dimana silapnya warga emas

Dimana silapnya warga emas?

dimana silapnya warga emas

BENAR Ungkapan itu menggambarkan fenomena membimbangkan anak masa kini – ibu bapa yang meniti usia emas tidak lagi dijaga dan dipedulikan zuriat mereka. Malah ada anak yang berkemampuan dan hidup mewah tergamak menghantar ibu bapa mendiami rumah perlindungan warga tua.kata orang, seorang ibu atau bapa mampu menjaga ramai anak tetapi tidak semestinya budi baik itu dibalas anak mereka apabila dewasa kelak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norani Mohd Hashim ketika ditemui berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir anak generasi sekarang yang mengabaikan orang tua sebaik dewasa.

“Daripada pemerhatian, kami mendapati jumlah penghuni warga emas di rumah perlindungan ini meningkat saban hari. Situasi ini membuatkan saya terkilan dengan tingkah laku anak zaman sekarang terhadap ibu bapa mereka.
“Lebih membimbangkan, daripada statistik terkini, peratusan tertinggi daripada jumlah penghuni di semua rumah perlindungan warga emas ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Berbanding 10 tahun lalu, bangsa Melayu mencatat tidak sampai lima peratus. Itulah kenyataan pahit yang terpaksa pihak kami telan apabila mengenang sikap anak zaman sekarang,” katanya.

Mengapa trend ini berlaku? Di mana silapnya hinggakan anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang dan perhatian tergamak mengabaikan ibu atau bapa apabila dewasa.

Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), warga emas ialah individu berumur 60 tahun ke atas.

Mereka yang tergolong dalam definisi itu layak mendapat perhatian JKM.
Norani berkata, JKM menyediakan 11 pusat perlindungan seluruh negara membabitkan dua institusi iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE).
RSK didirikan untuk golongan warga emas mampu mengurus diri serta masih sihat, manakala RE untuk golongan warga emas yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantu mereka mengurus diri dan terlantar sakit.
“Penghuni di dua institusi ini daripada pelbagai latar belakang. Tumpuan ialah kepada mereka yang tiada waris dan miskin tetapi sedihnya, ada kes diterima membabitkan anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa kerana menyusahkan.
“Ibu bapa sakit memerlukan jagaan rapi dan kos perubatan tinggi antara alasan diberi anak mereka apabila menyerahkan orang tua untuk dijaga pihak JKM. Ada juga kes ibu bapa sukarela datang ke pihak kami memohon perlindungan kerana diabai anak,” katanya.
Beliau berkata, konsep terabai bermaksud mereka tidak diberi makan dan minum, malah ketika sakit, anak mereka tidak menjenguk dan membiarkan ibu bapa yang tua tidak mendapat bantuan perubatan.
“Pengabaian bukan saja daripada segi keperluan asas, tetapi tidak memberi perhatian dan kasih sayang juga dianggap sebagai pengabaian kepada ibu bapa mereka.
“Ini kerana warga emas mempunyai emosi sangat sensitif. Kadangkala ciri emosi ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran berkomunikasi dan berbaik dengan anak mahupun menantu. Jadi mereka lebih senang memilih berada di rumah perlindungan,” katanya.
Norani berkata, sehingga Jun tahun ini, ada 2,084 penghuni warga emas di seluruh Malaysia iaitu 1,847 di RSK dan 237 di RE.
Katanya, nilai peratusan peningkatan ini dianggap tinggi bagi JKM iaitu peningkatan 13.7 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, JKM menerima kehadiran penghuni lelaki lebih tinggi iaitu 1,247 orang berbanding penghuni wanita hanya 837 orang.
Kajian awal mendapati, punca ramai penghuni lelaki mendiami rumah institusi warga emas kerana sejarah silam hubungan bapa dan anak tidak baik.
Malah segelintir penghuni mendakwa sewaktu muda mereka mengabaikan anak, menyebabkan mereka disingkir daripada keluarga anak masingmasing.
“Bantuan menempatkan warga emas di pusat jagaan JKM bukan bermaksud mengganti peranan anak tetapi sekadar membantu memelihara hak mereka tatkala institusi keluarga gagal menjaga kebajikan ahlinya.
“Sebenarnya JKM turut menyediakan saluran alternatif bagi mereka yang miskin menjaga ibu bapa menerusi bantuan warga emas sebanyak RM300 sebulan. Kami mahu ibu bapa tua menikmati sisa kehidupan masih ada bersama anak menantu dan cucu.
“Bayangkan kita sendiri seperti mereka, sudah pasti kehidupan diingini ialah bersama keluarga sehingga akhir hayat. Bukan kemewahan dan harta benda diharapkan, cuma tempat untuk menumpang kasih diidamkan oleh golongan ini,” katanya.

Jongkong emas anti-penuaan

KECANTIKAN merupakan perkara yang subjektif malah ia menjadi impian setiap insan yang bergelar wanita.

Bagi mereka yang dilahirkan jelita, ia merupakan satu bonus tetapi bagi yang kurang sempurna, pelbagai produk kecantikan dan solekan menjadi pilihan untuk tampil seperti yang diimpikan.

Maka tidak hairan hari ini sekiranya di pasaran terdapat pelbagai jenis dan jenama produk kecantikan dalam usaha merealisasikan impian setiap wanita untuk kelihatan cantik.

Salah satu produk yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat hari ini ialah sabun ‘jongkong emas’ keluaran Zmasha Marketing Resources.

Berfungsi sebagai antipenuaan, mencerah, melembap dan merawat, sabun ini sememangnya dicipta khas untuk menjaga kebersihan wajah yang sebenar.

Dijadikan sebagai pencucian asas sehari dua kali dan dijadikan masker seminggu sekali selama lima minit, ia membuatkan wajah kelihatan bersih berseri dan cerah sekata.

Menurut Pengarah Urusan ZZ Beauty Slim Healthy, Aziela Che Nor, sabun tersebut dirumus khas dan diperkaya dengan ekstrak semula jadi berupaya membersih kulit dengan lembut sambil mengekalkan lembapan asli tanpa menjejaskan struktur kulit.

“Sabun ini mengandungi 24K emas tulen, 99.9 peratus serpihan hablur emas tulen yang padat dan bentuknya yang unik seperti ‘jongkong emas’ membuatkan ia istimewa untuk merawat dan kebersihan wajah yang sebenar.

“Dengan formula pelbagai fungsi, ia turut melindungi sistem pemuliharaan kulit serta mengurangkan kedutan, meningkatkan kelembapan dan merangsang pemulihan kulit.

“Insya-Allah, kulit akan sihat berseri apabila ia berada pada tahap kesihatan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini pada majlis memperkenalkan duta produk Zmasha di Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, artis tanah air Emma Akma dan Jaafar Onn telah dilantik sebagai duta sabun ‘jongkong emas’ Zmasha.

Pemilihan mereka adalah berdasarkan masalah kulit yang dihadapi selain faktor usia.

Mengulas lanjut mengenai sabun ‘jongkong emas’ keluarannya syarikatnya, Aziela memberitahu bahawa hablur emas yang digunakan di dalam sabun tersebut diimport dari Perancis.

Selain hablur emas, sabun ‘jongkong emas’ turut mengandungi bahan-bahan seperti lemon dan soya.

“Teknologi ekstrak emas 24K membantu mengurangkan kedutan dan meningkatkan kolegen untuk keanjalan kulit.

“Emas mempunyai antioksidan yang tinggi dan mampu menggalakkan penyerapan molekul oksigen ke dalam kulit dan membolehkan fungsi selular berada pada tahap paling tinggi.

“Selain itu, bahan seperti lemon adalah untuk mencerahkan kulit, menutup pori-pori dan juga vitamin C yang diperlukan oleh kulit.

“Sama juga seperti lemon, kacang soya turut berfungsi untuk garis-garis halus, kedut dan melembutkan kulit,” katanya lagi.

Walaupun hanya berada di pasaran sekitar Februari lalu, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan hingga hari ini stokis keseluruhan adalah seramai 150 orang yang meliputi seluruh negara.

Kedai emas semakin lengang

KOTA BHARU – Kenaikan harga emas menyebabkan para peniaga emas di sini berdepan dengan keperitan ekoran jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

Tinjauan Kosmo! petang semalam mendapati kebanyakan kedai emas yang beroperasi di bandar ini lengang dan kurang dikunjungi pelanggan.

Seorang penjual emas, Normalina Ahmad, 38, memberitahu, keadaan kini sangat jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu apabila kedai emas menjadi tumpuan ramai.

“Satu ketika dulu, 20 pelanggan datang membeli barang kemas setiap hari. Sekarang ini cuma tiga hingga empat pelanggan sehari dan kami lebih banyak duduk termenung di kedai.

“Ia bukan sahaja kerana harga emas naik, tapi juga disebabkan kaum wanita takut memakai barang kemas kerana bimbang diragut,” katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan harga emas diramal melambung tinggi dan bakal mencecah harga RM4,840 satu auns (28.3 gram) pada tahun ini.

Harga emas naik secara berterusan sejak 2001 dan mencapai paras tertinggi iaitu RM4,472.23 satu auns pada Januari lalu gara-gara kebimbangan pelabur terhadap kadar inflasi kejatuhan nilai dolar serta kekacauan di Asia Barat.

Seorang lagi peniaga kedai emas, Nani Ali, 36, berkata, walaupun harga emas naik namun ia tidak memberi keuntungan kepada peniaga komoditi itu.

“Apabila harga naik, orang tak mahu datang beli. Kebanyakan peniaga emas pening kepala dan kalau keadaan ini berterusan, mungkin ada yang terpaksa tutup kedai,” katanya.

Awasi riba dalam pembelian emas

AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah’: 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Meninjau penghuni laluan emas

KVETA ZRUSTOVA, 91, masih ingat dengan jelas kenangan pada musim bunga tahun 1938 ketika dia memasuki sebuah rumah kecil di Laluan Emas terkenal di Prague untuk meminta nasihat daripada seorang tukang tilik, Madame de Thebes.

“Saya benar-benar takut ketika itu. Dia duduk di satu sudut dengan seekor kucing di atas bahunya,” kata Zrustova yang ketika itu berusia 18 tahun dan mahu meramal nasib mengenai peperiksaan sekolahnya.

Madame de Thebes, yang kemudian mati semasa disoal siasat Nazi selepas meramalkan kejatuhan Adolf Hitler adalah salah seorang daripada warna-warni kehidupan di jalan bersejarah tersebut.

Ditutup sejak awal tahun lalu, lorong yang telah diubah suai di Istana Prague dan merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di bandar itu dibuka semula pada awal bulan ini untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk mengintai kehidupan mereka yang pernah tinggal di situ.

Kebanyakan daripada 20 rumah kecil di sepanjang jalan tersebut telah berubah menjadi muzium kecil, dengan setiap perincian kepada penghuninya satu ketika dulu.

Hidup sederhana

“Tujuannya adalah untuk menunjukkan pelawat mengenai hidup orang biasa yang tinggal dan bekerja di sini, seolah-olah mereka baru saja meninggalkannya,” kata ahli sejarah, Pavel Jiras yang bertanggungjawab atas perubahan yang dilakukan.

SEBAHAGIAN besar rumah di Laluan Emas diubah suai menjadi muzium kecil.

 

Rumah-rumah tersebut dibina sebagai pengukuhan kubu berasaskan dekri yang dikeluarkan oleh Maharaja Jerman dan Raja Czech, Rudolph II (1552-1612).

“Tukang jahit, tabib herba dan tukang emas. Setiap rumah ada sejarah tersendiri.

“Terdapat keindahan dalam kehidupan mereka yang serba sederhana. Magis misteri yang nyata berbeza dengan era agresif dan kejam kita,” kata Jiras.

Tidak seperti yang diceritakan dalam legenda dan sering diuar-uarkan berterusan oleh pemandu pelancong, jalan itu tidak pernah menempatkan ahli kimia yang diupah Rudolph II untuk cuba menukarkan plumbum kepada emas.

Penghuni Laluan Emas termasuklah Franz Kafka (1883-1924), penulis Yahudi kelahiran Prague yang mencari inspirasi di situ dari tahun 1916 hingga 1917.

“Di rumah nombor 22, Kafka menulis naratif yang muncul dalam cerita ringkas berjudul A Country Doctor.

“Apa yang tidak diketahui oleh ramai orang ialah Kafka juga sebenarnya adalah seorang ilustrator,” kata pengurus kedai buku yang ditempatkan di situ, Gabriela Cinkova, sambil menunjukkan sebuah buku kecil dengan lukisan penulis di sebelah novel terkenalnya Amerika: The Missing Person, The Trial dan The Castle.

Ribuan filem

Rumah nombor 12 pernah dihuni oleh sejarawan Josef Kazda yang berjaya menyelamatkan ribuan filem Czech daripada dimusnahkan oleh Nazi.

Sementara rumah nombor 15 diubah suai menjadi rumah tukang emas sebagai memori kepada sejumlah mereka yang mencari rezeki dengan profesion tersebut selama berkurun lamanya sehingga ia turut digelar Laluan Tukang Emas.

HIASAN dalaman rumah dijaga baik seolah-olah penghuninya baru sahaja meninggalkan rumah tersebut.

 

“Anda dapat melihat bengkel tukang emas sebenar dengan kesemua peralatan yang diperlukan,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan di Istana Prague, Frantisek Kadlec.

Katanya, peralatan tersebut dihadiahkan oleh sebuah keluarga Czech yang mendengar laporan radio mengenai pengubahsuaian tersebut dan memutuskan untuk menyumbangkannya selepas ia diwarisi daripada seorang anggota keluarga yang meninggal pada tahun 2009.

Di rumah nombor 26 yang pernah didiami oleh tukang jahit turut memaparkan gambar kekasihnya dalam pakaian seragam tentera Austria yang dirakamkan sebelum dia terbunuh dalam Perang Dunia Pertama.

Perangkap komersial

Penghuni terakhir terpaksa meninggalkan Laluan Emas tidak lama selepas komunis mula berkuasa di negara bekas Czechoslovakia itu pada tahun 1948.

Rejim totalitarian digulingkan pada tahun 1989. Empat tahun kemudian negara itu berpecah kepada Republik Czech dan Slovakia.

Dengan berkembangnya kapitalisme, pengkritik mendakwa laluan itu menjadi perangkap komersial secara melampau.

Namun bagi Pengarah Pejabat Pentadbiran di Istana Prague, Ivo Velisek menegaskan, Laluan Emas kini adalah lebih baik selepas menjalani pengubahsuaian paling besar yang pernah dibuat.

“Untuk satu jangka masa yang panjang kita pernah mempunyai penghuni tetap iaitu sepasang burung hantu. Ia meninggalkan kawasan ini lima tahun lalu, mungkin kerana merasakan tempat ini sudah tidak sesuai didiami.

“Tetapi kedua-duanya datang semula pada musim bunga seolah-olah untuk memberitahu kami yang Laluan Emas sudah kembali hidup,” katanya.

Jangan ditipu tauke emas

PERCAYA atau tidak, kira-kira 90 peratus masyarakat di negara ini langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang nilai dan kandungan emas. Tetapi mereka ini adalah antara pengunjung setia kedai-kedai barang kemas.

Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan ini, selain pusat membeli-belah kedai yang menjual barang kemas juga turut sesak. Setiap orang mahu tampil dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang baru menjelang perayaan Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Cantik Jewellery Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Habib Jewels, Abdul Razak Abdul kadir berkata, disebabkan sebahagian besar pengguna tidak mempunyai pengetahuan tentang nilai dan kandungan emas sebelum membeli atau menjualnya maka mereka mudah ditipu.

Mereka mudah diperdaya oleh tauke-tauke kedai emas yang tidak berprinsip dan mengejar keuntungan semata-mata. Bagaimanapun, jika mereka memilih rangkaian kedai emas milik Habib Jewels untuk menjual aset itu, jaminan pulangan terbaik diberikan kerana emas milik mereka akan dinilai mengikut kadar sebenar.

Jelas Abdul Razak, selain digunakan sebagai perhiasan diri, emas juga boleh dijadikan aset pelaburan yang menguntungkan.

“Melalui cash for gold di semua rangkaian Habib Jewels dan Cantik Jewellery, mereka boleh mendapat harga jualan emas pada harga 90 peratus daripada nilai pasaran atau RM20 (satu gram) lebih tinggi berbanding kedai lain.

“Kami berusaha membantu pelanggan-pelanggan khususnya orang Melayu dengan menyediakan alternatif jika mereka memerlukan wang.

“Pajak gadai yang sebelum ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian bagi masalah kewangan mengambil emas dengan kadar murah dan mengenakan sejumlah bayaran tertentu bagi mendapatkannya semula dan ia dikira satu penipuan dan penindasan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Harga emas pernah naik sehingga 210 peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dan sejak awal tahun ini ia mencatatkan kenaikan 25 peratus dan kemungkinan akan terus meningkat memandangkan harga dolar Amerika Syarikat kini jatuh merudum.

Bagi tujuan itu, Habib Jewels memperkenalkan kepingan emas atau gold bar 999 yang dibentuk mengikut berat tertentu sebagai aset pelaburan.

Katanya, kepingan emas itu boleh dijual pada bila-bila masa dan di mana sahaja di seluruh dunia kerana jenis kepingan emas yang dijual itu mempunyai nilai pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, kepingan emas itu boleh didapati di dua buah kios syarikat itu yang baru diwujudkan dua bulan lalu di Pejabat Pos Besar Menara Dayabumi, Kuala Lumpur dan cawangan Pos Malaysia di Gombak, Selangor.

“Kami berhasrat mewujudkan kios di semua pejabat pos seluruh negara sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Tambah Abdul Razak, kepingan emas itu juga boleh disimpan di rangkaian pajak gadai Islam, Habib Arrahnu sekiranya mereka takut kehilangan aset tersebut jika disimpan sendiri.

“Aset mereka bukan sahaja dilindungi dan dijamin selamat serta diberi insurans, malah layak mendapat pinjaman 75 peratus daripada nilai aset yang disimpan,” katanya.

Pesta mendulang emas di Johor

mendulang-emas

JOHOR BAHRU – Bagaikan pesta keramaian apabila ratusan penduduk membanjiri Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee dekat sini apabila kawasan berkenaan didakwa mempunyai emas.

Tinjauan Sinar Harian semalam, mendapati lebih 50 individu pelbagai peringkat umur tekun mendulang apabila kawasan di situ dimaklumkan mengandungi bahan berharga berkenaan.

Kehadiran butir-butir yang dikatakan emas itu disedari sejak seminggu lalu selepas salah seorang penduduk di situ mendakwa menemui ketulan batu yang mengandungi hablur emas.

Ketulan batu di kawasan berkenaan sebenarnya dilonggokkan di situ dari tiga lori bagi projek membina sistem saliran yang terletak kurang tiga meter dari situ.

Keghairahan penduduk di situ semakin luar biasa apabila batu yang bersinar keemasan dan lebih berat daripada batu biasa itu dikatakan emas yang belum diproses dan telah disahkan oleh beberapa pemilik kedai emas.

Berita mengenai lubuk emas itu menarik individu dari luar kawasan terbabit yang tidak melepaskan peluang sanggup datang dari Pontian dan Mersing.

Penduduk yang ditemui, Maimun Mohd Warti, 43, berkata, dia mengetahui mengenainya melalui seorang penduduk yang menyedari longgokan tanah di hadapan rumahnya itu berkilauan seperti emas.

“Saya bertanya kepadanya mencari apa, dia cakap, batu aquarium, namun keadaan semakin pelik apabila semakin ramai orang yang datang ke kawasan itu dan akhirnya baru saya dimaklumkan longgokan batu itu mengandungi emas.

“Pada mulanya memang seakan tidak percaya tetapi apabila diteliti batu tersebut berkilau dan berwarna keemasan.

“Ada individu yang telah bertanya ke kedai emas mengenai kesahihan batu tersebut dan disahkan ia emas yang masih muda.

“Sejak itu orang ramai mula berkampung di sini dari jam 8 pagi hingga awal pagi, semata-mata untuk mencari emas,” katanya.

Manakala bagi seorang penjawat awam, Shahrizal Mohd, 30, beliau menghabiskan masa hampir 12 jam sehari bagi mencari emas di situ dan kini menyimpan hampir setengah kilogram batu yang dipercayai emas.

“Saya tidak peduli apa tanggapan orang ramai dan saya percaya ini bukan kerja sia-sia, jika ia benar-benar emas, alangkah bertuahnya.

“Saya telah menelefon tukang lebur emas dari Pulau Pinang dan dijangka akan sampai ke sini dua, tiga hari ini, dan saya hanya akan berhenti mencari emas ini apabila disahkan batu yang kami temui ini bukan emas sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang datang dari luar kampung itu, Fadilah Sabtu, 25, berkata, beliau mula berkampung di situ sejak dua hari lalu.

“Saya dimaklumkan mengenai ketulan emas ini dari seorang rakan, sejak itu saya teruja untuk mencari emas yang dimaksudkan.

“Saya akan terus mencari selagi ada,” katanya.

Sinar Harian difahamkan kehadiran orang ramai akan bertambah menjelang petang hingga lewat malam apabila malam proses mencari batu berkilau itu lebih mudah.

Kewajipan kepada pemilik barang kemas -Islam

MEMANG fitrah manusia sentiasa tertarik epada harta dan suka mengumpulnya. Malah manusia tidak pernah puas dalam mengejar harta kekayaan. Hakikatnya, tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang kecintaan dalam mengejar harta kecuali kematian.

Allah turut merakamkan kecintaan manusia kepada harta benda dalam firman-Nya yang bermaksud: Dijadikan indah pada (pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga). (ali-Imran: 14).

Hakikatnya ramai yang alpa atau buat-buat terlupa bahawa harta yang dimiliki itu sebenarnya hak Allah SWT. Hak kita hanyalah sebagai ‘pengurus’ atau ‘penjaga’ yang pastinya akan ditanya dari mana harta itu dan ke mana ia dibelanjakan.

Oleh itu, janganlah sekali-kali menganggap harta yang dimiliki hak mutlak kita dengan berbelanja sesuka hati termasuk ke jalan kemaksiatan dan kemungkaran.

Islam tidak menganggap kekayaan sebagai penghalang untuk berbakti kepada agama dan meningkatkan mutu ibadat serta mendekatkan diri kepada Allah.

Bahkan, Islam menyuruh umatnya mencari sebanyak mungkin harta. Syaratnya, jangan sampai lalai daripada mengingati Allah SWT.

Malah, dalam al-Quran banyak disebutkan ayat yang menyeru umat Islam untuk mencari rezeki dan berusaha di atas muka bumi ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (al-Mulk: 15)

Manakala dalam surah al-Jumu’ah ayat 10 pula Allah SWT menuntut kita mencari dan mengumpulkan harta.

Malahan Rasulullah sentiasa berdoa agar dimasukkan dari kalangan orang yang kaya dan dijauhkan daripada kemiskinan dan kefakiran.

Yang pastinya, Islam tidak menyuruh umatnya hidup dalam keadaan miskin dan sentiasa mengharap simpati orang.

Persepsi yang menyebutkan bahawa jika ingin menjadi hamba yang soleh mestilah hidup dalam keadaan miskin bukanlah syiar Islam.

Ini pernah ditegaskan dalam buku karangan ulama terkenal, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi bertajuk Masalah Dalam Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya.

Dalam buku itu beliau mengatakan kemiskinan boleh membawa seseorang melakukan perkara yang menjejaskan akidah serta merbahaya kepada pemikiran, akhlak, masyarakat dan negara.

Untuk memastikan wujud keadilan antara yang miskin dan kaya, maka terdapat mekanisme zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam yang ada kemampuan.

Bagi zakat harta ia turut termasuk zakat emas terutama bagi golongan wanita yang suka berhias dan memakai barangan perhiasan daripada emas dan perak.

Malah ada yang yang menjadikan pembelian perhiasan emas dan perak sebagai satu hobi dan kemestian.

Sedangkan tanpa disedari di sebalik hobi atau kemestian sebenarnya ada kewajipan yang perlu diberi perhatian.

Eksekutif Zakat PPZ-MAIWP, Ahmad Husni Abd. Rahman memberitahu, kesedaran umat Islam di negara untuk mengeluarkan zakat emas dan perak menampakkan peningkatan.

“Ramai yang sudah mula sedar kewajipan berzakat dan menunaikannya. Ini dilihat menerusi statistik dari segi penambahan bilangan pembayar individu, syarikat dan sebagainya serta bilangan kutipan yang meningkat.

“Walaupun ada kesedaran yang baik tetapi masih perlu diusahakan kerana pasaran emas bukan lagi terhad kepada emas perhiasan atau emas yang disimpan dalam bentuk klasik semata-mata bahkan sudah melebar luas kepada emas dalam bentuk perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika ditemui selepas bengkel Kilauan Firdausi anjuran Pusat Pengutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Felda Holdings Berhad dan Habib Jewels Sdn. Bhd.

Ujar Ahmad Husni, kebiasaannya bagi emas yang disimpan, tidak banyak isu yang dibincangkan.

Perkara yang sering menimbulkan persoalan sama ada wajid berzakat atau tidak ialah yang membabitkan emas yang digadai dan yang dipakai sebagai perhiasan.

Yang pertama terdapat pandangan yang mewajibkan zakat terhadap emas yang dipakai.

Pandangan ini dikeluarkan oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Amr bin ‘Ash, Sa’id bin al-Musayyab, Sa’id bin Jabir, ‘Atha’, Mujahid dan lain-lain lagi. Mazhab Hanafi, Zahiri dan Zaidiyah juga menyokong pendapat ini.

Kedua, pendapat yang mengatakan tidak wajib zakat ke atas emas yang dipakai sebagai perhiasan sebagaimana yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Umar, Aisyah, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, Asma binti Abu Bakr dan beberapa orang lagi. Mazhab Maliki, Hambali dan pendapat yang ketara daripada Syafie dan Ja’fariyyah juga mendokong pendapat kedua ni.

Kata Ahmad Husni, setelah dilihat dan dikaji, kewajipan zakat emas yang dipakai ini dilihat kepada persoalan uruf (kebiasaan pemakaian) masyarakat setempat.

Jika ia melebihi keperluan, maka dianggap sebagai sesuatu yang bersifat berlebih-lebihan dan keluar dari norma keseimbangan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: Yang lebih daripada keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.

Maka lebihan daripada uruf tersebut wajar dizakatkan. Uruf emas perhiasan di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 150 gram.

Isu lain kata Ahmad Husni, adalah berkaitan nilaian untuk kiraan emas, sama ada dinilai secara purata atau mengikut harga semasa.

Perkara ini katanya, masih dalam perbincangan yang akan diumumkan keputusannya.

Melihat kepada nilai emas yang semakin tinggi menyebabkan emas bukan sahaja terhad sebagai barang perhiasan tetapi telah digunakan untuk pelaburan.

Jelas Ahmad Husni, emas pelaburan wajib dizakatkan. Ini berdasarkan kaedah fiqh dalam bab zakat dinyatakan: “Setiap harta yang berkembang atau mempunyai potensi pengembangan dan produktif, maka ia adalah tabungan untuk zakat.”

Justeru, kecenderungan menjadikan emas sebagai komoditi harus dilihat kaedah zakatnya. Ia mungkin bukan lagi dalam bentuk emas itu sendiri secara fizikal tetapi lebih kepada pergerakan pelaburan yang mirip kepada zakat perniagaan.

Mengulas tindakan mereka yang lari daripada kewajipan menunaikan zakat, Ahmad Husni berkata, apabila seseorang itu telah mampu dan telah wajib untuknya mengeluarkan zakat tetapi dia melewatkan pengeluaran zakat maka terdapat dua kesan ke atas dirinya:

lBerdosa kerana dia dengan niat sengaja melewatkan pembayaran dan menjadi penghalang orang fakir untuk mendapatkan haknya.

lHak ganti rugi fakir miskin terhadap ‘ain harta yang diwajibkan zakat walaupun semua hartanya musnah. Ini kerana dia sengaja melewatkannya tanpa alasan dan dia terpaksa menanggung risiko kelalaiannya demi menjaga kepentingan orang yang berhak.

Harga Emas Bakal Naik Lebih Tinggi

Emas adalah logam berharga yang dicari untuk membuat syiling, barang kemas dan hasil seni sejak zaman dahulu lagi. Logam yang secara aslinya boleh didapati di dalam bentuk ketulan kecil dalam batuan ini adalah logam emas yang padat, lembut, berkilat dan merupakan logam asli yang paling mudah ditempa dan di mulur.

Pada 2009, sebanyak 165,000 tan emas dilombong. Jumlah ini adalah lebih kurang sama dengan 5.3 bilion auns atau kira-kira 8.500m dari segi isi padu air. Penggunaan emas di dunia ialah sekitar 50 peratus untuk barang kemas, 40 peratus untuk pelaburan dan 10 peratus untuk kegunaan dalam industri.

Pelaburan emas 2011

Dalam nilai pasaran AS$, harga emas meningkat kepada 50 peratus pada 2007, 22 peratus pada 2009 dan 27 peratus pada 2010, atau dalam erti kata lain, purata kenaikan adalah 24 peratus setahun antara 2007 hingga 2010. Kenaikan nilai harga emas ini dijangka akan terus naik pada 2011 sejajar dengan kenaikan harga komoditi yang lain.

Namun, kenaikan harga emas pada 2011 dilihat akan lebih sederhana iaitu kira-kira AS$1,500 satu auns. Hal ini mungkin kerana, hampir semua negara lebih menumpukan dalam mengukuhkan ekonomi masing-masing.

Antara agenda yang dilakukan ialah mengurangkan kadar pengangguran adalah perkara paling penting untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sesebuah negara itu.

Selain itu, kegagalan mengukuhkan posisi ekonomi pada hari ini hanya akan mengakibatkan negara tersebut ketinggalan apabila keadaan ekonomi kembali pulih mulai tahun 2015 atau seawal 2013.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia pada 6 Januari lalu turut menyiarkan, harga emas bakal mencecah paras USD 1500 (RM4650) untuk satu auns pada tahun ini. Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan dari Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.

Menurutnya, peningkatan harga emas itu dijangka berlaku berikutan keadaan semasa dan permintaan yang berterusan di pasaran.

Tahun lalu, harga emas bagi satu auns ialah kira-kira AS$1,400 (RM 4,340), dan pada hari terakhir 2010, harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4,406.34) untuk satu auns dan naik 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penganalisis turut menjangkakan trend peningkatan harga ini akan berterusan tahun ini kerana emas adalah komoditi paling baik dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.

Secara tradisinya, ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai yang sering digunakan sebagai mekanisme untuk melindungi nilai terhadap deflasi.

Dinar emas

Pada 1998, Kerajaan Malaysia mencadangkan penggunaan emas sebagai mata wang perdagangan dunia seperti mana yang diperkenalkan ketika zaman Rasulullah S.A.W dahulu.

Pemilihan emas ini adalah kerana sifat kimianya yang stabil dan nilainya yang tidak berubah. Selain itu, dinar emas juga diharap dapat menggantikan pergantungan dunia terhadap Dolar Amerika dan Euro.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang setempat, tetapi mata wang ini hanya akan digunakan sebagai mata wang perdagangan antara negara saja.

cara melombong emas

Impian Dunia Baru – Emas

cara melombong emasASAS EKONOMI… jongkong emas dalam bilik kebal Bank England yang menjamin kredibiliti perdagangan di negara itu.

KESEJUKAN pagi itu diselubungi kabus ketika Ketua Pegawai Eksekutif Scotgold, Chris Sangster, membuka kunci besi pintu jeriji sebelum dia melangkah masuk ke lif itu.

Lampu suluh kecil di topi keledar dipasang untuk membantu mereka melihat di dalam gelap.
Dalam jarak beberapa meter, lampu di pintu masuk semakin menghilang dan kumpulan dibawa Sangster itu terus ditelan kegelapan lombong emas itu.

  • YAKIN HIDUP BERUBAH… Kirk mencuba nasib mencari emas di antara kerikil sungai di kawasan Tyndrum menggunakan hanya peralatan asas.
  • HASIL LOMBONG… produk akhir yang hanya mengandungi kira-kira 37.5 peratus emas dan bernilai hampir RM575,000.

Selepas berjalan mengharung air yang menenggelamkan buku lali, mereka mula melihat ketulan kecil besi pirit, yang menyerupai emas, berkilau di terowong.
Ketika itu, mereka berada hampir 250 meter di bawah tanah.
Kata Sangster, kebanyakan emas di kawasan itu sangat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.Ditemui kali pertama pada 1985, lombong emas

Foto

Tyndrum itu ditinggalkan ketika harga bahan galian itu merudum awal abad ini.
Bagaimanapun, ketika nilainya kini kembali memuncak, Scotsgold bercadang memulakan operasi sekali lagi di situ tidak lama lagi.

Pejabat Scotsgold yang sederhana terletak di bangunan bekas stesen kereta api dan tidak membayangkan kekayaan bakal mereka peroleh di bawahnya.
Kata Sangster, peluang memperoleh emas sangat besar di kawasan itu.
“Data rasmi yang kami ada menunjukkan ada kira-kira 4,621 kilogram emas di sini dan nilai pasaran semasa adalah £184 juta (RM882 juta),” katanya.
Menjelang tahun depan, kata Sangster, nilai itu hampir pasti meningkat lebih tinggi.
Sejak 2008, harga emas naik dua kali ganda dan harga pasaran semasa di Britain adalah RM4,984 bagi setiap satu auns (28.3 gram).
Sebagai keperluan utama dalam pasaran pelaburan tradisional, termasuk bursa saham hingga hartanah, harga emas tidak pernah jatuh mendadak.
Ketika pasaran kewangan global terus bermasalah, wujud momentum “buruan emas” yang baru terus terbina.
Antara pihak yang terbabit dalam buruan itu termasuklah golongan kaya dan penjenayah jalanan.
Daripada cincin di jari hingga komponen telefon pintar dan wayar halus dalam pemproses komputer riba, emas menjadi bahan sangat berharga dalam kehidupan manusia.
Setakat ini, kira-kira 170,000 tan emas dilombong di seluruh dunia dan jumlah itu boleh memenuhkan tiga kolam renang bersaiz Olimpik.
FotoBagaimanapun, tinggal hanya 90,000 tan masih belum dilombong.
Pada kadar semasa, simpanan emas dunia dijangka habis dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Hakikat itu memang disedari syarikat perlombongan dan mereka kini mula mencari lokasi baru yang berpotensi.
Penganalisis kanan Thomson Reuters GFMS, Will Tankard, berkata kebanyakan simpanan emas yang mudah ditemui kini habis diteroka.
“Pelombong kini mencari di kawasan lebih sukar dan berisiko, dari kawasan hujung Kanada hingga 4,500 meter di atas paras laut di kawasan Andes,” katanya.
Menurut Tankard, meneroka tapak seumpama itu memerlukan pelaburan besar sebelum aktiviti melombong boleh dijalankan.
“Di utara Kanada, anda akan mendapati jalan paling hampir dengan tapak lombong emas terletak sejauh 800 kilometer.
“Justeru, anda perlukan wang yang banyak untuk menyiapkan laluan, talian elektrik dan lain-lain,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, pelombong juga berdepan dengan tentangan penduduk setempat.
Sebagai contoh, syarikat pengeluar emas terbesar dunia, Barrick Gold, baru-baru ini membelanjakan RM287 juta untuk membina infrastruktur setempat bagi memenangi hati peladang yang membantah pembukaan lombong Pascua Lama di sempadan Argentina – Chile.
Lokasi emas juga semakin sukar dari semasa ke semasa.
Pada hujung abad ke-19, emas boleh ditemui begitu saja di kawasan Kalgoorlie, Australia.
Kini, satu-satunya jalan untuk mendapatkan kekayaan daripada emas ialah dengan membentuk lombong sepanjang hampir 3 kilometer, 1.5 kilometer lebar dan sedalam 370 meter.
Melihat dari tebing lombong itu, sebuah lori yang mampu membawa 250 tan batu tidak ubah seperti objek mainan.
Bagi setiap muatan dibawa, secara purata hanya satu daripada enam lori mengandungi emas – biasanya apabila dikumpulkan ia hanya sebesar bola golf.
Emas seumpama itulah yang menjadi buruan pelombong di kawasan pergunungan Scotland kini.
Sangster berkata, dia yakin kebanyakan sungai di kawasan itu mengandungi emas dan menanti masa didulang.
Katanya, hampir 57 kilogram emas pernah ditemui di sungai kawasan itu pada 1860-an dan ia boleh mencapai nilai RM10 juta pada hari ini.
Pendulang emas veteran, Alan Souter dan Leon Kirk, kini kembali mahu mencuba nasib ekoran pembukaan lombong emas Scotgold di Tyndrum.
Tidak jauh dari situ, kata Souter, ada satu kawasan popular yang kini kelihatan seperti bekas medan Perang Dunia Pertama.
“Kawasan itu dipenuhi lubang dengan setiap satu sedalam satu meter atau lebih.
“Ia adalah bekas orang ramai mendulang emas,” katanya.
Dengan pakaian yang bersesuaian, Souter dan Kirk mula melompat ke dalam air yang sejuk itu untuk mencuba nasib.
Peralatan mereka sangat sederhana – satu paip dengan bola tenis pada rodnya untuk menyedut kelikir di dasar sungai, penapis dan dulang plastik bagi mengasingkan emas daripada batu kelikir.
Namun, keberkesanannya sangat mengagumkan.
Sambil mencuba nasib, Kirk menceritakan betapa kuatnya godaan emas kepada pendulang sepertinya.
“Ia sebati dengan kami dan ia akan mati bersama kami,” katanya.
Kirk berkata, apa yang mendorong orang terus memburu emas adalah impian menjadikan penemuan itu kejayaan besar.
Ia disokong Souter.
Katanya, ramai pendulang yakin akan cukup bertuah pada satu hari.
“Bagaimanapun, hakikatnya adalah berbeza.
“Tidak ramai pemburu emas yang berjaya, malah kadang-kadang mereka gagal mendapat pulangan modal,” katanya.
Untuk membuktikannya, Souter dan Kirk menunjukkan hasil mereka pada hari itu.
Selepas dua jam mengharungi air sungai yang begitu sejuk, anggaran maksimum nilai emas yang diperoleh hanya kira-kira £5 (RM25).
Rakan mereka, Gareth Moore, pula mempunyai pandangan berbeza.
Selepas berhenti kerja, dia meninggalkan keluarganya beberapa bulan lalu untuk menetap dalam khemah di pinggir sungai kawasan tinggi Tyndrum.
Tanpa sebarang pekerjaan lain, Moore hidup semata-mata dengan pendapatan daripada penemuan emas di situ.
Pada usia 27 tahun, Moore memilih untuk hidup begitu kerana bosan dengan suasana masyarakat setempatnya.
“Emas adalah tiket untuk saya keluar daripada kebosanan ini,” katanya.
Moore yakin, apa yang perlu dilakukannya adalah terus sabar mencuba nasib di sungai berkenaan setiap hari dan hasilnya akan dinikmati satu hari nanti.
Berdepan dengan hujan dan musim sejuk, Moore bertegas dia tidak menyesal, malah menikmati sepenuhnya pengalaman di situ.
“Saya sentiasa berjaya menemui emas secukupnya bagi mengisi perut,” katanya.
Sementara itu, di bilik kebal di London, pemilikan emas membayangkan kekuatan ekonomi seseorang.
Sejak berabad lalu, London menjadi pusat pasaran emas dunia.
Jongkong emas terbaik dikenali sebagai ‘London Good Delivery’ dengan berat kira-kira 11.3 kilogram.
Dijamin mengandungi sekurang-kurangnya 99.5 peratus emas, ia didagangkan di kalangan ahli Persatuan Pasaran London Bullion (LBMA).
Di tingkat 41 Menara HSBC di Canary Wharf, London, pegawai kanan bank itu, Jeremy Charles, menjelaskan mengenai kepentingan emas.
“Ia adalah asas mutlak bagi pasaran London. Tanpanya, kredibiliti dagangan langsung tidak bermakna,” katanya.
Pada suku pertama 2011, lebih RM50 trilion emas didagangkan di London, dan secara purata, RM752 bilion emas dijual beli setiap hari.