














LONDON – Sebuah mesin automatik di sebuah pusat beli-belah Westfield, di barat London menjual kepingan emas, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah komputer di dalam mesin itu akan mengemas kini harga emas setiap 10 minit berdasarkan harga di pasaran dunia.
Para pembeli boleh memilih wang syiling emas seberat satu gram berharga £40 (RM192.97) atau kepingan emas seberat 250 gram yang berharga £10,250 (RM49,445) dengan menggunakan mesin tersebut.
Mesin itu juga mengeluarkan kepingan emas kecil seberat 2.5 gram dengan harga £100 (RM482.46)
Kepingan emas paling kecil yang dijual di mesin itu ialah satu gram.
Tidak ada pengawal keselamatan yang mengawasi mesin automatik itu namun ia diperkukuhkan dengan besi dan dilengkapi sistem penggera keselamatan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Mineral dan Geosains negeri mengesahkan logam yang disangka emas di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini sebenarnya sejenis mineral tidak berharga yang dikenali sebagai pyrite.
Walaupun ia mempunyai kilauan keemasan, warna pyrite atau juga dikenali sebagai ’emas tipu’ akan bertukar hitam jika dileburkan atau selepas menjalani ujian asid.
Pengarahnya, Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, pihaknya telah meninjau lokasi penemuan logam tersebut pagi semalam dan membuat kajian terhadap sampel yang diambil dari situ.
“Perbezaan paling ketara antara pyrite dan emas ialah emas mempunyai kilauan lebih ketara.
“Kami tidak pernah mengetahui di kawasan ini ada emas kerana kebiasaannya, ia hanya dijumpai di kawasan-kawasan tertentu contohnya di sekitar Mersing yang terkenal dengan gelaran ‘Jaluran Emas’,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
JIKA melihat wajahnya pasti ramai yang menyedari kemunculannya menghiasi drama-drama tempatan walaupun jarang memegang watak utama.
Selesa dengan panggilan komersial Emma Akma, pelakon drama yang dimaksudkan ini sebetulnya mula mendekati dunia seni sejak tahun 1994 melalui filem Pesona Cinta yang menyaksikannya muncul sebagai pelakon tambahan.
Berusia 42 tahun, Emma sentiasa tercari-cari produk kecantikan yang sesuai dengan kulitnya.
Lebih-lebih lagi dia mempunyai kulit sensitif dan sering mengalami alahan kulit.
Selain faktor usia, Emma mengakui sering menggunakan pelbagai jenis jenama solekan memberi kesan pada wajahnya.
“Sebagai artis kita tidak boleh demand untuk meminta alat solek sendiri. Kita perlu akur pada permintaan jurusolek. Kadang-kadang saya tidak sempat membersihkan wajah apabila balik rumah kerana kepenatan. Pada umur 30-an, saya tidak perasan perubahan pada wajah.
“Semakin umur meningkat, saya lihat kulit wajah menjadi kusam, tidak bermaya dan timbul tanda-tanda kulit sensitif seperti kemerahan. Saya sedar bahawa saya perlu mencari produk yang sesuai dengan kulit dan mendapatkan kulit saya seperti dulu. Maklum sahaja sebagai artis kita perlu mempunyai penampilan menarik,” ujarnya yang tidak mahu melupakan kontroversi yang melandanya baru-baru ini.
Justeru itu, peluang menjadi duta sabun jongkong emas Z Masha baru-baru ini diterima dengan hati yang terbuka.
Baru sebulan mencuba sabun jongkong emas, Emma merasakan kelainan pada wajahnya.
“Sebelum menerima tawaran ini, timbul rasa ragu-ragu kerana saya sudah mencuba pelbagai produk sebelum ini tetapi tiada tindak balas pada wajah. Saya menerima tawaran pada awal Mei lalu dan mencuba pembersih wajah berbentuk jongkong emas ini selama seminggu. Walaupun kesannya belum mencapai tahap maksimum tetapi saya sudah mula merasakan perubahan. Kulit saya yang dahulunya sensitif dan ada kesan kemerah-merahan, mula pulih.
Saya sudah tidak perlu memakai solekan apabila keluar rumah seperti dahulu kerana malukan kesan noda hitam. Justeru itu, saya tidak keberatan menerima tawaran Pengarah Urusan ZZ Beauty, Ziela Che Nor untuk menjadi duta sabun jongkong emas ini,” ujarnya.
Berkongsi keistimewaan sabun pembersih wajah ini, Emma kagum dengan kandungan kolagen dan kandungan dua kali ganda hablur emas yang bertindak sebagai anti penuaan pada kulit wajah.
Kajian saintifik membuktikan emas mampu menggalak penyerapan molekul oksigen ke dalam kulit serta membolehkan sel berada tahap paling tinggi yang menghasilkan kulit sihat berseri dan bersinar.
Apabila meningkat usia 40-an, badan wanita akan kekurangan kolagen yang merupakan bahan aktif utama dalam produk ini berfungsi membantu dan mengaktifkan penghasilan serat kolagen dan elastin dalam lapisan dermis.
Bagi cara penggunaan, Emma hanya menggunakannya dua kali sehari untuk merawat, mencerah dan menegang kulit.
Dalam pada itu, ia boleh juga dijadikan sebagai mask seminggu sekali untuk melambatkan proses penuaan kulit.

HANYA jauhari mengenal manikam dan ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi dua pepatah lama yang tepat menggambarkan generasi kedua keluarga Habib yang sinonim dengan perniagaan emas Habib Jewels.
Bermula sebagai sebuah kedai emas kecil di Pitt Street, Pulau Pinang yang diasaskan Habib Mohamed Abdul Latif pada 1958 sebagai perniagaan keluarga, persaingan ketika itu dengan deretan kedai emas lain sememangnya bukan sesuatu yang mudah.
MEWAH…antara koleksi barang kemas terkini Habib.
OPTIMIS…mementingkan kualiti dan menjual emas pada harga berpatutan.
Boleh dikatakan setiap kedai mempunyai kelebihan tersendiri, namun perniagaan dengan nama Haji MA Habib Mohamed Sdn Bhd ini mempunyai aura tersendiri.
Benarlah kata orang, keikhlasan serta kejujuran penting dalam sesebuah perniagaann. Daripada perniagaan kecil, syarikat ini berkembang menjadi Habib Corporation Berhad – petukang barang kemas Malaysia pertama disenaraikan di bursa saham pada 1998 di bawah kelolaan anak lelaki tunggal keluarga Habib.
Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987, Habib kini menjadi antara pelopor perniagaan barangan kemas dengan 24 cawangan seluruh negara, dua kilang di samping lebih 600 kakitangan terlatih dan profesional.
Mengakui bukan mudah berada pada tahap sekarang, Meer menjelaskan, paling penting dalam perniagaan adalah ikhlas dan jujur iaitu prinsip bapanya yang dipegang hingga kini.
“Dalam perniagaan, kami bukan hanya menjual barang tetapi pada masa sama menjadi perunding kepada pelanggan mengenai emas, permata dan berlian yang terbaik untuk mereka.
“Pada saya, jika mahu berniaga, kita harus melengkapkan diri dengan pengetahuan supaya mudah menjadi rujukan kepada pelanggan apabila mereka memerlukan perkhidmatan tertentu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Habib di Ampang Point, Kuala Lumpur.
Mungkin juga reka bentuk terkini dan motif flora khas untuk wanita menyebabkan ia sering dikunjungi dan menjadi pilihan biarpun ada deretan kedai emas yang tidak kurang hebatnya.
Selain itu, layanan baik dan ikhlas menyebabkan jenama Habib kekal utuh hingga kini dengan pelanggannya daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Ramai beranggapan produk Habib hanya untuk golongan kaya dan ternama. Sebenarnya produk Habib untuk semua. Kami menjual emas, permata dan berlian dengan kualiti antarabangsa berserta harga berpatutan.
“Habib Jewels mementingkan kualiti dan rekaan berlian terkini dalam usaha memastikan ia memperoleh pengiktirafan antarabangsa.
“Melalui pengiktirafan antarabangsa, Habib Jewels menjadi entiti perniagaan yang dipercayai pelanggan, termasuk di Eropah, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.
Semangat kerja profesional dan mementingkan mutu rekaan serta kajian pasaran yang berterusan menjadikan syarikat itu bertahan dan pesaing yang kompetitif dalam industri ini hingga disenaraikan sebagai perniagaan berasaskan hiasan berlian terbesar Malaysia.
Bagi terus memperkukuhkan jenama dan memperkembangkan rantaian perniagaan, Habib Jewels turut menjalin kerjasama dengan pengeluar berlian hiasan antarabangsa seperti koleksi Queen’s Heart dan Hearts on Fire daripada Amerika Syarikat di samping menyertai pameran perdagangan, termasuk di Asia Barat dan Eropah.
Ditanya mengenai persaingan yang semakin sengit serta kewujudan banyak kedai emas seperti cendawan tumbuh lepas hujan, Meer mempunyai pandangan dan cara tersendiri menangani isu berkenaan.
“Tidak dinafikan, untuk mencapai tahap seperti sekarang, kerja keras sangat diperlukan selain kejujuran. Yang membezakan Habib dengan jenama lain adalah kami tidak sekadar menjual, sebaliknya memberi rundingan kepada pelanggan.
“Disebabkan itu, tidak hairan kami mempunyai pelanggan setia kerana yakin mutu dan kualiti ditawarkan terhadap mereka.
“Kami juga akan cuba membantu apa yang termampu untuk pelanggan mencapai kepuasan apabila membeli barangan Habib,” katanya.
Sebagai syarikat terkemuka dalam industri barang kemas di Malaysia dan bidang kepakaran merangkumi pemborongan, jualan, pengeluaran, pemasaran serta francais, Habib komited dan mampu menawarkan berlian kualiti bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan.
Selain menjual barang kemas dan berlian, Habib menubuhkan pajak gadai berteraskan syariah bercagarkan emas dan berlian, Ar-Rahnu Time Zone Sdn Bhd, (Ar-Rahnu).
Pajak gadai ini diharap dapat membantu masyarakat yang memerlukan kewangan selain membeli balik barangan kemas yang mungkin tidak ditawarkan di tempat lain. Ia diwujudkan khas bagi memberi kemudahan kepada pelanggan, terutama yang terdesak memerlukan wang.
Ar-Rahnu Time Zone adalah 100 peratus milik Habib Jewels dan beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan cawangan di Ampang.
Lumrah berniaga pasti ada pasang surutnya. Syarikat itu tidak terkecuali menghadapi situasi berkenaan, namun dapat diatasi sebaik mungkin.
Menurut Meer, pekerja di Habib Jewels tidak hanya tertumpu kepada satu bidang bagi memastikan mereka menjadi pekerja serba boleh.
“Misalnya, pekerja bahagian perakaunan tidak hanya mengira keuntungan syarikat tetapi turut sama turun padang membuat jualan. Seperti saya, meskipun bergelar Pengarah Urusan, tetapi masih turun padang membuat jualan.
“Cara seperti ini bukan saja inisiatif terbaik menambah ilmu, tetapi juga dapat mengetahui keluhan atau bertukar-tukar pendapat dengan pelanggan mengenai produk yang mahu dibeli selain mendekatkan diri kepada mereka,” katanya.
Demi kepuasan pelanggan, Habib memberi 100 peratus komitmen meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi mengenal pasti kehendak pasaran dan berusaha bekerjasama dengan pereka antarabangsa mengeluarkan barang kemas bertaraf dunia khusus untuk pasaran domestik dan luar negara.


BENAR Ungkapan itu menggambarkan fenomena membimbangkan anak masa kini – ibu bapa yang meniti usia emas tidak lagi dijaga dan dipedulikan zuriat mereka. Malah ada anak yang berkemampuan dan hidup mewah tergamak menghantar ibu bapa mendiami rumah perlindungan warga tua.kata orang, seorang ibu atau bapa mampu menjaga ramai anak tetapi tidak semestinya budi baik itu dibalas anak mereka apabila dewasa kelak.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norani Mohd Hashim ketika ditemui berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir anak generasi sekarang yang mengabaikan orang tua sebaik dewasa.
“Daripada pemerhatian, kami mendapati jumlah penghuni warga emas di rumah perlindungan ini meningkat saban hari. Situasi ini membuatkan saya terkilan dengan tingkah laku anak zaman sekarang terhadap ibu bapa mereka.
“Lebih membimbangkan, daripada statistik terkini, peratusan tertinggi daripada jumlah penghuni di semua rumah perlindungan warga emas ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Berbanding 10 tahun lalu, bangsa Melayu mencatat tidak sampai lima peratus. Itulah kenyataan pahit yang terpaksa pihak kami telan apabila mengenang sikap anak zaman sekarang,” katanya.
Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), warga emas ialah individu berumur 60 tahun ke atas.
Mereka yang tergolong dalam definisi itu layak mendapat perhatian JKM.
Norani berkata, JKM menyediakan 11 pusat perlindungan seluruh negara membabitkan dua institusi iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE).
RSK didirikan untuk golongan warga emas mampu mengurus diri serta masih sihat, manakala RE untuk golongan warga emas yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantu mereka mengurus diri dan terlantar sakit.
“Penghuni di dua institusi ini daripada pelbagai latar belakang. Tumpuan ialah kepada mereka yang tiada waris dan miskin tetapi sedihnya, ada kes diterima membabitkan anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa kerana menyusahkan.
“Ibu bapa sakit memerlukan jagaan rapi dan kos perubatan tinggi antara alasan diberi anak mereka apabila menyerahkan orang tua untuk dijaga pihak JKM. Ada juga kes ibu bapa sukarela datang ke pihak kami memohon perlindungan kerana diabai anak,” katanya.
Beliau berkata, konsep terabai bermaksud mereka tidak diberi makan dan minum, malah ketika sakit, anak mereka tidak menjenguk dan membiarkan ibu bapa yang tua tidak mendapat bantuan perubatan.
“Pengabaian bukan saja daripada segi keperluan asas, tetapi tidak memberi perhatian dan kasih sayang juga dianggap sebagai pengabaian kepada ibu bapa mereka.
“Ini kerana warga emas mempunyai emosi sangat sensitif. Kadangkala ciri emosi ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran berkomunikasi dan berbaik dengan anak mahupun menantu. Jadi mereka lebih senang memilih berada di rumah perlindungan,” katanya.
Norani berkata, sehingga Jun tahun ini, ada 2,084 penghuni warga emas di seluruh Malaysia iaitu 1,847 di RSK dan 237 di RE.
Katanya, nilai peratusan peningkatan ini dianggap tinggi bagi JKM iaitu peningkatan 13.7 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, JKM menerima kehadiran penghuni lelaki lebih tinggi iaitu 1,247 orang berbanding penghuni wanita hanya 837 orang.
Kajian awal mendapati, punca ramai penghuni lelaki mendiami rumah institusi warga emas kerana sejarah silam hubungan bapa dan anak tidak baik.
Malah segelintir penghuni mendakwa sewaktu muda mereka mengabaikan anak, menyebabkan mereka disingkir daripada keluarga anak masingmasing.
“Bantuan menempatkan warga emas di pusat jagaan JKM bukan bermaksud mengganti peranan anak tetapi sekadar membantu memelihara hak mereka tatkala institusi keluarga gagal menjaga kebajikan ahlinya.
“Sebenarnya JKM turut menyediakan saluran alternatif bagi mereka yang miskin menjaga ibu bapa menerusi bantuan warga emas sebanyak RM300 sebulan. Kami mahu ibu bapa tua menikmati sisa kehidupan masih ada bersama anak menantu dan cucu.
“Bayangkan kita sendiri seperti mereka, sudah pasti kehidupan diingini ialah bersama keluarga sehingga akhir hayat. Bukan kemewahan dan harta benda diharapkan, cuma tempat untuk menumpang kasih diidamkan oleh golongan ini,” katanya.
KECANTIKAN merupakan perkara yang subjektif malah ia menjadi impian setiap insan yang bergelar wanita.
Bagi mereka yang dilahirkan jelita, ia merupakan satu bonus tetapi bagi yang kurang sempurna, pelbagai produk kecantikan dan solekan menjadi pilihan untuk tampil seperti yang diimpikan.
Maka tidak hairan hari ini sekiranya di pasaran terdapat pelbagai jenis dan jenama produk kecantikan dalam usaha merealisasikan impian setiap wanita untuk kelihatan cantik.
Salah satu produk yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat hari ini ialah sabun ‘jongkong emas’ keluaran Zmasha Marketing Resources.
Berfungsi sebagai antipenuaan, mencerah, melembap dan merawat, sabun ini sememangnya dicipta khas untuk menjaga kebersihan wajah yang sebenar.
Dijadikan sebagai pencucian asas sehari dua kali dan dijadikan masker seminggu sekali selama lima minit, ia membuatkan wajah kelihatan bersih berseri dan cerah sekata.
Menurut Pengarah Urusan ZZ Beauty Slim Healthy, Aziela Che Nor, sabun tersebut dirumus khas dan diperkaya dengan ekstrak semula jadi berupaya membersih kulit dengan lembut sambil mengekalkan lembapan asli tanpa menjejaskan struktur kulit.
“Sabun ini mengandungi 24K emas tulen, 99.9 peratus serpihan hablur emas tulen yang padat dan bentuknya yang unik seperti ‘jongkong emas’ membuatkan ia istimewa untuk merawat dan kebersihan wajah yang sebenar.
“Dengan formula pelbagai fungsi, ia turut melindungi sistem pemuliharaan kulit serta mengurangkan kedutan, meningkatkan kelembapan dan merangsang pemulihan kulit.
“Insya-Allah, kulit akan sihat berseri apabila ia berada pada tahap kesihatan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini pada majlis memperkenalkan duta produk Zmasha di Kuala Lumpur.
Pada majlis tersebut, artis tanah air Emma Akma dan Jaafar Onn telah dilantik sebagai duta sabun ‘jongkong emas’ Zmasha.
Pemilihan mereka adalah berdasarkan masalah kulit yang dihadapi selain faktor usia.
Mengulas lanjut mengenai sabun ‘jongkong emas’ keluarannya syarikatnya, Aziela memberitahu bahawa hablur emas yang digunakan di dalam sabun tersebut diimport dari Perancis.
Selain hablur emas, sabun ‘jongkong emas’ turut mengandungi bahan-bahan seperti lemon dan soya.
“Teknologi ekstrak emas 24K membantu mengurangkan kedutan dan meningkatkan kolegen untuk keanjalan kulit.
“Emas mempunyai antioksidan yang tinggi dan mampu menggalakkan penyerapan molekul oksigen ke dalam kulit dan membolehkan fungsi selular berada pada tahap paling tinggi.
“Selain itu, bahan seperti lemon adalah untuk mencerahkan kulit, menutup pori-pori dan juga vitamin C yang diperlukan oleh kulit.
“Sama juga seperti lemon, kacang soya turut berfungsi untuk garis-garis halus, kedut dan melembutkan kulit,” katanya lagi.
Walaupun hanya berada di pasaran sekitar Februari lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan hingga hari ini stokis keseluruhan adalah seramai 150 orang yang meliputi seluruh negara.

KOTA BHARU – Kenaikan harga emas menyebabkan para peniaga emas di sini berdepan dengan keperitan ekoran jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak awal tahun ini.
Tinjauan Kosmo! petang semalam mendapati kebanyakan kedai emas yang beroperasi di bandar ini lengang dan kurang dikunjungi pelanggan.
Seorang penjual emas, Normalina Ahmad, 38, memberitahu, keadaan kini sangat jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu apabila kedai emas menjadi tumpuan ramai.
“Satu ketika dulu, 20 pelanggan datang membeli barang kemas setiap hari. Sekarang ini cuma tiga hingga empat pelanggan sehari dan kami lebih banyak duduk termenung di kedai.
“Ia bukan sahaja kerana harga emas naik, tapi juga disebabkan kaum wanita takut memakai barang kemas kerana bimbang diragut,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan harga emas diramal melambung tinggi dan bakal mencecah harga RM4,840 satu auns (28.3 gram) pada tahun ini.
Harga emas naik secara berterusan sejak 2001 dan mencapai paras tertinggi iaitu RM4,472.23 satu auns pada Januari lalu gara-gara kebimbangan pelabur terhadap kadar inflasi kejatuhan nilai dolar serta kekacauan di Asia Barat.
Seorang lagi peniaga kedai emas, Nani Ali, 36, berkata, walaupun harga emas naik namun ia tidak memberi keuntungan kepada peniaga komoditi itu.
“Apabila harga naik, orang tak mahu datang beli. Kebanyakan peniaga emas pening kepala dan kalau keadaan ini berterusan, mungkin ada yang terpaksa tutup kedai,” katanya.
AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.
Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.
Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah’: 278-279)
Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.
Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)
Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.
Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.
Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).
Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.
Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)