Jongkong Emas Dikebas ‘Polis’

bhp-gas

Kuala Lumpur, 24 Julai : Seorang ahli perniagaan tidak hanya diculik dan dipaksa menyerahkan dua jongkong emas, malah turut dicampak penjenayah di kawasan tanah perkuburan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 44 tahun dilarikan dua penjenayah yang menyamar anggota polis ketika mangsa berada di stesen minyak di Jalan Loke Yew.

Sumber polis berkata, mangsa yang berhenti untuk mengisi minyak mendakwa dihampiri dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, dua lelaki itu mengacukan parang pada leher mangsa sebelum menariknya masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan itu.

“Ketika berada di dalam tawanan suspek, mata mangsa ditutup dengan kain hitam sebelum suspek memeriksa seluruh badan mangsa.

“Suspek seolah-olah mengetahui mangsa menyimpan barang berharga apabila menemui dua jongkong emas yang disimpan di dalam poket seluar mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian merampas emas dan wang tunai milik mangsa yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

“Mangsa yang ketakutan hanya berdiam diri dan akur dengan arahan suspek.

“Suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan tanah perkuburan Cina di Sungai Besi sebelum mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya kerugian emas seberat kira-kira 300 gram dan tidak cedera.

“Dia kemudian meminta bantuan orang awam sebelum membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menjejaki suspek.-HM

Harga emas naik, kira nilai emas hari ini disini

Graf Kenaikan harga emas hari ini 14-4-2014

Harga emas naik sedikit minggu, selepas ditutup pada minggu lepas hanya sekitar 5200, pagi ini harga emas telah rancak naik ke paras 5240, kira-kira naik hampir RM1.06/gram, kenaikan ini berpunca dari kelembapan pasaran saham ekuiti yang berterusan dan pelabur mula kembali kepada emas,pada tahun 2013, ramai pelabur keluar dari pelaburan emas terutamanya ETF dan beralih kepada ekuiti sektor tech (netbook, internet, handphone)

Minggu ini dijangka reverse-step akan diambil oleh ramai pelabur berikutan dengan kelembapan pasaran dan juga wujud sentimen tegang berikutan krisis ukraine dan sekatan pelaburan jutawan eropah timur di pasaran saham global. Jika sekatan pelabur-pelabur russia berlaku seperti amaran dikeluarkan US, besar kemungkinan pelabur Russia akan beralih kepada pasaran yang lebih selamat dan terbuka tanpa kawalan USD seperti emas dan ini merupakan titik tolak yang baik untuk harga emas melambung.

harga emas sepanjang 6 bulan 2014

Sepanjang tahun 2014, harga emas beralun seperti ombak dimana pada Januari, harga emas naik sebelum jatuh sedikit pada hujung bulan manakala pada Februari harga emas melambung tinggi hingga pertengahan Mac mencatat rekod tertinggi indeks emas untuk tahun 2014 (RM5520/tael) sebelum jatuh tepat pada 31 Mac 2014. Untuk bulan April harga emas kembali steady untuk melonjak lagi. Tiada indicator yang jelas untuk menjangka harga emas jatuh kerana wujud ketidakstabilan & krisis di beberapa lokasi seluruh dunia, manakala lombong-lombong emas sudah mengecilkan operasi mereka pada pertengahan tahun lepas menjadikan jumlah emas di pasaran adalah terhad.

Untuk mengetahui nilai terkini emas anda di pasaran (harga lebur), boleh ke Kalkulator Harga Emas Terpakai di Laman web Hargaemas (isikan pada kalkulator emas dibawah)

Cara Kenal Pasti Skim Cepat Kaya (emas)

Skim cepat kaya bukan perkara baru di Malaysia dan ia mula dikesan memperdaya pengguna sejak tahun 70-an lagi dengan skim pertama dikenali sebagai Pak Man Telo. Selepas lebih 30 tahun, skim seumpama ini masih terus berleluasa, dengan modus operandi yang diberi suntikan baru namun, masih mencapai tujuan sama iaitu menipu wang orang ramai.

Ketika Facebook (FB) mula mendapat tempat, muncul skim cepat kaya menggunakan medium berkenaan dengan yang paling terkenal menggunakan slogan “Login FB Dapat Duit”. Ia mendapat sambutan hangat sekitar 2010 hingga 2011, malah ia dipercayai masih bertahan sehingga kini. Modus operandinya, menawarkan pulangan apabila kita berjaya mendapatkan orang bawah atau downline yang baru.

Sekitar 2012, ketika harga emas mula memuncak, maka muncul pula skim berasaskan emas. Yang paling mencuri perhatian ialah skim emes Geneva yang kes mahkamahnya masih berjalan sehingga sekarang, selepas ia diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) pada penghujung 2012.

Melewati tahun 2013, apabila pasaran saham mula meningkat, muncul pula skim saham dan Forex yang pelik-pelik menawarkan pelbagai pulangan menggiurkan.

Genneva-Gold-Ponzi-Scheme-Madoff

123 N 123 123 N 123

Ketika kerajaan mempromosi bidang pertanian dan penternakan, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan penternakan seperti ikan arowana, penternakan lembu malah penternakan burung unta. Keadaan sama berlaku ketika industri e-book mula berkembang, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan e-book.

Walaupun muncul pelbagai skim dengan nama berbeza, namun tidak sukar untuk mengenali skim seumpama ini kerana ia mempunyai ciri yang sama iaitu menawarkan pulangan yang tinggi tanpa risiko, menjana keuntungan melalui rekrut orang baru dan tidak memiliki produk atau produk yang ada hanya bersifat kosmetik. Ciri pertama skim ini ialah menawarkan pulangan tinggi 10 peratus 15 peratus sebulan. Ia lebih tinggi daripada Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) malah lebih tinggi daripada pasaran saham indeks Bursa Malaysia.

Secara logiknya, ia boleh mencecah sehingga 120 peratus hingga 180 peratus setahun. Namun, ia mustahil untuk dicapai dengan cara melabur dan membiarkan wang beranak-pinak saja.

Ciri kedua skim ini ialah menjanjikan keuntungan melalui aktiviti merekrut orang baru, bukan melalui jualan produk. Melalui ciri ini, para pelabur dikehendaki mencari orang baru untuk melabur atau menyertai skim ditawarkan.

Setiap kemasukan orang baru akan diberikan intensif kepada orang yang memperkenalkan orang baru tadi. Ia akan berlanjutan dan berantai dari satu peringkat ke satu peringkat atau dikenali sebagai skim piramid.

Kedua-dua skim ini mempunyai persamaan iaitu menawarkan pulangan tinggi dengan kemasukan orang baru. Skim piramid adalah sebahagian daripada skim cepat kaya.

Ciri ketiga skim cepat kaya adalah tidak mempunyai sebarang produk untuk dijual, tetapi yang ada hanyalah sebagai hiasan semata-mata. Malah, jika ada produk sekalipun, ia akan dijual pada harga tidak munasabah. Sebagai contoh, jika sekotak kopi yang berharga di pasaran sekitar RM15, di dalam skim ini ia akan dijual pada harga RM80 dan disertakan senarai khasiat perubatan ajaib untuk justifikasi harga yang melampaui batas itu.

Sedangkan harga yang dibayar itu adalah untuk menampung bonus ‘orang atas’. Yang menariknya, masih ada orang yang mempercayai penipuan secara terang-terangan ini.

Mereka yang berhasrat menambah pendapatan disaran supaya berhati-hati dalam setiap skim yang diceburi. Jika ia skim pelaburan, pastikan kita semak kedudukannya melalui agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan BNM. Untuk mengetahui status halal produk pula boleh semak melalui JAKIM.

Jangan mudah terpengaruh dengan janji manis, sekalipun ia datang daripada sahabat atau saudara rapat. Mungkin mereka ikhlas untuk menawarkan kita peluang, namun sebenarnya mungkin mereka sendiri tidak sedar diri mereka sudah tertipu.

Jangan terburu-buru dengan ayat ‘tawaran terhad’ kerana percayalah bahawa peluang yang baik itu umpama bas, jika terlepas satu bas akan datang bas yang lain. Dalam hal ini, prinsip biar lambat asal selamat terpakai.

Dalam hal pelaburan, satu prinsip konservatif yang boleh diguna pakai ialah “biar tersalah tidak melabur skim yang menguntungkan, dari tersalah labur skim yang merugikan”.

Perunding Kewangan Bertauliah IFP (Islamic Financial Planner) di INFAQ Consultancy & Advisory

Bank Switzerland terjejas teruk akibat kejatuhan harga emas

swiss-bank
GENEVA: Bank pusat Switzerland mengalami kerugian yang teruk pada tahun 2013 akibat dari kejatuhan mendadak harga emas dan menyebabkan tiada pembayaran dividen kepada Bern atau kanton lain.

Bank Negara Switzerland (SNB) berkata kerugian dijangka sebanyak 9.0b Swiss francs atau RM32.64b pada tahun 2013.

Kerugian disebabkan nilai pegangan emas yang turun 15 bilion francs dan harga logam sebanyak 28 peratus.

Namun, kedudukan mata wang asing mengalami sedikit keuntungan sebanyak 3.0 francs billion dan dana penstabilan yang dilaksanakan pada 2008 untuk menyelamatkan bank terbesar Switzerland, UBS turut untung 3.0 billion.

“Oleh kerana kerugian lebih ketara dengan perbezaan sebanyak 5.3 bilion Swiss maka SNB tidak dapat membuat agihan keuntungan” jelas bank.

Bank pusat Switzerland biasanya akan mengeluarkan dividen kepada Gabungan Switzerland dan kanton serantau.

Tahun lepas, BNS melaporkan keuntungan ₣6.9 bilion dan agihan keuntungan sebanyak 2.4 bilion francs kepada Swiss Confederation, kanton dan pemegang saham lain .

BNS akan mengumumkan keputusan penuh pada 7 Mac.

Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/bank-switzerland-terjejas-teruk-akibat-kejatuhan-harga-emas-27974?cp

Video: Kanak-Kanak 6 Tahun Mencuri di Kedai Emas

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun biasanya sibuk di sekolah dan bermain dengan temannya. Namun seorang kanak-kanak yang berani berbuat tindakan jenayah walaupun usianya masih sangat muda. Kanak-kanak ini dengan berani mencuri wang di sebuah kedai emas.

Entah bagaimana, tapi seorang gadis kecil berusia 6 tahun sudah diajar mencuri. Wang sejumlah 500,000 rials ($ 2500 USD) di sebuah kedai perhiasan emas di Arab Saudi ghaib dicuri oleh si gadis kecil ini. Tapi, aksi si kecil ini terakam oleh kamera CCTV di kedai tersebut.

Ternyata, gadis kecil ini tidak sendirian. Dia dibantu oleh ibunya dalam melakukan aksinya itu. Ketika itu, dua wanita serta seorang kanak-kanak  masuk ke kedai perhiasan. Seperti pelanggan lain, mereka datang untuk membeli barang kemas di sana.

Ketika ibunya dan wanita itu sibuk mencuba perhiasan. Kanak-kanak itu pergi menyelinap ke bahagian dalam stor kedai. Ternyata ibunya sudah menyiapkan ini semua.

Dia berpura-pura mencuba perhiasan kerana ingin mengalihkan perhatian daripada penjaga kedai Dia juga sudah menyiapkan sebuah beg besar yang akan digunakannya untuk menyimpan barang rampasan anaknya.

Nasib Membeli & Memiliki Emas Curi

pajak-gadai

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lima pertuduhan memiliki pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM6,000, awal bulan ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Amin Abrahim, 52, dari Kota Kinabalu, Sabah didakwa memiliki seutas rantai leher bersama loket emas bernilai RM1,500 kepunyaan pemandu peribadi Bahrin Kassim, 48, dan seutas gelang tangan dan gelang kaki bernilai RM2,000 milik Nuruldhia Hana Delisha yang berusia setahun tujuh bulan.

Dia juga berdepan dengan pertuduhan ketiga dan keempat iaitu memiliki seutas rantai leher emas bernilai RM800 kepunyaan jurujual Badrul Sham Jebah, 41, dan satu loket emas bernilai RM700 milik Abdul Bahrul Uni, 33.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh, yang diwakili peguam V. Kamalai, didakwa memiliki seutas rantai leher bersama loket emas bernilai RM1,000 milik jururawat Hasniza Zainal Abidin, 33.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di lobi sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang di sini pada 7 malam, 1 Dis lepas, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Majistret Nurul’ain Abdul Rahim menetapkan 6 Jan depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.  – Bernama

Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama