KUALA LUMPUR : Kereta Porsche Panamera bernilai kira-kira RM900,000 yang dicuri dari sebuah bilik pameran di Jalan Bukit Bintang pada 11 Okt lepas, ditemui semula berdekatan sebuah kondominium di Seri Kembangan di sini, hari ini.
Ianya ditinggalkan di tempat letak kereta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan jarak lokasi dari tempat kereta itu disamun hanya kira-kira 24 kilometer sahaja. Ketika ditemui, Porsche tersebut memakai nombor pendaftaran palsu, WGU 123.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kereta Porsche berwarna emas itu ditemui dalam keadaan baik pada 12 tengah hari.
“Kereta mewah itu kini diletakkan di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian itu, kereta Porsche berkenaan dilarikan pada kira-kira 9 pagi oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa dengan seorang petugas di bilik pameran itu.
Lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudian naik ke tingkat satu premis dan menggeledah meja untuk mencari kunci kereta berkenaan sebelum melarikan kereta itu.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan pada keesokannya di Klang dan tempoh reman lelaki itu dilanjutkan setelah penemuan Porsche itu.
Polis juga masih mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, yang alamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana dekat sini untuk membantu siasatan.