Banyak Kedai Emas Abai Aspek Keselamatan

KOTA BHARU Julai – Masih banyak kedai emas di negeri ini yang mengabaikan aspek keselamatan di premis perniagaan mereka dengan tidak mematuhi spesifikasi disarankan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sesebuah kedai emas itu perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, palang besi dan sebagainya bagi memastikan premis berkenaan selamat.

Beliau berkata, pengabaian aspek keselamatan tersebut secara secara tidak langsung membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah rompakan ke atas premis perniagaan berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kebanyakan premis aspek pencegahan dan keselamatannya sering terdedah kepada jenayah dan situasi ini membabitkan premis perniagaan di luar Kota Bharu.

“Bagaimanapun ada juga pemilik kedai emas yang telah 90 peratus mengikut spesifikasi aspek pencegahan dan keselamatan namun jumlahnya masih rendah.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan semua pemilik kedai emas di negeri ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan. Ia sangat penting bagi memastikan premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Cawangan Kedai Natika Gold and Diamond di Bazar Buluh Kubu hari ini.

sumber :  http://ww3.utusan.com.my

6 Penjenayah Bersenjata Rompak Kedai Emas Dalam Masa 5 Minit

Seorang pemilik kedai emas kerugian RM350,000 ringgit setelah kedainya menjadi sasaran enam lelaki bersenjatakan pistol.

Kejadian berlaku di Jalan Masjid India, di ibu negara siang tadi.

Rompakan tidak sampai lima minit itu, berlaku jam 10 pagi tadi ketika kedai baru dibuka.

Perompak datang menaiki tiga buah motosikal.

Sebaik tiba, lima daripada enam perompak menyerbu masuk dan memecahkan cermin pameran barang kemas.

Sebaik dipecahkan, tujuh dulang barang kemas dilarikan.

Suspek kemudian melarikan diri dengan motosikal yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Pemeriksaan pasukan forensik menemui kesan tapak kasut dan cap jari.

Video rompakan dan siasatan polis klik sini TV9

Polis percaya, salah seorang daripada suspek menggunakan pistol palsu.

Kamera litar tertutup CCTV di dalam premis gagal merakamkan kejadian itu kerana rosak.

Pengumuman Fed dan Kejatuhan Harga Aset

Rizab Persekutuan AS umum pengurangan rangsangan secara beransur yang menandakan berakhirnya kitaran pengembangan kuantitatif

Baru-baru ini harga emas telah jatuh dengan ketara, meneruskan trend kemerosotan sejak tahun 2012. Selain itu, harga saham di peringkat global juga terjejas. Ini berlaku selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengumumkan untuk beransur-ansur mengurangkan program pembelian bon, selagi keadaan ekonomi mengizinkan.

Langkah ini bermakna Fed akan mula menamatkan Quantitative Easing (QE) yang telah dilaksanakan sejak bermulanya krisis subprima pada tahun 2009. Dasar tersebut dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi Amerika.

Kesan positif daripada dasar ini ialah dengan membanjiri sistem dengan wang atau kecairan (liquidity), Fed merangsang pelaburan dan menjana pertumbuhan ekonomi. Kesan sampingan positif dasar seperti ini ialah kenaikan harga aset, termasuklah emas, saham dan hartanah. Malah kenaikan aset ini bukan sahaja berlaku di Amerika, tetapi juga di negara-negara Asia.

Dasar wang mengembang meningkatkan bekalan wang, dan peningkatan bekalan akan mengurangkan harga dolar. Emas adalah aset kegemaran ramai pelabur untuk melindungi daripada penurunan nilai mata wang. Malah emas juga adalah aset di mana pelabur mendapat perlindungan daripada kegawatan. Sebab itulah emas telah mencatatkan kenaikan ketara untuk temph yang begitu lama sejak alaf baru.

Dengan mengumumkan bahawa ia akan mula mengurangkan pembelian bon secara beransur-ansur, ini bermakna Fed sudah bercadang untuk ‘menormalkan’ semula dasarnya, walaupun tindakan tersebut akan dilakukan secara amat berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada menganggu pasaran saham.

Ini juga bermakna bahawa Fed kini semakin yakin terhadap ekonomi Amerika. Bagi emas, faktor keyakinan terhadap ekonomi, berakhirnya rangsangan ekonomi dan kekuatan dolar AS telah menyebabkan tinjauan masa depan kurang baik.

Bagi saham, pelabur khuatir tentang kenaikan kadar faedah dan berakhirnya era wang mudah dan murah. Sebenarnya perkara yang dilakukan oleh Fed ialah hanya mengembalikan dasar ekonomi kepada normal tetapi bagi pelabur yang sudah biasa dengan dasar wang longgar, pengumuman ini mencetus sedikit kebimbangan.

Pelaburan di Malaysia

Di Malaysia, emas telah mengalami kejatuhan harga. Keadaan emas amat bergantung kepada faktor makro yang telah dijelaskan di atas, dan kelihatan tidak begitu positif. Jim Rogers, pelabur komoditi terkenal telah berkata bahawa beliau akan membeli apabila emas jatuh 50% daripada tahap puncaknya.

Manakala bagi saham pula, kenaikan ketara sejak empat tahun lepas terhenti. Pada pendapat saya pasaran akan mengalami kemerosotan dari masa ke masa dalam tempoh satu tahun akan datang, inilah masa bagi mereka yang terlepas peluang masuk ke pasaran sebelum pilihan raya untuk mengintai peluang membeli saham yang kukuh. Faktor lebih positif bagi saham ialah prestasinya bergantung kepada keuntungan syarikat dan tidak semata-mata kepada faktor makro ekonomi.

Hartanah ialah satu bidang yang perlu diberi perhatian teliti. Memandangkan harga emas telah jatuh dan saham pula rata-rata nampak fairly valued terutamanya sejak kejatuhan baru-baru ini, harga hartanah ialah satu-satunya aset yang masih tinggi. Selagi BNM mengekalkan BLR pada paras semasa, mungkin kesannya belum dirasai tetapi kenaikan nilai selanjutnya sukar dicapai. Risiko paling besar wujud dalam sektor bangunan dan ruang pejabat.

Secara keseluruhan, pelabur perlu bersedia menghadapi kelemahan pasaran untuk tempoh beberapa bulan sambil mereka menerima hakikat bahawa era wang mudah sudah berakhir dan tidak boleh mengharapkan lagi bantuan dasar wang mengembang dari Bank Pusat sedunia untuk merangsangkan harga aset, sama ada saham, emas atau hartanah.

: laburniaga.blogspot.com/2013/06/pengumuman-fed-dan-kejatuhan-harga-aset.html

Ugut Remaja Minta Emas

London: Seorang gadis yang diperas ugut menyerahkan barang kemas bernilai lebih £15,000 (RM73,911) milik ibunya kepada seorang lelaki bagi menghalangnya mendedahkan rakaman seksnya di Facebook.

Aamir Khan, 20, memberitahu gadis berusia 16 tahun itu bahawa dia secara sulit merakamkan perbuatan mereka di dalam keretanya.

Aamir kemudian meminta gadis itu menyerahkan wang dan emas kepadanya dan mengancam untuk memuatnaik rakaman itu di Facebook serta menghantar salinan kepada ibu bapa mangsa.

Mangsa yang ketakutan mengambil barang kemas, termasuk tinggalan nenek moyangnya yang mungkin tidak boleh diganti dan menyerahkan kepada Aamir menerusi tingkap bilik tidurnya beberapa kali.

Mahkamah di Leicester diberitahu, gadis itu begitu malu hingga menimbang melarikan diri dari rumah dan membunuh diri, Aamir dari Spinney Hills, Leicester, mengaku memeras ugut dan dijatuhi hukuman menjalani tahanan remaja selama tiga tahun tujuh bulan.

Hakim Michael Pert QC menyifatkan tindakan Aamir sebagai kejam dan pengkhianatan yang sinis.

“Kamu lakukan perbuatan itu pada 2009 ketika kamu berusia 18 tahun dan dia 16 tahun. Kamu berasal dari latar belakang yang sama yang kegiatan seks di kalangan remaja belasan tahun mempunyai kesan lebih buruk berbanding jika ia berlaku dalam masyarakat lain. “Kamu membuat beberapa tuntutan selama beberapa minggu, secara sinis dan kejam. Dia sudah pastinya malu dengan gambar yang akan dimuatnaik ke Facebook dan diketahui ibu bapanya. Kamu perlu dihukum. “Orang ramai perlu sedar jenayah memalukan ini dan bagaimana anggota masyarakat melihatnya dengan jijik.

Hakim itu juga berkata, Aamir hanya mengaku kesalahannya selepas begitu lama iaitu ketika hari perbicaraan. “Anda berharap untuk terlepas daripada kesalahan ini dan tidak mengaku bersalah hingga ke saat akhir. Ia menyebabkan mangsa mengalami kesengsaraan lebih teruk selepas apa yang telah dicakapkan di mahkamah dan kemudian digelar pembohong,” kata Hakim Michael.

Pendakwa raya, Jonathan Eley berkata, selepas mengadakan seks dengan mangsa, dia menurunkan gadis itu dari keretanya sambil berkata: “Bagus Blackberry kerana mempunyai kamera.” Beberapa minit kemudian dia menelefon mangsa dan berkata, dia merakamkan adegan yang berlaku. – The Sun

Kedai Emas Kerugian RM400,000 Dirompak Enam Suspek Bersenjata Parang

BENTONG: Sebuah kedai emas di Jalan Besar, Karak di sini hari ini kerugian RM400,000 selepas dirompak enam suspek bertopeng dan bersenjata parang.

Dalam kejadian 8.55 pagi itu, kesemua suspek terbabit menyerbu premis berkenaan ketika pemiliknya baru saja membuka kedai.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohamad Mansor Mohd Nor, berkata kejadian itu berlaku semasa pemiliknya, seorang lelaki berumur 30an, membuka kedainya seperti biasa apabila tiba-tiba enam suspek terbabit meluru masuk ke premis berkenaan.

Suspek bertindak mengacukan parang ke arah mangsa sebelum melarikan 13 buah dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM400,000, katanya kepada di sini, hari ini.

Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan di hadapan premis itu, katanya.

Polis sedang memburu kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA

: www.bharian.com.my/

Karavan Bersalut Emas

KENDERAAN mewah EleMMent Palazzo yang disalut emas.

Dubai: Di negara yang terkenal dengan kemewahan rakyatnya berbelanja, rumah bergerak atau karavan bukanlah sesuatu yang diminati.

Bagaimanapun, penduduk Dubai mungkin perlu berfikir lebih daripada sekali apabila melihat sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak ini.

Kenderaan sepanjang 12 meter ini dilengkapi pelbagai keistimewaan, termasuk kemasan emas pada badannya.

Ia dijangka dijual pada harga RM8.4 juta seunit dan bakal menjalar di jalan raya Dubai tidak lama lagi. Pengeluarnya, Marchi Mobile, mengesahkan kenderaan dikenali sebagai EleMMent Palazzo itu sedang disiapkan sebelum diperkenalkan di Dubai.

Ketua Pengurus Jenama Marchi Mobile, Juliane Rönisch berkata, sejumlah pengguna dari Dubai menunjukkan minat mendapatkan kenderaan syarikat Jerman – Austria itu. “Ketika ini kami mengeluarkan antara lima hingga 10 unit EleMMent Palazzo setahun dan ia dihantar ke seluruh dunia,” katanya. Juliane berkata, kenderaan tempahan khas itu boleh mencecah harga lebih mahal jika kemasannya ditambah dengan emas. Bagi syarikat itu, katanya, model komersial kenderaan itu boleh diperoleh dengan harga minimum RM3.2 juta. “Untuk model lebih mewah, harganya ialah dua juta euro (RM8.4 juta) setiap satu,” katanya. Bagaimanapun, ketika ini model Marchi Mobile itu tidak dipamerkan di Dubai.

Kata Juliane, mereka juga tidak bercadang membuka cawangan tetap di Emiriah Arab Bersatu atau mana-mana negara Teluk.

RUANG pemandu dalam kenderaan EleMMent Palazzo.

“Tetapi ketetapan itu mungkin boleh berubah,” katanya. Sementara itu, kenyataan syarikat Marchi Mobile menyebut, siri mode EleMMent itu bukan sekadar kenderaan konsep, sebaliknya sedia dihasilkan dalam unit terhad. EleMMent Palazzo boleh dilengkapi pelbagai ciri kemewahan, seperti bumbung terbuka, bumbung telus cahaya dan tangga. – Agensi

: www.hmetro.com.my

Usahawan Emas Gunung Afghanistan

PELOMBONG di Afghanistan mula menggunakan peralatan moden untuk melombong dan mendulang emas.

SELEPAS memanjat lereng gunung yang curam di utara Afghanistan, Morad Ali membongkokkan badannya lalu menyentuh beberapa ketul batu berwarna merah yang ada di tebing gunung itu.

“Terdapat emas di sini,” pintasnya.

Morad merupakan penduduk tempatan yang menggunakan pahat untuk mengeluarkan sejumlah kecil emas dari perkampungan Qara Zaghan yang terletak di pinggir pergunungan Hindu Kush.

Kini, terdapat laluan tanah menghala ke kawasan berkenaan untuk membolehkan golongan profesional dalam bidang mineral menjalankan kajian.

Mereka membuat kajian secara terperinci mengenai jenis-jenis mineral yang boleh memberi keuntungan kepada Afghanistan.

“Saya mula bekerja dalam bidang perlombongan ketika berumur 12 tahun. Kebiasaannya, kami akan menemui serpihan emas atau kami sendiri menghancurkan batu dan mendulang untuk mendapatkan butiran halus emas,” kata Morad yang kini berusia 30 tahun.

Pengetahuan Morad dalam bidang perlombongan secara tradisional merupakan aset yang berharga kepada syarikat Afghan Gold Minerals (AGM).

Ancaman Taliban

Syarikat berkenaan telah mendapat lesen untuk menjalankan kerja-kerja menggali emas di Qara Zaghan pada tahun 2011.

“Kami mengetahui tentang emas ini daripada penduduk setempat. Berdasarkan kajian, kami mendapati kehadiran emas di kawasan itu menunjukkan potensi yang baik.

“Jadi, kami perlu menjalankan kajian lebih lanjut,” kata seorang ahli geologi dari utara Afrika, Dusko Ljubojevic.

Begitupun, kebanyakan ahli perniagaan menghadapi cabaran yang besar di Afghanistan kerana kehadiran emas di atas puncak itu menarik perhatian pelbagai pihak.

Malah, pelombong terdedah kepada risiko serangan Taliban dan kumpulan-kumpulan penjenayah.

DUA pelombong menjalankan kerja-kerja menggali emas sambil diberikan kawalan ketat bagi mengelakkan serangan penjenayah.

Sehubungan itu, syarikat AGM terpaksa menggunakan kereta perisai dan membawa senjata api ketika menyusur ke wilayah Baghlan yang mengambil masa kira-kira lapan jam.

Syarikat AGM dimiliki oleh seorang usahawan Afghanistan, Sadat Nadari, 36, yang turut mengendalikan rangkaian pasar raya dan syarikat insurans.

Dalam pada itu, beliau juga melabur dalam bidang pembinaan, telekomunikasi dan pengedaran bahan api.

Sadat merupakan seorang usahawan yang berjaya selain mempunyai kelulusan dalam bidang perniagaan dari luar negara. Dia boleh tinggal di negara lain, namun Sadat masih sayangkan tanah airnya.

“Saya akan tinggal dan bekerja di Afghanistan, malah akan menjalankan kerja-kerja perlombongan di sini.

“Lagipun, sektor perlombongan boleh membawa perubahan kepada negara ini. Kami berada di peringkat penerokaan emas di Qara Zaghan, jadi kami mahu mencari simpanan emas secara komersial untuk menjana pendapatan kerajaan Afghanistan,” jelasnya.

AGM ditubuhkan selepas Sadat bertemu secara kebetulan dengan tokoh pelaburan yang juga pengerusi firma kewangan terkemuka JP Morgan, Ian Hannam di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kabul.

Lesen lombong emas

“Saya memberitahu Hannam bahawa saya memiliki sebuah lombong emas kecil dan reaksi muka beliau berubah,” katanya sambil ketawa kecil.

JP Morgan mewujudkan sebuah konsortium pelabur untuk mengambil alih 49 peratus pemilikan AGM serta enam lesen perlombongan emas yang lain di seluruh Afghanistan.

SAMPEL batu dari lombong emas dihancurkan untuk menentukan kandungan emas.

Dalam pada itu, AS yang menjalankan kajian di Afghanistan pada tahun 2006 mendapati negara itu memiliki simpanan tembaga dan besi yang bernilai AS$1 trilion (RM3.08 trilion).

Hakikatnya, kekayaan itu menawarkan sedikit harapan kepada negara tersebut yang musnah ekoran peperangan.

“Afghanistan berada di kawasan yang bernilai tinggi, jika kita tidak meneroka galian itu, ia hanya sia-sia. Sebab itulah kita memerlukan rakan kongsi antarabangsa yang mempunyai kepakaran dan modal,” kata Sadat.

Malah, pihak pemerintah Afghanistan juga berharap perlombongan emas itu dijadikan sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan.

Justeru, undang-undang perlombongan baharu akan diluluskan tidak lama lagi bagi menggalakkan pelaburan.

Sementara itu, seorang profesor dalam industri perlombongan di Kabul, Amir Mohammad Mosazai berkata, perlombongan emas membantu meningkatkan taraf ekonomi Afghanistan seperti minyak di negara-negara Arab.

“Namun, perniagaan ini sangat mahal dan negara memerlukan kawalan keselamatan yang ketat,” ujarnya. – AFP

http://www.kosmo.com.my/

Tiga Wanita Rugi RM35,000

Alor Setar: Tiga wanita mendakwa kerugian sebanyak RM35,000 selepas barang kemas yang dilaburkan dalam skim pelaburan emas sebuah syarikat jualan langsung terkenal gagal ditebus semula seperti dijanjikan.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamilah, mendakwa didatangi seorang ejen syarikat itu, ‘Siti’ berusia 40-an pada 12 Oktober tahun lalu untuk memperkenalkan pelaburan emas ketika berada di rumah ibunya di Kodiang.
Terima untung pada bulan pertama

Katanya, ejen wanita itu mendakwa syarikat jualan langsung itu memperkenalkan pelaburan emas selama dua bulan dan akan mendapat pulangan lumayan.

“Dia memberitahu saya akan menerima keuntungan sebanyak RM600 pada bulan pertama dan barangan emas yang saya laburkan itu akan dipulangkan semula pada bulan kedua.

“Saya terus bersetuju menyertai skim pelaburan itu dan menyerahkan seutas rantai tangan emas milik ibu serta rantai leher milik saya dianggarkan bernilai RM6,000 kepada Siti dengan harapan mampu memberi pulangan seperti diharapkan,” katanya di sini, kelmarin.

Jamilah kemudian menandatangani borang sebagai persetujuan cagaran barang kemas kepada syarikat itu.

Lelaki Cuba Rompak Kedai Emas Ditembak Mati

KOTA BHARU: Seorang lelaki bersenjatakan pisau mati ditembak polis dalam cubaan merompak bersama seorang lagi rakannya di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini, Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian 11.15 pagi itu, suspek berumur 32 tahun yang berasal dari Kampung Gabus, Tok Uban, Pasir Mas, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena satu das tembakan di paha kiri.

“Cubaan merompak oleh dua suspek lelaki bersenjatakan pisau dan pistol itu disedari tiga anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata rentetan itu, seorang daripada anggota polis tersebut memperkenalkan diri sebelum suspek yang bersenjatakan pisau bertindak melarikan diri ke belakang bangunan kedai berkenaan.

Menurutnya, polis melepaskan tembakan amaran ke udara supaya suspek berhenti, namun suspek bertindak menyerang anggota polis sebelum ditembak di bahagian kaki.

“Selepas ditembak, suspek berusaha melarikan diri kira-kira 15 meter daritempat tembakan dilepaskan sebelum rebah. Dua anggota lain (polis) kemudian sampai dan membantu mengikat paha suspek dengan kain untuk memberhentikan pendarahan, ” katanya.

Jalaluddin berkata, pihak ambulans yang tiba di tempat kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia akibat pendarahan.

“Seorang lagi suspek yang bersenjatakan pistol berjaya melarikan diri dan polis kini menjalankan operasi mengesan penjenayah itu,” katanya menambah polis akan mendapatkan gambar suspek melalui rakaman kamera litar tertutup.

– BERNAMA

Penyamun Acu Pistol Di Kepala Pemborong Emas

Mangsa dikatakan meletakkan kenderaannya di kawasan ini sebelum didatangi empat individu yang melakukan samun.

IPOH – Suasana tenang di sebuah restoran di Jalan Jalan Bijih Timah, Pekan Lama, di sini, semalam bertukar cemas apabila didatangi empat individu yang bertindak mengacukan pistol kepada salah seorang pelanggan restoran berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua daripada empat lelaki berkenaan dikatakan menyerbu restoran itu sebelum mendekati seorang lelaki sedang minum yang dipercayai pemborong emas.

Sumber memaklumkan, kumpulan lelaki berkenaan mengacukan pistol ke kepala mangsa dan meminta mangsa menyerahkan kunci kereta yang diletakkan di hadapan restoran itu.

Mangsa yang enggan menyerahkan kunci berkenaan terpaksa akur apabila penjenayah berkenaan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan bahagian belakang pistol.

“Suspek kemudiannya bertindak membuka bonet kereta mangsa dan membawa lari beg yang berisi wang tunai dan barang kemas.

“Dua daripada mereka dipercayai datang ke restoran berkenaan menggunakan motosikal, namun melarikan diri menggunakan kereta berikutan penemuan motosikal di Kampung Palong,” katanya.

Siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran motosikal mendapati, ianya nombor pendaftaran palsu, kerugian dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan penemuan motosikal berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali memaklumkan, dua lelaki mengeluarkan tiga beg yang dipercayai terdapat sejumlah emas sebelum melarikan diri bersama dua lagi penjenayah yang menunggu di luar.

“Pada masa itu saya sedang sibuk dan terkejut secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke kedai dan menyerang seorang pelanggan saya.

“Salah seorang daripadanya mengeluarkan pistol dan mengacu kepada mangsa hingga mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari,” katanya.

Saksi kejadian, N Sitiavani, 32, berkata, insiden itu nyata mengejutkan ramai orang termasuk dirinya yang baru sahaja berniaga di restoran berkenaan empat hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang sibuk menyediakan makanan kepada pelanggan dan keadaan menjadi cemas apabila orang ramai menjerit setelah melihat lelaki itu mengeluarkan pistol.

“Saya terperanjat apabila orang ramai bertempiaran lari dan ketika saya menoleh saya nampak penjenayah sedang mengacukan pistol ke kepala mangsa dan saya juga bertindak melarikan diri selepas panik dengan situasi berkenaan.

“Saya hanya mampu melihat dari jauh, rompakan itu dilakukan dalam tempoh tak sampai lima minit sebelum keempat-empat penjenayah berkenaan melarikan diri bersama beg berisi barang kemas,” katanya lagi. SH