Luar Biasa – Berlian Biru ditemui di Afrika

blue-diamond

Johannesburg: Seketul berlian biru yang jarang ditemui digali dari sebuah lombong di Afrika Selatan.

South Africa Blue Diamond

Permata 29.6 karat itu ditemui Petra Diamonds dilombong Cullinan milik syarikat itu yang terletak kira-kira 46 kilometer di timur laut Pretoria. Jurucakap syarikat itu memberitahu Stesen Penyiaran Britain (BBC), batu permata berkenaan paling luar biasa pernah ditemui di Cullinan sepanjang tempoh Petra beroperasi di lombong itu. “Berlian itu ialah permata biru terang dengan kejituan, kecerahan dan tona luar biasa. “Ia berpotensi menjadi permata utama yang bernilai tinggi,” katanya. Tahun lalu, Petra menemui berlian biru 25.5 karat yang dijual pada harga £10.3 juta (RM56.6 juta).
Penemuan terbaru itu juga dijangka meraih harga yang tinggi.

blue-diamond2

Video

Pengarah syarikat pelaburan emas didakwa

ismahanum

KOTA KINABALU – Seorang pengarah syarikat pelaburan emas, Worldwide Far East Berhad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah berjumlah RM3.88 juta.

Datuk Noor Ismahanum Mohd Ismail, 32, didakwa menerima deposit itu melalui skim melibatkan transaksi emas di No.11B, Tingkat 11, Wisma Fok Loi, 38 Jalan Gaya di sini antara 6 Dis 2010 hingga 27 Disember 2010 dan 28 Disember 2010 hingga 23 April 2012.

Tertuduh dan syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Yong Thain Vun, 46, didakwa bersubahat dengan Noor Ismahanum dan syarikat terbabit untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah pada 6 Disember 2010 hingga 23 April 2012 di tempat sama, mengikut seksyen yang sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Bank Negara Fahmi Abd Moin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Azreena Aziz membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 16 hingga 27 Jun.

Noor Ismahanum diwakili peguam Goldam Hamid manakala peguam Chin Teck Ming mewakili Yong.

Pada 23 Disember 2013, Noor Ismahanum, adiknya, Mohamad Ismahanif, 25, dan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 116 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM6.85 juta. – Bernama

IZakat – Bayar Zakat Emas Dengan Applikasi Telefon

izakat

PENGGUNAAN telefon pintar tidak lagi terhad untuk membuat panggilan dan menghantar kiriman mesej ringkas sahaja.

Perkembangan teknologi telefon pintar membolehkan pengguna melayari internet melalui sambungan data telekomunikasi dengan harga yang berpatutan. Ia diselarikan dengan penciptaan variasi aplikasi pelbagai kategori seperti permainan, utiliti dan bahan bacaan yang dapat digunakan ketika melakukan kerja seharian atau berhibur pada waktu senggang. “Tidak dinafikan, kecanggihan telefon pintar kini banyak membantu pengguna dalam melakukan urusan seharian. Sama ada membayar bil-bil, membaca surat khabar harian atau bermain permainan video,” ujar Eksekutif Hartanah, Syazwan Arifin, 27, ketika ditemui Infiniti di pejabatnya di Kuala Lumpur baru baru ini.

Dia menambah, kebanyakan syarikat korporat dan perbankan mula beralih kepada penciptaan aplikasi dengan fungsi yang ringkas dan mudah, sesuai dengan peranti telefon bimbit. “Sebagai contoh, bank-bank utama seperti Maybank Berhad dan CIMB mempunyai aplikasi sendiri. Begitu juga syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia yang membolehkan pengguna membeli tiket dalam talian menggunakan aplikasi tersebut,” kongsi pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu. Berdasarkan kajian laman carian Google, kadar penembusan telefon pintar di Malaysia meningkat hampir 300 peratus sejak tahun 2011.

VARIASI aplikasi boleh didapati dalam telefon pintar seiring dengan kepesatan teknologi maklumat.

Rakyat Malaysia mendahului Amerika Syarikat dan England dengan peratusan penggunaan telefon pintar yang tinggi. Kajian itu memperincikan setiap tiga penduduk Malaysia memiliki telefon pintar. Ia jauh berbeza pada dua tahun lalu apabila hanya satu daripada 10 orang mempunyai alat komunikasi canggih tersebut. Seiring dengan peralihan itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan aplikasi iZakat sebagai medium baharu pembayaran zakat.

Percuma

Ia boleh dimuat turun secara percuma bagi pengguna telefon pintar Iphone dan Android menerusi aplikasi App Store dan Google Play. Ia dilancarkan pada 14 Disember 2013 dan dibangunkan sendiri oleh Unit Pembangunan Web dan Multimedia PPZ-MAIWP manakala bagi pembayaran mobil dibiayai oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dibangunkan oleh Dapat Vista Sdn. Bhd. Menurut Eksekutif Pembangunan Web PPZ-MAIWP, Mohd. Hafizullah Kamaruddin, aplikasi iZakat mengambil masa empat bulan untuk disiapkan. “Segala perisian dan maklumat yang terdapat dalam aplikasi tersebut adalah sama seperti dalam portal PPZ-MAIWP. Bagaimanapun, kami ringkaskan beberapa fungsi memandangkan sesuatu aplikasi perlu lebih padat dan ringan agar mudah dimuat turun pengguna,” ujarnya.

Pembayaran
Antara aplikasi yang boleh diperoleh melalui iZakat ialah Zakat2u, kalkulator pengiraan zakat, info zakat dan lokasi kaunter zakat. “Sejurus memuat turun aplikasi, pengguna boleh terus melakukan pembayaran dengan mengisi beberapa maklumat asas. Ia akan disimpan dalam pangkalan data kami untuk kegunaan pembayaran seterusnya. “Bagi pembayaran bulan berikutnya, mereka hanya perlu memasukkan kad pengenalan sahaja,” katanya.

APLIKASI iZakat boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store dan Google Play.

Pada bahagian Zakat2U, terdapat tiga maklumat penting iaitu Taksir Zakat, Bayar Zakat dan Semak Penyata Zakat. “Dalam ruangan Taksir Zakat, pengguna boleh membuat taksiran pelbagai jenis zakat harta seperti pendapatan, wang simpanan, perniagaan, emas, saham dam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Taksiran itu akan disimpan dalam Rekod Taksiran,” jelas Mohd. Hafizullah.

Tambahnya, Bayar Zakat merupakan ruangan yang penting dan menjadi tumpuan utama pengguna. Pengguna boleh membuat bayaran zakat dalam talian melalui saluran FPX atau kad kredit. “Buat masa sekarang, pihak PPZ-MAIWP hanya menerima bayaran melalui kad kredit dari perbankan Islam,” jelasnya.

Selepas melakukan pembayaran zakat, pengguna boleh melihat rekod bayaran rasmi mereka menerusi ruangan Semak.

“Rekod tersebut boleh dilihat selepas tiga hari pembayaran di iZakat. Bagi resit asli pula, ia akan dihantar ke alamat anda selepas 14 hari pembayaran dibuat,” kata Mohd. Hafizullah. iZakat turut menyediakan kalkulator bagi mengira jumlah bayaran yang perlu dibayar mengikut pendapatan tahunan yang diisi sendiri oleh pengguna. Pengiraan tersebut merangkumi semua pecahan zakat harta. “Sebagai contoh pengiraan zakat pendapatan akan meliputi maklumat seperti tahun haul mengikut nisab, pendapatan kasar, penolakan perbelanjaan setahun dan taksiran,” katanya. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat tambahan mengenai zakat, kaedah pembayaran lain dan informasi mengenai PPZ-MAIWP disertakan dalam ruangan Info.

Harga Emas Sederhana Awal 2014

emas-sederhana

Kebimbangan pasaran emas tentang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk beransur-ansur mengurangkan suntikan mudah tunainya akan hanya reda pada lewat Februari atau awal Mac tahun depan dengan harga diunjurkan menyederhana pada US$1,322.50 (AS$1 = RM3.25) seauns (1 auns = 28.35 gram).

Peniaga dari Phillip Futures Sdn Bhd, Lim Eng Wee, berkata menurut satu laporan antarabangsa, harga emas berkemungkinan kekal rendah bagi tahun keduanya selepas mencatatkan kejatuhan tahunan pertamanya pada pertengahan 2013, dalam tempoh lebih sedekad.

“Harga rendah ini ditambah pula dengan siling hutang jangka pendek kerajaan AS yang akan tamat tempoh pada 15 Jan, 2014,” katanya kepada Bernama.

Tentang arah aliran semasa, Lim berkata pasaran seolah-olah kurang keyakinan terhadap emas apabila AS mencatatkan data-data ekonomi yang lebih baik daripada dijangkakan.

“Bagi tahun ini setakat ini, harga emas semerta menjunam 27.2 peratus kepada AS$1,219.83 seauns pada 2 Dis, 2013.

Mengenai dagangan hadapan emas, yang julung kali muncul di Bursa Malaysia Derivatives pada 7 Oktober, 2013, Lim berkata ia lebih sesuai bagi pelabur individu memandangkan keperluan marginnya yang rendah iaitu RM1,000 bagi setiap lot.

Beliau berkata kontrak itu juga dilunaskan dengan tunai, justeru itu pelabur boleh menyimpan pegangan hingga tamat tempoh kontrak.

“Pada masa ini, jumlah dagangan pasaran hadapan emas Bursa Malaysia agak rendah disebabkan oleh kurangnya kesedaran dan keyakinan dalam kalangan pelabur runcit.

“Kebanyakan pelabur Malaysia tidak terdedah kepada dagangan hadapan atau tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenainya. Di samping itu, sesetengah mereka beranggapan dagangan hadapan adalah sama seperti berjudi.

“Lebih banyak iklan dan seminar diperlukan untuk mendidik dan memupuk minat pelabur Malaysia terhadap dagangan hadapan,” saran Lim.

Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd, Ermin Siow, berkata sambutan terhadap kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia hambar sahaja.

Poh Kong, sebuah syarikat pegang pelaburan, terlibat dalam pembuatan, perniagaan, peruncitan dan eksport barang kemas, batu permata, berlian dan barang perhiasan daripada emas, terutamanya di Malaysia.

Siow berkata dagangan hadapan emas masih belum meraih sambutan hangat setakat ini disebabkan oleh kurangnya maklumat tentang cara-cara berurus niaga logam berharga dalam pasaran hadapan.

“Meskipun kontrak hadapan emas tidak diniagakan 24 jam di Bursa Malaysia berbanding di Commodity Exchange Inc, satu bahagian New York Mercantile Exchange, namun orang perlu ingat bahawa emas diniagakan tanpa henti di peringkat antarabangsa,” tegas Siow.

Bursa Malaysia memulakan dagangan hadapan emas tiga bulan lepas, satu langkah untuk memperluas pasaran modal di negara ini.

Ia adalah kontrak hadapan logam berharga pertama di Bursa Malaysia dan kelas aset pendasar adalah berasaskan spesifikasi Penetapan Emas London.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan, berkata pelancaran kontrak hadapan emas Bursa Malaysia memperkukuh komitmen bursa itu untuk terus memperkenalkan produk-produk dan kelas-kelas aset baharu, sekali gus membawa lebih banyak peluang dagangan dan pelaburan kepada lebih ramai warga Malaysia.

“Tujuan kami ialah untuk mewujudkan sebuah pasaran lengkap dan menyeluruh yang ada sesuatu bagi setiap jenis peniaga dan pelabur di Bursa Malaysia.

“Kami yakin kontrak hadapan emas akan menjadi satu cara berniaga emas yang dipercayai di Malaysia kerana ia diniagakan di bursa kita yang sangat ketat kawalan selianya,” katanya.

Harga tertinggi emas yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives ialah RM137 segram yang dicatatkan pada Oktober.

Kontrak bulan penanda aras mengakhiri tahun ini pada RM127.4.

— BERNAMA

Video: Kanak-Kanak 6 Tahun Mencuri di Kedai Emas

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun biasanya sibuk di sekolah dan bermain dengan temannya. Namun seorang kanak-kanak yang berani berbuat tindakan jenayah walaupun usianya masih sangat muda. Kanak-kanak ini dengan berani mencuri wang di sebuah kedai emas.

Entah bagaimana, tapi seorang gadis kecil berusia 6 tahun sudah diajar mencuri. Wang sejumlah 500,000 rials ($ 2500 USD) di sebuah kedai perhiasan emas di Arab Saudi ghaib dicuri oleh si gadis kecil ini. Tapi, aksi si kecil ini terakam oleh kamera CCTV di kedai tersebut.

Ternyata, gadis kecil ini tidak sendirian. Dia dibantu oleh ibunya dalam melakukan aksinya itu. Ketika itu, dua wanita serta seorang kanak-kanak  masuk ke kedai perhiasan. Seperti pelanggan lain, mereka datang untuk membeli barang kemas di sana.

Ketika ibunya dan wanita itu sibuk mencuba perhiasan. Kanak-kanak itu pergi menyelinap ke bahagian dalam stor kedai. Ternyata ibunya sudah menyiapkan ini semua.

Dia berpura-pura mencuba perhiasan kerana ingin mengalihkan perhatian daripada penjaga kedai Dia juga sudah menyiapkan sebuah beg besar yang akan digunakannya untuk menyimpan barang rampasan anaknya.