Kebimbangan pasaran emas tentang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) untuk beransur-ansur mengurangkan suntikan mudah tunainya akan hanya reda pada lewat Februari atau awal Mac tahun depan dengan harga diunjurkan menyederhana pada US$1,322.50 (AS$1 = RM3.25) seauns (1 auns = 28.35 gram).
Peniaga dari Phillip Futures Sdn Bhd, Lim Eng Wee, berkata menurut satu laporan antarabangsa, harga emas berkemungkinan kekal rendah bagi tahun keduanya selepas mencatatkan kejatuhan tahunan pertamanya pada pertengahan 2013, dalam tempoh lebih sedekad.
“Harga rendah ini ditambah pula dengan siling hutang jangka pendek kerajaan AS yang akan tamat tempoh pada 15 Jan, 2014,” katanya kepada Bernama.
Tentang arah aliran semasa, Lim berkata pasaran seolah-olah kurang keyakinan terhadap emas apabila AS mencatatkan data-data ekonomi yang lebih baik daripada dijangkakan.
“Bagi tahun ini setakat ini, harga emas semerta menjunam 27.2 peratus kepada AS$1,219.83 seauns pada 2 Dis, 2013.
Mengenai dagangan hadapan emas, yang julung kali muncul di Bursa Malaysia Derivatives pada 7 Oktober, 2013, Lim berkata ia lebih sesuai bagi pelabur individu memandangkan keperluan marginnya yang rendah iaitu RM1,000 bagi setiap lot.
Beliau berkata kontrak itu juga dilunaskan dengan tunai, justeru itu pelabur boleh menyimpan pegangan hingga tamat tempoh kontrak.
“Pada masa ini, jumlah dagangan pasaran hadapan emas Bursa Malaysia agak rendah disebabkan oleh kurangnya kesedaran dan keyakinan dalam kalangan pelabur runcit.
“Kebanyakan pelabur Malaysia tidak terdedah kepada dagangan hadapan atau tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenainya. Di samping itu, sesetengah mereka beranggapan dagangan hadapan adalah sama seperti berjudi.
“Lebih banyak iklan dan seminar diperlukan untuk mendidik dan memupuk minat pelabur Malaysia terhadap dagangan hadapan,” saran Lim.
Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd, Ermin Siow, berkata sambutan terhadap kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia hambar sahaja.
Poh Kong, sebuah syarikat pegang pelaburan, terlibat dalam pembuatan, perniagaan, peruncitan dan eksport barang kemas, batu permata, berlian dan barang perhiasan daripada emas, terutamanya di Malaysia.
Siow berkata dagangan hadapan emas masih belum meraih sambutan hangat setakat ini disebabkan oleh kurangnya maklumat tentang cara-cara berurus niaga logam berharga dalam pasaran hadapan.
“Meskipun kontrak hadapan emas tidak diniagakan 24 jam di Bursa Malaysia berbanding di Commodity Exchange Inc, satu bahagian New York Mercantile Exchange, namun orang perlu ingat bahawa emas diniagakan tanpa henti di peringkat antarabangsa,” tegas Siow.
Bursa Malaysia memulakan dagangan hadapan emas tiga bulan lepas, satu langkah untuk memperluas pasaran modal di negara ini.
Ia adalah kontrak hadapan logam berharga pertama di Bursa Malaysia dan kelas aset pendasar adalah berasaskan spesifikasi Penetapan Emas London.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Datuk Tajuddin Atan, berkata pelancaran kontrak hadapan emas Bursa Malaysia memperkukuh komitmen bursa itu untuk terus memperkenalkan produk-produk dan kelas-kelas aset baharu, sekali gus membawa lebih banyak peluang dagangan dan pelaburan kepada lebih ramai warga Malaysia.
“Tujuan kami ialah untuk mewujudkan sebuah pasaran lengkap dan menyeluruh yang ada sesuatu bagi setiap jenis peniaga dan pelabur di Bursa Malaysia.
“Kami yakin kontrak hadapan emas akan menjadi satu cara berniaga emas yang dipercayai di Malaysia kerana ia diniagakan di bursa kita yang sangat ketat kawalan selianya,” katanya.
Harga tertinggi emas yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives ialah RM137 segram yang dicatatkan pada Oktober.
Kontrak bulan penanda aras mengakhiri tahun ini pada RM127.4.
— BERNAMA