Kedai Emas Lengang Raya Tahun Ini

raya-2015

Penjualan emas didapati menurun pada Ramadan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, ketika gedung pakaian, kedai perabot malah pusat penjualan kenderaan lama dan baharu kekal sibuk dengan pengunjung. Ramai penjual mengeluh kerana kedai mereka sentiasa sepi dan lengang walaupun raya cuma tinggal 1 minggu lagi, ramai pembeli memilih untuk berjimat cermat meraikan hari raya Aidilfitri tahun ini dan cuma membelanjakan untuk perkara yang perlu sahaja.

Perkara itu turut diakui peniaga emas, Nor Ruzaini Mamat, 28, yang memaklumkan, kedai yang menjual barangan kemas itu kelihatan sepi dan kurang dikunjungi pelanggan berikutan perlaksanaan GST April lalu.

“Jualan emas terkena tempias. Saya boleh katakan pasaran emas merosot pada Ramadan kali ini berbanding tahun lalu, sebelum GST dilaksanakan. Tahun lalu, pengguna sudah mengunjungi kedai emas pada minggu pertama Ramadan.

“Namun, Ramadan tahun ini berbeza apabila kebanyakan pelanggan bukan datang membeli, tetapi untuk melebur barangan kemas mereka selain untuk membaiki barangan kemas rosak,” katanya.

Nor Ruzaini yang berniaga emas di bangunan Majlis Daerah Marang di Pasar Marang itu berkata, apabila harga emas di pasaran meningkat, cukai GST turut meningkat sekali gus menyebabkan pembeli menjadi semakin kurang.

“Sebab itu, mereka (pelanggan) melebur barangan kemas seperti cincin, rantai atau gelang untuk dijadikan rantai atau gelang yang lebih berat serta membaiki kerosakan pada barang kemas untuk menghiasi diri pada Aidilfitri ini.

“Kami sebagai peniaga hanya mengambil upah dan mendapat untung kecil untuk membuat rekaan yang diinginkan selepas barangan kemas pelanggan terbabit dileburkan semula. Perkhidmatan ini tidak dikenakan sebarang caj GST,” katanya.

Pada masa sama, Nor Ruzaini mengakui, ramai pelanggannya turut merungut mengenai perlaksanaan GST kerana mereka perlu berjimat cermat walaupun membeli emas pada asasnya menguntungkan apabila harga emas naik.

“Ini kerana mereka perlu membeli emas di kedai emas dengan caj GST, tetapi apabila ingin menjualnya semula walaupun ketika harga emas naik caj GST itu dikira hangus,” katanya.

Sementara itu, keadaan berbeza kepada penjual barang-barang perhiasan emas tiruan di jalanan yang dikatakan mula mendapat sambutan golongan wanita dan remaja untuk dijadikan trend melaram ketika musim perayaan.

Peniaga barang perhiasan emas tiruan, Hasmah Othman di Bukit Payong berkata, perhiasan emas tiruan menjadi pilihan kerana harganya yang murah berbanding emas tulen yang agak mahal ketika ini.

“Mungkin harga emas hingga beribu ringgit menyebabkan sebahagian besar masyarakat kurang mampu memilikinya dan beralih kepada barang perhiasan emas tiruan,” katanya.