Peniaga Emas Rugi RM10,000 Dirompak

PASIR MAS – Seorang peniaga kedai emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila kedainya dirompak seorang lelaki yang menyamar ingin membeli cincin pertunangan di Bandar Pasir Mas di sini, hari ini.

Rahimah Abdullah, 70, berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, dia bersama suami, seorang anak perempuan dan dua orang pekerja menerima seorang pelanggan yang ingin membeli cincin pertunangan.

“Suspek meminta anak saya untuk mengeluarkan cincin yang dikehendaki namun suspek tidak berpuas hati dan meminta anak saya mengeluarkan cincin yang lebih besar.

“Ketika anak saya mengeluarkan cincin yang diminta, suspek bertindak agresif dengan menepis tangan anak saya lalu mengambil beberapa utas gelang emas sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedang menunggu di hadapan kedai kami,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Rahimah berkata kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama pada tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang diklasifikasikan sebagai kecurian dalam bangunan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Bernama

Malaysia Lokasi Pilihan Terbaik Pelabur

Kuala Lumpur: Malaysia adalah lokasi pilihan terbaik bagi pelabur yang ingin membuat pelaburan tunai, ekuiti, hartanah dan emas berikutan persekitaran kewangan Malaysia yang kukuh.

Pengarah Urusan firma penasihat pelaburan dan pengurusan dana Marc Faber Ltd Marc Faber berkata, sistem kewangan negara diuruskan secara berhemah dan lebih stabil walaupun pernah berdepan dengan krisis kewangan.

Katanya, bagi pasaran saham negara biarpun ia kelihatan tidak berapa menarik buat masa ini, namun secara relatif pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur adalah antara yang stabil di dunia, disokong ekonomi negara yang berimbang.

“Berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kita dapat lihat sistem kewangan mereka secara terangan menghalalkan bank mengambil risiko memperjudikan deposit pelabur dengan berdagang dalam perniagaan derivatif. Manakala Malaysia, rata-rata bank tempatan begitu menitikberatkan aliran kewangan mereka yang dilaburkan ke arah lebih positif (bukan perjudian).

“Tiada risiko besar di Malaysia pada masa ini dan jika diberi pilihan saya memilih pasaran Malaysia berbanding AS, sebagai destinasi pelaburan saya,” katanya pada sidang media sempena ceramah pelaburan bertajuk ‘Strategi Pelaburan-Di manakah Wangnya?’ anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, semalam.

Bank Rakyat Bakal Menambah Kedai Pajak Islam

BANK RAKYAT  merancang untuk menambah kedai pajak gadai Islam Ar Rahnu Exchange di seluruh negara, menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd Razak.

“Sepanjang tahun ini, 11 kedai Ar Rahnu telah dibuka di seluruh negara dan jumlah itu dijangka akan bertambah dengan pembukaan tujuh lagi cawangan pada masa akan datang.

“Tujuh yang dimaksudkan adalah di Semenyih (Selangor), Sungai Udang (Melaka), Masai (Johor), Sitiawan (Perak), Bandar Tasik Titiwangsa (Kuala Lumpur), Satok (Sarawak) dan Jeli (Kelantan),” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu Bank Rakyat menyasarkan seramai 1,500 pelanggan akan mendapatkan khidmat di kedai Ar Rahnu yang baru dibuka di Benut, Pontian.

“Pembukaan cawangan baru di Benut ini memberi kemudahan kepada penduduknya kerana tidak perlu lagi bergerak sejauh 23 kilometer ke Bandar Pontian.

“Premis ini juga turut menempatkan mesin deposit dan pengeluaran wang untuk kegunaan orang ramai bagi melaksanakan urusan perbankan seperti pembayaran bil, pemindahan wang, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, selain dapat menawarkan skim pajak yang selaras dengan kehendak agama, kaunter-kaunter Ar Rahnu juga dapat dijadikan sebagai satu mekanisme untuk program mikro kredit disediakan kerajaan.

“Sebagai sebuah entiti di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kami komited untuk mengukuhkan sektor koperasi.

“Ini kerana Bank Rakyat yang ditubuhkan pada tahun 1954 merupakan koperasi Islam terbesar di negara ini dengan aset berjumlah RM82.7 bilion sehingga Mac 2013,” katanya.

Habib perkenal koleksi Harimau Malaya

                                        Habib perkenal koleksi Harimau Malaya
Datuk Meer Habib (kiri) bersama duta koleksi Harimau Merdeka, pemain bola sepak kebangsaan Amri Yahyah (dua, kanan) semasa pelancaran koleksi itu di Kuala Lumpur, semalam. – FOTO: MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI

HABIB Jewels Sdn Bhd (Habib) yakin mencapai sasaran jualan lebih RM400,000 menjelang hujung tahun menerusi koleksi terbarunya yang diilhamkan oleh Harimau Malaya sempena sambutan Hari Merdeka.

Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Habib berkata, melihat kepada maklum balas pelanggan, beliau optimis lebih RM100,000 jualan akan dapat dicapai dalam tempoh tiga hari.

“Pemilihan menggunakan harimau adalah sebagai inspirasi dan sebagai cara berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bekerja keras jadikan negara ini contoh kepada ekonomi membangun di seluruh dunia.

“Kami juga yakin semangat harimau akan bawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya selepas melancarkan koleksi itu di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, koleksi terbaru itu diperbuat daripada batu permata Tiger’s Eye dari Afrika Selatan yang memancarkan warna coklat kemerahan dengan garisan halus yang menyerupai belang atau jalur pada badan harimau.

Setakat ini koleksi Harimau Malaya yang direka khusus untuk lelaki menawarkan 20 rekaan menarik terdiri daripada cincin dan butang baju Melayu dari harga serendah RM500 dan lebih banyak rekaan baru akan diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Habib akan membuka cawangan baru di Seremban sebelum hujung tahun dengan pelaburan lebih RM5 juta dan memperuntuk lebih RM25 juta untuk membuka tiga hingga empat cawangan baru di negeri yang belum diterokai seperti Pahang, Kelantan dan Perlis.

Sumber : Sinar Harian

Kitar Semula Barang Kemas

Kuala Lumpur: Crane Central Sdn Bhd komited memperluaskan perkhidmatannya di seluruh Malaysia apabila merancang untuk membuka sekurang-kurangnya tujuh lagi cawangan Jewel Cafe menjelang akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran jualan sebanyak RM10 juta.

Pengarahnya, Takefumi Yoshimoto berkata, setakat ini terdapat empat cawangan Jewel Cafe yang beroperasi di pasar raya AEON Taman Maluri, Wangsa Maju, Taman Equine dan AU2.
Katanya, bagi setiap cawangan pihaknya memperuntukkan pelaburan antara RM200,000 dan RM300,000 termasuk deposit dan bergantung pada lokasi serta saiz kerana Jewel Cafe adalah pertama di Malaysia yang menampilkan konsep kafe untuk pelanggan yang datang menjual barang kemas mereka.

 

“Jewel Cafe adalah rangkaian utama bagi barang kemas kitar semula di Jepun dan kami juga menerima barang kemas yang sudah rosak atau lama termasuk emas, perak, platinum dan berlian. Malah, menerusi konsep kafe kami menyediakan suasana serta ruang selesa untuk pelanggan.
“Bagi pelanggan yang membawa anak-anak juga tidak perlu risau kerana Jewel Cafe menyediakan ruang permainan untuk kanak-kanak dan konsep yang kami tampilkan di negara ini sama seperti di Jepun,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, selain mengetengahkan konsep mesra pelanggan, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan cuci barang kemas secara percuma kepada orang ramai dan tisu percuma di mana bungkusannya boleh digunakan untuk menebus 10 peratus bonus tunai.

 

FotoJEWEL Cafe menawarkan konsep baru kitar semula barang kemas lama dan rosak.

Yoshimoto berkata, pihaknya mahu pelanggan berasa selesa serta gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan Jewel Cafe dan selain itu, pelanggan juga diberi tawaran istimewa untuk mendapat ganjaran tunai dengan memperkenalkan rakan kepada Jewel Cafe dan baucar tunai sehingga RM100.

 

Sumber : Harian Metro

Warga Emas 100 Tahun Disamun

 

MARANG – Seorang wanita warga emas berusia hampir 100 tahun bukan sahaja berdepan detik cemas malah mukanya ditutup dengan kain dua lelaki tidak dikenali yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kijing, di sini.

Tidak cukup dengan itu, dua suspek yang memecah masuk rumah warga emas malang itu melarikan tiga utas gelang tangan seberat 70 gram dianggarkan berharga hampir RM10,000 yang dipakai mangsa di sebelah tangan kirinya.

Dalam kejadian itu, Halimah Mamat, yang mengalami masalah pendengaran dan penglihatan mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenalinya ketika berada dalam bilik tidurnya antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi kelmarin.

“Tok tak ingat pukul berapa mereka masuk dalam rumah ini, masa itu tok ada dalam bilik. Mereka tutup muka tok dengan kain dan lari lepas itu. Apabila tok bangun pagi, baru tok sedar tiga (utas) gelang yang tok pakai hilang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Halimah menghubungi cucunya, Ruhayati Abd Ghani, 45, yang tinggal di Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi memaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan selanjutnya, termasuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Sementara itu, cucu Halimah, Ruhayati berkata, dia menerima panggilan itu kira-kira jam 10.30 pagi, kemudiannya bergegas ke rumah neneknya di Kampung Kijing, di sini untuk mengetahui keadaan sebenar yang menimpa neneknya itu.

“Setiba di rumah itu saya kemudiannya membuat pemeriksaan namun mendapati tiada apa-apa kesan rumah itu telah dipecah masuk dan kemudiannya ke Balai Polis Marang untuk membuat aduan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.Bagaimanapun, katanya, dia percaya dua suspek itu masuk melalui pintu hadapan rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan meminta orang ramai membantu pihak polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan kediaman kerana penglibatan masyarakat sebagai perantara kepada polis mampu mencegah kegiatan jenayah. “Orang ramai bukan saja dapat membantu dalam mencegah kejadian jenayah, malah mereka ialah sumber kepada pihak polis dalam menyalurkan maklumat.

“Pasukan polis juga sentiasa mengukuhkan hubungan baik dengan orang ramai untuk menjalinkan persefahaman bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka khususnya yang menetap di daerah ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Siapakah Rakyat Malaysia Yang Beli Kapal Bersalut Emas RM13 Bilion?

Siapakah Rakyat Malaysia Yang Beli Kapal Bersalut Emas RM13 Bilion? | Jika dahulu, gelaran pemilik kapal mewah termahal dunia disandang oleh Roma Abramovich yang mana merupakan pemilik kelab bola sepak gergasi dunia Chelsea, kini dikatakan jatuh ke tangan seorang rakyat Malaysia pula. Siapakah beliau sebenarnya? Kita sebenarnya mengenali beliau kerana beliau antara yang terkaya di Malaysia terutama dalam menjalankan perniagaan gula. Siapa yang tidak kenal dengan Tan Sri Robert Kuok. Kapal yang ditempah khas ini dikatakan bernilai RM13 bililon. Fuh memang sangat mahal .

 

 

Tan Sri Robert Kuok, beliau merupakan Billionair Malaysia yang mempunyai kekayaan bernilai antara RM37.2 billion.

Raja Gula Asia ini telah menggemparkan banyak pihak apabila membeli sebuah kapal mewah bernilai RM13.38 billion.

Kapal berkenaan yang 10 kali ganda lebih mahal daripada kapal peribadi paling mahal didunia sebelum ini milik Roma Abramovich (Pemilik Kelab Chelsea) kini merupakan kapal mewah termahal dunia.

Keseluruhan badan kapal History Supreme dari dasarnya sehingga ke bahagian dek termasuk ruang makanan, rel dan sauh disalut emas padu.

Bilik tidur utamanya dihias mewah dengan menggunakan logam platinum dan menampilkan dinding bertatahkan sejumlah batu meteor serta artifak prasejarah seperti tulang dinosaur ganas, T-Rex.

Kapal History Supreme merupakan hasil kerja tangan pembuat hiasan emas terkenal dari Liverpool,Stuart Hughes yang mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkannya.

 

Di Rompak Ditepi Jalan

 

 

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon mengundang padah apabila menjadi mangsa samun empat lelaki di Jinjang di sini, kelmarin menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun yang sedang memandu kereta berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang mengetuk cermin tingkap kenderaannya dengan hulu parang.

Menurut sumber, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan mangsa tidak sempat melarikan diri apabila pintu keretanya dibuka suspek yang meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan kemudian merayu dilepaskan tetapi tidak diendahkan suspek yang terus merampas telefon bimbitnya.

“Ketika kejadian itu, datang sebuah lagi motosikal dinaiki dua lelaki yang terus membuka pintu penumpang depan dan merampas beg kecil berisi wang tunai milik syarikat serta merentap rantai leher emas dipakai mangsa,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik merampas barangan mangsa, suspek terus melarikan diri tanpa mencederakannya.

“Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang,” katanya.

 

Sumber : Harian Metro