleh pentadbiran Obama. Dalam masa yang sama Amerika juga bergelut dengan masalah hutang dan billed out bank-bank dengan melancarkan beberapa pusingan pembelian bon kerajaan juga dikenali sebagai Quantitative Easing 1, 2 dan ketika dengan pembelian bond sebanyak $85 billion sebulan oleh Federal Reserve yang sekarang konunnya akan diperlahankan mulai bulan September depan atas sebab pemulihan ekonomi semakin baik di AS.

3) Apapun alasan dan sebab musababnya tidaklah diketahui hakikat sebenarnya. Walaupun berita analisa analisa teknikal dipaparkan tentang kemungkinan harga emas naik atau turun, semuanya boleh dibangkul sampahkan disebabkan analisa2 tersebut ada yang sengaja disiarkan oleh agen-agen dan reporter reporter upahan Kapitalis untuk menarik pelabur2 kecil supaya merangsang pembelian. Sedangkan apabila ramai pelabur2 kecil masuk pasaran, mereka menjual dengan volume yang besar atau profit taking menyebabkan harga jatuh. Ini akan menyebabkan kerugian kepada trader2 dan investor kecil. Saya memang tidak terikut dan percaya dengan berita2 pasaran yang dipaparkan tetapi mengambil sikap bertentangan. Maknanya kalau banyak keluar berita2 rangsangan menyuruh beli emas dan perak, maka saya jangka harganya pasti nak jatuh nanti. Tetapi sekiranya diberitakan komoditi tersebut tidak selamat untuk simpanan dan harganya diberitakan akan jatuh, maka saya percaya dia akan berlaku sebaliknya. Kerana ini ialah game Kapitalis, bank2 persatuan pedagang2 emas. Mereka yang menentukan halatuju harga komoditi tersebut. Segala data2 pergerakan dan pemilikan semuanya didalam genggaman mereka. Tak pelik kan?

4) Kesan kejatuhan emas kepada pelabur yang membeli emas tanpa pegangan fizikal seperti membeli emas berbentuk akaun simpanan di bank2 seperti Maybank, Public Bank, Uob Bank dan Kfh, buat masa ini bank tersebut mengaut untung daripada pelabur disebabkan pelabur yang beli dalam tempoh 3 tahun Lepas kalau jual pasti rugi. Ini kerana semasa mereka beli harganya mahal, tetapi kalau jual sekarang harga ditambah pula tolak spread 4% harga sangat rendah. Maka banklah yang untung, tetapi sekiranya pelabur masih tak jual, bank masih untung dengan mereka masih dapat menggunakan modal kita lagi yang terbeku di dalam buku akaun mereka.

5) Pekedai, peruncit dan peniaga barangan kemas pula menghadapi masalah kerugian disebabkan harga emas sekarang rendah diparas harga tahun 2010. Jadi jika stok emas mereka yang dibeli pada selepas tahun 2010 sudah tentu peniaga kedai emas rugi, sedangkan sekarang pembeli dan pengguna emas tidak akan melepaskan peluang menyerbu kedai- kedai emas untuk membeli emas murah sekarang. Jadi untuk mengelakan kerugian maka, persatuan tukang2 emas telah menaikkan harga workmanship 100% cas tambahan untuk recover harga emas yang murah sekarang. Jadi pengguna tetap tidak dapat harga emas yang hakikatnya jatuh dan murah sekarang.

6) Bagi pelabur-pelabur emas fizikal seperti syiling dinar, gold bar dan sebagainya pula menghadapi dilemma harga beli pada harga mahal dahulu, sekarang harga murah, kalau sesak duit terpaksa jual ditambah pula tolak dengan spread juga menanggung kerugian. Tetapi masih ada alternatif untuk recover kerugian bergantung kepada kemahiran pelabur tersebut dan syarikat yang dibeli dahulu. Tetapi masih berisiko. Sesetengah penjual emas pelaburan tidak mahu menjual emas mereka pada masa sekarang disebabkan konunnya kehabisan stok yang pada hakikatnya mereka tak mahu jual kerana harga murah sedangkan stok mereka beli dahulu mahal.

7) Bagi saya kedudukan harga emas sekarang ini iaitu jatuh teruk kepada $1235oz sesuatu yang dirancang oleh kapitalis untuk menggertak pemilik emas fizikal supaya mereka menjualnya dengan memaparkan persepsi bahawa emas juga tidak selamat, maka orang akan beralih kepada pelaburan saham atau bon yang sebenarnya menjadi darah daging sistem kapitalis. Mungkin juga mereka merasa terancam sekiranya rakyat semua memilih emas fizikal yang boleh disimpan sendiri akan menjejaskan sistem perbankan mereka yang mana mereka sangat berkuasa untuk memiliki apa sahaja eset didunia ini hanya dengan nota bank mereka, atau membuat silap mata hasil atas penipuan mereka mencipta wang kertas.

8) Jadi, bagi saya situasi kejatuhan harga emas yang teruk sekarang ini adalah satu kelebihan bagi pembeli emas untuk memiliki emas yang murah. Juga kepada pelabur emas fizikal, walaupun stok yang terdahulu beli mahal, tetapi bagi saya ada cara tersendiri untuk membuat keuntungan dan sangat menarik untuk saya. Jadi apa harus dilakukan bukanya takut sebab harga jatuh, tetapi membuka peluang yang besar untuk saya buat keuntungan. Hahaha.

9) Biarkan harga turun lagi, sampai paras terendah setakat mana dia akan turun. Taktik permainan juga berubah, mereka kapitalis besar mungkin juga sedang menanti untuk membuat kejutan dengan mananti peluang mendapat emas murah untuk diborong habis- habisan apabila pelabur2 kecil tidak yakin dengan emas lagi. Kita tunggu dan lihat.

10) Perlu diingat, semua pelaburan mesti ada permainan dan risiko tertentu seperti pepatah inggeris they gain from our lost, we gain from their lost.

11) Semua komoditi dunia didagangkan tidak lepas dari pengaruh speculator. Emas, perak, makanan, minyak dan sebagainya adalah tidak terlepas daripada permainan2 kapitalis elit yang hanya membuat keuntungan atas angin secara berlebihan. Akibatnya penduduk dunia rakyat sengsara dengan permainan manipulasi mereka.

12) Menyingkap kembali bagaimana harga besi dan bahan binaan yang naik mendadak pada beberapa tahun lepas diikuti dengan harga minyak yang mencecah $147 setong, krisis kekurangan makanan dan kenaikan harga makanan seperti beras, harga perak naik memuncak sehingga $48 oz (168%) tahun 2011, emas $1930oz kemudian mulai muncul krisis hutang euro zone dengan beberapa negara bankrap seperti Greece, Cyprus juga downgrade triple A kepada 2 A oleh Standard and Poor dan kemuncak fiscal cliff Amerika.

13) Apa yang kita saksikan sekarang adalah percaturan baru kapitalis untuk mengekalkan kuasa keatas penduduk dunia. Dan terus memperbodohkan kita dengan menyebar berita2 palsu, menyebarkan dakyah2 penyebaran penyakit berbahaya semata2 untuk tujuan mengaut keuntungan untuk membekal vaksin dan ubat ubatan untuk manusia.

HARGA EMAS SEKARANG MURAH, MEMANG MURAH. PASTIKAN ANDA MEMBELI EMAS DITEMPAT YANG BETUL, SPREAD KECIL DAN STOK SENTIASA ADA.

Selamat Melabur!

Redzuan bin Mohammad
jadidjiddangold.blogspot.com/

Kenapa Bila USD Naik, Emas Turun ?

Jika US Dollar menjadi semakin kukuh, kita memerlukan duit dollar yang kurang untuk membeli sebarang komoditi termasuk emas yang sememangnya diletakkan di dalam USD.

Jika US Dollar menjadi lemah, kita memerlukan lebih duit USD untuk membeli komoditi pada jumlah yang sama.

Ini yang menyebabkan harga emas kelihatan seolah-olah berkadar songsang dengan USD. Jika USD naik, harga emas turun, jika USD makin lemah pula, harga emas akan naik.

Dari Kitco :

When the US Dollar gets stronger, it takes fewer dollars to buy any commodity that is priced in $USD. When the US Dollar gets weaker it takes more dollars to purchase the same commodity.

The price of all US Dollar denominated commodities, like gold, will change to reflect the fact that it will take fewer or more dollars to buy that commodity. So it’s quite possible, in fact it’s almost always the case that a portion of the change in the price of gold is really just a reflection of a change in the value of the US Dollar. Sometimes that portion is insignificant. But often the opposite is true where the entire change in the gold price is simply a mathematical recalculation of an ever-changing US Dollar value.

When the dollar gets strong, gold appears to go down, and vice versa. That accounts for part of the fluctuations that we see in the value of gold.

The other part is an actual increase in the supply or demand for gold. If the price is higher when being measured not only in US Dollars, but also in Euros, Pounds Sterling, Japanese Yen, and every other major currency, then we know the gold demand is higher and it has actually increased in value.

Consequently, if gold is higher in US Dollars while at the same time cheaper in every other currency, then we can conclude that the US Dollar has weakened, and that gold has actually lost value in all other currencies. But the price, because it is being quoted in $USD will be higher and give the illusion of gold becoming more valuable. In such a case the devaluation of gold, due to increased supply on the market, is camouflaged by a weakened US Dollar.

Permintaan dan Penawaran Emas

Ini merupakan beberapa sebab utama mengapa berlakunya pergerakan turun naik harga emas yang berlaku setiap detik. Jika permintaan terhadap emas melebihi penawaran yang dapat dikeluarkan, maka harga emas akan naik dan begitulah sebaliknya.

Masalah Ekonomi
Jika berlaku masalah kegawatan ekonomi dunia seperti yang berlaku pada tahun 1998 dan 2008, semua orang panik. Pelabur sudah tidak percaya lagi dengan sistem matawang kertas, lantas akan mengalihkan asetnya ke dalam emas, kerana percaya emas adalah pelindung nilai yang terulung. Oleh kerana nilai matawang dunia disandarkan kepada matawang US Dollar selepas tahun 1971 (kesan pemansuhan Perjanjian Bretton Woods), maka apa jua perubahan ekonomi yang berlaku di US akan turut memberi kesan jangka pendek dan sederhana kepada harga emas dunia. Jika ekonomi US mengukuh, harga emas akan turun sedikit dan begitu juga sebaliknya.Yang terbaru kesan krisis matawang Euro juga memberi impak yang besar pada kenaikan harga emas yang tinggi pada tahun 201 lalu.

Kesan Pergolakan Politik
Bukan sahaja faktor ekonomi, malah pergolakan politik dunia dan peperangan mampu melonjakkan harga emas. Pada tahun 2003, harga emas naik tinggi kerana serangan oleh US terhadap kerajaan Iraq. Saya juga pernah melihat bahawa harga emas juga mampu naik selepas berita kematian Benazir Bhutto pada Dec 2007.

Kenaikan Harga Minyak Dunia
Apabila harga minyak naik, maka begitu jugalah bahan-bahan lain berasaskan minyak turut naik harga. Maka secara tidak langsung kesan inflasi akan mula meningkat di negara tersebut. Harga saham berada pada tahap tidak menentu akibat spekulasi melampau. Kesannya pelabur hilang keyakinan pada saham dan mengalihkan pegangan aset kepada emas. Ini mendorong harga emas untuk naik secara mendadak.

Permintaan Emas yang Semakin Meningkat
Saban tahun permintaan terhadap emas terutama emas pelaburan semakin meningkat. Ini kerana meningkatnya kesedaran orang rama tentang emas setelah
mengetahui bahawa matawang kertas yang disimpan rupanya semakin susut nilainya. Maka orang ramai mula sedar tentang emas yang merupakan aset yang tidak terjejas nilainya walau apa jua situasi politik dan ekonomi. Ini menyebabkan berlakunya istilah ”Gold Rush”. Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan emas fizikal untuk menjaga aset mereka.

Kesemua Mayat Tragedi Lombong Emas Ditemui

TIMIKA – Pasukan penyelamat berjaya menemui baki tujuh lagi mayat dari terowong sebuah lombong di timur Indonesia yang runtuh, kata pihak pengurusan lombong dari Amerika Syarikat yang memiliki lombong berkenaan hari ini.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut kepada 28 orang.

Firma Freeport-McMoRan cawangan Indonesia dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat menemui dan mengenalpasti mayat pekerja terakhir pagi ini.

Firma tersebut turut mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung.

Seramai 38 pekerja terperangkap pada kejadian yang berlaku pada 14 Mei lalu dalam terowong lombong Grasberg yang merupakan antara lombong emas dan kuprum terbesar di dunia.

Seramai 10 pekerja berjaya diselamatkan hidup-hidup susulan nahas itu pada Selasa lepas. – AFP

Bank Negara Mohon Gantung Perintah Pelepasan Harta Pengarah Genneva

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggantung pelaksanaan perintah pelepasan harta tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn Bhd.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti kesemua hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari BNM, Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili pembelaan.

Dalam penghakimannya Rozana berkata beliau menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah bagi membenarkan penggantungan pelaksanaan perintah itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan.

Pada 16 Mei lalu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.

Ketiga-tiga pengarah itu, Ng Poh Weng, 63, berdepan 93 pertuduhan, Marcus Yee Yuen Seng, 61, pula menghadapi 40 pertuduhan manakala Chin Wai Leong, 37, berdepan 61 pertuduhan dan seorang bekas pengarahnya Liew Chee Wah, 59, menghadapi 30 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff manakala Liew diwakili peguam Keppy Wong. — Bernama

Aset Syarikat Pelaburan Emas, Genneva Kekal Beku

KUALA LUMPUR 21 Mei – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan aset milik syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB) kekal dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga selesai rayuan kes terhadap beberapa pengarah syarikat itu.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah keputusan mahkamah pada minggu lalu.

Tertuduh-tertuduh terdiri daripada tiga pengarah GSB iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan seorang bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Pada 16 Mei lalu, Rozana melepas dan membebaskan mereka daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan lebih RM100 juta.

Beliau memutuskan demikian selepas mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sehari selepas itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Rozana membenarkan permohonan pendakwaan untuk penggantungan perintah tersebut dengan menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Pihak pendakwaan diwakili oleh pegawai pendakwa dari BNM, Alvin Ong dan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong sementara S.I. Rajah hadir sebagai peguam pemerhati mewakili tiga pelabur.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama. Utusan

3 Ketul Emas 1.6Kg Milik Lembaga Wakaf Hindu P.Pinang Hilang

PULAU PINANG 20 Mei – Jika sebelum ini wang dari tabung Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) hilang, kini badan itu diselubungi ‘misteri’ lagi.

Kali ini melibatkan kehilangan tiga ketul emas seberat 1.6 kilogram bernilai keseluruhan RM250,000 yang disimpan di pejabat lembaga berkenaan sejak Disember lalu tetapi hanya didedahkan hari ini.

Setiausaha PHEB, P. Selva berkata, kejadian itu disedari selepas beliau membuat semakan inventori di pejabatnya yang terletak di tingkat 30, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 26 Disember lalu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada sekitar pukul 9.30 malam pada hari berkenaan, saya mendapati ada keraguan mengenai jumlah ketulan emas yang disimpan berbanding dalam rekod,” katanya di sini hari ini.

Menurut Selva, beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani pada Jumaat lalu selepas bermesyuarat dengan Pengerusi PHEB yang juga Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan ahli-ahli lain.

Ditanya mengapa mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan kes berkenaan yang berkaitan dengan kepentingan penganut agama Hindu di negeri ini, Selva memberitahu, pihaknya mahu menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu.

Kami mula menyiasat selepas kehilangan emas berkenaan sehingga penghujung April lalu namun lembaga tidak bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan,” ujarnya.

Difahamkan terdapat lebih 10 ketul emas dan barangan berharga lain yang disumbangkan pelbagai pihak disimpan di situ.

Sebelum ini, PHEB dikejutkan dengan kes kecurian wang tabung sebanyak RM10,395 dan selepas itu berlaku kes sama membabitkan nilai RM68,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.