Emas Ditemui Dalam Daun Kayu Putih

Sydney: Kumpulan penyelidik di Australia menemui zarah emas tersembunyi di dalam daun pokok kayu putih, di hutan wilayah barat negara itu, penemuan dikatakan dapat membantu pelombong mencari simpanan baru logam berharga itu.

Saintis daripada Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) berkata, mereka menemui logam itu di dalam daun pokok terbabit di hutan wilayah Kalgoorlie, yang pernah menjadi lokasi rebutan emas pada akhir 1800.

 Pakar kimia Mel Lintern berkata, kajian mendapati pokok terbabit menyerap zarah emas pada kedalaman 30 meter di bawah tanah melalui akarnya.
 “Akar tunjang pokok kayu putih bertindak sebagai pam hidrolik di dalam tanah dan menyerap air mengandungi emas,” katanya.

Jadi toksik

Beliau berkata, oleh kerana zarah emas itu berkemungkinan besar menjadi toksik, sistem pohon terbabit memindahkannya ke bahagian daun dan dahan yang dapat dibuang apabila ia gugur.
Di dalam kajian yang diterbitkan jurnal Nature Communications, CSIRO berkata zarah emas di dalam daun pokok berkenaan tidak akan mencetuskan rebutan emas kerana saiznya cuma sebesar satu perlima daripada saiz rambut manusia dan hanya dapat dilihat melalui imbasan X-ray.

Penyelidik yang terbabit di dalam kajian itu menganggarkan, zarah emas daripada daun 500 pokok kayu putih diperlukan untuk menghasilkan seutas gelang tangan.

Teroka emas

Bagaimanapun mereka berkata, penemuan itu memberi peluang kepada usaha meningkatkan kaedah penerokaan mencari emas selain menjadikannya lebih canggih dan mesra alam.

“Kaitan antara tumbuhan dengan simpanan emas yang tertanam di dalam tanah boleh membantu saintis menghasilkan teknologi baru penerokaan bahan galian,” kata Lintern.

Penemuan simpanan emas baru merosot 45 peratus sejak dekad lalu, manakala harga logam itu melonjak ketika simpanannya semakin berkurangan. – AFP

Pengawal Keselamatan Curi Barang Kemas Ibu Di Penjara 2 Tahun

Kota Bharu: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencuri barang kemas bernilai RM45,000 milik ibunya yang sedang bersolat, dua bulan lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas Khairul Ikhsan Mohamed Hazman, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan. “Saya harap kamu insaf ketika menjalani hukuman ini di penjara,” nasihat Nik Habri yang memerintahkan hukuman berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Ogos 2013.

Mengikut pertuduhan, Khairul Ikhsan didakwa mencuri beg tangan milik ibunya mengandungi tujuh rantai leher, 12 gelang tangan, 18 bentuk cincin, empat loket, tiga kerongsang, 15 kepingan berbentuk bulat berwarna kekuningan yang keseluruhan bernilai RM45,000 di Lot 2030, Jalan Wakaf Stan, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 8 Ogos 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa mahu solat Zuhur, anaknya masuk ke dalam bilik bertanyakan buku cek ibunya yang hilang sebelum ini dan wanita itu memberitahu anaknya buku cek berkenaan belum ditemui lalu meneruskan solat manakala tertuduh menyelongkar almari dan mengeluarkan beg mengandungi barang kemas.

Selepas selesai solat, mangsa mendapati anak lelakinya keluar dari rumah bersama beg itu.

Terdahulu, tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

sumber – Metro

3 Ditembak Selepas Samun Emas RM1.8 Juta

FotoAnggota polis memeriksa tempat kejadian selepas berjaya menembak mati penjenayah di persimpangan lampu isyarat berhampiran Tanah Perkuburan Islam Meru Raya dekat Jelapang, Ipoh.

Ipoh: Sekumpulan penjenayah tidak sempat menikmati hasil rompakan dari sebuah kedai emas di Meru Raya, dekat sini semalam, apabila tiga daripada mereka mati ditembak polis.

Sebelum kejadian berbalas tembakan kira-kira jam 11.05 pagi itu, kumpulan empat lelaki berkenaan yang memakai topeng ski dan bersenjatakan pistol, menyamun barangan kemas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dari kedai berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Meru Bestari B5.

 Rakaman CCTV di kedai emas berkenaan menunjukkan jenayah yang hanya mengambil masa kira-kira tiga minit itu, dilakukan tiga lelaki.
 Dua daripada mereka menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin ruang pameran barangan kemas, seorang bersenjatakan pistol mengancam lima pekerja kedai itu manakala seorang lagi dipercayai menunggu di kereta.

Terima laporan

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis menerima laporan mengenai jenayah itu jam 10.50 pagi sebelum pasukan Ops Cantas mengesan PROTON Waja biru dinaiki suspek di persimpangan lampu isyarat Lebuh Meru Raya, kira-kira tiga kilometer dari lokasi rompakan.

“Ketika dikejar, kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Seorang suspek kemudian keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang terpaksa membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri. Polis berjaya menumpaskan tiga suspek, namun seorang melarikan diri ke dalam kebun sawit berhampiran,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, polis yang memeriksa kenderaan suspek kemudian menemui sepucuk pistol jenis ‘Star’ buatan Sepanyol 7.62mm kaliber, tiga peluru .32mm, dua kelongsong peluru, sebilah parang, dua telefon bimbit, tujuh dulang bersama barangan kemas dan dua topeng muka.

Temui senjata api

“Mayat tiga lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, manakala seorang lagi suspek yang dipercayai cedera di kaki, sama ada terseliuh atau terkena tembakan ketika cuba melarikan diri, sedang diburu dan dipercayai masih bersembunyi di kawasan berdekatan.

“Polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson model SW9S bersama tiga peluru 9mm dalam kebun sawit berdekatan lokasi kejadian, dipercayai milik suspek yang melarikan diri,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat termasuk mengesan identiti suspek bagi mengenal pasti sama ada mereka terbabit dalam mana-mana pertubuhan haram atau memiliki rekod jenayah, namun siasatan awal mendapati kereta dinaiki mereka dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang, 3 Oktober lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

 

Sumber – Berita Harian

Genneva: Penggangur Wanita Didakwa Terlibat Penggubahan Wang Haram Bernilai RM1.1 Juta

SHAH ALAM: Seorang penggangur wanita berusia 29 tahun merupakan individu terbaru yang didakwa terlibat dengan 19 tuduhan penggubahan wang haram bernilai RM1.1 juta yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd.

Ng Wan Yean, anak kepada penasihat penasihat bisnes Genneva, Datuk Ng Poh Weng didakwa terlibat dengan penggubahan wang haram kerana menerima keuntungan yang tidak sah daripda Genneva Malaysia Sdn Bhd dan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun miliknya, CIMB Bank Bhd di Jalan PJU1/3F, Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya dekat sini antara 18 Julai 2011 dan 28 Ogos 2012.

Ng bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noradidah Ahmad Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan Ng menyerahkan pasportnya.

Ng dijangka akan didakwa dengan beberapa lagi tuduhan tengah hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ayahnya, 63 tahun, adik perempuannya, 34, dan adik lelakinya Ng Yee Yaw, 32, masing-masing didakwa atas tuduhan yang sama minggu lalu di Mahkamah Sesyen di sini dan di Kuala Lumpur

Saudagar Emas Didik Bakal Pelabur Di Bandar Kecil Mengenai Niaga Hadapan Emas


KUALA LUMPUR (Bernama) — Persatuan Saudagar Emas dan Permata Malaysia akan mengadakan siri jelajah dan mengendalikan seminar sebagai usaha untuk mendidik pelabur berpotensi di bandar-bandar kecil dalam perdagangan niaga hadapan emas.

Presidennya Datuk Ng Yih Pyng berkata minat terhadap perdagangan niaga hadapan emas dalam kalangan pelabur awam adalah tinggi tetapi “masih suatu yang baharu kepada mereka di luar bandar-bandar. ”

“Terdapat ramai orang di luar sana, orang-orang yang sangat berminat dalam dagangan niaga hadapan emas (di Bursa Malaysia) tetapi sudah tentu, mereka tidak biasa dengan perdagangan jenis ini,” katanya kepada Bernama di luar acara majlis pelancaran kontrak hadapan emas Bursa Malaysia Derivatif pada Khamis.

Ng berkata orang ramai biasa dengan perdagangan emas fizikal tetapi tidak biasa dengan perdagangan di atas kertas.

Pasaran niaga hadapan emas, kontrak niaga hadapan emas bersaiz kecil dalam mata wang ringgit adalah kontrak penyelesaian tunai, tanpa emas fizikal.

“Kami sudah memulakan siri jelajah penerangan untuk menarik mereka berdagang emas melalui kontrak niaga hadapan. Mendidik orang ramai termasuk anggota kami tentang kontrak ini dan memastikan mereka memahami tentang perdagangan tersebut akan mengambil masa,” katanya.

Persatuan itu juga akan mengadakan seminar untuk anggotanya yang seramai 1,600 mengenai tawaran baharu oleh pengendali bursa saham tempatan itu, kata Ng.

Beliau berkata pengenalan kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif merupakan langkah yang positif untuk industri.

Beliau berkata ia akan membolehkan peserta pasaran melindung nilai pegangan emas mereka terutamanya dalam pasaran yang tidak menentu.

“Ia juga memperkenalkan platform tambahan dan dikawal selia dengan baik untuk pelabur mempunyai pegangan dalam emas,” katanya.

Kontrak niaga hadapan logam berharga yang pertama di Malaysia itu akan memulakan perdagangan di Bursa Malaysia pada 7 Okt ini.

Kontrak dalam denominasi ringgit itu akan didagangkan dalam saiz kontrak kecil 100 gram, membolehkan pelabur berdagang dalam kuantiti yang kecil dengan itu mampu untuk dilabur.
Denominasi ringgit akan meminimumkan risiko yang dikaitkan dengan keadaan turun naik mata wang asing, dengan itu menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk berdagang emas di Bursa Malaysia.

— BERNAMA

Perkenal Kontrak Hadapan Emas

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) memperkenalkan kontrak niaga hadapan logam berharga, Kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) bagi pasaran modal di Malaysia yang bermatlamat menyediakan peluang pelaburan emas dan instrumen lindung nilai bagi pelabur runcit termasuk individu domestik.

FGLD mula diniagakan di Bursa Saham Malaysia bermula Isnin ini dilihat sebagai strategi penawaran kepelbagaian pelaburan di Bursa Saham Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chong Kim Seng berkata, FGLD buat kali pertama diwujudkan dalam pasaran modal tempatan diniagakan dalam ringgit serta menyediakan pelaburan emas selamat kepada pelabur menggunakan pasaran derivatif.

Katanya, FGLD diniagakan dalam saiz kontrak kecil 100 gram membolehkan pelabur berurus niaga dalam kuantiti kecil yang mampu diniagakan pelabur berminat dengan dagangan emas.

Jenayah Perang: Belanda mohon maaf kepada Indonesia, bayar gantirugi mewah .

indonesia ekonomi emas

Gambar rakyat Indonesia sedang mengusung pembesar Belanda dan Cina. Sejarah kekayaan Indonesia dipenuhi kisah Sultan Melayu Jawa bersekongkol dgn pedagang asing mengeksploit sumber alam dan menghambakan rakyatnya dan sehingga kini ia masih berlaku diganti dengan ahli politik kapitalis melalui istilah koporat yg canggih. Maaf Indonesia Malaysia bangkitlah….buruk sungguh dihambakan bangsa sendiri – MRM

Spt biasa pemerintah Ind akan mengalah meski dilaporkan banyak syarikat asing yg enggan membayar cukai.

Indonesia masih tidur pemimpinnya dgn kekayaan gelap mata sama shj dgn kes Msia.

JAKARTA 12 Sept. – Belanda hari ini secara rasmi memohon maaf kepada Indonesia berikutan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera negara itu ke atas rakyat negara ini ketika perang bagi mencapai kemerdekaan, enam dekad lalu.

Duta Belanda ke Indonesia, Tjeerd de Zwaan mengeluarkan pernyataan maaf itu kepada balu-balu mangsa dari Sulawesi Selatan akibat tindakan ‘keterlaluan’ negaranya yang berlaku sekitar tahun 1945 dan 1949.

De Zwaan berkata, kerajaan Belanda telah bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada balu mangsa di Sulawesi dan kampung Rawagede, Jawa Barat dengan masing-masing menerima bayaran sebanyak 20,000 euro (RM86,673) selepas mereka memfailkan kes itu di mahkamah Belanda.

Rawagede sebuah perkampungan kecil di Jawa Barat, merupakan tempat berlakunya pembunuhan kira-kira 430 penduduk oleh tentera Belanda pada 9 Disember 1947. – AGENSI

 

PELIK ! senang sahaja Belanda melutut mohon maaf kepada Indonesia . Jika dikaji semula pasti ada kaitan dgn usaha perlombongan Emas Belanda di bekas jajahannya itu . Seperti biasa pemerintah Indo akan mengalah walaupun dilaporkan banyak syarikat asing yg enggan membayar cukai . Pemimpin Indonesia masih lagi tidur dengan kekayaan sama seperti pemimpin malaysia .

 

Tips Mencuci Barang Kemas Di Rumah

Ianya sangat mudah untuk memastikan barang kemas anda berkilat sama seperti pada hari pertama anda membelinya. Dengan jadual harian yang sibuk, sudah semestinya kita jarang mempunyai masa untuk pergi ke kedai semata-mata hendak mencuci emas.

Jangan risau, sekarang anda boleh membersihkan barang kemas anda di rumah hanya dengan bahan-bahan seperti antasid, kerajang aluminium dan cuka. Teruskan membaca untuk mengetahui betapa senangnya untuk mengilatkan barang kemas anda seperti baru.

Ammonia
Berlian merupakan kawan baik setiap wanita, namun tidak apabila ia kotor! Rendam perhiasan berlian anda dalam larutan 1 cawan air suam dan 1/4 cawan ammonia selama kira-kira 15 minit, kemudian gunakan berus gigi lembut untuk menggosok baki-baki kotoran, terutamanya di celah-celah dan di bawah berlian.

Cuka putih
Mencuci emas dan barang perhiasan batu permata tidak akan menjadi lebih mudah tanpa cuka putih. Hanya letakkan barang kemas anda ke dalam bekas berisi cuka putih dan biarkannya selama 10 hingga 15 minit. Kemudian, keluarkan dan gosok dengan menggunakan berus gigi lembut jika perlu.

Antasid
Kuasa fizzing yang berfungsi untuk melegakan perut anda juga sebenarnya boleh membersihkan barang kemas anda. Titiskan dua tablet antasid ke dalam segelas air suam, kemudian letakkan barang-barang kemas anda ke dalamnya. Biarkannya selama dua minit dalam keadaan berbuih, kemudian keluarkan dan bilas dengan air suam.

Kerajang aluminium
Gunakan kerajang aluminium untuk membersihkan perhiasan perak anda yang kotor. Sediakan satu dulang dengan sekeping kerajang aluminium yang direnyukkan dan letakkan barang-barang kemas anda di atasnya. Taburkan soda penaik ke atas barang kemas tersebut, kemudian tuangkan air panas. Hasilnya, kotoran daripada perhiasan perak akan dipindahkan ke kerajang aluminium. Oleh itu, anda perlu memastikan semua permukaan perhiasan perak bersentuhan. Kemudian, bilas dengan air suam.

Sabun dan air
Untuk bahan perhiasan yang lembut seperti mutiara, anda lebih memerlukan sabun dan air sebagai cara terbaik untuk mencucinya. Bersihkan mutiara anda dengan mencelupnya beberapa saat ke dalam larutan 2 cawan air suam dan beberapa titik pencuci yang lembut. Kemudian, lap setiap butir mutiara dengan kain kapas yang lembut dan kering. Manakala, barang perhiasan seperti batu ‘turquoise’ tidak memerlukan sabun untuk bersih. Hanya celup berus gigi yang berusnya lembut ke dalam air suam dan gunakannya untuk menggosok batu ‘turquiose’. Selepas itu, keringkannya dengan kain yang bersih dan dedahkannya dengan udara kering selama beberapa jam sebelum simpan.

Peringatan: Kaedah menggunakan bahan kimia atau pencuci yang kasar tidak digalakkan untuk mutiara sebaliknya, gunakan sabun dan air sahaja.

Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut Emas

 

 

 

Pelik ,  Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut  Emas | Seorang lelaki warganegara British, Hok Kuen Chow ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini kerana cuba menyeludup enam janin yang telah dipanggang dan bersalut emas ke Taiwan . Lelaki  yang dilahirkan di Hong Kong  ini mengaku kepada pihak polis, dia memang berniat untuk menjual janin-janin ini ke Taiwan. 

Hok Kuen Chow dilaporkan telah membeli janin ini dengan harga US $ 6.500 dari “agen” yang tidak disebut namanya. Dan dia dijangka akan menjualnya kembali di Taiwan dengan harga lebih tinggi iaitu enam kali ganda.

Menurut laporan dari pihak polis, para pelanggan Hok Kuen Chow di Taiwan menggunakan janin-janin ini untuk sebuah ritual ilmu hitam yang di percayai boleh membawa keuntungan besar dalam perniagaan