Warga emas makan sabun dan bedak talkum

KUALA KANGSAR: “Bagi orang lain, perbuatan ini dianggap tidak masuk akal dan boleh menjejaskan kesihatan, tapi bagi saya ia menjadi menu harian sejak 17 tahun lalu,” kata Mohd Razali Ishak, 63, yang mempunyai tabiat luar biasa apabila menjadikan sabun mandi dan bedak sebagai makanan kegemarannya.

Bapa kepada sembilan anak yang juga bekas penoreh getah itu berkata, pada mulanya dia hanya makan bedak, namun menambah ‘menu’ eksotiknya dengan memakan sabun mandi sejak tujuh bulan lalu.

“Saya mula makan sabun mandi selepas tertarik melihat bentuk dan baunya. Selepas menggigit sedikit cebisannya, saya rasa ia begitu enak dan sejak itu mula menjadikannya makanan harian.

“Sejak tujuh bulan lalu, saya mula makan bedak talkum pula, juga kerana saya suka baunya yang harum. Kini saya mampu menghabiskan dua atau tiga botol bedak 100 gram sehari,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Padang Rengas di sini, semalam.

Segelintir penduduk yang mendapat tahu mengenai minat pelik warga emas itu yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang pada mulanya beranggapan Mohd Razali tidak waras.

“Saya akui pada beberapa tahun pertama dulu bukan saja jiran sekampung, malah anak-anak termasuk isteri mengatakan saya gila.

“Selepas gagal meyakinkan mereka, saya membuat keputusan pergi menjalani pemeriksaan di sebuah hospital dan keputusannya mengesahkan saya waras,” katanya. Dia yang berasal dan tinggal di Sungai Temau, Kuala Lipis berkata, sehingga sekarang, dia masih tidak tahu punca dan kenapa dia memiliki tabiat pelik itu.

“Sudah ribuan kali saya ditanya soalan ini, tapi saya sendiri tidak tahu jawapannya. Ia masih menjadi misteri bagi saya dan keluarga. Tabiat ini bukan sengaja diada-adakan untuk mencari publisiti kerana tiada sebab untuk saya buat begitu,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Razali tidak menolak kemungkinan ia ada berkaitan dengan unsur mistik kerana pernah menemui pengamal ilmu perubatan tradisional dalam usahanya menghentikan tabiat ini.

Katanya, usahanya itu selepas gagal mendapatkan jawapan daripada doktor bertauliah, juga menemui jalan buntu menyebabkan dia berserah segala-galanya kepada Tuhan.

“Isteri (Rohani Yusup, 57,) dan anak-anak sudah berputus asa menasihatkan saya supaya berhenti. Malah, isteri pernah cuba meletakkan tepung gandum dalam bekas bedak kerana bimbang saya jatuh sakit kerana makan bedak setiap hari.

“Namun, usaha itu gagal kerana saya dapat membezakan rasanya. Saya tidak tahu bagaimana menjelaskan perasaan saya ketika makan bedak dan sabun, tetapi jika sehari tidak menjamahnya, saya gelisah seperti ada sesuatu tidak kena,” katanya. Sementara itu, anak Mohd Razali, Roslinda, 32, berkata, dia dan adik beradik lain sudah letih menasihatkan bapa mereka supaya berhenti mengamalkan hobi pelik itu.

“Kami percaya ayah menjadi begini akibat terkena buatan orang menggunakan sihir atau ilmu hitam. Justeru, saya berharap jika ada pihak boleh membantu merawat penyakit ‘unik’ ayah ini.

“Kami tidak mahu ayah meneruskan tabiatnya makan bedak dan sabun mandi kerana bimbang bakal memudaratkan lagi keadaan kesihatannya yang semakin uzur sekarang,” katanya

dimana silapnya warga emas

Dimana silapnya warga emas?

dimana silapnya warga emas

BENAR Ungkapan itu menggambarkan fenomena membimbangkan anak masa kini – ibu bapa yang meniti usia emas tidak lagi dijaga dan dipedulikan zuriat mereka. Malah ada anak yang berkemampuan dan hidup mewah tergamak menghantar ibu bapa mendiami rumah perlindungan warga tua.kata orang, seorang ibu atau bapa mampu menjaga ramai anak tetapi tidak semestinya budi baik itu dibalas anak mereka apabila dewasa kelak.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norani Mohd Hashim ketika ditemui berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir anak generasi sekarang yang mengabaikan orang tua sebaik dewasa.

“Daripada pemerhatian, kami mendapati jumlah penghuni warga emas di rumah perlindungan ini meningkat saban hari. Situasi ini membuatkan saya terkilan dengan tingkah laku anak zaman sekarang terhadap ibu bapa mereka.
“Lebih membimbangkan, daripada statistik terkini, peratusan tertinggi daripada jumlah penghuni di semua rumah perlindungan warga emas ialah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Berbanding 10 tahun lalu, bangsa Melayu mencatat tidak sampai lima peratus. Itulah kenyataan pahit yang terpaksa pihak kami telan apabila mengenang sikap anak zaman sekarang,” katanya.

Mengapa trend ini berlaku? Di mana silapnya hinggakan anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang dan perhatian tergamak mengabaikan ibu atau bapa apabila dewasa.

Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), warga emas ialah individu berumur 60 tahun ke atas.

Mereka yang tergolong dalam definisi itu layak mendapat perhatian JKM.
Norani berkata, JKM menyediakan 11 pusat perlindungan seluruh negara membabitkan dua institusi iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE).
RSK didirikan untuk golongan warga emas mampu mengurus diri serta masih sihat, manakala RE untuk golongan warga emas yang terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantu mereka mengurus diri dan terlantar sakit.
“Penghuni di dua institusi ini daripada pelbagai latar belakang. Tumpuan ialah kepada mereka yang tiada waris dan miskin tetapi sedihnya, ada kes diterima membabitkan anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa kerana menyusahkan.
“Ibu bapa sakit memerlukan jagaan rapi dan kos perubatan tinggi antara alasan diberi anak mereka apabila menyerahkan orang tua untuk dijaga pihak JKM. Ada juga kes ibu bapa sukarela datang ke pihak kami memohon perlindungan kerana diabai anak,” katanya.
Beliau berkata, konsep terabai bermaksud mereka tidak diberi makan dan minum, malah ketika sakit, anak mereka tidak menjenguk dan membiarkan ibu bapa yang tua tidak mendapat bantuan perubatan.
“Pengabaian bukan saja daripada segi keperluan asas, tetapi tidak memberi perhatian dan kasih sayang juga dianggap sebagai pengabaian kepada ibu bapa mereka.
“Ini kerana warga emas mempunyai emosi sangat sensitif. Kadangkala ciri emosi ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran berkomunikasi dan berbaik dengan anak mahupun menantu. Jadi mereka lebih senang memilih berada di rumah perlindungan,” katanya.
Norani berkata, sehingga Jun tahun ini, ada 2,084 penghuni warga emas di seluruh Malaysia iaitu 1,847 di RSK dan 237 di RE.
Katanya, nilai peratusan peningkatan ini dianggap tinggi bagi JKM iaitu peningkatan 13.7 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut beliau, JKM menerima kehadiran penghuni lelaki lebih tinggi iaitu 1,247 orang berbanding penghuni wanita hanya 837 orang.
Kajian awal mendapati, punca ramai penghuni lelaki mendiami rumah institusi warga emas kerana sejarah silam hubungan bapa dan anak tidak baik.
Malah segelintir penghuni mendakwa sewaktu muda mereka mengabaikan anak, menyebabkan mereka disingkir daripada keluarga anak masingmasing.
“Bantuan menempatkan warga emas di pusat jagaan JKM bukan bermaksud mengganti peranan anak tetapi sekadar membantu memelihara hak mereka tatkala institusi keluarga gagal menjaga kebajikan ahlinya.
“Sebenarnya JKM turut menyediakan saluran alternatif bagi mereka yang miskin menjaga ibu bapa menerusi bantuan warga emas sebanyak RM300 sebulan. Kami mahu ibu bapa tua menikmati sisa kehidupan masih ada bersama anak menantu dan cucu.
“Bayangkan kita sendiri seperti mereka, sudah pasti kehidupan diingini ialah bersama keluarga sehingga akhir hayat. Bukan kemewahan dan harta benda diharapkan, cuma tempat untuk menumpang kasih diidamkan oleh golongan ini,” katanya.