Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut Emas

 

 

 

Pelik ,  Lelaki Seludup Janin Panggang Bersalut  Emas | Seorang lelaki warganegara British, Hok Kuen Chow ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini kerana cuba menyeludup enam janin yang telah dipanggang dan bersalut emas ke Taiwan . Lelaki  yang dilahirkan di Hong Kong  ini mengaku kepada pihak polis, dia memang berniat untuk menjual janin-janin ini ke Taiwan. 

Hok Kuen Chow dilaporkan telah membeli janin ini dengan harga US $ 6.500 dari “agen” yang tidak disebut namanya. Dan dia dijangka akan menjualnya kembali di Taiwan dengan harga lebih tinggi iaitu enam kali ganda.

Menurut laporan dari pihak polis, para pelanggan Hok Kuen Chow di Taiwan menggunakan janin-janin ini untuk sebuah ritual ilmu hitam yang di percayai boleh membawa keuntungan besar dalam perniagaan

Peniaga Emas Rugi RM10,000 Dirompak

PASIR MAS – Seorang peniaga kedai emas kerugian kira-kira RM10,000 apabila kedainya dirompak seorang lelaki yang menyamar ingin membeli cincin pertunangan di Bandar Pasir Mas di sini, hari ini.

Rahimah Abdullah, 70, berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, dia bersama suami, seorang anak perempuan dan dua orang pekerja menerima seorang pelanggan yang ingin membeli cincin pertunangan.

“Suspek meminta anak saya untuk mengeluarkan cincin yang dikehendaki namun suspek tidak berpuas hati dan meminta anak saya mengeluarkan cincin yang lebih besar.

“Ketika anak saya mengeluarkan cincin yang diminta, suspek bertindak agresif dengan menepis tangan anak saya lalu mengambil beberapa utas gelang emas sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedang menunggu di hadapan kedai kami,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Rahimah berkata kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama pada tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang diklasifikasikan sebagai kecurian dalam bangunan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Bernama

Malaysia Lokasi Pilihan Terbaik Pelabur

Kuala Lumpur: Malaysia adalah lokasi pilihan terbaik bagi pelabur yang ingin membuat pelaburan tunai, ekuiti, hartanah dan emas berikutan persekitaran kewangan Malaysia yang kukuh.

Pengarah Urusan firma penasihat pelaburan dan pengurusan dana Marc Faber Ltd Marc Faber berkata, sistem kewangan negara diuruskan secara berhemah dan lebih stabil walaupun pernah berdepan dengan krisis kewangan.

Katanya, bagi pasaran saham negara biarpun ia kelihatan tidak berapa menarik buat masa ini, namun secara relatif pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur adalah antara yang stabil di dunia, disokong ekonomi negara yang berimbang.

“Berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kita dapat lihat sistem kewangan mereka secara terangan menghalalkan bank mengambil risiko memperjudikan deposit pelabur dengan berdagang dalam perniagaan derivatif. Manakala Malaysia, rata-rata bank tempatan begitu menitikberatkan aliran kewangan mereka yang dilaburkan ke arah lebih positif (bukan perjudian).

“Tiada risiko besar di Malaysia pada masa ini dan jika diberi pilihan saya memilih pasaran Malaysia berbanding AS, sebagai destinasi pelaburan saya,” katanya pada sidang media sempena ceramah pelaburan bertajuk ‘Strategi Pelaburan-Di manakah Wangnya?’ anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, semalam.

Seludup emas didalam dubur

Colombo: Seorang rakyat Sri Lanka berusia 50 tahun yang cuba menyeludup 600 gram emas bernilai 3 juta rupee (RM74,504) ditahan Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike.

Menurut Pengarah Kastam Leslie Gamini, suspek dari Negombo itu dalam perjalanan menuju ke Mumbai untuk menaiki pesawat kira-kira jam 11.45 malam.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa mendapati tingkah lakunya mencurigakan. Kastam yang memeriksanya menemui kepingan emas disembunyikan dalam duburnya. “Suspek yang kerap membuat perjalanan ke India dibebaskan selepas membayar denda 25,000 rupee (RM620),” kata Timbalan Pengarah Kastam Deepal Siriwardana. – Agensi

Pemilik kedai emas cedera ditembak

KUALA LUMPUR – Pemilik kedai emas Abdul Razak Jewellers di Jalan Lebuh Ampang di sini cedera parah terkena tembakan ketika cuba menghalang percubaan merompak kedainya hari ini.

Abdul Rasul Abd Razak, 58, cedera di bahagian perut dan bahu akibat terkena dua das tembakan dilepaskan seorang daripada empat suspek yang cuba merompak kedainya dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu.

Menghuraikan insiden itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata ketika kejadian, empat pekerja sedang bersiap-siap untuk memulakan operasi sebelum dua lelaki bertopi keledar penuh dan berjaket hitam meluru masuk premis berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, Khairi berkata seorang daripada suspek bertindak melompat masuk ke ruang kerja pekerja manakala seorang lagi berdiri di ruang pelanggan.

Mangsa yang keluar dari pejabatnya untuk cuba menghalang tindakan penjenayah tersebut telah bergelut dengan dua suspek itu.

Ketika pergelutan itu, dua lagi rakan penyamun yang ketika itu berada di luar kedai dan bersedia dengan motosikal meluru masuk ke kedai dan melepaskan beberapa das tembakan, lalu mengenai bahu dan perut mangsa.

“Akibat panik, kesemua suspek melarikan diri dengan dua motosikal tanpa sempat melarikan apa-apa,” katanya, sambil menambah tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug ditemui di lokasi kejadian dan polis percaya suspek bersenjatakan dua pucuk pistol.

Katanya telah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar kedai itu. – Bernama

Bank Rakyat Bakal Menambah Kedai Pajak Islam

BANK RAKYAT  merancang untuk menambah kedai pajak gadai Islam Ar Rahnu Exchange di seluruh negara, menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd Razak.

“Sepanjang tahun ini, 11 kedai Ar Rahnu telah dibuka di seluruh negara dan jumlah itu dijangka akan bertambah dengan pembukaan tujuh lagi cawangan pada masa akan datang.

“Tujuh yang dimaksudkan adalah di Semenyih (Selangor), Sungai Udang (Melaka), Masai (Johor), Sitiawan (Perak), Bandar Tasik Titiwangsa (Kuala Lumpur), Satok (Sarawak) dan Jeli (Kelantan),” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu Bank Rakyat menyasarkan seramai 1,500 pelanggan akan mendapatkan khidmat di kedai Ar Rahnu yang baru dibuka di Benut, Pontian.

“Pembukaan cawangan baru di Benut ini memberi kemudahan kepada penduduknya kerana tidak perlu lagi bergerak sejauh 23 kilometer ke Bandar Pontian.

“Premis ini juga turut menempatkan mesin deposit dan pengeluaran wang untuk kegunaan orang ramai bagi melaksanakan urusan perbankan seperti pembayaran bil, pemindahan wang, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, selain dapat menawarkan skim pajak yang selaras dengan kehendak agama, kaunter-kaunter Ar Rahnu juga dapat dijadikan sebagai satu mekanisme untuk program mikro kredit disediakan kerajaan.

“Sebagai sebuah entiti di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kami komited untuk mengukuhkan sektor koperasi.

“Ini kerana Bank Rakyat yang ditubuhkan pada tahun 1954 merupakan koperasi Islam terbesar di negara ini dengan aset berjumlah RM82.7 bilion sehingga Mac 2013,” katanya.

Habib perkenal koleksi Harimau Malaya

                                        Habib perkenal koleksi Harimau Malaya
Datuk Meer Habib (kiri) bersama duta koleksi Harimau Merdeka, pemain bola sepak kebangsaan Amri Yahyah (dua, kanan) semasa pelancaran koleksi itu di Kuala Lumpur, semalam. – FOTO: MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI

HABIB Jewels Sdn Bhd (Habib) yakin mencapai sasaran jualan lebih RM400,000 menjelang hujung tahun menerusi koleksi terbarunya yang diilhamkan oleh Harimau Malaya sempena sambutan Hari Merdeka.

Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Habib berkata, melihat kepada maklum balas pelanggan, beliau optimis lebih RM100,000 jualan akan dapat dicapai dalam tempoh tiga hari.

“Pemilihan menggunakan harimau adalah sebagai inspirasi dan sebagai cara berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang bekerja keras jadikan negara ini contoh kepada ekonomi membangun di seluruh dunia.

“Kami juga yakin semangat harimau akan bawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya selepas melancarkan koleksi itu di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, koleksi terbaru itu diperbuat daripada batu permata Tiger’s Eye dari Afrika Selatan yang memancarkan warna coklat kemerahan dengan garisan halus yang menyerupai belang atau jalur pada badan harimau.

Setakat ini koleksi Harimau Malaya yang direka khusus untuk lelaki menawarkan 20 rekaan menarik terdiri daripada cincin dan butang baju Melayu dari harga serendah RM500 dan lebih banyak rekaan baru akan diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Habib akan membuka cawangan baru di Seremban sebelum hujung tahun dengan pelaburan lebih RM5 juta dan memperuntuk lebih RM25 juta untuk membuka tiga hingga empat cawangan baru di negeri yang belum diterokai seperti Pahang, Kelantan dan Perlis.

Sumber : Sinar Harian

Kitar Semula Barang Kemas

Kuala Lumpur: Crane Central Sdn Bhd komited memperluaskan perkhidmatannya di seluruh Malaysia apabila merancang untuk membuka sekurang-kurangnya tujuh lagi cawangan Jewel Cafe menjelang akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran jualan sebanyak RM10 juta.

Pengarahnya, Takefumi Yoshimoto berkata, setakat ini terdapat empat cawangan Jewel Cafe yang beroperasi di pasar raya AEON Taman Maluri, Wangsa Maju, Taman Equine dan AU2.
Katanya, bagi setiap cawangan pihaknya memperuntukkan pelaburan antara RM200,000 dan RM300,000 termasuk deposit dan bergantung pada lokasi serta saiz kerana Jewel Cafe adalah pertama di Malaysia yang menampilkan konsep kafe untuk pelanggan yang datang menjual barang kemas mereka.

 

“Jewel Cafe adalah rangkaian utama bagi barang kemas kitar semula di Jepun dan kami juga menerima barang kemas yang sudah rosak atau lama termasuk emas, perak, platinum dan berlian. Malah, menerusi konsep kafe kami menyediakan suasana serta ruang selesa untuk pelanggan.
“Bagi pelanggan yang membawa anak-anak juga tidak perlu risau kerana Jewel Cafe menyediakan ruang permainan untuk kanak-kanak dan konsep yang kami tampilkan di negara ini sama seperti di Jepun,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, selain mengetengahkan konsep mesra pelanggan, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan cuci barang kemas secara percuma kepada orang ramai dan tisu percuma di mana bungkusannya boleh digunakan untuk menebus 10 peratus bonus tunai.

 

FotoJEWEL Cafe menawarkan konsep baru kitar semula barang kemas lama dan rosak.

Yoshimoto berkata, pihaknya mahu pelanggan berasa selesa serta gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan Jewel Cafe dan selain itu, pelanggan juga diberi tawaran istimewa untuk mendapat ganjaran tunai dengan memperkenalkan rakan kepada Jewel Cafe dan baucar tunai sehingga RM100.

 

Sumber : Harian Metro